Utusan Online - Hiburan |
Posted: 23 Jul 2013 10:57 PM PDT Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI Shy8 turut berkebolehan untuk memasak beberapa jenis masakan tradisional. KITE bakor je...' adalah antara ungkapan dialog popular yang dilafazkan oleh Usop Wilcha atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalullai melalui filem arahan pengarah Mamat Khalid, filem komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR). Walaupun filem tersebut telah menemui peminat pada Disember 2010 yang lalu, filem itulah yang benar-benar meninggalkan impak dalam karier seni Syed atau Syh8 sehingga kini. Jelas pelakon berusia 48 tahun ini, walaupun dia pernah cuba untuk 'melarikan diri' daripada watak lakonannya itu, ternyata dia gagal kerana sehingga kini, peminat masih mengenalinya kerana lakonan yang berkesan itu. "Saya harus akui kewujudan saya dalam industri hiburan ini banyak bergantung kepada watak tersebut dan sekiranya bukan disebabkan watak itu, mungkin saya langsung tidak akan dikenali. "Sungguhpun begitu, saya ada juga cuba-cuba untuk membawakan watak-watak yang berbeza personalitinya seperti watak serius tetapi ternyata ia gagal meninggalkan impak kepada peminat. "Mungkin kerana apabila mereka melihat muka saya, tiada lain yang mereka fikirkan selain daripada lakonan saya dalam filem arahan Mamat Khalid," katanya. Dalam kehidupan seorang artis, populariti adalah antara perkara paling utama yang membezakan sama ada mereka berada pada tahap tersendiri ataupun hanya sekadar artis 'ala kadar' yang mengisi watak-watak sampingan. Namun begitu dalam karier Shy8, popularitinya banyak bergantung kepada trilogi Kampung Pisang apabila filem kedua iaitu HKLBR mendapat sambutan hangat sehingga mencatat jualan mencecah RM8 juta. Pada ketika itu jugalah populariti Shy8 mencecah tahap tertinggi apabila dialog dan lenggok tubuh badannya menjadi ikutan ramai sehingga mendapat tawaran menjadi penyampai radio bersama stesen radio popular, Hot FM. Tetapi ternyata, aura populariti itu tidak kekal lama kerana projek-projek yang disertai oleh bapa kepada seorang anak lelaki ini tidak mendatangkan hasil seperti yang dijangkakan sebelum dia kembali popular setelah filem ketiga trilogi Kampung Pisang iaitu Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit menjengah pawagam pada Februari 2013. "Saya akui populariti saya banyak meningkat apabila trilogi Kampung Pisang menemui peminatnya dan secara jujur, saya tidak mempunyai masalah dengan situasi tersebut. "Pastinya setiap individu bergelar artis mahu popular setiap masa tetapi perkara seperti ini tidak dapat dipaksa dan ia datang dengan sendirinya. "Walaupun popular secara 'bermusim', saya tetap bersyukur kerana lakonan saya dapat memberikan kesan kepada masyarakat dan itu sudah memadai buat diri saya," katanya lagi. Lebihkan sahur berbanding berbuka Sudah menjadi kebiasaan dalam bulan Ramadan ini, kita akan berbuka dengan kuantiti makanan yang tidak kurang banyaknya, namun berbeza bagi pelakon drama Cer Citer ini apabila dia melebihkan kuantiti makanan sewaktu bersahur. Jelasnya, tabiat tersebut sudah lama dilakukannya iaitu sewaktu berbuka, dia hanya akan mengambil makanan-makanan ringan berbanding hidangan lauk pauk biasa. "Sewaktu Ramadan, saya lebih gemar melebihkan pengambilan makanan ketika bersahur dan bukannya sewaktu berbuka. "Bagi saya, cara ini membantu saya untuk meneruskan kerja-kerja seharian walaupun dalam keadaan menahan lapar dan dahaga di siang hari," katanya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Tambah Shy8 yang turut terlibat dengan beberapa projek drama bersiri seperti Demi Dia, Anak Imam Argentina dan Abang Long VS Kak Yong ini lagi, makanan ringan yang diambilnya sewaktu berbuka adalah seperti buah-buahan dan pelbagai kuih-muih. "Saya memang jarang mengambil nasi berserta lauk pauk sewaktu berbuka sebaliknya makanan sedemikian banyak diambil sewaktu bersahur. "Sewaktu berbuka, kebiasaannya saya hanya makan kuih ataupun makanan seperti murtabak dan pelbagai rojak," kata suami kepada Norafizah Abdul Aziz ini lagi. |
Posted: 23 Jul 2013 10:57 PM PDT PASANGAN Jennifer Lawrence dan Nicholas Houltini dilihat kembali berkasih. CINTA Jennifer Lawrence dengan bekas kekasihnya, Nicholas Hoult amat kuat. Biarpun dia pernah berpisah dengan Nicholas selama enam bulan tetapi akhirnya dia kembali juga ke dalam dakapan lelaki itu. Seperti dilapor Showbizspy, benih cinta mereka kembali bertaut sewaktu sama-sama membintangi filem X-Men: Days of Future Past baru-baru ini. Tambah menarik apabila Lawrence dan Hoult masing-masing melakonkan watak Mystique dan Beast dalam filem tersebut. "Mereka mulai menjalani penggambaran filem itu pada April lalu hanya sebagai teman. Tetapi pada suatu hari mereka dilihat berciuman di lokasi penggambaran tersebut," ungkap salah satu sumber kepada laporan itu. Sumber terbabit turut menambah bahawa hubungan mereka makin dekat setelah itu. Lawrence bahkan sempat mengumumkan pada orang di sekitarnya bahawa dia telah jatuh cinta sekali lagi dengan bekas kekasihnya itu. Lawrence dan Hoult sendiri sempat mengakhiri hubungan mereka pada Januari lalu sedangkan sebelum itu mereka telah berpasangan sebagai kekasih selama dua tahun. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |