Huhuhu,letak belon daam perut?sungguh scary..bagaimanapun bagi mereka yang nak terdesak nak menurunkan berat badan pasti rasa nak mencuba kaedah ini..jom kita baca,kaedah Belon dalam perut nie..
HAMPIR lima tahun, Azhar Jamal, 35, telah mencuba pelbagai kaedah untuk menurunkan berat badan, namun usahanya masih menemui jalan buntu.
Beliau berdiet dan mengambil pil untuk mengurangkan berat badannya yang mencecah 135 kigogram(kg), tetapi masih tidak berubah sehingga menyebabkan beliau sering rasa letih dan tidak bermaya ketika melakukan kerja harian.
Azhar mula mengalami masalah berat badan selepas tidak lagi aktif bersukan kira-kira lima tahun lepas dan ditambah pula dengan amalan pemakanan yang tidak sihat sepanjang tempoh berkenaan.
"Ketika saya melakukan pemeriksaan kesihatan, kolestrol dan tekanan darah saya tinggi. Doktor nasihatkan saya supaya turunkan berat badan bagi mengelak menghidapi penyakit lain yang lebih teruk.
"Sejak itu macam-macam cara saya cuba untuk kuruskan badan seperti diet, minum jus, makan pil namun berat badan saya tetap sama," kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Sehinggalah pada awal tahun lepas dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan pakar diet di Pusat Perubatan Prince Court yang mengesyorkan jadual pemakanan dan diet seimbang dalam usaha untuk menguruskan berat badannya.
Pakar berkenaan juga telah mengesyorkan prosedur yang dinamai endoscopic placement of gastric balloon dan akhirnya kini beliau berjaya memperoleh berat badan yang ideal iaitu 93 kg hanya dalam masa enam bulan.
"Melalui prosedur ini saya tidak perlu 'mengorbankan' makanan kegemaran saya iaitu nasi kandar dan tetap makan lima kali sehari, saya hanya perlu kurangkan saiz makanan itu dan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
"Belon yang diletakkan sementara dalam perut itu membuatkan kita cepat kenyang bila makan dan selepas enam bulan belon itu akan dikeluarkan, namun kita perlu meneruskan amalan pemakanan yang baik serta bersenam bagi mengekalkan berat badan ideal.
"Kawan-kawan juga terkejut dengan perubahan berat badan saya sehingga ada yang tak kenal saya lagi, masalah selalu penat dan tak bertenaga juga sudah hilang. Saiz baju yang saya pakai dulu XXXL juga dah bertukar jadi XL," katanya.
Prosedur sementara
Sementara itu Perunding Pakar Gastroenterologi Prince Court Medical Centre, Datuk Dr. Ryan Ponnudurai berkata, belon gastrik yang diletak menggunakan endoskop adalah direka bagi membantu mengurangkan berat badan seseorang secara ideal iaitu purata 20 kg atau lebih.
|
Dr. Ryan Ponnudurai menunjukkan peralatan yang digunakan bagi merawat Azhar Jamal. |
Untuk layak menjalani prosedur berkenaan yang tidak memerlukan pembedahan itu katanya, seseorang itu perlu mendapat motivasi dan bersedia untuk menjalani secara serius program yang diselia secara perubatan untuk diet dan senaman.
"Prosedur itu hanya dilakukan ke atas pesakit yang memenuhi beberapa kriteria. Pertama, pesakit hendaklah tidak begitu obes, tetapi hanya mempunyai berat badan yang lebih. Mereka mungkin baru sahaja naik berat badan atas beberapa sebab dan mahu kembali ke berat badan asal masing-masing," katanya.
Dr. Ponnudurai berkata, belon itu akan dimasukkan ke dalam perut untuk tempoh sementara selama enam bulan bagi menimbulkan rasa cepat kenyang dan sentiasa kenyang selepas makan.
"Mereka yang (pesakit) datang, perlu berpuasa semalaman sebelum kami memasukkan alat skop, letakkan belon di kedudukannya dan ia selesai. Dalam belon yang kecil itu, kami masukkan 500 cc air garam dan biarkannya dalam perut.
"Kami letakkan pesakit di pusat itu untuk satu malam. Sebenarnya mereka sudah boleh balik pada hari yang sama tetapi kami mencadangkan agar mereka bermalam sahaja di pusat itu.
"Kami masukkan belon itu dalam perut agar anda tidak boleh makan dengan banyak. Itulah tujuannya. Anda akan sentiasa kenyang dan tiada rasa nak makan," katanya.
Dr. Ponnudurai berkata, jumlah berat yang patut dikurangkan dan dikekalkan oleh pesakit adalah bergantung kepada bagaimana mereka mengikut arahan diet, senaman dan perubahan cara hidup dalam jangka panjang.
"Sebelum prosedur itu bermula, pesakit akan dinilai sepenuhnya oleh pakar psikologi dan diet untuk menentukan prosedur yang sesuai dijalankan ke atas pesakit dan faedah yang akan diperoleh oleh pesakit", katanya.
Dr. Ponnudurai berkata, pesakit akan mengalami ketidak selesaan untuk beberapa hari sementara perut dapat menyesuaikan diri dengan belon. Kemungkinan mereka akan mengalami rasa pening dan muntah selepas prosedur itu.
"Namun ia akan hilang mengikut masa. Mereka perlu mengambil makanan berbentuk cecair untuk dua hari. Setelah mereka dapat menyesuaikan diri dengan belon itu, mereka boleh meningkatkan diet," katanya.
Dr Ponnudurai berkata, kos untuk keseluruhan prosedur itu tidak lebih RM15,000.
"Seramai 15 pesakit telah menjalani prosedur itu sejak kami memulakannya kira-kira dua tahun lepas. Hasilnya memuaskan setakat ini: kesemua pesakit dapat mengurangkan purata 20 kg," katanya.