Berita Harian: Hip |
Posted: 20 Jan 2013 01:42 PM PST Pasangan suami-isteri, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, masih terasa kesannya sehingga ke hari ini walaupun tiada sebarang bukti menunjukkan mereka terbabit dalam kejadian mencuri pakaian di sebuah gedung pakaian terkenal, seperti yang pernah kecoh sekitar Oktober tahun lalu. Kepedihan gara-gara tuduhan tidak berasas itu cukup dirasakan Scha apabila dia mengaku kecewa dengan penganjur yang seolah-olah lepas tangan apabila isu itu tersebar.
Saya cuba juga meminta jika ada salinan CCTV yang menunjukkan kami melakukan tindakan salah laku itu sebagai bukti, tapi permintaan kami gagal ditunaikan, ujar Scha ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah peraduan Petronas Switch for XTRA Road Challenge di Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Pertandingan berupa kempen yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail atau FBI, itu menyaksikan selebriti terpilih seperti Scha, Awal dan blogger terkenal, Hanis Zalikha, mengembara ke seluruh negara sekali gus menyudahkan pelbagai cabaran dikehendaki bersama peminat terpilih. Ditanya apakah tuduhan nakal itu menjejaskan kerjaya seninya terutama membabitkan pandangan khalayak terhadapnya, Scha mengakui ia memberi sedikit tempias. Walaupun tidak secara terang-terangan, tetapi ada juga syarikat produk saya wakili yang menyiasat kesahihan perkara itu daripada orang lain. Mungkin mereka bimbang jika perkara itu benar-benar terjadi. Namun saya tetap menerima jemputan daripada pelbagai pihak untuk menjadi tetamu majlis. Sekali gus ia membuktikan mereka percaya saya tidak terbabit dengan kes mencuri, tegasnya.
Sebagai pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga, soalan mengenai cahaya mata pastinya wajib ditanyakan kepada pasangan suami isteri. Maklum saja, selepas hampir lapan bulan berkahwin tentunya peminat Scha dan Awal mahu melihat mereka dikurniakan zuriat sendiri. Bagaimanapun timbul juga cakap-cakap nakal yang mendakwa mereka tidak bersedia untuk mempunyai anak kerana masih memburu keseronokan hidup berdua. Ditambah pula dakwaan kononnya Scha bimbang bentuk tubuh akan berubah sebaik saja menimang cahaya mata. Siapa kata saya tak mahu anak? Memanglah orang lihat kami ini enjoy sepanjang masa, seolah-olah tak bersedia untuk memiliki zuriat sendiri. Dalam hal ini saya percaya kepada rezeki. Jika Tuhan nak bagi, kami memang bersedia bila-bila masa saja. Tapi, saya ada juga dengar nasihat daripada beberapa rakan artis supaya tidak terlalu tertekan memikirkan soal ini. Dynas contohnya, mula-mula dia memang tertekan dengan soal anak sehingga sampai satu tahap dia sudah malas untuk mencuba. Namun siapa sangka saat dia mula putus asa, tiba-tiba Tuhan beri rezeki, ujar Awal optimis. Terkejut masih ada peminat Mengenai namanya sekali lagi membolos senarai Top 5 Pengacara Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-26, Awal berkata, dia sendiri terkejut kerana menganggap masa untuknya berada dalam senarai itu sudah lama berlalu sebaik saja dia mendirikan rumah tangga. Memang saya tak sangka kerana tahun lalu produk saya tidak banyak, ditambah dengan status saya yang sudah pun berkahwin. Ada lagi ke peminat? Lagipun saya memang tak banyak berkempen berbanding ABPBH tahun lalu. Jadi, apabila nama saya sekali lagi dicalonkan, saya memang terkejut dan terima kasih kepada peminat yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya seni saya, katanya teruja. |
Posted: 20 Jan 2013 01:39 PM PST Dalam pelaksanaan sesebuah produksi teater, sama berskala kecil mahupun besar, kewangan tetap menjadi perkara utama selain aspek lain seperti skrip, pelakon atau lokasi pementasan. Sehingga hari ini, teater tanah air belum boleh dilabelkan sebagai industri kerana pulangannya yang rendah. Ia menyumbang kurang daripada RM50 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia nyata sebuah bidang yang perlu mendapat sokongan daripada semua pihak untuk meletakkan teater pada tahap lebih tinggi dan dihargai.
Di ibu negara, hanya wujud sebuah lokasi untuk pementasan teater berskala besar iaitu di Panggung Sari, Istana Budaya. Lokasi lain bagi pementasan sederhana termasuklah Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Panggung DBKL, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac), PJ Live Arts Theatre dan dewan Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Skop Hip mengupas topik Teater Kecil atau Teater Besar - Mencari Perdamaian yang dibincangkan pada Dialog Sri Pentas diadakan baru-baru ini. Dialog selama dua jam itu dipengerusikan pengkritik filem dan penggiat teater, A Wahab Hamzah. Ahli panelnya pula pelakon dan pengarah, Fauziah Nawi; Pemilik The Instant Cafe Theatre Company, Jo Kukathas; Penerbit, Hans Isaac; dan penggiat teater, Noor Azam Shairi. Pilih teater kecil
Saya sudah puas merintih dan meminta sedekah daripada penaja. Dari dulu hingga sekarang, usaha saya untuk mendapatkan penajaan besar tidak pernah berjaya. Memandangkan minat berkarya tidak pernah padam, saya memilih alternatif lain dengan mementaskan teater hanya di Stor Teater DBP sehingga sekarang, katanya yang kecewa terhadap persepsi badan korporat terhadap penggiat teater kecil sepertinya. Penerbit Teater Muzikal Lat, Hans, pernah melalui situasi sama bagi projek teater pertamanya tidak lama dulu. Situasi sama berlaku pada teater berskala besar. Penaja biasanya mahu pulangan balik daripada apa yang mereka bagi. Akhirnya, saya terpaksa mengambil risiko besar dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri. Selepas pementasan pertama berjaya dan mendapat penaung daripada kalangan pemimpin negara untuk projek teater kedua, barulah saya mendapat kepercayaan penaja, katanya yang menekankan elemen komersial serta jalan cerita yang umum bagi karyanya. Lokasi strategik Umumnya, teater di negara ini hanya ditonton peminat seni persembahan dan pelajar yang mengikuti bidang sama. Pelbagai usaha dijalankan kerajaan mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menarik minat generasi muda mendekati teater, cuma ia belum menunjukkan perkembangan positif. Dalam mencapai matlamat besar terhadap perkembangan teater, kemudahan lokasi yang strategik termasuk pusat kegiatan seni dan institusi kesenian harus berada di bawah satu bumbung. Ia merangkumi kemudahan kawasan letak kereta yang memudahkan penonton hadir. Begitu juga dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap kecintaan dunia teater dan sastera, ia harus digalakkan sejak di bangku sekolah hingga ke peringkat IPT. Promosi berterusan di lokasi strategik dan tumpuan orang ramai turut memainkan peranan penting dalam menarik minat khalayak. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |