Adsense

Sabtu, 13 November 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tuah tukar nama

Posted: 12 Nov 2010 05:51 AM PST

SESUDAH tiga tahun berkecimpung dalam industri hiburan di Perancis sebagai pelakon, sinar cerah kini mula menyelubungi karier seni Ariane Bourgoin. Bahkan, jelitawan yang lebih dikenali dengan panggilan Louise Bourgoin ini sedang membuka mata ramai pengkarya seni di Barat.

Dalam tempoh singkat, Louise sudah membintangi enam filem cereka bermula dengan percubaan pertamanya menerusi The Girl From Monaco pada 2008. Justeru, tahun lalu pula Louise menonjolkan bakatnya dalam tiga filem hebat iaitu Sweet Valentine, Little Nicholas dan White Snow.

Melihatkan pada penampilan Louise yang seksi, apakah dia salah seorang aktres simbol seks baru di Perancis? Bersandarkan susuk tubuh yang langsing, menawan dan memiliki jelingan tajam menggoda, tidak dinafikan semua kriteria itu menepati syarat untuknya mula menakluki takhta. Apapun, bukan gelaran itu sebenarnya yang dikejar Louise.

Lebih suka bersederhana, Louise yang kini sedang memikat ramai penonton dengan filem Adele: Rise of the Mummy akui dia tak pernah ambil kisah tanggapan masyarakat mengenai dirinya. Justeru, apa saja yang diperkatakan sama ada positif atau negatif, semua baginya satu fenomena normal dunia selebriti. Dia faham, sudah begitulah suratan hidup seorang artis.


"Jadi, kenapa saya harus marah atau beremosi apabila diri saya dikaitkan sebagai simbol seks? Ia pandangan orang dan saya tiada hak untuk berdendam kepada orang yang beranggapan semacam itu. Saya tidak pernah ambil pusing kata-kata sebegitu dan lebih baik saya terus fokus kepada kerjaya.


"Saya masih terlalu baru dalam bidang ini. Belum banyak yang saya pelajari apa lagi menimba pengalaman. Bukan mudah meraih peluang ini kerana saya dulunya seorang guru seni plastik. Bagaimanapun, pembabitan sebagai model akhirnya membuka ruang untuk saya mencuba nasib.

"Semuanya bermula ketika saya menjadi model untuk jurugambar Ian Sanderson. Tidak dinafikan, memang saya minat beraksi di hadapan kamera dan tidak disangka dapat peluang menjadi pengacara pada 2004. Berkhidmat dengan stesen Filles TV, saya mengacarakan program Kawai!" katanya.

Namun, dua tahun selepas itu Louise memberanikan dirinya muncul dalam program Direct 8. Pada masa sama, dia juga bekerjasama dengan pengacara TV terkenal, Marc Lacombe mengendalikan program perintis untuk PlayStation TV. Malah, Louise juga pernah menjadi 'gadis ramalan cuaca'.

Menerusi segmen ramalan cuaca Le Grand Journal, Louise bergandingan bersama Michel Denisot yang bertugas untuk berita malam. Bahkan, ketika bekerja di Grand Journal, dia mahu dikenali dengan nama Ariane Massenet Bourgoin. Bagaimanapun, nama itu ditolak dan perlu ditukar.

Menurutnya, disebabkan dia terlalu kagum dengan hasil kerja seorang pengukir profesional bernama Louise, maka Ariane ditukar terus dengan nama itu. Hingga kini, nampaknya nama Louise yang digunakan itu cukup membawa tuah dan berjaya meletakkan si manis ini di tahap cemerlang.

Filem The Girl From Monaco lakonannya, menjadi titik kejayaan Louise. Malah, paling menakjubkan dia juga berjaya menampilkan lakonan mantap dan berkesan dalam filem arahan Luc Besson, The Extraordinary Adventures of Adele Blanc-Sec Subsequently atau judul Inggerisnya, Adele: Rise of The Mummy.

Filem pengembaraan yang banyak menggunakan teknik pengimejan berkomputer (CGI) dan penataan cahaya yang berkesan ini adalah hasil inspirasi Besson menerusi siri komik ditulis Jacques Tardi. Dalam komik kesukaan ramai itu, nama Adele diangkat sebagai heroin terkenal yang hebat.

Berlatarkan tahun 1912, penceritaan dalam filem ini lebih fokus kepada karier Adele sebagai novelis yang mengembara hingga ke Timur Tengah untuk mencari mumia. Dia berbuat demikian bagi menyelamatkan kembarnya yang mengalami koma selepas tercedera dalam satu kemalangan ngeri.

Filem pengembaraan itu penuh dengan babak lucu sentuhan Besson yang sebelum ini sangat dikenali dengan filem sci-fi The Fifth Element lakonan Bruce Willis dan juga Mila Jovovich.

Filem lain arahan beliau adalah The Professional lakonan Natalie Portman.
Kini ramai Besson cuba menggilap Louise pula.

Kata Besson, semangat kental yang ada dalam diri Louise seperti berdikari, berani dan bijak sangat sesuai dengan watak Adele. Mengambil kira semua aspek itu, Louise adalah pelakon paling tepat untuk filem Adele Rise of The Mummy. Selama menjayakan filem itu, Louise berjaya memberi apa diinginkan Besson.

Selain Adele Rise Of The Mummy, sebuah lagi filem yang dibintangi Louise tahun ini ialah Black Heaven.

PROFIL
NAMA SEBENAR: Ariane Bourgoin
PANGGILAN KOMERSIAL: Louise Bourgoin
TARIKH LAHIR: 28 November 1981
USIA: 28 tahun
KARIER: Aktres
TEMPAT LAHIR: Vannes, Perancis
ZODIAK: Sagittarius
WARGA NEGARA: Perancis
PEMBABITAN LAKONAN: Bermula 2008
FILEM: The Girl From Monaco (2008), Sweet Valentine (2009), Little Nicholas (2009), White Snow (2009), The Extraordinary Adventures of Adle Blanc-Sec (Adele Rise Of The Mummy - 2010) dan Black Heaven, (2010)

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Belasungkawa Shamrin Abdul Samad (1965- 2010): Perginya rocker unik

Posted: 12 Nov 2010 05:23 AM PST

SEMBILAN hari sebelum pemergian vokalis Fotograf yang popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta, Shamrin Abdul Samad, 45, ke Rahmatullah petang kelmarin, arwah sempat mengunjungi Balai Berita bagi memenuhi sesi fotografi bersama Farah Asyikin Zulkifli (Farah), 31, untuk mempromosikan lagu duet mereka, Kamu Aku Satu.

Bertemu dengan Shamrin, satu pengalaman mengujakan kerana ketika Shamrin bersama kumpulannya meledak dengan lagu Di Alam Fana Cinta, dia seorang rockers unik yang tampil dengan imej berbeza daripada rockers sedia ada.

Berpenampilan kemas dan memiliki tubuh tegap, ramai wanita dan budak perempuan usia lapan tahun menggilainya sampaikan buku teks sekolah berbalut poster wajahnya yang diambil dari majalah.

Dalam pertemuan 3 November lalu, penampilannya jauh berbeza, tidak setegap dulu dan boleh dikategorikan sebagai kurus. Apabila diusik suruh makan banyak sikit supaya sasa macam dulu, arwah sekadar menjawab, sudah tua-tua ini hilang selera makan.


Banyak perkara luar daripada bidang kerjaya dibualkan ketika berada dalam bilik mekap. Arwah mengakui sudah bosan dengan imej 'Hongky' rambutnya.


Sepanjang dua jam menyelaras fotografi, dapatlah disimpulkan Shamrin seorang penyanyi 'senior' yang sangat merendah diri, kelakar dan mudah memberikan kerjasama. Dia tidak kisah diminta memberi aksi menarik walaupun terpaksa berbaring di lantai.

Kenyataannya yang agak pelik ketika itu ialah ceritanya mengenai rancangan untuk menghasilkan album baru Fotograf. Katanya, Fotograf sepatutnya kembali merakamkan album tahun ini, tetapi projek itu tidak akan dijalankan selagi pemain dram, Ringgo belum dibebaskan daripada tahanan di Venezuela atas tuduhan memiliki dadah walaupun dia diperangkap.

"Selain saya, Ringgo satu-satunya 'line up' asal yang masih memperjuangkan Fotograf dan kerana itu saya masih menantikan kepulangannya. Kali terakhir saya berhubung dengannya sebelum Ramadan lalu dan dia memaklumkan tahun ini Insya-Allah akan dibebaskan.

"Kemudian saya menghantar e-mail sekali lagi kepadanya Ramadan lalu untuk bertanya khabar dan perkembangan terbarunya namun sehingga kini tiada sebarang jawapan. Saya berharap dia dalam keadaan baik dan pulang ke tanah air dengan selamat.

"Saya sudah tidak sabar untuk bertemu Ringgo dan kembali menghasilkan album solo bersama Fotograf. Tetapi itulah tak pasti bila dia akan pulang ke tanah air, sempat atau tidak kami merakamkan album," katanya.

Kata-kata sempat atau tidak merakamkan album itu seolah dia sudah dapat merasakan bahawa dia akan pergi terlebih dulu meninggal Ringgo serta sahabat-sahabat lain.

Shamrin meninggal dunia pada Khamis lalu, tepat jam 6.40 petang selepas rebah sewaktu bermain bola sepak sempena perlawanan persahabatan artis dengan syarikat insurans di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur di padang bola kawasan Kampung Baru dan terus dibawa ke Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru.

Doktor mengesahkan meninggal dunia, kemudian jenazahnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Allahyarham disyaki menghidap sakit jantung, meninggalkan tiga anak, Akmal Danish, 5, Akmal Shamim, 1, hasil perkahwinan dengan Jazriatul Akma Abu Saman, 29, yang kini sarat mengandung anak ketiga serta Siti Najwa, 17, hasil perkahwinan dengan isteri pertama, Noreda Mohd Razali.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam SS22, USJ Subang Jaya, Selangor sebelum solat Jumaat, semalam.

Penyanyi kelahiran Kajang, Selangor pada 15 September 1965 ini mula membabitkan diri dalam muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf menerusi album pertama, Iramanya Bergetar pada 1989 dan menghasilkan lima album, 7:30 Psikosis (1990) , Fotograf 92 (1992), Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997).

Ketika sesi fotografi itu, Shamrin mengakui dia tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan komposer baru apabila merakamkan lagu ciptaan Farah. Akuinya, mungkin bagi sesetengah penyanyi 'senior' mereka mempunyai 'ego' untuk berbuat demikian.

Katanya, Farah mempunyai gaya dan sentuhan tersendiri sama ada dari segi vokal mahupun lagu yang dihasilkan.

"Saya rasa tiada salahnya menjalin kolaborasi dengan penyanyi muda kerana kerjasama ini membawa keuntungan di mana kami berdua boleh memasarkan diri dalam pasaran berbeza.

"Saya dapat memperkenalkan Farah kepada peminat Fotograf dan begitu juga sebaliknya. Bagaimanapun, saya tidak nafikan sebagai penyanyi, saya seorang yang amat teliti dalam memilih sesebuah lagu yang ingin dinyanyikan.

"Jika ia tidak bagus dan tak menepati 'standard' saya tidak akan merakamkannya. Justeru, berbalik pada lagu duet Kamu Aku Satu itu tadi, ada sesuatu yang menarik pada melodi lagu dan liriknya yang membuatkan saya tertarik untuk merakamkan lagu ini.

"Saya harap lagu ini dapat melonjakkan semula nama saya di persada seni suara selepas sekian lama tidak muncul dengan album baru," katanya.

Dia yang bernaung di bawah Alibi Music, bakal muncul dengan single terbaru, Maafkan Pencinta sejurus beberapa bulan Kamu Aku Satu dipromosikan. Maafkan Pencinta itu adalah hasil ciptaan Syed anggota kumpulan Nitrus.

Sementara itu, Farah yang masih terkejut mendengar berita pemergian Shamrin, menyifatkan vokalis Fotograf itu seorang yang sangat baik.

"Sabtu lepas kami sempat menjayakan persembahan di Johor Bahru sekali gus mempromosikan lagu Kamu Aku Satu. Itulah persembahan pertama dan terakhir yang kami jayakan.

"Masa itu dia terlupa lirik dan meminta Pembantu Peribadi Farah, menulis lirik lagu itu. Selesai persembahan, dia meminta maaf pada Farah dan berkata 'abang janji lepas ini abang akan hafal lirik dan buat yang terbaik untuk Farah'.

"Saya juga sempat memujinya kerana sikapnya yang merendah diri. Shamrin pada saya seorang yang sangat sopan santun, bila berjalan depan orang sekalipun Farah, dia akan tunduk. Saya kata kepadanya, susah hendak jumpa lelaki seperti itu zaman sekarang ini.

"Shamrin menjawab, memang patut pun kita sebagai seorang Melayu mengamalkan sikap bersopan santun dan berbudi bahasa. Bila berbual, tutur katanya lembut saja.

"Sebenarnya, Farah mengenali Shamrin sudah lama sejak 11 tahun lalu kerana bekas isterinya adalah saudara Farah. Justeru, bila kami bertemu semula, itu yang Arwah minta Farah hasilkan lagu duet dengannya," katanya.

Farah juga mengatakan, jam 3 petang hari yang sama sebelum meninggal dunia, arwah ada mengirimkan SMS kepadanya dan memuji gambar Farah yang dijadikan penghias muka depan sebuah akhbar.

"Namun, SMS itu tidak sempat dibalas kerana telefon bimbit saya dipegang pembantu peribadi. Farah bersama keluarga ketika itu berada di The Curve untuk menyambut ulang tahun kelahiran saya semalam (Khamis)," katanya.

Dalam pertemuan 3 November, Farah meluahkan rasa terharu kerana diberi kepercayaan oleh Shamrin untuk menghasilkan lagu duet Kamu Aku Satu.

"Saya ingin berterima kasih kepada abang Shamrin kerana mencantikkan lagu ini melalui input yang diberikan sama ada melalui 'arrangment' yang disusun oleh Rafiq.

"Saya harap ia diterima baik pendengar. Alhamdulillah, walaupun berbeza genre muzik suara kami berdua boleh 'blend'. Semasa mendengar abang Shamrin merakamkan lagu ini, saya dan Rafiq berasa amat kagum dengan kehebatan vokalnya," katanya.

Farah menambah, ketika masih bersekolah rendah, Fotograf antara band popular yang cukup dikagumi dan kerana kegilaan itu menyebabkan ayahnya sanggup membeli kaset Fotograf yang dimainkan setiap kali mereka sekeluarga naik kereta.

Hampir semua lagu yang dimuatkan dalam album Iramanya Menggetar pada 1989, dihafal penyanyi manis bersuara lantang ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.