Adsense

Selasa, 2 April 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Malam kemuncak Lantai Cilik, 6 April ini

Posted: 02 Apr 2013 05:34 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM

KUALA LUMPUR 2 April - Setelah melepasi 13 episod yang menguji kemahiran menari dalam pertandingan peringkat zon hinggalah 12 kumpulan di peringkat nasional, kini tinggal lima kumpulan bakal menunjukkan bakat tari masing-masing dalam Malam Kemuncak Lantai Cilik, 6 April ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli, program tersebut merupakan program televisyen pertama di Malaysia yang mengetengahkan pertandingan mencari juara tarian tradisional dan kontemporari di kalangan kanak-kanak sekolah rendah berusia 12 tahun ke bawah.

"Pertandingan yang dilakukan secara berkumpulan ini akan memberi peluang kepada para pelajar menyerlahkan bakat hasil gilapan yang telah mereka pelajari.

"Program ini merupakan kerjasama erat di antara JKKN dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang telah bermula sejak 18 Februari lalu yang telah menyenaraikan 84 kumpulan daripada sekolah terpilih," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Perit kerana kurang popular

Posted: 02 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ZAKARIA IDRIS

SELEPAS 10 tahun menjadi pelakon drama Zara Zya teringin berlakon filem.

ZARA Zya bukanlah nama baru dalam bidang lakonan tempatan. Tahun ini genap 10 tahun dia menjadi pelakon. Bagaimanapun, pelakon kecil molek ini seakan-akan belum betul-betul menyerlah seperti pelakon-pelakon seangkatan dengannya.

Sepanjang sedekad menjadi pelakon Zara yang kini berusia 28 tahun telah membintangi banyak drama televisyen. Sayangnya, dia masih menganggap namanya belum popular di kalangan penonton drama di negara ini.

Menurut Zara, dia akur dengan rezeki yang mungkin belum memihak kepadanya setakat ini. Ekoran itu, dia pernah melalui keperitan hidup sebagai pelakon apabila tidak menerima tawaran berlakon selama hampir enam bulan.

Sepanjang tempoh itu Zara pernah putus sumber kewangan sehinggakan keretanya telah ditarik oleh pihak bank gara-gara tidak mampu menjelaskan bayaran ansuran bulanan. Namun, itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berlakon sehinggalah ke saat ini.

Saya pernah tidak ada tawaran berlakon drama selama lima hingga enam bulan menyebabkan saya tidak mampu untuk membayar ansuran bulanan sehingga kereta Suzuki Swift milik saya itu kena tarik oleh pihak bank.

Ketika itu saya tidak mampu untuk membayar ansuran kereta itu sebanyak RM800 sebulan. Mujurlah saya masih ada keluarga dan kawan-kawan yang banyak membantu di saat-saat saya sedang berada dalam kesusahan pada ketika itu.

Emak saya (Kamarul Ain Mohd. Amin) banyak memberi semangat supaya saya tidak putus asa," katanya kepada Hits sewaktu ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri berjudul Tanah Merah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tanah Merah yang diterbitkan oleh pengarah terkenal Kabir Bhatia itu merupakan drama bersiri terbaru lakonan Zara sebanyak 13 episod yang akan ditayangkan mulai 4 April ini.

Namun, pengalaman pahit itu tidak mematahkan semangat Zara, sebaliknya dia terus berusaha memperlihatkan mutu lakonannya. Antaranya dengan menyertai kelas lakonan yang dianjurkan pelakon Fauziah Nawi selama enam bulan.

Selain itu, saya juga pernah mengikuti kelas lakonan yang dianjurkan oleh pelakon seperti Datin Marlia Musa dan Shariza Mahmud. Pada masa sama, saya juga meneliti gaya lakonan pelakon lain yang sudah terkenal sekarang ini.

Contohnya, saya banyak melihat gaya lakonan pelakon seperti Noorkhiriah dan Nadia Nisa dalam drama-drama lakonan mereka yang disiarkan melalui laman YouTube. Daripada situ saya banyak belajar tentang teknik berlakon," ujarnya.