Berita Harian: Hip |
Posted: 11 Jan 2013 02:24 PM PST Gadis yang dikurniakan raut wajah eksotik ini sering memberikan persembahan mengesankan lewat himpunan filem yang dibintanginya. Diperkenalkan buat kali pertama dalam produksi sentuhan Nia Dinata, Berbagi Suami pada 2006, Atiqah Hasiholan tidak mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Sempat menjamah debaran pertama apabila dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, FFI 2009 lewat filem, Ruma Maida, sejak itu Atiqah sinonim dalam senarai nominasi FFI. Menerusi The Mirror Never Lies, Atiqah dicalonkan untuk kategori Aktres Pembantu Terbaik, FFI 2011 dan Disember lalu, namanya kembali meraih perhatian juri FFI 2012 dengan Hello Goodbye. Impak pencalonan yang diterimanya saban tahun menimbulkan spekulasi, anak aktivis seni, Ratna Sarumpaet ini berada dalam kelompok aktres dengan pendapatan tertinggi. Ini terbukti apabila dia membeli sebidang tanah di kawasan elit di Jakarta Selatan. Namun Atiqah yang dilihat bersaing sengit dengan bintang Perahu Kertas, Maudy Ayunda dalam senarai itu enggan mengulas lanjut.
Apa yang saya tahu, Acha Septriasa dan Nirina Zubir ialah antara artis yang pernah menerima bayaran tertinggi, itupun sekitar 2006, katanya. Dibesarkan di panggung teater, Satu Merah Panggung malah pernah melanjutkan pelajaran di Monash University, Atiqah tidak menafikan, ketika ini rezeki sedang berpihak kepadanya dan Maudy. Untuk 2013, dua filem lakonannya bersedia menanti tayangan Orenji dan Java Heat-red. Berdasarkan pengamatan, Acha pernah melakar sejarah sebagai aktres termahal apabila menerima bayaran mencecah RM150,000 untuk sebuah filem, namun Atiqah menolak bayaran diterimanya setinggi itu. Dulu produser sedia membayar tinggi kerana tidak sulit mengumpul 500,000 penonton. Ketika itu, produksi yang mengaut lebih 600,000 audiens belum dianggap filem pecah panggung atau terlaris untuk tahun berkenaan. Semua itu sudah berubah. Hari ini untuk menarik 250,000 penonton ke panggung menjadi hal yang paling sulit. Bayaran untuk saya tidak semahal itu tetapi saya tidak tahu bagaimana pada 2013. Saya cuma berharap iklim filem tempatan semakin kondusif, terutama selepas sambutan luar biasa diberikan kepada filem seperti 5cm dan Habibie & Ainun, katanya. Terganggu soalan peribadi Sedang menjalin cinta dengan aktor, Rio Dewanto, Atiqah kerap diajukan pertanyaan bila hubungan itu akan diakhiri ikatan suci iaitu pernikahan.
Cuma ada beberapa pertanyaan yang membuat saya tercari-cari jawapan, terutama mengenai hubungan kami dikatakan sudah retak. Apabila ditanya dari mana sumber berita itu, si polan yang bertanya mengelak untuk menjawab. Mengapa perlu saya menjawab soalan seperti itu dan jujurnya, ia sedikit mengganggu, katanya. Bintang Arisan! 2 dan Jamila Dan Sang Presiden itu berkata, dia terkilan ketika muncul gosip mengatakan hubungannya dan Rio berakhir apabila didakwa menjalin hubungan dengan penyanyi balada dari Korea Selatan. Tidak dapat menahan perasaan, Atiqah dengan suara keras menegaskan, dia tidak suka jika media mengada-adakan cerita. Jika menurut media hubungan saya dan Rio yang tenang tidak begitu menarik untuk diberitakan, silakan mencari artis lain yang suka digosip. Saya menjalani hubungan ini dengan santai. Saya tidak pernah bosan mendampingi Rio, begitu juga sebaliknya, katanya. Tiga tahun menjalin hubungan, Atiqah juga meletakkan harapan yang sama seperti harapan khalayak yang ingin melihat percintaan mereka diakhiri pernikahan. Saya masih menanti lamaran Rio. Sudah tiga tahun kami bergelar kekasih, apatah lagi pernikahan itu menyatukan dua keluarga berbeza dalam satu ikatan. Untuk mencapai destinasi itu, ikatan saya dan Rio terlebih dulu perlu kuat. Setakat ini, kami jalani hubungan ini sebaiknya, katanya. Sempat terdengar khabar mereka akan mendirikan rumah tangga pada 4 Mac depan, namun perkara itu segera disangkal. Rela membiarkan cinta mereka mengalir tanpa dibebani tekanan masa, usia dan keluarga, Atiqah berkata, apabila tiba masanya dia dan Rio pasti bersatu.
Cinta kami bukan seperti sebuah filem, ia perjalanan hidup yang nyata. Semua yang direka itu tidak akan menghasilkan sesuatu yang abadi. Saya dan Rio mengimpikan jika bertemu jodoh, hubungan kami akan berpanjangan seperti Sophan Sophiaan dan Widyawati yang dipisahkan ajal, katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |