Adsense

Sabtu, 27 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Gotong-royong banyak faedah

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Gambar MOHD. NOOR MAT AMIN

EZANY membantu memasang langsir dan cadar baharu sambil dibantu rakan artis, Amran Ismail di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Taqwa, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Selain daripada ibadah puasa wajib, kita juga digalakkan menunaikan solat tarawih selain bertadarus. Dalam waktu yang sama, kita juga dituntut untuk melakukan pelbagai aktiviti mulia yang lain.

Antara aktiviti yang pastinya turut mendapat keberkatan adalah melibatkan diri dengan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran seperti perumahan, surau atau masjid, sekolah serta rumah-rumah kebajikan.

Itu juga antara aktiviti yang sering disertai oleh pelakon, Ezany Nizariff sekiranya mempunyai waktu terluang daripada urusan lakonan dan bidang perniagaan yang disertainya.

"Gotong-royong seperti ini banyak faedah buat diri kita. Ini kerana selain daripada ia merupakan kerja amal, kita juga dapat mengeluarkan peluh.

"Pada masa yang sama, dapat juga kita gunakan peluang tersebut untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kita, apatah lagi sekiranya ia melibatkan kawasan perumahan," katanya.

Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zaini Mohd Nizariff ditemui sewaktu menyertai Majlis Gotong-Royong dan Buka Puasa di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Taqwa, Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis tersebut merupakan anjuran Kelab Sukan Dan Rekreasi Utusan Karya yang melibatkan kira-kira 50 orang peserta termasuk ahli persatuan dan beberapa artis popular tempatan.

Tambah Ezany lagi, antara sebab utama yang menarik minatnya untuk sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti sedemikian adalah kerana ia memberinya peluang untuk berkenalan dengan banyak pihak.

"Tugas sebagai seorang pelakon memerlukan kita bekerja sehingga awal pagi dan apabila pulang ke rumah, banyak masa dihabiskan untuk berehat dan kurang pergaulan sesama jiran.

"Jadi melalui aktiviti seperti ini, sekurang-kurangnya kita dapat berkenalan dengan jiran tetangga dan perkara tersebut amat mustahak dalam kehidupan seharian kita," tambahnya.

Selain daripada Ezany, antara artis lain yang turut hadir memeriahkan majlis amal tersebut termasuklah Arash Mohd., Chomell Fana dan Amran Ismail.

Masih belum sampai kemuncak

Pelakon yang kini berusia 40 tahun ini bukanlah nama baharu dalam industri seni lakonan tanah air, malah jika diikutkan dia telah melibatkan diri dalam bidang tersebut kira-kira 12 tahun. Namun menurutnya, dia masih belum mencapai tahap kemuncak dalam karier lakonannya.

"Saya akui kedudukan saya sebagai seorang pelakon di Malaysia masih belum berada pada tahap kemuncak karier saya. Saya harap peluang untuk saya mencapai impian itu masih terbuka luas.

"Namun saya juga tidak mahu terlalu cepat mencapai tahap sedemikian kerana risau populariti yang diraih tidak dapat bertahan lama.

"Jadi saya lebih selesa bergerak dalam bidang ini dengan kaedah tersendiri. Biarlah populariti yang diraih tidak seberapa kerana saya tidak mahu terjebak dengan sebarang kontroversi liar," jelasnya.

Walaupun begitu, hidup sebagai seorang pelakon tidak lengkap sekiranya tidak terpalit dengan kontroversi. Baru-baru ini Ezany sendiri telah merasakan pengalaman sedemikian apabila bayaran gaji hasil lakonannya tidak dijelaskan pihak produksi.

"Walaupun saya cuba untuk mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi, sekali sekala terpalit juga, tetapi mujurlah segalanya telah selesai.

"Kini saya mahu terus fokus kepada perkara-perkara yang lebih memberikan kebahagiaan dalam hidup, khususnya dengan kehadiran cahaya mata baharu yang kini berusia tiga bulan," jelasnya.

Memey teruja sambut Syawal

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

KELAHIRAN Mohamed Darwisz bagaikan azimat yang menambahkan lagi kebahagiaan buat pasangan Norman dan Memey.

KEHADIRAN Ramadan pastinya memberi seribu kebaikan kepada setiap insan. Begitu juga bagi pelakon Suhaiza Suhaimi, 25, atau lebih dikenali dengan nama Memey.

Memey memberitahu .com, tahun ini merupakan tahun penuh bermakna buat dirinya. Selain dapat berkumpul dan menjalani ibadah bersama keluarga sepanjang Ramadan, dia juga bakal menyambut kedatangan Syawal dengan 'orang baharu'.

Kehadiran orang baharu itu membuatkan Ramadan kali ini begitu bermakna buat Memey dan suaminya, Norman Hakim.

Menurutnya, orang baharu yang dimaksudkan itu adalah anak sulungnya, Mohamed Darwisz yang dilahirkan pada Februari lalu.

Katanya, dia begitu teruja menjalani ibadah berpuasa dan menyambut Syawal pada tahun ini kerana ia merupakan puasa dan raya pertama Memey bergelar seorang ibu.

Ketika ditemui .com dalam majlis berbuka puasa anjuran The Royale Bintang Damansara, Memey memberitahu kehadiran Muhamed Darwisz telah melengkapkan kehidupannya sebagai seorang wanita.

"Memang teruja sangat, lebih-lebih lagi inilah kali pertama saya membeli-belah keperluan raya untuk anak," katanya yang mengakui gemar membeli-belah pada saat akhir.

"Selalunya saya akan keluar membeli-belah seminggu sebelum Syawal. Bukan sebab tak ada masa, tetapi sebab saya seronok merasai kemeriahan malam menjelang raya ketika membeli-belah," katanya.

Sementara itu, Norman berkata, kelahiran Mohamed Darwisz bagaikan azimat yang menambahkan lagi kebahagiaan hidup bersama isteri tercinta.

"Dengan kelahiran anak baru ini, saya kini mempunyai dua anak lelaki dan dua anak perempuan," ujarnya.

Tiga daripada anak Norman itu adalah daripada hasil perkahwinannya dengan pelakon Abby Abadi.

"Insya-Allah pada hari raya tahun ini, kami akan berkumpul bersama. Malah, bekas isteri saya, Abby pun akan menyertai sambutan Syawal bersama kami," katanya yang bersyukur kerana sejak setahun kebelakangan ini hubungannya dengan bekas isteri lebih rapat demi kebajikan anak-anak.

Dalam majlis itu, Memey dan Norman turut beramah mesra bersama anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Turut memeriahkan majlis tersebut ialah beberapa rakan artis yang lain. - SYAHRIL/AIZZUL A. MAJID

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Belum sempat buka bersama

Posted: 26 Jul 2013 05:25 PM PDT

KD tidak abaikan komunikasi dengan dua anak walaupun tinggal berasingan

Biarpun tidak tinggal sebumbung, penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti akan cuba mencuri masa untuk berbuka puasa dengan dua anak hasil perkahwinannya dengan Anang Hermansyah iaitu Aurel dan Azriel.

Namun Ramadan ini, disebabkan terlalu sibuk dengan pelbagai urusan, wanita berusia 38 tahun itu mengakui, masih belum berkesempatan untuk berkumpul dengan dua anaknya yang sedang meningkat remaja itu.

"Masih belum bertemu waktu yang sesuai, justeru kami belum berkesempatan untuk berbuka bersama-sama. Saya berdoa diberi Tuhan kesempatan sebelum Ramadan berakhir," katanya ketika ditemui media pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Jakarta Pusat, petang Isnin lalu.

Mesra disapa KD, adik kepada Yuni Shara itu mengakui, dia tidak pernah mengabaikan dua anak yang memilih untuk tinggal bersama bekas suaminya selepas rumah tangga yang dibina selama 13 tahun gagal dipertahankan.

KD berkata, dia sering menitikberatkan komunikasi dengan Aurel dan Azriel, malah bersyukur kerana isteri Anang, Ashanty selalu menghubungi supaya hubungan mereka tidak renggang.

"Tidak hanya Ashanty, Anang juga kerap memaksa saya supaya bertemu. Cuma sampai sekarang, kesempatan itu masih belum wujud.

"Bukan saya menolak tetapi ada ketika, anak-anak sibuk dengan jadual masing-masing. Itu yang menyebabkan pertemuan antara kami sering tertunda," katanya.
KD yang turut memiliki dua anak hasil perkahwinan kedua dengan Raul Lemos bersyukur kerana hubungannya dan Anang bertambah baik dan tidak lagi setegang dulu.

"Alhamdulillah komunikasi antara kami bertambah erat. Sering saya akan berbual dengan Ashanty, malah dia kerap memaksa saya datang bertemu anak-anak kerana tidak mahu hubungan kami jauh," katanya.

Menjadi kebiasaan penyanyi yang terkenal dengan lagu, Menghitung Hari ini, Ramadan akan dimanfaatkan dengan aktiviti amal seperti berbuka puasa bersama anak yatim.

"Setiap tahun, saya cuba memperuntukkan masa untuk berbuka dengan anak yatim. Cuma tahun ini, acara itu terpaksa dilakukan di hotel kerana undangannya terlalu ramai dan memerlukan ruang lebih luas.

"Untuk tahun ini, saya mengundang empat yayasan dan setiap satu mempunyai lebih 50 anak yatim. Alhamdulillah kerana selain mengeratkan silaturahim, acara ini juga membawa keberkatan dan keceriaan dalam hidup,'' katanya.

Namun dalam keceriaan itu, KD memberitahu, hatinya berat apabila suaminya tidak dapat menyertai bersama kerana terikat dengan pekerjaan di Timor Leste.

"Kebiasaannya Raul akan turut serta tetapi kali ini, dia terpaksa melepaskannya kerana terikat dengan kesibukan lain. Bagaimanapun, dia sentiasa memberi sokongan.

"Sering dia mengingatkan saya, Ramadan ini harus dimanfaatkan untuk meningkatkan amal ibadah kerana terlalu banyak keberkatan yang menanti," katanya.

Terharu memeluk anak yatim

Berbicara panjang pada petang itu, KD tidak dapat melindungi perasaan terharu yang bersarang di sudut hatinya.
Tidak pernah dia menyangka, anak perempuannya, Ariannha Amora Lemos mempunyai jiwa yang luhur ketika dibawa bersama menghadiri acara berbuka puasa.

"Saya terharu melihat Amora memeluk seorang demi seorang anak yatim. Saya tidak pernah mengajarnya berbuat begitu. Alhamdulillah dia sudah menunjukkan sifat mulia dan saya berharap ia berkekalan dalam dirinya.

"Amora seorang yang suka memperlihatkan perasaannya, malah memiliki jiwa pendidik yang kental. Saya sering membawa mereka bersama jika mengikuti kelas pengajian.

"Saya mahu Amora dan adiknya membesar memiliki akhlak dan iman yang kuat. Disebabkan itu, sejak kecil saya sudah terapkan mereka dengan ilmu agama," katanya.

Memilih untuk menetap di Dili sejak mendirikan rumah tangga dengan Raul, KD berkata, dia sudah dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di sana.

"Anak-anak juga senang setiap kali berkesempatan pulang ke rumah. Setiap kali berada di Dili, menjadi kebiasaan untuk kami berkumpul bersama keluarga dan paling dinanti berlibur di Pantai Kristuray.

"Dili memiliki keistimewaan yang tersendiri. Biarpun tidak membesar di sini, tetapi saya berbangga menjadi sebahagian daripadanya.

"Alhamdulillah, anak-anak juga tidak banyak ragam menetap di sini. Dulu di Jakarta, setiap kali Maghrib anak kecil saya pasti menangis tetapi apabila kembali ke Dili, dia tidak lagi meragam," katanya.