Bintang Azura minta penyebar fitnah hormati rumah tangga insan lainSeboleh-bolehnya dia tidak mahu mengulas gosip yang satu ini. Bagi Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Lofa, cerita yang mendakwa dirinya menjalinkan hubungan intim dengan suami seorang pengacara terkenal tidak lebih daripada sekadar gosip liar.
Saat diajukan pertanyaan mengenai kesahihan khabar angin itu pada empunya diri, Lofa mengakui dia tahu mengenai gosip yang tersebar itu.
Bintang yang semakin bersinar ini pada mulanya malas untuk mengulas kerana tidak mahu perkara yang tidak sahih itu berpanjangan. Begitupun, apabila cerita itu semakin bertebaran dan dirinya sendiri terus ditembak dengan pertanyaan berkaitan gosip liar terbabit, dia terpaksa juga bersuara.
"Sudah-sudahlah buat fitnah terhadap Lofa. Janganlah lagi dikaitkan Lofa dengan cerita perampas suami orang. Kepada si penyebar fitnah pula, belajarlah menghormati rumah tangga orang lain," tegas Lofa ketika ditemui pada majlis pelancaran Golden World, sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan menjual dan membeli emas fizikal, di Kuala Lumpur, petang Khamis lalu.
Pada acara berkenaan, aktres dan juga pengacara jelita ini bertindak sebagai pengendali majlis.
Kata Lofa lagi, antara dia dan lelaki yang dikaitkan dengannya itu memang tiada sebarang hubungan istimewa memandangkan mereka sudah berkawan lama.
"Lofa kenal dia sejak umur Lofa 17 tahun lagi. Kami hanya berkawan. Jadi, apabila gosip ini timbul, memang Lofa terkejut. Kalau diikutkan, memang Lofa malas nak komen kerana cerita perampas ini memang tak masuk akal," katanya yang bakal meraikan ulang tahun ke-24, 10 Februari ini.
Sudah lama tak jual kasut
Perbualan kami petang itu berlanjutan kepada sebuah lagi cerita sensasi membabitkan pengacara Nona ini. Ada pihak mengadu kononnya Lofa tidak jujur dalam menjalankan perniagaan kasutnya. Menurut cerita yang sampai ke meja HIP, kasut yang dijualnya itu kononnya tidak berkualiti dan ia juga bukan rekaannya yang sebenar.
Sebaliknya menurut si pengadu, Lofa hanya menukar label kasut yang dibeli dari luar negara itu kepada jenamanya. Justeru, kualiti dan reka bentuk kasut tidak seperti yang dicanangkan sebelum ini.
"Itu bukan kerja Lofa. Sebaliknya, ada seorang individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Lofa untuk menjual kasutnya yang tidak berkualiti itu. Individu itu menjalankan perniagaannya menerusi laman Facebook. Sebaik saja mendapat tahu wujudnya kegiatan itu, Lofa terus menghubungi pemilik akaun palsu terbabit dan meminta dia menghentikan perbuatannya.
"Sebenarnya Lofa sudah lama tak aktif berniaga kasut, sudah hampir dua tahun. Insya-Allah, tengoklah nanti, kalau Lofa sudah ada banyak duit, barulah Lofa akan kembali menjalankan perniagaan ini. Lofa tidak mahu berniaga sambil lewa. Buat masa ini tumpuan Lofa adalah pada perniagaan produk minuman kesihatan dan kecantikan milik keluarga, Bella Vita," jelasnya.
Kalau nak melamar, sila datang jumpa keluarga
Mengenai kenyataan jejaka yang sering dikaitkan dengannya, Hans Isaac, yang memberikan tempoh sehingga tahun depan untuk menamatkan zaman bujang seperti yang ditulis kebanyakan media, Lofa berkata, tidak apa yang harus diulas olehnya.
Baginya, sebagai kawan, dia menyokong apa saja yang terbaik buat pelakon, penerbit dan juga pengarah itu.
Diusik pertanyaan apakah kenyataan Hans itu seolah-olah menghantar isyarat buat Lofa supaya bersedia, gadis berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini mempunyai pendirian tersendiri berhubung perkara itu.
"Bagi Lofa, kalau mahu melamar, biarlah dengan cara yang betul... Datanglah berjumpa keluarga dan bukannya melalui media cetak atau elektronik. "Sebenarnya, Lofa ada juga bertanyakan padanya (Hans), bilakah dia mahu mendirikan rumah tangga? Jawab Hans, kalau boleh dia mahu kahwin sebelum umurnya mencecah 45 tahun. Sekarang ini umur dia 41 tahun, jadi dia ada masa empat tahun lagi untuk berbuat demikian," katanya sambil tersenyum.
Finalis tiga kategori ABPBH
Pada penganjuran Anugerah Bintang Popular BH edisi ke-26 (ABPBH26), Lofa mencatat sejarah peribadi apabila berjaya melepasi senarai akhir tiga kategori iaitu Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Wanita Popular dan Pengacara Wanita Popular.
Bagi wanita muda ini, pencalonan itu satu kejutan buatnya, lebih-lebih lagi apabila namanya tersenarai dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular yang disifatkannya sebagai tidak disangka-sangka.
"Lofa hanya menaruh harapan untuk dicalonkan dalam kategori pengacara.
Tak sangka pula nama dicalonkan juga oleh peminat dalam dua kategori lain. Dulu Lofa hanya dicalonkan bersama-sama orang baru, tapi kali ini lain sikit. Lofa berada sebaris dengan nama-nama besar. Itu sudah cukup membuatkan Lofa gembira.
"Rakan pengacara Lofa dalam Nona, Fara Fauzana, awal-awal lagi sudah minta Lofa sediakan ucapan. Katanya, manalah tahu Lofa yang akan menang malam itu. Mungkin dia sekadar mengusik Lofa kerana Lofa tahu, calon untuk kategori itu memang hebat-hebat belaka," kata Lofa mengakhiri perbualan.