Harian Metro: Rap |
Posted: 05 Nov 2010 07:26 AM PDT PERNAH mencipta nama menerusi pertandingan Bintang RTM pada 2004, pesona penyanyi berbakat, Eyeja Arshad, mula menyerlah. Jika dihitung, pengalaman yang ditimba selama enam tahun lalu, boleh dianggap ia mencukupi buat dia mencipta nama sebagai penyanyi terkenal. Namun tak semudah itu kejayaan berlaku dalam hidup Eyeja kerana ada sebab tertentu. Bagi Eyeja, apa yang dilalui selama ini banyak mengajar diri menjadi lebih matang dalam membuat keputusan. Walaupun sepatutnya dia sudah dianggap 'senior' dan berpengalaman luas, dia tidak keberatan untuk memulakan kariernya dari bawah. "Untuk memperkenalkan kembali diri saya pada orang ramai, saya mengambil risiko menerbitkan album sendiri yang dijangka berada di pasaran Januari tahun depan.
"Kata peminat, pernah berlaku mereka membuat permintaan lagu saya kepada penyampai bertugas tetapi malangnya tidak dilayan. "Sebagai penyanyi, saya tentu terkilan dengan perkara ini. Apa salah lagu saya hingga tidak diberi peluang atau apakah mungkin sebab saya ini bekas peserta Bintang RTM, lalu membuatkan saya tiada tempat di stesen lain?" katanya. Di sebalik kekecewaan yang melanda, gadis kacukan Melayu-Pakistan ini tidak mahu putus asa terus menyanyi. Untuk itu dia sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk menerbitkan album pertamanya. "Sebanyak tujuh lagu baru dimuatkan dalam album berkonsep 'free pop' ini. Perbelanjaan album ini adalah dari hasil titik peluh wang yang saya kumpul sejak enam tahun menyanyi. "Buat masa ini, saya selesa bergerak sendiri untuk memenuhi jemputan persembahan pentas. Begitu juga, sejak awal bulan ini saya melantik Cherry Talent & Management untuk pengurusan serta promosi. "Memang sukar mengharapkan orang lain menerbitkan album sendiri. Atas faktor itu, biarlah saya menunggu masa yang lama untuk mengumpul duit sendiri. "Sejak awal terbabit dalam bidang seni, peminat mengenali saya dengan single Rela. Atas permintaan, saya menyanyikan kembali lagu itu dalam album solo saya. "Bersama Cherry, saya melihat Pengurus Artis, Along Bakar cepat buat kerja dalam mengatur promosi untuk saya. Sebelum ini, saya banyak belajar bermacam perkara termasuk ditipu komposer selepas membayar duit untuk mendapatkan lagu baru. "Namun, saya gembira kerana album kali ini dihasilkan atas pilihan peminat sendiri. Dua lagu ciptaan Intan termasuk Yang Teristimewa manakala Ezad Izuddin menghasilkan lagu Mentari Senja. "Baki dua lagu lagi dicipta Indra dan menerusi lagu Dengarkan Aku, saya mengasah bakat menulis lirik sendiri," ujarnya. Semakin matang menempuh cabaran sebagai anak seni, Eyeja menyatakan kesabaran cukup penting untuk terus bertahan. Walaupun album solonya lambat diterbitkan, dia beruntung kerana peminat tahu kelebihannya menyanyikan lagu lama. "Bermula dengan lagu lama seperti zaman 70-an dan 80-an, mereka kenal saya dan dari situ, saya terima banyak tawaran lain. Saya bersyukur kerana masih mendapat pelbagai jemputan persembahan pentas. Ada ketika hingga empat persembahan saya terima dalam sebulan. "Sejak enam bulan lalu, saya juga dilantik sebagai duta produk kecantikan Eternity. Adanya album baru dan aktiviti menerusi jemputan persembahan, ini menjadi proses penjenamaan semula diri saya. "Biarpun saya dilabel muka RTM, saya berusaha tampil imej baru. Saya tidak ada masalah bekerjasama dengan RTM untuk projek-projek akan datang. Tapi sejak dulu, saya tidak pernah ada sebarang kontrak dengan RTM. Jadi ada yang salah anggap dengan status saya. "Untuk bidang pengacaraan, aktiviti terbaru saya mengendalikan program Planet Seni di saluran Muzik Aktif (Astro). Di awal mengacara dulu, saya sekadar ingin mencuba tetapi tidak sangka atas 'rating' yang positif, kerja mengacara saya dilanjutkan. "Saya masih mempunyai satu program masakan terbaru. Menjadi pengacara memberi ruang pada saya menonjol diri tetapi nyanyian tetap menjadi fokus utama. "Ada juga tawaran berlakon yang saya terima tetapi saya tolak kerana berasakan masanya belum sesuai. Berbanding berlakon drama atau filem, saya lebih tertarik dengan teater. "Ajakan rakan sekolah, Jihan (Raja Lawak 3) berlakon bersama Fauziah Nawi memberikan pengalaman yang menyeronokkan. Jika ada tawaran menarik pada masa akan datang, saya masih berminat untuk berlakon teater dan meneruskan bidang mengacara," katanya. PROFIL |
Posted: 05 Nov 2010 07:08 AM PDT TELEFILEM baru arahan Erma Fatima - Aku Bukan Andalusia - diterbitkan bukan untuk menghina golongan andartu di luar sana sebaliknya sarat dengan mesej yang cukup mendalam untuk disampaikan pada masyarakat. Kata Erma, antara mesejnya adalah wanita kadangkala tidak boleh mencintai hanya seorang lelaki semata-mata dan sanggup bergelar anak dara tua apabila tiada jodoh dengannya.
Selaku pelakon utama telefilem ini, Erma Fatima berkata, dia tertarik berlakon dalam cerita itu bukan kerana mesejnya semata-mata. Lebih menarik, telefilem ini menggandingkan Erma dengan pelakon hebat, Datuk Rahim Razali sebagai teraju utama. "Saya terima tawaran buat cerita ini juga kerana ingin memberi peluang kepada pengarah baru seperti Mohd Fazli untuk berkarya. Fazli banyak menimba pengalaman sebagai penolong pengarah dengan produksi saya sebelum ini dan sampai masanya pula dia mengembangkan lagi karier seninya dengan bergelar pengarah pula," katanya.
Bercerita lanjut mengenai Aku Bukan Andalusia, Erma berkata, ia mengenai Rosa yang berstatus anak dara tua (anak dara lanjut usia atau andalusia) yang bertemu jodoh pada usia 40-an. "Semuanya bermula apabila Rosa bercinta dengan guru sekolahnya sendiri. Bagaimanapun, cinta mereka terhalang kerana Rosa juga masih di bangku sekolah lagi ketika itu. "Namun, Rosa akhirnya bertemu jodoh juga dengan bekas teman lelakinya yang sudah berusia itu ketika mereka berjumpa di Tanah Suci Makkah," katanya. Erma berkata, dia terima tawaran buat cerita itu kerana ingin lepas gian selepas sekian lama tidak berlakon. "Penggambaran drama ini juga sudah lama selesai iaitu pada tahun lalu. Maklumlah, rezeki saya memang murah dalam bidang pengarahan drama dan teater. Sama seperti mengarah, saya akan terus berlakon dalam drama selagi diperlukan peminat. "Antara drama lakonan saya sebelum ini adalah watak pembantu dalam drama bersiri Janji Kekasih, lakonan Jue Aziz dan Fezrul Khan yang sudah disiarkan di TV3. Dalam perkembangan lain, penggambaran drama Karma Salima arahan Erma juga hampir selesai manakala penggambaran drama Aku Bukan Mariam arahan terbarunya masih dalam proses penggambaran lagi. Telefilem Aku Bukan Andalusia akan ke udara menerusi slot Cerekarama TV3 jam 10 malam ini. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |