Utusan Online - Hiburan |
Posted: Ashton lelaki baru AmberOleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
SEJAK mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihannya, Andrian Wong, 36, pada 25 Mac lalu, kehidupan peragawati terkenal, Amber Chia, 28, bagai penuh dilingkari kebahagiaan. Dan sekarang, si jelita Amber punya sebab lain untuk berasa ekstra bahagia. Kehadiran seorang lagi lelaki dalam ruang hati Amber benar-benar merubah kitaran hidup wanita kelahiran Tawau, Sabah ini secara total. Ashton Wong. Ya, itulah nama yang diberi. Bayi lelaki itu baru sahaja menginjak usia sebulan. Memiliki wajah salin tak tumpah seperti wajah bapanya, kehadiran Ashton secara automatik menukarkan status Amber daripada seorang isteri kepada seorang ibu, sebagaimana yang didambakan oleh supermodel bertaraf antarabangsa ini. Keterujaan untuk berkongsi momen indah sebagai ayah dan ibu juga mendorong Amber dan Adrian untuk mengadakan majlis Full Moon Party baru-baru ini bagi memperkenalkan Ashton kepada umum buat pertama kalinya selepas dilahirkan. Cerita model yang terkenal dengan sikap peramah ini, putera sulungnya itu merupakan seorang bayi yang tidak banyak ragam. Malah, kata Amber, permata hatinya itu kecil-kecil lagi sudah menunjukkan potensinya untuk berada di hadapan kamera tanpa sedikit pun menunjukkan riak kurang selesa tatkala kilauan cahaya daripada lensa kamera diacu padanya. "Sungguh, memang senang jaga Ashton sebab dia tak banyak kerenah. Lagi satu saya tengok dia ini suka kalau gambarnya diambil, agaknya mahu ikut jejak langkah saya mungkin," katanya sambil ketawa kecil. Sedang rancak bercerita, kata Amber, Ashton banyak mengajarnya erti kesabaran menjadi seorang ibu. Mengakui banyak perubahan positif yang dirasakan saat menyentuh bab mengendalikan anak, kata Amber dia kini tidak lagi kekok untuk menukar lampin anak. "Semasa Ashton baru dilahirkan, segala-galanya nampak sukar bagi saya. Saya tidak tahu macam mana hendak memandikan bayi, menukar lampin, memberinya susu, pendek kata memang kekok. "Tetapi atas tunjuk ajar ibu, lama-kelamaan saya sudah semakin mahir, dan sekarang menukar lampin adalah aktiviti yang paling saya suka lakukan," katanya. Lantas, tanpa berselindung, Amber memberitahu nama Ashton dipilih kerana bagi dia dan Adrian nama itu tampak cool selain sedap didengar. "Sebelum ini, kami berdua ada buat senarai nama apa yang sesuai untuk putera sulung kami ini. Ada terfikir hendak letak nama Jordan, tetapi bunyi macam lasak sangat. "Selepas berbincang, kami membuat keputusan untuk memilih nama Ashton. Kebetulan pula nama saya dan suami bermula dengan huruf A, maka ia seolah-olah nampak macam mengena pula. "Selepas ini, kalau ada rezeki dapat anak lagi, rasanya Amber masih hendak mengekalkan huruf A pada pangkal nama anak. Harap-harap Ashton dapatlah adik perempuan pula,"katanya. Cerita Amber lagi, selepas Ashton hadir dalam hidupnya, dia juga tidak lagi gemar menghabiskan masa di luar meski mengakui rindu saat-saat berkumpul bersama teman-teman. Pun begitu, apakan daya kerinduannya pada Ashton mengatasi segalanya dan ini berlaku setiap kali kakinya melangkah keluar untuk menjalankan tanggungjawabnya terhadap karier yang diceburi. "Betul, setiap kali keluar bekerja, saya mesti hendak pulang ke rumah cepat-cepat sebab hati saya mudah sangat rindu pada dia. "Bukan tak rindu untuk keluar bersama teman dan buat pelbagai aktiviti bersama mereka, tetapi sekarang fasa hidup saya sudah berbeza. "Memikul tugas sebagai isteri dan ibu kepada dua lelaki yang hadir dalam hidup saya kini menuntut saya untuk lebih bertanggungjawab terhadap keluarga dan rumah tangga, saya rasa ibu-ibu lain juga dapat rasa apa yang saya rasa,"katanya. Hal ini turut dirasai Amber. Bagaimanapun nasibnya baik lebih-lebih lagi Amber juga merupakan duta kepada produk pakar pelangsingan berjenama S2 Slimming. Di bawah program Super Post-natal yang dilakukannya selepas melahirkan Ashton, Amber mengakui sangat berpuas hati dengan rawatan yang diterimanya. Dia juga mampu tersenyum bangga sementelah dalam masa sebulan, badannya kembali kepada bentuk S seperti sebelumnya. "Macam tak percaya pun ada. Bayangkan, selepas melahirkan Ashton, berat badan saya naik mendadak mencecah 69.5kg. "Sekarang, dengan bantuan S2 Slimming, saya kembali memiliki berat badan ideal iaitu 55kg. Rawatan yang paling saya suka ialah Water Retention. "Fokus rawatan ini adalah pada bahagian berlemak di lengan dan peha. Yang penting, ia tidak menyakitkan," katanya yang mengaku tidak mengawal pemakanannya selepas bersalin bagi mengumpul tenaga. Dalam pada itu, kata Amber meski mahu tampil langsing dan mengekalkan bentuk badan menggiurkan, dia tidak mengabaikan tanggungjawab untuk menyusukan anaknya sendiri. Menurut Amber, dia percaya bagi memberikan nutrisi terbaik untuk Ashton, susu ibu adalah pilihan yang paling berkhasiat. "Sungguhpun sibuk dengan kerja, saya akan peruntukan waktu selama sejam sehari untuk mengepam susu demi Ashton. "Malah, saya juga bercadang untuk terus menyusukan Ashton sehingga umurnya mencecah dua tahun," tuturnya tanpa berselindung. | ||
Tak boleh hidup tanpa penggaris mata Posted: Tak boleh hidup tanpa penggaris mata
Kecantikan yang dimiliki penyanyi dan pelakon seksi Korea, Lee Hyori sering sahaja dicemburui kebanyakan wanita. Namun, dedah Hyori, dia tidak mungkin akan kelihatan cantik tanpa bantuan penggunaan penggaris mata. "Saya sering menggunakan penggaris mata untuk menaikkan seri mata. "Jika anda mahu menzahirkan karisma luar biasa yang anda miliki terutama kepada kaum lelaki, penggaris mata adalah alat yang mesti dimiliki! "Terbukti untuk menjadi cantik sebenarnya bukanlah susah sangat, pada saya, penggaris mata adalah penyelamat! " katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |