Bayi ditempah RM22,000 Posted: 08 Dec 2010 08:34 PM PST INSAF...Suzie menunggu masa untuk bersalin. KUALA LUMPUR: "Bayi ini sudah ditempah pada harga RM22,000," kata seorang wanita yang kini menunggu masa untuk melahirkan kandungannya itu kepada dua wartawan Harian Metro yang bertemu dengannya di sebuah restoran di Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini. Dia yang memperkenalkan diri sebagai Suzie, 22, berkata satu pasangan suami isteri bukan Islam menyatakan hasrat membeli bayi berkenaan ketika kandungannya masih berusia lima bulan.
Pertemuan tanpa dirancang itu berlaku ketika penulis menikmati makan malam apabila ternampak Suzie bersama seorang rakan sekerjanya mencari meja untuk menjamu selera di restoran sama.
Melihat keadaan Suzie yang sarat mengandung sembilan bulan itu, penulis menawarkan tempat untuk dia duduk semeja.Dalam perkenalan singkat itu, wanita yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) terbabit mula menyatakan hasrat untuk menjual bayinya sejurus dilahirkan kelak kepada pasangan suami isteri berkenaan. "Saya sayangkan bayi ini, tetapi kerana kos sara hidup tinggi di ibu kota, saya terpaksa menjualnya," katanya ketika pertemuan itu.
Menurutnya, dia nekad mahu menjual bayi dikandungnya itu kerana berasakan tidak mampu menjaganya apabila dilahirkan kelak.
Selain itu, katanya pasangan terbabit mendakwa akan menanggung segala kos bersalin termasuk pembedahan dan perubatan serta mendapatkan sijil beranak sah buat bayi yang bakal dilahirkannya itu.
Mendengar cerita itu, penulis menasihatinya tidak berbuat demikian dan memujuknya ke Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja) di Gombak, untuk bersalin dan dijaga sepanjang berpantang.
Tiga minggu selepas pertemuan pada awal November lalu itu, Suzie dibawa ke rumah berkenaan selepas dia bersetuju cadangan penulis.
Sebaik tiba di Rumah Kewaja, Suzie kelihatan keberatan untuk tinggal di pusat itu, tetapi selepas dipujuk pemilik rumah perlindungan berkenaan, dia bersetuju menginap di situ dan menjalani kehidupan baru.
Wanita terbabit mengakui terdetik rancangan untuk menjual bayi dalam kandungannya itu selepas teruja dengan jumlah wang ditawarkan pasangan berkenaan.
Menceritakan lebih lanjut, menurut Suzie, dia didatangi pasangan suami isteri itu ketika melepak di Bukit Bintang dan mereka mendakwa sudah berkahwin, tetapi tidak dikurniakan anak.
"Pasangan itu menghampiri saya kerana perasan perut saya besar. Ketika itu, usia kandungan baru lima bulan.
"Saya bekerja sebagai GRO di sebuah kelab malam terkemuka, namun takdir mengubah hidup saya apabila berjumpa teman lelaki yang mendakwa mahu mengahwini dan mengubah diri saya kepada kehidupan lebih baik," katanya ketika ditemui semula di rumah perlindungan itu.
Difahamkan, dia memilih jalan hitam dengan bekerja sebagai GRO selepas terpengaruh kehidupan mewah seorang rakan.
Tambahan pula, Suzie mendakwa dia dilahirkan dalam keluarga pincang dan tidak pernah menerima perhatian serta kasih sayang ibu dan bapa menyebabkannya keluar rumah dan memulakan hidup sendirian.
Menceritakan bagaimana dia boleh mengandung anak luar nikah, Suzie berkata semuanya bermula apabila mengenali seorang lelaki berusia 30-an di kelab malam tempatnya bekerja.
Selama dua tahun hubungan Suzie dan lelaki itu tidak ubah seperti pasangan suami isteri sehingga satu hari dia mengetahui lelaki terbabit sudah berkahwin.
"Saya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa isteri teman lelaki saya dan sebaik ditanyakan perkara itu, teman lelaki saya mengaku sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
"Hancur luluh hati ini apabila mengetahui perkara itu, namun kerana sayang kepadanya, saya bersabar sehingga satu hari saya disahkan hamil," katanya.
Namun, apabila mengetahui perkara 'gembira' berkenaan, dia ditinggalkan lelaki terbabit kerana tidak percaya anak yang dikandungnya itu hasil hubungan cinta mereka.
Suzie yang pada mulanya mahu menggugurkan kandungannya 'menyimpan' janin terbabit kerana kononnya mahu teman lelaki bertanggungjawab, tetapi lain jadinya, sehinggalah didatangi pasangan berkenaan yang ingin membeli bayi itu.
Dia yang kini tinggal beberapa hari saja untuk bersalin, mengakui insaf dan tekad untuk membela bayinya itu sendiri selepas diberi suntikan semangat dan bimbingan agama sepanjang tempoh ditempatkan di rumah perlindungan berkenaan. |
Hakim syariah bersekedudukan Posted: 08 Dec 2010 08:32 PM PST KUALA LUMPUR: Seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita di kuarters kerajaan di Georgetown, Ahad lalu. Menurut sumber, hakim terbabit yang berusia 40-an ditangkap ketika bersama pasangannya kira-kira jam 2 pagi.
"Sewaktu kejadian, isteri dan anaknya tiada di rumah kerana dikatakan ke ibu kota.
"Pasangan itu ditangkap penguat kuasa agama hasil maklumat diperoleh," katanya ketika dihubungi, semalam.Hakim terbabit dikatakan berkhidmat di Mahkamah Tinggi Syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung sejak lebih setahun lalu. Sebelum ini, beliau bertugas di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Putrajaya.
Kes berkenaan bagaimanapun masih di peringkat siasatan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan hakim terbabit belum didakwa, sebaliknya dia dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam selama seminggu.
Sumber itu berkata, kes berkenaan agak sulit kerana mempunyai unsur ugutan daripada tertuduh terhadap pegawai penyiasat. Namun, katanya, pihak penyiasat sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
"Pada masa ini hakim terbabit diberi jaminan penguat kuasa. Tempoh jaminan akan berakhir Isnin depan dan pada hari berkenaan, kes dijangka disebut di mahkamah syariah. "Beliau sebelum ini dikatakan mengugut pegawai siasatan dan penguat kuasa dengan mengancam untuk mengambil tindakan jika mereka meneruskan kes berkenaan kerana beliau mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan pihak atasan," katanya.
|
Sawan ditangkap khalwat Posted: 08 Dec 2010 08:30 PM PST USUNG...remaja perempuan yang diserang sawan dibawa menaiki ambulans ke HSB. ALOR SETAR: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang dicekup berkhalwat di sebuah motel di Jalan Kilang Tebu, di sini, kelmarin, tiba-tiba rebah dan diserang sawan ketika disiasat anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik). Keadaan itu menyebabkan anggota penguat kuasa dan teman lelakinya berusia 32 tahun panik apabila mulut remaja terbabit berdarah, lidah tergigit dan seluruh badannya kekejangan.
Berikutan itu, anggota penguat kuasa Jaik terpaksa menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, serta dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Ketua Operasi Jaik, Md Nasir Md Dali berkata, remaja terbabit dari Tongkang Yard, di sini, ditahan bersama pasangannya dari Hutan Kampung, di sini, dalam operasi sempena Maal Hijrah.Beliau berkata, lelaki terbabit turut diambil keterangan kerana disyaki bersekedudukan dengan remaja itu sejak malam Selasa lalu di motel berkenaan. "Ini kes pertama membabitkan kejadian seperti ini, tetapi tindakan pantas anggota kita mengawal keadaan menyebabkan remaja itu dapat diselamatkan.
"Bagaimanapun, kita akan menahan remaja itu sebaik keluar wad untuk diambil keterangan dan hanya dibebaskan dengan jaminan keluarga sehingga menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah," katanya.
Menurutnya, di motel sama, pihaknya turut menahan dua pelajar tahun akhir sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kerana disyaki berkhalwat, kira-kira jam 5.15 petang.
Beliau berkata, remaja perempuan berusia 19 tahun itu memberi alasan tinggal seorang diri kerana baru pulang bercuti di rumahnya di Johor manakala teman lelakinya berasal dari sini hanya datang menemaninya.
"Bagaimanapun, ketika serbuan, pintu bilik mereka tertutup rapat dan apabila diketuk mereka mengambil masa lama sebelum membukanya.
Menurutnya, operasi bermula jam 2 petang hingga 8 malam itu membabitkan 28 anggota yang tertumpu sekitar hotel murah di Jalan Pegawai, Simpang Kuala, Shahab Perdana dan Jalan Lencong Barat, di sini.
Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 14 hingga 32 tahun dengan tiga daripada mereka pelajar universiti dan dua pelajar manakala selebihnya bekerja sekitar negeri ini.
"Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 9(1)dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana disyaki berkurung hingga mendatangkan syak yang jika dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali.
"Kebanyakan pasangan memberi alasan menumpang di bilik hotel untuk berseronok," katanya. |
Gembira dengan pencapaian Posted: 08 Dec 2010 08:28 PM PST MENCUBA...Liyana berpeluang berlakon dan menyanyi dalam teater muzikal Siti Di Alam Fantasi 2 yang akan mula dipentaskan di IB pada 22 Disember ini. MERAIH populariti dan kejayaan pada usia muda dianggap bonus pada pelakon cantik Liyana Jasmay dalam mengembangkan bakat seninya. Berbeza dengan penampilan sulung ketika membintangi filem Castello bersama aktor popular, Rosyam Nor, lima tahun lalu, Liyana kini tampak lebih matang dari segi penampilan diri mahupun mutu lakonan. Menerusi filem Papadom bergandingan bersama Afdlin Shauki juga bertindak sebagai pengarah, Liyana meraih pencapaian terbesar dalam kariernya apabila menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22, tahun lalu. Menariknya, filem itu turut mengiktiraf Afdlin sebagai Pengarah Terbaik sebelum diumumkan Filem Terbaik. Begitu juga keserasian gadis genit ini bersama pengarah terkenal itu terbukti menerusi anugerah Best On Screen Chemistry yang dimenangi pada majlis Shout! Awards anjuran 8TV, baru-baru ini. Menimba pengalaman baru dalam bidang lakonan, Liyana kini sibuk memberi sepenuh fokus pada latihan teater muzikal, Siti Di Alam Fantasi 2 yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 22 hingga 31 Disember ini.
Liyana berkata, pertama kali berlakon teater memberikan pengalaman baru yang begitu menyeronokkan. Selepas seminggu mengikuti latihan teater ini, dia dapat memahami karakter Siti yang dibawanya secara mendalam."Dalam teater ini, hanya saya bersama Ebby Yus membawa watak manusia. Saya juga bekerjasama dengan Johan Raja Lawak melakonkan watak pokok.
"Berbeza dengan filem atau drama, teater memerlukan pengucapan dialog tanpa henti dan pergerakan bahasa tubuh yang lebih besar. "Siti adalah watak utama digambarkan berusia 12 tahun, anak orang kaya dan bersikap mengada-ngada. Sebenarnya, ramai yang tidak tahu dia ada batu geliga yang membawa kekayaan dalam hidupnya. "Kerana itu, dia menjadi sombong dan berlagak. Hingga suatu hari, dia menerokai alam fantasi dan menemui perkara pelik seperti lipas bercakap dan lalang menjadi tinggi.
"Menariknya, berlaku sumpahan ke atas dirinya apabila bersikap jahat iaitu berubah kepada keldai. "Ketika ini, saya kena menggunakan kostum keldai dan membuat bunyi seperti haiwan itu.
"Banyak pengajaran yang cuba disampaikan seperti sikap tolong menolong yang harus dipraktikkan. Dalam mengubah sikapnya itu, dia jatuh cinta dengan Putera Raja lakonan Fizo Omar," katanya.
Menyelami karakter dan perangai kanak-kanak, Liyana juga seronok apabila berpeluang menyanyi dalam pementasan arahan Aminah Rhapor itu.
Katanya, Aminah banyak memberi tunjuk ajar seperti memberi contoh dengan melakonkan sendiri sesuatu watak.
Liyana berkata, dia tidak pernah bertemu pengarah yang komited dan memberi emosi mendalam pada watak yang ingin ditonjolkan seperti Aminah.
"Seramai 40 kanak-kanak berusia antara enam dan 12 tahun tampil menjayakan pementasan ini. "Ada yang melakonkan watak seperti lipas, kelip-kelip termasuk Vanidah Imran yang menjadi labah-labah.
"Berlakon dan menyanyi dalam pementasan ini memberikan pengalaman menyeronokkan walaupun cabaran tetap ada. Saya sendiri suka pada pementasan berkonsep muzikal dan sudah lama mahu berlakon teater. "Mungkin pada tahun depan, saya berhasrat sekurang-kurangnya terbabit dengan satu teater," katanya dengan mata yang bersinar.
Bersandarkan pada pengalaman lakon dan anugerah yang pernah diterima, Liyana menyatakan dia bukan bersikap 'demanding' terhadap tawaran yang diterima.
Katanya, pelakon tidak seperti penyanyi di bawah label syarikat rakaman yang boleh menentukan jumlah bayaran tertentu. Sebaliknya, dia percaya bidang lakonan adalah lebih berkaitan dengan minat.
"Ketika berlakon filem Kami The Movie, bajet produksinya kecil, tetapi saya tetap ambil tawaran itu kerana percaya pada kredibiliti pengarah. Pada saya, ada ketika kita harus bekerja untuk membantu orang lain.
"Tahun depan, saya kembali dengan tiga filem baru iaitu Khurafat, Tolong Awek Aku Pontianak dan Senjakala. "Menerusi Khurafat, saya berlakon dengan Syamsul Yusof sebagai isteri dan dalam Senjakala menjadi kekasih Zahiril Adzim.
"Ketika ini, saya gembira dengan pencapaian sendiri. Saya tidak merancang berlakon 10 filem, setahun tetapi saya juga berharap dapat memberi fokus lain seperti menulis skrip dan nyanyian.
"Kalau boleh, saya berhasrat berlakon dalam genre epik, perjuangan atau 'thriller'. Mungkin, saya juga ingin menjadi pengarah dan produser satu hari nanti.
"Soal album, saya mahu hasilkan album kedua selepas kehadiran mini album yang menampilkan single, Percaya Cinta. Nyanyian menjadi suatu yang peribadi pada diri saya yang disampaikan menerusi lagu. "Apa yang saya harapkan, bidang nyanyian saya dapat berkembang seiring lakonan. Begitu juga, saya berharap lakonan terus diterima dan filem yang dijayakan mendapat sambutan menggalakkan," katanya |
Jumpa ular cedera dekat Penjara Pudu Posted: 08 Dec 2010 08:25 PM PST PANJANG...anggota JPAM mengangkat ular yang ditangkap, semalam. KUALA LUMPUR: Seekor ular sawa sepanjang hampir lima meter dan seberat lebih 100 kilogram ditangkap sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di tinggalan bangunan Penjara Pudu, di sini, pagi semalam. Jurucakap JPAM berkata, ular itu dikesan selepas berlengkar di atas pagar tembok bekas penjara berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi. Menurutnya, ular itu yang dipercayai berusia lebih 20 tahun ditemui sekumpulan pekerja buruh yang bertugas di tapak binaan berhampiran penjara berkenaan. "Tiga anggota yang tiba ke lokasi kejadian mengambil masa hampir 30 minit untuk menangkap reptilia itu," katanya. Menurutnya, ular itu keluar dari sarang persembunyiannya akibat kelaparan berdasarkan keadaannya yang lemah dan tidak terlalu agresif ketika ditangkap. "Malah ketika ditemui, sebahagian daripada ekor ular itu putus dan cedera berkemungkinan akibat bergelut dengan haiwan lain. Sebaik diikat pada mulutnya, ular itu dimasukkan ke dalam guni," katanya.
Menurutnya, ular sawa itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut kira-kira jam 11.30 pagi. |
Kebanyakan penduduk bersaudara Posted: 08 Dec 2010 08:19 PM PST ADA KENDURI KAHWIN...balai memasak dan khemah tetamu di atas air. KUNJUNGAN ke Labuan memang tidak lengkap sekiranya tidak melawat ke kampung airnya dan Kampung Patau-Patau Dua menjadi pilihan. Petang yang redup dan berangin membuatkan suasana kampung yang dihuni oleh kaum Melayu Brunei itu sungguh indah sekali.
Di jalan masuk utama ada pintu gerbang bertulis Selamat Datang dan terus disambut surau yang agak besar, sesuai bagi kegunaan penduduknya.
Rumah kayu yang dibina di atas air mempunyai laluan kayu umpama titi bagi ruang berjalan dan menuju ke setiap rumah.Kami yang pertama kali menitinya kena berhati-hati dan sesekali terasa gayat namun ia tidak menghentikan langkah untuk terus menikmati keunikan kampung air yang popular itu. Saiz rumah di situ kebanyakannya besar dan luas. Ramai yang turut menghias anjung dengan pokok bunga pasuan menandakan suasana hijau masih digemari bagi meredupkan pandangan.
Senyuman yang dilempar pada penghuninya yang sedang duduk bersantai sentiasa berbalas dan ini membuatkan penulis tidak malu untuk bertegur sapa.
Mendekati masyarakat kampung air memang mengujakan. Memahami budaya mereka juga sangat unik. Penulis sempat singgah di Kedai Runcit Syukurillah dan tuan kedai serta tuan rumahnya menyambut mesra.
Sebenarnya penulis langsung tidak menyangka adanya kedai runcit di situ. Rupa-rupanya, ada lebih kurang lapan lagi kedai runcit semuanya. Kami dijemput masuk dan dipersilakan duduk di anjung yang luas.
"Di sini ada lebih kurang lapan kedai runcit rumah air untuk memberi kemudahan kepada masyarakat kampung. Ada lebih 300 keluarga dan kami hidup penuh muafakat dan saling kenal mengenali. Lagipun ramai antara kami bersaudara," kata Zainah Sani, 56, sambil tersenyum manis.
Zainah sudah tinggal di Kampung Patau Patau Dua sejak 34 tahun lalu sebaik berumah tangga dengan Asri Asmat, 63. Anaknya empat orang dan dua daripadanya turut tinggal di kampung air yang sama. Hidup di kampung air sudah sebati bagi keluarga Zainah.
Pasangan suami isteri ini bersama-sama mengusahakan kedai runcit mereka sejak lapan tahun lalu.
"Kami menjual pelbagai barangan dapur, daripada beras, sardin sehinggalah ke rempah ratus dan bawang," kata Asri, seorang pesara Jabatan Laut.
Suasana di Kampung Patau-Patau Dua agak meriah keadaannya. Mungkin ada majlis sedang berlangsung, teka penulis.
Rupanya hari itu ada kenduri kahwin. Hati terdetik, bagaimana suasana majlis perkahwinan di kampung air? Bagaimana menampung tetamu yang ramai? Di mana mereka berkumpul dan memasak?
Bagi kita yang tidak biasa tinggal dalam suasana sebegitu, perkampungan rumah di atas air, tentu tidak boleh membayangkan.
Gores Marang, yang tinggal di situ sejak 1980 membawa kami ke rumah yang baru selesai membuat kerja kahwin. Ada khemah untuk tetamu, balai bekerja gotong-royong dan seperti di kampung lain, ada jiran tetangga yang datang membantu memasak. Kerana kenduri sudah berakhir, orang yang menolong sudah beransur-ansur pulang.
Gores, warga Indonesia yang berkahwin dengan anak tempatan sebenarnya sedang bekerja, mengganti atap baru di rumah Asri yang mempunyai kedai runcit itu. Namun dia sudi menunjuk suasana kampung air kepada kami.
"Atap di perkampungan ini perlu diganti lima atau enam tahun sekali. Ia cepat rosak kerana tempias air masin. Lantai rumah jarang rosak, tetapi lantai laluan berkayu mudah rosak kerana cuaca panas dan hujan," cerita Gores sambil menunjukkan kepada kami laluan ke rumah ketua kampung.
Masyarakat di situ tampak sekali akrabnya dan saling kenal mengenali. Dua gadis sunti pulang membawa plastik berisi lauk.
"Mereka baru selesai membantu di rumah kenduri kahwin itulah," beritahu Gores lagi sambil menerangkan bagaimana cara tiang rumah air dibina.
Sebelum sampai ke rumah yang baru selesai kenduri kahwin, kelihatan budak-budak kecil lelaki tidak berbaju, terjun ke laut bermain air. Mereka riang berendam dan terapung-apung. Sekejap naik ke laluan berkayu dan sekejap kemudian terjun kembali ke laut.
Itu perbezaan ketara dengan anak-anak yang rumahnya di darat yang pasti ruang bermainnya di padang atau kawasan tanah lapang. Anak-anak kampung air, lautlah taman permainan mereka.
Sampai di rumah kenduri yang dimaksudkan walau kendurinya sudah berakhir, tetapi kami dapat melihat khemah dan balai bekerja yang belum dibuka kembali.
"Semua ini dibuat secara gotong-royong. Apabila habis kenduri, khemah dan kayu disimpan untuk kegunaan kenduri seterusnya," kata Gores.
Walaupun ia di atas air, suasana pemuafakatan tidak hilang di kampung ini. Balai dan khemah dibina untuk kenduri-kendara sama seperti kenduri di kampung lain juga. |
Mahu berehat Posted: 08 Dec 2010 07:32 PM PST Rindu berlakon diketepikan, nekad tumpukan bidang baruHASRAT mengadakan sesi fotografi bersama Ummie Nazeera iaitu antara pelakon utama untuk filem Hantu Kak Limah Balik Rumah tidak kesampaian. Pelawaan Hip ditolak secara baik oleh gadis ini yang kebetulan pulang ke tanah air selama tiga bulan menghabiskan cuti semester daripada pengajiannya di Australia. Katanya, dalam perbualan menerusi telefon, dia baru saja menamatkan kursus persediaan selama setahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah pada Februari nanti, juga di tempat yang sama iaitu Royal Melbourne Institute of Technology di Australia.Justeru, dia memerlukan sedikit ruang untuk bernafas. Lagipun, rencananya sepanjang percutian ini dia mahu membantu ibunya menguruskan perniagaan. Pada waktu sama, dapatlah dia mempelajari selok belok ilmu pemasaran daripada ibunya. Awal-awal lagi sebelum kepulangannya ke sini, Ummie nekad tidak mahu terbabit dengan sebarang aktiviti lakonan mahupun memenuhi undangan fotografi kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan ibunya. Bagaimanapun, dia akan tetap meluangkan sedikit masa untuk turut terbabit dalam sebahagian aktiviti promosi filem keduanya Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang menemui penonton bermula hari ini. "Saya mahu mengambil kesempatan cuti selama tiga bulan ini untuk berehat seketika daripada sebarang aktiviti seni, kerana ingin memberikan tumpuan kepada bidang perniagaan. "Disebabkan saya bakal menyambung pengajian di peringkat Ijazah Pemasaran pada Februari nanti, lebih elok jika saya gunakan kesempatan ini untuk belajar selok belok berkaitan pemasaran daripada mama. "Keputusan untuk menolong mama dan berehat seketika daripada dunia lakonan adalah pilihan saya, bukan atas desakan sesiapa. Memanglah rindu juga pada bidang lakonan tetapi saya harus memberikan keutamaan kepada perkara yang lebih penting. Saya sudah mula bekerja sejak beberapa hari kembali dari Australia, dan sepanjang bekerja dengan mama, saya akan mengikut dia berjumpa dengan pelanggan. "Dengan cara itu, dapatlah saya belajar cara mama berurusan serta berkomunikasi dengan pelanggan," kata Ummie yang kali pertama berlakon di bawah arahan Mamat Khalid. Gadis berusia 20 tahun yang mula terbabit dalam dunia lakonan sejak usia 16 tahun ini, membuka cerita, memang sudah lama dia menyimpan hasrat untuk berlakon di bawah Mamat Khalid. Justeru, apabila tawaran itu datang kepadanya, dia tidak sanggup menolaknya. Namun begitu, Ummie mengaku, dia tetap melihat kepada skrip dan jalan cerita sebelum menerima filem terbitan Tayangan Unggul itu. Bekerja di bawah Mamat Khalid memberi pengalaman baru kepada Ummie. Dia mengakui pada mulanya agak segan dan kekok dengan Mamat, tetapi selepas duduk berbincang dengan pengarah berkenaan, dirinya semakin selesa apatah lagi dengan sikap gila-gila sutradara berkenaan. Malu, kekok dengan Mamat dan AwieSELAIN Mamat, Ummie juga pada mulanya malu apabila terpaksa berlakon di samping Awie kerana pengalaman serta nama besar yang dimiliki pelakon serta penyanyi itu. Namun Awie juga ternyata seorang yang baik dan tidak lokek berkongsi ilmu. "Saya mengaku segan pada mulanya apabila pertama kali bergandingan dengan Awie, tetapi selepas bekerja dengannya, ternyata Awie seorang yang mudah untuk didekati. Dia juga suka menolong menyebabkan saya berasa selesa untuk bekerja dengannya. "Begitu juga dengan abang Mamat. Mula-mula memang rasa segan dan kekok. Bagaimanapun selepas duduk berbincang dengannya mengenai gaya lakonan saya, ternyata abang Mamat seorang yang gemar memberi semangat. Karakter dia yang gila-gila juga menyebabkan perasaan malu saya hilang," katanya. Bercerita mengenai watak Che Nin, watak berkenaan tidaklah besar tetapi Ummie perlu membawa karakter seorang wanita yang sangat lemah lembut serta terlalu mengagungkan cintanya. Che Nin perlu banyak bermain dengan emosi bagi menunjukkan cinta agungnya terhadap bekas tunangnya Hussein (lakonan Awie). Kebetulan menyentuh mengenai cinta, soalan berkaitan cinta tidak mahu terlepas daripada diajukan. Khabar angin bertiup mengatakan Ummie kini sedang bermain cinta dengan seorang jejaka yang bertugas di sebuah stesen televisyen. Difahamkan, jejaka berkenaan kerap berulang alik dari Malaysia ke Melbourne semata-mata untuk bertemu dengannya. Soalan itu disambut dengan derai ketawa oleh gadis berkulit hitam manis ini sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai mengarut. Katanya, tumpuannya kini adalah pada pelajaran namun dia tidak pernah membataskan dirinya untuk berkawan dengan sesiapa saja. "Saya berkawan dengan sesiapa saja, manakala dakwaan mengatakan teman lelaki saya datang menjenguk saya di Melbourne tidak benar. Saya mempunyai ramai kawan dan sepanjang setahun berada di sini, sudah ramai rakan-rakan yang datang menjenguk. Setakat ini saya mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran terlebih dulu," katanya. |
Selebriti Puji Kemunculan Stesen TV AlHijrah Posted: 08 Dec 2010 07:22 PM PST KUALA LUMPUR: Biarpun baru sebulan bersiaran, stesen televisyen percuma (FTA) terbaru TV AlHijrah mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak termasuk rakan selebriti. Menurut pengacara Farrah Adeeba, kemunculan TV AlHijrah mampu memberikan lebih banyak program berinformasi dan bernilai murni untuk tontonan semua lapisan masyarakat. Farrah Deeba (kiri), Yatt dan Ika Zulkifli hadir memberikan sokongan semasa majlis pelancaran rasmi TV AlHijrah di Pusat Penyiaran Digital TV Al-Hijrah, Pusat Islam, Selasa.
"Alhamdulillah, lahirnya sebuah stesen televisyen terbaru di Malaysia. TV AlHijrah mungkin digambarkan sebagai salah sebuah saluran televisyen yang sesuai untuk orang Islam tetapi sebenarnya pengisiannya sesuai untuk semua lapisan masyarakat. "Sebagai ibu, pastinya saya perlu memantau apa yang anak tonton di televisyen. Alhamdulillah, apabila anak tonton saluran ini, saya tidak bimbang untuk melepaskannya menonton seorang diri kerana semua intipatinya selamat untuk ditonton bukan sahaja kepada orang dewasa malah juga kepada kanak-kanak yang sedang membesar. "Jadi saya rasa lega apabila mempunyai saluran seperti ini," katanya yang turut menerbitkan program realiti kanak-kanak berjudul Sekolah Saya Hebat untuk stesen televisyen itu. Nizal Mohamad dan Norzie Pak Wan Chik menemubual Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor selepas melancarkan TV AlHijrah. Sementara pelakon Ika Zulkifli menganggap TV AlHijrah sebagai satu saluran televisyen yang berbeza. "Saya rasa TV AlHijrah merupakan saluran televisyen baru yang agak bagus kerana setakat ini kita tidak mempunyai banyak saluran televisyen berbentuk islamik. Yang ada pun Astro Oasis. Saluran TV AlHijrah betul-betul menekankan tentang Islam. "TV AlHijrah bergerak sendiri dan tidak bergantung dengan stesen televisyen lain," ujarnya yang turut berlakon dalam beberapa buah drama terbitan stesen televisyen itu. Dalam pada itu, wartawan penyiaran TV AlHijrah, Divesh Kumar Danial Kalulal berharap TV AlHijrah mampu memberikan impak yang besar dalam industri penyiaran. "Saya mengharapkan TV AlHijrah boleh memberi impak besar dengan konsep penuh ciri islamik yang akan mendidik semua golongan lapisan masyarakat tentang konsep Islam yang global. "Seterusnya ia dapat memberi mesej dan pemahaman yang jelas tentang Islam terutama kepada golongan mualaf dan golongan bukan Islam," komen penyanyi kumpulan Studio Muallaf & Friends ini. Kumpulan Studio Muallaf & Friends turut mengadakan persembahan di majlis pelancaran TV Al-Hijrah. Dari kiri: Divesh Kumar Danial Kalulal, Muadz Dzulkefly, Ahnaf Jamal, Leia az-zahra Justin Abdullah, Hafeizi, Muhammad Zaid Tandang dan Alex Koh Kee Kiat. Turut serta memberikan komen tentang TV AlHijrah adalah penyanyi Muadz Dzulkefly dan Leia az-zahra Justin Abdullah. Bagi Muadz, TV Alhijrah merupakan suatu inisiatif yang amat baik. Jadi, sudah tiba masanya, islamisasi media dalam bentuk yang komprehensif menjadi agenda utama hari ini kerana kekuatan pengaruhnya pada anak muda. Leia pula berpendapat TV Alhijrah muncul tepat pada masanya yang diharap mampu mensajikan program-program bukan sahaja mendidik jiwa tetapi juga memperlihatkan keindahan sebenar Islam. Stesen televisyen ini dilancarkan secara rasmi pada Selasa lalu sempena sambutan Awal Muharam di Pusat Penyiaran Digital TV Al-Hijrah, Pusat Islam, di sini. Stesen tersebut telah bersiaran secara penuh bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam pada hari Isnin hingga Khamis manakala hari Jumaat hingga Ahad pula bermula pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam. Ia merupakan stesen televisyen pertama di Malaysia yang menawarkan program-program televisyen berdasarkan perspektif Islam yang menyasarkan golongan belia Islam sebagai penonton utamanya. Saluran televisyen itu juga adalah inisiatif kerajaan untuk mewujudkan sebuah stesen televisyen yang mampu menjadi sumber ilmu bukan sahaja kepada umat Islam, bahkan kepada orang bukan Islam bagi membantu mereka mengenali dengan lebih dekat agama itu. Studio televisyen berkenaan mengadaptasikan konsep terbuka dengan masyarakat dapat melihat secara langsung bagaimana warga kerja TV AlHijrah menjalankan tugas ketika mereka melawat studio tersebut. Orang ramai boleh mendapatkan siarannya yang dipancarkan melalui saluran UHF melalui butang kawalan frekuensi pada set televisyen masing-masing. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tvalhijrah.com. |
Sarimah Tetap Jadi Pengacara Selepas Buka Syarikat Posted: 08 Dec 2010 07:21 PM PST KUALA LUMPUR: Selepas aktif dalam bidang pengacaraan, Sarimah Ibrahim kini melangkah setapak lagi dalam kerjayanya dengan menubuhkan syarikat produksi sendiri iaitu Sarimah Sdn Bhd. Menurutnya, ini merupakan masa paling sesuai untuk dia menerbitkan sendiri program-program televisyen selepas lebih 10 tahun terlibat dalam industri ini. "Saya rasa sudah sampai masanya untuk terlibat secara langsung menerbitkan program televisyen sendiri. Sekarang fokus utama saya ialah kepada syarikat yang sedang dalam proses menerbitkan sebuah dokumentari. "Matlamat saya bukan untuk program hiburan semata-mata, malah lebih kepada rancangan berbentuk sejarah dan dokumentari tentang Malaysia dan Insya-Allah tentang agama Islam," ujarnya yang menubuhkan syarikat tersebut pada awal tahun ini. Bagaimanapun, pengacara Akademi Fantasia musim ketujuh ini memberitahu dia tidak akan meninggalkan dunia pengacaraan biarpun sibuk menguruskan syarikatnya itu. "Saya masih menerima tawaran untuk jadi pengacara, malah kontrak dengan Astro juga sudah disambung selama tiga tahun lagi. "Saya sangat sayangkan bidang ini, kalau boleh saya ingin jadi pengacara sehingga akhir hayat saya," ujarnya yang bakal mengendalikan sebuah rancangan reality tyerbaru terbitan Astro berjudul 1.2.3 Tukar. Tambah Sarimah, program 1.2.3 Tukar ini lebih istimewa kerana dia terlibat secara mendalam terutamanya dari segi proses pembikinannya. "Walaupun sebelum ini saya juga terlibat dalam Tangkap Muat tetapi hanya sebagai pengacara. Bagi rancangan ini saya terlibat dari banyak aspek. "Mereka beri peluang kepada saya untuk beri idea terhadap program ini. Saya juga sempat pergi ke Jepun bagi membuat kajian terhadap trend program-program televisyen di sana dan fesyen pakaian mereka," katanya. Program hiburan ini bakal ditayangkan pada setiap Rabu, 10.00 malam bermula 15 Disember ini menerusi saluran 104. Program 13 episod ini merupakan sebuah program gaya hidup yang mengubah penampilan individu dalam mencapai impian yang mereka idamkan. "Program ini membuka peluang kepada para peserta dalam mencapai impian mereka dalam soal kerjaya, percintaan dan masa depan. "Apa yang lebih menarik ia turut disertai oleh artis dan selebriti Malaysia mahu impian mereka dilaksana," ujar Sarimah. |
Linda Onn Sambut 'Birthday' Tiga Malam Berturut-Turut Kerana Siapa? Posted: 08 Dec 2010 07:20 PM PST PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM, Linda Onn, (gambar) mengadakan sambutan ulang tahun majlis hari lahirnya yang ke 33, selama tiga malam berturut-turut semata-mata memberi peluang kepada abangnya, meraikan majlis berkenaan. Kata Linda, mengikut perancangan dia mahu mengadakan majlis berkenaan sehari sahaja iaitu sempena hari lahirnya yang jatuh pada 26 November lalu. Bagaimanapun majlis itu menjadi seperti besar apabila ada perancangan lain pada saat-saat akhir termasuklah abang keduanya iaitu Sazali dan isteri datang dari Johor Baru yang mahu sama meraikan majlis berkenaan. "Pada malam pertamanya (25 November), saya sambut bersama-sama kawan-kawan dari Suria FM manakala malam keduanya (26 November) disambut dengan keluarga, rakan-rakan termasuk kawan-kawan artis geng motor kuasa besar. "Kemudian, pada malam ketiga (27 November), para peminat saya pula membuat kejutan Ketiga-tiga majlis tersebut berlangsung di Ampang," katanya ketika dihubungi mStar Online. Tambahnya: "Setiap majlis yang diraikan itu penuh kelainan sebab semasa meraikan bersama-sama kawan Suria FM, kami menjadi lebih santai walaupun membincangkan tentang kerja. "Berbanding dengan sambutan bersama geng motor, lain pula perbualannya kerana kami lebih bercakap tentang motor." Menjawab tentang kenyataannya dalam blog yang ditulis "…tahun terakhir Linda sambut birthday solo...", dalam nada gurau Linda berkata ayat itu dipinjam daripada kawannya dan menolak dia akan berkahwin pada tahun hadapan. Salah seorang rakan Linda memberitahu apa salahnya dia menyambut hari jadi dengan penuh meriah dan bersungguh-sungguh seolah-olah menganggap majlis tersebut yang terakhir baginya memegang status solo. "Kalau saya kahwin pada tahun depan, mungkin majlis itu lebih berlainan kerana saya menyambut dengan suami. Sama ada saya betul-betul akan menamatkan zaman solo pada tahun depan atau tidak, biarlah saya simpan untuk diri-sendiri. "Terus-terang, saya memang belum mempunyai sesiapa (kekasih) dan lebih banyak sibuk dengan perniagaan," katanya penuh ceria. Linda akui tahun 2011 lebih banyak dengan perancangan perniagaan dan jika lamaran perkahwinan tiba pada tahun depan, itu menjadi suatu bonus buat dirinya. Dalam pada itu, duta produk minuman kolagen NH Colla Plus ini juga berkongsi berita gembira apabila bakal diumumkan sebagai jurucakap produk kosmetik Shiseido pada Jumaat ini. |
Shila Jadi Jurucakap Safi Balqis Posted: 08 Dec 2010 07:19 PM PST Shila dilantik sebagai duta Safi Balqis Perfect 10.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Shila Amzah menjadikan produk Safi Balqis Perfect 10 sebagai satu langkah untuk dia melakukan transisi melangkah ke alam dewasa. Jelasnya, selama 10 tahun berada dalam industri seni dengan membawakanperwatakkan keremajaan, dia mahu melangkah ke satu tahap baru terutamanya dari segi perubahan imej. "Saya sudah lama mencari masa yang sesuai untuk tukar imej menjadi lebih dewasa. "Justeru tawaran menjadi duta produk Safi Balqis yang datang ini bertepatan dengan masanya. Jika tiada tawaran iklan saya berhajat untuk mengubah imej kewanitaan bermula tahun depan," katanya ketika ditemui di Majlis Perlancaran Duta Terbaru Safi Balqis, di sini, Rabu. Tambah Shila, selain itu ia bertepatan dengan konsep album solo keduanya yang bakal keluar pada tahun depan. "Perubahan ini juga adalah kerana konsep album kedua saya yang bakal keluar tahun depan dan album Tiga Suara bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor," katanya. Penyanyi berusia 20 tahun ini juga memberitahu tidak mahu dikenali sebagai Shila OIAM tetapi Shila Amzah. "Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya bawa nama bapa saya dan tidak dikenali lagi sebagai Shila OIAM. "Lagi pula dah dua tahun rasanya menggunakan nama itu. Dulu saya tidakberapa dikenali dan terpaksa menggunakan nama tersebut untuk lebih dikenali," ujarnya yang lahir dari sebuah program realiti nyanyian One In A Million. Jelas Shila, bagi menyambut tahun baru 2011 yang akan datang ini dia mahu kerjayanya lebih berkembang dan tidak hanya dikenali sebagai artis iklan semata-mata. "Tahun baru nanti banyak perancangan yang telah diatur, selain menjadi duta produk, saya juga tidak sabar menantikan album kedua dan album Tiga Suara. "Malah saya juga dalam perancangan untuk melanjutkan pelajaran saya di salah sebuah kolej di sini," ujarnya. |
Zed Zaidi Buka Francais 'Papa Rich' Posted: 08 Dec 2010 07:18 PM PST Zed sempat memberikan pose ketika menjalani penggambaran di Perth, Australia baru-baru ini. PETALING JAYA: Aktor Zed Zaidi mengukuhkan kedudukannya dalam bidang perniagaannya pada usia 30 tahun apabila membuka sebuah francais restoran Papa Rich di Heritage Row, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur pada awal November lalu. Pelakon filem Cuti Cuti Cinta dan drama Awan Dania 3 ini berkata francais tersebut diusahakan di bawah salah sebuah syarikatnya, Bintang Dahlia Sdn Bhd yang menguruskan hartanah. Selain itu, dia juga mempunyai syarikat pengurusan acara iaitu Dzed Resources Sdn Bhd dan DMB Trading yang membekalkan barangan saintifik untuk pusat pengajian tinggi tempatan. "Alhamdulillah, perniagaan saya semakin berkembang dan terbaru saya membuka restoran Papa Rich yang boleh memuatkan 250 orang. Menikmati keindahan pemandangan di tepi Swan River. "Selain beroperasi pada hari biasa, kami juga menyediakan khidmat kepada sesiapa yang mahu meraikan majlis istimewa di restoran itu," katanya. Menceritakan tentang perancangan perniagaannya, Zed berhasrat untuk membuka hotel bajet tidak lama lagi. Jika mengimbau semula kata-kata Zed sebelum ini dengan apa yang dilakukan sekarang, dia begitu optimis dan tidak sekadar memasang angan-angan kosong. Zed pernah memberitahu untuk mempelbagaikan bisnes sebelum mencapai umur 40 tahun kerana dia tidak mahu menjadi artis yang tidak dipedulikan apabila sudah lanjut usia. Malah dia turut melihat artis yang terlibat dalam bidang perniagaan turut mudah bekerjasama dengan golongan korporat atau mana-mana ahli perniagaan kerana mereka terlebih dahulu dikenali. Beralih kepada karier seninya, Zed baru selesai menerbitkan drama Along Gedebe di bawah terbitan A. Aida Production. Zed dan Scha Al-Yahya ketika menjalani penggambaran di Bell Tower, Perth. Jelasnya kini dia semakin seronok bergelar pembantu penerbit dan turut melibatkan diri dalam penerbitan drama Dollah Hapak. Selain itu, dia bakal muncul menerusi drama 13 episod Fatimah Juling dan filem Senjakala akan ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan. Wajah Zed turut boleh ditonton menerusi drama 26 episod Awan Dania 3 yang disiarkan di Astro Ria (saluran 104) pada setiap Isnin, pukul 9 malam. |
Kematian John Lennon Diingati Melalui Konsert Posted: 08 Dec 2010 07:18 PM PST TOKYO: Yoko Ono menandakan ulang tahun ke 30 pembunuhan John Lennon dengan merayakan kehidupan legenda muzik tersebut dengan sebuah konsert di Tokyo. "Hari ini, pada ulang tahun yang menyakitkan, sila bergabung dengan saya dalam mengingati Yohanes dengan cinta yang mendalam dan rasa hormat," katanya dalam tweet Bahasa Jepun, ketika ia bersiap sedia untuk mengadakan persembahan amal tahunan bersama dengan penyanyi-penyanyi Jepun. "Walaupun pendek iaitu hanya 40 tahun hidup, dia memberikan begitu banyak perkara untuk dunia. "Kami terus belajar banyak dari dia bahkan sampai hari ini. John, aku mencintai mu," katanya. Ono, yang lahir di Jepun tapi tinggal di New York, bersama suaminya ketika ia ditembak di depan gedung pangsapuri Dakota, pada tarikh 8 Disember 1980. |
Johnny Depp Tidak Suka Telefon Bimbit Posted: 08 Dec 2010 07:17 PM PST KETIKA orang ramai berlumba-lumba menggunakan teknologi canggih alat komunikasi, artis terkenal Hollywood, Johnny Depp menganggap perkara tersebut hanya menganggu privasinya. Sebagai seorang yang popular dan digilai seluruh dunia, Depp mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menggunakan telefon bimbit kerana mahu memberi masa yang berkualiti kepada keluarganya. Bintang filem Pirates of The Caribbean ini mangakui salah satu sebab dia tidak mahu orang yang tidak disukai menghubunginya. "Saya tidak suka telefon bimbit kerana saya tidak mahu terlalu mudah untuk dihubungi. Namun begitu saya lebih selesa jika dihubungi melalui email kerana lebih mudah untuk berurusan berbanding telefon bimbit," katanya. |
Kim Kardashian Diumum Bintang Realiti Termahal Posted: 08 Dec 2010 07:16 PM PST MODEL jelita, Kim Kardashian disenaraikan sebaris dengan artis berpendapatan tinggi dan terkaya di Hollywood. Dia juga telah diumumkan sebagai bintang program realiti termahal tahun ini. Seperti dipetik Aceshowbiz, program televisyen Keeping Up With The Kardashians, Kim telah mendapat bayaran lebih AS$6 juta atau RM18.6 juta. Khabarnya, dia telah dibayar RM232 ribu setiap kali tampil dalam program tersebut. Selain itu, program tersebut juga turut memberi rezeki kepada wanita berusia 30 tahun ini sebagai jurucakap kepada beberapa produk kecantikan. Manakala bintang drama siri The Hills, Lauren Katherine Conrad berada ditempat kedua senarai bintang program realiti termahal. Lauren yang tampil dalam program realiti berjudul Laguna Beach: The Real Orange County juga berjaya mengangkat produk fesyennya ke peringkat lebih tinggi. Sementara itu, Audrina Patridge yang juga bintang The Hills menduduki senarai ketiga dari siri prduksi MTV tersebut. |
Ana Raffali terus melangkah Posted: 08 Dec 2010 07:15 PM PST Penglibatannya dalam industri muzik masih baru, bahkan namanya juga masih hijau. Ibarat anak kecil yang sedang belajar bertatih. Namun dengan bakat semula jadi serta kecintaan terhadap bidang seni menjadikan gadis ini dikenali ramai. Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu tepat ditujukan buat penyanyi yang terkenal dengan lagu Hujan Bunga di Kuala Lumpur. Membawa imej sopan dengan menjadikan baju kurung sebagai identiti setiap kali muncul membuat persembahan mahupun menghadiri sebarang majlis, Ana Raffali atau pemilik nama Ana Nur Hidayah Mohd Raffali cuba menampilkan dirinya sebagai penyanyi dan komposer dalam setiap sentuhan muzik. "Biasanya saya mencipta lagu melalui mood kerana saya kuat berangan. Ada juga lagu yang dibuat melalui pengalaman rakan-rakan dan pemerhatian sendiri. "Genre lagu yang saya hasilkan juga tidak terhad. Saya suka berfikiran jauh, asalkan lagu yang saya hasilkan itu tidak akan memerangkap saya balik dan tidak klise serta sedap didengar," katanya kepada Sinar Harian. Namun siapa sangka, daripada sekadar berangan menghasilkan lagu, salah satu karyanya, Tolong Ingatkan Aku mendapat tempat ke Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL 25). Suatu tempat yang pasti diimpikan karyawan seni suara. "Saya memang tidak menjangkakan lagu itu boleh menempah tiket ke final AJL. Memandangkan AJL merupakan sebuah pentas yang berprestij, jadi tentulah saya mahu memberikan yang terbaik. "Menang atau kalah itu adat pertandingan, tetapi yang pasti saya mahu memberi yang terbaik dan akan dikenang semua orang pada malam itu nanti," katanya. Tidak cukup dengan kejayaannya melangkah ke final AJL, tuah sekali lagi menyebelahi gadis dari Johor Baharu ini apabila berganding dengan kumpulan Monoloque mengadakan Konsert 'Analoque' pada 19 Disember ini di Lambang Sari, Istana Budaya (IB). "Sebagai artis yang masih baru di dalam industri, konsert ini merupakan satu penghormatan buat saya dan pastinya saya akan memberikan persembahan yang terbaik. Membuat persembahan di IB merupakan cita-cita saya sejak kecil lagi, dan ia ibarat angan-angan saya yang telah menjadi kenyataan. "Pada konsert tersebut saya akan membawa band saya iaitu The Marhaens dan akan menyanyikan kesemua lagu dalam album pertama saya seperti Tolong Ingatkan Aku, Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Ketika Aku Kecil dan Biarkan Kau Terlepas," kata penuntut Universiti Teknologi Mara ini. Tambah Ana, peluangnya untuk beraksi di pentas berprestij di IB dan diikuti persembahan di AJL menjadi pemangkin untuknya terus berjaya di dalam industri seni. "Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Aidit Alfian Records dan Universal Music Malaysia. Malah kerjasama Aidit begitu bermakna," katanya. |
Raja Farah tidak menyesal tinggal dunia ‘glamour’! Posted: 08 Dec 2010 07:13 PM PST
Selepas aktres jelita, Rozita Che Wan, membuat pengumuman akan bersara dari bidang seni, kini giliran pengantin baru, Raja Farah pula mengikut jejak yang sama. Bagaimanapun, itu bukanlah rancangan terdekat Raja Farah kerana komitmennya dalam industri seni masih diperlukan. Namun bila tiba masanya, dia akan melepaskan juga dunia yang penuh glamour itu. "Sekarang saya masih terikat dengan beberapa projek. Tapi selepas ini, saya akan hadkan tawaran dan akan perlahan-lahan berundur dari industri seni. "Sebenarnya, saya nak beralih ke bidang perniagaan dan sejak dua tahun lalu saya teringin nak ada perniagaan SPA sendiri. Insya-Allah, dalam tahun hadapan saya akan ikut suami balik Kelantan dan buka SPA di sana," ujar Raja Farah yang tidak menyesal dengan keputusannya itu meskipun namanya kini masih meniti di bibir peminat. Bagaimanapun kata Farah, cintanya dalam dunia lakonannya tetap menebal di hati dan sekiranya ada tawaran yang baik, dia tidak keberatan untuk kembali beraksi. "Saya tak kisah tinggalkan dunia glamour, tetapi saya sayangkan dunia lakonan. Sejujurnya, saya masih belum puas berlakon dan belum puas dengan pencapaian yang ada. "Walaupun saya sudah membintangi banyak drama dan filem, tapi saya masih belum menang apa-apa anugerah," katanya. Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Raja Farah tidak menafikan, gosip dan kontroversi yang sering menghambatnya, membuatkannya hampir berputus asa untuk meneruskan perjalanan sebagai anak seni. Malah akui Farah, perkara itu juga menjadi sebahagian sebab dia mahu bersara lebih awal. "Terus-terang, saya kecewa juga dengan gosip yang ada dan ia banyak menjejaskan imej baik saya. "Sampai satu tahap, saya pernah tertekan sehingga tak boleh bangun sepanjang hari. Lagi pula saya ada 'migrain' yang serius sehingga doktor menasihatkan saya supaya tinggalkan dunia seni," katanya. Turunkan berat badan Sejak akhir-akhir ini, berat badannya menjadi bualan ramai pihak. Farah akui berat badannya kini semakin meningkat dan dia cuba berusaha kembali mendapatkan berat ideal. "Badan saya mula mendadak naik sejak saya menyertai kursus lesan skuba di Pulau Redang dan Pulau Perhentikan ketika pertengahan tahun lalu. "Ketika menjalani latihan, saya mudah berasa lapar dan banyak makan nasi. Sehingga sekarang pun saya susah nak kawal makan. Malah saya pun jenis yang malas nak bersenam," katanya. Majlis persandingan Diraja Bertanyakan lebih lanjut tentang majlis resepsinya, Raja Farah, berkata, hari bahagianya itu akan berlangsung pada Februari depan. Berkonsepkan, tradisional dan ala diraja, majlis itu akan dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja. "Untuk majlis itu, saya masih menggunakan khidmat perunding perkahwinan yang sama dan tema ini dipilih atas persetujuan saya dan suami," kata Raja Farah yang bakal muncul dengan filem terbaru, Aku Masih Dara, di pawagam bermula 16 Disember ini. |
Tomok buru trofi AJL25 Posted: 08 Dec 2010 07:12 PM PST SELEPAS mengejutkan ramai dengan kejayaannya menjadi juara program realiti TV, One in A Million musim ketiga (OIAM3), pada tahun 2009, umum melihat anak muda yang pernah berada dalam arus perdana muzik tempatan bersama kumpulan New Boyz itu akan terus memahat namanya ke kemuncak populariti dengan gaya dan genre lagu yang jauh menyimpang ketika bersama kumpulan itu sebelum ini. Namun setahun sudah berlalu, jangkaan itu tidak menjadi realiti. Malah, pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali dengan nama glamornya, Tomok seolah-olah sepi tanpa sebarang pencapaian yang membanggakan. Apakah kejayaannya merangkul hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta sebagai juara OIAM3 menyebabkan dia terleka, lalu dengan sewenang-wenangnya dia mulai menghilangkan diri dari persada seni? Namun, segala persoalan itu terjawab pada sidang media di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini bersempena pelancaran album sulung solo Tomok. Pasti ada yang menyangka, selepas dilahirkan semula oleh OIAM3, Tomok pasti enggan lagi dikenali sebagai Tomok, kerana nama itu cukup sinonim dengan vokalis New Boyz yang diklasifikasikan sebagai penyanyi lagu mendayu atau dalam bahasa slanganya ialah 'penyanyi jiwang-jiwang' atau 'penyanyi tangkap leleh'. Namun, album terbaru Tomok yang diberi judul Tomok itu segera menimbulkan persoalan, apa sudah jadi dengan penjenamaan semula Tomok? Tenang berhadapan dengan pihak media, Tomok memberitahu, dia selama ini bukan menghilangkan diri tetapi banyak menyiapkan album solonya. MENGAMBIL masa setahun untuk menghasilkan album solo sulungnya, Tomok kini mahu memfokus terhadap bidang nyanyian berbanding lakonan. "Kalau ikutkan tempoh masa setahun memang lama selepas tamat OIAM3. Dalam tempoh masa itulah saya telah merancang tentang masa depan karier ini. "Walaupun orang kata saya seolah-olah menghilangkan diri, tetapi saya turut mengeluarkan beberapa single yang ke udara di corong radio ketika itu," ujarnya. Bersatu dengan New Boyz Menjelaskan pula mengenai dirinya yang masih dikenali sebagai Tomok, dia mengakui memang pada mulanya dia mahu menukarkan namanya untuk dikenali sebagai Shah Indrawan bagi merealisasikan penjenamaan semula dirinya itu. "Tetapi selepas difikirkan dari sudut komersial nama Shah sudah ramai digunakan dalam industri hiburan kita. Jadi, saya buat keputusan pilih nama Tomok kerana kerana nama ini saya seorang sahaja yang guna," katanya. Dalam pada itu, Tomok juga menegaskan dia tidak kisah jika ada pihak yang melihat dia masih dibayangi New Boyz. Ini kerana dia dan New Boyz masih bersatu. "Sebelum ini pun nama New Boyz juga yang mengangkat nama Tomok. Cuma bila Tomok tampil dengan imej dan konsep lagu solo ini sudah jelas menunjukkan kematangan Tomok," katanya yang merancang membawa album solonya itu ke pasaran Indonesia. Tambahnya, dia dan New Boyz masih satu kumpulan cuma untuk album Tomok itu dia tampil secara solo. "Anggota kumpulan New Boyz semua faham dan ada antara mereka juga ada menyertai band lain juga. Perkara berkenaan grup kami ini telah dibincangkan sebelum saya menyertai OIAM3 lagi dan alhamdullilah semuanya berjalan dengan lancar," katanya.
| MAHU fokus dan berusaha penuh giat buat masa ini khusus untuk Anugerah Juara Lagu ke-25, Tomok begitu serius mahu mencapai kejayaan pada majlis anugerah berprestij itu nanti. | Mentah memilih watak Kehadiran Tomok didalam industri muzik tanah air sejak lebih 10 tahun lalu akhirnya membuahkan hasil apabila singlenya yang berjudul, Berlari berjaya tercalon untuk Anugerah Juara Lagu 25 (AJL25) selepas lagu Rindu Terhenti tercalon pada AJL24. Katanya, walaupun selepas 10 tahun berkecimpung sebagai penyanyi baru kini dia berjaya merebut peluang tersebut, dan bagi Tomok, perkara itu jelas memberi maksud pengorbanannya selama ini berbaloi. "Pada awalnya dulu pun saya dah rasa album ini jelas akan beritahu peminat dan akan membezakan Tomok dulu dengan Tomok sekarang," ungkapnya. Menyentuh mengenai karier lakonannya yang baru bersemi itu, Tomok yang melakonkan watak penting menerusi filem Mantera bagaimanapun mengakui dia sebenarnya lebih fokus kepada bidang nyanyian berbanding lakonan. TOMOK bersama barisan karyawan yang bergabung bagi merealisasikan album solo sulungnya yang berjudul Tomok dan menelan kos mencecah RM100,000. "Saya lebih serius dalam bidang nyanyian berbanding berlakon. Tomok pun masih mentah nak memilih watak," jelasnya. Bercerita mengenai perancangan kariernya pada masa depan, dia memberitahu akan memulakan siri jelajah ke seluruh negeri untuk mempromosi albumnya selepas bertanding di AJL25 pada 9 Januari tahun depan nanti. "Buat masa ini Tomok akan fokus dengan AJL25 dahulu sebelum meneruskan perancangan lain," katanya. Keyakinan syarikat rakaman Monkey Bone terhadap Tomok dapat dilihat melalui penghasilan album solonya yang berjudul Tomok itu. Penghasilan album yang mengambil masa lebih setahun itu amat berbaloi dan sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat-peminat Tomok. Menurut pengurus label Monkey bone, Edris Adrian, album tersebut menggunakan kos yang mencecah kira-kira RM100,000. "Album ini juga adalah hasil wang kemenangan semasa OIAM3 itu. Ia turut menampilkan gabungan Tomok bersama produser baru dan lama seperti Afiez New Boyz, Edry KRU, Aidit Alfian, Audi Mok dan Aubrey Suwito. "Gabungan mereka ini sememangnya memberikan sesuatu kelainan dalam industri hiburan tanah air," katanya. Tambahnya, album itu merupakan satu bentuk penghargaan daripada Tomok buat peminat-peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan tanpa jemu selama ini. |
Edar single percuma Posted: 08 Dec 2010 07:11 PM PST BAKAL muncul dengan single terbaru menjelang Krismas ini, kumpulan ini memiliki strategi tersendiri untuk dikenali khalayak. BUKANLAH sesuatu yang mudah bagi seseorang untuk masuk dan diterima ke dalam industri seni. Hanya berbekalkan bakat dan rupa paras sememangnya tidak mencukupi. Perkara paling penting untuk dicari ialah peluang. Tidak terkecuali kumpulan Janice and The Supertank. Mereka boleh dikatakan berbakat dan ada rupa. Bagaimanapun mereka masih tercari-cari peluang keemasan untuk menonjolkan kebolehan mereka kepada khalayak. Kumpulan itu terdiri daripada lima orang anak muda berbakat besar, iaitu Janice Yap (vokalis, gitar akustik), Ramizu (dram), Mirza (bass), Grace (keyboard) dan Eujin (gitar elektrik). Menurut penyanyi utama kumpulan tersebut, Janice Yap, cabaran seperti ini merupakan perkara biasa bagi mereka yang bergelar artis baru. "Mula-mula memang tak ada tempat kami nak buat persembahan. Kami hanya boleh mempersembahkan lagu-lagu kami melalui medium Internet, seperti laman social Facebook dan YouTube. "Setelah beberapa lama, masyarakat semakin sedar akan kewujudan kami dan kami mula mendapat peluang untuk membuat persembahan di kaca televisyen tempatan dan di kelab-kelab seperti Malones KLCC dan Hard Rock Penang," katanya dalam satu sesi fotografi yang diadakan di pejabat Utusan baru-baru ini. Tidak menanti rezeki datang bergolek, Janice and The Supertank bertindak menerbitkan sendiri album single mereka yang diberi judul, And You Know It pada Ogos lalu. Album Single yang berkonsepkan pop aukustik itu mempunyai tiga buah lagu iaitu And You Know It, Lottery, dan sebuah lagu berbahasa Melayu, Kau Di Mindaku yang diadaptasi dari lagu And You Know It. Ketiga-tiga lagu tersebut ditulis sendiri oleh Janice. Menariknya, album single itu tidak dijual di pasaran, sebaliknya ia diedarkan secara percuma kepada peminat, rakan-rakan dan pemain-pemain di dalam industri seni dengan harapan dapat memberikan sedikit publisiti untuk kumpulan mereka. "Album single ini bukan untuk dijual buat masa ini, nanti orang tertanya-tanya pula, siapa Janice and The Supertank. Bila kami dah mula mendapat tempat dan dikenali peminat, barulah kami akan menjual album yang akan kami terbitkan sendiri nanti. "Buat masa ini, orang ramai boleh memuat turun lagu-lagu kami secara percuma di Internet, klip video lagu And You Know It pun ada dimuat turun pada laman sesawang YouTube," katanya. Bagi Janice, berdasarkan sambutan peminat dan tawaran persembahan yang diterima, pelaburan mereka untuk menerbitkan album single pertama mereka itu boleh dianggap sudah pulang modal. "Selepas ini, kami akan mengeluarkan single terbaru sempena perayaan Krismas akan datang," katanya. Orang ramai boleh mengikuti perkembangan kumpulan ini serta memuat turun lagu-lagu mereka di laman sesawang www.facebook.com/JaniceAndTheSupertank. |
Kebangkitan baru Gary Chaw Posted: 08 Dec 2010 07:11 PM PST GARA-GARA menghadapi tekanan, Gary pernah nekad untuk bersara daripada dunia seni yang amat diminatinya itu. PENYANYI kelahiran Malaysia yang popular di Taiwan, Gary Chaw mengakui pernah terfikir untuk bersara daripada dunia seni gara-gara laporan negatif yang diberikan oleh media berhubung isu pergaduhannya di jalanan bersama penyanyi Justin Lo tahun lalu. Katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran album terbarunya yang berjudul Back In Control di Kuala Lumpur baru-baru ini, keputusan bersara pernah terlintas difikirannya. Bagaimanapun, dia bernasib baik, sedang dia menghadapi saat paling getir dalam kerjaya nyanyiannya, dua orang teman daripada BMA Records dan Sony Music datang membantunya keluar daripada segala permasalahan dengan menawarkannya kontrak menerbitkan album. "Tekanan yang diterima daripada laporan negatif secara meluas menyebabkan saya pernah buat keputusan untuk bersara kerana perkara itu cukup mengganggu ahli keluarga saya. Tetapi nasib baik saya masih menyanyi dengan bantuan daripada teman-teman yang tidak berhenti memberikan sokongan," ujarnya. Jelasnya lagi, setiap perkara yang berlaku ada hikmah sebaliknya, kini dia bukan lagi Gary Chaw yang dahulu kerana insiden itu mengajarnya menjadi orang yang lebih matang dan bertanggungjawab. "Sebelum ini apa yang saya tahu hanyalah menyanyi dan bikin muzik. Saya tidak akan menghadiri sebarang mesyuarat bersama syarikat rakaman tetapi sekarang saya telah berubah. "Saya melibatkan diri hampir 90 peratus dalam pembikinan album ini dan saya belajar selok-belok bagaimana mahu menghasilkan sebuah album bukan setakat membuat lagu sahaja. "Saya seronok kerana dapat mempelajari perkara-perkara yang saya tidak ambil kisah sebelum ini," tutur bapa kepada dua orang anak itu lagi. Single pertamanya daripada album Back In Control berjudul Grandfather benar-benar memberi kesan yang mendalam kepadanya kerana dia mendapat inspirasi daripada pengalamannya sendiri. "Semasa saya kecil, orang yang paling rapat dengan saya adalah datuk, jadi saya tujukan lagu ini khas untuknya. "Penggambaran video muzik lagu ini cukup mencabar kerana sebelum masuk ke set penggambaran saya mampu menahan emosi tetapi apabila lagu dimainkan, saya terus menangis. "Bagi saya, lagu ini cukup bermakna bukan sahaja buat saya tetapi semua orang yang mendengarnya. Ramai peminat yang mengucapkan terima kasih kerana lagu ini membuatkan mereka terkenangkan datuk mereka sendiri," katanya yang juga merupakan seorang komposer terkenal. Luah Gary lagi, dia bersyukur meskipun namanya telah tercalar dan dipandang serong oleh masyarakat tetapi dia masih diberi peluang untuk berkarya. "Saya tidak sangka selepas apa yang berlaku, saya masih lagi berpeluang untuk melahirkan album, menerima anugerah dan menyanyi di atas pentas. "Masyarakat menerima saya, jadi saya harus menjaga kepercayaan itu dan menjadi orang yang lebih bertanggungjawab dalam setiap perkara yang saya lakukan," kata penyanyi kelahiran Sabah itu lagi. Album Back In Control edaran Sony Music Malaysia itu mengandungi 10 buah lagu dan telah berada di pasaran sejak 30 November lalu. |
Sein, Nana mangsa ketujuh badi cerai Sehati Berdansa Posted: 08 Dec 2010 07:10 PM PST NANA dan Sien SHAH ALAM – Glamor menari, rumah tangga tunggang terbalik. Bagaikan terkena badi, satu demi satu rumah tangga pasangan yang pernah menyertai program hiburan realiti, Sehati Berdansa berdepan krisis yang berakhir dengan perceraian. Terbaru, pasangan juara rancangan realiti Sehati Berdansa musim ketiga, Sein dan Nana disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam. Sein dan Nana merupakan pasangan ketujuh program realiti Sehati Berdansa yang bercerai setelah rumah tangga mereka dilanda badai. Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 27, yang merupakan anggota kumpulan Ruffedge melafazkan talak satu pada pukul 2.45 petang semalam selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Nana atau nama penuhnya Noor Diyana Muhammad, 26. Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin dalam penghakimannya memuji langkah yang dibuat oleh pasangan itu untuk menyelesaikan isu perceraian mereka secara baik. "Setelah mendengar tuntutan, fakta kes dan keterangan kedua-dua pihak, mahkamah berterima kasih kepada kedua-duanya kerana mengikut peraturan sebagaimana apabila bernikah, begitu juga bila hendak bercerai," katanya. |
Kahwin lagi, beranak sebelum cerai Posted: 08 Dec 2010 07:09 PM PST AZUAN menunjukkan gambar bekas isterinya, Hasli Azuwa di Alor Setar semalam. ALOR SETAR – Seorang kakitangan kerajaan di sini, Azuan Abu Bakar, 32, terkejut apabila mendapati isterinya yang baru disahkan bercerai dengannya oleh mahkamah semalam rupa-rupanya sudah berkahwin lain dan mendapat anak baru. Dia yang berasal dari Taman Desa Ilmu dekat Pokok Sena memberitahu, perceraiannya dengan Hasli Azuwa Johari, 21, melalui cara tebus talak sebanyak RM35,000 baru diputuskan oleh Mahkamah Syariah Alor Setar semalam. Azuan berkata, dia bernikah dengan Hasli Azuwa pada 19 Ogos 2007 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Amri Helmi yang kini berusia dua tahun enam bulan. "Tapi pada 11 Februari 2009, isteri saya telah bertindak keluar dari rumah selepas berlaku perselisihan faham dengan saya," katanya di sini semalam. Menurut Azuan, dia sebelum ini tidak pernah melafazkan cerai kepada Hasli Azuwa malah isterinya itu keluar dari rumah pun ketika dia tiada di rumah kerana bekerja. "Sejak itu, dia tidak pulang ke rumah dan saya ada membuat laporan polis mengenai kehilangannya tetapi semalam saya terkejut apabila mendapat tahu dia telah melahirkan seorang bayi lelaki pada 20 Mac lalu," ujarnya. |
Ketuanan Melayu lebih sesuai 'Kedaulatan Melayu' - Sultan Johor Posted: 08 Dec 2010 07:09 PM PST SULTAN IBRAHIM berangkat merasmikan Multaqa Ulama Darul Takzim di Johor Bahru semalam. JOHOR BAHRU - Ketuanan Melayu lebih sesuai disebut 'kedaulatan Melayu' kerana ia mencakupi kedudukan Raja-Raja Melayu dan rakyatnya dan bukannya soal antara 'tuan' dan 'hamba', titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. "Ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu," titah baginda semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Takzim di sini semalam. Menurut baginda, apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya. Titah baginda, sebelum kedatangan British dan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya. "Ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-Raja Melayu dan rakyat menerima orang luar sebagi tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu. "Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan," titah baginda. |
Penangan e-mel wanita England Posted: 08 Dec 2010 07:08 PM PST PENGGUNA Internet dinasihatkan agar lebih berhati-hati sekiranya mendapat e-mel yang mengajak mangsa untuk berkenalan bagi mengelak dari ditipu. - Gambar hiasan KUALA TERENGGANU - Sikap miang seorang lelaki warga emas untuk berkenalan dengan seorang wanita England bernama Alice mengundang padah apabila dia bukan sahaja kempunan untuk menatap wajahnya malah kerugian RM2,500 apabila diperdaya satu sindiket Sabtu lalu. Episod malang mangsa yang merupakan pesara guru tersebut bermula apabila dia menerima satu e-mel yang dihantar Alice pada 2 Disember lalu menyatakan hasratnya untuk berkenalan dengannya. Ketika itu mangsa berada di Bandar Jertih dekat sini. Mangsa yang teruja terus membalas e-mel tersebut. Dua hari kemudian, Alice sekali lagi menghantar e-mel kepadanya menyatakan hasratnya untuk datang ke negara ini untuk bertemunya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, pada 6 Disember, mangsa menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Alice meminta lelaki itu supaya menghubunginya. Katanya, sebaik dihubungi, wanita itu mendakwa dia telah ditahan oleh pihak Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana membawa barangan berlebihan dan meminta bantuannya. |
Letupan khianat awal pagi Posted: 08 Dec 2010 07:08 PM PST PENDUDUK melihat sebahagian daripada 17 buah motosikal yang rosak teruk akibat dibakar tiga lelaki di Kota Damansara semalam. PETALING JAYA - Penghuni di Blok A Flat Kota Damansara di sini semalam gempar apabila mendapati sebanyak lima buah motosikal yang diletakkan di tingkat bawah kediaman itu hangus terbakar manakala 12 lagi rosak teruk disyaki menjadi mangsa perbuatan khianat tiga lelaki. Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku pukul 5.10 pagi dan disedari oleh penghuni flat yang terdengar bunyi letupan. Kerugian dianggarkan bernilai RM60,000. Katanya, sebelum kejadian, seorang penghuni memberitahu, dia ternampak tiga lelaki berjalan ke arah tempat meletak motosikal flat tersebut dalam keadaan yang mencurigakan. Difahamkan, polis masih menyiasat sama ada kes itu melibatkan perbuatan khianat. "Ketiga-tiga suspek kemudian dikatakan telah mencurah sesuatu ke arah motosikal di situ sebelum bertindak menyalakan api. "Flat itu turut dikawal oleh pengawal keselamatan tetapi mereka mendakwa tidak menyedari ada orang terlibat membakar motosikal tersebut," katanya ketika dihubungi semalam. Jurucakap berkenaan menambah, polis masih memburu ketiga-tiga suspek yang telah dikenal pasti identitinya itu. |