|  AC jawab dakwaan   Posted: 13 Nov 2010 09:39 PM PST        JELAS... AC Mizal ditemani jurucakap AC Konsortium, Khai menunjukkan  surat penganugerahan gelaran Datuk yang diterima daripada Setiausaha  Pejabat Negeri Pahang.  SELEPAS beberapa hari membuat laporan polis kerana mendakwa dirinya  diugut, malah menjadi bahan cacian di Internet, pelakon, penyanyi dan  pengacara, Datuk Mizal Zaini, 39, atau AC Mizal tampil memberi  penjelasan berhubung beberapa isu yang ditimbulkan penulis blog, forum  tertentu dan laman sosial Facebook, antaranya mendakwa harga gelang AC  cuma AS$25 (RM78) tetapi dijual pada harga RM1,000, penjualan gelang AC  di gedung Marks & Spencer di London, tiada lesen jualan langsung dan  gelaran Datuk tipu.   Beliau yang kini bergelar ahli perniagaan selaku Pengerusi  Eksekutif AC Konsortium Sdn Bhd (AC Konsortium) menyifatkan dakwaan  terbabit sebagai fitnah dan berniat jahat untuk mencemarkan nama baik  dan menjatuhkan perniagaannya.
   Akibat keselamatannya turut diancam, AC terpaksa mengambil langkah  berjaga-jaga, termasuk mengupah pengawal peribadi bagi melindungi  keluarga dan kakitangannya.
 Sambil mencabar pihak yang  menyerangnya itu tampil, terutama penulis blog yang menggunakan nama  Aidid Mu'addib, AC menganggap mereka sebagai pengecut. Atas dasar  'berani kerana benar', AC dengan tenang menghabiskan masa hampir dua jam  ditemubual wartawan Metro Ahad, ISMA ISMAIL, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan  FIRDAUS SAHAT di pejabatnya di Ampang, baru-baru ini. Ikuti luahan AC."SAYA tidak menaruh dendam berhubung fitnah yang dilemparkan  kepada saya. Ia sedikit pun tidak melemahkan semangat saya untuk  meneruskan perniagaan AC Konsortium.Saya akan meneruskan tugas selaku Pengarah Eksekutif AC  Konsortium. Walau apa saja fitnah dilemparkan, saya ada tanggungjawab  terhadap keluarga, kakitangan dan ribuan ahli AC Konsortium.
 
 Saya tidak mahu membuat tuduhan siapa memulakan semua itu, tetapi  berdasarkan penggunaan ayat dan maklumat disebarkan itu, terutama  membabitkan hal perniagaan, saya dapat agak siapa dalangnya.
 
 Jika diikutkan, serangan terhadap saya bermula sejak tahun lalu tetapi  ia semakin menjadi-jadi selepas saya terlepas daripada hukuman penjara  berkaitan kes syariah baru-baru ini. Mungkin individu itu tak puas hati  sebab saya tidak dipenjarakan.
 
 Jika saya dipenjarakan,  barangkali individu itu puas kerana dia memang mahu melihat saya  menderita. Apa pun, saya membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya  Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan biar pihak berkenaan melakukan  siasatan.
 
 Cuma, kepada penulis blog yang mencetuskan serangan  kepada saya, sila tampil ke depan dan dedahkan identiti. Jangan jadi  pengecut! Kata orang, berani kerana benar, takut kerana salah.
 
 Jangan sekadar menunjukkan keberanian dengan penulisan. Saya sendiri  tampil memberi kenyataan dan membalas dakwaan yang ditimbulkan. Saya  bukan mahu meraih simpati, tetapi apa yang dilakukan terhadap saya  adalah keterlaluan. Bukan saya seorang yang terpaksa menanggung kesan  fitnah, termasuk ugutan dilemparkan, tetapi juga keluarga dan kakitangan  AC Konsortium.
 
 Kenyataan 'elok sembelih saja kot' bukan  kenyataan yang boleh dibuat main-main. Walaupun penulis blog yang  mengeluarkan kenyataan itu mengatakan ia hanya metafora sehari selepas  saya buat laporan polis, saya tidak boleh terima.
 
 Penulis yang  buat kenyataan itu boleh menganggapnya perkara kecil tetapi tidak bagi  sesiapa saja yang ditujukan ayat seperti itu. Terus terang saya katakan,  saya, keluarga dan kakitangan AC Konsortium hidup dalam ketakutan.
 
 Saya terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengupah  pengawal peribadi. Sudah pasti apabila saya mengupah pengawal peribadi,  ada nanti yang mengatakan saya berlagak dan mahu tunjuk hebat, tetapi  tiada langsung niat seperti itu kerana saya hanya mahu menjaga  keselamatan diri, keluarga dan kakitangan seramai 33 orang.
 
 Akibat fitnah yang dilemparkan, saya akui perniagaan saya merosot dalam  tempoh sebulan, tetapi kini ia perlahan-lahan bangkit kembali kerana  dalam pada ada yang membenci, masih ramai mengetahui situasi sebenar dan  memberi sokongan.
 
 Di sini saya mahu menjawab pelbagai dakwaan yang ditimbulkan:
 
 1) Gelang AC Mizal dibeli dengan harga AS$25 (RM78) tetapi dijual RM1,000
 
 Apa  yang dipaparkan di blog hanya gambar yang diubahsuai. Harga RM1,000  yang ditawarkan bukan sebab saya tamak, tetapi ia membabitkan pelbagai  kos, antaranya kos kotak, operasi dan pemberian bonus. Malah, daripada  RM1,000 itu, sebanyak RM500 diberi kepada ahli sebagai komisen.
 
 2) Tiada Lesen Jualan Langsung
 
 Dakwaan  saya tiada lesen jualan langsung juga tidak benar. Lesen jualan  langsung syarikat saya memang bukan di atas nama AC Konsortium tetapi  anak syarikat AC Konsortium, Ilham Prestij Sdn Bhd. Lesen itu tergantung  di pejabat saya. Untuk lebih jelas, saya tidak menjalankan perniagaan  jualan langsung pemasaran berbilang tingkat (MLM) tetapi pemasaran satu  tingkat (SLM). Lesen diberikan bermula dari 16 Mac 2010 hingga 15 Mac  2011.
 
 3) Penjualan gelang AC Mizal di gedung Marks & Spencer, London
 
 Saya  tidak beri apa-apa kenyataan bahawa gelang saya dijual di gedung Marks  & Spencer, London. Saya hanya kata akan dijual di gedung berkenaan.  Ia masih dalam proses perbincangan sebelum menjadi kenyataan. Memang  saya ada kata gelang saya dijual di London tetapi dijual kepada orang  perseorangan.
 
 4) Testimoni yang ditiru daripada laman web
 
 Testimoni  itu dihantar dari London untuk usaha memasuki pasaran di gedung Marks  & Spencer. Bukan saya yang menghasilkannya. Manalah saya tahu jika  ia ditiru daripada laman web lain.
 
 5) Gelaran Datuk
 
 Kenapa  ada yang mahu mempertikaikannya? Saya bukan mahu berlagak menggunakan  gelaran berkenaan, tetapi sememangnya ia adalah penganugerahan daripada  Sultan Pahang. Saya ada dokumen pengurniaan kebesaran dan pingat negeri  Pahang oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang  ditandatangani sendiri oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Muhammad  Safian Ismail.
 
 Kini, saya menunggu tarikh untuk menerima  pengurniaan itu yang dijadualkan untuk sesi kedua pada bulan ini atau  Disember nanti."
 | 
  |  Keajaiban Besar Perkahwinan Raja Farah-Megat Bashirun   Posted: 13 Nov 2010 06:13 PM PST    Raja Farah dan Megat Bashirun dinikahkan pada 12 November 2011, Jumaat, di Tropika, Bukit Jelutong. 
 BUKIT JELUTONG: Bagaikan suatu keajaiban yang besar dirasai  oleh pasangan pengantin baru, Raja Farah Raja Aziz, 22, dan Megat  Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria, 25, setelah selesai diijabkabulkan. Pasangan ini dinikahkan pada 12 November 2011, Jumaat, di Tropika, di  sini. Sebelah malamnya, keluarga pengantin perempuan mengadakan majlis  kesyukuran dan doa selamat sempena pernikahan puteri tunggal daripada  empat beradik itu. Biarpun semuanya dilalui dalam masa yang singkat, namun majlis perkahwinan tersebut berjalan dengan baik dan lancar. Bayangkan, perkenalan Farah dan Megat bermula pada Februari tahun ini  dan selepas lapan bulan pasangan ini mengambil keputusan untuk  diijabkabulkan. Lantas mereka terus membuat persiapan perkahwinan  selepas Hari Raya Puasa lalu. Walaupun terburu-buru, Farah agak bernasib baik kerana mendapat  banyak tajaan daripada beberapa pihak seperti pelamin, dekorasi dan  gubahan hantaran daripada Reka Teemor, Photo Signature (gambar), Inai,  Daya Warisan Collection (kain batik untuk pengiring hantaran) dan  Syahrir Nurdin (pakaian akad nikah dan majlis kesyukuran).   Farah dan Megat mengenakan dua persalinan iaitu berkonsepkan tradisional Melayu dan Inggeris moden. "Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan oleh Allah. Tarikh perkahwinan  ini juga seperti telah ditetapkan oleh-Nya. Selain itu kami memilih  hari ini sebagai simbolik urutan nombor yang begitu cantik iaitu  12/11/10. "Seperti yang diketahui, kami juga mengejar hari sebelum tiba Hari  Raya Haji kerana Megat berniat untuk membawa saya pulang ke kampungnya  di Pasir Mas, Kelantan pada perayaan itu nanti," kata Farah yang  mengambil cuti selama tiga hingga empat hari pada Hari Raya Haji ini. Farah dan Megat memilih untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan  pada awal tahun depan bagi kedua-dua belah pihak di Kuala Lumpur. Selepas berkahwin, Farah dan Megat akan tinggal di rumah keluarga  Farah di Tropika, di sini, buat sementara waktu mereka mencari rumah  sendiri. "Saya masih belajar untuk menjadi seorang isteri daripada ibu seperti memasak dan cara menjaga hati suami," kata Farah. Menyentuh tentang karier, Farah akan meneruskan karier seninya seperti biasa tetapi lebih merujuk watak lakonannya kepada suami.   Mempelai bersama-sama keluarga Farah. "Saya akan kurangkan watak antagonis seperti perempuan gedik. Kalau  ada pihak yang menawarkan suami saya berlakon sama-sama, kami akan  pertimbangkan. Jika bersesuaian dengan skrip, apa salahnya. Tetapi buat  masa ini, biar saya sahaja yang menceburi bidang ini. "Pada masa akan datang, kita belum tahu jadi saya tak berani nak  cakap bagaimana," ulas Farah yang akan menyambung semula penggambaran  drama rantaian Kau & Aku 2 pada 14 November ini. Sementara Megat menganggap perkahwinan di usia muda bukan menjadi  suatu isu besar buat mereka kerana apabila sudah sampai jodoh, lebih  baik ia dipercepatkan. "Keserasian antara satu sama lain menguatkan perasaan kami untuk  cepat-cepat berkahwin. Mungkin orang kata kami belum cukup mengenali  hati budi masing-masing, tetapi terus-terang, kami bersedia untuk  menempuhi apa sahaja dugaan yang akan dilalui selepas ini," ujar Megat. Siapa sangka, rupa-rupanya dalam diam Megat sebenarnya amat meminati lakonan Farah terutama menerusi drama Intan Asmara. "Saya memang minat Farah sebab dia boleh lakonkan watak yang  membuatkan orang benci kepadanya. Apabila saya mengenalinya, saya dapati  dia berlainan daripada lakonannya. Kiranya dia benar-benar pandai  berlakon.   Giliran bergambar dengan keluarga Megat. "Selain itu, saya tertarik dengan sikapnya yang manja, penyayang,  senang dengar kata, bertanggungjawab dan memiliki sifat seorang isteri  yang saya inginkan," tutur anak sulung daripada tujuh beradik ini yang  bekerja dalam perniagaan melibatkan bidang korporat milik bapanya, Datuk  Zakaria Ibrahim. Sementara Farah pula menyenangi sikap romantik, kuat agama, penyayang dan memahami yang dimiliki oleh Megat. Pasangan yang pernah dilanda gosip hamil anak luar nikah ini  merancang untuk berbulan madu di Pulau Sipadan, Sabah dan Pulau Raja  Ampat, Indonesia. Mereka menyerahkan kepada kuasa Allah untuk menetapkan rezeki anak  dan sebolehnya mereka merancang memiliki tidak lebih daripada empat  orang anak. Kebetulan Farah juga mempunyai empat adik-beradik dan dia  merupakan anak ketiga. | 
  |  'Kau Dan Aku 2' Kurang Elemen Cinta   Posted: 13 Nov 2010 06:12 PM PST    Aril,  Anith, Hafiz dan Akim ketika menjayakan showcase Kau Dan Aku 2 di Plaza  Alam Sentral, Shah Alam, Sabtu. 
 SHAH ALAM: Pelakon utama drama bersiri Kau Dan Aku musim kedua (KDA2) mengakui drama tersebut menonjolkan kelainan dengan mengurangkan elemen cinta berbanding musim terdahulu. Aril, Akim, Hafiz dan Anith berkata perubahan yang dilakukan dalam  drama menggabungkan lakonan, tarian dan nyanyian pada kali ini lebih  menerapkan nilai persahabatan dan muzik.   Pengunjung memenuhi ruang legar Plaza Alam Sentral untuk menyaksikan pelakon KDA2 dengan lebih dekat. Biarpun begitu, tidak bermakna jalan ceritanya menjadi bosan  sebaliknya karakter setiap pelakon dan kejutan yang ditampilkan pada  setiap episod dijangka bakal menjadi tarikan kepada  penonton setia yang  mengikuti KDA musim pertama. Lebih-lebih lagi, drama 26 episod ini dibikin oleh tiga pengarah yang  mempunyai idea yang berbeza. Seperti kata Aril, apabila kombinasi idea  tiga pengarah itu bergabung, pastinya mencetuskan jalan cerita yang  lebih menarik.   Aril menghiburkan penonton dengan lagu Biar Begini. "Kalau KDA1, saya merupakan seorang yang ego tetapi kali ini perangai  saya berubah menjadi seorang yang rendah diri. Ini kerana cerita ini  menerapkan kerjasama dan sikap ambil berat antara rakan serta kehidupan  pelajar kolej. "Setiap episod akan menampilkan satu cerita. Oleh itu, apabila satu  episod itu memaparkan cerita tentang diri saya, jadi saya perlu  menggunakan kreativiti sendiri untuk kelihatan lebih menonjol berbanding  pelakon lain," kata Aril ketika sidang media selepas showcase drama tersebut di Hotel Quality, di sini, Sabtu. Showcase di Plaza Alam Sentral, di sini, diadakan bertujuan untuk  mempromosikan drama KDA2 yang akan disiarkan di Astro Ria (saluran 104)  mulai 23 November ini, setiap Selasa, pukul 9 malam.   Akim menyanyikan lagu Bawa Ku Pergi. Sementara Akim berpendapat watak lakonannya lebih bebas berbanding  dahulu. Selain itu, dia menganggap setiap episod KDA2 yang baru selesai  penggambaran sebanyak 60 peratus itu memberikan pengajaran kepada  penonton berbanding dahulu memfokuskan tentang konflik cinta. "Dalam KDA1, saya menjadi tertekan dengan hubungan cinta bersama-sama  Mila, kali ini kehidupan saya tertumpu kepada cita-cita dan masa depan. "KDA2 juga memberikan banyak kesan dan pengajaran kepada hidup saya di luar. Misalnya, lagu terbaru saya berjudul Bawa Kau Pergi  yang dinyanyikan dalam drama ini dan jalan ceritanya membuatkan saya  lebih bersemangat dan yakin untuk mencapai cita-cita sebagai seorang  komposer," kata Akim yang turut bercita-cita untuk memiliki sebuah rumah  dan menyenangkan ibu dan bapanya.   Hafiz mendendangkan lagu Noktah Cinta dan Awan Nano. Dalam pada itu, Hafiz yang baru pertama kali menyertai KDA menceritakan tentang watak yang dilakonkan. "Dalam cerita ini, saya melakonkan watak seorang pelajar yang baru pulang dari luar negara dan sudah melupakan budaya timur. "Jadi, saya yang dipaksa oleh nenek (Khaty Fauziah) untuk mengubah  diri menjadi seorang yang lebih bersikap kemelayuan," ujarnya. Seperti Akim, Hafiz akui turut meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya untuk lebih menjadi diri-sendiri. Juara Akademi Fantasia musim ketujuh ini akui lagu terbaru berjudul Lebih Dewasa yang dinyanyikan dalam drama tersebut mengubah dirinya agar menjadi dewasa berbanding keanak-anakan.   Anith ketika mendendangkan lagu Kau Ku Temu. Bagi Anith pula, dia akui menyampah dengan watak Elena lakonannya yang sentiasa bercita-cita besar dan bersemangat tinggi. Kelebihannya yang memukau dan sikapnya yang mudah mesra menyebabkan dia disenangi ramai terutama tenaga pengajar. Namun, situasi ini tidak disenangi oleh sebahagian pelajar yang  menganggapnya sebagai ancaman apatah lagi dengan statusnya sebagai  pelajar junior. KDA2 turut menampilkan pelakon popular Tony Eusoff, Kathy Fauziah,  Zulkifli Zain, Alif, Raja Farah, Farish, Amar, Mimi, Ika Nabila, Anita  Baharom, Puteri Fateen, Riezman dan Sabrina Ali. | 
  |  Badan Maiza Susut Setelah Hamil Hampir Tiga Bulan   Posted: 13 Nov 2010 06:11 PM PST   PETALING JAYA: Berlainan berbanding sesetengah wanita, model  Maizawati Zainal (gambar) akui badannya susut sedikit setelah hamil  hampir tiga bulan. Wanita yang mesra dengan panggilan Maiza, 35, ini berkata badannya  susut kerana kurang selera makan sebaliknya banyak mengamalkan minum  susu untuk ketahanan badan. Paling mengejutkan, Maiza turut mengalami masalah pendarahan  baru-baru ini tetapi setelah melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan  perkara itu biasa berlaku kepada mana-mana wanita hamil pada peringkat  permulaan. "Mungkin kerana saya ni jenis suka bergerak aktif jadi sebab itu  berlaku sedikit pendarahan. Tetapi alhamdulillah, doktor beritahu bayi  dalam kandungan berada dalam keadaan sihat. Dia juga memberikan vitamin  untuk menambah darah. "Jadi, sekarang ini doktor nasihatkan saya tidak banyak bergerak dan  mengurangkan aktiviti luar. Selepas kandungan sudah besar, mungkin saya  boleh memulakan semula kerja. Suami banyak membantu menjaga saya dan  anak-anak selain menguruskan perniagaan sendiri," katanya ketika  dihubungi mStar Online. Dalam masa yang sama, Maiza turut meuar-uarkan tentang perniagaan  katering mini secara dalam talian yang tertumpu di sekitar Kuala Lumpur. "Sekarang saya, suami dan kawan sedang membuat bisnes nasi ayam  pandan, nasi jagung ayam pandan dan kuih bakar istimewa. Apabila ada  tempahan, kami akan turun ke Kuala Lumpur. "Biasanya, peniagaan ini menjadi tumpuan mereka yang membuat majlis rumah terbuka dan hari jadi," ujarnya. Maiza  dan pasangannya, Mohd Yassin Ben@Abd. Rahim,23, bernikah pada 9 Ogos lalu di Ipoh, Perak. Pemenang Anugerah Fotogenik dalam pertandingan Mrs Beauty Malaysia  2010 ini sedang hamil anaknya ketujuh selepas mempunyai enam orang anak  hasil perkahwinan terdahulu. Dia mempunyai empat orang anak dengan bekas suaminya iaitu penceramah  bebas, penyanyi dan pengacara Akhil Hayy. Pasangan itu bercerai pada  pada 15 Julai tahun lalu. Sementara dua anak lagi merupakan hasil perkahwinan dengan bekas suami pertamanya yang berasal dari Kelantan. | 
  |  Normah Damanhuri Tidak Pilih Bulu   Posted: 13 Nov 2010 06:08 PM PST    Normah Damanhuri hadir pada sesi pratonton filem terbarunya ... Dalam Botol di Finas, baru-baru ini. 
 KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Normah Damanhuri, 57, tidak  pernah mengamalkan sikap memilih atau selektif terhadap sebarang tawaran  lakonan yang diterimanya, tidak kiralah di bawah arahan pengarah baru  ataupun yang berpengalaman. Jelas Normah, dia tidak pernah memandang rendah kebolehan mana-mana pengarah baru termasuk pengarah filem terbarunya ... Dalam Botol iaitu Khir Rahman walaupun sudah berlakon lebih 30 tahun dan sering bekerja dengan pengarah-pengarah hebat sebelum ini. Normah yang begitu sinonim dengan filem-filem arahan pengarah berkaliber U-Wei Hj Shaari seperti Jogho, Perempuan, Isteri dan ...? dan terbaru Hanyut,  menyangkal dakwaan yang melabelnya sebagai pelakon yang bersikap pilih  bulu dan hanya ingin bekerja dengan pengarah dan naskhah yang hebat  saja. "Saya begitu menghormati mana-mana pengarah filem atau drama yang  pernah saya bintangi. Walaupun sudah berpengalaman dalam bidang lakonan  lebih 30 tahun, saya tiada masalah untuk menerima arahan daripada  pengarah atau produksi baru. "Apabila menerima tawaran tidak kiralah besar atau kecil sekalipun  peranannya, saya akan buat kerja sedaya upaya agar lakonan yang  dipersembahkan itu meninggalkan impak kepada penonton," katanya yang  ditemui pada sesi pratonton filem ... Dalam Botol di Studio Digital Mixstage Finas di Kompleks Merdeka, Hulu Kelang, baru-baru ini. Mengulas tentang pertanyaan selama mana akan terus berlakon, pemenang  anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2008 ini  berkata, lakonan bagaikan sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya dan  tidak pernah terfikir untuk bersara selagi khidmatnya masih diperlukan. Walaupun mengakui sering kepenatan ekoran faktor usia yang kian  meningkat, Normah memperolehi kekuatan dan motivasi untuk terus bekerja  kerana minat yang terlalu mendalam terhadap bidang itu. "Kalau diikutkan memang saya penat kerana masih aktif berlakon pada  usia begini. Namun, minat dan cinta yang mendalam terhadap bidang  lakonan adalah kekuatan dan motivasi saya untuk terus bekerja. "Walau letih sekalipun, saya seronok dengan kerja ini dan akan terus  berlakon selagi diperlukan," katanya yang baru saja selesai penggambaran  filem Songlap bersama produksi Red Films. | 
  |  ‘Pada Zaman Dahulu’ Angkat Cerita Penglipurlara   Posted: 13 Nov 2010 06:08 PM PST    Burhanuddin Md Radzi ketika sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, baru-baru ini. 
 SHAH ALAM: Berniat tidak mahu cerita penglipurlara pupus  begitu sahaja, Les' Copaque Production (LCP)  mengambil inisiatif  menghasilkan kartun animasi Pada Zaman Dahulu untuk siaran TV Al-Hijrah. Pada Zaman Dahulu merupakan animasi kedua selepas Upin & Ipin yang dipopularkan oleh LCP. Menurut penerbitnya, Burhanuddin Md Radzi, Pada Zaman Dahulu berlainan sama sekali berbanding Upin & Ipin. Jadi, pastinya tidak adil untuk membanding-bandingkan antara dua animasi tersebut. Pada Zaman Dahulu menceritakan tentang seorang datuk menceritakan tentang cerita penglipurlara kepada dua orang cucunya yang tinggal di bandar. "Saya dapati ramai anak-anak sekarang tidak suka membaca cerita  penglipurlara, jadi sebab itu saya menghasilkan Pada Zaman Dahulu.  Misalnya, kita selitkan cerita kancil dan buaya. "Selain itu, terdapat 10 orang pekerja animasi 2D tidak mempunyai  projek sejak enam bulan lalu. Dengan terhasilnya animasi terbaru ini,  pastinya memberikan kerja kepada mereka," katanya ketika sidang media di  Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini. Bagaimanapun, dia tidak menjangkakan animasi terbaru ini akan menjadi sebesar Upin & Ipin. Namun begitu, dia juga berharap animasi keluaran LCP boleh kekal lama  memandangkan Doraemon telah berjaya mendominasi animasi dunia selama 40  tahun. Setelah Upin & Ipin telah berjaya menembusi pasaran Indonesia dan  India, LCP sedang mengatur langkah untuk ke Korea atau Jepun pula. | 
  |  Gwyneth Paltrow Dipuji Ketika Menyanyi 'Country Song'   Posted: 13 Nov 2010 06:06 PM PST               AKTRES Hollywood Gwyneth Paltrow (gambar) mendapat pujian  hebat ketika membuat penampilan sulungnya sebagai penyanyi secara  langsung di Country Music Awards ke-44. Dia mengaku mempelajari nyanyian daripada rakan-rakannya dari kalangan penyanyi wanita senior. Majlis yang berlangsung di Nashville, Rabu lalu itu, menyaksikan pemenang anugerah  Oscar itu menyanyikan lagu Country Song, runut bunyi dari filem terbarunya yang berjudul sama, yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. "Saya bertanya dan meminta nasihat daripada Fith Hill dan Beyonce," ujarnya. "Saya banyak belajar daripada Beyonce dan menonton konsert-konsertnya  untuk meyakinkan diri, dan saya beruntung mengenali penyanyi-penyanyi  seperti itu," tambahnya. Access Hollywood melaporkan, ramai penyanyi country yang hadir malam itu memuji Paltrow. Sementara pemenang anugerah Entertainer of The Year sekaligus pengacara majlis itu, Brad Paisley mengaku terkejut dengan penampilan perdana bintang filem Shakespeare in Love tersebut. | 
  |  Adila's Angel bersantai di Genting   Posted: 13 Nov 2010 06:04 PM PST 
 
                  Baru-baru ini penyanyi yang sedang meningkat naik dengan  lagu berjudul 'Bidadari Cinta', Adila meluangkan masa bersama 20  peminat bersantai dan menikmati suasana kemeriahan taman tema Genting  Highlands.  Adila berkata, dia sering meluangkan masa berbual bersama peminatnya  di laman sesawang Facebook setiap kali ada masa luang namun kali ini  aktiviti yang dirancang lebih menyeronokkan.   Rancangan ke Genting Highlands sudah direncanakan lebih awal dengan kelab peminatnya yang menggelar diri mereka Adila's Angel.  Bagaimanapun, pada saat akhir, hanya 20 orang yang mempunyai masa terluang dan ke Genting Highlands bersama Adila.  "Adila memang gemar meluangkan masa bersama peminat dan bagi  Adila mereka adalah tulang belakang dan nadi Adila dalam industri ini.   "Adila pernah bersama-sama kelab peminat Adila yang menggelar  diri mereka Adila's Angel membuat aktiviti bersama seperti bermain  boling.  "Kami ke Genting Highlands menaiki kereta dan berkumpul di kaki  bukit terlebih dahulu sebelum sama-sama konvoi ke atas. Sepanjang berada  di sana, kesemua peminat Adila mendapat peluang menjadi pasangan Adila  bermain pelbagai permainan," kata Adila girang.  Tambah Adila, selepas ini dia teringin untuk bercuti ke  Indonesia dan sedang merancang bersama Adila's Angel agar perancangan  itu akan terlaksana dalam masa terdekat.  Katanya lagi, dia bersyukur kerana mempunyai peminat yang sporting dan sentiasa sudi meluangkan masa bersamanya. | 
  |  Facebook lancar perkhidmatan e-mel   Posted: 13 Nov 2010 06:01 PM PST                    PALO ALTO - Laman sesawang rangkaian sosial Facebook  mempunyai lebih 500 juta pengguna di seluruh dunia dan kebanyakan  individu tersebut meluangkan lebih banyak masa melayari akaun Facebook  mereka berbanding laman pengendali Internet lain, termasuk Google dan  Yahoo.  Kini, ternyata syarikat laman sosial popular itu ingin penggunanya mempunyai 'hubungan yang lebih rapat' dengan laman itu.  Ini kerana Facebook dijangka mengumumkan perkhidmatan e-mel terbaru syarikat itu, esok.  Perkhidmatan terbaru itu dilihat bakal menandingi Gmail, Yahoo Mail  dan Hotmail sebagai pengendali perkhidmatan e-mel dalam talian paling  popular.  Perkhidmatan yang disediakan syarikat itu bakal membolehkan  penggunanya menggunakan alamat e-mel '@facebook.com' yang akan  digabungkan dengan perisian Office keluaran syarikat komputer Microsoft.  Laporan terbaru itu muncul selepas persaingan sengit antara Facebook  dan Google, pengendali enjin carian Internet yang menaikkan gaji  pekerja bagi menghalang mereka menyertai Facebook dan menghentikan akses  Facebook daripada perkhidmatan e-melnya. | 
  |  3 ahli Geng Minyak ditembak mati   Posted: 13 Nov 2010 06:01 PM PST  BEBERAPA anggota polis memeriksa  kereta Proton Waja digunakan tiga penjenayah yang ditembak mati di Jalan  Kerjaya,  Glenmarie di Shah Alam semalam.  
 SHAH ALAM - Tiga lelaki termasuk seorang yang berusia 16 tahun hanya  sempat melarikan barangan hasil samun daripada sebuah stesen minyak  sejauh dua kilometer sebelum ditembak mati oleh polis di Jalan Kerjaya,  Glenmarie di sini pagi semalam. Kumpulan penjenayah rakyat tempatan itu yang digelar Geng Minyak  sangat dikehendaki polis kerana menjadikan stesen-stesen minyak di  kawasan terpencil di sekitar Lembah Klang sebagai sasaran samun. Kira-kira lima minit sebelum ditembak, tiga anggota kumpulan itu yang  turut membabitkan seorang pemuda berusia 20 tahun dan rakannya berusia  22 tahun menyamun sebuah stesen minyak di Jalan Glenmarie U1/1 di sini  kira-kira pukul 4.30 pagi. Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, mereka  bertindak memecahkan cermin pintu stesen minyak itu sehingga mengejutkan  dua pekerja warga Bangladesh yang sedang tidur. Ujarnya, salah seorang daripada pekerja itu sempat mengunci diri di  dalam stor manakala rakannya dikepung dan diugut dengan parang. "Selepas mengambil sejumlah wang, rokok serta telefon bimbit milik  seorang pekerja itu, suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton  Waja yang dilaporkan hilang di Jinjang kira-kira enam bulan lalu,"  katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam. | 
  |  Anak Pengarah Kesihatan Kedah maut nahas di India   Posted: 13 Nov 2010 05:56 PM PST |  
 |  | MUHAMMAD AKMAL  
 | 
 SUNGAI PETANI - Impian Muhammad Akmal Shahiran Marzukhi, 19, untuk  menjadi seorang doktor berkecai apabila dia terbunuh dalam kemalangan  jalan raya di Selatan India, petang Khamis lalu. Kemalangan itu berlaku apabila Muhammad Akmal, pelajar tahun pertama  di JJM Medical College di Davangere, di negeri Karnataka sedang  membonceng motosikal yang ditunggang oleh seorang pelajar lain. Ketika kejadian rakannya itu cuba mengelak beca bermotor lalu hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke dalam longkang. Muhammad Akmal yang merupakan anak kepada Pengarah Kesihatan Negeri  Kedah, Dr. Marzukhi Md. Isa, 57, cedera parah di kepala dan meninggal  dunia pada hari yang sama di sebuah hospital tempatan. Rakannya  bagaimanapun terselamat. | 
  |  'Ini mungkin balasan Tuhan'   Posted: 13 Nov 2010 05:55 PM PST  AKSI mesra Nabil dan Qasha seperti tersiar di dalam Internet.  
 KUALA LUMPUR - Bekas juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad,  27, mendakwa ada pihak telah mengkhianati dirinya dengan menyebarkan  gambar-gambar panas miripnya di laman-laman web dengan niat untuk  menjatuhkan reputasi dia dan keluarga. Sambil menafikan gambar aksi bercium mulut itu dirinya serta wanita  itu Nik Zarith Uqasha Senrose Nik Sen atau Qasha, 18, Nabil menganggap  apa yang berlaku mungkin balasan Tuhan ke atas dirinya yang semakin  lalai. "Mungkin ini balasan Tuhan. Saya cuba berfikiran positif, nasib baik  saya belum berkahwin, kalau tidak keadaan akan jadi lebih teruk. "Walaupun apa orang kata, saya masih dengan pendirian bahawa itu  (bercium mulut) bukan saya atau Qasha. Ini kerja orang dengki," katanya  ketika dihubungi semalam. Nabil bagaimanapun belum membuat keputusan untuk membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang. | 
  |  Projek mega telan nyawa   Posted: 13 Nov 2010 05:54 PM PST  SEBUAH bot pasukan mencari dan  menyelamat meneruskan usaha mengesan Mohd. Nor di tempat kejadian (dalam  bulatan) di Pantai Lido, Johor Bahru semalam.  
  JOHOR BAHRU – Seorang pekerja yang sedang mengendalikan jentera  pengorek pasir hilang bersama sejumlah peralatan selepas sebahagian  daripada kawasan tebus guna projek mega Lido Boulevard berhadapan  Zoo  Johor di sini tiba-tiba tenggelam malam kelmarin.  Selain Mohd. Nor Miskan, 36, turut hilang ialah tiga jentera  pengorek termasuk yang sedang dikendalikannya, dua buah kontena serta  dua mesin penjana kuasa.  Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam itu, Mohd. Nor sedang  menjalankan kerja menambak laut kira-kira 100 meter dari pantai sebelum  sebahagian daripada kawasan projek yang berpasir di situ tenggelam.  Setakat pukul 7 malam tadi, mayatnya belum ditemui.  Kakak mangsa, Hani Masra, 40, berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu oleh rakan mangsa tidak lama selepas kejadian.  "Dia (Mohd. Nor) sudah merancang hendak melawat ibu kami yang sudah  dua hari dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat barah leher  tetapi tidak kesampaian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian  semalam. | 
  |  Bilal, lepasan kolej turut menoreh getah   Posted: 13 Nov 2010 05:51 PM PST  HARUN  menoreh getah di  Kampung Kuala Akob, Hulu Terengganu semalam.  
 HULU TERENGGANU - Kenaikan harga getah mendorong ramai individu yang  sebelum ini tidak pernah memegang pisau penoreh mula berjinak dengan  pekerjaan itu. Seorang daripadanya bilal masjid Kampung Kuala Akob dekat sini, Harun  Salleh, 43, yang mula menoreh getah sejak setahun lalu dengan mengambil  upah menoreh di kebun getah milik orang lain. Menurut Harun, pendapatan menoreh getah mulai pukul 7.30 pagi hingga 9 pagi setiap hari boleh mencapai lebih RM1,000 sebulan. "Dalam sebulan dua ini pendapatan menoreh lebih baik di mana pada  minggu lepas saya dapat RM600 untuk empat hari," katanya ketika ditemui  semalam. Menurutnya, penduduk kampung yang memiliki kebun sendiri akan meraih  pendapatan lebih lumayan kerana tidak perlu berkongsi hasil jualan  getah. Sementara itu, di Jeli, Kelantan, kenaikan harga getah  turut menarik minat seorang lepasan kolej swasta untuk menceburi bidang  yang sebelum ini tidak diberi perhatian langsung. | 
  |  Daftar sebelum 28 Nov.   Posted: 13 Nov 2010 05:49 PM PST  BEBERAPA orang sukarelawan membasuh perkakas rumah penduduk yang ditenggelami banjir di Taman Fajar, Alor Setar semalam.  
 ALOR SETAR - Semua keluarga mangsa banjir di Kedah diminta mendaftar  menerusi satu borang khas bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan  menyalurkan bantuan dengan lebih teratur selain memastikan tidak ada  pihak yang tercicir daripada menerimanya. Borang itu boleh diambil mulai hari ini di pejabat Jabatan Kebajikan  Masyarakat (JKM), Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Pejabat Pembangunan  Negeri Kedah, pusat khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan  Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) serta pejabat parti komponen BN. Pengerusi Jawatankuasa Khas Banjir Negeri Kedah, Datuk Paduka Ahmad  Bashah Md. Hanipah berkata, borang berkenaan harus dikembalikan  selewat-lewatnya 28 November dan perlu diisi oleh semua keluarga mangsa  banjir sama ada mereka berpindah ke pusat pemindahan atau tidak,  menumpang rumah saudara-mara, menetap di hotel dan sebagainya. Beliau berkata, selain penghuni rumah kediaman, penghuni rumah kedai yang terjejas akibat banjir juga perlu mendaftar. "Semua yang terlibat dianggarkan 60,000 keluarga. Kita akan gerakkan  semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan di  kawasan terlibat banjir bagi memastikan setiap keluarga mendaftar,"  katanya selepas mesyuarat pertama jawatankuasa itu semalam. Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,  Datuk Chor Chee Heung dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas  Tani, Datuk Johari Baharom. Ahmad Bashah berkata, mereka yang telah mendaftar dengan JKM semasa  berpindah tidak perlu mengisi borang tetapi mangsa banjir yang hanya  membuat laporan polis ataupun belum mendaftar dengan mana-mana pihak,  perlu mengisi borang berkenaan. | 
  |  Elyana ratah usia remaja   Posted: 13 Nov 2010 05:48 PM PST    
 KURANG seminggu atau lebih tepat, tinggal lima hari lagi sebelum dia bertukar status menjadi isteri orang.  Gerbang bahagia sudah tersergam menunggu detik untuk dilangkahi.  Segala perancangan sudah hampir selesai dipenuhi, diukur dan diberi  perincian tetapi selaku manusia yang tidak pernah habis daripada  keraguan, sampai ke hujung waktu sekali pun, tetap ada yang bersarang  mahukan jawapan. "Bukan malam-malam sahaja, bahkan bila celik mata sekalipun, saya mula terfikirkan banyak benda.  "Benarkah apa yang sedang saya dilakukan ini, mampukah saya menjadi  isteri yang baik, tepatkah pilihan saya, tepatkah berkahwin pada usia  ini? "Itu semua perkara yang tidak seharusnya saya fikir tetapi bermain  juga di fikiran," letus suara daripada tubuh berdarah manis bernama  Elyana ini. Si pelantun Tapak Sulaiman ini sengaja diselak isi sanubarinya.  Sebenar juga, lihat daripada hujung ulas bibirnya sahaja, perasaan  berkuntum-kuntum di dada sudah jelas terpancar tanpa perlu dia bersuara.   Namun, bukan itu yang mahu dipinta daripadanya. Di sebalik bahagia yang diramal banyak mata, Elyana tetap menyimpan gundah.  Dia juga seperti wanita-wanita lain, selagi belum tiba waktu yang  dinanti-nanti, selagi itulah proses 'terapi' dan persediaan diri tidak  berhenti. "Saya tidaklah terlalu beria-ria atau drastik membuat persediaan  mental dan fizikal. Saya banyak membaca, melayari Internet dan lihat  perkara-perkara yang membahagiakan. "Setahu saya, manusia mudah terdorong oleh emosi, lihat perkara  sedih, kita juga akan berasa sedih. Jadi, saya cuba mencari perkara yang  indah dan membahagiakan sepanjang tempoh ini.  |  
 |  | SEDAR dengan tanggungjawab  dan risiko sesebuah perkahwinan, Elyana hanya mampu berharap,  perkahwinan pertamanya ialah yang terakhir.  
 | 
 "Ibu ialah orang paling banyak membantu, banyak menasihati saya tentang pembawaan diri menjadi isteri. "Sejak tujuh bulan lalu, saya berpindah ke rumah ibu bapa di Shah  Alam. Saya mengelak diri daripada keseorangan atau berfikir perkara yang  bukan-bukan.  "Sejak beberapa bulan lalu, setiap hari adalah hari yang sibuk buat  saya, sibuk dengan persiapan," katanya meminjam semangat ibu untuk  menguatkan hati sebelum bergelar isteri kepada Khairul Anuar Husin, 36. Cabang seronok  Kaki terdorong badan merasa, lidah terasuh emas padahnya, wanita semuda usia 23 tahun itu cukup pasti.  Nasib badan bergelar artis apa sahaja yang berlaku dalam hidup atau  perkahwinannya kelak, baik atau buruk pasti akan perhatian masyarakat. Lihatlah rumah tangga artis, bergoyang sedikit riuhnya mudah diketahui orang. "Saya tidak takut untuk berkahwin semata-mata bimbang perihal rumah tangga saya akan menjadi perhatian media.  "Sebagai artis semua perkara akan mendapat perhatian. Jadi itu bukan  isu yang perlu saya takutkan," katanya yang akan melangsungkan  pernikahan pada Jumaat ini. Terheret dengan usul pernikahan pada usia mentah, penyanyi serta pelakon berusia 23 tahun itu tampak jelas.  Keinginan menamatkan zaman bujang terzahir untuk melengkapkan sebuah  fasa kehidupan, itu penegasan oleh pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal.   Dia tidak terdesak mengikut trend rakan-rakan yang sudah berkahwin.  Kata Elyana, dia sendiri sudah memulakan karier seawal usia 14 tahun.  Seperti memasuki alam dewasa ketika masih kanak-kanak, faktor itu  antara pendorongnya untuk pantas matang dan sedia beralih fasa  seterusnya dalam hidup. Dia juga sudah puas meratah segala keseronokan dan kebebasan sepanjang melalui usia remaja dan zaman bujang. "Cara saya berseronok dan bergaul semasa saya remaja dan bujang mungkin tidak sama seperti yang dibayangkan orang.  "Saya berada di sekeliling orang dalam dunia seni dan kawan-kawan.  Dalam umur sekarang, saya sudah ada karier, kereta, rumah serta sedikit  aset masa depan. "Berkahwin pula akan memberikan satu lagi cabang keseronokan buat saya di samping menambah bilangan ahli keluarga," katanya. Berbunyi bernas dan serius atas setiap pegangan yang dipertuturkan,  penyanyi yang diperkenalkan dengan lagu Niat dan popular menerusi sitcom  Dunia Baru itu tidak merasakan satu kerugian berkahwin pada usia  sekarang. Menganggap takdir dan jodoh sudah sampai ke bahagian hidupnya, Elyana berkongsi gembira bakal menjadi pelengkap kepada Khairul.  Selepas salam perkenalan bertaut rapi pada 9 April 2006, mereka mengikat pertunangan pada 25 Julai 2009. Menyingkap pertembungan dua jiwa itu, penyanyi yang sedang  berkira-kira untuk tampil dengan single terbaru, Waktu Dulu-Dulu  menjelang Disember ini membuat pengakuan. "Kami berdua berbeza secara total. Khairul lebih matang berbanding  saya, mungkin sebab itulah dia arif menangani emosi saya yang sering  tidak menentu. "Dia lebih rajin dan saya agak pemalas. Mungkin disebabkan sudah  berusia, hidupnya lebih rileks, lepas kerja terus balik rumah dan saya  pula jenis yang aktif.  |  
 |  | SERI pengantin naik ke muka sehingga wajah Elyana nampak girang  menjelang pernikahannya pada 19 November nanti.  
 | 
 "Jadi, saya menyumbangkan sedikit warna ke dalam hidupnya dan dia menjadikan saya seorang yang lebih rileks.  "Sikap penyayang melampau Khairul terhadap budak-budak membuatkan saya semakin menyukainya. "Satu lagi, kami berkongsi minat yang sama. Kami suka membeli-belah terutama untuk dihadiahkan kepada orang lain.  "Jadi, untuk lokasi berbulan madu nanti, kami kena pilih tempat yang menjadi syurga beli-belah," ujarnya. Menggunakan khidmat Saidatulnisa Aminuddin, Fahmi dan Amy Janz selaku  jurusolek untuk majlis pernikahan dan persandingannya, kongsi Elyana,  dia bakal mengenakan persalinan yang disediakan oleh Hatta Dolmat, Zery  Zamry dan Haswani Osman. "Persiapan perkahwinan dilakukan bersama-sama keluarga dan  teman-teman, tetapi saya yang memutuskan sendiri setiap inci agenda hari  besar saya," katanya. Elyana menggunakan khidmat Arma Wedding Couture dan Ari Wedding  Couture untuk melakarkan pelamin ratu seharinya bertempat di Duchess  Place, Jalan Ampang, 19 dan 20 November nanti. | 
  |  Publisiti murahan Fatini atau Erma cengeng?   Posted: 13 Nov 2010 05:47 PM PST  SATU babak dalam teater Natrah  yang menyaksikan remaja itu dipisahkan daripada keluarga angkatnya.  
 PERTEMBUNGAN falsafah membabitkan Datin Seri Fatini Yaacob yang  menghasilkan buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata dengan Erma Fatima  di garisan akhir sebelum bermulanya pementasan pusingan kedua teater  Natrah di Istana Budaya (IB) tidak ubah seperti buku bertemu ruas. Fatini menyelar pelakon dan pengarah terkenal itu sebagai tidak  menghormati nilai sejarah dan Islam serta dangkal ilmu untuk mementaskan  kisah Natrah.  Bingkas mempertahankan diri, Erma dengan prinsip kepengarahannya  mendakwa dia menilai Natrah sebagai pembikin teater bukannya penulis  buku. Kecewa dan terguris dengan kecaman tanpa henti oleh Fatini, Selasa lalu, Erma membuat pengumuman.  Seolah-olah dalam nada merajuk, Erma tiba-tiba enggan terlibat  sebagai pengarah teater yang dijadualkan menemui penonton pada 25  November hingga 5 Disember ini. Bukan sekadar peminat yang terkejut malah para pelakon teater  berkenaan termasuk Umie Aida, Maya Karin, Remy Ishak serta ramai lagi  menyifatkan keputusan drastik Erma itu satu kemenangan kepada Fatini.  Selama tiga hari pelakon berlatih tanpa kehadiran pengarah, Erma mula merasa 'dayus'.  Khamis lalu, Erma hadir lagi dengan satu pengakuan. Dia bangkit  daripada kebingungan, kembali gagah untuk menghabiskan teater Natrah. 'Drama' luar pentas Natrah itu memperlihatkan satu obsesi Fatini dan  sifat cengeng Erma, 40, yang seakan-akan melatah dengan selaran orang  terhadap karyanya. Sensasi Bintang: Adakah anda seorang yang cengeng dan mudah melatah dengan kritikan? ERMA FATIMA: Lebih 13 tahun dalam industri, saya pernah kena hentam  lebih teruk daripada ini. Masa menerbitkan filem Embun pun saya kena  hentam.  Tapi yang buat saya tak suka, cara Fatini hentam saya itu seolah-olah saya ini bukan Islam, ini soal mengaibkan saya.  Masa teater Natrah yang pertama, ramai orang besar dalam industri  yang kritik cara saya tapi saya okey. Mereka kritik depan-depan, bukan  panggil media dan buat sidang akhbar untuk hentam saya.  Saya bukannya sengaja cari malapetaka, lebih baik saya kerja dengan jiwa yang tenang.  Dia yang sengaja jolok saya dan dapat nama busuk adalah saya, orang  kata saya cengeng, pengarah kontroversilah, bukannya dia (dapat  publisiti negatif). Pernah anda bersemuka atau bercakap dengan Fatini berhubung isu yang diperkatakannya? Dia sendiri tidak pernah bercakap dengan saya walaupun sekali.  Jadi macam mana pula dia dakwa itu teguran daripada seorang kakak  kepada adik. Saya anggap dia ambil kesempatan untuk raih publisiti. Apa agaknya yang menimbulkan kemarahan Fatini terhadap anda? Saya bukan buat filem sejarah. Teater Natrah adalah kisah cinta,  macam cerita (filem) Titanic, ia berdasarkan sejarah tetapi cinta yang  diangkat sebagai subjek utama, sejarah kapal itu hanya latar.  Saya tak lacurkan apa-apa pun dalam Natrah dan Fatini tidak boleh  paksa saya mengikut kehendaknya dalam karya saya. Saya yang tulis skrip,  bukan dia. Fatini mungkin tidak faham apa itu adaptasi? Ini bukan soal adaptasi. Penulis sejarah tidak sama dengan penulis skrip dan saya bukan buat dokumentari (sejarah). Khabarnya Fatini marah kerana anda tidak menggunakan skrip Natrah seperti yang ditulis dan dibetulkannya. Dia ada tulis satu monolog serta minta dimasukkan dua babak iaitu  babak Natrah memanjat pokok jambu dan babak wartawan yang tidak  dibenarkan oleh paderi menemu ramah Natrah di gereja.  Tentang monolog, bukan setakat saya sahaja yang tidak berkenan dengan  penulisannya, bahkan pelakon saya, Sofea Jane sendiri tidak mahu  membaca monolog yang ditulis itu.  |  
 |  | FATINI  
 | 
 Bahasanya terlalu berterus-terang seperti bahasa buku, tiada keindahan untuk pementasan.  Babak Natrah mengajak kawan-kawannya memanjat pokok jambu pula tidak penting begitu juga dengan wartawan di gereja.  Anda masih marahkan Fatini? Industri ini kecil, buat apa kita mahu bermusuhan tetapi saya  benar-benar tidak berkenan dengan cara Fatini yang kononnya bercakap  tentang perjuangan dan Islam tetapi tindakan yang dilakukannya, dia  mengaibkan saya, menuduhkan saya tidak ada ilmu dan tak faham sejarah,  adakah itu sifat orang Islam yang berilmu.  Tahun lepas dia mengata saya, tahun ini, bila saya nak buat teater sama, dia mengata lagi. Ini sudah melampau.  Fatini mahu bikin teater dan filem Natrah versinya, apa komen anda? Buatlah, lebih banyak karya lebih bagus, lebih senang orang mahu  membuat perbandingan. Macam dokumentari Tan Sri P. Ramlee versi Datuk  Shuhaimi Baba dan Muzikal P. Ramlee versi Datin Tiara Jacquelina.  Kedua-duanya ada beza. Masihkah ada ruang untuk anda dan Fatini berdamai? Cukuplah saya sudah memaafkan dia. Lebih elok jika saya elakkan diri  daripada berdekatan dengan dia. Saya bukan orang berilmu yang ada  (ijazah) sarjana sepertinya. | 
  |  Bapa dan anak kaki kritik   Posted: 13 Nov 2010 05:46 PM PST |  
 |  |  SALING  memuja. Dua beranak ini juga menjadi pengkritik nombor satu kepada karya masing-masing.  
 | 
 BARANGKALI, perumpamaan mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi sudah  tidak asing di telinga semua. Hakikatnya, ayat itu masih relevan  menghurai dua individu, Datuk Yusof Haslam dan Syamsul Yusof yang  meladeni bidang sama yakni pengarahan selepas pernah likat dalam aliran  lakonan pada awal pembabitan seni mereka. Si bapa pernah dibalut jolokan pengarah bernilai RM6 juta selepas  kejayaan filem Sembilu kira-kira 15 tahun lalu. Sementelah anak  terunanya yang sedang mengulit diri sebagai sutradara, baru diberi  pengiktirafan tertinggi gelanggang perfileman - Pengarah Terbaik pada  Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) baru-baru ini.  Berlatar teguhnya Darul Haslam di atas bukit Taman Melawati, Hulu  Klang, Sensasi Bintang sengaja melontarkan bicara terarah kepada seni  pengarahan. Sejauh mana Yusof dan Syamsul yang muncul daripada dua  dimensi berbeza saling mencanai idea dalam pembikinan filem, bingkisan  itu diperincikan buat umum. Bagaimana langkah Syamsul selepas menggondol gelaran Pengarah Terbaik? YUSOF HASLAM (YH): Saya nampak dia lagi kuat dan bersemangat.  Kemenangan ini jadi perangsang untuknya berkarya dengan lebih baik.  Selepas FFM23, kami tidak tidur kerana berborak panjang. Jelas Syamsul,  dia bukan hendak buat filem untuk tujuan komersial. Sebaliknya berkarya  secara serius. Jika pecah panggung, dia cukup bersyukur. Dia ingin  memberi sumbangan kepada industri. Biarpun buat empat atau lima filem  setahun, seboleh-bolehnya kena ada sebuah filem bernilai seni. SYAMSUL (S): Umum tahu saya anak Datuk Yusof Haslam, secara tidak  langsung, mereka sentiasa mengharapkan yang terbaik. Awalnya, ia memberi  tekanan tapi lama-kelamaan, saya ambil perkara itu cabagai cabaran.  Saya anggap anugerah itu satu penghormatan dan pembakar semangat.  Selepas menang FFM23, tanggungjawab jadi lebih besar. Tidak hanya kepada  diri, sebaliknya kena bekerja keras untuk Skop Productions, industri  dan negara.  Pernah sangka atau tidak Syamsul akan mencapai sukses ke tahap sekarang? YH: Memang tidak sangka sama sekali sebab saya fikir kejayaan  mengambil masa panjang tambahan pula tidak semua anak seni boleh  berjaya. Perkara ini (pengarahan) datang spontan. Cuma, saya nampak,  Syamsul sejak kecil minat kamera dan penyuntingan. Pada usia 18 tahun  dia sudah beli kamera sendiri untuk belajar merakam video dan menyunting  klip video. Saya pernah menyuarakan keinginan untuk menghantar dia  sambung belajar kursus perfileman di Australia. Tetapi, pada waktu itu,  dia tengah seronok mengarahkan beberapa episod Gerak Khas dan Sembilu  Kasih. Syamsul ada cakap untuk menangguhkan pengajian. Jika ada  kelapangan, barulah dia hendak buat kursus jangka pendek di Hollywood  selama tiga atau enam bulan.  S: Saya tidak pernah termimpi memenangi anugerah Pengarah Terbaik  pada usia 26 tahun. Saya rasa itu pencapaian luar biasa. Tetapi,  biasalah, kita sebagai manusia ada perancangan dan wawasan. Usia muda  bukan penghalang untuk saya tidak perlu bekerja keras. Alhamdulillah,  apa yang saya dilakukan ini berbaloi. Usia bukan penghalang untuk  berjaya tetapi apa yang penting, kena ikhlas. Bercakap tentang pengarahan, apakah Syamsul bekerja dengan stail tersendiri atau terikut gaya Datuk? YH: Saya nampak Syamsul ada cara tersendiri. Kalau hendak cakap  terikut cara saya, memang tidak sama sekali. Ada waktunya, saya tidak  boleh baca atau menggambarkan bentuk pengarahannya. Apa yang ada dalam  minda orang tua dan muda tidak selalunya sama. Boleh dikatakan bahawa  Syamsul ambil semangat saya yang sentiasa menerbitkan filem bertemakan  isu sosial tetapi dia berikan dimensi baru dalam teknik sinematografi.  Saya jumpa ramai pengarah iklan yang memuji hasil kerja Syamsul kerana  punya sentuhan filem iklan. S: Penonton punya pendapat tersendiri. Kalau tanya saya, apa yang  dipelajari baik buat skrip atau mengarah, saya tidak hanya belajar  daripada papa. Tapi saya juga ada melihat hasil kerja Tan Sri P. Ramlee,  Datuk Shuhaimi Baba dan pengarah lain. Begitupun, saya ada cara sendiri  apabila tibanya soal kerja.  Adakah kalian sependapat semasa berbincang tentang pengarahan? YH: Banyak perkara kami tidak sehaluan. Syamsul merupakan pengkritik  mutakhir filem-filem saya seperti Sembilu 2005 dan Gerak Khas The Movie  3. Dua filem ini menerima kritikan paling pedas daripadanya. Seingat  saya, waktu itu, dia sedang belajar mengarah drama. Dia kata filem saya  sangat klise. Tidak hanya itu, dia mula kritik cara pengarahan saya.  Tapi saya tak melatah, saya biarkan dia beri komen. Selepas itu, saya  suruh dia bikin drama. Biarpun skrip saya tapi saya nampak gaya  pengarahan Syamsul ada elemen baru. Ini yang membuatkan saya kagum. Dia  juga menasihati saya agar tidak buat karya yang terang-terangan mahu  menyekolahkan penonton. Isi cerita yang penting dan tak perlu berkhutbah  panjang lebar. S: Tolak soal kerja, papa merupakan seorang ayah yang baik di rumah.  Tetapi, kalau bercakap hal kerja, dia cukup profesional. Dia boleh  marahkan saya sama macam dilakukannya kepada pekerja lain. Ada waktunya  saya yang lebih teruk dikenakan. Papa ialah pengkritik nombor satu saya.   Nasihat bagaimana yang selalu Datuk beri kepada Syamsul? YH: Saya selalu mengingatkan dia agar bekerja keras, berdisiplin dan  timba pengalaman daripada orang lama, bukannya cedok idea orang lama. S: Papa selalu bercakap tentang situasi bidang seni dan bagaimana  saya sebagai pengkarya muda ingin bawa diri dalam industri yang penuh  cabaran. Dia pesan supaya gunakan psikologi apabila berdepan kemarahan  tapi papa juga sukar hendak menerima idea orang lain termasuk anak-anak  muda yang belum ada kejayaan.  Ramai mendakwa Syamsul sebenarnya banyak dibantu bapa semasa berada di lokasi penggambaran, betulkah? YH: Bila saya cakap hendak meninjau ke set penggambaran, Syamsul  terus tak mahu mulakan penggambaran. Ketika filem pertamanya, Evolusi KL  Drift di lokasi, saya dan isteri (Datin Fatimah Ismail) sengaja  menjenguk dia buat kerja. Sampai saja di sana, dia boleh melambatkan  aktiviti penggambaran. Disebabkan mula naik angin, saya cakap biarkan  saja saya mengarah. Tanpa pengetahuan saya, dia bercakap kepada emaknya,  meminta kami pulang kerana tidak boleh bekerja. Bila filem sudah siap,  saya tidak percaya dengan hasilnya. Benarlah kata Syamsul, kalau saya  campur tangan dengan ideanya, Evolusi KL Drift akan menjadi filem Yusof  Haslam. Untuk filem pertama, dia yang masih budak baru belajar, saya  nampak luar biasa hasil garapannya.  S: Saya agak keliru, tidak faham dan terkejut apabila ada sebilangan  pihak cakap saya tidak buat kerja di lokasi penggambaran dan meminta  pertolongan papa untuk menyudahkan filem sendiri. Kata-kata ini timbul  sejak saya berumur 22 tahun ketika awal mengarahkan drama-drama Skop  Productions Sdn. Bhd. Sejak membikin drama, papa hanya beri nasihat  kepada saya. Bahkan, dia jarang turun ke set. Kalau penggambaran memakan  masa selama 30 hari, hanya sehari atau dua dia akan menjenguk saya  bekerja.  Apakah filem garapan Syamsul yang menarik perhatian Datuk, begitu juga dengan Syamsul? YH: Saya menyukai filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam kerana  kandungan cerita dan pendedahan berani yang dilakukan oleh Syamsul. Saya  sendiri takut hendak menghasilkan filem genre begitu.  S: Banyak sebenarnya filem papa yang jadi pilihan saya termasuk  Bayangan Maut dan Pemburu Bayang. Tetapi, filem buat saya tidak sabar  untuk jadi pengarah adalah Janji Diana. Selain aspek pengarahan, babak  dan gabungan pelakonnya, apa jua yang dipersembahkan dalam filem ini  dilihat cukup meresapi perasaan saya.   YUSOF HASLAM (kiri) ketika melawat ke lokasi penggambaran filem Evolusi KL Drift 2 arahan anaknya, Syamsul. 
 Komen kalian tentang senario pengarahan tanah air sekarang? YH: Saya perhatikan sekarang ramai tokoh muda yang melangkah maju ke  depan. Contohnya, adik beradik KRU yang semakin memperlihatkan kehebatan  mereka. Kewujudnya institusi pengajian tinggi seperti universiti dan  kolej juga telah melahirkan lebih ramai generasi baru dalam bidang  pengarahan. Macam Syamsul, dia menimba ilmu dan pengalaman di kolej.  Saya harap orang lain tidak memperkecil bakat generasi muda kerana  mereka ada keistimewaan sendiri. S: Sebagai orang muda, saya lihat ramai pembikin filem tempatan ada  idea yang bagus dan hebat. Kadangkala ada yang lebih baik daripada  penggiat filem Hollywood dan negara Asia lain. Cuma, kita berdepan  masalah utama iaitu bajet. Macam saya yang hendak menghasilkan semula  filem Bukit Kepong tidak lama lagi. Sudah pasti ia memerlukan modal  besar sekitar RM5 atau RM6 juta. Saya bersuara ini bukan hanya untuk  kepentingan diri, ia sebaliknya menyeluruh. Saya berharap kerajaan dapat  memberi sokongan padu terutama sumber kewangan. Saya juga kagum dengan  semangat adik-beradik KRU yang membangunkan KRU Studios. Sikap positif  mereka yang sering mendahului, itu yang harus kita contohi. | 
  |  Tulang belakang Kim, K-Dash   Posted: 13 Nov 2010 05:45 PM PST |  
 |  | KIM KARDASHIAN  
 | 
 BIAR ada waktunya adik-beradik glamor Kim, Khloe dan Kourtney dilihat  bertikam lidah menerusi program realiti, Keeping Up With The  Kardashians, yang pasti mereka sukar menolak perumpamaan - air dicincang  tidak akan putus. Dalam nada bangga, Kim, 30, memberitahu, Khloe dan Kourtney sentiasa  membakar semangatnya untuk bergelar pereka fesyen berjaya pada masa  depan.  Buat permulaan, tiga beradik itu bakal meluncurkan jenama pakaian sendiri pada awal tahun depan.  Menghurai cerita, Kim mengaku penglibatan Khloe dan Kourtney ibarat kerja berpasukan yang hebat.  Bahkan, masing-masing sibuk memunculkan idea terbaik dan tidak sabar  untuk mempersembahkan koleksi perdana mereka kepada pelanggan. "Saya rasa teruja dapat bekerjasama dengan Khloe dan Kourtney kerana setiap daripada kami begitu ikhlas menjalankan tugas.  "Bayangkan, daripada ilham rekaan pakaian sehingga mencapai keputusan akhir, ia dibuat sendiri oleh kami. "Terus terang, saya percaya diri mampu bergelar pereka fesyen berjaya  suatu hari nanti atas segala bantuan mereka," jelasnya gembira. Tiga beradik penuh ambisi itu akan melancarkan label K-Dash by  Kardashian, koleksi merangkumi celana panjang, jaket, pakaian dan beg  pada September depan.  Kim sendiri beria-ria melampiaskan sepenuh kecintaan terhadap dunia fesyen. | 
  |  Jessica tolak jadi tumpuan   Posted: 13 Nov 2010 05:44 PM PST |  
 |  | JESSICA ALBA   
 | 
 MENDAPAT jolokan simbol seks, itu bukan bermakna aktres terkenal Jessica Alba selesa dengan gelaran itu.  Bercakap kepada majalah Elle untuk keluaran Disember ini, wanita berusia 29 tahun itu mengaku dia merupakan seorang pemalu.  Namun, disebabkan terlibat dalam belantika seni, suka atau tidak dia harus mendepani kemilauan glamor. "Apabila terlibat dalam filem komedi, baru saya dapat meluah sebenar  diri yang gila-gila dan nakal. Tiada lagi istilah mahu menjaga  ketrampilan.  "Kerana itu, saya lebih suka watak humor berbanding serius," jelasnya.  Selain sarat sifat pemalu, dia terbiasa dibayangi kebimbangan dengan setiap kritikan dihadapkan kepadanya.  Baik komen dimunculkan oleh pihak media atau masyarakat, perasaan itu luah Jessica, mula terbit sejak dia kecil lagi. "Bayangkan, setiap kali diberi pujian atau kejian, saya akan  menganggap ia sebagai sesuatu yang serius. Nasib saya baik kerana  lama-kelamaan, sikap ini mula terhakis daripada diri.  "Pada waktu sama, saya sentiasa memperbaiki diri dalam lakonan agar tidak klise seperti kemunculan sebelum ini.  "Jika watak yang diperoleh berbaloi ditambah dapat bekerja bersama pengarah hebat, ia sudah dilihat sebagai kejayaan awal." | 
  |  Katy malu berbogel   Posted: 13 Nov 2010 05:43 PM PST |  
 |  |  KATY PERRY  
 | 
 BAGI sesetengah selebriti, beraksi di hadapan kamera tanpa seurat  benang pada tubuh barangkali menjadi perkara terbiasa buat mereka.  Bezanya, bagi penyanyi Katy Perry, dia masih berfikiran konservatif soal  bergambar bogel. Untuk memperlihat sebahagian anggota badannya buat tatapan percuma  orang ramai dianggap tidak menjadi masalah kepada Katy. Cuma, dia  sentiasa berpegang prinsip tidak mengambil gambar dalam keadaan  bertelanjang. "Luarannya, saya nampak nakal dan liar. Tetapi, jurugambar tahu saya  tidak sesekali akan beraksi untuk majalah Playboy. Kalau tidak punya  pilihan dan diarah berbogel, saya akan melakukan stail Dita Von Teese,"  jelasnya spontan. Selepas mendirikan rumah tangga Katy ingin menghabiskan seluruh  hayatnya bersama sang suami, Russell Brand, jelas Katy, ia sudah  menjadikan dia sebagai wanita paling seksi dalam dunia ini tanpa mampu  diganggu gugat. | 
  |  Ribuan sambut pembebasan Suu Kyi   Posted: 13 Nov 2010 05:28 PM PST  SEBAHAGIAN  penyokong pemimpin  prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang berkumpul di hadapan  rumahnya di Yangon semalam. - AP  
 YANGON - Pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi disambut lebih lima  ribu penyokong di luar kediamannya di sini semalam selepas dipercayai  dibebaskan daripada tahanan rumah tujuh tahun oleh junta tentera  Myanmar. Suu Kyi yang memakai jaket tradisional Myanmar, tersenyum sambil  melambai kepada para penyokongnya ketika muncul di halaman rumahnya  dengan disambut sorakan gamat mereka yang kemudian melaungkan slogan  "Hidup Aung San Suu Kyi". Beliau kemudian menyeru mereka supaya meneruskan perjuangan ke arah membina demokrasi di Myanmar. "Ada masa untuk membisu dan ada masa untuk bersuara. Rakyat perlu  bersatu. Hanya dengan cara ini, kita dapat mencapai matlamat kita  (demokrasi)," kata Suu Kyi kepada para penyokongnya sebelum masuk semula  ke rumah dengan diiringi pegawai-pegawai kanan parti Liga Nasional  untuk Demokrasi (NLD) pimpinannya.  Dalam ucapannya, ikon demokrasi Myanmar itu turut mengundang orang  ramai supaya hadir di ibu pejabat NLD hari ini bagi untuk mendengar  beliau berucap. "Saya menganggap Suu Kyi sebagai ibu, kakak dan nenek saya kerana  beliau ialah anak perempuan pemimpin kemerdekaan kami, mendiang Jeneral  Aung San," kata seorang penyokong pemimpin berkenaan, Naing Naing Win,  45. |  
 |  | PEMIMPIN  prodemokrasi  Myanmar, Aung San Suu Kyi berdiri di pagar rumahnya di Yangon Myanmar  selepas dibebaskan daripada tahanan rumah semalam. - AP  
 | 
 Terdahulu, pihak berkuasa mengundurkan pasukan polis dan turut  membuka sekatan-sekatan di hadapan rumahnya sekali gus membayangkan  beliau kini bebas daripada tahanan rumah walaupun tanpa pengesahan rasmi  oleh pihak junta. Suu Kyi yang pernah dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan, menghabiskan  15 tahun kehidupannya dalam tahanan sepanjang 21 tahun lalu. Penahanan terbaru Suu Kyi, 65, berlaku pada Ogos lalu apabila sebuah  mahkamah mendapati beliau melanggar undang-undang keselamatan negara  kerana membenarkan seorang seorang penceroboh warga Amerika Syarikat  (AS), tinggal di rumahnya selama dua malam. Sementara itu, para pemimpin Barat menyambut baik pembebasan ikon  demokrasi Myanmar itu dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron  menyifatkannya sebagai 'terlalu lewat' manakala Presiden Perancis  Nicholas Sarkozy memberi amaran supaya pihak junta tidak membatasi  pergerakan Suu Kyi.  Turut menanti pembebasan Suu Kyi di Thailand ialah anak lelaki  bongsunya, Kim Aris, yang tidak berpeluang melawat ibunya sejak 10 tahun  lalu. Mendiang suami Suu Kyi, Michael Aris membesarkan dua anak lelaki  mereka di England sebelum meninggal dunia akibat kanser pada 1999. | 
  |  Dahulu Paul, sekarang Jesicca   Posted: 13 Nov 2010 05:28 PM PST |  
 |  | GAMBAR menunjukkan Paul Canning selepas pulang dari bercuti baru-baru ini.  
 | 
 LONDON - Seorang ketua balai bomba di Britain mengejutkan  kakitangannya apabila dia kembali sebagai seorang wanita selepas  bercuti, lapor sebuah akhbar semalam. Paul Canning, 45, kembali daripada percutian lima minggu dengan  memakai mekap dan rambut palsu seterusnya memberitahu:" Mulai hari ini,  panggil saya Jessica,". Kakitangan balai bomba di sini dipanggil dalam satu mesyuarat oleh  pihak atasan bagi memaklumkan mengenai perubahan jantina ketua mereka  baru-baru ini. Para petugas diberi peringatan bahawa mereka boleh dikenakan tindakan  disiplin jika tidak merujuk ketua mereka dengan menggunakan ganti nama  wanita 'she' atau 'cik'. Rakan-rakannya berkata, Paul mahu menjalani pembedahan pertukaran  jantina sepenuhnya tetapi dia perlu hidup sebagai seorang wanita selama  18 bulan sebelum dibenarkan berbuat demikian menurut undang-undang  Britain. Difahamkan, ketua balai bomba itu pernah berkahwin dengan mempunyai seorang anak. | 
  |  Kereta sport elektrik pertama Britain   Posted: 13 Nov 2010 05:27 PM PST  JUTAWAN Dale Vince bergaya di sisi kereta elektriknya yang berharga £1 juta.  
 LONDON - Seorang jutawan di Britain, Dale Vince, 48, membelanjakan  hampir £1 juta (RM5 juta) untuk membina kereta sport berkuasa elektrik  pertama di Britain, lapor sebuah akbar semalam. Dinamakan Nemesis, kereta elektrik tersebut yang memiliki 330 kuasa  kuda (bhp), mampu memecut 0-160 kilometer sejam (km/h) dalam masa cuma  8.5 saat iaitu lebih laju daripada sebuah Ferrari. Vince yang merupakan pengasas sebuah syarikat pembekal tenaga  berasaskan kincir angin di Britain, mengupah sepasukan jurutera untuk  membina kereta sport itu berdasarkan platform kereta Lotus. Ia mampu bergerak sejauh 2,500 kilometer sebelum dicas selama dua jam  dengan menggunakan soket pengecas segera atau 8 hingga 9 jam jika dicas  di rumah. | 
  |  Terowong di bawah sungai   Posted: 13 Nov 2010 05:26 PM PST    
 RASA gerun menyelubungi tatkala kenderaan pacuan empat roda berwarna  hitam yang dikemudi jurutera muda Ng Hau Wei   memasuki salah satu  daripada dua muka terowong di Bukit Berapit, Padang Rengas, Perak itu. Terowong yang berbentuk seperti ladam kuda dengan diameter sembilan  meter lebar dan sembilan meter tinggi itu  berjaya ditebuk sepenuhnya 1  November lalu.  Bagai memasuki sebuah gua, pemandangan di depan hanyalah suasana kelam  yang  seolah-olah tidak berpenghujung.  Usai 30 meter pertama, perasaan cuak mulai lenyap dan digantikan keterujaan melihat struktur dinding dan siling terowong. Biarpun permukaannya sedikit kasar dan sekadar dilitupi semburan  konkrit, namun hasil penggalian terowong yang dimulakan sejak April 2009  lalu itu telah menampakkan kehebatannya.  100 meter di hadapan, kelihatan sekumpulan petugas berkemahiran tinggi tangkas melaksanakan kerja-kerja mereka. Ditemani cahaya lampu limpah yang terpahat kukuh di tepian laluan  terowong itu, petugas terbabit langsung tidak mempedulikan kehadiran  wartawan Jurnal  dan jurugambar Mohd. Najib Mohd. Nor yang pantas  merakam momen  foto terbaik suasana mereka sedang bekerja. Tidak jauh dari situ,  air  menitis lebat  dari siling terowong.  "Air ini adalah aliran Sungai Batu Pengasah dan kita baru sahaja melalui di bawahnya," ujar Hau Wei, 31.   Itulah sebahagian gambaran terkini  Terowong Bukit Berapit (TBB)  iaitu mercu tanda Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang  Besar. Selain faktor jarak 3.3 kilometer yang bakal melayakkannya berstatus  terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara, TBB hakikatnya  mempunyai banyak keistimewaan. |  
 |  | KERJA-KERJA pemasangan rel kereta api sedang rancak dijalankan di dalam terowong.  
 | 
 Air Apabila siap kelak, ia  membolehkan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad  (KTMB) mencapai kelajuan sehingga 120 km  sejam semasa melalui terowong  itu.   Selain itu, TBB dilengkapi spesifikasi standard keselamatan  antarabangsa. Terdapat  sembilan laluan penghubung di  setiap 350 meter  di dalam terowong itu. Terowong berkembar ini dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran tempatan. Projek ini  sudah pun 70 peratus siap. Bakinya pula melibatkan 15 peratus kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan 15 peratus pemasangan sistem di dalam terowong. Bagi Hau Wei,  perkembangan tersebut merupakan satu kejayaan  membanggakan lebih-lebih lagi beliau sendiri bergelar Pengurus Terowong  bagi projek berkenaan. Menurut graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Teknologi  Malaysia (UTM), Skudai, Johor ini, projek tersebut jelas memperlihatkan  bahawa tiada  yang mustahil untuk dilakukan. "Inilah pertama kali kita membina  terowong menggunakan kepakaran  tempatan sepenuhnya. "Saya  menganggapnya sebagai satu cabaran memandangkan ahli-ahli  pasukan terowong saya merupakan jurutera baru lepasan universiti,"  katanya. Beliau yang berpengalaman sebagai salah seorang jurutera yang  terlibat dalam projek pembinaan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan  Raya (Smart) di ibu negara sebelum ini berkata, cabaran terbesar  sepanjang proses pembinaan TBB adalah penggerudian bagi 100 meter  pertama.  "Jarak tersebut merupakan fasa paling penting dalam keseluruhan  pembinaan. Kami menghadapi kesukaran yang melampau memandangkan keadaan  tanah yang berbatu. "Perkembangannya terlalu perlahan, tidak sampai satu meter sehari malah mengambil masa setengah tahun untuk jarak berkenaan.  "Bahkan pada waktu itu, kami terpaksa mengubah reka bentuk memandangkan pembinaannya dilakukan di bawah laluan air," katanya.  PEMANDANGAN dari depan terowong berkembar di Bukit Berapit, Perak.  
 Terkawal Berbanding pembinaan Terowong Smart yang mengguna pakai khidmat dua  mesin penggerudi terowong (TBM), Tuah dan Gemilang, TBB sebaliknya   menggunakan  teknik gerudi dan letupan terkawal bagi kawasan di bawah  Bukit Berapit. "Menggunakan  TBM seumpama menguruskan sebuah kilang. Pengendali mesti  memastikan ia berfungsi dengan baik.  "Namun, di Bukit Berapit ini,  kaedah gerudi dan letupan terkawal lebih  mendekatkan kita dengan alam semula jadi. "Selepas setiap sesi letupan dan penggerudian, kami melihat dengan  mata sendiri tanah serta batu yang dikeluarkan. Begitu juga dengan kesan  yang tinggal pada struktur terowong," kata Hau Wei.  TBB turut bersambung dengan dua lagi terowong berasingan yang dibina  menggunakan kaedah potong dan tutup di kawasan terbuka dan kerja-kerja  mengorek di bawah Lebuhraya Utara-Selatan. Kata Hau Wei, kerja-kerja tersebut dibuat secara cermat sehingga  pengguna lebuh raya tersebut tidak merasai gegaran letupan dan gerudi. Semasa proses gerudi dan letupan, terdapat empat pasukan penggalian  terowong menjalankan tugas serentak iaitu  melalui empat muka terowong  berasingan. "Proses membina terowong sangat rumit bahkan kita terdedah kepada pelbagai risiko.  "Meskipun pakar geologi telah membuat kajian mengenai kandungan tanah  di  kawasan yang hendak digerudi dan  diletupkan, kami  tidak boleh  menjangka apakah sebenarnya risiko 100 meter di depan," cerita beliau. Tidak mahu mendabik dada dengan kejayaan yang diraih, Hau Wei  bersyukur kerana beliau diberi peluang mengetuai pembinaan sebuah projek  berstatus mega tersebut. "Terdapat kira-kira 30 kakitangan di bawah saya yang terdiri daripada jurutera, pakar geologi dan penyelia.  HAU WEI (kanan) bersama sebahagian daripada 240 pekerja yang terlibat dalam pembinaan terowong.  
 "Saya bertuah kerana mereka  telah memberi kerjasama yang baik  meskipun ada di kalangan mereka lebih berpengalaman daripada saya,"  katanya. Ujar anak kelahiran Kulai Besar, Johor ini, tarikh 1 November lalu  merupakan detik istimewa kepada lebih 240 petugas yang terlibat secara  langsung dalam pembinaan terowong tersebut. Pada hari berkenaan, penggalian terowong dari arah Padang Rengas dan  Taiping yang dimulakan sedikit lewat iaitu pada Mac 2010, berakhir  secara rasmi. "Melihat terowong yang digali berjaya ditembusi adalah  matlamat dan impian utama  mereka. "Secara peribadi, itulah detik yang dinanti-nantikan bahkan ketika  itu saya sendiri seperti mahu mengalirkan air mata kegembiraan.  "Saya seperti nampak ada cahaya dari alam lain menerobos masuk," ujarnya. Dengan semangat berpasukan dan komitmen bersungguh-sungguh yang  diperlihatkan anak-anak buahnya, Hau Wei yakin TBB tersebut mampu  disiapkan sepenuhnya menjelang November 2011 seperti dijadualkan. |