Berita Harian: Hip |
Posted: 12 Nov 2010 03:19 PM PST Hip DIA memiliki segala pakej yang diimpikan gadis sebayanya. Berjaya, berdikari, cantik dan berani, semua pakej itu melengkapi penyanyi irama country popular, Taylor Swift. Namun, segala kesempurnaan yang menjadi miliknya tidak sesekali menjamin kebahagiaan sejati buat gadis jelita yang bakal menerima kunci kebebasan pada 13 Disember ini. Pernah beberapa kali jatuh cinta, dia dikaitkan dengan nama popular seperti Joe Jonas, John Mayer dan bintang Twilight, Taylor Lautner. Namun semuanya berakhir dengan kegagalan, yang nyata mengubah persepsi gadis berambut perang ini terhadap lelaki. Barangkali segala kesedihan yang pernah bergumpal di sudut hati berjaya disembunyikan daripada khalayak dengan pencapaian demi pencapaian yang diciptanya. Umum melihat Swift sebagai seorang penyanyi muda paling berjaya.Ketika sisi penjuru peribadinya disorot apabila dilihat mendampingi aktor Jake Gyllenhaal, Swift bingkas mempertahankan, cinta bukan pelengkap kepada seluruh hidupnya. Setiap kali membuka mata, pertanyaan yang datang menyapa cuma apa yang perlu saya lakukan hari ini? Langsung tidak pernah terlintas di minda dengan pertanyaan, apakah saya memerlukan teman lelaki, katanya. Mengakui masih belum berteman, Swift berkata, dia menyerahkan seluruh jiwa raga kepada dunia nyanyian dan enggan berlaku tidak adil kepada teman lelaki lantaran kesibukannya.
Sejak di alam persekolahan lagi, saya sudah dididik untuk menangani pelbagai bentuk kesepian. Satu cara untuk mengatasi saat sulit itu adalah dengan menulis lagu. Saya akan duduk seorang diri dan memujuk hati supaya menerima situasi itu. Saya sering berkata, semuanya akan OK dan saya boleh meluahkan kesepian itu menerusi lagu, katanya. Gadis berbintang Sagittarius itu berkata, meniti kedewasaan sebenarnya membentangkan pelbagai tafsiran serta pengertian kepadanya. Bagaimanapun, kematangan dan kedewasaan tidak pernah sesekali menuntut Swift untuk menjadi seorang yang baru dan berbeza. Dia masih Taylor Swift yang sama, tanpa perlu sesekali meninggalkan segala yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Cuma kata Swift, sesuatu yang baru akan sentiasa datang untuk menyimbah warna berbeza dalam kehidupannya. Terlalu banyak yang berubah dalam kehidupan saya sejak dua tahun kebelakangan ini. Speak Now ialah curahan hati saya, mungkin ada di antaranya tidak pernah saya kongsi selama ini. Ada kala saya tersasar apabila berkata, malah pernah berdiam diri ketika saya perlu bersuara. Semua pengalaman itu saya luahkan dalam lagu. Saya cuma berpeluang untuk menyatakan segala kebenaran menerusi lagu, katanya mengenai album ketiga yang mencatat jualan melebihi 1.4 juta salinan pada minggu pertama diedarkan hujung Oktober lalu. Swift berkata, kebelakangan ini dia meletakkan pemikirannya kepada dua sudut kehidupan. Satu sudut mampu diubahnya manakala satu aspek lagi gagal untuk dilakukan. Berbuat begitu, katanya, memudahkan dia untuk menyusun perancangan tanpa terlalu mendesak dirinya melakukan perkara yang di luar kemampuan. Cinta datang tanpa dirancang,malah sukar untuk meramal bagaimana akhirnya nanti. Ia sesuatu yang dijangka, mungkin mengecewakan dan tragik tetapi cinta itu juga indah. Barangkali saya belum layak untuk berkongsi hal berkaitan cinta tetapi berbaloi menulis mengenainya. Ia terlalu berharga berbanding apa saya lalui dalam kehidupan selama ini, katanya. Menyifatkan Speak Now umpama surat terbuka kepada insan yang pernah bertakhta di sudut hatinya, Swift akan berkongsi momen bermakna bersama peminatnya di rantau ini tidak lama lagi. Penyanyi dan komposer yang pernah menjulang empat trofi Anugerah Grammy itu dijadualkan beraksi di Stadium Tertutup Singapura pada 9 Februari depan. |
Mesti Tonton: Bumi diserang lagi Posted: 12 Nov 2010 03:14 PM PST Hip Makhluk asing cuba hapuskan manusia dalam SkylineMESKIPUN pawagam kita sering disogokkan dengan filem yang berkisar pada makhluk asing menawan bumi, tidak dapat dinafikan filem seperti itu masih mempunyai tarikan tersendiri. Terbaru, sebuah lagi kisah makhluk asing yang mahu menghapuskan populasi manusia di muka bumi dihasilkan di Hollywood, berjudul Skyline. Bunyinya memang klise namun Skyline yang diarahkan oleh dua beradik iaitu Colin dan Greg Strause ini masih mempunyai elemen ketakutan tersendiri. Selepas berparti sehingga lewat malam, sekumpulan sahabat terbangun daripada tidur apabila mendapati cahaya misteri bersinar di sebalik tingkap. Malangnya apabila seorang daripada mereka melihat cahaya itu, tanpa disedari ada kuasa ajaib seakan memukau dirinya, lalu membawa pemuda itu hilang di sebalik kilauannya.Mereka mendapati cahaya itu sebenarnya datang daripada makhluk asing yang ingin menghapuskan manusia daripada muka bumi. Dengan kudrat yang ada, mereka berusaha menyelamatkan diri walaupun menyedari ada bahaya yang menanti. Mengambil latar kota raya Los Angeles, Skyline mampu menimbulkan kegerunan kepada penonton terutama apabila babak makhluk itu mula menyerang dan bertindak ganas terhadap penduduk kota terbabit. Ketakutannya sama dengan perasaan yang dialami ketika menonton filem Aliens dan Predator, saat jantung berhenti berdegup menantikan babak seterusnya.
Begitu juga proses penghasilan makhluk asing itu sendiri yang bentuknya tidak ubah seperti seekor sotong gergasi. Dari segi lakonan, walaupun tidak membariskan pelakon Gred A, semua pelakon yang terbabit memberikan justifikasi terhadap watak dijayakan mereka. Cerita ini sebenarnya mengetengahkan erti sema-ngat juang yang tinggi. Walaupun menyedari nyawa mereka berada di hujung tanduk, manusia tetap melawan dan tidak membiarkan bumi terus menjadi mangsa keganasan makhluk asing terbabit. Apapun, penamat cerita berjaya menimbulkan kejutan besar buat penonton. Kalau nak tahu apakah kejutan itu, jangan lupa menonton filem ini yang sudah pun menemui khalayak mulai 11 November lalu. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |