|  Artis berparti Halloween   Posted: 06 Nov 2010 06:53 PM PDT        BUDAYA ASING... gambar Fasha bersama kenalannya meraikan Halloween yang terpapar pada Facebook kelab peminat.  KUALA LUMPUR: Mengaibkan apabila ada artis tanah air tergamak  menyambut Halloween pada 31 Oktober lalu, sedangkan perayaan itu jelas  bertentangan dengan ajaran Islam. Sekurang-kurangnya dua artis dikesan berbuat demikian, dipercayai di  sebuah kelab malam sekitar ibu kota, biarpun jumlahnya mungkin lebih  ramai.
 Artis terbabit ialah pelakon kontroversi, Fasha Sandha dan penyanyi popular, Joe Flizzow.
 Gelagat mereka dikesan selepas lapan gambar Fasha berpakaian seksi  ala 'Genie In The Bottle' dimuat turun dalam laman sosial Facebook milik  kelab peminatnya.Daripada jumlah itu, tiga gambar Fasha bersama teman lelakinya,  Rizal Ashram atau Jejai, dua gambar solo Fasha dan masing-masing satu  gambar Fasha bersama Joe, dengan seorang rakannya dikenali Azian dan  gambar bertiga bersama Jejai dan Azian.Satu gambar solo Fasha ketika menyambut hari itu turut dipapar dalam sebuah laman web hiburan tanah air.
 
 Tindakan Fasha turut mendapat reaksi berbeza daripada peminatnya  dalam laman sosial berkenaan. Daripada 29 komen, ada yang menyokong  pelakon berusia 26 tahun itu, ada peminat memberi nasihat secara baik  dan tidak kurang juga yang mengkritiknya.
 
 Bagaimanapun, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha ketika dihubungi Metro Ahad, enggan mengulas berkenaan isu itu.
 
 Halloween berasal daripada perkataan Hallowe'en iaitu singkatan daripada 'All Hallow's Eve' (malam sebelum hari 'All Hallow').
 
 Selain itu, perayaan ini ditentukan mubaligh Kristian bertepatan  dengan hari perayaan orang gasar kerana mahukan kaum itu mempercayai  agama mereka.
 
 Bagi penganut Kristian, Halloween biasanya dikaitkan dengan syaitan,  iblis, ahli sihir, hantu, goblin dan makhluk mitos yang menyeramkan.
 
 Selain itu, perayaan itu disambut dengan menghiasi rumah dan pusat  beli-belah dengan simbol tertentu seperti labu yang diukir membentuk  wajah menyeramkan iaitu nama Jack-o'-lantern dan berpakaian aneh.
 
 Mengulas mengenai budaya itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes  Abd Wahid berkata, orang Islam tidak boleh terpedaya hingga terbabit  dalam perayaan berkait dengan agama lain seperti Halloween kerana adalah  jelas ia satu daripada upacara orang Kristian.
 
 "Jika berkaitan dengan agama lain selain Islam, kita seharusnya  berhati-hati walaupun menyertainya sekadar untuk suka-suka. Apa matlamat  kita meraikannya, sedangkan ia bukan dalam budaya Islam.
 
 "Dalam Islam, ada perkara yang boleh untuk kita raikan, kenapa kita  perlu cari budaya yang berkaitan dengan agama lain seperti menyambut  Halloween.
 
 "Tidak kira hanya suka-suka atau apa juga tujuannya, orang Islam  patut mengelak menyambut perayaan Hallowen kerana ia boleh mendatangkan  syirik," katanya.
 | 
  |  Premis tanpa papan tanda   Posted: 06 Nov 2010 06:52 PM PDT        TAHAN...  antara gay yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti songsang di dua premis.  MELAKA: Rahsia dua buah premis tanpa papan tanda perniagaan di luar  yang menjadi tumpuan lelaki, termasuk penuntut institusi pengajian  tinggi (IPT), di Kampung Pantai dan Jalan Hang Jebat, di sini, diserbu  pihak berkuasa selepas disyaki menawarkan aktiviti songsang, kelmarin.   Serbuan bermula kira-kira jam 9 malam itu dilakukan Bahagian  Pekerja dan Pelajar Antarabangsa (BPPA) Jabatan Ketua Menteri Melaka  dengan kerjasama polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Agama Islam Melaka  (Jaim) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) selepas melakukan  intipan sejak seminggu lalu. Kegiatan dua buah kelab gay  berkenaan terbongkar selepas pihak BPPA menerima aduan awam berhubung  aktiviti mencurigakan di premis terbabit, dipercayai beroperasi sejak  tiga bulan lalu.
   Pengarah BPPA, Shadan Othman berkata, pihaknya sebelum itu menerima  maklumat daripada keluarga pelajar sebuah IPT di negeri ini apabila  mendakwa anak lelakinya berubah perangai hingga pelajarannya turut  merosot, sekali gus menimbulkan kebimbangan. Menurutnya,  keluarga terbabit datang ke negeri ini untuk meninjau masalah anak  lelakinya berusia awal 20-an, termasuk mengintip pergerakannya sebelum  didapati mengunjungi kelab gay terbabit, menyebabkan mereka meminta  bantuan BPPA untuk menanganinya.
 "Berdasarkan aduan, kita  menyerbu kedua-dua kelab gay terbabit secara berasingan dan memeriksa 30  lelaki berusia antara 20-an hingga 50-an sebelum mereka dibebaskan  selepas keterangan diri diambil untuk siasatan lanjut."Pada masa serbuan, kita juga mendapati sepasang lelaki berusia  30-an dan 40-an dalam keadaan bogel melakukan hubungan sejenis di dalam  bilik, dan mereka yang terkejut dengan serbuan kemudian diarah memakai  baju.
 "Berdasarkan maklumat, kedua-dua kelab ini menjadi  tumpuan lelaki, termasuk pelajar IPT, dipercayai untuk melampiaskan  nafsu songsang kerana ketika diserbu, kebanyakan mereka hanya memakai  tuala tetapi ada juga mandi dalam keadaan bogel dan berada dalam sauna  yang terletak di bahagian atas," katanya.Metro Ahad difahamkan, premis berkenaan dibuka setiap hari di mana  bayaran masuk untuk ahli adalah RM15 pada hari biasa manakala RM20 pada  hujung minggu, termasuk cuti umum, sementara bukan ahli perlu membayar  RM18 (hari biasa) dan RM25 pada hujung minggu.
 Shadan  berkata, pihaknya yang mengakui terkejut dengan kewujudan pusat spa  untuk golongan gay berkenaan turut menemui beberapa kondom yang  digunakan di dalam bilik selain barangan lain seperti minyak serta  losyen dipercayai untuk kegunaan aktiviti mereka.
 Menurutnya, beberapa bilik dengan tilam disediakan di premis itu, tetapi  pihaknya gagal mengenal pasti operasi sebenar kelab terbabit kerana  semua lelaki yang diperiksa mendakwa mereka adalah pelanggan yang datang  untuk beristirehat.
 "Kita mendapati sebuah premis mempunyai  lesen perniagaan, manakala sebuah lagi dalam proses memohon tetapi  sudah memulakan operasi. Akibat itu, pihak BPPA meminta MBMB tidak  meluluskannya selain menarik semula lesen berkenaan kerana dikesan  melakukan aktiviti songsang.
 "Malah, dua lelaki yang  didapati melakukan perbuatan luar tabie juga dikenakan tindakan mengikut  Seksyen 58 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Melaka 1991, di  mana sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau enam sebatan atau  denda RM5,000 atau ketiga-tiga sekali.
 "Kita juga meminta  orang ramai tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mendapati  aktiviti mencurigakan supaya pemantauan selain tindakan sewajarnya dapat  diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.
 | 
  |  Gadis domestik antarabangsa   Posted: 06 Nov 2010 06:49 PM PDT                   SEKILAS pandang, imej dan personaliti yang diperdagangkan bintang  jelita, Mizz Nina tidak lari daripada pesona antarabangsa. Malah, pernah  sekali kehadirannya disangka bukan anak tempatan. Namun tatkala si empunya nama sebenar, Shazrina Azman ini disarungkan  baju kurung, solekan klasik lengkap dengan rambut bersanggul kemas,  refleksi kemelayuan padanya terserlah.
      Sampuk gadis metropolitan berusia 30 tahun ini mencelah perbualan  pendandan wajah, Bosco dan pereka busana petang itu, Wanpa di Restoran  Istana Bambu jauh di hujung kota, Mizz Nina tidak henti-henti memuji  sisi Melayunya.
 "Saya memang anak Melayu yang sukakan sambal belacan!" selorohnya.Buang jauh panggilan komersial padanya, melodi nyanyian serta  penampilan yang sering digayakan kerana semuanya memang mencerminkan  minatnya yang terlalu mendalam pada muzik bercorak antarabangsa.Hakikat yang lama tersembunyi, gadis peramah ini kelakar, mesra  dan sangat rendah diri. Masih fasih bercanda dengan bahasa ibundanya,  Mizz Nina akur dengan persepsi kononnya dia 'minah urban'!
 
 Andai  sukar dikikis pandangan skeptikal sebegitu, tiada apa yang boleh  dilakukan. Cuma kata bintang kelahiran Kuala Lumpur ini, usah meletak  label kononnya dia terjerat dengan budaya Barat.
 
 "Bukan baru  semalam saya terusik dengan persepsi ini, sebaliknya sejak awal lagi  saya menyertai kumpulan Teh Tarik Crew, ramai peminat atau mata  sekeliling menganggap kononnya Mizz Nina penuh kebaratan. Tidak lagi  bertanya atau cuba mendekati, pandangan seumpama itu terus dilempar,  sedangkan kebenarannya belum pasti.
 
 "Lihat pada penampilan dan  konsep nyanyian selama ini, tidak saya nafikan pastinya peminat akan  menyangka sebegitu. Namun hakikat sebenar, Mizz Nina gadis Melayu yang  masih penuh dengan nilai budaya asalnya.
 
 "Saya dibesarkan dalam  keluarga Melayu. Cuma apabila ia bersangkut pada soal minat dalam  lapangan nyanyian, saya akui muzik sentuhan antarabangsa lebih dijadikan  pilihan serta rujukan.
 
 "Biasalah penyanyi muda wanita yang  menyanyikan lagu Inggeris memang kurang di Malaysia dan saya pula lahir  daripada sebuah kumpulan yang memperjuangkan muzik hip hop.
 
 "Kemudian  lahir dengan naskhah yang ternyata penuh unsur kebaratan, justeru  pandangan itu terus melekat dan kekal di situ. Namun saya tidak kisah  dan merasa selesa kerana sangkaan itu hanya berpaksi pada kerjaya  semata-mata, bukan pada peribadi diri.
 
 "Mizz Nina memang lancar  berbahasa Inggeris dan gemar memperagakan pakaian yang tampak ranggi  namun di sebalik semua itu, dia masih gadis Melayu yang sayangkan  budayanya.
 
 "Bukan saja gemar masakan Melayu, saya juga suka makan  dengan menggunakan tangan," jelas puteri bongsu kepada Pengerusi  Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim ini.
 
 Lain rasa agaknya  membesar dalam sebuah keluarga mewah yang menjadikan bahasa Inggeris  sebagai amalan harian. Namun peliknya, sepanjang bersembang dengan gadis  yang juga graduan Pengajian Media dan Perhubungan Awam di sebuah  universiti di Australia ini, tidak sekali pun hadir rasa janggal atau  kekok. Sebaliknya, Mizz Nina bijak menyusun kata dalam intonasi yang  rendah diri.
 
 "Tiada apa bezanya membesar dalam keluarga yang  senang kerana keutamaannya masih pada budi pekerti dan nilai positif  yang ada pada seseorang individu itu. Itu yang akan membezakan kita.  Perkara sama juga ditekankan keluarga sejak kecil.
 
 "Justeru, tuah  itu hanya nampak kerana cara hidup yang mungkin senang, namun  hakikatnya budaya dalam proses pembesaran adalah sama, mengikut cara  Melayu dan Islam," katanya.
 
 Tiada angin bertiup kencang, industri  muzik bergegar baru-baru ini apabila nama Mizz Nina dikatakan terbabit  dalam persembahan untuk sebuah konsert yang ditaja syarikat minuman  keras.
 
 Tidak mahu terus menembak, namun ramai pula menjadi  skeptikal kononnya menyifatkan tiada apa yang pelik pada Mizz Nina  dengan konsep persembahan sebegitu.
 
 Lantas, peluang bertentang mata ini, gadis 'menang pakai' ini mencuri ruang menguraikan mana yang terpintal kuat.
 
 "Saya  mengaku ada membuat persembahan seperti didakwa atas undangan pihak  penganjur. Memang konsert itu ditaja sebuah jenama minuman alkohol dan  disertai banyak nama bintang antarabangsa lain.
 
 "Namun kenapa  perlu menjadi sempit dan terus menjatuhkan hukum tanpa melihat  perspektif lainnya. Jika hina sangat seorang bintang tempatan berbangsa  Melayu membabitkan diri dalam sebuah konsep persembahan besar begitu,  kenapa tidak kita haramkan terus siri persembahan itu di negara kita?
 
 "Saya  hadir sebagai penyanyi dan ditemani tiga pembantu yang juga beragama  Islam. Saya ke sana untuk menyanyi dan mencuri seberapa banyak mungkin  pengalaman berguna.
 
 "Peluang berkongsi pentas dengan ramai  penyanyi dunia bukan mudah. Di sebalik jenama penaja, saya hanya meletak  fokus kepada peluang yang diberi.
 
 "Lihat pada imej dan konsep nyanyian, tidak dinafikan ada pihak melempar dakwaan yang memang melangkaui imaginasi sendiri.
 
 "Namun  ingin saya tekankan, saya tidak pernah mengusik minuman itu dan tidak  pernah pula terfikir akan melangkah jauh dari nilai budaya dan agama.
 
 "Gadis Timur seperti saya masih tahu mana yang baik dan mana pula yang haram," akurnya sulit untuk memuaskan hati semua pihak.
 
 Sejurus  nama vokalis kumpulan Hujan, Noh pula terpacul dalam sesi sembang  petang ini, ia meringankan sedikit rasa resah dan rungutan di jelita  ini.
 
 Namun meleret senyuman yang zahir pada wajahnya tidak  bermakna menyembunyikan satu rasa bahagia di dalam jiwanya.  Perlahan-lahan, Mizz Nina memujuk supaya tidak lagi menjadikan Noh  sebagai subjek sinonim padanya.
 
 "Kami berdua hanya kawan rapat  dan hingga kini masih berkawan. Semuanya atas urusan kerja dan  selebihnya kami banyak berkongsi cerita dan bertukar-tukar pandangan  dalam menguatkan empayar kerjaya masing-masing.
 
 "Tidak pernah  saya mengakui akan hubungan istimewa terjalin antara kami, namun banyak  pula pihak meletakkan frasa itu, seolah-olah ia sudah rasmi.
 
 "Noh  hanya teman dan laluan hidup kami masih jauh. Saya punya cita-cita dan  masa depan yang perlu dikejar. Justeru, mustahil soal cinta pula yang  saya ketengahkan. Biar masa menentukan hubungan kami," katanya yang  sibuk mengumpul material baru untuk album solo keduanya selewat-lewatnya  akhir tahun depan.
 
 Lebih lima tahun nama Teh Tarik Crew  terkubur. Hilang entah ke mana meskipun pernah memiliki tiga album,  termasuk sebuah mini album. Tempiasnya, nama Mizz Nina turut tenggelam  sama.
 
 Bagaimanapun, kelibat penyanyi yang juga pemilik syarikat  Mizz Nina & Co ini muncul kembali membawa satu fenomena yang sukar  diendahkan. Album What You Waiting For menjadi pemangkin baru buatnya  untuk terus menyelinap masuk ke pentas komersial tempatan kali keduanya.
 
 Album  14 lagu yang berada di pasaran ini menampilkan bintang Amerika  Syarikat, Colby O'Donis untuk berduet dengannya menerusi single pertama,  What You Waiting For.
 
 Muziknya berbeza, setiap satu elemen yang  menghidupkan melodi kedengaran padat. Tiada rasa longgar dan kurang,  Mizz Nina yakin album yang turut mendapat kerjasama terbitan daripada  Uno dan Aj dari Pop Shuvit, Noh (Hujan), DJ Fuzz selain penerbit  antarabangsa Sakke dari Belanda dan Koolade (Croatia).
 
 Kolaborasi Mizz Nina dengan pencipta lagu pelbagai negara, lantas menyerlahkan nuansa muzik standard antarabangsa.
 
 "Setahun  lamanya saya menyiapkan album ini dan proses rakamannya dilakukan di  Kuala Lumpur dan Los Angeles bagi mendapatkan rasa yang benar-benar  menepati piawaian selera saya selaku penyanyi.
 
 "Saya yakin,  sekarang masa sesuai untuk muncul dengan album solo ini kerana saya  bersedia untuk kembali mewarnai dunia seni suara.
 
 "Setiap lagunya  menceritakan pengalaman kehidupan yang sangat peribadi. Ia refleksi  kisah cinta sesama manusia, cinta sesama manusia dan kuasa wanita  seperti dalam lagu Srikandi bersama Mawar Berduri (Ahli Fiqir),"  katanya.
 | 
  |  Dadah: Aktor kena cekup   Posted: 06 Nov 2010 06:48 PM PDT KUALA LUMPUR: Seorang pelakon sebuah filem yang memenangi anugerah  Festival Filem Malaysia ke-23 baru-baru ini, ditahan polis malam  kelmarin, dipercayai terbabit dengan penyalahgunaan dadah jenis  metafetamin. Pelakon berusia 30 tahun itu ditahan bersama tunangnya yang juga  pelayan pelanggan (GRO) ketika menunggu bekalan dadah di sebuah stesen  minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) di Ampang, di sini.
 Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan  berkata, saringan awal di ibu pejabat polis daerah itu mendapati  kedua-dua mereka positif metafetamin.
 "Ketika ditahan kira-kira  jam 8 malam, kedua-dua mereka menunggu bekalan dadah, dipercayai  daripada bekas kekasih wanita terbabit yang menetap di kawasan  berhampiran. Pelakon itu mengaku mengambil dadah itu sejak sembilan  bulan lalu," katanya, semalam."Kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah  Berbahaya 1952 dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman  terhadapnya," katanya ketika dihubungi semalam.Kerjaya seni artis ini bermula sebagai anggota sebuah kumpulan pemuzik, namun hanya tampil dengan satu album sebelum dibubarkan.
 
 Selain watak utama beberapa drama, dia juga sering tampil sebagai pelakon pembantu di sebuah syarikat perfileman terkemuka.
 | 
  |  Masalah seumur hidup   Posted: 06 Nov 2010 06:47 PM PDT        JANGAN BIARKAN... kemurungan yang tidak diberi rawatan sewajarnya boleh  menyebabkan seseorang bertindak agresif sehingga mencederakan diri  sendiri.  "SUDAH baik, jadi buat apa terus makan ubat? Kalau terus ambil ubat,  nanti ketagihan pula." Ini antara kata-kata yang kerap diterima pakar  psikiatri apabila bertanya mengapa pesakit yang mengalami masalah  kesihatan mental, termasuk kemurungan, menghentikan pengambilan ubat  tanpa berbincang dengan doktor.   Mungkin pesakit dan ahli keluarga tidak sedar, masalah kesihatan  mental adalah masalah sepanjang hayat kerana ia boleh berulang pada  bila-bila masa jika pesakit mengambil keputusan sendiri untuk  memberhentikan rawatan. Seperkara yang perlu difahami,  kemurungan berulang biasanya lebih teruk berbanding episod sebelumnya  dan paling menyedihkan, ada kes berakhir dengan kematian apabila pesakit  membunuh diri.
   Menurut Pakar Psikiatri dan Terapi Kognitif, Universiti Kebangsaan  Malaysia, Prof Maniam Thambu, pandangan negatif dan prejudis masyarakat  terhadap individu yang mengalami masalah berkaitan mental, termasuk  kemurungan, menjadi benteng penghalang yang membuatkan ramai terus  berada dalam derita walaupun rawatan berkesan boleh diperoleh pada  bila-bila masa di kebanyakan hospital dan klinik. Sikap  prejudis ini tidak hanya melanda masyarakat kita, malah penduduk negara  maju seperti Amerika Syarikat masih mengalami masalah sama. Kajian  selama 10 tahun (1996 hingga 2006) dijalankan Universiti Indiana dan  Columbia mendapati, pelbagai kempen kesedaran mengenai penyakit mental  masih tidak mampu mengubah tanggapan negatif masyarakat di sana.
 Malah, perkara ini juga membuatkan golongan berpendidikan tinggi,  termasuk pelajar perubatan, keberatan mendapatkan rawatan kerana bimbang  mereka dianggap kurang keupayaan mengendalikan masalah dan berdepan  tekanan.Hasil kajian penyelidik Universiti Michigan itu juga mendapati,  alasan lain pelajar perubatan tidak mendapatkan rawatan ialah  kebimbangan ia menjejaskan masa depan, terutama untuk menjadi doktor  apabila tamat pengajian kelak, jika masalah mereka diketahui.
 Jika golongan yang mendalami ilmu perubatan juga beranggapan  sedemikian, apatah lagi masyarakat umum? Ini perkara menyedihkan kerana  kemurungan berpanjangan boleh 'melumpuhkan' kehidupan seseorang dan  keluarga, sedangkan ia boleh dirawat dengan berkesan.Menurutnya, ramai terlepas pandang kepentingan penjagaan kesihatan  mental yang boleh diumpamakan sebagai 'ibu' kepada kesihatan  keseluruhan. Jika kesihatan mental terganggu, kesihatan seluruh badan  juga terjejas.
 "Ada orang beranggapan kemurungan disebabkan  seseorang individu itu tidak pandai menangani tekanan. Sebenarnya  kemurungan bukan tanda kelemahan individu, sebaliknya penyakit biologi  yang boleh menjejaskan kesihatan fizikal secara keseluruhan. Kemurungan  juga perlu dibezakan dengan kesedihan atau perubahan emosi yang kerap  berlaku dalam kehidupan seharian.
 "Kesedihan biasa hanya  berlaku sekali sekala dan hilang dalam masa beberapa hari. Bagaimanapun,  jika rasa sedih berlanjutan melebihi dua minggu sehingga menjejaskan  aktiviti harian, segera dapatkan bantuan kerana ini antara tanda  kemurungan.
 "Masalah kemurungan juga boleh menjadi punca  keretakan rumah tangga, hubungan sosial dan hilang pekerjaan kerana  pesakit tidak boleh memberi tumpuan pada tugas. Masalahnya, majikan  mungkin tidak percaya individu itu mengalami masalah kemurungan atau ia  tidak dianggap gangguan kesihatan yang perlu diberi rawatan segera,"  katanya ketika membincangkan masalah Kemurungan di Malaysia — Menderita  Dalam Diam dalam bengkel media anjuran Pfzer Malaysia.
 Yang  membimbangkan ialah, semakin ramai menghadapi masalah kesihatan mental.  Ini termasuk mengalami tekanan berlebihan, kemurungan, sentiasa berasa  was-was dan skizofrenia.
 Secara purata, satu daripada 10  orang di Malaysia mempunyai masalah kesihatan mental dan di seluruh  dunia dianggarkan 450 juta orang mengalami gangguan mental. Daripada  jumlah ini 120 juta dilanda kemurungan manakala 24 juta mengalami  skizofrenia, tetapi kebanyakannya tidak mendapat rawatan sewajarnya.
 Kemurungan tidak berlaku pada orang dewasa saja, malah kanak-kanak  juga boleh mengalaminya. Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006  mendapati daripada 14,000 responden yang mengalami masalah kesihatan  mental, 20 peratus adalah kanak-kanak, manakala 11 peratus pesakit  dewasa.
 Kemurungan yang tidak diberi rawatan sewajarnya  boleh menyebabkan seseorang bertindak agresif sehingga mencederakan diri  sendiri, termasuk mempunyai fikiran untuk membunuh diri. Kajian  menunjukkan lebih ramai wanita cuba membunuh diri tetapi jumlah kematian  (kejayaan) adalah empat kali lebih tinggi di kalangan lelaki.
 Ini kerana lelaki biasanya menggunakan kaedah lebih nekad dan sukar  diselamatkan seperti gantung diri, terjun dari bangunan atau minum  racun. Wanita menggunakan kaedah yang boleh diselamatkan (biasanya hanya  mencederakan diri sendiri) dan kecenderungan mencederakan diri  disifatkan sebagai 'jeritan senyap' meminta tolong dan bukan mereka  benar-benar mahu mati.
 "Boleh dikatakan saban bulan ada saja  kes perlakuan agresif dan ganas membabitkan pesakit yang mengalami  masalah kesihatan mental dilaporkan di akhbar. Keadaan ini membuatkan  orang ramai menganggap pesakit yang ada masalah kesihatan mental adalah  ganas dan berbahaya.
 Anggapan ini tidak betul kerana sikap agresif hanya timbul jika masalah dibiar berlarutan dan tidak mendapatkan rawatan.
 Tanda-tanda awal kemurungan yang perlu diperhatikan
 
 Sebelum sampai ke perlakuan agresif atau timbul keinginan membunuh diri, ada beberapa tanda fizikal akibat kemurungan iaitu:
 Sakit atau pening kepala — Ini antara tanda paling biasa dan kerap  dialami kebanyakan orang. Jika sebelum ini anda mengalami migrain,  kemurungan membuatkan sakit kepala bertambah teruk
 Sakit belakang (pinggang) — Sakit pinggang juga bertambah buruk apabila anda mengalami kemurungan
 Sakit otot dan sendi — Ia juga antara kesan tekanan yang tidak ditangani dengan baik dan menjadi lebih teruk jika anda murung
 Sakit dada — Biasanya orang cepat mengambil tindakan jika mengalami  sakit dada yang sering dikaitkan dengan masalah jantung. Bagaimanapun,  kemurungan juga boleh menyebabkan sakit dada
 Masalah pencernaan — Anda mungkin berasa mual, mengalami cirit-birit atau sembelit
 Cepat berasa penat dan tidak bertenaga — Tidak kira berapa lama anda  tidur, anda masih berasa penat dan apabila terjaga daripada tidur pada  waktu pagi, terpaksa melawan perasaan untuk bangun dari katil
 Sukar tidur malam — Ini juga antara tanda biasa bagi individu murung.  Anda mungkin kerap terjaga malam dan sukar untuk kembali melelapkan  mata. Akibatnya anda berasa letih apabila bangun keesokan hari dan ia  menyukarkan anda untuk menumpukan perhatian ketika memandu atau kerja.  Ada juga individu murung yang tidur lebih lama daripada biasa
 Perubahan selera makan — sama ada tidak berselera atau terlebih selera.  Jika anda hilang selera makan, berat badan turun. Sebaliknya ada juga  individu yang 'mengidam' untuk makan pelbagai jenis makanan yang  dirasakan boleh mententeramkan dan menenangkan hatinya yang akhirnya  membuatkan berat badan bertambah.
  Penilaian diri
 
 Oleh  kerana ada orang tidak sedar mereka mengalami kemurungan, senarai  soalan di bawah mungkin dapat membantu anda mengenal pasti masalah yang  melanda. Pasangan juga boleh membantu dengan memerhatikan keadaan suami  atau isteri jika mereka turut mengalami gejala kemurungan.
 Antara soalan yang boleh anda tanya pada diri sendiri ialah:
 Adakah saya tidur dengan baik di waktu malam?
 Adakah sejak akhir-akhir ini saya cepat marah?
 Adakah saya bangun pagi tanpa semangat?
 Adakah saya sentiasa berasa penat?
 Adakah saya menyalahguna ubat atau dadah?
 Adakah saya mengabaikan aktiviti yang pernah saya anggap penting?
 Berapa kerap saya berasa seronok dan tidak hanya berasa 'okay'?
 Adakah saya mengelak perjumpaan sosial atau keluar rumah?
 Bagaimana dengan berat badan, keinginan seks, haid dan kelawasan usus?  Adakah saya berasa putus asa, kecewa, tiada nilai diri dan menganggap mempunyai masa depan gelap?
 Adakah saya merasa hidup ini tidak bermakna?
   RawatanMenurut Dr Maniam, individu yang mengalami kemurungan tampak seperti  individu biasa, tetapi mereka sebenarnya menderita dalam diam.
 Ada individu tidak tidak nampak jalan keluar untuk mengatasi  kemurungan dan akibatnya masalah ini menjejaskan hubungan mereka dengan  isteri dan anak.
 Kemurungan boleh dirawat dengan pengambilan  ubat anti kemurungan, psikoterapi atau gabungan kedua-duanya. Lebih 80  peratus pesakit dapat dirawat dengan berkesan dan kembali bekerja serta  menikmati kehidupan bahagia. Yang penting ialah pesakit mendapatkan  rawatan seawal mungkin.
 "Antara punca kelewatan atau  langsung tidak mendapatkan rawatan ialah ramai tidak menganggap  kemurungan sebagai penyakit. Pesakit bimbang dilabel sebagai orang gila  dan masih ramai percaya kemurungan ini disebabkan terkena sihir atau  buatan orang.
 "Di kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan,  ada yang menghentikan sendiri pengambilan ubat apabila dirasakan sembuh  kerana bimbang ubat itu menyebabkan ketagihan. Dalam soal ini perlu  ditegaskan bahawa ubat tidak menyebabkan ketagihan kerana dos diberi  adalah rendah; sesuai dengan keperluan dan keadaan setiap pesakit,"  katanya.
 Bagi yang bekerja, mereka bimbang hilang pekerjaan  kerana majikan tidak mahu lagi menggajikan mereka. Bahkan ada yang takut  syarikat insurans tidak mahu memberi perlindungan insurans jika tahu  mereka ada masalah itu.
 Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk  Rosnah Shirlin Abdul Rashid juga baru-baru ini mengakui, syarikat  insurans di negara ini mendiskriminasi pesakit dengan tidak melindungi  masalah kesihatan mental dalam polisi insurans perubatan, sedangkan di  luar negara perlindungan itu sudah lama diberikan.
 Di  seluruh dunia lebih ramai wanita mengalami masalah kemurungan berbanding  lelaki kerana perubahan hormon seperti kedatangan haid, kehamilan,  bersalin dan menopaus. Wanita juga didapati lebih tertekan kerana  bertanggungjawab dalam penjagaan anak dan menguruskan kerja rumah.
 Dulu kemurungan dilabel sebagai penyakit wanita tetapi kini semakin  ramai lelaki didapati dilanda masalah ini. Kajian di Amerika Syarikat  mendapati lebih enam juta lelaki di negara berkenaan mengalami  sekurang-kurangnya satu episod kemurungan teruk setiap tahun.
 Sebenarnya kemurungan melanda lelaki dan wanita, malah gejala dialami  juga sama, cuma lelaki menzahirkan masalah mereka dengan cara berbeza.  Bagi wanita, kemurungan menjadikan mereka kerap berasa sedih manakala  bagi lelaki pula ia menyebabkan mereka bengkeng (bengis), cepat marah  dan bersikap agresif.
 Pensyarah Psikiatri dan Farmakologi,  Universiti Toronto, Prof Madya Dr Roger Mclntyre berkata, Laporan  Kesihatan Dunia 2001 mengenai kesihatan mental menganggarkan menjelang  2020, penyakit kemurungan teruk akan menduduki tempat kedua selepas  penyakit jantung yang menyebabkan punca utama ketidakupayaan di seluruh  dunia dalam hayat kehidupan seseorang.
 Katanya, pada 2000,  kemurungan teruk berada pada tangga keempat dalam senarai punca utama  ketidakupayaan di seluruh dunia dalam hayat seseorang selepas pernafasan  rendah, perinatal serta HIV/Aids.
 "Ubat tahan sakit tidak  dapat mengatasi kemurungan. Begitu juga ujian darah, ujian sinar-X atau  imbasan CT tidak dapat mengesan penyakit itu. Kajian menunjukkan 48  peratus pesakit yang mengalami masalah kemurungan teruk tidak  mendapatkan rawatan manakala 58 peratus pesakit yang dirawat menerima  rawatan tidak teratur.
 "Kemurungan adalah penyakit kronik.  Ia penyakit yang sering berulang dan 85 peratus daripada mereka yang  mempunyai pengalaman kemurungan itu kembali murung selepas 15 tahun  pulih. Ini sebabnya pesakit perlu mengambil ubat seperti diarahkan dan  hanya berhenti selepas berbincang dengan doktor," katanya.
 | 
  |  Lady Gaga, ibu kongsi cita rasa   Posted: 06 Nov 2010 06:43 PM PDT   GAGA (kiri) dan Cynthia bagai berkongsi  cita rasa.  LONDON: Lady Gaga dan ibunya, Cynthia Germanotta bagaikan berkongsi  cita rasa dalam berfesyen ketika ditemui  di London, kelmarin. Penyanyi berusia 24 tahun itu dilihat meninggalkan hotel dengan kot  panjang dipadan dengan kaca mata ala 70-an yang menjadi kegemaran  penyanyi Elton John.  Cynthia yang menemani anaknya untuk konsert  jelajah Eropah pula bergaya dengan jaket panjang dan kaca mata hitam  besar ketika keluar dari Studio di Abbey Road, London selepas meluangkan  masa sepanjang hari  bersama penyanyi itu. Walaupun  penampilan Cynthia tidak begitu menonjol berbanding anaknya, tetapi   wujud persamaan antara kedua-dua beranak itu kerana mereka juga   mempunyai gaya rambut yang hampir sama.
 Lady Gaga atau nama sebenarnya Stefani Joanne Germanotta berada di  London untuk merakamkan album keduanya 'Born This Way' sebelum membuat   persembahan untuk  konsert Monster Ballnya di  Eropah.  Dia dijangka   membuat persembahan di Arena Zagreb di Croatia sebelum ke Hungary,  Sweden dan Switzerland. "Rakaman album kedua ini hampir siap  selepas berbulan-bulan lamanya saya tekun bekerja. Sesetengah artis  memerlukan hingga bertahun-tahun untuk menyiapkan satu-satu album tetapi  saya tidak kerana saya menulis lagu setiap hari," kata Gaga.
 Sementara  itu, Gaga turut merakamkan lagu duet bersama Elton  bertajuk 'Hello  Hello' yang akan dimuatkan dalam filem baru terbitan Disney berjudul   'Gnomeo and Juliet'.  Dia yang lebih gemar meluangkan masa di London   berbanding kota lain di Eropah  kerap tampil dengan fesyen pakaian yang  luar biasa.   Pada awal minggu ini, Gaga dilihat menghadiri kelas yoga  Bikram dengan but besar bertumit tinggi hingga  menghadapi kesukaran  untuk berjalan dan terpaksa dibantu pengawal peribadinya. | 
  |  Maya tolak persepsi 'Janda panas'   Posted: 06 Nov 2010 06:41 PM PDT    
 "HARAP-HARAPLAH jangan sampai digelar 'janda panas'. Rasanya apa yang  diperkatakan tentang saya ketika ini sudah sampai satu kemuncak yang  maksimum."  Itulah ekspresi jelitawan popular, Maya Karin apabila seorang lagi  lelaki popular, Yusry Abdul Halim dikaitkan dengannya selepas pelakon  Remy Ishak. Empat bulan menyandang status janda, Maya menyedari ada suatu kelainan yang berlaku terhadapnya.  Sesuatu yang pelik  tetapi tidak ketara berbanding  dua fasa hidupnya  sebelum ini: Ketika masih bujang dan ketika  menjadi isteri orang. "Saya cuma keluar makan malam dan menonton wayang, tiba-tiba ia  menjadi berita yang sensasi. Saya masih pelik sebabnya bertahun-tahun  sebelum ini tiada kisah sebegitu.  "Selepas cerai sahaja, tiba-tiba mata orang luar menjadi semakin  tajam. Itu yang terdetik dalam fikiran, rasa risau pun ada juga," Maya  berdesis seraya tergelak kecil. Melalui matanya, terbit satu sinar.  Mahu tidak mahu, 'si janda  panas' itu harus sedar bahawa terjunjungnya status itu di atas batu  jemala, ia seperti magnet yang menarik segala perca dan puin sensasi  untuk datang 'berumah dan berkongsi makan' di tepi kainnya. Ia melarutkan bekas isteri Steven David Shorthose itu dengan sebuah  persoalan tentang harga dan permintaan kewanitaannya ketika ini.  Pada mulanya  Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 itu sedikit kabur. Penulis permudahkan.  Tersedarkah dia terhadap perbezaan rasa yang menyelinap, atau situasi  kendirinya sekadar biasa, tiada ubah seperti hari-hari semalam yang  telah mencorakkan warna kematangan ke atas namanya.  Maya ialah seorang wanita yang menjengah satu lagi fasa kematangan,  daripada era solo kepada dunia perkahwinan dan sekarang sedang mendepani  zaman menjanda.  Adakah keperluan dan permintaannya juga berubah mengikut fasa yang dilalui? "Sejak dari dulu lagi, saya cuba letakkan diri pada tahap yang dihormati, dan  saya masih melakukan perkara yang sama.  "Dalam masa yang sama, pada usia dan status saya ketika ini, saya  tetap ingin menghadapi hidup dengan jiwa yang lincah, muda dan tidak  gentar dengan cabaran," ujarnya ringkas. Maya baru Berbaki tempoh tidak sampai dua bulan sebelum menghabiskan tahun 2010  yang mencatat sejarah peribadi kepada pemilik nama sebenarnya Maya  Karin Roelcke, wanita berdarah kacukan Jerman dan Melayu itu menunggu  halaman baru untuk dilatari. Lembaran yang dimaksudkan itu tidaklah sehingga mempersembahkan Maya versi baru. "Apa yang baru itu sekadar kejiwaan,  ia lebih bersifat kerohanian.  Dari segi luaran, fizikalnya masih sama, tidak akan ada perubahan yang  ketara," ulasnya.  Sambil membayangkan Natrah, watak miliknya di pentas teater Natrah  yang sekali lagi kembali ke Istana Budaya (IB) pada 25 November bakal  divariasikan dengan sentuhan yang lebih berilmu, Maya berkata:  "Saya harapkan penerimaan yang sama, bahkan lebih baik berbanding pementasan tahun lepas.  "Pengalaman dan skil berlakon teater memberikan saya  persediaan  mental dan fizikal untuk Natrah. Lagipun, rakaman teater itu sudah  disiarkan di kaca televisyen. Jadi, saya harap demam Natrah akan kembali  sekali lagi!" Penulis mengusik Maya dengan sepotong ayat, bukan demam Natrah  sahaja, tetapi 'demam asmara' bersama Rosli Dhobi juga akan kembali  menghangatkan suasana nanti. Pemegang karakter Natrah itu mengangguk dan tersenyum. Anak matanya bersinar. Dia tidak jengkel atau sinis diusik begitu. "Kita sama-sama tengoklah nanti. Kebelakangan ini, kami jarang  berjumpa, tetapi bila sudah ada projek yang sama begini, setiap hari  kami akan bertemu.   MAYA KARIN masih seorang selebriti  yang 'mahal' di mata kebanyakan orang. Bagaimana dan apa yang dilakukan,  formulanya dia  hanya berpegang pada prinsip menjaga kehormatan diri  sebagai figura awam. Itu asas yang paling kukuh.  
 "Semuanya atas dasar kerja dan harap-harap kerja kami itu akan  disukai penonton," katanya sambil tidak menafikan ada kemesraan sebagai  sahabat bersama Remy yang sebumbung pengurusan dengannya di Satu  Entertainment Sdn. Bhd. Remy melakonkan watak Rosli Dhobi dalam teater  Natrah. Berbalik kepada termometer yang memanaskan namanya akhir-akhir ini,  kontrak Maya sebagai pengacara Nona untuk musim 2011 tidak disambung. Ia  sekali gus  membayangkan kegagalannya yang dikatakan punca kejatuhan  rating program popular TV3 itu. Selepas  52 episod mengendalikan Nona, Maya tidak berkecil hati atas rungutan yang diterima.  Maya sendiri realistik.  Ketika Nona dikatakan tidak serasi dengan Maya, bekas pengacara  program Ratu Sehari itu sendiri tidak seratus-peratus likat bersama  aliran Nona. "Saya akui tidak seratus-peratus serasi dengan Nona. Ia sebuah  program yang ada sejarah yang gemilang, ada banyak ekspektasi orang  terhadap Nona, tidak seperti Ratu Sehari atau Beauty Secrets From The  East... itu program saya. "Konsep dan jiwa Nona sangat 'Melayu', positifnya saya dapat belajar  budaya dan jiwa Melayu yang tulen menerusi Nona," katanya tanpa sesal  atau terkilan dengan perlucutan tugasan itu kepada pengacara lain untuk  musim 2011. Untuk bergelar pengacara versatil, dia sedar pelbagai spektrum  pengacaraan harus dilalui sama ada program berbahasa Inggeris, berbentuk  muzikal, kewanitaan atau kecantikan. "Saya tidak boleh kekal hanya dengan satu bentuk pengacaraan. Secara  peribadi, saya sudah mengesan risiko sejak mula menerima kerja 'besar'  bersama Nona,"  luahnya. Tidak terkesan emosi yang dalam terhadap tugasan  yang harus dilepas,  wanita berusia 31 tahun itu yakin peminat dan masyarakat umum  bijak  membuat justifikasi terhadap siapa dan mengapa mereka meminati mana-mana  selebriti. Contoh paling hampir ialah pencalonannya bersama Vanidah Imran,  Fazura, Nora Danish, Scha Al-Yahya dan Mizz Nina dalam kategori Hot  Chick Award dalam Shout! Award 2010. Ia  membuktikan wanita matang  diperlukan dalam industri seni. | 
  |  Penjejak alam ghaib   Posted: 06 Nov 2010 06:41 PM PDT    
 JAM sudah menunjukkan pukul 11.45 malam. Rahmat Mokhtar, 23, tenang  meranduk kepekatan malam menuju ke satu kawasan semak dan terpencil di  Sungai Buloh, Selangor. Pada malam itu, kru Jurnal diberi kesempatan untuk melihat sendiri  bagaimana Rahmat dan rakan-rakannya mengesan aktiviti paranormal atau  lebih tepat, memburu hantu.  Walaupun berpengalaman pergi ke lokasi-lokasi 'keras' sebelum ini, ia  tidak dapat menyembunyikan perasaan gemuruh kami tatkala melangkah ke  wilayah berbukit yang didiami ratusan jirat yang tersusun rapat itu. Menurut Rahmat, jirat tersebut dibina khas untuk menempatkan  mangsa-mangsa kaum Cina yang terkorban dalam tragedi berdarah 13 Mei  1969.  "Lebih kurang ada 100 kubur di sini, termasuk satu kubur milik orang  Melayu," ujar Rahmat yang mengepalai aktiviti pada malam itu.  Mengenali Rahmat melalui blognya, vampmalaysia.blogspott.com, ada sesuatu yang menarik tentang pemuda ini.  Minatnya yang mendalam dalam bidang kajian paranormal telah membawanya hingga ke Itali.  Malah, graduan Kajian Hantu dan Parasikotik dari sebuah institusi  pengajian paranormal di Itali itu juga pernah berkunjung ke Penjara  Pulau Venice, Itali untuk merungkai kematian misteri 400 banduan di  penjara berkenaan. Bagi Rahmat dan dua rakannya, Mohd. Nasir Mohd. Ruhane, 29, dan Mohd.  Izwan Shah, 24, daripada Virtual Activity Paranormal Malaysia (Vamp  Malaysia), menjejak hantu bukan perkara asing.  Malah, ia dilakukan hampir setiap bulan di beberapa lokasi berbeza. Ditubuhkan pada tahun 2007, Vamp kini menjadi komuniti pengesan aktiviti paranormal yang aktif di Lembah Klang. Malah, ia turut memberi peluang kepada orang awam untuk mencuba pengalaman mencari hantu secara percuma. "Setakat ini, apabila kami buat lawatan berhantu ini, Alhamdulillah, belum ada yang pernah disampuk teruk.  "Apa yang penting, tetapkan niat untuk belajar dan jaga perbuatan  serta percakapan sepanjang berada di sini," ujar Izwan seperti tahu  perasaan gusar yang bersarang dalam hati kami. Kos     
 Malam itu kami turut ditemani oleh Arwin John, 20, pengasas Malaysian  Paranormal Research yang aktif membuat kajian mengenai aktiviti  paranoia di sekitar negeri Perak. Langkah yang tadi diatur perlahan kini mula rancak apabila alat  perakam bunyi yang berada di tangan Arwin mengeluarkan bunyi bising,  yang pastinya ia cukup kuat dan berdesibel tinggi.  Lantas, lampu suluh, kamera perakam video, kamera refleks kanta  tunggal (SLR) dan medan frekuensi elektromagnet (EMF) yang berada di  tangan segera dihalakan ke kawasan yang dirasakan terdapat kewujudan  aktiviti paranormal.  Kamera rakaman video yang sedia terpasang diletakkan di atas tripod  manakala jari tidak henti mengetik kamera yang tersangkut di leher  dengan harapan mereka dapat merakamkan imej-imej aneh.  Sementara itu, Arwin tidak lepas daripada alat perakam suara dan palam fon telinga yang melekap di telinganya.  "Alat ini boleh merakam bunyi yang tidak mampu ditangkap oleh telinga  manusia sekali gus berupaya menyerap bunyi-bunyi aneh dan pelik dengan  jelas," kata Arwin.  Arwin memberitahu, peralatan asas yang perlu ada untuk mengesan hantu  ialah kamera kompak digital, EMF, termometer infra merah (IR), kamera  video IR dan perakam suara digital. Dia sendiri memiliki empat kamera video IR, dua pengesan EMF, sebuah  termometer IR, empat perakam suara dan dua set pengesan pergerakan yang  kesemuanya bernilai kira-kira RM70,000.  Ditebak soalan mengapa beliau sanggup melabur untuk hantu, katanya:  "Menjejaki hantu membawa saya ke kawasan yang terpencil dan jauh  daripada orang. Sedikit sebanyak ia memberikan saya ketenangan.  "Lebih lima tahun mengkaji dan mengenali mereka, saya juga semakin mengerti tentang kehidupan selepas mati."  Arwin memiliki sijil yang disahkan oleh Persatuan Pemburu Hantu Antarabangsa di Amerika Syarikat. Sambil menunggu, Rahmat sempat bercerita kepada kami mengenai  kejadian aneh yang pernah berlaku ketika beliau dan rakannya membawa  beberapa peminat aktiviti paranormal ke jirat berkenaan. Puntianak  SESETENGAH  bayangan atau jelmaan  entiti tidak mampu dilihat oleh mata kasar namun kebanyakannya   boleh  dikesan menerusi rakaman video atau gambar.  
 "Setiap bulan, kami akan ke kawasan yang aktif dengan aktiviti paranormal.  "Selain di sini, kami juga biasa membawa mereka ke jirat Cina  terbesar di Seputeh, apartmen lama di Pandan dan bekas tapak Hospital  Lady Templer di Cheras.  "Jirat ini adalah antara lokasi yang sering kami kunjungi. Jika tidak  ada lawatan berkumpulan, saya dan Nasir biasanya akan datang berdua dan  duduk di sini sehingga pagi.  "Semasa kami bawa satu kumpulan peminat aktiviti paranormal beberapa bulan lepas, kehadiran kami mungkin tidak disenangi.  "Kami lihat seperti ada pokok balak yang mahu tumbang di sini, berhampiran dengan kawasan kami berkumpul.  "Pokok itu sangat tinggi, kira-kira 14 kaki dan bila ia tumbang, pasti gegarannya kuat dan bunyinya dahsyat, bukan?  "Namun, selang beberapa minit, apabila kami pergi ke kawasan yang  kami lihat pokok itu rebah, kami langsung tidak berjumpa sebarang  kesan," cerita Rahmat yang mendakwa bapanya pernah berkahwin dengan  puteri bunian.  "Secara fizikalnya kami tidak nampak dengan jelas, tapi daripada  bentuknya, mungkin itu yang dipanggil hantu galah," celah Izwan. Berkongsi pengalaman bersama Izwan pula, beliau pernah terserempak  dengan kehadiran entiti paranormal di kawasan perkuburan berkenaan.  "Di laluan masuk ke jirat tadi, saya pernah terserempak dengan lembaga putih yang terbang laju dari arah jirat ini.  "Pernah juga terjadi, ketika lawatan berkumpulan, kami meninggalkan  seorang gadis di kawasan jirat ini tetapi dipantau dari jarak dekat.  "Tidak sampai 20 minit, dia sudah menjerit minta tolong. Mukanya pucat dan jelas dia ketakutan.  "Menurutnya, ketika duduk di situ, dia terasa seperti ada orang yang lalu-lalang di sekelilingnya.  "Dia menjadi lebih takut apabila terasa disentuh dari belakang sedangkan dia cuma berseorangan.  "Daripada rakaman video, memang benar ada bayangan putih yang  menghampirinya," jelas Izwan yang terdorong untuk mengesan aktiviti  paranormal selepas sering membantu datuknya mengubat orang ketika usia  remaja. Anggota paling senior dalam kumpulan itu, Nasir juga tidak kurang pengalamannya berdepan dengan kejadian misteri.  "Komuniti penjejak paranormal seperti Vamp Malaysia dan Malaysian  Paranormal Research bukan sahaja menjejaki aktiviti paranormal, bahkan  kami juga mengkaji tentang alam.  Curi tenaga "Kami juga sering membincangkan tentang pembangunan, pembukaan tempat  baru dan pemanasan global serta kesannya kepada makhluk-makhluk ini. "Tidak mustahil gangguan itu berlaku disebabkan kawasan mereka diceroboh dan mereka perlu mencari penempatan baru.  "Paling jelas gangguan yang sering dialami oleh pelajar sekolah di  beberapa kawasan yang memang menjadi tempat tinggal mereka sebelum ini.  "Selain itu, kita juga pernah dipanggil untuk mengesan dan membantu  menyelesaikan beberapa masalah berkaitan gangguan makhluk ghaib.    KAMERA perakam video  dipasang di sekitar kawasan jirat untuk mengesan   kehadiran entiti paranormal di lokasi berkenaan.  
 "Namun, itu semuanya bergantung kepada keizinan Allah," ujar Nasir.  Tidak bercakap kosong atau yakin dengan deria keenam semata-mata,  kumpulan penjejak aktiviti paranormal itu mempunyai penjelasan dari  sudut agama dan sains. "Melalui kajian dan pengalaman, kehadiran aktiviti paranormal di  satu-satu kawasan boleh dinilai melalui alat pengesan yang digunakan.  "EFM akan menunjukkan signal amaran berwarna merah sekiranya entiti itu hampir dengan kita. "Rasionalnya, entiti paranormal mempunyai medan elektromagnet yang  kuat malah ia juga terkenal disebabkan sifatnya yang menyerap tenaga,  tidak kira daripada manusia atau alatan yang kami bawa.  "Contohnya seperti malam ini, bateri kamera yang penuh hampir habis,  walhal tidak sampai 100 keping gambar yang dirakam. Pada keadaan biasa,  ia mampu bertahan sehingga 1,000 keping gambar.  "Para pengkaji juga pernah meletakkan selonggok bateri bercas penuh  di kawasan yang aktif dan membiarkannya semalam bersama kamera video dan  meter penyukat tenaga.  "Keesokannya, bateri itu sudah kosong dan daripada rakaman video,  jarum meter menunjukkan pergerakan ke kanan berkali-kali menandakan ada  sesuatu yang menyerap tenaga daripada bateri tersebut," jelas Nasir. | 
  |  Kenduri kahwin semakin mahal   Posted: 06 Nov 2010 06:39 PM PDT  ANGKASAWAN Negara, Datuk Dr. Sheikh  Muszaphar Shukor dan Dr. Halina Mohd. Yunos melangsungkan perkahwinan  mereka pada 10.10.2010. Majlis perkahwinan mesti diadakan mengikut  kemampuan pasangan.   
 CUTI penggal persekolahan akan bermula tidak lama lagi. Lazimnya,  pada musim ini ramai pasangan memilih untuk melangsungkan majlis  perkahwinan.   Bagi yang memilih untuk meraikan hari bahagia di bandar, para tetamu  dijamu dengan keindahan hiasan kanopi dan pelamin yang diterapkan elemen  moden dan eksklusif, lebih-lebih lagi jika ia disulami dengan karangan  bunga segar yang menaikkan lagi seri majlis.  Di kampung pula, semangat gotong-royong atau rewang yang masih  menebal pastinya menyuntik kemeriahan  pada majlis perkahwinan tersebut.   Begitupun,  harga sebuah perkahwinan bermula daripada majlis  pertunangan hingga ke majlis persandingan  menelan belanja yang besar.  Bayangkan, untuk persiapan pertunangan sahaja anggaran peruntukan  yang diperlukan sekitar RM4,000. Untuk  majlis perkahwinan, tidak  mustahil  kosnya lebih daripada RM20,000. Kos kenduri kahwin yang semakin tinggi  sering menjadi punca  banyak  pasangan  menangguhkan perkahwinan hingga usia lewat 30-an demi  mengumpul wang.  Namun, bagi yang ingin bergelar suami isteri pada usia ideal, konsep  'kahwin dulu, bayar kemudian' yang ditawarkan menerusi pinjaman peribadi  oleh institusi-institusi kewangan menjadi pilihan.   Menurut pendapat di beberapa laman sembang berkaitan perkahwinan,  lebih 90 peratus pinjaman peribadi di negara ini digunakan untuk  melangsungkan perkahwinan.  Berkongsi pendapat mengenai isu itu bersama Pengarah Urusan CT  Catering, Siti Fathimah Mohd. Akhir, beliau berkata, untuk mengelak  majlis perkahwinan menjadi kelam-kabut,  perancangan rapi sangat  diperlukan.   "Semua bakal pengantin mahukan majlis yang sempurna dan kalau boleh,  mereka tidak mahu kalah dengan majlis-majlis lain yang pernah diadakan  di kawasan kejiranan mereka. "Namun, tidak salah jika bersikap bersederhana dan berbelanja mengikut kemampuan.  "Selalu juga saya berdepan dengan pelanggan yang mahukan pakej  perkahwinan yang  meriah tapi takut  untuk mengeluarkan belanja yang  besar.  "Begitupun, ramai juga yang faham dan tidak mendesak kami supaya menurunkan harga.  "Kadang-kadang  saya terfikir mengapa ada orang  inginkan majlis  tetapi akhirnya  memeningkan kepala sendiri?  "Bayangkan, sewa kanopi dan hiasan dekorasi sahaja  mencecah puluhan  ribu ringgit, itu tidak termasuk jamuan, pelamin dan cenderahati tetamu.  "Tidakkah itu dianggap sebagai berlebih-lebih?" ujar Siti Fathimah  yang berpengalaman mengendalikan perniagaan katering sejak tahun 1994.  Tidak menolak rezeki yang datang, namun Siti Fathimah lebih suka jika perancangan teliti secara bersederhana.   "Kalau ikutkan, saya sendiri tidak sampai  hati hendak meletak harga  yang tinggi, tetapi jika harganya terlalu rendah, payah pula untuk kita  realisasikan impian raja sehari itu," katanya kepada Jurnal. Rewang   PERKHIDMATAN katering dan layan diri mula menjadi budaya perkahwinan  di kampung.  
  Beliau berpendapat pada masa ini trend menggunakan khidmat katering  turut berlaku  di tanah rancangan Felda dan  kampung-kampung berbanding   amalan gotong-royong.   "Padahal kos jamuan dan  kanopi akan lebih murah jika dibuat secara  gotong-royong," jelas Siti Fathimah yang menawarkan harga  serendah RM15  sekepala untuk jamuan majlis perkahwinan.       Pengasas Kampung Pengantin, Fatain Mohd. Ali pula berpendapat  langkah  mengadakan majlis di rumah menelan kos yang lebih tinggi  berbanding di dewan.  "Jika majlis dilakukan di rumah, pastinya tuan rumah akan bercadang  untuk membaiki rumah, mengecat, persiapan kamar pengantin, langsir baru  dan sebagainya.  "Untuk majlis pula, pastinya kanopi lengkap perlu disewa untuk persiapan jamuan.  "Jika di dewan, banyak kos yang boleh dipotong dan digunakan untuk keperluan lain," ujarnya.  Kampung Pengantin yang terletak di Jalan Genting-Klang, Kuala Lumpur   menawarkan bukan sahaja khidmat katering malah menyediakan lokasi untuk  mengadakan majlis perkahwinan.   Dengan harga serendah RM35 sekepala, impian perkahwinan dalam taman boleh direalisasikan di Kampung Pengantin.   Boleh menampung sehingga 1,500 tetamu pada satu masa, ia sekali gus  menjadi alternatif baru bagi pasangan yang ingin melangsungkan  perkahwinan, terutama di bandar. | 
  |  Kini giliran David dan Idham ‘selar’ Puad Onah?   Posted: 06 Nov 2010 06:37 PM PDT                    Sebelum ini, penerbit Grand Briliannce Sdn. Bhd,  (GBSB) Ahmad Puad Onah, beria-ia mempertikaikan pelantikan David Teo dan  Ahmad Idham sebagai Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia  (Finas).  Malah siap menghantar memorandum pembantahan tersebut kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.   Beliau yang mengetuai persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM)  ketika itu, turut mendakwa David dan Idham menggunakan kuasa yang ada  untuk kepentingan diri sendiri.  Belum pun selesai isu itu, tiba-tiba sahaja,  Puad Onah, menganggotai Finas dengan menerima jawatan sebagai Timbalan Pengerusi.  Meskipun ia dilihat  bercanggah dengan prinsipnya sebelum ini,  bagi Puad pelantikannya itu diputuskan oleh Menteri Penerangan  Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.   Jelas Puad, tidak timbul soal kepentingan kerana jawatannya  sebagai presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) yang  meletakkannya sebagai ahli lembaga Finas.  Bagi Idham, perkara itu agak kelakar memandangkan Puad sebelum  ini beria-ia membantah pelantikannya dalam Finas. Malah turut  mempertikaikan kredibiliti Puad untuk menggalas tanggungjawab di finas.  Sementara itu, David Teo, turut merasa terpukul dengan berita  itu dan kini sedang berkira-kira untuk menyaman Puad berdasarkan  kenyataan dan tuduhan yang dilemparkan sebelum ini. | 
  |  Alor Setar masih dilanda banjir   Posted: 06 Nov 2010 06:37 PM PDT  TUANKU ABDUL HALIM bertanya khabar kepada salah seorang mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Alor Setar semalam.  
 ALOR SETAR –  Keadaan banjir yang melanda  Kedah sejak Isnin lalu   menunjukkan tanda-tanda reda semalam apabila air yang menenggelamkan  beberapa daerah di negeri itu mula surut dengan jumlah mangsa di pusat  pemindahan menurun kepada 33,121 berbanding 39,785 kelmarin.  Bagaimanapun, keadaan di daerah Kota Setar  tidak berubah.  Hampir 80 peratus pusat bandar raya ini terus digenangi air dengan  beberapa batang jalan ditutup termasuk Jalan Stadium, Jalan Sultan  Badlishah, Jalan Teluk Wan Jah dan Lebuh Raya Darulaman.  Malah, bilangan mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan  bagi daerah Kota Setar mencacat peningkatan kepada 19,978 orang  berbanding 16,376 kelmarin.  Keadaan di daerah-daerah lain pula semakin pulih. Di daerah Padang  Terap, seramai  3,993 mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah  masing-masing.  Di Kubang Pasu pula hanya seramai 11,488 mangsa masih berada di  pusat pemindahan berbanding 21,111 kelmarin diikuti Pokok Sena (1,413)   dan Pendang (242).  Jurucakap bilik gerakan banjir Majlis Keselamatan Negara  memberitahu, setakat ini sebanyak 85 pusat penempatan mangsa banjir  masih dibuka.  Sementara itu, keadaan banjir di Perlis  semakin baik  dengan mangsa  yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan kepada 9,595 orang  berbanding 11,965 orang petang kelmarin. | 
  |  9 tahun sebelum daftar haji kedua   Posted: 06 Nov 2010 06:36 PM PDT MARANG - Jemaah haji yang mendaftar untuk kali kedua selepas baru  pulang daripada menunaikan rukun Islam itu kini perlu menunggu sembilan  tahun lagi sebelum nama mereka tersenarai semula. Ini kerana Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan menyaring jemaah  yang telah mengerjakan haji dalam tempoh sembilan tahun bagi memberi  peluang kepada jemaah baru. "Sistem ini dibuat bagi membolehkan bakal haji yang belum menunaikan  haji mendapat kuota menunaikan rukun Islam kelima itu untuk kali  pertama," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr.  Mashitah Ibrahim. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Juara Rakyat  peringkat Parlimen Marang yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa  Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib  Mohamad di Institut Kemahiran Belia Negara Wakaf Tapai di sini semalam. Baru-baru ini, akhbar melaporkan terdapat 500,000 senarai menunggu  yang mendaftar untuk menunaikan haji dan jika mengikut prosedur biasa,  mereka perlu perlu menunggu sehingga 10 tahun sebelum dapat mengerjakan  ibadat itu. | 
  |  Lemas selepas selamatkan isteri   Posted: 06 Nov 2010 06:35 PM PDT  NORFARIDAH (dua dari kiri) tidak  dapat menahan kesedihan ketika menunggu jenazah suaminya, Mohd. Hazrul  (gambar kecil) di HTAA, Kuantan semalam. 
 KUANTAN – Seorang suami, Mohd. Hazrul Abdul Jalil, 26, mati selepas  berjaya menyelamatkan isterinya daripada lemas semasa mereka mandi di  pusat perkelahan Pasir Kubur, Sungai Lembing di sini semalam. Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, pasangan yang baru  berkahwin pada 9 Oktober lalu itu  lemas ketika mereka mandi di Sungai  Jin di situ. Adik mangsa, Mohd. Helmi, 25, berkata, sebelum tragedi itu, mereka  sekeluarga iaitu Mohd. Hazrul, isterinya, Norfaridah Mohd. Amin, 26, dan  ibu mereka, Zaidah Abdul Aziz, 55, bertolak dari rumah di Kampung Pulau  Tambun, Pekan untuk berkelah di sana. "Semasa mandi, abang dan isterinya berada di bahagian tengah sungai yang agak dalam. "Tiba-tiba saya yang mandi di tepi nampak abang dan kakak ipar  seperti tergelincir lalu tenggelam, mungkin kerana ada pasir jerlus di  situ," katanya ketika ditemui pemberita di rumah mayat Hospital Tengku  Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam. Kata Mohd. Helmi, dalam sekelip mata, mereka berdua hanyut dibawa  arus deras dan kelihatan Mohd. Hazrul sempat memegang isterinya dan  melonjakkan badan Norfaridah ke atas bagi membolehkan dia bernafas.  Katanya, selepas kira-kira 60 meter dibawa arus, pasangan itu  kemudian sampai ke lokasi air cetek dan berjaya ditarik ke tebing oleh  orang ramai. | 
  |  Padah ganggu adik perempuan   Posted: 06 Nov 2010 06:34 PM PDT  ABDUL GHAFAR menunjukkan gambar    Maung Sho yang dipercayai boleh membantu siasatan satu kes bunuh  melibatkan rakannya  di Pokok Sena, Alor Setar semalam. 
 ALOR SETAR – Akibat tidak puas hati kerana adik perempuannya  diganggu, seorang lelaki Mynmar dibunuh oleh rakan senegaranya di sebuah  rumah kongsi di kilang bihun Jalan Kedondong, Pokok Sena di sini  semalam. Mangsa, Khaw Khaing Soe, 31, dipercayai  dibunuh oleh Khin Maung Cho,  25, gara-gara  mengganggu adik perempuan suspek yang baru sampai di  negara ini  15 hari lalu. Kesemua mereka  bekerja di kilang bihun itu selama antara empat bulan hingga enam tahun. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab  berkata, siasatan awal mendapati mangsa  mengganggu adik perempuan  suspek sehingga menimbulkan kemarahan lelaki itu. "Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di hadapan salah sebuah rumah kongsi dengan satu kesan  tikaman pada dada. "Mangsa yang bekerja di situ sejak enam tahun lalu  merupakan ketua   rumah kongsi itu. Suspek kini menghilangkan diri," katanya di sini  semalam. | 
  |  Kiki segan kahwin kali ketiga   Posted: 06 Nov 2010 06:32 PM PDT    
 APABILA cerita perkahwinan senyap-senyap tanpa undangan rasmi tiba ke  meja media, bekas selebriti sukan RTM yang popular digelar Kiki itu  tidak berniat menyembunyikan perkahwinan kali ketiganya.  Dua tahun menjanda setelah kegagalan perkahwinan kedua pada September  2008, pemilik nama sebenar Nurul Alis Aidil Akhbar, 35, itu selamat  dimiliki James Mitchell, 40, pada 30 Oktober lalu. Cerita perkahwinan Kiki yang hanya dihadiri teman-teman serta  keluarga terdekat itu cuma tersebar di Internet. Pasangan tersebut  diijab kabul di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Di sebalik perkahwinan dengan James yang memilih nama Islam Qais  Abdullah, ibu kepada Shamal, 14, Sophea, 9, dan Sonya, 6, itu menyimpan  gejolak rasa yang cukup mendalam. Menjalani tempoh solo selama dua tahun, hatinya ibarat dedaun  kekeringan setelah lapan tahun mahligai bersama suami kedua roboh ekoran  tiada persefahaman.  Hampir-hampir dia menolak cinta dan perkahwinan seterusnya dalam  hidup. Fokus Kiki hanyalah kepada perlumbaan kereta, karier pengacaraan  dan anak-anak yang sedang memerlukan perhatian.  Sementelah pula, lelaki baru itu bukan daripada bangsa sendiri.  Skeptikalnya mendaki tinggi. Mampukah lelaki yang baru mengenal Islam  itu memimpin dirinya menjadi isteri terbaik di dunia dan akhirat? Sensasi Bintang: Kenapa anda berahsia tentang hari bahagia bersama Qais Abdullah? NURUL ALIS: Sebenarnya saya memang tidak mahu kelihatan beria-ria  sangat mahu berkahwin. Seganlah, lagipun ini perkahwinan ketiga buat  saya. Saya sendiri tidak merancang apa-apa untuk perkahwinan ini. Sudah  lama saya terfikir nak kahwin lagi tapi asyik tertunda sahaja sebab  sibuk dengan jadual kerja dan aktiviti sukan anak-anak.  Untuk perkahwinan ini, saya serahkan semua urusan di tangan orang  lain, tapi kami gembira. Yang paling gembira ialah Qais. Dapat juga dia  merasa diarak dengan kompang dan bersanding ikut adat Melayu. Mana-mana perkahwinan pun ada risiko tetapi berkahwin dengan lelaki  yang baru memeluk Islam serta berbeza budaya sangat berisiko.  CINTA DI LITAR LUMBA. Selepas  berkahwin, Kiki dan Qais mahukan sebuah kehidupan yang seimbang,  perlumbaan dunia dan perlumbaan hari selepas mati.  
  Bagaimanakah Kiki mendapat keyakinan diri? Saya pernah jadi lembik, trauma dan serik untuk berkahwin selepas  bercerai dengan bekas suami kedua dulu. Hati saya kering, tertekan  mental dan fizikal hingga saya hilang berat badan daripada 49 kilogram  (kg) kepada 43kg.  Lepas jumpa Qais, saya tak berharap kami akan berkahwin sebab saya  pasang prinsip, jodoh jangan dicari tetapi Qais membuatkan saya  tersentuh dengan kesungguhannya. Kesungguhan yang bagaimana? Saya kenal dia di litar go-kart di Shah Alam, sejurus selepas habis  edah. Tidak lama kemudian, dia dipindahkan ke Kuwait untuk bertugas di  sana.  Dari situ Qais berfikir, kenapa dia didekatkan dengan Islam, kenal  wanita Muslim dan kemudian dihantar kerja di negara Muslim. Dia sanggup  tinggalkan peluang karier di sana untuk balik di Malaysia dan berdekatan  dengan saya. Satu lagi sebab dia bersungguh-sungguh mahu memeluk Islam adalah kerana tertarik dengan budaya dan cara hidup orang Islam.  Dia peluk Islam pun di rumah saya sambil disaksikan ibu saya pada  malam tahlil arwah untuk bapa saya yang baru meninggal dunia ketika itu.   Qais sudah setahun bergelar Muslim iaitu sejak Julai 2009. Dia  sanggup dipulaukan oleh sanak-saudaranya yang rata-rata berbangsa Yahudi  di Australia kerana memilih Islam sebagai agamanya. Dua perkahwinan terdahulu gagal dan kali ini perjuangannya Kiki kelihatan lebih besar. Ya. Itulah yang saya pernah terfikir. Jodoh pertama saya diatur oleh  keluarga, jodoh kedua pula tidak seperti yang dimahukan dan kali ini,  pada usia yang semakin bertambah ini, saya harapkan ini perkahwinan yang  terakhir.  Qais sendiri sudah ada dua orang anak hasil perkahwinan pertamanya.  Saya sendiri ada tiga orang anak, jadi kami merancang banyak perkara. Kami mahu sama-sama belajar, sama-sama membaiki kesilapan dan saling  menuju keseimbangan hidup, bukan lagi untuk dunia tetapi akhirat juga.  Alhamdulillah, saya lihat Qais benar-benar mahu menjadi Muslim yang baik, seboleh-bolehnya dia menjaga solat lima waktu. | 
  |  Kembara bersama artis indie   Posted: 06 Nov 2010 06:31 PM PDT  TIDAK sekadar percutian, program Xpresi Kembara turut diselitkan klip video lagu-lagu artis indie.  
 RADIO Televiyen Malaysia (RTM) tidak ketinggalan untuk sama-sama  bekerjasama dengan kumpulan band indie tempatan dalam program terbaru di  TV1. Program tersebut, Xpresi Kembara, semakin mendapat tempat di hati  penonton. Berbentuk jurnal kembara atau popular disebut travelogue, program itu  membawa band-band indie tempatan ke tempat-tempat menarik di seluruh  negara.  Disiarkan setiap Sabtu pukul 11.30 pagi, seleksi terbaru Xpresi  Kembara menampilkan sejumlah kumpulan indie yang sudah memasuki muzik  arus perdana termasuk Azlan & The Typewriter yang kini muncul dengan  karya Kelibat Si Penyair. |  
 |  | YUNA  
 | 
 Azlan & The Typewriter yang dianggotai Azlan selaku penyanyi  utama, Bakri (dram), Daud (gitar) dan Pa'ku (bass) dibawa bercuti ke  Cameron Highlands, Pahang dan Ipoh, Perak.  Mereka juga berkunjung ke pusat peranginan Lost World of Tambun.  Program itu memaparkan mereka berkongsi momen indah bersama para  peminat. "Pengalaman bercuti di Cameron Highlands dan Tambun bersama Xpresi  Kembara adalah sesuatu yang amat seronok dan terbaik kepada kami yang  selalu sibuk dengan jadual persembahan.  "Lokasi percutian tidak jauh, jadi tidak perlu mengambil masa yang panjang dan memenatkan untuk kami pergi bercuti.  "Kalau kita bercuti dalam negara pun sudah memadai, semuanya ada di Malaysia," kata Azlan. Selain Azlan & The Typewriter, terdahulu Xpresi Kembara yang  diterbitkan sejak awal tahun 2010 itu pernah membawakan Yuna, 6ixth  Sense, Bunkface, Couple, Couple dan Awanband ke beberapa lokasi seperti  Pulau Pangkor, Genting Highlands, Pulau Pinang dan Melaka.  KETERUJAAN Azlan & The Typewiter terpampang jelas semasa penggambaran Xpresi Kembara baru-baru ini.  
 "Kami menggabungkan elemen muzik band-band indie ini dengan tempat tempat menarik di seluruh negara.  "Diharap program seperti ini dapat memajukan sektor pelancongan dalam  negara di samping memberi ruang kepada peminat muzik indie mengenali  artis kegemaran mereka dengan lebih dekat.  "Keterujaan artis-artis muda bercuti sambil berekspresi dengan muzik  itu adalah apa yang program ini mahukan tonjolkan kepada penonton," kata  penerbit Xpresi Kembara, Mohd. Amer Syafiq. | 
  |  Lawak tidak cukup buat Irma   Posted: 06 Nov 2010 06:28 PM PDT    
 MENDONGAK ke atas, adakalanya kita mempersoalkan rahsia di sebalik  kepulan putih awanan yang mewarnai birunya hamparan langit. Dalam celik  dek sinaran sang mentari, pasti terselit titis-titis jernih melimpahi  lantai bumi yang menyegarkan kehijauan segenap tumbuhan.  Sesekali guruh berdentum mengejutkan denyut nadi untuk berlari lebih  pantas daripada normal. Perumpamaan ideal itu ditujukan khas buat wanita  yang kini bergelora jiwanya. Meski dipukul pelbagai persoalan yang  menggigit emosi, wanita yang bernama Irma Hasmie teguh membanting tulang  berlawan kekecewaan.  Semua itu lantaran buah kasih yang dibenihnya gagal berbunga mekar. Ekoran perkhabaran duka perpisahannya dengan bekas kekasih, Nabil  Ahmad, Irma tidak beralasan untuk menyalahkan takdir buatnya. Dia masih  mampu ketawa sedangkan hatinya terpaut duka. PUTUS KASIH DENGAN NABIL Saya masih rasa bersyukur kepada Allah kerana sentiasa diberikan  kekuatan. Jika ini sudah ketentuan Tuhan, saya reda dan menganggapnya  sebagai satu dugaan yang sudah termaktub oleh Allah. PENGGANTI NABIL Masih terlalu awal untuk saya berbicara tentang pengganti. Biarlah  saya tumpukan perhatian terhadap kerjaya. Sekiranya satu hari nanti  ditemukan dengan seseorang, saya berharap biarlah lelaki itu boleh  membimbing saya menjadi seorang hamba Allah yang sempurna. SIAPA KAWAN SIAPA LAWAN Saya tidak bersendirian melalui fasa yang menyedihkan ini. Keluarga  dan teman-teman rapat banyak memberikan kekuatan dan nasihat untuk  meneruskan kehidupan. Ketika inilah saya tahu siapa sebenarnya kawan dan  siapa lawan. RUTIN Ketika ini saya sibuk dengan penggambaran drama bersiri Awan Dania  untuk musim kedua. Jadi buat masa ini jadual saya memang diperuntukkan  untuk Awan Dania. Filem pula masih dalam proses perbincangan, mungkin  akan diumumkan tahun hadapan. TWITTER Sekarang saya jarang buka akaun peminat di Facebook dan lebih gemar  menggunakan Twitter. Saya memohon maaf kepada  para peminat saya di  Facebook. Bagaimanapun, saya dengan senang hati mengajak mereka untuk  berkomunikasi menerusi  Twitter. FESYEN Saya memang gemarkan rekaan-rekaan Hatta Dolmat. Boleh dikatakan  hampir kesemua rekaannya menarik perhatian saya. Jadi, jika diberi  peluang untuk menyarungkan busana rekaannya nanti, pasti saya akan  sangat teruja. | 
  |  Tasha hilang rasa takut   Posted: 06 Nov 2010 06:27 PM PDT    
 TUTURNYA masih takut-takut. Masih terlalu kaku gerak tubuhnya untuk bermesra-mesra dalam ramah pertemuan pertama.  Dia terlalu baru untuk digelar dramatis tempatan tetapi kemunculannya  dalam drama Dottie yang disiarkan di saluran Astro Ria menjadi langkah  awal kepada Tasha untuk memilih lakonan sebagai hala tuju ketika ini. Salamnya sebagai pendatang baru tidak begitu lama untuk bersambut isi perut industri.  Di tangan pengarah yang sedang mahu mengukir nama, Shoffi G, pemilik nama hakiki Natasha Sheila itu diberikan satu karakter. Biarpun sekadar sebagai pelakon tambahan untuk watak Rafida iaitu  gadis kampung berjiwa tulus yang sangat menghormati orang tua, di tangan  Tasha karakter menerusi drama Ku Yakin Berlaku itu menjadi satu  persembahan yang tidak cacat.  Watak itu menjadi antara watak kegemaran kepada pelakon utama drama itu, Wan Hanafisu. "Saya baru berlakon dalam dua buah drama, terima kasih kepada Shoffi selaku pengarah yang banyak memberikan tunjuk ajar. "Sebelum ini saya agak takut untuk memasuki dunia lakonan.  "Melalui pembacaan dan cuba bersikap positif untuk menerima apa juga  risiko dalam hidup, saya sanggup mencuba," kata Tasha yang sedang sibuk  di lokasi Mencari Jannah, juga di bawah telunjuk Shoffi selaku pengarah. Dalam diari karier yang baru bermula itu, wanita muda kelahiran  Ampang, Selangor tersebut juga sedang menunggu waktu untuk merasa  sentuhan Kabir Bhatia menerusi siri drama terbaru bertajuk Gemilang.  Pada usia semuda 23 tahun, Tasha juga mencari ruang yang stabil untuk bergelar pelakon hari esok. Sesuatu yang istimewa, Ku Yakin Berlaku menjadi persembahan Tasha  mengisi hari kebesaran semua muslimin dan muslimat sempena Hari Raya  Aidiladha tidak lama lagi. Mengisi saluran Oasis, Tasha memberikan sepenuh penghayatan sebagai  Rafida, gadis bertudung, anak yatim piatu yang tidak kesampaian untuk  dijodohkan dengan Arif, lakonan Pierre Andre. "Babak menyuap makanan kepada nenek saya dalam cerita berkenaan  meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa saya. Begitu juga ketika  pertengkaran antara ibu bapa Arif, Mak Munah (Khatijah Tan) dan Pak  Osman (Wan Hanafisu) di dapur.  "Saya terasa sedih dengan watak Rafida yang bergantung hidup kepada  keluarga itu tetapi menjadi punca pergaduhan mereka pula," katanya. | 
  |  Miley mahu 'panas'   Posted: 06 Nov 2010 06:26 PM PDT  Anak-anak anda tetap akan buat silap sama ada saya berbuat baik mahupun sebaliknya. Inilah yang dinamakan kehidupan - MILEY  
 DI sudut hati terdalam, selebriti muda bernama Miley Cyrus, 17, tidak  pernah terfikir untuk meniupkan angin kontroversi. Awal melangkah kaki  dalam dunia seni sejak sedekad lalu, dia sekadar menginginkan bakat  lakonan dan nyanyiannya dikongsi bersama para pengikut. Pada waktu sama, anak jati Tennessee, Amerika Syarikat (AS) itu  belajar daripada kesilapan setelah merobah imej gadis manisnya kepada  nakal dan liar.  Buktinya, atmosfera itu jelas terlihat sewaktu dia mengadakan persembahan pada Teen Choice Awards beberapa bulan lalu. Di sebalik usia sedang meranum, ikon pujaan kanak-kanak di AS itu  benar-benar mengejutkan peminat dengan lagaknya mengulit tiang tidak  ubah seperti penari lucah tatkala mendendangkan Party In The U.S.A. pada  majlis anugerah itu. Dikenali menerusi siri televisyen popular, Hannah Montana sejak tahun  2006, imej Miley dianggap tidak setara dengan personaliti diterajui  dalam karya yang ditayangkan di saluran Walt Disney tersebut. Tidak  hanya itu, ada sejumlah pihak mula mempersoalkan tindak tanduknya. Tahu diri dibidik bertalu-talu dengan kritikan pedas, Miley terus membenarkan masyarakat melepaskan pendapat masing-masing. Dia bersikap terbuka. Baginya, itu hanya persembahan energetik di  atas pentas tanpa punya maksud terselindung termasuk naluri remajanya  yang memberontak. Dalam nada perlahan menuturkan bicara, akui Miley: "Tanggungjawab  saya berada dalam bidang ini untuk bergelar ikon. Ini yang saya mahu  sejak kecil lagi.  "Tetapi paling pasti, tugas saya bukan sebagai ibu bapa yang  menasihati anak-anak terhadap apa yang boleh atau tidak boleh mereka  lakukan. "Saya membaiki diri sendiri dari semasa ke semasa. Umur saya masih  muda, justeru, tidak adil untuk 'merampas' hak saya dalam membuat  keputusan.  "Anak-anak anda tetap akan buat silap sama ada saya berbuat baik mahupun sebaliknya. Inilah yang dinamakan realiti kehidupan." | 
  |  Vokal klasik Shanon   Posted: 06 Nov 2010 06:26 PM PDT    
 SHANON bukan nama baru. Malah, dikilas kembali, dia ialah pemenang  Persembahan Vokal Lelaki Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 2006.  Vakum sebentar selepas menelurkan album Dilanda Cinta pada tahun  2006, kini vokal klasik Shanon boleh didengari kembali melalui album  terbarunya. Lebih lemak dan matang, dia sentiasa keluar dengan lagu-lagu yang  segar serta diadun cantik dengan vokalnya yang unik lagi berbeza.  Penulis gemarkan lirik-lirik dalam album ini yang bersahaja dan dilihat bersifat kontemporari dan berterus terang.  Sebanyak 10 buah lagu dalam abum ini ditulis sendiri oleh Shanon. Produksi album ini juga tersusun kemas hasil kerjasama Ariff Akhir  dan Shanon. Penelitian terhadap kulit album juga patut diberikan pujian.  Kulit album ini memberi dua dimensi Shanon yang serius dan juga ceria.  Buat Shanon, album ini memuatkan lagu-lagu yang positif dan gembira berbanding album perdananya dahulu.  Menariknya, album ini turut memuatkan sebuah lagu nasyid, Marilah  Berhajat yang merupakan ekperimen pertama Shanon dalam lagu-lagu  kerohanian.  Lagu ini turut dimuatkan dalam filem Karaoke lakonan Mislina dan Zahiril Adzim.  Sekadar renungan dan memetik lirik lagu Shanon, Bantuan Pasti Akan  Tiba: "Semua orang ada keperluan, semua orang boleh membantu, semua  orang ada kesedihan, yang boleh disembuhkan." Komen Sofia: Gemar lagu Sejak Kau Kembali.  | 
  |  Kalendar cinta Fizo   Posted: 06 Nov 2010 06:24 PM PDT    
 SI pemilik senyuman manis ini antara jejaka kegilaan gadis-gadis di  luar sana. Jika dicetak borang permohonan untuk menjadi kekasihnya,  pasti ada deretan panjang mengambil giliran.  Jujur mengakui hatinya  masih belum dimiliki, Wan Hafizol Wan Omar atau dikenali dengan Fizo  berhasrat menjadikan kerjayanya sebagai buah hati saat ini. "Fokus saya hanya pada lakonan, saya masih tiada teman istimewa.  Berkawan biasa itu memang ada tapi belum bersedia untuk serius," ucap  anak kelahiran Kelantan itu dalam suara yang tertahan-tahan.  Aktor yang kerjayanya berputik setelah muncul pemenang tempat kedua  Hero Remaja 2007/2008 itu memberikan satu tarikh. Tahun 2011 dinamakan  tahun paling layak untuk hatinya serius bercinta. "Ketika itu saya mungkin sudah  bersedia sepenuhnya untuk memberikan  komitmen dalam perhubungan," katanya tanpa memberikan satu nama, tanda  seseorang sedang istimewa ada di mata. Terbaru, jejaka berumur 25 tahun sedang menjalani penggambaran sebuah filem arahan A.R. Badul berjudul Hello.  Menerusi filem berkenaan, dia bergandingan bersama pendatang baru,  Dayana, bintang yang digilap daripada program Anak Wayang tahun lalu. Di kaca televisyen, kelibatnya bukan lagi asing. Seperti sudah  menjadi wajah rasmi untuk slot Lagenda yang bersiaran di TV3, Fizo  terpampang dalam pelbagai karakter antaranya menerusi Puteri Salju,  Musang Berjanggut dan Siti Kelembai.  Kini Fizo muncul dalam satu lagi drama Lagenda yang bersiaran setiap  Isnin hingga Khamis pukul 4.30 petang menerusi  Ulik Mayang. "Watak Putera Mayang Sakti ada peranan kuat dalam cerita itu.  Walaupun babak yang melibatkan saya tidak banyak, tetapi banyak  pengalaman yang saya belajar ketika penggambaran drama kali ini,"  katanya. Ulik Mayang mengangkat kisah Puteri Mayang Sari lakonan Elly Mazlein  yang berdepan badai percintaannya bersama pemuda dari bumi, Ali (Fezrul  Khan). Iri hati terhadap percambahan kasih dua pasangan itu, Puteri Mayang  Mengurai (Sabrina Ali) mengenakan sumpahan ke atas Mayang Sari. Wajah  Mayang Sari akan berubah kehitaman seperti hantu apabila dilihat orang.  Perginya ayahanda menghadap Ilahi membuka lembaran baru buat Putera  Mayang Sakti apabila dia pula menyarung mahkota negara kayangan. Bermain watak Putera Mayang Sakti, Fizo kali ini menjadi pemegang takhta kerajaan kayangan.  Ketegangan membabitkan kedua-dua adindanya yang tidak puas hati  menyebabkan Putera Mayang Sakti mencari jalan bertindak sebaik mungkin. Bagi mengikuti kesudahannya, jangan lupa temu janji anda bersama Fizo  dan barisan pelakon hebat drama Ulik Mayang yang pasti akan menambat  hati anda untuk terus setia mengikuti kisah yang diangkat kisah legenda  tinggalan zaman itu. | 
  |  Wonder Girls terbukti seksi   Posted: 06 Nov 2010 06:23 PM PDT  WONDER GIRLS  
 BAIT-BAIT lagu yang rancak, gerak tari yang lincah dan berbekalkan  wajah yang comel, kumpulan Wonder Girls terbukti bukan calang-calang  wanita dalam dunia hiburan antarabangsa. Kumpulan yang dianggotai lima gadis jelita dari Korea Selatan itu  berjaya menduduki tangga ke-38 dalam senarai wanita paling seksi dunia. Carta itu dikeluarkan oleh majalah FHM Singapura mengiktiraf  jelitawan-jelitawan ternama dunia yang mampu mencairkan hati lelaki  dengan penampilan paling menawan. Wonder Girls yang terkenal menerusi lagu Nobody tergolong antara 100 nama yang berjaya merebut tempat dalam senarai tersebut. | 
  |  Merapi meletus lagi pagi semalam   Posted: 06 Nov 2010 06:22 PM PDT  Gunung Merapi berterusan  menyemburkan awan panas selepas meletus lagi pagi semalam  
 YOGYAKARTA - Lahar sejuk yang mengalir deras selepas Gunung Merapi  meletus pada tengah malam kelmarin membanjiri sungai-sungai di  sekitarnya dan menyebabkan penduduk di kota ini cemas, lapor sebuah  akhbar semalam. Gunung Merapi terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar ini yang dihuni kira-kira 400,000 penduduk.  Hujan lebat yang turun semalam membawa lahar sejuk yang mengandungi  lumpur, pasir, belerang dan abu volkanik melimpahi tebing Sungai Code di  sini semalam.  Seorang pegawai tempatan berkata, amaran berwaspada sudah dikeluarkan  tetapi sama ada banjir lahar sejuk itu bakal membawa kemusnahan banyak  bergantung sama ada berlaku hujan lebat pada hari ini. Terdahulu, lahar panas yang mengalir deras sejurus selepas letusan  Gunung Merapi pada tengah malam kelmarin telah memusnahkan tujuh buah  dusun di sekitar lerengnya selain padang Kelab Golf Merapi. "Tujuh dusun sudah hancur dibakar lahar panas selama dua hari dari  Jumaat hingga Sabtu," kata seorang pegawai tempatan, Heri Suprapto, di  Sleman dekat sini semalam. Dalam perkembangan berkaitan, angka kematian keseluruhan sejak Gunung  Merapi mula meletus pada 26 Oktober lalu kini meningkat kepada 138  orang.  Mayat-mayat mangsa korban dikumpulkan di pekarangan Hospital Sardjitodi Yogyakarta.  
 Seorang pegawai di Hospital Sardjito di sini, Sigit Priohutomo  berkata, sekurang-kurangnya 94 orang terbunuh dalam letusan Gunung  Merapi kelmarin. Sejumlah 44 lagi terkorban dalam letusan pertama gunung berapi berkenaan. Kelmarin Gunung Merapi yang memiliki ketinggian 2,914 meter dari aras  laut mengganas dengan memuntahkan lahar dan menghambur awan panas  sejauh beberapa kilometer di udara.  Terbaru, Gunung Merapi kembali meletus pada pagi semalam dengan  mengeluarkan awan panas dalam jumlah besar sekitar pukul 7 pagi waktu  tempatan. Gunung berkenaan mengeluarkan awam hitam yang menyelubungi  udara manakala beberapa bunyi dentuman kuat turut didengari dari puncak  gunung itu. Penduduk dilihat memenuhi jalan-jalan raya dengan menaiki trak, kereta dan motosikal untuk meninggalkan zon berbahaya. Selain manusia, binatang ternakan seperti lembu dan kambing turut dipindahkan. Sementara itu, sukarelawan dan warga tempatan turut berkawal bagi  melarang orang ramai daripada menghampiri zon berbahaya di sini. Setakat pukul 1 tengah hari semalam, Gunung Merapi dilihat masih  menyemburkan awan panas ke udara manakala sekitar 200,000 orang telah  mencari perlindungan di beberapa penempatan sementara di sini dan Jawa  Tengah.  "Ia menakutkan. Letusan Gunung Merapi tak kunjung kebah," kata  seorang penduduk, Wajiman, 58, yang berlindung di sebuah penempatan di  Jawa Tengah. | 
  |  Gesel payudara pada jurugambar   Posted: 06 Nov 2010 06:21 PM PDT SUDAH lama sebenarnya Diva dengar cerita kurang enak tentang penyanyi  wanita muda yang bakatnya dicungkil menerusi sebuah program realiti  popular beberapa tahun lalu.  Kalau sebelum ini ada teman wartawan menyampaikan khabar 'kenakalan'  artis itu, kali ini ia dialami sendiri kawan baik Diva iaitu seorang  jurugambar sambilan. Dia mengaku diganggu oleh budak hingusan itu di sebuah hotel baru-baru ini. Kawan Diva yang sudah punya kekasih hati itu boleh tahan kacaknya dan  ditugaskan oleh si bos untuk mengambil gambar penyanyi berkenaan  bersama artis lain. Barangkali pantang naluri mudanya tengok jantan elok rupa paras, dia tanpa perasaan malu terus menghampiri jurugambar kacak itu. "Va, aku tak sangka langsung artis ini berperangai macam itu sekali sedangkan ada salah seorang ahli keluarganya yang menemani.  "Masa aku ambil gambar dia, artis ini berulang kali nak tengok gambar yang baru dirakam di skrin kamera aku.  "Alasannya, dia mahu tengok sama ada okey atau tak wajahnya yang dimekap tebal tu. "Apa yang buat aku tersentak, sambil tengok semula gambarnya dalam  kamera, dia boleh mendekatkan badannya dengan aku sampai kami  bersentuhan cukup rapat.  "Aku ingat dia tak sengaja. Tapi bila dia mula menggeselkan payu  daranya pada badan aku dan buat suara manja, apa lagi, aku terus jadi  tak selesa," luahnya kepada Diva. | 
  |  Erma pening pilih pendamping Fedi Nuril   Posted: 06 Nov 2010 06:15 PM PDT |  
 |  | FEDI NURIL  
 | 
 JARANG benar melihat pengarah tersohor Erma Fatima memilih nama-nama luar untuk dijadikan hero produksinya.  Seingat Diva, bilangannya  boleh dikira dengan jari.  Tapi baru-baru ini Diva dengar, Erma memilih pelakon seberang iaitu  Fedi Nuril yang pernah berlakon filem Ayat-Ayat Cinta untuk membintangi  dramanya.  Tapi bukan itu cerita  produksi tersebut.  Dengarnya, Erma sedang pening kepala memikirkan siapakah heroin yang  sesuai untuk digandingkan dengan aktor  tinggi lampai tersebut. Erma juga sedang meminta pandangan ramai untuk menyenaraikan nama  heroin yang sesuai untuk menjadi pendamping Fedi yang kacak itu.  Diva tahu, bab-bab ini Erma memang agak selektif atau dalam kata lain agak cerewet. Jadi, siapa agaknya yang muncul di minda kalian? Siapa ya? |