Arora Salwa kini bergelar Salwa Razak, muncul kembali dengan single Hidup BaruTerlalu banyak kontroversi dan cerita negatif melanda dirinya tatkala menggunakan nama Arora Salwa. Justeru, penyanyi ini berharap, dengan imej dan nama berbeza, Salwa Razak, segala kisah kurang enak didengar itu akan dilupakan, yang secara tidak langsung memberikannya ruang untuk memulakan kehidupan baru.
Dia sendiri ingin sekali menutup buku lama, lalu wanita ini berharap segala kontroversi membabitkan percintaan dan aktiviti seninya dilupakan bersama langkah barunya itu.
Saya sudah tanam segala kisah lama saya dalam-dalam dan sebolehnya saya tak mahu lagi ada kontroversi. Saya juga amat berharap orang ramai turut memberikan saya peluang sekali lagi," Salwa Razak
Atas alasan itu juga Salwa muncul bersama syarikat rakaman berbeza serta single terkini berjudul Hidup Baru.
"Kini saya muncul semula dengan semua baru, daripada imej hinggalah kehidupan, malah orang di sekeliling saya pun semuanya baru. Saya lebih gembira sekarang. Saya sudah bertukar daripada Sony Music ke label JJS Partners Solution Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan bersama pengurus dan rakan kongsi saya, Junita Jaafar.
"Saya sudah tanam segala kisah lama saya dalam-dalam dan sebolehnya saya tak mahu lagi ada kontroversi. Saya juga amat berharap orang ramai turut memberikan saya peluang sekali lagi," katanya pada majlis pelancaran single terbarunya itu di ibu kota, baru-baru ini.
Balada uji mutu vokal
Menurut Salwa, dia lebih selesa ketika menghasilkan single ketiganya itu kerana dia diberi ruang untuk menyalurkan idea serta pendapat. Bahkan, dia turut berpeluang menyampaikan lagu berkonsep balada, yang lebih menguji keupayaan suaranya.
"Sewaktu keluar dari Sony Music, saya tak buang masa untuk mencari arah baru. Apabila bertemu Junita pula, saya jadi lebih terurus. Atas sebab itu, saya yakin dan berharap orang ramai boleh menerima single terbaru ini," kata Salwa, 28, yang sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai anggota polis selepas tujuh tahun demi minatnya dalam dunia nyanyian.
Maafkan bekas kekasih
Kata Salwa lagi, dia sudah memaafkan semua orang yang pernah memburukkan namanya. Namun sebagai teladan, dia tidak akan memadamkan ingatan terhadap detik hitam dalam kehidupan lampaunya.
"Saya sudah maafkan bekas teman lelaki saya dan seluruh keluarganya, tapi saya tak boleh lupakan apa yang mereka buat. Ia sangat menyakitkan, dan biarlah ia dijadikan iktibar supaya tidak berulang lagi.
"Mungkin kontroversi lama belum selesai, namun saya tak mahu layan. Kalau kita melayannya, sampai bila pun tidak akan habis. Sekarang, seboleh-bolehnya saya mahu elak kontroversi, sebab saya akui ia membuatkan karier saya tercemar," ujar Salwa.