|  Fasha bahagia dibenci   Posted: 30 Oct 2010 06:05 PM PDT  MENGENALI Fasha secara luarannya,  wanita muda ini bagai sudah lali dikaitkan dengan  bermacam kontroversi.  Sama ada dalam fasa kebangkitan semula atau membasuh skeptikal, dia  semakin bijak mengatur langkah.  
 TANPA mahu agar penjuru-penjuru romantikanya bersama sang pengarang  jantung,  Rizal Ashram Ramli diperhalusi berulang-ulang kali, bait dan  jeda dalam bicara bersama Fasha Sandha sebaliknya terisi oleh khabar  kontemporari. Sengaja alur bicara diolah begitu, barangkali kami sepakat, enggan  bingkisan terkini Fasha yang sudah bertahun terpisah daripada  Sensasi  Bintang ini cenderung klise sifat lahiriahnya. Saya tertarik tatkala rasa yang bertakung di hempedu hatinya melantun  patah demi patah dari mongel bibirnya. Dia masih beraksi sebagai Fasha  Sandha, yang berhemah menuturkan bahasa walaupun di tangannya,  tergenggam erat gading bertuah idaman ramai. Mengalih perhatiannya menelaah topik kemahuan, wanita yang  kelihatannya matang berbanding usia 26 tahun itu dipinta mengulas, cukup  selesakah hidup buatnya hingga setiap kemahuan sudah mampu digentas  tanpa terkekang banyak halangan. "Setakat ini, banyak kemahuan saya sudah tercapai memandangkan  hidup  saya juga sekadar sederhana. Tetapi untuk kemahuan akan datang, saya  tidak tahu. Apa yang paling membahagiakan saya adalah, setiap kali   membuka mata, saya sedar bahawa  masih ada ramai peminat yang menyokong  perjuangan saya. Ada yang bencikan saya tetapi mereka masih menonton  kerja saya. Itulah momen paling bahagia buat saya," beritahunya menambah  informasi, terdapat sekitar 31,870 peminat yang mengikuti  perkembangannya di laman perkongsian sosial Twitter. Tidak pernah berkehendakkan sesuatu yang mustahil cuma katanya,  kemahuan kewanitaan tidak akan tercapai tanpa ikatan perkahwinan atau  menimang cahaya mata sendiri. "Seseorang wanita itu tidak sempurna selagi belum bergelar isteri dan  ibu," ujarnya dipintas satu usikan, bagaimana jika bahagia dan impian  untuk hidup bersama lelaki yang digelar 'sayang' ketika ini tidak  berakhir di jinjang pelamin. Fasha menjawab spontan: "Saya tidak gentar, saya masih muda dan  bukannya berusia 40 tahun, jadi saya tidak perlu pening kepala.  Macam-macam perkara yang lebih teruk pernah berlaku dalam hidup saya.  Rasanya tidak perlulah ia dihuraikan satu-persatu. Saya menjadi semakin  matang, lebih dekat dengan keluarga dan paling penting, saya kenal siapa  kawan dan siapa lawan. |  
 |  | MENINGGALKAN  Chinta di lokasi, banyak 'sempadan' dibawa pulang oleh Fasha.  
 | 
 Fasha masih berpegang dengan kata-katanya, dia bahagia dengan situasi  ketika ini, bahagia kerana kemunculan sebagai pelakon semakin diterima  dan bahagia diulik cinta  Rizal Ashram   yang lebih mesra dipanggil  Jejai walaupun ditohmah bermacam nista. Ketika masyrakat asyik  mempertikaikan sejauh mana dirinya mampu diterima keluarga Jejai, dalam  masa yang sama pula, keluarga Fasha sendiri ditindih kesulitan  mengenangkan Jejai sendiri ada sejarah kelam. Itu situasi 'vakum' yang  peribadinya memberikan manis kepada Fasha, satu situasi yang memberikan  lebih banyak tempoh terutama untuk diri sendiri membelah kesediaan. Pelacur kelas atasan Sedang terbakar rasa terujanya, Fasha dibidik persoalan lagi. Kali  ini tentang gelombang apakah yang paling kencang berkocak kencang di  jiwa. Dia tersenyum seraya membolak-balikkan gaun labuhnya. Duduknya  dibetulkan sebelum menghela nafas panjang. "Fenomena Natasha kembali  dalam karier lakonan saya. Lama benar  rasanya khalayak tidak memanggil saya dengan nama watak, kecuali dulu  ketika drama Natasha ditayangkan. Sekarang, sejak Chinta ditayangkan dan  meraih rating antara yang tertinggi, rasanya fenomena itu kembali  kepada saya," kata pembawa roh Chinta Chandurry yang mula berlegar di  sekelilingnya. Menjiwai watak pelacur kelas atasan yang memilih Tuhan untuk  dimusuhi, itu satu dendam yang maha berat. Enam tahun bergelar pelakon,  menghayati karakter Chinta melebihi segala cabaran mental dan fizikal  watak-watak terdahulu yang pernah dilakonkannya. "Watak Chinta datang pada ketika dan usia saya yang tepat, pengalaman  terdahulu juga antara yang mematangkan lakonan saya dalam drama itu. Ia  bukan kisah pelacur tetapi bagaimana seorang gadis baik bertukar  menjadi pendendam kepada lelaki lebih besar lagi kepada Tuhan kerana  kecewa dengan takdir. Chinta satu watak  berat dan ramai menyatakan  Chinta sebuah karya yang sukar dijangka," meladeni Chinta juga katanya,  menjadi bekal untuk dijadikan sempadan dan teladan.   MAHU terus mencari ruang keyakinan  peminat untuknya, Fasha meniti satu lagi proses kematangan. Dia mahu  lebih selektif memikirkan impak karakter tetapi dalam masa yang sama  tidak pernah menolak  nama-nama tertentu untuk bekerjasama dengannya.  
 Sepintas lalu, watak Chinta Chandurry pantas mengheret satu nama,  Nidah Kirani menerusi judul sebuah novel dari seberang yang berjudul  Tuhan, Izinkan Aku Menjadi Pelacur! Memoir Luka Seorang Muslimah.  Novel karya Muhidin M. Dahlan itu banyak diperdebatkan atas dasar  kemunafikan seorang muslim, iaitu Nidah yang memilih Allah sebagai  subjek mahupun objek untuknya melampiaskan dendam. Nidah bulat hati  menjadi penggoda dan menjadikan seks sebagai makanan percuma untuk  merosakkan akidah ahli-ahli agama manakala Chinta pula menjadi pelacur  bagi mengisi kekosongan hati. "Saya gelar Chinta sebagai pelacur kelas atasan dan dia melacur bukan  kerana duit tetapi untuk keseronokan, mengisi sepi dan dendamnya kepada  Tuhan. Terlalu besar dan banyak ilmu yang saya kutip daripada Chinta,  apa yang patut dan apa yang terlarang, jika yang terlarang juga yang  dipilih, ada pula akibatnya," walaupun sebuah cereka, Fasha menembus  realiti hidup daripada naskhah arahan Feroz Khan itu. Menjadi pemandu jentera akal dan hati, aktres yang pernah membintangi  puluhan judul filem termasuk Berlari Ke Langit, Evolusi KL Drift serta  terbaru 4 Madu itu semakin mengenali erti optimistik. Semakin lama dalam  industri, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu juga semakin berani  menjadi selektif terhadap watak. Terbaru dari lokasi, Fasha kini sibuk  berlatih tubi untuk beraksi bersama Awie menerusi filem Dari Kerana Mata  arahan Melissa Saila. Sekitar Februari 2011 pula, satu projek besar  yang ditunggu-tunggunya bakal menjadi nyata. Tunggu! itu kata Fasha  kepada peminatnya. | 
  |  Nabil tak jadi kahwin?   Posted: 30 Oct 2010 06:03 PM PDT  SUDAH terang lagi bersuluh, anak seni yang bakatnya dicungkil melalui  program Raja Lawak terbitan Astro ini semakin menempa nama dalam  industri hiburan tanah air. Empunya diri Ahmad Nabil Ahmad atau mesra dengan panggilan Nabil  mengakui hidupnya jauh lebih berbeza setelah bergelar anak seni. Walaupun sibuk dengan jadual yang sentiasa padat, itu bukanlah satu  tiket baginya untuk tidak mengintai peluang dan mencuri masa bagi  memanjakan diri seperti individu lain. Tatkala orang lain menjadikan memancing sebagai satu hobi, berbeza  pula ceritanya dengan pelawak terkenal tanah air ini. Nabil boleh  dikategorikan sebagai individu yang mempunyai hobi yang dilihat lain  daripada yang lain. Pengalaman bekerja di bengkel motosikal selain bergelar 'mat  despatch' sebelum namanya mula mekar dalam industri hiburan tanah air,  Nabil sememangnya sudah sebati dengan kenderaan beroda dua tersebut. "Bila sudah terbiasa bekerja dengan motosikal, jadi bolehlah dikatakan menunggang motosikal sudah menjadi hobi saya. "Walaupun sudah memiliki kereta, tapi kadangkala saya memilih untuk  tunggang motosikal sebab lebih mudah," kata anak kelahiran Mambau,  Negeri Sembilan ini. | 
  |  Doakan kami yang terbaik! - Saida   Posted: 30 Oct 2010 06:03 PM PDT  ISTANA perkahwinan Saida dan Ghazali dilanda badai yang dipercayai berpunca daripada orang ketiga.  
 SEPATAH kata daripada pendeta lama, pertalian suami dan isteri tidak  ubah seperti perjalanan sang semut hitam yang meniti batu hitam yang  licin di tengah malam yang amat kelam. Ia seolah-olah memberi gambaran  betapa mudahnya ikatan yang hanya berpaksikan akad itu tergelincir  daripada laluan sepatutnya. Apa yang berlaku kepada rumah tangga Siti Norsaida Taruddin, kakak  kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza ketika ini  boleh disamakan dengan analogi semut hitam tersebut. Tersasar seketika,  hanya usaha dan doa mampu mengembalikan kebahagiaan. Jika Saida bukan bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim  keenam, jika Saida bukan juga penyanyi yang sedang ingin menggilap  nama, jika Saida bukan juga ibu kepada empat cahaya mata yang masih  kecil, Siti Nurunnyssa (13), Anas (11), Khalid (7) dan Siti Nurul  Marshitah (4) dan jika Saida juga bukan kakak kepada Siti Nurhaliza,  gelora rumah tangganya pasti tidak mendapat liputan hangat. Biarpun agak kejam untuk diterima oleh anak-anak dan keluarga,  gejolak keretakan dan sejauh mana kebenaran wujudnya orang ketiga dalam  jodoh Saida, 34, dan Ghazali, 40, tidak sudah-sudah diperkatakan orang.  Sejak dua minggu lalu, ketika timbulnya khabar angin tentang  keberantakan hubungan mereka sehinggalah kes difailkan seterusnya  menerima penangguhan daripada Mahkamah Syariah, Selasa lalu, Saida dan  Ghazali masing-masing mengambil tindakan untuk mengunci mulut. Mereka  tidak memberikan sebarang respons kepada media. Mujurlah ada kakak ipar  Saida, Rozie Abdul Rashid yang menjadi orang perantaraan untuk bertanya  khabar. Selepas dipujuk-pujuk dengan bantuan Rozie sekali lagi, Saida  berlembut hati untuk bercerita biarpun tanpa bersuara. Tiga hari lepas,  Saida melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) akhirnya buat pertama kali  memberi kenyataan tentang kemelut rumahtangga yang sedang dihadapi. "Saya harap pihak wartawan tidak berkecil hati dengan tindakan saya  sebelum ini. Saya bukan melarikan diri atau tidak mahu menjawab segala  pertanyaan media. Ada sebab kenapa saya harus bertindak begitu, terlalu  banyak hati yang harus dijaga walaupun memang saya agak kurang senang  dengan cerita dan spekulasi yang cuba dilemparkan," luah Saida menerusi  SMS. Tanpa menyatakan sebab musabab sehingga tuntutan penceraian nekad  difailkan, Saida sekadar menjelaskan apa yang telah diketahui umum. "Kes fail tuntutan cerai buat masa ini diberikan penangguhan dan saya  harap, jangan ada cerita-cerita yang tidak benar dikeluarkan kerana  sedikit sebanyak ia akan mengganggu kehidupan kami. Hormatilah keluarga  saya, keluarga suami saya dan juga anak-anak saya. Berikan kami masa dan  ruang. Saya harap perkara ini tidak diperbesar-besarkan. Doakan yang  terbaik buat saya dan suami," pohon Saida. Rabu lalu, Saida serta suami tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah  Kuala Lumpur ketika kes penceraian mereka disebut. Kes itu ditangguhkan  sehingga 20 Disember nanti. Ditanya terpalitkah faktor populariti dan sejauh mana benarnya  spekulasi kehadiran orang ketiga mendatangkan impak kepada kerukunan  hubungannya dengan suami, Saida kembali berdiam. Hanya permintaan  'doakan yang terbaik buat Saida dan suami' yang dibalasnya kepada  Sensasi Bintang. Selaku orang tengah dan sebahagian daripada anggota keluarga, Rozie  pula menjelaskan: "Saida dan suami masih tinggal sebumbung dan tiada  penceraian. Tindakan Saida berdiam itu ada moleknya, daripada banyak  bercakap, lebih banyak buruk daripada baiknya. "Saya tidak boleh komen tentang populariti atau orang ketiga yang  dikatakan sebagai punca keretakan, itu hal rumah tangga Saida dan  setakat ini juga, karier Saida masih berjalan mengikut perancangan dan  dia masih menjalankan kerja-kerja di Siti Nurhaliza Productions (SNP)  seperti biasa," ulas Rozie tentang perkembangan terbaru Saida yang  muncul dengan duet Apresiasi bersama Saerah. | 
  |  Nadia buru impian   Posted: 30 Oct 2010 06:02 PM PDT  NADIA tidak berasa ralat meninggalkan tawaran lakonan demi kelangsungan minatnya dalam seni suara.  
 BAGAIKAN bulan jatuh ke riba. Demikianlah perumpamaan yang akrab buat  gadis sunti 25 tahun ini, Nadia Aqilah Bajuri yang selesa dengan  panggilan Nadia. Mula mencipta nama ketika menganggotai kumpulan Luscious dalam  pertandingan mencungkil bakat Gangstarz TV3 sekitar tahun 2007. Ramai  tidak mengetahui gadis ramah yang terkenal sebagai pelakon ini  meletakkan nyanyian sebagai minat utamanya dalam cabang seni. Lumrah dunia, perkara yang sering kali kita hajati akhirnya tiba di  kemudian hari. Bagi membolehkan terlaksananya impian itu, Nadia berpesan  kepada dirinya untuk tidak berpatah harap dalam bidang nyanyian  meskipun bakat lakonannya tampak lebih menonjol. Terkenal sebagai Chika dalam drama bersiri popular, Tari Tirana,  Nadia kini nekad untuk merehatkan dirinya daripada sebarang aktiviti  lakonan dan memberikan fokus sepenuhnya dalam lapangan seni suara. "Saya tidak berasa ralat atau rugi menolak tawaran berlakon sekarang sebab memang niat saya untuk kembali aktif menyanyi. "Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi lakonan dan tiba  masanya saya berehat seketika bagi memenuhi impian merakamkan album  solo," kata aktres yang sinonim dengan watak yang kerap membuatkan  penonton meluat dengannya. Single pertamanya yang diberi judul D.I.V.A. baru sahaja diputarkan  di corong radio tempatan dan penerimaan orang ramai ternyata  memberangsangkan. "Orang ramai kenal saya sebagai pelakon, jadi bila mereka dengar lagu  saya dimainkan, mereka jadi teruja kerana tidak menyangka yang saya  mampu menyanyi," ujarnya gembira dengan reaksi positif peminatnya. Tidak berdepan dengan masalah bersama anggota Luscious, dia ini mengakui bahawa persahabatan mereka masih seperti dahulu. Album pertamanya yang mengandungi 10 buah lagu bakal menyenaraikan  tujuh buah lagu Inggeris dan tiga buah lagu Melayu. Ia akan mula  menjengah pasaran muzik tanah air pada hujung tahun ini. Sedar atau tidak, ramai pelakon kini menjadikan nyanyian sebagai  kerjaya kedua dan sudah ibarat satu ikutan terutama di kalangan artis  yang masih muda remaja. Nadia tidak dapat mengelak daripada terkena tempiasnya tetapi harus  diingat bahawa gadis yang aktif dengan teater ini bukan berasal daripada  dunia lakonan tetapi jelas dia lahir daripada cabang seni suara. Lincah di pentas tarian, Nadia tidak beranggapan hal ini sebagai  trend dan merakamkan album hanya kerana mengikuti pelakon lain yang  turut melakukan perkara yang sama. Kurang keyakinan diri sebelum ini menyebabkan hasratnya itu terbantut  tetapi kini setelah bertemu kekuatan itu, pelakon drama bersiri  Sindarela ini hanya memandang ke hadapan dan bersedia membuka lembaran  baru dalam kerjaya seninya. | 
  |  Matang sebelum usia   Posted: 30 Oct 2010 06:02 PM PDT    
 TIGA gadis manis, bergaun labuh dan bersolek lebih daripada biasa.  Tiga anak muda berjiwa besar berstatus aktres dan membawa emosi itu  sepanjang diri mereka dilihat umum.  Hakikatnya Diana Danielle, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani masih  berada dalam fasa mekar. Mereka masih membawa emosi dan pergerakan anak  muda di awal usia ranum. Tuntutan kerjaya dan status meletakkan mereka  tampak lebih matang berbanding usia. Bukan hanya fizikal yang dihiasi  solekan dan busana, malah pengalaman serta emosi mereka sudah diajar  dengan variasi rasa sekali gus menempatkan aktres-aktres ini di sebuah  fasa yang lebih tinggi berbanding usia yang dikandung. Sensasi Bintang  menanyakan aktres popular Malaysia ini akan kedewasaan mereka yang  disambut awal berbanding perjalanan jasad. Mereka tampil jelita dibalut  busana rekaan Rizman Ruzaini dan digemerlapkan dengan perhiasaan tajaan  Rafflesia.  Kalian dilihat matang sebelum usia kerana penglibatan dalam  industri seni. Bergelumang dengan watak dan jadual penggambaran, apa  yang paling kalian rindui atau ketinggalan sebagai remaja? SHARIFAH AMANI (SA): Saya rindukan perjalanan remaja saya yang  ditinggalkan terlalu awal. Tapi pada masa yang sama saya merasakan apa  yang saya lalui bagus untuk diri sendiri. Saya tidak terdedah untuk  'kantoi' dengan perkara-perkara yang tidak baik. Saya banyak  menghabiskan masa dengan keluarga, tengok wayang dengan keluarga. DIANA DANIELLE (DD): Zaman persekolahan saya. Itu yang dirindui  tetapi kini terubat pula dengan zaman universiti. Saya tidak mahu  ketinggalan momen-momen ini dalam kehidupan saya.  LIYANA JASMAY (LJ): Saya rindu untuk pakai apa sahaja seperti remaja  di luar sana. Maksudnya tanpa diperkatakan khalayak. Rindu juga untuk  berlagak seperti remaja biasa yang boleh berpegangan tangan jika  berpacaran. Realitinya, saya tidak boleh buat perkara-perkara begitu. Jadi bagaimana kalian berseronok dalam usia begini? SA: Bersama keluarga. Saya juga banyak menghabiskan masa dengan  menjelajah negara- negara luar. Antara kenangan jelajah saya ialah  bersama arwah Yasmin Ahmad, kami ke Jepun melihat kembangnya bunga  sakura. Sangat cantik apabila ia jatuh ke tanah, seperti salji bunga. DD: Saya boleh bertukar mengikut suasana. Saya juga sudah belajar  untuk mengawal diri dan tatatertib. Saya berseronok mengikut suasana.  LJ: Masih dengan keluarga. Saya banyak menghabiskan masa bersama anak  saudara saya yang kembar. Kadangkala menonton konsert kegemaran bersama  rakan-rakan.  Sebenarnya selesa atau tidak bergaun labuh dan bersolek tebal? Kalau di luar tugas 'pelakon', kalian bagaimana? SA: Jujurnya bila berpakaian begini, saya tidak begitu selesa. Saya  tidak pandai bergaya begitu dan kekok. Pakaian harian saya hanya  berseluar denim dan berbaju-T. Tetapi bila lagi mahu rasa selain ada  acara-acara sebegini. Saya selalu meletakkan satu-satu watak jika saya  bergaun labuh dan bersolek. Hari ini saya meletakkan watak, Amani  seorang gadis moden.  DD: Bila bergaun begini, saya rasa sangat matang seperti usia 20-an.  Di luar saya ialah seorang yang selekeh. Saya akan memakai seluar ¾ saya  dan baju-T potongan besar. Saya memang tidak bersolek atau beraga. Cuma  mengenakan balsam bibir, itu sahaja sampai orang tidak mengenali saya  di luar kalau saya tidak bersolek.  LJ: Saya bukanlah jenis orang yang memakai perhiasan atau aksesori  yang berlebihan. Itu hanya untuk acara-acara tertentu. Saya lebih selesa  berseluar jean atau legging. Memakai jaket. Itu saya. Kalau solekan,  saya hanya mengenakan penggaris mata, maskara dan balsam bibir.  Bagaimana orang sekeliling bergaul dengan kalian dan sebaliknya?  SA: Ramai yang menganggap saya seorang yang sombong tetapi sebenarnya  saya jenis yang susah bercampur. Saya tidak 'sekecoh' kakak saya,  Sharifah Aleya yang pandai bercakap dan bergaul dengan ramai orang. Saya  tidak pandai bab-bab itu. Tapi apabila saya sudah rapat dengan  seseorang, saya akan jadi diri saya sendiri. Saya dibesarkan dengan  kawan-kawan ayah dan ibu. Itu cara kami daripada kecil. Jadi kebanyakan  pertanyaan atau isu akan kami tangani cara orang dewasa. Begitu juga  cara mereka melayan kami adik-beradik, cara dewasa. DD: Saya boleh berbual apa sahaja topik dengan golongan berusia atau  tua. Sejak memasuki industri seni, saya belajar bagaimana untuk bergaul  dan belajar mengawal emosi kebudak-budakan. Orang nampak saya seperti  orang berusia, jadi apabila saya melompat-lompat, khalayak akan cop saya  gedik. Padahal saya masih remaja. Jadi segalanya terhad tetapi juga  merupakan proses pembelajaran buat saya.  LJ: Saya sekarang belajar untuk menjalani hidup sebagai gadis berusia  22 tahun. Tetapi daripada aspek pemikiran, saya sudah semakin ke  hadapan. Saya sudah berfikiran matang dan sudah pandai membuat keputusan  sendiri. Ada orang yang tidak menyangka usia saya sudah 22 tahun, dan  ada yang melayan saya dengan cara keanak-anakan. Apa yang penting,  keluarga melayan saya sebagai orang dewasa dan matang. Ayah selalu  mengingatkan bagaimana kehidupan saya jika dia tiada satu hari nanti.  Pada usia sekarang, berapa usia fizikal dan jiwa yang diletakkan kepada diri sendiri? SA: Secara fizikal saya rasakan diri saya baru berumur 17 tahun tetapi jiwa saya sudah berusia 36 tahun.  DD: Masih lagi 19 tahun. Cuma daripada kecil lagi saya sudah dilihat  matang. Itu apa yang orang cakap. Tetapi bila bersama kawan-kawan saya  yang Pan Asia, saya rasa kami di umur yang sepatutnya, masih belasan  tahun.  LJ: Saya rasa matang tetapi tidak terlebih usia. Masih di usia 22 tahun. Tidak rasa muda atau tua.  Apakah faktor yang paling mematangkan kehidupan kalian? SA: Pengalaman, bagaimana saya berdepan dengan banyak perkara dalam  hidup. Saya pernah melalui zaman 'muda' di mana saya akan kuat melenting  tetapi zaman itu sudah berlalu. Malah saya dapat rasakan melenting itu  tidak membawa apa-apa faedah jika terus-terusan begitu.  DD: Pengalaman banyak mengajar saya. Juga kerja sebagai pelakon  dengan bergaul dengan pelbagai watak. Itu membuahkan kematangan dalam  diri saya. Juga cara saya dibesarkan.  LJ: Aspek membuat keputusan dalam hidup kini mematangkan saya. Saya sudah boleh tentukan apa yang saya  mahu dan tidak. Saya juga sudah tahu bagaimana untuk mengendalikan  kewangan dan buat keputusan dalam hal itu. Itu mematangkan saya.  Jadi untuk Amani, berapa peratus perubahan sebenarnya? SA: Boleh saya katakan 78 peratus berubah. Saya berubah mengikut pengalaman hidup saya. | 
  |  FFM23 jenaka 2010 paling hebat   Posted: 30 Oct 2010 06:00 PM PDT  TRIO tiga beradik, Edry, Norman dan Yusry menempa momen gemilang apabila Magika diangkat sebagai Filem Terbaik FFM23.  
 POLITIK penjurian dan lobi-melobi dalam mencapai sebuah keputusan  rasmi telah tertulis, itu antara igauan yang masih menjadi kekesalan  penganalisis, karyawan serta peminat tegar filem tanah air tatkala  mengenangkan percaturan Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) pada Ahad  lalu. Festival yang dinanti-nantikan itu ibaratnya hilang sinar berganti  sirna! Ada berdesis, ia barangkali juga antara jenaka terhebat sebelum  2010 menutup tirai. Festival tahun ini disifatkan festival paling janggal dalam sejarah  FFM yang dimulakan sejak 1980. Ia tidak membuahkan banyak harapan dan  lebih teruk lagi perca-perca idealistik sedang ingin bercantum membentuk  rangkaian revolusi filem Malaysia yang berjiwa besar, ada yang terputus  dan hancur berkecai.  Tidak terlalu kejam apabila kedaifan yang diperkatakan ramai,  luahan-luahan hati pencinta filem bahkan akbar harian terhadap kemarau  FFM23 mungkin berpunca daripada politik dan terlepas pandangan di pihak  juri. Ke mana perginya serangkap kata hikmat yang sering menjadi modal  cendekiawan berbahas, 'lihatlah dari mata burung bukan lihat dari mata  tempurung'. Hakikatnya, filem-filem terbaik yang ditayangkan khas untuk  bahan penjurian baru-baru ini kelihatan tidak mampu diperhalusi sang  cerdik pandai hakim mahkamah tahunan industri filem Malaysia. |  
 |  | AKTOR veteran, Tamam Idris antara penerima anugerah penghargaan di malam kemuncak FFM13.  
 | 
 Jika ada yang mempersoalkan ketelusan kehakiman, sepertinya juga  sistem penjurian festival filem negara ini sedang dipulau oleh  kebanyakan penganalisis, pembikin dan peminat filem itu sendiri. Jika tidak, masakan ramai lagi pembikin serta bintang besar tanah air  tidak ingin menjenguk ke Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Alasan di  lokasi penggambaran atau ke acara lain hanyalah sekadar ayat untuk  berdalih. Kepada penerima trofi, pastinya FFM23 mencetuskan momen paling  bahagia. Tahniah untuk trio adik-beradik kumpulan KRU, Edry, Norman dan  Yusry Abd. Halim yang menang besar termasuk menggondol anugerah Filem  Terbaik hasil 'magis' yang tercipta menerusi filem muzikal Magika.  Seikhlas puji dan setinggi tahniah juga juga kepada penerima trofi  Pelakon Lelaki Terbaik, Bront Palarae hasil impak yang ditinggalkannya  menerusi Belukar. Pelakon tinggi lampai yang dikira sempurna pakejnya  itu berada di kedudukan yang tepat pada malam FFM23. Begitu juga dengan  Lisa Surihani yang menang Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Lagenda  Budak Setan. Secara pukul rata, Lisa boleh dikatakan cukup bertuah.  Walaupun muncul hanya untuk sebahagian daripada keseluruhan cerita dan  sebahagian lagi hanyalah lakonan suara, dia masih diberi penghargaan  untuk aktres terbaik tahun ini. Kepada barisan pemenang, terasa beban, penat-lelah serta idea-idea  yang dicanai selama pembikinan terubat dengan sebuah anugerah. Pemenang  harus meraikan kemenangan kerana bukan mereka yang memutuskan hak itu.  Namun, perlu dinyatakan di sini, tidak semua anugerah FFM23 jatuh ke  tangan pemilik yang layak.  AKTOR dan aktres terbaik tahun ini beralih ke tangan Bront Palarae dan Lisa Surihani, satu anugerah yang direstui banyak pihak.  
 Paling ketara, trofi Pengarah Terbaik yang memihak kepada Syamsul Yusof hasil sentuhanya menerusi Evolusi KL Drift 2. Filem sekuel daripada Evolusi KL Drift itu hanya memenangi Anugerah  Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi lakonan berkesan Shaheizy Sam  manakala Penyunting Terbaik terpaksa dikongsi bersama Syamsul sendiri  dan Hisyam Jupri. Itu sahaja markah yang mengangkat Syamsul untuk  dijulang sebagai Pengarah Terbaik serta termuda sepanjang dua dekad  penganjuran FFM di Malaysia. Syamsul menewaskan empat lagi calon kategori berkenaan, Ahmad Idham  menerusi Adnan Sempit, Jason Chong (Belukar), Farid Kamil (V3: Samseng  Jalanan) dan Mamat Khalid (Estet). Bukan tidak layak seratus-peratus tetapi melihatkan pencapaian  Evolusi KL Drift 2 (bukan daripada aspek jualan tiket, aksi perlumbaan  dan membakar kereta) dari segi naratif serta kekuatan jalan ceritanya,  filem itu belum layak sepenuhnya untuk menonjolkan Syamsul sebagai  pengarah terbaik. Mungkin jika itu filem pertamanya, dia terlebih layak  menerima anugerah Pengarah Harapan, malangnya tidak.  Itu semua berbalik kepada pencapaian filem berkenaan sendiri, dua  anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Penyunting Terbaik bukan  asas yang cukup teguh untuk jejaka yang baru setahun jagung dalam  industri itu mencatat nama di barisan ulung pengarah terbaik sinema  Malaysia. Tidak selesai dengan kategori pengarah terbaik, persoalan kegagalan  Estet karya Mamat Khalid dan ketiadaan pencalonan Mualaf sebuah filem  terakhir sentuhan sutradara hebat, Yasmin Ahmad yang telah meninggalkan  urusan duniawi juga tidak selesai menjadi perbahasan. Memetik kata-kata Mamat Khalid dalam satu temu bual selepas FFM23  Ahad lalu, dia meluahkan kekesalan atas kegagalannya membuahkan  kegembiraan khalayak yang menaruh harapan terhadap Estet. |  
 |  | MAMAT KHALID sekadar pulang dengan trofi Anugerah Juri.  
 | 
 "Selama ini kita sering dilaung-laungkan untuk menghasilkan filem  berkonsepkan kemalaysiaan. Tapi apabila saya buat filem seperti Estet,  ia seolah-olah tidak memberi sebarang impak. Terus terang, bukan mudah  untuk menghasilkan filem yang menyatukan dua bahasa dalam sebuah filem. " Apa salah filem saya sehingga ia diketepikan begitu saja? Saya  akui, memang saya berjauh hati apabila Estet hanya layak untuk Anugerah  Khas Juri. Pada saya Anugerah Khas Juri itu hanyalah pemberian berikutan  dasar kasihan semata-mata. Kalau betul filem saya tak layak, tak perlu  nak beri anugerah atas dasar kasihan. Saya tak memerlukannya," kata  Mamat. Luahan Mamat pasti dilihat cengeng oleh jawatankuasa anugerah serta  barisan juri FFM tahun ini yang terdiri daripada Tan Sri Kamarul Ariffin  Mohamed Yassin selaku Ketua Juri, seterusnya Panshah (bekas penerbit  filem), Dr. Naim Ahmad (ahli akademik), Kamaruddin Abu (penyunting  filem) dan Akmal Abdullah (wakil media). Melihat senarai juri sahaja, pasti ramai yang tidak terkata apa-apa.  Ada persoalan atas persoalan yang tidak terungkai dan ada juga pelbagai  andaian yang bermain di benak. Bukan juri sedia ada tidak layak tetapi  mengapa tidak diambil kira buah fikiran orang-orang filem tulen seperti  Adman Salleh, Othman Hafsham atau Hassan Abd. Mutalib. Tidak layakkah  mereka di kerusi juri. Atau kebimbangan untuk   PERSEMBAHAN Lah VE dan Dayang Nurfaizah berjaya mengindahkan gundah  khalayak sepanjang kemuncak FFM23.  
 cenderung kepada mana-mana kroni menyebabkan handalan-handalan filem  seperti itu tidak diketengahkan ke medan penjurian?Itu semua antara yang  menjadi perbualan yang terluah secara lantang hanya di kedai kopi,  habis secangkir, bicara pun menerawang ke udara, tidak dipedulikan  sesiapa. Bilakah agaknya urat tegang yang bersirat di pangkal FFM akan  terurai. Pandangan sinis terhadap FFM tidak terbatas kepada percaturan  penganugerahan sahaja. Pemilihan SACC bukan suatu masalah tetapi  kecacatan susun-atur antara dewan anugerah dan ruang legar yang sempit  menyukarkan urusan media bersama artis dan tetamu jemputan. Ibarat bazar  Ramadan, segala-galanya disumbat dalam satu ruang yang sendat. Begitu juga dengan kehadiran Hezrie Hashim yang kelihatan seperti  'pak sanggup' apabila digandingkan bersama Sharifah Shahira dan Zizan  sebagai pengacara. Sedikit pesanan kepada penganjur, tolonglah pelajari  kesilapan itu. Seiring tema Filem Malaysia Ke Persada Dunia, seiringkan  juga konsep dan persembahan majlisnya agar acara besar itu tak hilang  prestij.  | 
  |  Crayon mirip karyaYasmin   Posted: 30 Oct 2010 05:48 PM PDT  PETIKAN beberapa adegan menarik dalam Crayon, sebuah filem kemasyarakatan yang berjiwa muda.  
 SENTUHAN pengarah baru, Dean A. Burhanuddin ini mirip  karya  Allahyarham Yasmin Ahmad. Tidak keterlaluan dikatakan industri  perfileman tanah air sedikit suram selepas pemergian Yasmin. Penghasilan  Crayon ternyata mampu mengubat kerinduan penonton yang merindui stail  filem-filem sentuhan beliau. Menggunakan  bahasa  Inggeris, Melayu dan Mandarin, ia dirasakan  tidak dibikin dengan tujuan meraih populariti atau mengaut keuntungan  cara begitu. Jalan penceritaannya mudah, mesej ringkas tetapi berkesan serta  mencuit emosi penonton sehinggakan ada babak yang mampu menakung air  mata dan ada ketika yang lain, hilai tawa boleh pecah berderai. Barisan pelakon juga bukan wajah asing dalam filem terdahulu Yasmin.  Dean menjinakkan Hon Kahoe dan Adibah Noor bagi mengepalai Crayon. Memusatkan hak anak yatim sebagai tema penceritaan, Crayon mengajak  penonton mencermin tanggungjawab diri sebagai pembela nasib anak-anak  malang itu. Tanggungjawab sosial yang kian luput dalam nilai masyarakat saat ini  mampu digilap kembali menerusi penyampaian bersahaja Crayon. Kisah bermula apabila dua orang sahabat baik, Adam (Hon Kahoe) dan  Rafaat lakonan Ariff Faisal Abdullah, pelajar di sebuah universiti di  Singapura yang diarahkan menjalani tugas khidmat sosial sepanjang cuti  semester. Rafaat, pelajar berketurunan Melayu Singapura dengan berat hati  bersetuju berkerjasama dengan Adam yang merupakan warga Malaysia  berketurunan Cina untuk menjadikan sebuah rumah anak yatim di Pantai  Timur Malaysia sebagai destinasi tugasan mereka. Aksi lucu babak-babak awal ini menghidupkan cerita dan membuatkan  penonton tidak henti-henti ketawa. Ketibaan mereka dipaparkan menerusi  aksi berbalas tembakan menggunakan 'pistol angin' oleh dua anak muda ini  bersama sekumpulan anak yatim yang diketuai oleh Afiq (Joshry Adamme). Rumahku, tempat berteduh anak-anak yatim ini terletak di pedalaman  kampung yang kaya dengan pemandangan indah  pesisir pantai. Mak Engku  (Adibah Noor) bertindak sebagai ibu kepada semua kanak-kanak ini. Kedatangan Adam dan Rafaat amat dihargai anak-anak yatim berkenaan  terutama Afiq, kanak-kanak yang aktif, periang serta tinggi budi  pekertinya. Keakraban terbit dengan sempurna umpama satu keluarga bahagia. Adam dan Rafaat jatuh cinta dengan gelagat anak-anak malang itu. Kemelut timbul ketika Mak Engku diugut oleh pihak pemaju yang  menginginkan tanah miliknya untuk dijadikan pusat pelancongan. Hutang  tidak terlangsai dengan pihak bank kerana Rumahku tiada dana bagi  menampung perbelanjaan anak-anak yatim itu sekali gus menambahkan lagi  kekusutan Mak Engku mencari jalan penyelesaian. Adam dan Rafaat menguatkan semangat anak-anak yatim tersebut untuk  mempertahankan tempat mereka menumpang hidup. Dua anak muda ini berpakat  dengan anak-anak yatim ini mengadakan konsert amal bertujuan mengumpul  dana bagi melunaskan segala hutang dan menaik taraf infrastruktur rumah  kebajikan yang uzur itu. Penganjuran konsert tersebut menarik minat  masyarakat untuk sama-sama menghulurkan sumbangan melalui pembelian  lukisan hasil usaha penghuni Rumahku sendiri. Air mata berjujuran tatkala anak-anak ini melantunkan melodi Ibu Kau  Ratu Hatiku sebagai satu kejutan kepada Mak Engku yang langsung tidak  mengetahui perancangan Adam dan Rafaat itu. Naratif menuju puncak apabila Rumahku dibakar oleh samseng yang  diupah pihak pemaju sejurus  konsert berlangsung.  Kesudahannya bakal  terjawab apabila penonton menyaksikannya sendiri filem yang diangkat  berdasarkan kisah nyata ini pada 11 November nanti. Komen Alif: Tidak rugi menonton filem ini kerana mesejnya kuat walaupun dilabel tidak komersial. | 
  |  Lima syarat Aaron   Posted: 30 Oct 2010 05:45 PM PDT  BERTUBUH kekar dan memiliki aura tersendiri dalam lakonan, jejaka  berusia 33 tahun ini tidak lagi menoleh ke belakang malah dia semakin  ligat memahat namanya dalam industri perfileman tanah air. Aaron Aziz kekal utuh di persada seni sejak memulakan kerjaya seninya  di Malaysia menerusi drama bersiri Summaiyah arahan Erma Fatima. Namanya kini melonjak naik menerusi filem-filem lakonannya yang acap kali mendapat sambutan luar biasa penggemar filem tempatan. Bakat besar aktor kacak kelahiran Singapura ini dibuktikan melalui  filem Pisau Cukur, Evolusi KL Drift, dan Bohsia yang sering  memaparkannya sebagai salah seorang tunggak cerita. Pucuk dicita ulam mendatang, pelakon drama  Emil Emilda ini semakin  'laku' di pasaran perfileman kerana bakal muncul dengan filem terbaru  berjudul KL Gangster dan Ombak Rindu tahun hadapan. Nama Aaron juga  bakal menjadi 'panas' apabila filem 2 Alam lakonannya akan ditayangkan  pertengahan November ini. Ayah kepada dua cahaya mata ini meletakkan lima syarat sebelum bersetuju melakonkan sesuatu watak. "Saya tidak cerewet tetapi jika watak yang ditawarkan itu memenuhi  lima kriteria ini, saya tiada masalah untuk menerimanya," ujarnya yang  pernah tersenarai dalam Cleo's 50 Eligible Bachelor oleh majalah Cleo  Singapura. Penentu syaratnya mudah, jika watak tersebut menarik perhatiannya,  dia akan meneliti jalan ceritanya dan kemudian melihat sendiri  pengarahnya. Tidak kisah bekerjasama dengan pengarah baru, Aaron menegaskan baru  atau lama bukan ukuran kejayaan, tetapi apa yang menjadi titik  kepercayaannya ialah prestasi pengarah tersebut dalam menjalankan tugas  dengan dedikasi dan bertanggungjawab terhadap keseluruhan produksi. Melengkapi lima syaratnya, jurucakap L'oreal Men Expert ini akan melihat senarai nama pelakon yang bakal bekerja bersamanya. "Bukan bermakna saya hanya memilih segelintir pelakon, tapi saya  perlu meneliti keserasian watak yang saya bawa dan pelakon lain. "Keserasian penting untuk menghidupkan cerita," jelasnya. Terbaru, menerusi drama bersiri Habil Qabil, Aaron menjanjikan  persembahan mantap yang berjaya menarik penonton untuk terus mengikuti  kisah kehidupannya sebagai Habil Najmi. Dalam naskhah tesebut, keinginan untuk menjadi seorang usahawan  terkemuka memaksa Habil berdepan pasang surut dunia perniagaan yang  tiada belas kasihan hingga akhirnya dia berjaya mengecap impian yang  dihajatinya. Jerit perihnya digugat dengan dugaan besar daripada teman lamanya,  Qabil (lakonan Zed Zaidi) yang juga merupakan saingan syarikatnya.  Persahabatan mereka turut teruji apabila masing-masing jatuh cinta pada  wanita yang sama, Maria (lakonan Siti Saleha). Saksikan kehebatan lakonan Aaron menerusi slot Samarinda yang  bersiaran setiap Selasa hingga Khamis pada pukul 10.30 malam di saluran  TV3 bagi mengikuti kisah selanjutnya. | 
  |  Yogyakarta dilanda hujan abu   Posted: 30 Oct 2010 05:44 PM PDT  ORANG ramai yang bermotosikal meredah hujan abu di Yogyakarta selepas Gunung Merapi meletup pada awal semalam.  
 HARGOBINANGUN, Yogyakarta - Orang ramai bertempiaran melarikan diri  ke tempat lebih selamat apabila Gunung Merapi di Indonesia mengeluarkan  letusan dahsyat awal semalam. Gunung setinggi 2,968 meter itu yang terletak kira-kira 30 kilometer  dari bandar raya Yogyakarta, Jawa Tengah, meletus selama 21 minit. Abu dari gunung berkenaan melitupi kawasan lebih 10 kilometer di sekitarnya. Anggota tentera dan polis yang berkawal di sekitar Merapi bergegas  menyelamatkan diri bersama ratusan penduduk apabila mendengar bunyi  gegak gempita sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) semalam. Tidak sampai beberapa minit, jalan-jalan di sekitar Merapi dipenuhi  trak, kereta dan motosikal ketika orang ramai segera meninggalkan lokasi  bencana. Jurucakap Hospital Sardjito di Yogyakarta, Arif Novianto berkata,  setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada terdapat mangsa yang  terbunuh dalam bencana semalam. Namun, dua orang maut semasa orang ramai  berasak-asak melarikan diri. "Dua lagi, seorang wanita dewasa dan seorang budak lelaki dua tahun, maut dalam kemalangan semasa bencana semalam," katanya. Letusan semalam adalah yang kedua selepas Merapi meletus pada Isnin lalu yang meragut nyawa 36 orang. Sebelum meletus, Merapi mengeluarkan asap dan memuntahkan lahar sejauh 3.5 kilometer ke bawah cerun pada pagi semalam. Sementara itu, di zon tsunami di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat,  pasukan petugas bantuan swasta bergelut dengan ombak besar dan hujan  lebat untuk menghantar makanan dan bekalan lain kepada mangsa-mangsa  tsunami. Lokasi tersebut terjejas teruk akibat tsunami yang dicetuskan oleh  satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 pada skala Richter pada Isnin lalu. Cuaca buruk di kepulauan Mentawai memaksa pihak tentera menggugurkan  bekalan dari beberapa pesawat dan menghentikan penggunaan bot dan  helikopter bagi penghantaran bantuan. Setakat ini, lebih 413 orang terkorban manakala lebih 23,000 lagi hilang tempat tinggal dalam bencana tersebut.  Dalam perkembangan berkaitan, doktor-doktor di Hospital Sikakap,  pulau Pagai Utara yang paling teruk terjejas akibat tsunami kecewa  kerana tidak dapat membantu sekitar 150 mangsa yang cedera ekoran  kekurangan bekalan ubat-ubatan. "Kami amat memerlukan morfin," kata seorang sukarelawan, Dr. Alyssa Scurrah, dari Sydney, Australia. Katanya, hospital berkenaan amat memerlukan sebuah generator dan ubat antibiotik dan lain-lain peralatan perubatan. Di sisinya, seorang budak perempuan berusia 12 tahun yang terbaring nazak akibat kecederaan di dada. Scurrah bimbang kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan kerana  kekurangan peralatan perubatan manakala usaha memindahkannya ke hospital  utama di Sumatera tergendala akibat ombak besar dan hujan lebat.  | 
  |  Universiti Oxford malu dek kes buli   Posted: 30 Oct 2010 05:43 PM PDT  Gambar memalukan pada majlis Bayi dan Ibu Remaja  di Facebook  menunjukkan pelajar-pelajar baru memakai lampin bayi.  
 OXFORD - Pihak pengurusan Universiti Oxford di Britain dimalukan  insiden sekumpulan pelajar senior memaksa beberapa belas pelajar baru  berpakaian seperti bayi pada majlis suai kenal pasukan bola lakros  wanita universiti berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam. Mahasiswi tahun pertama yang diterima menyertai pasukan itu dipaksa  memakai lampin bayi dan menghisap botol susu berisi arak pada majlis  suai kenal yang ganjil tersebut di sini pada Rabu lepas. Sementara itu, pelajar-pelajar senior melakonkan watak ibu dengan  memakai pakaian sukan dan menghisap rokok sambil menengking 'anak-anak'  mereka. Gambar-gambar kes buli pada majlis itu yang menampilkan tema Bayi dan Ibu Remaja, disiarkan di laman jaringan sosial, Facebook. Ketika ditanya berhubung kejadian memalukan tersebut, seorang jurucakap universiti berkenaan enggan memberikan sebarang komen. | 
  |  Buang toksin dalam tubuh   Posted: 30 Oct 2010 05:41 PM PDT    
 SEMENJAK malapetaka ekologi membabitkan Chisso Corporation, sebuah  kilang memproses baja di Minamata, Jepun pada tahun 1932, isu pencemaran  bahan kimia di dalam makanan khususnya hidupan laut seperti ikan dan  kerang terus diperkatakan hingga kini.  Sehingga tahun 2001, seramai 2,265 mangsa dikesan menghidap penyakit Minamata yang menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.  Penyakit itu berpunca daripada pembuangan methylmercuri secara terus ke dalam laut oleh Chisso dari tahun 1932 hingga 1968. Dalam insiden  tersebut, hidupan laut khususnya ikan dan kerang yang  menjadi makanan ruji penduduk Teluk Minamata tercemar dengan bahan kimia  bertoksik tinggi itu.  Bagaimanapun, peristiwa   tersebut menyebabkan para saintis lebih  giat mengkaji kehadiran logam berat  berbahaya di dalam hidupan laut  yang menjadi makanan masyarakat dunia.  Persatuan Kehamilan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah memberi  amaran kepada ibu mengandung agar tidak mengambil ikan tuna, merlin  serta mackerel kerana ia tercemar dengan  merkuri.  Tahap radiasi merkuri ikan tuna  dikenal pasti berdasarkan jenis dan  tempat ia ditangkap. Keracunan merkuri  mampu merosakkan perkembangan  otak serta fizikal janin.  Pada umumnya, siapa pun tahu racun memang mudarat untuk tubuh. Racun  yang terkumpul di dalam badan boleh datang daripada mana sahaja.  Ia mungkin daripada air atau makanan yang ditelan, udara yang dihirup atau sesuatu yang disentuh oleh tangan.  Antara logam berat yang sering ditemui di dalam tubuh ialah merkuri, aluminium kadmium, dan plumbum. Semula jadi |  
 |  | BEKAM penyahtoksin ialah antara kaedah alternatif untuk membuang toksin daripada dalam tubuh.  
 | 
   Menurut Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia, sebanyak  43 peratus daripada kes keracunan di negara ini yang dilaporkan pada  tahun 2008 berpunca daripada kandungan isi rumah.  Jelas Ahli Farmasi PRN, Sulastri Samsudin, penyebaran utama bahan  toksik berlaku melalui saluran makanan iaitu mulut, saluran pernafasan  (hidung), kulit dan mata.  Menurut beliau, makanan sendiri terhasil melalui gabungan beberapa  jenis bahan kimia dan menjadi sumber nutrisi seperti protein,  karbohidrat, vitamin, serat dan antioksidan.  Namun, terdapat bahan beracun  seperti cyanogenic glycoside di dalam sesetengah ubi. Sesetengah teknik pemprosesan masakan juga menghasilkan bahan  sampingan bertoksik seperti polycylic aromatic hydrocarbon atau  acrylamide.  Selain itu, bahan pencemar alam sekitar seperti plumbum dan bahan  berklorin, kadmium daripada kerak bumi serta alga dan kulat seperti  aflatoksin dan racun daripada kerang-kerangan boleh didapati  dalam  bekalan makanan pada tahap berbeza-beza.  Dalam pada itu, daripada kesemua sampel produk kosmetik serta bahan  makanan dan minuman yang diuji Pengguna Pulau Pinang (CAP) setakat ini,  hampir 99 peratus daripadanya mengandungi bahan beracun di dalamnya. Ini termasuk bekas polisterina, asid borik, bedak talkum, botol susu  Bisphenol A (BPA), bekas air polikarbonat, sotong kering serta perasa  tambahan Rhodamine B. Kesannya, setiap pengguna akan berdepan dengan risiko penyakit  berbahaya seperti kanser, perubahan genetik, diabetes, kerosakan buah  pinggang dan koronari jantung. Risiko  SESETENGAH jenis ikan mungkin dicemari logam berat, bergantung pada tempat ia ditangkap.  
 Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata, pelbagai kajian telah  menunjukkan bahawa bahan-bahan tersebut didapati bahaya untuk kesihatan  badan dan seeloknya  diharamkan penjualannya. Malangnya, kata beliau, sehingga kini asid borik  masih digunakan   dalam produk makanan walaupun pihaknya telah beberapa kali menggesa  Kementerian Kesihatan supaya mengambil tindakan terhadap isu tersebut. "Ujian yang dilakukan ke atas pelbagai makanan seperti mi kuning, bak  chang (ladu Cina) dan kuih Nyonya yang dibeli di pasar basah di Pulau  Pinang mendapati ia mengandungi  asid borik  dalam semua sampel. "Satu sampel bak chang didapati mengandungi 569 bps (bahagian per  sejuta) asid borik, mi kuning (6.51 hingga 296 bps) manakala kuih Nyonya  (0.78 hingga 13.5 bps) asid borik. "Asid borik amat toksin. Walaupun  diambil dalam jumlah yang kecil,  ia   boleh membawa kepada keracunan, penyakit gastrousus, kerosakan buah  pinggang dan hilang selera makan," katanya kepada Jurnal.  Selain itu, kata Mohamed, bagi penggemar  sotong kering, mereka   dinasihati agar tidak memakannya berikutan ujian terbaru yang mendapati  ia dicemari kadmium. Sebelum ini, kadmium digunakan dalam galvani dan elektropenyaduran,  dalam bateri, konduktor elektrik dan dalam pembuatan aloi serta plastik.   Selain itu, racun makhluk perosak endosulfan yang digunakan oleh para petani juga didapati berbahaya untuk kesihatan. Endosulfan ialah sejenis toksin yang sangat beracun dan disyaki boleh menjejaskan sistem endokrin.  Walaupun telah diharamkan pengeluarannya pada tahun 2006 di bawah  Akta Racun Makhluk Perosak 1974, penjualannya masih berleluasa di  sekitar negeri Kedah. Biasanya tubuh memproses racun-racun yang dikenali sebagai toksin itu  menerusi hati dan buah pinggang sebelum mengeluarkannya melalui air  kencing, peluh dan pembuangan air besar. Tetapi bagaimana jika sistem perkumuhan semula jadi itu gagal berfungsi? Nyahtoksin Disebabkan sumber racun yang memasuki tubuh terlalu banyak,  sesetengah orang mencari penyelesaian alternatif bagi membuang kekotoran  atau toksin yang terperangkap itu dengan pelbagai cara.  Antaranya ialah mengambil pil, pelekat, minuman serta makanan yang dikatakan mampu membuang toksin daripada tubuh.  Bagaimanapun, menurut pakar terapi nutrisi di My Life Center, Esther  Peh, cara terbaik untuk menyahtoksik ialah melalui proses semula jadi  oleh organ tubuh.  "Organ penting seperti buah pinggang, hati, kulit dan kolon mempunyai  sistem yang tersendiri untuk membuang kekotoran yang mendap di dalam  tubuh," terang beliau.  Namun, atas faktor usia, kecekapan organ tersebut kadangkala  berkurangan. Justeru, penggunaan rawatan penyahtoksin seperti terapi  chelation yang ditawarkan My Life Center dapat melancarkan proses  tersebut, katanya.   BUAH-BUAHAN dapat membantu mengeluarkan toksin daripada tubuh tetapi awas ia juga mungkin telah dicemari racun.  
 Jelas beliau, antara simptom utama tubuh manusia diserang oleh toksin  ialah hilang selera makan, keletihan melampau atau sukar untuk tidur.     Esther berpendapat seseorang individu perlu melakukan rejim nyahtoksin setiap tiga atau enam bulan sekali. "Dengan risiko terdedah pada pelbagai punca dan jenis toksin, amat perlu untuk memastikan toksik keluar  daripada tubuh.  "Ini penting bagi mengelakkan kerosakan organ seperti usus, buah pinggang atau hati  di samping berlakunya dehidrasi," katanya. Sambung Esther, disebabkan toksin amat berkait rapat dengan lemak, individu perlu melakukan rutin senaman secara teratur.  Selulit, jelasnya, merupakan ukuran mudah untuk mengetahui tahap  toksin  di dalam tubuh seseorang kerana toksin sentiasa 'melekat' pada  lemak.  Selain  itu,  tubuh turut memerlukan agen pemulihan.  "Pengambilan antioksida seperti makanan tinggi serat atau lengai  anggur boleh membantu  memulihkan organ yang luka akibat proses  nyahtoksin," kata Esther.  | 
  |  Derma semua organ   Posted: 30 Oct 2010 05:40 PM PDT |  
 |  | ADA kesan parut berbentuk  lambang kereta Mercedes di perut Hoong Ling. Beliau menganggap organ  manusia sama seperti alat ganti kereta.   
 | 
 HAKIKATNYA, kesihatan Chew Hoong Ling, 30, tidak begitu memuaskan.  Beliau mengalami masalah selesema berpanjangan, gastrik, pekak telinga  kiri sejak lahir dan hanya mempunyai satu buah pinggang. Namun, kekurangan itu tidak menghalang wanita kecil molek kelahiran  Ipoh, Perak ini mendermakan sebanyak 60 peratus hatinya kepada seorang  pesakit hepatoblasma pada tahun 2009.  Penerima hatinya itu ialah seorang remaja perempuan dari Kuala  Lumpur, Lee An Qi, 14. An Qi menderita penyakit kanser hati sejak usia  13 tahun.  "Tiada seorang pun ahli keluarganya memiliki kumpulan darah yang sama  dengan An Qi kecuali neneknya yang tidak boleh menjadi penderma kerana  faktor usia.  "Jadi saya ambil keputusan untuk membantu," kata Hoong Ling yang  pernah mengacarakan Selamat Pagi Malaysia di TV1 dan sekarang aktif  memberi ceramah mengenai pendermaan organ.  Menurut Hoong Ling, hatinya telah lama dijentik kesedaran menderma  organ sewaktu berumur 13 tahun lagi iaitu selepas membaca buku kecil di  sudut bacaan Persatuan Buddha Hilir Perak di Teluk Intan.  Berita budak berusia 11 tahun, Ong Ai Ling yang disiarkan dalam  akhbar The Star pada 20 April 1986 turut dimuatkan dalam buku itu.  Ai Ling, murid darjah enam Convent St. Anne di Kulim, Kedah berikrar  untuk mendermakan kedua-dua matanya selepas kematiannya. Ai Ling ialah  penderma mata paling muda di negara ini ketika itu.  "Ia seperti ABC atau permulaan kesedaran pendermaan organ kepada  saya. Artikel mengenai Joy of Giving (Kegembiraan Memberi) itu ternyata  menjadi inspirasi kepada saya," kenang beliau. Semenjak itu, satu persatu organ yang melekap kejap di tubuhnya diikrar untuk didermakan.  Semua organ yang boleh didermakan iaitu hati, mata, buah pinggang,  paru-paru, jantung, kulit dan tisu, telah diikrarkan oleh Hoong Ling  untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan selepas kematiannya.  E-mel Dalam bukunya yang baru diterbitkan, I don't Know You but Let Me Save  You, Hoong Ling menceritakan pengalamannya mendermakan hati kepada An  Qi, bermula daripada e-mel berantai yang diterimanya hinggalah kisah  selepas beliau menjalani pembedahan pemindahan hati.  "Saya menerima e-mel itu pada November 2008. Saya sangka pesakit itu  (An Qi) memerlukan darah jenis O+. Tetapi apabila saya menghubungi  keluarganya, dia sebenarnya memerlukan hati baru.  "Saya tergamam sekejap. Yelah, saya ingatkan apa yang saya ikrarkan  selama ini akan ditunai selepas saya mati. Tak sangka ia perlu dilakukan  semasa saya masih hidup," katanya dalam ketawa halus.  Cabaran pertama Hoong Ling untuk melaksanakan cita-cita murninya itu  ialah mendapatkan keizinan ibu bapanya. "Anggap saja ia sebagai hadiah  hari lahir dan memberi kehidupan baru pada seseorang," begitulah  kata-kata pujukan wanita ini kepada bapanya, Chew Wah Chye.   HOONG LING dan An Qi (kiri) selepas pembedahan pemindahan hati di Singapura Januari tahun lalu.  
 Mujurlah si bapa seorang yang sangat memahami. Sementelah bapanya,  Wah Chye, lulusan Universiti Perubatan Tradisional Guangzhou di China,  gemar menolong orang. "Bapa saya menjadi pemain keyboard dan saksafon pada malam hari dan  doktor tradisional pada sebelah siang. Dia belajar perubatan tradisional  Cina kerana satu sebab sahaja iaitu mahu membantu orang lain.  "Dia mengenakan caj yang minimum untuk rawatan akupuntur khususnya bagi pesakit strok dan pesakit miskin," beritahu Hoong Ling. Perjalanan hidup penderma organ ini selepas itu diselang-seli dengan kejutan atau mungkin juga kebetulan.  Bapa Apabila bertemu buat pertama kali dengan keluarga An Qi di Pandan  Perdana, Kuala Lumpur, Hoong Ling terkejut kerana bapanya dan bapa An Qi  rupa-rupanya saling mengenali.  Manakala semasa diperiksa di sebuah makmal perubatan di Subang Jaya,  Selangor bagi memastikan beliau benar-benar layak mendermakan hati,  Hoong Ling terkejut apabila doktor memberitahu beliau tidak mempunyai  buah pinggang sebelah kiri. "Saya hampir terlompat daripada katil kerana kita sepatutnya memiliki  sepasang buah pinggang. Dua orang doktor lain yang saya temui selepas  itu turut mengesahkan saya hanya ada satu buah pinggang tetapi lebih  besar sedikit berbanding saiz normal. "Saya menamakannya 'penapis  turbo'," kata Hoong Ling.  Menurut Hoong Ling, ramai yang bertanya kepadanya kenapa beliau  sanggup mendermakan hati dan semua soalan itu dijawab dengan pertanyaan  'kenapa tidak?'.  "Gembira yang sebenar  adalah pada saat saya melihat  An Qi tersenyum  lebar kepada saya  ketika jururawat membuka tirai penghadang selepas  beberapa hari pembedahan," kata Hoong Ling yang agak fasih berbahasa  Tamil kerana sering bergaul dengan rakan-rakan berketurunan India semasa  di sekolah.  Pembedahan pada Januari tahun lalu itu dilakukan di Pusat Transplan  dan Penyakit Hati Asia (ACLDT) di Singapura, sebuah pusat perubatan yang  diasaskan oleh Datuk Dr. K.C. Tan pakar perubatan yang berasal dari  Kuala Kubu Baru, Selangor. Bagaimanapun, An Qi meninggal dunia sembilan  bulan kemudian akibat jangkitan paru-paru. Parut Jika ada yang takut mengenai parut pembedahan, Hoong Ling menjelaskan  bukan saiz atau keadaan parut yang patut dinilai tetapi apa yang  menyebabkan parut itu.  Setiap kali memandang parut itu, Hoong Ling yakin yang dia telah  mengambil keputusan yang tepat dan bijak iaitu menyelamatkan satu lagi  nyawa.  "Ajaibnya, saya semakin sihat setelah mendermakan sebahagian hati  saya. Saya tidak lagi mengalami demam atau selesema yang berpanjangan.  Ia seperti   ubat ajaib," katanya.   Sejak menjadi ahli Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan  Organ di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia  Jun lalu, kehidupan Hoong  Ling semakin aktif.  Kata beliau, program-program kesedaran mengenai menderma organ itulah yang memacu kesihatannya pada tahap yang terbaik.  Lebih menakjubkan, hanya selepas lima bulan pembedahan, Hoong Ling  telah berlari sejauh lima kilometer dalam acara KL Marathon 2009 dan 10  bulan kemudian, dia berlari dalam Larian Jambatan Pulau Pinang. Kepada pembaca di luar sana hanya satu pesan Hoong Ling - dermalah  organ dan anda akan hidup walaupun selepas mati. "Tubuh kita ibarat  kereta. Alat ganti kereta mungkin digunakan semula untuk kereta yang  lain, sama seperti tubuh kita. Bila kita mati, 'alat-alat ganti' itu  iaitu organ-organ kita, akan terus tinggal di dunia untuk berkhidmat  kepada orang lain," katanya. | 
  |  Cerita Sazzy hamil   Posted: 30 Oct 2010 05:40 PM PDT  SAZZY FALAK  
 KETIKA kawan-kawannya, Ashraf Sinclair, Dynas Mokhtar serta Aisyah  Sinclair masing-masing sudah menimang cahaya mata sendiri, ramai yang  tertanya-tanya bilakah pengacara dan pelakon comel, Sazzy Falak akan  bergelar ibu. Agak-agaknya, adakah 'sindrom' kehamilan sudah berjangkit atau belum  ke perut Sazzy memandangkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini,  jarang benar Diva terserempak dengan Sazzy. Itu sangka Diva. Hendak  dijadikan cerita, seorang kenalan Diva, yang suka melepak di kedai kopi  sudah terdengar satu berita pasal isteri Nazril Idrus itu. "Va, aku dengar Sazzy sekarang sedang hamil. Pasti anaknya nanti  comel macam maknya juga kan. Kalau setakat cerita dalam Internet aku tak  hairan, ini cerita yang keluar daripada mulut Sazzy sendiri. Lagi satu,  sejak mengandung, doktor dah nasihat Sazzy supaya jangan ambil tawaran  kerja yang berat-berat. Manja-manja bolehlah," beria-ria beritahunya  kepada Diva. Sudah berapa bulan usia kandungan Sazzy tidaklah Diva mahu menyibuk,  tunggulah tuan punya perut yang buat pengumuman. Diva ucapkan tahniah  dan doa yang baik-baik untuk Sazzy dan Nazril. | 
  |  Ayu OIAM dan rakam lagu lama   Posted: 30 Oct 2010 05:36 PM PDT    
 INI kisah terbaru yang bergeser dan mencelah masuk ke gegendang  telinga Diva tentang juara One In A Million, Ayu (OIAM) yang pernah  'kecoh sepetang' dengan kisah perkahwinan senyap-senyapnya sekitar tahun  lepas. Fikir-fikir, Ayu seorang berbakat, suaranya bagus cuma..., bab cuma  itu tak perlulah Diva panjang-panjang sebab semua milik insan adalah  anugerah Yang Maha Kuasa. Tinggal lagi Ayu sendiri yang kena baiki skil  komunikasi dan keakrabannya dengan semua pihak supaya perjalanan karier  sentiasa membuahkan harapan. Dengar-dengarnya Ayu sekarang tengah bertungkus-lumus masuk dan  keluar studio untuk album baru. Bukan calang-calang album baru, tapi ini  album 'cover version' atau dalam bahasa Melayu, disebut rakaman semula.  Setahu Diva, sudah ada beberapa lagu lama dirakamkan oleh Ayu, judul  yang paling melekat di cuping telinga kanan Diva ialah lagu Flora Cinta  nyanyian asal Min Malik. Sedap lagu itu! Diva yakin Ayu boleh  mendendangkan lenggok lagu berkenaan mengikut cara tersendiri cuma, Diva  tertanya kenapa rakaman semula, tiada lagu baru atau memang untuk  tujuan penghargaan. |