Dia sedar ada sesetengah pihak mengatakan dirinya lebih mementingkan rakyat di luar negara apabila menumpukan aktiviti amal untuk penduduk Islam di Palestin.
Namun bagi pelakon, Haryati Hamzah atau Yatt, 33, dia tidak mengetepikan saudara seagama di negara sendiri. Malah, bersama-sama Usrah Fitrah dia sedaya upaya cuba membantu meringankan beban seluruh umat Islam yang memerlukan.
"Saya tahu ada orang yang cakap kenapa nak bantu orang luar, sedangkan orang kita pun ada yang susah? Tapi di Palestin itu juga, kami membantu umat Islam dan mahu membebaskan Masjid Al-Aqsa. Itu kewajipan semua umat Islam. Isu di Gaza ialah isu kemanusiaan.
Teruja beramal ditemani keluarga
"Cuma, dengan situasi yang melanda Sabah ketika ini, kita semua rakyat Malaysia perlu berfikiran positif. Keputusan pemimpin untuk melancarkan operasi terhadap penceroboh adalah keputusan yang berat dan perlu kita semua hormati.
"Kita sama-sama bantu dengan berdoa dan sentiasa melangkah ke hadapan," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk kecantikan Felinna, bersama suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 33, dan anaknya, Suci Hanania Malika yang berusia tiga tahun.
Yatt bersama keluarganya dan wakil daripada Felinna juga akan berkunjung ke Gaza pada 25 Mac hingga 1 April untuk memberikan sumbangan berjumlah RM50,000. Kali pertama ke sana, Yatt teruja dapat beramal ditemani keluarga.
Terus aktif berlakon
Sementara itu, Yatt turut menegaskan dirinya tidak pernah mempunyai niat untuk berhenti berkarya walaupun selepas bertudung.
Bahkan, dirinya masih aktif berlakon, mengacara, menjadi model serta duta kepada beberapa produk.
Menolak tanggapan artis bertudung tidak laris, Yatt berasakan industri seni kini semakin pesat dan terbuka, malah ramai artis wanita sekarang yang sudah berhijrah.
"Rezeki dalam dunia seni ini luas, bukan setakat berlakon saja. Selepas berhijrah, syukur rezeki saya lebih murah. Contohnya, sekarang saya sibuk dengan program Amal Palestin.
"Saya dijemput sebagai jurucakap, ahli motivasi ke surau, masjid, institut pengajian awam dan banyak lagi. Saya diminta berkongsi pengalaman dan ilmu sebagai selebriti.
Pengacara program travelog
"Saya tak pernah ada niat untuk berhenti kerana cinta saya adalah di dalam bidang seni. Tak semua orang dikurniakan anugerah, jadi buat apa saya nak sia-siakan anugerah ini? Saya akan terus berkarya, cuma caranya saja sedikit berubah," katanya yang mengaku lebih memilih watak dalam lakonan sesuai dengan dirinya.
Terbaru, Yatt akan muncul mengacarakan program travelog, Sajian Sunah yang akan disiarkan di RTM selain terikat dengan penggambaran telefilem sempena Israk Mikraj mulai esok.