Adsense

Isnin, 13 Disember 2010

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Majlis Pertunangan 'Kejutan' Shuib Buat Siti Sarah

Posted: 13 Dec 2010 08:45 PM PST

Siti Sarah terpikat dengan kesederhanaan Shuib.

KUALA LUMPUR: Mengambil iktibar dari pengalaman silam, penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 26, enggan terlalu terbuka bercerita tentang cinta barunya.

Sebelum ini, dia pernah putus tunang dengan jejaka berasal dari New Zealand, Mohd Harith Fuad Robinson.

Kini Sarah telah meninggalkan kisah silamnya.

Yang penting dia sedang berbahagia dengan tunangnya, Shahmira Muhammad, 26, atau Shuib (Raja Lawak) selepas mereka melangsungkan pertunangan pada 16 November lalu di kediaman keluarga Sarah di Kuala Selangor.

Bukan sengaja menyorok berita pertunangannya daripada pihak media sebaliknya penyanyi lagu Kesetiaan ini menerima kejutan daripada pihak Shuib.

"Saya sebenarnya tak sangka daripada nak membuat majlis merisik sahaja, terus jadi majlis bertunang. Jika ikut perancangan, keluarga Shuib hendak datang merisik sahaja.

"Tetapi tanpa diduga rombongan mereka datang dengan membawa hantaran. Jadi, saya dan keluarga terus bersetuju," kata Sarah ketika ditemui pada sidang media pelancaran produk kesihatan Balung Natural Herbal di Hotel Concorde, di sini, Isnin.

Sarah dengan produk Balung yang dilancarkan di Hotel Concorde, Isnin.

Biarpun begitu, kedua-dua pihak belum menetapkan tarikh pernikahan mereka. Kemungkinan mereka akan berkahwin pada tahun hadapan.

"Saya pihak perempuan, jadi tak manis untuk memberitahu tentang tarikh pernikahan kami. Saya hanya menyerahkan kepada Allah.

"Mungkin kami akan membincangkan tentang majlis ini selepas Shuib selesai kerjanya dalam tempoh dua bulan lagi kerana sekarang dia sangat sibuk," ujarnya yang turut sibuk dengan pencarian material untuk single terbarunya.

Menduga sebab yang membuatkan hati Sarah terpaut pada Shuib, anak kepada aktor Raisuddin Hamzah ini berkata lelaki itu tidak pernah mengongkongnya.

"Apabila bersama Shuib, saya tidak perlu memakai solekan dan dia menerima siapa saya. Dia juga mempunyai perwatakan yang berbeza semasa berlakon dan di luar.

"Dia layan saya seperti orang biasa. Saya sangat suka dirinya yang bersederhana dalam melakukan setiap perkara. Dia juga menghormati keluarga saya," katanya.

Tambahnya: "Saya mengenalinya pada Oktober 2009 semasa membuat rakaman program Gelak Khas untuk Astro Warna.

"Selepas itu, dia menelefon bapa saya dan buat pengakuan untuk berkahwin dengan saya dan mencintai saya. Jarang ada orang berani telefon bapa saya."

Menyentuh tentang perkembang terbaru Sarah, dia bakal membikin single terbaru selepas berkahwin dengan Shuib. Ini merupakan lagu terbarunya selepas lima tahun tidak muncul dengan album baru.

Kumpulan Sofaz Tukar Nama 'Sofazr'

Posted: 13 Dec 2010 08:44 PM PST

Anggota kumpulan Sofazr (dari kiri) Shah, Wan, Fairuz, Rodie, Zimi dan Aremeer pada majlis pelancaran album terbaru mereka di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, Isnin.

KUALA LUMPUR: Selepas tujuh tahun menggunakan nama Sofaz, kumpulan yang dianggotai oleh enam anak muda ini tampil dengan nama baru iaitu Sofazr bersempena dengan kemunculan album terbaru mereka, Maaf Dari Hati Mohd Atlas.

Menurut gitaris kumpulan itu Zimi, selepas kontrak mereka selama tujuh tahun di bawah label Suria Records berakhir baru-baru ini, kumpulan yang dianggotai oleh Aremeer (vokalis), Zimi (gitar kedua), Shah ( gitar utama), Wan (dram), Fairuz (bass) dan Rodie (keyboard) itu menganggap sudah tiba masanya untuk mereka berdikari dan menguruskan kerjaya seni di bawah label sendiri.

Justeru, penjenamaan semula kumpulan itu disifatkan bertepatan pada waktunya bagi meraikan kemunculan terbaru mereka di bawah label Global Records.

"Keputusan untuk tampil dengan nama baru ini dibuat atas persetujuan semua ahli kumpulan. Seperti yang semua sedia maklum, nama Sofaz diilhamkan hasil gabungan huruf pertama nama setiap ahli kumpulan kami.

"Sebenarnya, sudah lama kami ingin mengubah nama kumpulan ini kepada Sofazr kerana sejak album kedua lagi pemain keyboard iaitu Rodie sudah menyertai kami.

Selain menjadi pemain gitar kedua kumpulan Sofazr, Zimi turut bertindak sebagai Pengarah Urusan label Global Records.

"Namun, ketika itu kami masih mempunyai kontrak bersama Suria Records. Bagi mengelakkan kekeliruan, kami kekalkan nama kumpulan ini sehinggalah kontrak tamat baru-baru ini.

"Memandangkan kini kami mula bergerak sendiri di bawah label baru, keputusan untuk menggunakan nama baru ini adalah tepat pada masanya," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album tersebut di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, Isnin.

Album yang menelan kos penerbitan sebanyak RM50,000 itu diterbitkan oleh anggota Sofazr sendiri bersama seorang lagi rakan niaga mereka.

Memuatkan sepuluh lagu baru antaranya Terasa Di Syurga, Jiwa Kacau, Kenapa Aku Mencintaimu dan Maaf Dari Hati, kesemua lagu dalam album kelima ini dihasilkan sepenuhnya oleh anggota kumpulan itu dengan menggunakan nama pena Mohd Atlas yang turut dipilih sebagai simbolik kepada judul album itu.

Album yang masih mengekalkan genre pop dan rock moden itu bakal berada di pasaran pada akhir Disember ini.

Aznil Tidak Lagi Rendah Diri

Posted: 13 Dec 2010 08:43 PM PST

Aznil dan Azlin Reza Azmi bersama trofi yang dimenanginya

KUALA LUMPUR: Pengacara Aznil Nawawi mengaku tidak lagi berasa rendah diri sebagai pengacara program televisyen berbahasa Malaysia jika di bandingkan dengan program televisyen berbahasa Inggeris.

Katanya, kemenangan program Jangan Lupa Lirik yang merangkul Anugerah Program Permainan Kuiz Terbaik di Asian Television Awards (ATA), Singapura baru-baru ini adalah bukti bahawa rancangan televisyen berbahasa Malaysia juga setanding dengan program televisyen berbahasa Ingeris terutamaya dari luar negara.

"Dulu saya rasa rendah diri bila dibandingkan dengan pengacara program berbahasa Inggeris. Rasa macam program mereka lebih hebat sebab menggunakan bahasa antarabangsa.

"Tapi selepas kemenangan ini, saya rasa lebih yakin dan bangga sebab yang tercalon dalam pertandingan ini ialah dari program seluruh Asia.

"Negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan lain-lain menghantar penyertaan program yang berbahasa Inggeris tapi Alhamdulillah kami yang menang," katanya.

Pertandingan tersebut disertai lebih 1,000 peryertaan dari 15 buah negara di seluruh asia termasuk Australia, Bangladesh, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Republik Korea, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Taiwan dan Thailand.

Ujarnya, kemenangan tersebut juga merupakan pencapaian terbaik baginya selama 20 tahun berada dalam bidang pengacaraan.

"Walaupun ini kemenangan ketiga saya di peringkat Asia, namun saya jadikan ia sebagai penanda aras untuk mencapai peringkat lebih tinggi lagi.

"Secara peribadi impian saya ialah untuk memenangi ketogori Pengacara Terbaik Asia suatu hari nanti," katanya yang pernah memenangi anugerah bagi Bual Bicara Terbaik tahun 2005, Pengacara Hiburan Asia pada 2008 dan Program Permainan Kuiz Terbaik Asia, 2010.

Bagaimanapun, menurut Aznil dengan kemenangan ini bukanlah tiket untuknya lebih memilih.

"Inilah masa saya untuk berkongsi pengalaman selama 20 tahun ini dengan pengacara lain. Saya lebih suka jika digandingkan bersama-sama pengacara lain.

"Kemenangan bukan bermakna saya sudah jadi terbaik. Saya masih lagi belajar dengan pengacara-pengacara lain. Lain orang lain cara mereka mengendalikan sesebuah rancangan," katanya.

Ketika ditanya tentang perancangan untuk terlibat dalam sebuah program realiti tentang kehidupannya, katanya ia masih lagi diperingkat perbincangan.

"Kita masih lagi berbincang untuk buat program realiti tersebut. Terlalu banyak perkara yang perlu dibincangkan. Sejauh mana kesediaan saya untuk mendedahkan kehidupan peribadi dan berkongsi dengan peminat.

"Dari segi penerimaan masyarakat juga perlu diambil kira. Craa hidup kita di sini berbeza dengan di barat," jelasnya.

Dalam pada itu, Aznil bakal mengendalikan program terbaru berjudul Serasi Bersama terbitan Astro yang akan bergandingan dengan pengacara Sharifah Shahira.

Rancangan 15 episod ini bakal mencungkil rahsia kebahagiaan suami isteri akan mengantikan rancangan Mari Menari.

'Serasi Bersama' Buka Rahsia Bahagia Pasangan Selebriti

Posted: 13 Dec 2010 08:42 PM PST

Ketika sesi rakaman Serasi Bersama di Finas

KUALA LUMPUR: Astro memperkenalkan sebuah rancangan permainan kuiz terbaru yang merupakan program penutup tahun 2010 berjudul Serasi Bersama.

Program yang dihoskan oleh dua pengacara popular iaitu Aznil Nawawi dan Sharifah Shahira itu bakal keudara pada setiap Sabtu dan Ahad, pukul 9 malam bermula 19 Disember ini menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).

Menurut pengurus saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, program tersebut menggunakan format program popular luar negara iaitu Mr And Mrs.

"Kita mahu memberi variasi kepada program yang ada sekarang. Walaupun mengikut format luar tetapi kita telah ubah pengisian yang sesuai dengan budaya negara kita.

"Program ini juga akan membongkar rahsia kebahagiaan rumah tangga pasangan selebriti atau orang ternama dengan soalan-soalan berkaitan dengan hal rumah tangga masing-masing.

"Setiap minggu tiga pasangan akan bertanding bagi memenangi hadiah wang tunai yang akan didermakan untuk badan-badan kebajikan," katanya.

Dua pengacara popular Sharifah Shahira dan Aznil Nawawi

Tambahnya, objektif utama setiap pasangan ini adalah untuk menambah erat hubungan mereka agar lebih saling memahami dalam menempuh kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

"Selain untuk kebajikan perhubungan mereka, hadiah kemenangan yang diperoleh juga akan disumbangkan kepada badan-badan kebajikan yang diwakili.

"Usaha murni ini dilihat sebagai serampang dua mata dalam mempertingkatkan hubungan erat suami isteri dan pada masa yang sama beramal kepada badan kebajikan yang amat memerlukan sumbangan dan perhatian orang ramai," katanya.

Antara peserta yang terlibat dalam rancangan ini ialah pasangan penulis novel terkenal, Ahadiat Akashah dan Norhayati; Edry Hashim dan Pat Candy; Mustapha Kamal dan Susan Menon; Adlin Aman Ramlie dan Emelda; Hanif (ERA) dan Noora; Dollah Salleh dan Isteri, Enot dan sumi; Aziz M Osman dan Lily serta selebriti lain.

Zainal Abidin Rancang Terbit Album Baru

Posted: 13 Dec 2010 08:42 PM PST

JOHOR BARU: Penyanyi Zainal Abidin, (gambar) yang pernah menghasilkan lagu lagu Hijau sedang merancang bagi menerbitkan sebuah album dengan tema kemanusiaan dan alam sekitar.

Album yang belum diberi judul itu akan dikeluarkan pada pertengahan April depan selepas rakaman terakhirnya menerusi pada lima tahun lalu berjudul Puteri.

Ketika ditanya tentang hal ini, Zainal berkata: "Saya tidak percaya terhadap kemampuan menghasilkan album setiap tahun tapi hasrat saya ialah untuk menghasilkan album yang berkualiti kepada peminat-peminat saya," katanya.

Zainal menambah dia sedang merangka lagu dan lirik untuk album terbarunya nanti.

"Saya tidak terdesak untuk mendapat perhatian ramai. Bagi saya, menghasilkan muzik bukanlah satu benda yang perlu mendapat publisiti,''katanya kepada The Star selepas menyertai karnival untuk mempromosikan kepentingan kitar semula yang diadakan oleh Johor Corp di Bandar Dato 'Onn, Sabtu lalu.

Zainal mengatakan tujuannya menghasilkan lagu-lagu berunsurkan alam dan kemanusiaan adalah untuk menyampai mesej berguna kepada peminatnya mengenai sesuatu perkara yang berkaitan dengan kehidupan seharian mereka.

Penyanyi kelahiran Johor ini berkata, album Hijau yang dikeluarkan 20 tahun yang lalu masih lagi relevan pada hari ini dan terus menjadi pilihan dalam usaha membantu untuk mempopularkan kegiatan kempen hijau seperti kitar semula di Malaysia.

Nicole Richie & Joel Madden Sah Jadi Suami Isteri

Posted: 13 Dec 2010 08:40 PM PST

SETELAH menjalinkan hubungan cinta dalam tempoh agak lama, pasangan Nicole Richie dan Joel Madden akhirnya selamat dinikahkan dalam satu upacara perkahwinan Ahad lalu.

Lebih istimewa, majlis tersebut dihadiri lebih 130 orang tetamu dan dijalankan di rumah ayahnya, Lionel Richie di Beverly Hill. Dalam upacara tersebut Nicole dan Joel saling bertukar cincin pernikahan yang direka oleh Niel Lane.

Pasangan ini memiliki dua orang cahaya mata sebelum bernikah bernama Harlow 2, manakala Sparrow berusia 15 bulan turut bertugas menjadi pembawa bunga.

"Pasangan ini mahukan pernikahan gaya Hollywood dan glamor. Mereka mahu hiasan yang tidak teralu banyak namun diingati oleh keluarga dan teman rapat," ujar seorang sumber.

Manakala rakan baiknya, Marsha Gordan menjadi pengiring pengantin wanita. Sementara itu Benji Madden yang juga saudara kembar Joel menjadi pengiring kepada pengantin lelaki.

Beberapa selebriti juga kelihatan hadir seperti Gwen Stefani, Ashlee Simpson, Samantha Ronson, Khloe Kardashian dan beberapa selebriti lain. Selain itu kelihatan seekor gajah bernama Ronson dalam majlis tersebut.

Pelakon Filem 'Anakku Sazali' Meninggal Dunia

Posted: 13 Dec 2010 08:39 PM PST

Tony pernah menerima Anugerah Bintang Legenda Lelaki di FFM22 pada tahun lalu.

PETALING JAYA: Pelakon filem Anakku Sazali, Tony Castello atau nama Islamnya Mohd Nor Abdullah, 64, meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang, Isnin di Hospital Changi, Singapura.

Menurut pelakon veteran Datuk Mustapha Maarof yang dihubungi malam Isnin berkata, pelakon yang terkenal dengan watak Sazali dalam filem itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pusara Abadi, Chua Chu Kang, Singapura pada Selasa.

Mustapha agak terkejut menerima berita kematian Tony yang sebelum ini dimasukkan ke hospital kerana sakit. Namun begitu, beliau tidak dapat mengesahkan punca kematian Tony.

"Saya agak terkejut dan sedih dengan kehilangan Allahyarham," katanya yang berada di negara itu bagi menziarahi Allahyarham.

Dalam pada itu, seorang lagi pelakon veteran, Kuswadinata menganggap Tony seperti anaknya berkata lelaki itu sempat muncul beberapa babak dalam filem Empayar, yang akan dihasilkan dalam bentuk DVD kerjasama produksi Malaysia dan Singapura.

Sebelum itu, Tony pernah membintangi empat filem termasuk Doktor.

Dia merupakan penerima Anugerah Bintang Legenda Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-22 di Sabah pada tahun lalu.

Hasil keberkesanan lakonannya dalam Anakku Sazali, beliau turut dianugerahkan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik di Tokyo, Jepun pada 1957.

Pelakon berasal dari Filipina itu juga aktif dalam bidang muzik dan pandai bermain trompet.

Bagaimanapun, sejak 31 tahun lalu dia menetap di Amerika Syarikat dan menjadi penduduk tetap negara itu.

Tony mempunyai tiga anak, seorang hasil perkahwinannya dengan wanita Amerika Syarikat manakala dua lagi dengan wanita Singapura.

Bagaimanapun, isteri pertamanya meninggal dunia manakala perkahwinan dengan isteri kedua pula berakhir dengan perpisahan.

Kemudian dia berkahwin dengan isteri ketiga yang berasal dari Filipina.

Dia turut menubuhkan akademi pemikiran kreatif di Singapura.

91,000 Pelarian Berada di Malaysia

Posted: 13 Dec 2010 08:38 PM PST

Kanak-kanak pelarian diberi waktu rehat secukupnya.

LEBIH 91,000 pelarian kini berada di Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Daripada jumlah itu, seramai 19,000 pelarian kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah tetapi jika diperhalusi kepada usia persekolahan, jumlahnya 13,900 orang.

Bagaimanapun Wakil UNHCR di Malaysia, Alan Vernon berkata, hanya 5,100 pelarian atau 30 peratus yang belajar di sekolah manakala 70 peratus lagi tidak bersekolah.

"Jumlah tidak bersekolah begitu besar maka beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) prihatin terhadap perkara ini dengan memberi peluang pendidikan kepada komuniti itu.

"Namun apa yang lebih membimbangkan kerana tidak banyak kemudahan pendidikan untuk golongan muda berumur 12 tahun ke atas," katanya kepada Mingguan mStar.

Alan berkata, kanak-kanak pelarian tidak bermasalah, namun sekiranya mereka tidak diberikan pendidikan pada usia muda maka akan memberi masalah kemudian hari.

"Mereka hanya menetap sementara di Malaysia dan akan diserahkan ke negara ketiga atau dihantar pulang ke negara asal masing masing.

"Pendidikan awal membantu memberi persediaan kepada mereka apabila berada di negara terbabit serta memberi sumbangan kepada masyarakat," katanya.

Sehubungan itu katanya, masih banyak perkara perlu diperbaiki melibatkan tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran dan paling penting adalah sumber kewangan. Walaupun masyarakat menyedari tentang kepentingan pendidikan namun tidak dinafikan segelintir ibu bapa pelarian enggan menghantar anak mereka ke sekolah.

Mereka bimbang anak-anak berkemungkinan ditahan oleh pihak berkuasa berikutan pelarian masih dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Maka tidak hairanlah banyak sekolah untuk pelarian beroperasi di rumah berbanding membangunkan kemudahan pendidikan lebih terancang," kata Alan.

Beliau berkata, kanak-kanak pelarian mempelajari bahasa tetapi apa yang penting sebagai permulaan dalam kehidupan mereka adalah kebolehan membaca dan menulis.

Sehubungan itu, UNHCR berharap agar lebih banyak penyertaan masyarakat tempatan memberikan sumbangan sama ada sukarelawan atau keperluan pendidikan.

Alan berkata, pada masa sama, UNHCR berusaha mencari jalan untuk bekerjasama rapat dengan NGO dan kerajaan bagi memperbaiki kualiti dan peluang pendidikan.

"Diharapkan dengan kesedaran dan keprihatinan semua pihak, ia dapat meningkatkan bilangan kanak-kanak pelarian yang belajar di sekolah.

"Kami perlu berusaha untuk mencapai matlamat itu kerana sudah ada perkembangan mengenainya namun perlu diperkasakan lagi untuk ke arah lebih baik," katanya.

Setakat ini, terdapat 67 sekolah komuniti untuk pelarian di seluruh negara di mana sebahagian besarnya diuruskan oleh sukarelawan pelarian sendiri.

UNHCR memberi sokongan kepada program pendidikan seperti latihan perguruan, peruntukan buku teks, geran sekolah, sumbangan dana dan khidmat sukarelawan.

Terdapat 322 sukarelawan berdaftar dengan UNHCR dan daripada jumlah itu seramai 163 orang ditempatkan di 40 sekolah komuniti untuk mengajar beberapa subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

'Kehidupan Semula' Untuk Kanak-Kanak Pelarian

Posted: 13 Dec 2010 08:37 PM PST

Sebahagian kanak-kanak pelarian Myanmar yang mendapat kemudahan pendidikan di Malaysia.

PERSEKITARAN sunyi sepi deretan bangunan kedai empat tingkat terbengkalai yang dipenuhi rumput lalang begitu menyeramkan.

Pasti ramai beranggapan lokasi yang jauh daripada kawasan perumahan itu sekadar menjadi markas penagih dadah atau kongsi gelap.

Namun rasa hiba menyelubungi diri penulis tatkala melihat sebilangan kanak-kanak kecil berbaris menuruni tangga dari aras satu di salah sebuah unit blok bangunan itu.

"Itulah kanak-kanak pelarian Myanmar yang sedang menunggu waktu rehat," kata Henry Martinus kepada penulis yang tergamam melihat keadaan itu.

Masakan tidak, walaupun dalam keadaan serba daif yang mungkin tidak pernah difikirkan manusia bahawa kawasan itu sebenarnya dibangunkan sebagai sekolah.

Hakikatnya, itulah senario yang dihadapi Henry, seorang rakyat tempatan yang menjadi sukarelawan demi memperjuangkan nasib kanak-kanak pelarian di negara ini.

Dia mengasaskan sekolah Joy Bausum yang dahulunya dikenali sebagai Agape Home School sejak tahun 2007 bagi memberi peluang pendidikan kepada golongan itu.

Sekolah berkenaan mempunyai empat kelas yang menghimpunkan seramai 75 pelajar berusia dari lima sehingga 17 tahun.

Pada masa ini, seramai lima guru secara sukarela mengajar kanak-kanak pelarian itu bagi subjek Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Seni dan Muzik.

Henry berkata, sebilangan kanak-kanak itu tidak pernah pergi ke sekolah dan antaranya sudah lama meninggalkan alam persekolahan selama beberapa tahun.

"Idea membuka sekolah ini bertujuan memberi kesedaran mengenai betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan manusia, ibarat kehidupan semula selepas merasai keperitan dan kesengsaraan ekoran kemelut yang berlaku di negara asal.

"Keadaan ini sebenarnya mematangkan diri malah sebagai persediaan untuk mereka menyesuaikan kehidupan baru apabila dihantar ke negara ketiga," katanya.Riak wajah tenang Henry bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan kesedihannya kerana tidak mampu menyediakan kemudahan lengkap untuk kanak-kanak yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

Itulah cabaran yang terpaksa dihadapi dengan sumber kewangan terhad yang mengharapkan ihsan sumbangan daripada gereja dan individu perseorangan.

"Namun kanak-kanak ini tidak pernah merungut malah lebih ceria kerana menerusi pendidikan itu mereka dapat merasai kehidupan seperti orang lain.

"Mereka tidak minta kemewahan. Apa yang mereka mahu adalah kehidupan dan itu yang mereka peroleh apabila belajar di sekolah," katanya.

Sementara itu, di sekolah lain di Kuala Lumpur, Khampi seorang warga Myanmar cekal membantu anak-anak senegaranya mendapatkan peluang pendidikan.

Dia yang tiba di Malaysia empat tahun lalu merupakan antara tulang belakang di Pusat Pendidikan Zomi (ZEC) untuk kanak-kanak pelarian Myanmar bagi etnik Zomi.

Bermula hanya satu cawangan dengan seramai 30 kanak-kanak pada November 2007, ZEC kini mempunyai lebih 300 pelajar di enam cawangan.

Memulakan sesi pembelajaran dari pukul 10 pagi hingga 3 petang itu, masing-masing beroperasi sekitar Kuala Lumpur, Cheras, Klang dan Kajang.

Khampi berkata, sekolah itu memberikan pengalaman sebenar kepada kanak-kanak pelarian itu bagi membina masa depan lebih baik.

"Pendidikan membantu kanak-kanak ini membangunkan negara mereka bagi mengembalikan harapan selepas melalui kemelut sebelum ini.

"Ia juga sebagai usaha memupuk kesedaran agar mereka lebih memahami tentang dunia luar termasuk penerimaan komuniti pelarian di negara ini," katanya.

ZEC mengenakan yuran sebanyak RM25 sebulan turut menyediakan kemudahan asrama bagi pelajar yang tinggal berjauhan dengan sekolah.

Pusat pendidikan itu turut menerima sumbangan kewangan serta keperluan daripada individu, gereja dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bukan mudah untuk mengawal selia kanak-kanak pelarian di bawah satu bumbung, kata Khampi yang turut dibantu oleh sukarelawan Myanmar dan Malaysia.

Cabaran besar baginya apabila kanak-kanak itu tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Senario itu paling dibimbangi Khampi serta ibu bapa kanak-kanak terbabit namun pada masa sama tidak menafikan pendidikan amat penting dalam kehidupan.

"ZEC adalah sekolah komuniti yang membuka minda kanak-kanak pelarian ini agar mereka berasa lebih dihargai seolah-olah diterima oleh masyarakat tempatan.

"Sekolah ini adalah peluang untuk mereka membuka hari baru dalam kehidupan mereka yang lebih baik maka berikanlah ruang yang lebih untuk itu," katanya.

Menggeletar Kuasai Litar Zhuhai

Posted: 13 Dec 2010 08:36 PM PST

Penulis mengenakan sut perlumbaan motosikal berkuasa tinggi.

PENGEMBARAAN penulis ke Litar Antarabangsa Zhuhai (ZIC), China baru-baru ini adalah untuk membuat liputan siri jelajah Asia Road Racing (ARRC) tetapi tidak sedikit pun terlintas di hati untuk merasai bagaimanakah terujanya menjadi sehebat Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo tanpa kemahiran mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.

Bagaimanapun apabila dipelawa oleh pihak penganjur untuk merasai sendiri pengalaman menunggang motosikal di atas litar itu, seluruh badan penulis terasa menggeletar.

Takut, risau dan bimbang semua bermain di fikiran sebelum dibawa ke ruangan khas untuk mengenakan sut lumba yang biasanya digunakan oleh pelumba profesional.

Pada saat dan ketika itu, macam-macam melintas di fikiran penulis, teringat ibu dan ayah di kampung, anak serta isteri tercinta. Mana tahu jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Namun kegelisahan tersebut berjaya ditenangkan setelah melihat sendiri siapa yang bakal mengendalikan motosikal yang akan dinaiki penulis. Ya..siapa lagi jika bukan dengan 'orang lama' yang mempunyai puluhan tahun pengalaman dalam perlumbaan.

Siapa tidak kenal dengan Kuan Meng Heng yang layak dilabel sebagai legenda dalam sukan permotoran tanah air. Dengan pengalaman yang ada padanya membuatkan penulis yakin dengan keselamatan ketika beraksi di litar nanti.

Sebelum dibawa ke pit stop, penulis terlebih dahulu menjalani pemeriksaan kesihatan yang mana ia merupakan proses wajib bagi mereka yang menyahut cabaran ini.

Tekanan darah dan denyutan nadi diperiksa bagi memastikan calon tidak mempunyai sebarang penyakit kronik seperti lemah jantung atau darah tinggi yang mungkin membahayakan mereka yang ingin mencubanya.

Setelah itu, penulis dibawa ke ruangan khas untuk menyarung sut lumba dan memilih saiz sesuai. Saiz bagi sut mestilah tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar bagi memudahkan pelumba bergerak di atas jentera yang sedang memecut laju.

Kegagalan dalam memilih sut sesuai boleh membuatkan seseorang pelumba rasa tidak selesa ketika beraksi dan faktor ini juga boleh menjadi penyebab seseorang pelumba itu kecundang di litar.

Namun penulis tidak risau kerana ini hanya pengalaman menaiki motosikal lumba bukannya mengejar podium atau berlumba dengan pelumba lain.

Sut pertama yang disarung membuatkan penulis tidak boleh bernafas dengan sempurna kerana agak ketat ditambah pula dengan pad pelindung belakang yang membaluti badan penulis.

Tapi menurut salah seorang kru yang menguruskan sut pelumba, itulah saiz yang ideal bagi seorang pelumba ketika beraksi dilitar di mana ia memudahkan pelumba menggelongsor jika terjatuh dari jentera.

Penulis tidak dapat bayangkan bagaimana seseorang pelumba boleh bertahan dengan sut yang ketat untuk menghabiskan 18 pusingan di litar yang sudah pastinya keadaan cuaca tidak menentu mengikut negara di mana mereka beraksi.

Setelah mengenakan sut yang sesuai, penulis diajar pula isyarat yang perlu diberikan kepada pengendali jentera jika berlalu sesuatu yang tidak diingini atau berada dalam keadaan tidak selesa.

Kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Dada semakin berombak kencang ketika Kuan Meng heng keluar dari pit stop untuk memanaskan tayar dan jentera.

Mendengar saja deruman enjin yang meraung kencang membuatkan penulis bertambah kaget dan panik, namun ramai yang memberi kata-kata semangat serta menenangkan penulis ketika itu.

Sebaik sahaja selesai sesi pemanasan, penulis terus menaiki jentera Yamaha R1 dan dibawa 'menjelajah' ZIC sebanyak dua pusingan.

Tiada apa yang dapat penulis gambarkan ketika itu, dengan cuaca sejuk dan pecutan motosikal yang laju membuatkan penulis bertambah panik kerana sebelum ini langsung tiada pengalaman memecut motosikal selaju itu.

Namun pada selekoh kedua, penulis ditenangkan oleh Kuan Meng Heng yang memperlahankan jentera tunggangan. Lega seketika tapi bila masuk sahaja pada pusingan kedua, Meng Heng langsung tidak memberi peluang dan terus memecut laju.

Ketika inilah penulis merasai bagaimana gambaran sebenar yang dihadapi oleh pelumba-pelumba kita ketika beraksi di litar dan menyaingi pelumba lain.

Selesai sahaja sesi Pillion Ride, sehelai kemeja-t menandakan penulis pernah menjelajah litar tersebut diberi sebagai hadiah kenangan yang disampaikan oleh Pengurus Petronas Motosports, Saiful Amri Abdullah. Inilah kenangan terindah yang pastinya tidak akan dapat dilupakan sepanjang hayat.

Drift Satukan Azrina & Ariff

Posted: 13 Dec 2010 08:34 PM PST

Teknik tendangan klac antara aspek penting dalam sukan drift.

DITUGASKAN membuat liputan perlumbaan GT Jepun semasa berkhidmat sebagai wartawan di sebuah syarikat televisyen swasta lapan tahun lalu berjaya menarik minat Azrina Jane Abdullah, 33, untuk berjinak-jinak dalam sukan drift.

Menyedari dirinya kurang berkemampuan untuk memiliki kereta drift sendiri dan kos yang diperlukan begitu tinggi, Azrina terpaksa melupakan hasrat untuk mendekati sukan lasak itu lebih awal.

Namun, keghairahan wanita kecil molek itu terhadap sukan yang rata-ratanya didominasi golongan lelaki tidak terhenti begitu saja.

Pertemuan dengan suaminya, Ariff Johanis Ahmad pada pelancaran perlumbaan GT Jepun pada 2002 menjadi lebih bermakna apabila ia menjadi detik permulaan bagi Azrina untuk mendekati sukan drift.

Lebih manis, perkenalan yang bermula sebagai sahabat itu akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta. Persamaan dan keserasian yang wujud di antara mereka dinoktahkan menerusi ikatan perkahwinan pada 2004.

Berbicara mengenai pembabitannya dalam sukan drift, Azrina memberitahu awalnya dia sekadar menemani Ariff yang baru berkecimpung dalam aktiviti itu berlatih di litar.

"Selalunya saya akan duduk di sebelah Ariff sambil memerhatikan teknik-teknik yang dilakukan ketika di atas trek terutamanya penggunaan brek tangan dan menekan klac. Dari situ perasaan teruja untuk mencuba memandu kereta drift mula timbul," kata wanita kelahiran Pulau Pinang itu ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Masa yang diluangkan bersama Ariff sepanjang di litar ibarat satu bonus buat Azrina. Mereka bukan saja dapat mengeratkan lagi hubungan malah anak bongsu daripada empat beradik ini berpeluang mengetengahkan bakat terpendamnya, empat tahun lalu.

"Saya berlatih menggunakan kereta pertama iaitu model C33, Nissan Laurel milik Ariff selepas dia membeli kereta keduanya. Sama seperti saya, anda boleh mendapatkan kereta untuk sukan drift pada harga serendah RM8,000," ujarnya.

Selepas disahkan hamil anak pertama, Johanna Ariff Johanis, wanita yang fasih bertutur dalam bahasa Mandarin, Hokkien, Kantonis dan Jepun itu memutuskan untuk berhenti sementara waktu atas nasihat suami bagi menjaga kandungannya.

Dia kembali semula ke litar dan melepaskan gian memandu pada tahun lalu selepas berehat selama dua tahun. Meskipun bergelar pelumba pasukan Goodyear Malaysia di samping suaminya, Michael Gan dan Hanizam Hamzah, Azrina tidak pernah puas dengan pencapaiannya.

"Saya masih boleh dikatakan baru dalam sukan ini. Namun saya bernasib baik kerana Ariff banyak menurunkan ilmu mengenai teknik asas dalam sukan drift dan pengalamannya semasa menyertai perlumbaan sirkit dan drag untuk melatih saya," jelas wanita yang gemarkan aktiviti lasak itu.

Mengakui pada mulanya, dia sedikit gementar untuk melakukan aksi lasak dan merbahaya itu terutamanya ketika menggelongsor laju di selekoh tajam. Namun lama-kelamaan Azrina sudah terbiasa beraksi di samping pelumba lelaki lain dan sentiasa mendapat sokongan padu daripada suaminya yang juga merupakan salah seorang pelumba formula drift amatur di negara ini.

Bagaikan mengerti minat isterinya, Ariff sentiasa menggalakkan Azrina untuk mencuba meskipun dia terlebih dahulu mencipta nama dalam sukan drift. Malah pelumba berusia 40 tahun itu menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana isteri tercinta akan turut serta dalam setiap aktiviti kegemarannya.

Bagi Ariff, tiada apa yang mustahil jika golongan wanita mahu mencuba sukan lasak.

Dia menggalakkan lebih ramai wanita terlibat dalam sukan drift kerana ia tidak memerlukan banyak tenaga tetapi melibatkan koordinasi mental dan menekankan teknik-teknik asas.

"Sukan drift berbeza dengan perlumbaan Formula Satu (F1). Sejujurnya, tiada apa yang mustahil jika wanita ingin menyertai sukan ini kerana setiap perlumbaan hanya berlangsung selama 40 saat. Ia tidak melibatkan kekuatan fizikal semata-mata sebaliknya fikiran perlulah tenang," ujarnya.

Untuk melakukan aksi drift pelumba perlu memahami dinamik kenderaan yang dipandu dan cara ia bertindak balas. Jika kereta dipandu pada kelajuan tinggi ketika membelok, kereta akan mudah menggelongsor dan kelihatan seolah-olah mahu terbabas.

Jadi untuk menangani situasi itu, kemahiran dan ketangkasan perlu diterapkan secara berterusan.

Berita baik bagi peminat sukan drift, anda berpeluang menyaksikan kebolehan pasangan suami isteri itu dalam perlumbaan edisi kedua, Goodyear Formula Drift Malaysia 2010 yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 hingga 19 Disember ini.

Selain Azrina dan Ariff, kehadiran juara dunia 2004, Ryugi Miyuki (Jepun), Charles Ng (Hong Kong), Rifat Sungkar (Indonesia), Daigo Saito (Jepun) dan Tengku Djan (Malaysia) pastinya menghangatkan suasana di perkarangan bangunan bersejarah di ibu kota kelak.

Selepas gagal pada edisi tahun lalu, Azrina, satu-satunya pelumba wanita tunggal pada kejuaraan yang menarik penyertaan pelumba dari Singpura, Filipina, Jepun, China, New Zealand dan Thailand itu kini memiliki keazaman tinggi untuk melayakkan diri ke perlumbaan akhir.

Sementara itu, pasangan yang berkongsi minat sama itu akan menguruskan perniagaan memasarkan peralatan penyiaran jika tidak terlibat dengan sebarang pertandingan.

Jadual kerja yang fleksibel membolehkan Azrina membahagikan masa untuk keluarga, kerjaya dan aktiviti kegemarannya.

"Segalanya sudah berubah sejak kehadiran Johanna. Jika dulu tumpuan lebih kepada sukan drift, kini keluarga menjadi keutamaan. Melihat Johanna semakin membesar amat mengujakan. Dia begitu seronok jika mengikuti kami berlumba di negara luar," kata Azrina yang menduduki tempat ketiga kategori Novis pada Merdeka Speedway Drift Battle 2006.

Demi memenuhi permintaan ramai yang berminat mempelajari sukan drift, pasangan suami isteri itu tidak lokek berkongsi pengalaman memandangkan mereka merupakan tenaga pengajar di Akademi Drift Sync Optima.

Baru-baru ini, mereka turut mengadakan klinik drift untuk media di perkarangan Stadium Melawati, Shah Alam. Antara teknik asas yang ditekankan ialah aksi donut, figure 8, R dan S.

Ariff berkata, pelumba drift yang masih baru boleh memahirkan diri dalam masa satu hingga dua bulan dengan latihan intensif berterusan.

"Saya lihat kebanyakan pelajar yang mempunyai pengetahuan asas memandu bergelut dengan sedikit kesukaran. Perlu diambil kira, drift sebenarnya melibatkan kawalan kereta dan ia boleh diaplikasikan dalam apa jua sukan bermotor atau pemanduan harian," jelasnya mengakhiri perbualan.

Makanan Enak, Dekorasi Menawan House&Co

Posted: 13 Dec 2010 08:33 PM PST

Kelainan dekorasi House&Co di BSC, Kuala Lumpur.

DEKORASI memainkan peranan penting bagi sesebuah restoran untuk menarik minat pelanggan untuk berkunjung dan menikmati setiap hidangan istimewa yang disediakan. Itulah yang cuba dipraktikkan sebuah restoran yang terletak di Pusat Membeli-belah Bangsar (BSC), selain hidangan makanan yang menarik dekorasi trendi berjaya menyerlahkan tarikan restoran itu.

Keunikan mengenai House&Co yang terletak di tingkat tiga BSC adalah ia digabungkan di dalam sebuah kedai yang menjual barangan perhiasan rumah dari jenama sama.

Bercerita mengenai konsep restoran itu, Pengurus Restoran, Pauline Liu berkata, tiada sebarang konsep khusus yang cuba diterapkan terhadap dekorasi restoran itu tetapi mengutamakan kepada keselesaan pelanggan yang berkunjung ke restoran itu.

"Seperti yang anda dapat lihat, pelbagai konsep digabungkan tetapi masih mengekalkan beberapa identiti seperti hiasan meja dan perabot yang digunakan.

"Kami sengaja menggunakan semua barangan dalam kedai ini daripada jenama sama supaya jika pelanggan berminat, mereka boleh mendapatkan untuk rumah mereka," katanya ketika ditemui Mingguan mStar di sini baru-baru ini.

Menurut Pauline, restoran yang berkeluasan 7,000 kaki persegi itu dibahagikan kepada lima bahagian iaitu ruang santai terbuka, ruang makan, ruang merokok, ruang bekerja dan ruang di atas dek yang setiap satu memberi aura berbeza kepada pengunjung yang hadir ke situ.

Menariknya mengenai ruang makan di atas dek itu, aliran air dijadikan sebagai tarikan untuk pelanggan yang mahukan ketenangan semasa menjamu selera di situ.

Tidak ketinggalan ruang santai terbuka yang terletak di bahagian luar restoran, ia sering menjadi tumpuan ramai yang inginkan suasana tidak formal.

Restoran yang telah beroperasi selama sejak lapan tahun lalu itu, cukup sesuai untuk keluarga dan rakan-rakan bersantai bagi yang ingin mencarikan kelainan.

Menyediakan pelbagai menu tempatan dan barat, House&Co menjadi pilihan warga kota terutama yang tinggal di Bangsar untuk menikmati hidangan di situ dengan harga berpatutan.

Restoran House&Co yang dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam, menyajikan hidangan yang menarik seperti nasi lemak, salad pir avokado, pasta harlot, karipap dan sebagainya.

Waris Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor dijejaki

Posted: 13 Dec 2010 08:32 PM PST




Waris pejuang negara Datuk Maharaja Lela Pandak Lam dan Datuk Sagor diperlukan oleh sebuah produksi tempatan untuk menyiapkan sebuah dokumentari berkisar sejarah Pasir Salak.

Pengarah Urusan Kay Productions, Jamal Lukhir Jaludin berkata, waris kepada pejuang negara itu diperlukan bagi rungkaikan sejarah sebenar yang berlaku pada 1871.

"Kita berharap waris kepada pejuang ini tampil untuk membantu dalam menceritakan atau membawa sebarang bukti berkaitan pejuang negara untuk dimuatkan dalam dokumentari kelak.

"Ini kerana satu gambaran tepat tentang kedua-dua pejuang masih kabur tentang peribadi mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kehadiran pejuang negara ini membawa perubahan terhadap orang Melayu kini dari segi matlamat dan perjuangan untuk mempertahankan negara agama dan bangsa.

"Sekiranya waris berkenaan ada menyimpan baju, keris atau sebarang tinggalan seharah pejuang ini dapat kami paparkan dalam dokumentari kelak.

"Nama mereka akan dikreditkan dalam dokumentari kerana telah menyumbangkan maklumat yang turut membantu menyiapkan dokumentari ini," katanya.

Beliau berkata, pelbagai teknologi terkini akan digunakan dalam penggambaran berkenaan dalam menceritakan semula sejarah yang berlaku di Pasir Salak pada 1871.

Kaji selidik mengenai sejarah Pasir Salak kini giat dilaksanakan untuk memaparkan peristiwa yang berlaku membabitkan kemangkatan Sultan Ali, Perjanjian Pangkor dan pembunuhan Sir James J W W Birch di Pasir Salak.

Penantian Nubhan berbaloi

Posted: 13 Dec 2010 08:31 PM PST





ANAK Jati Negeri Sembilan ini, mengambil masa agak lama untuk muncul dengan album solo sendiri, meskipun pernah hits dengan lagu 'Ada Untukmu' di awal kemunculannya dulu.

Namun bagi Nubhan tempoh tiga tahun itu dirasakan berbaloi dengan kualiti dicapai menerusi albumnya, Langkah Nubhan. Sementelah lagi, beberapa single menerusi album itu mendapat sambutan menggalakkan.

Lagu Oh Juwita, Seadanya Aku dan Aku atau Dia, misalnya, sering diputarkan di kebanyakan stesen radio tempatan.

"Sepanjang tiga tahun, saya dan pihak pengurusan berusaha menghasilkan yang terbaik album ini. Walaupun mengambil masa lama, bersyukur keluar juga album sendiri.

"Dalam tempoh itu, saya bukanlah menyepi. Sekurang-kurangnya, saya ada single yang sering dimainkan dan itu membuatkan saya masih mampu bertahan hingga ke hari ini.

"Malah judul Langkah Nubhan yang digunakan album ini pun mempunyai maksud tersendiri. Inilah permulaan Nubhan dan dengan adanya album ini, saya harap dapat mengatur langkah seterusnya dengan baik," ujar Nubhan ditemui ketika pelancaran albumnya di sebuah kelab di ibu kota.

Nubhan menjelaskan, faktor pertukaran pihak pengurusannya, Artistes Unnited Record (AUR) yang dulunya diterajui penyanyi Ning Baizura, memerlukan masa menyesuaikan diri dengan pihak pengurusan baru.

"Walaupun Kak Ning, tidak lagi menguruskan saya secara rasmi, namun dia masih membantu dan mengambil tahu mengenai karier saya. Malah dia juga terbabit memilih lagu untuk album saya.

"Sejak dulu saya anggap Ning kakak dan 'sifu' saya. Dia banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat " kata Nubhan yang turut menjemput sifunya itu ke majlis pelancaran itu.

Hijrah Noryn Aziz

Posted: 13 Dec 2010 08:27 PM PST





Sejak kebelakangan ini, industri hiburan diwarnai dengan 'penghijrahan' beberapa artis wanita yang memilih untuk bertudung walaupun masih aktif di dalam industri. Antaranya Anne Ngasri, Farah AF, Ramlah Ram.

Terbaru, penyanyi irama Jazz Noryn Aziz turut tampil dengan imej bertudung, sekali gus mengiakan spekulasi bahawa dia sudah berubah imej. Lebih manis lagi, perubahan imej ini bersesuaian dengan 'mood' tahun baru bagi umat Islam di seluruh dunia.

Menurut Noryn, penghijrahan ini telah dibuat secara berperingkat dan dia kini yang telah bergelar hajah setelah kembalinya dari mengerjakan haji pada 27 November lalu berharap perubahannya ini akan kekal selamanya.

"Impian bertudung ini sudah lama saya simpan dan saya telah mula secara berperingkat kerana saya tidak mahu orang salah faham dengan niat saya. Lagipun ia adalah tanggungjawab saya sebagai seorang muslimah, jadi tidak perlulah saya hebohkan.

"Setelah kembalinya dari tanah suci Mekah, saya rasa lebih tenang dan ini adalah imej saya sekarang," katanya yang ditemui selepas sidang media Anugerah Skrin 2010 baru-baru ini.

Menurut Noryn, perubahan imejnya ini tidak bermaksud dia akan bersara dari industri seni suara. Sebaliknya dia masih aktif kerana amat mencintai dunia nyanyian.

Malah kepelbagaian fesyen muslimah yang mudah didapati sekarang tidak membataskan kariernya.

"Zaman sekarang sudah banyak fesyen muslimah malah banyak artis di Malaysia juga sudah banyak yang memilih untuk bertudung. Jadi saya rasa tidak ada masalah kalau saya terus aktif menyanyi walaupun bertudung," katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya menunaikan rukun Islam kelima itu, Noryn berkata dia berangkat ke tanah suci Mekah pada 12 Oktober bersama ibu dan bapanya, Abd Aziz Mohd Dali dan Saamah Yaacob.

Selain menunaikan ibadah Haji, Noryn berkata kepergiaannya ke sana mengeratkan lagi hubungannya dengan kedua orang tuanya memandangkan dia agak sibuk dengan karier nyanyiannya.

"Perasaan saya bercampur baur sebaik menjejak kaki ke sana dan tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Saya rasa diri saya lebih dekat dengan Allah SWT dan saya puas kerana dapat beribadat dengan tenang.

"Secara tidak langsung ia menimbulkan kesedaran dan menambahkan ketaqwaan saya kepada Allah. Saya tidak mengalami sebarang kejadian pelik dan aneh sepanjang berada di sana. Malah dari awal lagi saya memasang niat ke sana adalah untuk beribadah," katanya yang bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.

Kicap Cap Kipas Udang tiruan

Posted: 13 Dec 2010 08:25 PM PST


GAMBAR menunjukkan kicap Cap Kipas Udang tiruan (kiri) yang mempunyai penutup plastik berlubang (dalam bulatan) berbanding kicap asli.


SEREMBAN - Kicap Cap Kipas Udang adalah antara jenama popular di kalangan pengguna di negara ini.

Tetapi ramai yang tidak sedar, oleh kerana popularitinya itulah jenama tersebut menjadi mangsa tiruan dan beredar dalam pasaran.

Bagaimanapun kegiatan haram itu terbongkar semalam apabila sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri menyerbu sebuah syarikat pemborong barangan runcit yang menjual kicap Cap Kipas Udang tiruan.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang di Jalan Tuanku Antah di sini, sebanyak 3,360 botol kicap jenama Cap Kipas Udang tiruan bernilai RM9,100 dirampas.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Mohd. Nor Musa berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada syarikat kicap berkenaan.

"Ketika serbuan terdapat lima individu termasuk pemilik syarikat berkenaan di premis terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati kicap yang dijual di premis itu mempunyai ciri-ciri yang berlainan berbanding produk asli," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Lelaki pun kena gangguan seksual

Posted: 13 Dec 2010 08:24 PM PST


GOLONGAN lelaki kini turut menjadi mangsa gangguan seksual yang dilakukan oleh wanita. – Gambar hiasan


SERDANG – Lazimnya golongan wanita sering dikaitkan sebagai mangsa gangguan seksual kaum lelaki di tempat kerja.

Bagaimanapun, satu kajian membuktikan sebaliknya apabila kini golongan lelaki juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran kepada tingkah laku bersifat seksual yang dilakukan oleh kaum hawa.

Menurut Ketua Laboratari Perubahan Sosial, Ekonomi dan Keamanan, Institut Pengajian Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Jamilah Othman (gambar), meskipun fenomena itu agak janggal tetapi ia kerap terjadi di tempat-tempat kerja sejak kebelakangan ini.

Kajian kualitatif yang bertajuk Penyelesaian Konflik Gangguan Seksual di Agensi-Agensi Kerajaan di Semenanjung Malaysia yang menemu bual sekumpulan responden pihak atasan mendedahkan fenomena itu memang berlaku.

"Saya telah menemu bual lelaki yang bertaraf bos dan mereka sendiri memaklumkan sindrom berkenaan. Kebanyakan pekerja bawahan wanita didapati suka mengganggu mereka," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jamilah memberitahu, perlakuan itu berlaku ekoran sikap wanita kini yang lebih terbuka, berani dan tujuan mereka sememangnya bermotif jahat.

"Wanita-wanita dalam kumpulan ini sanggup berbuat begitu kerana rakus untuk segera dinaikkan pangkat tanpa perlu bekerja keras," ujarnya.

Suami berdepan penjara 10 tahun

Posted: 13 Dec 2010 08:24 PM PST


MAZNI menutup muka selepas didakwa mencederakan dan mencabul isterinya di Mahkamah Majistret Kangar semalam.


KANGAR – Hak-hak suami ke atas isteri teruji di Mahkamah Majistret di sini semalam apabila seorang juruteknik yang sedang dalam proses perceraian menghadapi dua pertuduhan iaitu mencabul dan mencederakan isteri sendiri.

Mazni Othman, 45, seorang juruteknik di sebuah kilang beras di Kuala Perlis dituduh melakukan perbuatan tersebut ke atas isterinya, Roziah Sidi yang berusia 40-an minggu lalu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di Jalan Tanjung Gelam, Simpang Empat dekat sini kira-kira pukul 10 malam pada 6 Disember lalu.

Roziah yang sudah tidak sehaluan lagi dengan suaminya itu telah pun memfailkan fasakh di Mahkamah Syariah di sini pada 2008.

Pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata yang kini di bawah jagaan tertuduh. Mazni bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan itu.

Dia sebaliknya memohon dibicarakan terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Noraishah Ahmad.

Ketika keluar dari Mahkamah Majistret sambil diiringi dua anggota polis, tertuduh menutup mukanya dengan akhbar Kosmo!.

Pertuduhan dikemukakan oleh wakil Timbalan Pendakwa Raya, Inspektor Azwan Irwan Yaakop manakala tertuduh diwakili peguam Zuhir Ahmad Zakuan.

Berdasarkan fakta kes, Mazni dituduh menggunakan kekerasan ke atas Roziah dengan niat mencabul kehormatan dan mencederakan isterinya itu mengikut Seksyen 354 dan 323 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan pada malam yang sama.

Peluang untuk Petronas di Brunei

Posted: 13 Dec 2010 08:23 PM PST


NAJIB (dua dari kiri) dan Sultan Hassanal Bolkiah (dua dari kanan) berjalan meninggalkan dewan selepas majlis memeterai perjanjian perkongsian pengeluaran petroleum di Bandar Seri Begawan semalam.


BANDAR SERI BEGAWAN - Petronas berkemungkinan mendapat peluang yang lebih besar pada masa akan datang untuk mengambil bahagian dalam pembangunan di dua blok kawasan laut dalam Brunei yang kaya dengan rizab gas dan petroleum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini berikutan penglibatan Petronas dalam perjanjian perkongsian pengeluaran (PSA) untuk Blok CA2 dengan Brunei National Petroleum Company Sdn. Bhd. (PetroleumBRUNEI) di sini semalam.

Pemeteraian perjanjian itu dilakukan dalam satu acara tertutup yang diadakan di Dewan Baitul Al-Mesyuarah di Istana Nurul Iman yang turut disaksikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Dalam perjanjian itu, Petronas diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas sementara PetroleumBRUNEI diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Azren Taib.

Bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, Najib berkata, Sultan Hassanal Bolkiah turut mengalu-alukan persefahaman yang dicapai oleh kedua-dua syarikat itu.

"Ke Bawah Duli Tuanku telah menyatakan rasa puas hati dengan segala persefahaman yang dicapai dan ada kemungkinan Petronas dapat diberi peluang yang lebih besar pada masa-masa yang akan datang," katanya.

Pencuri dibelasah sampai mati

Posted: 13 Dec 2010 08:21 PM PST


SEORANG pegawai polis menunjukkan lokasi seorang pemuda yang mati dibelasah sekumpulan 50 penduduk Kampung Slow Machang, Pasir Mas semalam.


PASIR MAS – Tindakan seorang penjenayah mencuri sebuah motosikal mengundang padah apabila dia dibelasah hingga mati oleh sekumpulan 50 penduduk dalam kejadian di Kampung Slow Machang dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 2 petang itu berlaku apabila tindakan suspek berusia 25 tahun yang cuba mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 disedari pemiliknya.

Suspek yang dapat menghidupkan enjin motosikal kemudian melarikan diri sejauh tiga kilometer dari lokasi dia mencuri sebelum dihalang oleh penduduk.

Dia kemudian dibelasah hingga menyebabkan dia mengalami cedera parah di kepala dan badan. Suspek mati lima jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati suspek berada keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

"Sebaik ditahan, suspek telah dibelasah teruk oleh sekumpulan penduduk. Beberapa anggota polis yang ternampak kejadian itu ketika meronda bergegas ke situ untuk meleraikan pergaduhan," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Tidak akan maafkan isteri sampai bila-bila

Posted: 13 Dec 2010 08:20 PM PST


BIMAL RAJ menunjukkan kesan cedera akibat dibelasah isteri dan dua lelaki hingga menyebabkannya hilang ingatan pada 10 November lalu. Di sebelahnya ialah kakaknya, G. Muniswari.


KULIM – "Saya tidak akan memaafkan isteri saya sampai bila-bila."Itu kenyataan ringkas daripada G. Bimal Raj, 25, anggota polis berpangkat Lans Koperal yang hilang ingatan selepas dipukul isterinya dan dua lelaki lain dalam satu kejadian pada 10 November lalu.

Bimal Raj memberitahu, dia tidak menyangka isteri yang dikahwininya pada Mac tahun lalu sanggup bersubahat dengan dua lelaki lain hingga membuatkan dia koma hampir sebulan.

Mengimbau semula kejadian itu, dia mendakwa ketika itu dia bersama isterinya yang dikenali sebagai Kasturi, 25, pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana sakit pinggang.

Selepas itu, isterinya menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah keluarganya di sini walaupun ketika itu hari sudah lewat malam.

"Ketika dalam perjalanan ke Kulim, tiba-tiba isteri saya yang memandu kereta telah membawa saya ke sebuah lorong yang gelap dan sunyi.

"Sebaik berhenti, saya cuba keluar dan ketika itulah dua lelaki yang dikenali sebagai Denish dan Steven menghampiri saya. Salah seorang kemudian memukul kepala saya dengan kayu hoki," ceritanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Lunas di sini semalam.

Tunjuk katalog gadis urut

Posted: 13 Dec 2010 08:18 PM PST


RAZALI (kiri) memerhati anggotanya memeriksa sebahagian daripada 13 tukang urut warga asing yang ditahan dalam serbuan di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Taktik pekerja premis urut yang memaparkan foto gadis-gadis tukang urut di laluan pejalan kaki untuk menarik pelanggan akhirnya mengundang padah apabila ia diserbu polis malam kelmarin.

Operasi selama hampir dua jam bermula pukul 9 malam itu dilakukan oleh Bahagian Anti Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas menerima aduan daripada orang ramai yang tidak selesa dengan tindakan tersebut.

Pegawai Turus D7, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, pekerja rumah urut didapati cuba menarik pelanggan dengan menunjuk gambar foto ala katalog gadis urut sehingga mengundang rasa tidak selesa di kalangan orang ramai.

Dalam operasi itu, sebanyak sembilan premis di sekitar Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang telah diperiksa.

"Kita menahan 13 tukang urut terdiri daripada warga Kemboja, Indonesia dan China berusia antara 18 dan 40 tahun.

"Kesemua mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain menyalahguna visa lawatan," katanya kepada pemberita malam kelmarin.

New Zealand tingkat eksport produk daging halal

Posted: 13 Dec 2010 08:18 PM PST


Perjanjian yang dimeterai dijangka akan meningkatkan jumlah eksport daging dan produk tenusu halal dari New Zealand ke Malaysia. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Malaysia dan New Zealand semalam mencapai persetujuan bagi pelaksanaan piawaian Notis 2010 Keperluan Halal Daging dan Produk Berasaskan Daging Malaysia (Pemberitahuan Akses Pasaran Seberang Laut) ke atas produk pengeluaran ladang ternakan di New Zealand untuk tujuan pengeksportan ke Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr. Abd. Aziz Jamaluddin berkata, penggunaan piawaian itu dijangka bermula pada bulan Januari tahun hadapan dan jika usaha itu berjaya, ia akan dikembangkan ke negara lain termasuk Eropah, Amerika Latin dan Amerika Syarikat.

"Melalui persetujuan ini, rakyat Malaysia tidak perlu lagi merasa ragu dengan hasil ternakan dan tenusu dari New Zealand yang dijual di dalam negara.

"Selain itu, pihak berkuasa New Zealand akan dapat meningkatkan penglibatan mereka untuk memantau loji-loji ternakan yang ingin mengeksport produk mereka ke Malaysia dengan mengguna pakai piawaian halal dan keselamatan makanan dari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu di sini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Perbadanan Keselamatan Makanan New Zealand, Wayne MacNee; Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, David Kersey dan Pengarah Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar.

Abd. Aziz berkata, persetujuan tersebuat bakal meningkatkan jumlah eksport daging dan produk tenusu New Zealand ke Malaysia yang turut dapat menampung keperluan rakyat di negara ini.

Beliau memaklumkan, sebelum ini 16 daripada 30 ladang New Zealand yang membekalkan produk ke Malaysia dihentikan pengeksportan mereka kerana tidak memenuhi syarat halal yang ditetapkan, menyebabkan jumlah nilai pengeksportan ke Malaysia berkurangan kepada RM130 juta setahun berbanding jumlah yang lebih besar sebelum ini.

Alif bukan ditaja

Posted: 13 Dec 2010 08:17 PM PST




MEREKA berdua masih muda dan sedang meniti zaman remaja yang mencabar. Ditemukan buat pertama kali pasti menerbitkan pelbagai perasaan dalam jiwa mereka, tambahan pula usia remaja ialah masa untuk mencuba dan jiwa pula gemar memberontak.

Remaja lelaki kelihatan begitu mesra, sentiasa ceria malah pandai mengambil hati orang sekeliling. Remaja perempuan pula masih kelihatan segan, mungkin tidak biasa dengan persekitaran asing jauh dari tanah tumpah, Filipina. Namun, kemesraan yang cuba ditampilkan harus dipuji.

Alif Satar yang mula dikenali umum selepas menyertai program realiti TV, One In A Million musim pertama sudah tidak perlu diperkenal. Popular di kalangan peminat dengan lagu-lagu seperti Jangan Nakal dan Cukup Indah.

Gadis sunti dari Filipina itu pula, namanya, Julia Abueva, baru sahaja menyambut hari lahir ke-15 pada 26 November lalu.

Daripada bahasa tubuhnya, jelas masih kelihatan pemalu terutama ketika sesi temu ramah dijalankan tetapi begitu teruja dengan pertemuan mereka.

"Saya rasa seperti sudah lama mengenali Alif kerana dia begitu mesra. Dia juga sempat mengajar saya bermain drum ketika awal pertemuan kami.

"Sudah tentu saya suka suaranya," ucap Julia yang boleh bertutur beberapa perkataan bahasa Melayu seperti 'sayang', 'kamu' dan 'hebat'.

Bagi Alif pula, Julia disifatkan sebagai seorang gadis yang pemalu tetapi cepat mesra dengan orang sekeliling. Tambahan pula, menurut Alif, Julia seorang gadis yang comel dan sentiasa bersifat terbuka terhadap semua perkara.

Pertemuan mereka bukan untuk bersukaria jauh sekali untuk berpacaran.


JACLYN VICTOR telah mencetuskan minat Alif untuk membeli motosikal Ducati Monster yang sekarang menjadi miliknya.


Mereka disatukan atas tuntutan kerja dan nyala rasa mereka berdua. Mereka bertemu kerana bakat suara yang dikurniakan lengkap dengan pakej personaliti yang menarik.

Alif dan Julia berpadu suara merakamkan single terbaru berjudul, Timeless. Lagu itu pernah dipopularkan pemenang American Idol musim pertama Kelly Clarkson dan Justin Guarini.

"Lagu ini dipilih oleh pihak pengurusan. Malah, pertemuan kami juga dirancang mereka. Jika ingin menembusi pasaran Filipina, lagu perlu berbahasa Inggeris.

"Selain itu, lagu ini diberi nafas baru sesuai dengan konsep kedua album Alif nanti," terang Alif dengan penuh ramah.

Lagu yang mengambil masa rakaman di antara dua hingga empat jam itu dipilih bertujuan bukan sahaja bagi untuk pasaran Filipina tetapi juga sebagai satu senjata untuk Alif dibawa ke peringkat antarabangsa.

"Jika mahu menembusi pasaran Indonesia, terlalu susah. Malah, mereka pula yang banyak memasarkan produk di sini. Jadi, Alif harap dengan rakaman lagu ini yang akan dijual secara digital dan akan dimainkan di Malaysia dan Filipina dapat memperkenalkan Alif di sana.

"Julia juga dapat melebarkan sayapnya di Malaysia. Ini ialah situasi menang-menang," kata Alif ketika ditemui di Studio 101, Petaling Jaya.

Lagu yang bakal membawa misi besar Alif ke Filipina itu diterbitkan oleh Nai Kong merupakan percubaan yang berisiko tinggi yang pernah dia lakukan walaupun menghadapi pelbagai halangan.

"Timeless ialah lagu pertama yang saya rakam dalam bahasa Inggeris. Ia mempunyai rentak R&B, Latin dan irama akan lebih segar. Saya fikir lagu berbahasa Inggeris susah untuk diterima seluruh lapisan masyarakat, tetapi kita perlu mencuba.

Alif juga menambah projek kolaborasi ini sudah tiga bulan dirancang dan sepatutnya rakaman dibuat di Filipina bulan lalu. Tetapi terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, ia tertangguh.


DUA figura remaja ini bergabung vokal dan bakat untuk lagu, Timeless.


"Sementara klip video pula masih lagi dalam perancangan dan akan melalui proses pengambaran pada tahun hadapan. Saya berharap ia akan berlaku di Filipina," kata Alif yang teruja untuk ke Filipina.

Sementara itu, pasangan duet Alif, Julia bukan calang-calang penyanyi walaupun masih muda. Penyanyi yang mula bernyanyi sejak usia tujuh tahun itu, pernah membuat persembahan dihadapan pemimpin-pemimpin dunia di Persidangan APEC 2009 yang dihadiri Presiden Amerika, Barrack Obama.

Selain itu, suara merdu Julia juga pernah menghiburkan atlet di temasya Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina dan Vientiane, Laos pada tahun 2009.

Julia yang masih lagi menuntut di Singapore America School di Singapura mengakui sukar untuk membahagi masa antara minat dan pelajaran.

"Saya masih lagi belajar di tingkatan atas, dan ia semakin susah untuk seimbang antara masa belajar dan menyanyi.

"Namun, saya perlu sesuaikan diri kerana saya begitu minat dengan dengan dunia nyanyian," kata Julia merakam beberapa buah lagu di Filipina seperti Awake, Endlessly dan beberapa buah lagu berbahasa Tagalog.

Buat peminat Surya

Posted: 13 Dec 2010 08:11 PM PST


PENGARAH filem Rathtaa Charithram, Ram Gopal Varma.


'MEMBALAS dendam adalah emosi paling suci', petikan kata-kata epik unggul Mahabaratha menghiasi poster dan iklan filem paling dinantikan peminat aktor Surya yang bertajuk Raththaa Charithram arahan sutradara, Ram Gopal Varma. Buat julung-julung kalinya, Ram yang merupakan pengarah tersohor India yang pernah memecah panggung melalui filem-filem blockbuster seperti Satya, Gaayam, Money, Company, Bhoot dan Jungle bereksperimen dengan lakonan Surya.

Ujar Ram, pemilihan Surya sebagai tunjang filemnya adalah atas faktor kejayaan pelakon tersebut melalui beberapa filem dan kemampuannya beraksi dalam pelbagai karakter protagonis.

Surya yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kariernya akan hanya tertumpu berlakon dalam filem Kollywood atau Tamil tidak dapat mengelak tawaran emas Ram Gopal Varma.

Berbeza daripada genre komersial Bollywood mahu pun Kollywood yang banyak memaparkan permasalahan atau gabungan drama, komedi, keganasan serta hiburan, Ram bukan sahaja memperjudikan bakat Surya malah pelakon tampan Bollywood, Vivek Oberoi turut dijadikan gandingan Surya.

Gandingan kedua-dua aktor tersebut digunakan secara bijak oleh Antenna Entertaiments selaku pengedar tunggal filem Raththaa Charithram untuk tayangan di semua pawagam terpilih di Malaysia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut, Ashraff Reza Anand: "Saya percaya peminat Surya tidak akan menghampakan saya."

"Ini bukan filem komersial biasa. Saya tahu ia bukan seperti yang dikehendaki penonton biasa, namun saya percaya kelainan ini akan berhasil lebih-lebih lagi apabila Surya di jadikan pelakon utama," kata Anand.


AKTOR hebat, Surya.


Tambah beliau lagi, filem tersebut didatangkan dalam dua bahagian. Bahagian pertama hanya berbahasa Hindi dan dibintangi sepenuhnya oleh Vivek Oberoi manakala bahagian kedua pula ditayangkan dalam tiga bahasa iaitu Hindi, Tamil dan Telegu dengan tambahan karakter Surya. Filem ini berkisarkan sebuah kisah benar yang berlaku di selatan India dan Ram menggambarkan filem tersebut sebagai filem paling ganas pernah diarahkan di India.

"Ini adalah projek impian yang memberikan impak mendalam buat saya. Saya percaya hanya Surya yang menepati kehendak karakter filem ini dan dia berjaya membawa wataknya dengan baik sekali. Penonton akan melihat Surya yang baru dalam filem ini," ujar Ram.

Namun sedikit menghampakan para media apabila kelibat Surya yang dijanjikan untuk tayangan sulung Raththaa Charithram, tidak kelihatan.

"Saya memohon maaf kerana Surya terpaksa membatalkan penerbangan ke Malaysia berikutan kemalangan kecil yang menimpanya semasa penggambaran filem terbaru. Beliau dinasihatkan untuk berehat," kata Anand yang mengaturkan satu sidang media melalui persidangan video.

"Ram pernah 'meletupkan' panggung dengan filem-filem yang jauh lebih hebat. Faktor utama saya menerima tawarannya adalah kerana filem tersebut ditayangkan dalam bahasa Tamil. Tiada ruang untuk saya menolak, malah ia satu peluang keemasan buat saya " kata Surya dalam sidang video tersebut dan menyatakan filem ini mampu membawa perspektif baru dalam industri Kollywood.

Walau pun mempunyai unsur keganasan namun realiti yang dipaparkan dalam setiap plot filem tersebut perlu dipuji. Berpotensi membawa Ram mengenggam anugerah, Raththaa Charithram tidak seharusnya dilepaskan. Malah ia memaparkan sebuah pembalasan dendam sebagai satu-satunya pengisian utama filem tersebut. Lebih unik lagi, filem ini tidak diselitkan dengan sebarang lagu, tarian mahu pun adegan mewah.