Mia, Rykarl mengaku pernah gaduh, seronok berlakon bersamaSama comel, sama bijak. Sekali imbas, wajah dua pelakon cilik, Mia Sara dan Rykarl Iskandar, saling tidak tumpah bagai punya hubungan sedarah. Malah mereka mengakui ramai peminat pernah menyangka kedua-duanya bersaudara.
"Memang orang kata saya abang Mia, padahal kami cuma BFF," kata Rykarl sepenuh perasaan, disambut hilai tawa ramai.
Ditanya apa makna BFF padanya, jawab kanak-kanak lelaki itu dengan yakin, perkataan berkenaan merujuk kepada rakan karib.
"Mia BFF saya sebab kami ada 'chemistry' (keserasian). Kami selalu berlakon bersama dan pernah diundang menjadi hos program. Saya suka digandingkan dengan Mia sebab kami kawan baik. Kalau tak berlakon sama pun, kami ada berbual perkara penting di telefon.
"Kadang-kadang kami pun pernah bergaduh, tapi tak lama. Biasalah, macam BFF lain," cerita anak sulung daripada tiga bersaudara itu lagi ketika ditemui pada majlis pratonton episod akhir Geng Bas Sekolah (GBS) di GSC Signatures, The Gardens, Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Sering berlawan siapa hebat
Menerusi musim kelima yang akan berakhir Ahad ini di Astro Ceria, mereka digandingkan sebagai rakan sekolah dan difahamkan kedua-duanya bergabung sebagai pasukan GBS pada musim akan datang.
Selain Mia yang memegang watak Orked dan Rykarl sebagai JD, siri yang mencatat rating tinggi itu turut dibarisi Harris Alif (Jay), Jasmine Jessica Cross (Chempaka), Brendan (Bobby), Muhd Shahzuan Aiman (DJ) dan Azrul Zaidi (Abang Reza).
Duduk semeja dengan bintang sebaya berusia lapan tahun ini bagai bersembang dengan penglipur lara. Setiap persoalan dijawab panjang lebar, namun terlebih dulu mereka diam seketika seakan mahu menyusun ayat sebelum melontar jawapan.
Seperti sahabat karibnya, Mia juga mengakui seronok berada di set penggambaran kerana berpeluang mengenali ramai teman baru serta bergaul dengan ramai pelakon berpengalaman.
"Saya dengan Rykarl suka berlumba, tapi lebih kepada perkara positif. Maknanya, kalau Rykarl tunjukkan lakonan yang bagus, saya mahu buat yang lebih baik daripada itu. Macam dulu, saya belum pandai membaca dan lebih kepada menghafal, sekarang ia bukan masalah lagi.
"Biarpun kami kanak-kanak, pengarah, kru dan semua pelakon baik-baik. Kami tak pernah dimarah pun kalau buat silap. Mereka bagi lagi tunjuk ajar sampai kami faham. Itu yang seronok sebab semua orang sayang," ucap Mia yang ramah berceloteh.
Tak rimas layan peminat
Memahami sesi bersama wartawan juga sebahagian daripada tanggungjawab sebagai pelakon, mereka cukup petah berbalas jawapan, namun sesekali kedua-duanya tampak bersaing memberikan jawapan terbaik.
Diusik perasaan melayani peminat dan merasai kehidupan sebagai bintang yang dilimpahi populariti, tidakkah pernah terdetik rasa rimas? Jawab Rykarl: "Tiada istilah rimas dalam hidup saya".
Jawapannya itu sudah tentulah mengundang derai tawa hadirin.
Mia pula memaklumkan, sesekali timbul juga perasaan negatif, namun sebagai individu yang memilih seni sebagai aktiviti sampingan, dia sentiasa membuang jauh rasa sedemikian.
"Sudah jadi artis, jadi kita perlu melayan peminat macam saudara sendiri. Disebabkan sokongan merekalah saya terus dapat peluang berlakon. Perkara itu yang sering Mama Lisa (Surihani) ingatkan," katanya yang sememangnya akrab dengan aktres terbabit.
Selain GBS, kedua-duanya pernah disatukan sebagai pengacara program Kan Dah Kena musim dua bersama Nabil dan Aril, selain bakal tampil menerusi drama bersiri, Strawberry Dan Karipap; telemovie, Aaliyah; serta filem, Manisnya Cinta.
Main game, sembang isi masa
Diminta bercerita pengalaman di lokasi, dedah Rykarl yang belajar di Sekolah Rendah Islam Seri Pintar Al-Amin Bandar Sunway, jadual pelakon kanak-kanak tidak panjang, malah punya waktu rehat yang banyak.
"Semua orang faham, kami kanak-kanak cepat letih. Disebabkan seronok berlakon, saya selalu cuba buat yang terbaik. Kalau bosan sangat, saya main game. Macam GBS, shooting siang saja, tapi saya tak kisah pun kalau kena berlakon malam. Saya masih diberi rehat dan tidur," katanya yang teringin berlakon dengan Nabila Huda.
Mia pula lebih gemar bersembang sementara menanti giliran dan jika penat, dia diminta tidur dulu sehingga perlu bersedia sebaik babak membabitkannya bakal dimulakan.
"Saya lebih suka tidur kalau dapat peluang berehat. Tapi selalunya kalau mata tak mengantuk, saya sembang, bermain atau hafal lagi skrip untuk babak seterusnya. Kalau dapat peluang, saya nak beraksi dengan pelakon Korea," ucap Mia yang turut laris sebagai pelakon iklan.