Adsense

Isnin, 8 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Rithan pilihan Steve Vai

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOOR ADZRENE MOHD. NOR

SEBAGAI gitaris, Rithan boleh dikatakan bertuah. Ini kerana, di kalangan gitaris Malaysia hebat yang ada, dia satu-satunya yang telah berjaya menambat hati Steve Vai. Gitaris legenda bertaraf dunia dari Amerika Syarikat itu bukan sahaja mengagumi skil petikan gitar Rithan, malah dia turut menjemputnya sebagai artis undangan pada konsertnya di Singapura pada tahun 2004. Sayangnya, ramai peminat yang tidak mengetahui tentang kemunculan istimewa Rithan meskipun ketika konsert itu diadakan dia masih lagi mentah dalam bidang muzik.

Menurut gitaris berusia 33 tahun ini, semuanya bermula apabila ibu saudaranya, Shabita memasukkan namanya sebagai peserta dalam suatu pertandingan yang diiklankan di internet yang dikenali sebagai Sound Check With Steve Vai kira-kira sembilan tahun lalu.

Lebih 300 gitaris terkemuka sekitar rantau Asia Tenggara telah terpilih dalam sesi uji bakat pertandingan itu. Jelas Rithan, dia bernasib baik kerana menjadi salah seorang daripada sembilan finalis uji bakat itu dan sekali gus diangkat sebagai juara pada sesi uji bakat yang diadakan di negara pulau tersebut.

"Tiga juri yang mengadili uji bakat itu ialah sepupu mendiang gitaris legenda Jimi Hendrix iaitu Ricky Hendrix, anggota kumpulan Mr. Big, Billy Sheehan dan seorang gitaris dari Singapura, Paul Daniel. Ekoran kemenangan itu, saya telah diberi peluang untuk bertemu dengan Steve Vai di sana.

"Pada pertemuan itu, saya juga sempat menunjukkan bakat saya bermain gitar di depan Vai. Dia kemudiannya tertarik dengan cara saya bermain gitar dan secara peribadi terus menjemput saya sebagai gitaris undangan pada konsertnya di Singapura pada tahun yang sama.

"Apabila mendapat tawaran itu, saya macam tidak percaya. Ini kerana, selama ini saya hanya mengagumi Vai dari jauh sahaja tetapi hari itu saya dapat bermain gitar bersama dengannya di atas satu pentas. Itu memang sesuatu yang susah saya hendak percaya," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.

Vai, 53, yang sebelum itu pernah bermain gitar untuk banyak kumpulan rock terkemuka dunia seperti Frank Zappa, Public Image Ltd., Alcatrazz, David Lee Roth, G3 serta Whitesnake merupakan salah seorang gitaris rock yang menjadi idolanya sejak dia masih di bangku sekolah lagi.

Sayangnya, jelas Rithan atau nama sebenarnya Vimlarithan Vijaya Kanthan ini, tidak ramai peminat tempatan yang mengetahui kemunculannya pada konsert tersebut. Antara sebabnya kerana kurang publisiti selain namanya yang masih baru dalam bidang muzik.

"Ketika itu saya sekadar bermain gitar sendiri kerana minat yang mendalam untuk menjadi seorang gitaris. Album pun tidak ada, peminat jauh sekali tetapi pengalaman itu membuatkan saya semakin bersemangat untuk mencuba nasib dalam bidang ini," ujarnya.

Lisa Surihani memilih

Posted: 07 Jul 2013 11:54 PM PDT

Lisa Surihani bangga dipilih sebagai duta Garnier kerana mengguna produk itu sejak di bangku sekolah lagi.

SEJAK akhir-akhir ini ada yang bertanya ke mana Lisa Surihani menghilang, lantaran lakonannya dalam drama kurang. Adakah dia dihalang oleh suaminya, Yusry Abdul Halim untuk aktif.

Kata Lisa, suami tercinta tidak pernah menghalangnya untuk terus berlakon, cuma dia sahaja yang memilih bagi memastikan setiap penampilannya memberi impak kepada penonton.

Malah katanya, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Manisnya Cinta di Cappadocia, arahan Bernard Chauly, terbitan Red Communications, bulan lalu.

"Akhir-akhir ini saya memang kurang berlakon drama bukan sebab tidak ada tawaran tetapi demi menjaga nilai eksklusif. Maklumlah kalau muncul kerap sangat orang bosan. Saya mahu kehadiran dalam bidang seni ini dirindui peminat dan kalau boleh setiap kali muncul dalam drama atau filem, mampu meninggalkan kesan kepada mereka.

"Walaupun nampak saya tidak muncul dalam drama atau filem, tetapi untuk bulan ini jadual kerja saya padat. Boleh kira hanya lima hari sahaja saya ada masa rehat atau untuk berbuka puasa bersama keluarga. Selebihnya saya ada undangan majlis berbuka atau acara lain," kata Lisa yang ditemui pada majlis memperkenalkan produk Garnier Light Complete, di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lisa yang sudah empat tahun dilantik menjadi duta jenama Garnier berkata, sekarang ini minatnya tertumpu pada bidang alih suara yang diminati sejak dulu lagi.

Untuk permulaan, Lisa berpeluang menunjukkan bakat alih suaranya itu bagi versi filem The Smurf 2 dan Madagascar 3: Europe's Most Wanted yang disiarkan di saluran Astro.

"Setakat ini, itu sahaja peluang yang ada, di mana saya buat alih suara dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Kalau boleh saya nak buat alih suara untuk filem asal.

"Bila sudah berpeluang buat alih suara, baru saya tahu sebenarnya susah juga berbanding lakonan. Kalau berlakon, kita boleh menggunakan pergerakan untuk menggambarkan emosi. Ini kita perlu menggunakan emosi untuk dipadankan dengan pergerakan karakter," katanya.

Dalam pada itu, Lisa yang sering diaju soalan tentang cahaya mata berkata, setakat ini dia dan Yusry hanya berserah kepada Allah kerana sejak mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012, mereka tidak pernah merancang.

"Kata orang kalau nak merancang keluarga pun biarlah anak kedua atau ketiga disebabkan masa atau kewangan. Untuk anak pertama, semua orang mengharapkan kehadiran cahaya mata. Begitu juga dengan kami, tapi nampaknya belum ada rezeki.

"Sebenarnya saya memang suka kanak-kanak. Setakat ini hanya anak-anak saudara yang menjadi pengubat rindu dan setiap hari saya berdoa agar cepat menjadi ibu," katanya penuh harapan.

Dalam perkembangan terbaru, Lisa memberitahu yang dia bakal berlakon filem arahan Yusry selepas raya nanti.

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Elemen 3D Mantapkan Lagi Despicable Me 2

Posted: 07 Jul 2013 05:15 PM PDT

ADVERTORIAL:

Setelah kejayaan pertama menerusi filem animasi Despicable Me, penonton bakal dihiburkan dengan sekuel berjudul Despicable Me 2.

Siapa sangka, filem yang diisi dengan suara pelakon terkenal berjaya menggegarkan panggung dengan watak animasi yang direka begitu comel sekali.

Keletah makhluk-makhluk kecil yang berperanan sebagai pembantu Gru (Steve Carell) kembali mencuri pentas dan menonjol dengan perangai mereka yang mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Walaupun watak mereka dicipta dengan dialog yang tidak difahami namun aksi-aksi lucu mereka begitu menghiburkan.

Filem ini mengisahkan mengenai seorang ayah tunggal, Gru yang membesarkan tiga orang anak perempuannya iaitu Margo (Miranda Cosgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher). Gru berusaha membesarkan anak-anaknya dengan dengan menghasilkan jem dan jeli buatan sendiri selepas berubah meninggalkan kerjayanya sebagai seorang penjenayah.

Malah, Gru juga turut ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia, Anti Villain untuk menyiasat satu kes kehilangan formula baru. Berperanan membantu untuk menentang kejahatan, Gru adalah seorang calon yang sesuai kerana statusnya yang bergelar bekas penjenayah.

Gru yang fobia untuk berkawan dengan wanita kerana kisah silamnya telah disatukan dengan Lucy Wilde (Kristen Wiig) untuk menangkap penjahat berkenaan.
Selain menyelesaikan tugasan yang diberi, Gru juga perlu mengimbangi tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang mana anaknya, Morgan semakin meningkat remaja.

Kesan 3D yang digunakan juga memberikan impak yang lebih berkesan melalui filem animasi ini dan anda dapat berasakan seperti turut berada dalam Despicable Me 2.

Tahniah diucapkan kepada Cinco Paul dan Ken Daurio kerana selain menghiburkan, filem ini juga menerapkan mesej dan nilai-nilai murni yang banyak memberikan pengajaran.

Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan sejumlah wang untuk menonton filem Despicable Me 2 yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 4 Julai.

Filem ini mampu membuatkan anda ketawa terbahak-bahak serta turut membantu menghilangkan tekanan kerja di pejabat.

Filem: Despicable Me 2

Genre: Komedi

Suara latar: Steve Carell (Gru), Kristen Wiig (Lucy Wilde), Miranda Cosgrove (Margo), Ken Jeong (Floyd) dan Russel Brand (Dr. Nefario)

Info: Selain sebagai tarikan penonton, penerbit Chris Meledandri percaya Despicable Me 2 sesuai dipersembahkan dalam 3D kerana skop dan skala set filem ini, sekali gus dapat memberikan impak yang menakjubkan kepada penonton.

Siti unggul di DFP

Posted: 07 Jul 2013 05:14 PM PDT

Kekuatan vokal, komunikasi baik pada konsert solo pertama catat memori indah buat peminat

Sedekad lalu, dia hanyalah penyanyi undangan kepada bintang legenda, Tan Sri SM Salim, sewaktu penyanyi malar segar itu menjayakan konsertnya bersama Orkestra Filharmonik Malaysia atau MPO. Kehadiran Datuk Siti Nurhaliza waktu itu sekadar menyampaikan dua lagu, iaitu Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Mohon Kasih.

Bermula saat itu, penyanyi jelita ini mula menyimpan hasrat untuk beraksi secara solo di pentas berprestij terbabit. Ternyata Tuhan menjawab doa Siti apabila impian itu akhirnya menjadi kenyataan.

Tanggal 5 Julai lalu, selama tiga malam berturut-turut, penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang, ini mencatat sejarah peribadi apabila diberi mandat mengadakan persembahan secara solo dengan diiringi kumpulan orkestra ternama itu.

Sebuah persembahan yang bukan saja dinanti-nantikan peminat tegar Siti, tetapi juga oleh si empunya diri. Selepas mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London, tujuh tahun lalu, Dewan Filharmonik Petronas ialah lokasi impian Siti demi memantapkan lagi portfolionya dalam bidang seni.

Bertemankan pemuzik berpengalaman yang hampir memenuhi ruang pentas, berserta seorang konduktor, Kevin Field, Siti memulakan tugasnya dengan menyampaikan lagu Kau Kekasihku. Ibarat cinta pandang pertama, lagu ciptaan Ajai dengan pantas meresap ke dalam jiwa penonton, sekali gus menjanjikan persembahan memakan masa selama dua jam itu amat berbaloi untuk ditonton.

Rasa bagai nak demam

Cabaran utama yang harus dilalui mana-mana penyanyi yang pernah beraksi di pentas DFP adalah bagaimana mahu terus membuat penonton teruja dan terpana dengan persembahan mereka. Berbeza dengan lokasi lain, menyanyi di pentas terbabit tidak memerlukan sebarang gimik. Malah, ruang pentas yang amat terhad juga membataskan pergerakan si artis. Justeru, tiada apa yang mampu ditawarkan selain vokal ampuh.
Ternyata, Siti 'lulus' ujian itu apabila suaranya diadun dengan begitu baik sekali bersama susunan muzik kebanyakan lagu yang didendangkan pada konsert itu.

"Beberapa hari sebelum persembahan, Siti akui gementar dan rasa nak demam. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan yang Siti perlu menyanyi lagu yang mencabar vokal, seperti rangkaian lagu balada," ujar Siti ketika berceloteh di atas pentas.

Walaupun mungkin ada yang menganggap, menyanyi bagi Siti umpama memakan kacang, namun bagi empunya badan, untuk mendapatkan nada yang sesuai apatah lagi diiringi orkestra, kesilapan boleh berlaku pada bila-bila masa jika tidak berhati-hati.

"Siti teringat pesanan Tan Sri SM Salim, menyanyi dengan orkestra ini bukan mudah. Ada kala mereka mengikut tempo kita, ada ketika kita pula terpaksa mengejar mereka. Seperkara yang Siti belajar, susunan muzik semalam, tak akan sama dengan hari ini. Jadi kita kena peka dan sentiasa bersedia," kata Siti lagi.

Penghargaan buat legenda negara

Untuk segmen pertama, selain Kau Kekasihku, Siti memilih untuk menyampaikan lagu Badarsila, medley balada seperti Jerat Pecintaan, Bukan Cinta Biasa, Diari Hatimu dan Percayalah.

Turut didendangkan ialah lagu Hanya Dia, Di Taman Teman, Seindah Biasa dan Biarlah Rahsia, iaitu lagu yang bukan saja menyerlahkan vokal buluh perindu penyanyi ini, tetapi juga susunan muziknya yang menjadi. Saat Siti mendendangkan lagu berkenaan, penonton seperti terpaku dek kelunakan serta rasa yang diserlahkan olehnya.

Seperti yang dijanjikannya sebelum ini, Siti turut menyanyikan lagu penyanyi legenda lain seperti Tan Sri P Ramlee, iaitu Malam Bulan Di Pagar Bintang dan Tiada Kata Secantik Bahasa.

Sewaktu menyanyikan lagu Cindai pada segmen kedua pula, sempat Siti menunjukkan kemahirannya memukul gendang Arab atau Darbuka.

"Idea untuk memukul gendang ini memang sudah lama Siti fikirkan. Lucunya, disebabkan Siti sibuk dengan latihan nyanyian dan tarian, Siti terpaksa berlatih memukul Darbuka ini sewaktu hendak tidur. Mahu tak mahu, suami Siti (Datuk K) terpaksalah mendengarnya," cerita Siti ketika ditemui pada sidang media kemudiannya.

Anggun mengenakan gaun berenda rekaan Cosry serta tatarias oleh Nurul Shukor, ketika menghiburkan peminat pada malam kedua, Siti juga semakin menunjukkan kematangan ketika berkomunikasi. Ada ketika dia berjenaka sekali gus membuatkan keheningan dewan itu dipecahkan dengan deraian ketawa hadirin.

Persembahan eksklusif

Jika pada segmen pertama Siti menyanyikan lagu P Ramlee, untuk segmen kedua, Siti memilih lagu yang pernah dipopularkan oleh Datuk Sudirman Arshad dan Jamal Abdillah, iaitu Terasing serta Senandung Semalam.

"Siti memang sengaja memilih lagu penyanyi lelaki kerana ini juga satu cara untuk Siti menguji vokal kerana nada suara lelaki berbeza dengan perempuan," jelasnya.

Puas menyanyikan lagu perlahan, Siti mengubah atmosfera dengan menyanyikan lagu rancak iaitu rangkaian lagu Ku Mahu, Ya Maulai dan Balqis, sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada penonton menerusi lagu Muara Hati yang disampaikan secara solo, kali ini.

Persembahan selama tiga malam itu turut disifatkan Siti sebagai sangat eksklusif. Bukan bercakap kosong kerana konsert Siti Nurhaliza In Symphony itu tidak dirakam dalam bentuk audio mahupun visual.

"Ini memang kehendak Siti dan moga ia menjadi kenangan terindah buat penonton untuk sepuluh, dua puluh tahun akan datang," katanya yang turut memperdengarkan lagu terbaru, yang ditujukan khas buat suami tersayang, berjudul Lebih Indah.

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Sherry Ibrahim Akui Bukan Mudah Bercinta Jarak Jauh

Posted: 08 Jul 2013 01:32 AM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Sherry Ibrahim mengakui bukan mudah untuk menjalani kehidupan bercinta jarak jauh dengan kekasihnya yang merupakan seorang lelaki berasal dari Mauritius.

Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 30, berkata, keadaan itu memerlukan kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain agar tiada sebarang perbalahan namun dia tetap bersyukur kerana kekasihnya itu seorang yang penyabar.

"Alhamdulillah, dia (kekasih) sentiasa gembira dengan apa yang saya lakukan. termasuklah keputusan untuk memberi keutamaan pada kerjaya lakonan.

"Duduk berjauhan juga bukan mudah, kami perlu memiliki kesabaran yang sangat tinggi. Mujurlah dia juga seorang yang memahami dan penyabar," katanya yang enggan mendedahkan identiti sebenar lelaki tersebut.

Ditanya adakah dia akan menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki tersebut, Sherry hanya menyerahkan perkara itu kepada jodoh dan takdir.

"Kahwin? Jika ada jodoh, saya sudah bersedia," ujarnya.

Sementara itu, mengenai kerjaya lakonan pula, Sherry gembira apabila drama pertama selepas dia berehat sementara dalam dunia seni iaitu Teduhan Kasih (siaran TV3) mendapat respons yang positif daripada peminat.

Kata Sherry, dia tidak sangka, drama yang juga dibarisi pelakon Adi Putra, Nabila Huda dan Zarina Zainoordin itu telah memberikan impak yang tersendiri sehingga menimbulkan fenomena di kalangan penonton.

"Apabila respons yang diberikan sangat positif ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja seni saya.

"Kerana itu juga saya mendapat beberapa tawaran lakonan lain pula. Semua ini berkat kepercayaan yang diberikan oleh pengarah Teduhan Kasih iaitu Jamal Khan," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Sherry bakal memulakan penggambaran telefilem Cinta Kapcai bergandingan dengan Amar Baharin terbitan Pujangga Kreatif.

Nurul Wahab Gembira Bakal Terima Anak Lelaki

Posted: 08 Jul 2013 01:31 AM PDT

KUALA LUMPUR: Penyanyi Noorul Huda Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Nurul wahab mengakui teruja apabila mendapat tahu bakal menimang cahaya mata lelaki pada Oktober depan.

Nurul, 36, berkata, dia memang berharap agar dikurniakan seorang anak lelaki sebagai pelengkap kehidupan rumah tangganya bersama Eric Daniel Depp, 48.

"Saya baru diberitahu bayi dalam kandungan adalah bayi lelaki dan Alhamdulillah saya gembira sangat.

"Saya memang mengharapkan untuk mendapat bayi lelaki sebagai pelengkap keluarga kami," katanya ketika ditemui pada pertandingan akhir Ceria Popstar, di sini, Ahad.

Tambah Nurul, anak pertama hasil perkongsian hidup bersama komposer Ajai, Ayu Nazirah yang kini sudah berusia 15 tahun bertindak menjadi penjaganya sepanjang mengandung.

"Ayu sangat gembira nak dapat adik, dia yang banyak jaga saya di rumah. Kalau apa sahaja saya tidak buat dia akan membebel," katanya.

Tambah Nurul, dia juga sudah membeli barang keperluan bayi sebagai persediaan awal.

"Memang orang kata tidak elok kalau beli awak-awal barang bayi, tapi sekarang sudah masuk enam bulan mungkin sudah boleh beli sikit-sikit.

"Lepas dapat tahu bayi lelaki saya tidak terlalu ghairah membeli kerana barang bayi lelaki tidak banyak pilihan seperti bayi perempuan," katanya.

Sementara itu, Nurul berkata, dia akan bercuti ke rumah mertuanya di Perancis pada Isnin ini selama sebulan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana.

"Saya sengaja bercuti dan kesempatan itu juga saya ambil untuk belajar bahasa Perancis dan mempraktikkan di sana.

"Kalau di Malaysia sudah beberapa kali saya ambil kelas tetapi tidak dipraktikkan hingga terlupa," katanya.

Nurul dan Depp yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis telah mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2012.

Penyanyi itu juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah, 15, hasil hubungan dengan suami pertama, penyanyi dan komposer, Ajai.