Adsense

Khamis, 23 Mei 2013

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Search lawan Loudness

Posted: 22 May 2013 03:39 PM PDT

Amy ajak peminat saksi gimik dua band rock terhangat pada konsert di Stadium Merdeka, bulan depan

Magis dua tahun lalu bakal berulang dalam skala lebih besar. Peluang berkongsi pentas sekali lagi dengan band heavy metal antarabangsa dari Jepun, Loudness cukup dinantikan vokalis kumpulan Search, Amy.

Kumpulan legenda rock tanah air itu akan berkongsi pentas bersama Loudness dalam konsert Thunder In The East 2013 di Stadium Merdeka pada 30 Jun depan.

Selain Search, konsert anjuran Clockwork Events Malaysia turut dihangatkan dengan persembahan kumpulan Rusty Blade dari Singapura dan band rock legenda Indonesia, Slank.

Tak sabar bertemu idola

Biarpun pernah berkongsi pentas dua tahun lalu pada kunjungan pertama Loudness ke Kuala Lumpur, Amy tetap teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan kumpulan yang cukup dikagumi mereka.

"Loudness menjadi idola kami sejak dulu lagi. Malah kami sering membawakan lagu mereka ketika menyanyi di kelab. Peluang berduet dengan Minarou dua tahun lalu umpama mimpi, saya tidak pernah terfikir akan mendapat peluang begitu.
"Kami memang merancang sesuatu yang istimewa antara Search dengan Loudness pada konsert kali ini. Apa gimiknya, kena nantikan malam itu. Apa yang pasti, konsert ini akan meninggalkan kenangan manis bukan saja kepada peminat, malah kami sendiri," kata Amy pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam konsert itu, Search akan membawa penonton bernostalgia dengan lagu popular mereka dari album pertama hingga kelima. Album itu ialah Cinta Buatan Malaysia, Langit dan Bumi, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Fenomena dan Karisma yang diterbitkan dari 1985 hingga 1990.

Bagai festival rock

Pengarah Projek, Iman Tang, berkata Thunder In The East bakal menjadi sebuah konsert hebat mengatasi konsert pertama Loudness pada kunjungan pertama dulu.
Iman berkata, undangan Clockwork Events yang diajukan kepada kumpulan yang cukup popular di Amerika Syarikat (AS) itu mendapat maklum balas baik.

"Kumpulan Loudness sangat gembira dengan sambutan yang amat baik pada kunjungan pertama dulu. Jadi, ketika kami menjemput mereka untuk konsert ini, Loudness segera memberi persetujuan. Anggota Loudness tidak menyangka mereka mempunyai ramai peminat di Malaysia.

"Mengenai band lain, kami memilih kumpulan rock dari Asia yang berpengaruh kerana konsert ini bakal menjadi sebuah festival rock.

Loudness setuju band gandingan

"Search tidak perlu diperkenalkan lagi kepada Loudness. Bagi dua kumpulan lain, kami menghantar profil kepada anggota Loudness dan ternyata mereka gembira dengan gandingan dicadangkan," kata Iman.

Loudness yang ditubuhkan pada 1981 mula dikenali selepas menghasilkan album Inggeris pertama berjudul Thunder In The East pada 1985.

Kumpulan ini dianggotai Minarou Niihara selaku vokalis, Akira Takasaki (gitar solo); Masayoshi Yamashita (bass) dan pemain dram baru, Masayuki Suzuki. Suzuki atau lebih dikenali sebagai Ampan menggantikan pemain dram asal, Munetaka Higuchi yang meninggal dunia akibat barah hati pada 30 November 2008.

Tiket Konsert Thunder In The East berharga dari RM138 hingga RM888. Tiket boleh didapati di www.ticketpro.com.my, manakala maklumat mengenai konsert boleh diperoleh dengan melayari www.clockwork.my.

Dira tidak mahu toleh ke belakang lagi

Posted: 22 May 2013 03:36 PM PDT

Tidak menyesal mengundurkan diri daripada rancangan hiburan popular, Melodi, Dira Abu Zahar tidak mahu memandang ke belakang dan mengimbas kontroversi yang pernah melanda dirinya, suatu ketika dulu.

Malah, Dira tidak pernah meletakkan noktah dalam perjalanan seninya serta masih aktif berlakon cuma lebih selektif.

Menemui pelakon ini pada majlis tayangan filem terbarunya, Lari terbitan Excellent Pictures di TGV Sunway Pyramid, baru-baru ini, Dira atau nama sebenarnya Khaidirah Abu Zahar, 29, juga masih ditawarkan menjadi hos.
Saya tak pernah umum akan berhenti berlakon. Ini kerana saya tak boleh tolak tawaran seni. Ini dunia saya dan saya masih lagi aktif" Dira, Pelakon

Sibuk berlakon

"Saya baru saja habis penggambaran drama bersiri 40 episod Dahlia. Jika semuanya jadi, saya akan terbabit dengan program travelog yang akan menjalani penggambaran di Sabah. Selain itu, saya akan membintangi filem Tolong yang memilih lokasi di negeri sama.


"Saya tak pernah umum akan berhenti berlakon. Ini kerana saya tak boleh tolak tawaran seni. Ini dunia saya dan saya masih lagi aktif. Banyak produk saya disiarkan tahun ini kerana tahun lalu, saya sibuk berlakon hingga jarang muncul dalam media.
"Mulai sekarang, saya merancang kerjaya dan memilih watak. Mengenai program Melodi, itu sudah lama berlalu. Bukan tak sedih, tapi sudah-sudahlah bercakap mengenainya. Bukan nak cakap saya menyesal dan tidak gembira bekerja di Melodi, tapi biarlah ia berlalu," katanya.

Dira mengacara Melodi bersama Zizan sejak Mac 2011 hingga Mei 2012. Bagaimanapun, kontraknya bersama Melodi ditamatkan berikutan ketika itu dia berdepan isu peribadi.

Lari cabar diri

Memberi lebih keutamaan kepada bidang lakonan, isteri kepada pengarah filem Bikers Kental, Mohd Helmi Mohd Yusof ini memilih tawaran berlakon berbanding pengacaraan.

Minatnya lebih kepada bidang lakonan dan setiap watak dihidupkan dengan cara sendiri. Dira tidak gemar merujuk kepada mana-mana pelakon baik Hollywood atau rantau ini kerana tidak mahu terikut-ikut dengan gaya pelakon lain.

Membintangi filem aksi Lari bersama Aaron Aziz, Dira mengaku filem itu mencabar dirinya. Dira teruja kerana kali pertama dia menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur malah terpaksa berulang-alik ke Perlis selama sebulan.

Seronok bekerja dengan Ahmad Idham

"Saya tidak melakukan banyak aksi seperti Aaron. Saya menjadi anak nelayan dan mungkin disebabkan rupa kemelayuan saya, saya dipilih pengarahnya, Ahmad Idham. Seronok sebab saya tak perlu tampak cantik selalu dan kena bertahan di bawah cuaca panas.

"Ini projek pertama saya bersama Ahmad dan seronok bekerja dengannya. Ahmad Idham tahu apa yang dimahukan serta serius ketika bekerja. Tapi kami masih lagi santai dan tidak rasa tertekan," tambahnya yang melakonkan watak Maya.

Filem Lari mula menjengah pawagam pada 6 Jun depan. Selain Aaron dan Dira, pelakon lain yang terbabit ialah Hazama Azmi, Erin Malek dan Erry Putra.