Adsense

Isnin, 13 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Akhirnya Dayang ditinggalkan

Posted: 12 Dec 2010 04:12 PM PST

Hip

Perpisahan tidak dapat dielakkan saat kemunculan Sayang & Cinta

SIRNA 2011 yang menjelang menjadi dimensi baru dalam kehidupan Dayang Nurfaizah Awang Dowty apabila bakal mengemudi kerjaya seni sendiri berikutan 'perpisahan' dengan pengurusnya, Shaliza Kader Sultan yang bersamanya sejak 2001.

Bukan disebabkan perselisihan pendapat atau masing-masing selesa memilih haluan sendiri sebaliknya Shaliza yang baru mendirikan rumah tangga perlu berhijrah mengikut suaminya ke Amerika Syarikat. Walau berat keputusan diambil, kedua-duanya sudah menyusun perancangan rapi bagi memastikan kerjaya penyanyi yang selesa dipanggil Dayang itu terus memacu ke puncak malah mereka memasang strategi 'menjual' Dayang hingga ke luar negara sekali pun berjauhan.

"Ya… saya sudah sedia dengan ketiadaan Kak Liza (Shaliza) kerana penghijrahannya itu sudah lama dimaklumkan tetapi semua ini mempunyai hikmah tersendiri dalam membentuk diri saya lebih mendalami semua perkara berkaitan showbiz.

"Kalau mengikut perancangan, Kak Liza akan 'terbang' awal tahun depan namun dia tetap membantu saya dari jauh. Itulah bagusnya teknologi moden, kita masih dekat biar jauh beribu batu," katanya ketika ditemui selepas pra dengar album barunya, Sayang & Cahaya.

Bagai isi dan kuku, tempoh sedekad bekerja bersama membuatkan Shaliza cukup masak dengan sikap artis dari Bumi Kenyalang itu namun mampukah Dayang bergerak sendiri di saat buah tangan terbarunya bakal menemui khalayak dalam tempoh terdekat ini?
"Memang hakikatnya tampak menyukarkan tetapi segala urusan album hingga persembahan pentas dan promosi Sayang & Cahaya sudah diperhalusi demi memastikan tiada yang tertinggal sepanjang ketiadaannya.

"Sepanjang mengenalinya, dia cukup komited dan bersungguh-sungguh 'memasarkan' jenama Dayang sekali gus membuatkan saya yakin dia tidak akan membiarkan saya terkontang kanting sendirian," ungkapnya lagi yang menganggap Shaliza lebih dari seorang pengurus.

Begitupun, Dayang menegaskan tidak tergesa-gesa mencari pengganti Shaliza kerana memerlukan masa mencari mereka yang berpotensi mengendalikan kerjayanya sekali gus mencari keserasian dengan sesiapa pun yang dipertanggungjawabkan nanti.

Rakam semula lagu Mulanya Di Sini

Bercerita lanjut perihal album studio ke lapan yang diterbitkan syarikatnya sendiri, iaitu DN & AD Entertainment Sdn Bhd, penyanyi ini berasa teruja menantikan maklum balas pendengar cukup kuat bersarang di dalam hati.

Bersama garapan 12 pilihan lagu, akui pemilik mata galak itu, awalnya pihaknya merancang menerbitkan hanya lima lagu dalam sebuah album EP namun satu persatu gubahan yang diterima cukup bagus untuk disimpan.

"Saya sedar corak pasaran album tempatan kini lebih menjurus kepada album EP. Namun apabila menerima lagu yang bagus, saya tidak mampu menolak atau menyimpannya. Tambahan pula peminat Dayang tetap mahu memiliki album fizikal kerana mereka lebih puas jika ada album yang boleh disimpan, seperti mana saya," katanya.

Sekali pun mengambil masa lebih setahun penghasilan produk terbabit, terserlah kepuasan hati Dayang apabila sepanjang sesi pra dengar, apabila mulutnya rancak menceritakan kenangan atau insan di sebalik nukilan berkenaan.

Sejumlah RM70,000 diperuntukkan bagi keseluruhan proses penerbitan yang turut mendapat sentuhan pengarah muzik popular, Chuckii Booker iaitu pemuzik yang pernah bekerja dengan Mary J Blige dan Lionel Ritchie. Jumlah itu tidak termasuk promosi.

Selain Sayang & Cahaya, lagu lain adalah Mulanya Di Sini yang pernah dipopularkan kumpulan Freedom serta Sayang, Rahsia Cinta, Sabarlah, Kau Bintangku, Sempurna Selamanya, Hingga Ke Akhirnya, Saat Itu, Life With You, Perlukan Cinta dan Ku Temu Cahaya yang menjadi lagu tema Yayasan Aid Malaysia.

"Lebih setahun diperlukan bagi merealisasikan Sayang & Cahaya disebabkan jadual saya sebelum ini dipenuhi untuk Mentor dan pembabitan saya dengan program amal namun nampaknya ia berbaloi.

"Sebagai contoh peluang menyampaikan lagu Chuckii Booker yang diperkenalkan penulis lirik, Zuriani Zonneveld menerusi seorang peminat. Inilah yang dinamakan takdir serta hikmah tersembunyi di sebalik setiap kejadian," katanya lagi sambil tersenyum manis.

Seperti biasa, pertanyaan mengenai cinta umpama soalan nakal yang sering diaju kepada Dayang apatah lagi usianya bakal memanjat angka 30 tahun depan selain kecenderungannya yang tampak cukup mesra dengan dendangan berunsur cinta.

Sambil ketawa mendengar usikan yang mengatakan dia menyembunyikan kekasih hati, katanya hingga kini dirinya masih sendiri dan menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi.

ABPBH eratkan semua anak seni

Sebagai bintang kesayangan ramai, penghasilan album terbabit juga melayakkan Dayang berada dalam senarai calon awal kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.

Akuinya, pengiktirafan Berita Harian yang sudah memasuki edisi ke 24 terhadap anak seni dari pelbagai bidang menunjukkan penghargaan akhbar dan peminat terhadap sumbangan golongan artis dalam industri hiburan.

"ABPBH secara tidak langsung memerlukan setiap artis dan penggiat seni bekerja keras meningkatkan pencapaian dan memartabatkan industri malah bagi saya populariti seseorang artis sentiasa memberi impak terhadap produk yang dihasilkan.

"Istimewanya majlis penganugerahan ini turut mendekatkan semua karyawan daripada pelbagai bidang kerana acara beginilah yang membolehkan kita mengenali teman seperjuangan lain sekali pun dari aliran berbeza," ulasnya jujur.

PROFIL: Dayang Nurfaizah Awang Dowty
TARIKH LAHIR: 20 Julai 1981
ASAL: Kuching, Sarawak
ALBUM: Dayang Nurfaizah (1997), Seandainya Masih Ada Cinta (2001), Hembusan Asmara (2002), Dayang Sayang Kamu (2004), Kasih (2005), 20 07 Dayang (2007),


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Impian terakhir Kak Yan

Posted: 12 Dec 2010 03:50 PM PST

Hip

KAK YAN mendoakan Benjy cepat bebas dari penjara.

KAK YAN mendoakan Benjy cepat bebas dari penjara.

Menaruh harapan sempat peluk Benjy sebelum tutup mata selamanya

SEJAK berita penahanan Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, berhubung kes memiliki dadah mendapat liputan meluas pada Mac lalu, tidak semena-mena ibunya yang juga aktres terkenal, Azean Irdawaty menjadi buruan media.

Namun ketika itu, agak sukar untuk menjejaki Azean kerana dia sendiri lebih senang mengunci mulut. Khidmat pesanan ringkas yang dikirimkan bagi mendapatkan komen berhubung penahanan Benjy dijawab cukup ringkas berbekalkan jawapan 'No komen'. Sesiapa saja yang berada di tempat pelakon itu tentunya akan melakukan perkara serupa. Tiada siapa mahu diganggu saat sedang berperang dengan masalah yang besar.
Bagaimanapun, sembilan bulan selepas berita gempar itu, Azean atau Kak Yan kelihatan semakin kuat dan tenang. Bukan saja dari sudut mental, malahan fizikal sekalipun dia sendiri sedang berperang dengan barah payu dara yang sudah berada pada tahap empat.

Begitulah kuatnya semangat seorang ibu. Demi anak lelaki tunggal kesayangan, Azean cuba untuk bertahan kerana mahu memeluk anak kesayangan yang kini ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor yang menjadi impian terakhir aktres itu sebelum ajal menjemputnya.

"Walaupun penyakit Kak Yan disahkan berada di tahap empat, tetapi alhamdulillah Kak Yan berasa semakin sihat. Kak Yan sentiasa cakap kepada diri, selagi aku belum peluk anak aku Benjy, jangan ambil aku.
"Kalau ikutkan kata doktor, Kak Yan hanya berpeluang hidup dua tahun saja lagi iaitu sehingga Oktober lalu kerana paru-paru dan hati Kak Yan juga sudah dijangkiti sel barah. Doktor menasihati Kak Yan supaya segera menulis surat wasiat kerana bimbang tidak sempat. Alhamdulillah Kak Yan masih bernafas hingga kini. Kak Yan juga tidak akan izinkan sesiapa menakut-nakutkan Kak Yan kerana ajal maut terletak di tangan Tuhan.

"Kak Yan juga tak mahu lagi buat rawatan di hospital, sebaliknya lebih selesa mendapatkan rawatan secara alternatif. Kak Yan tak mampu lagi berulang alik ke hospital kerana kos rawatan mahal. Sejak tiga tahun lalu, Kak Yan sudah berhabis lebih RM200,000," katanya.

Biarpun naluri keibuannya meronta-ronta mahu mendakap anak kesayangannya, namun aktres yang mula mencipta nama sejak era 70-an itu tetap bersyukur kerana masih diberi peluang melawat anaknya dua bulan sekali. Setiap kali bertemu, mereka hanya dapat berbicara menerusi telefon, manakala tangan masing-masing dilekapkan pada cermin yang menjadi tembok pemisah sebagai cara mereka berpelukan.

Ketiadaan Benjy memang jelas sekali cukup dirasakan Kak Yan, walaupun dia kelihatan cukup kuat menepis dugaan itu. Kata Kak Yan, pada Ramadan yang lalu, juadah yang sering menjadi kelaziman mereka sekeluarga saat berbuka, tidak lagi disediakan kerana ketiadaan Benjy.

"Setiap kali bulan puasa, Kak Yan selalunya akan menyediakan nasi ulam daun keladi iaitu makanan tradisi masyarakat Kedah yang juga menjadi kegemaran Benjy. Bagaimanapun, tahun ini, Kak Yan tidak buat langsung kerana dia tidak ada.

"Selama berada dalam tahanan, Kak Yan lihat Benjy sangat kuat. Kak Yan selalu menasihati dia supaya cekal kerana Tuhan tahu apa yang sedang dia harungi. Dia juga ada menyatakan hasratnya yang tidak sabar mahu keluar. Dia selalu kata rindukan mama, adik-adik dan juga anaknya Firdauz Juan.

"Kak Yan memang berharap Benjy dapat segera ke luar. Dia sepatutnya menjalani hukuman selama dua tahun, tetapi sekiranya berkelakuan baik, berkemungkinan hukuman itu dipendekkan," kata Kak Yan yang bakal kembali beraksi di pentas teater muzikal Tun Mahathir pada Januari depan.

Teruja dengan muzikal Tun Mahathir

Kesediaannya untuk beraksi di dalam pementasan Muzikal Tun Mahathir musim kedua di Istana Budaya (IB) pada 21 hingga 30 Januari 2011 bukanlah titik tolak kepada Kak Yan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.

Sebaliknya kata Kak Yan, hatinya terbuka menerima tawaran daripada CTRA Production kerana tertarik dengan karya berkenaan, apatah lagi Tun Mahathir juga adalah idolanya.

"Kak Yan tak tahu kenapa, tetapi sewaktu menonton teater muzikal itu tempoh hari, hati Kak Yan cukup tersentuh. Malah Kak Yan hampir berdiri dan menjerit nama Tun ketika Esma Daniel menuruni tangga. Begitu hebatnya Esma hingga mampu meyakinkan penonton.

"Kak Yan memang berharap sangat Siti Rohayah Attan (Roy) akan mementaskan semula teater ini. Bila Roy telefon menyatakan hasrat untuk terbabit dengan pementasan kedua, Kak Yan memang amat teruja.

"Kak Yan tak kisah walaupun watak yang diberikan itu kecil, bagi Kak Yan watak berkenaan tetap penting kerana pernah menjadi sebahagian daripada hidup Tun.

"Sekalipun hanya diberikan satu babak saja, Kak Yan akan tetap menjalani latihan penuh kerana sudah lama Kak Yan tidak melalu saat sebegini. Kali terakhir kira-kira lima tahun lalu menerusi teater M The Opera!," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.