Berita Harian: Hip |
Posted: 28 Jun 2013 05:54 PM PDT Berita terkini – Amerika Syarikat diserang! Sebuah letupan yang dipercayai perbuatan pengganas berlaku di Rumah Putih (White House), Washington D.C dengan ramai kakitangan, termasuk Presiden James Sawyer dipercayai terperangkap di dalam kediaman berkenaan. Kita juga menerima laporan bahawa beberapa tempat di sekitar Amerika Syarikat telah mengalami serangan pada masa sama. Siapakah yang bertanggungjawab dan apakah motif mereka masih belum dikenal pasti. Setelah 'meletupkan' Rumah Putih menerusi 'Independence Day' (1996) dan menghempaskan pengangkut pesawat USS John F. Kennedy dalam filem '2012' (2009), Emmerich berdepan dengan satu dilema - bolehkah dia menjadikan Rumah Putih sebagai sasaran sekali lagi? Jawapannya adalah "Ya". Melihat kepada watak yang diketengahkan serta jalan cerita yang berbeza dan menggabungkan elemen aksi dengan genre 'political thriller', Emmerich memutuskan untuk menghidupkan skrip yang ditulis James Vanderbilt. Berbeza daripada karyanya yang lepas, kali ini Rumah Putih menjadi fokus utama filem 'White House Down'. Pengambilalihan White House membawa kepada krisis global dengan kesannya tidak dapat dibayangkan. Meskipun kisah 'White House Down' hanyalah satu rekaan, ia berlatarbelakangkan dunia yang nyata, yang mempunyai budaya dan peraturan yang jelas. Persoalan yang mungkin bermain di fikiran ramai sebelum ini - Apa rupa terminal komputer di White House? Apa yang kelihatan pada skrin monitor bila pekerja White House 'log in'? Butang jenis apa yang dipakai anggota Kongres di label baju mereka supaya pihak keselamatan tahu mereka ahli Kongres? Bagaimana dialog politik dan tentera? Apa tindakan polis apabila sekumpulan orang berkumpul di White House? Semuanya akan dipertontonkan secara terperinci di 'White House Down'. Ceritanya bermula dengan John Cale (lakonan Channing Tatum), seorang anggota polis yang telah ditolak permohonannya untuk menyertai perisikan rahsia yang bertanggungjawab mengawal keselamatan Presiden James Sawyer (Jamie Foxx). Enggan mengecewakan anak perempuannya yang meletak Sawyer sebagai idolanya, Cale membawanya menyertai lawatan ke Rumah Putih. Malangnya pada hari itu, Rumah PUtih diserang sekumpulan lelaki bersenjata. Kini, terpulang pada Cale untuk menyelamatkan anaknya, presiden dan tanah airnya. 'White House Down' akan menemui penonton mulai 27 Jun ini. |
Posted: 28 Jun 2013 05:54 PM PDT Bukan niat asal pihak pembikin filem 'Despicable Me 2' untuk mereka babak 3D hanya untuk 3D semata-mata. Sebaliknya, mereka ingin menggunakan teknologi berkenaan untuk membawa penonton lebih mendalami dunia Gru, Margo, Edith dan Agnes. Buat Cinco Paul dan Ken Daurio, sepanjang proses penulisan mereka cuba mencari peluang untuk memasukkan elemen 3D. Tetapi hanya jika ia masuk akal. Dan bila anda menulis sebuah cerita yang menampilkan penjenayah paling macho diturunkan ke dalam sebuah gunung berapi dengan seekor ikan jerung diikat di belakangnya, senario yang dipersembahkan cukup berasas untuk 3D. Satu lagi alasan mengapa sekuel ini sesuai untuk 3D bukan sahaja disebabkan skop dan skala set tetapi tarikan penonton di seluruh dunia dengan cara terbaik menggunakan elemen 3D di layar perak. Melalui watak baru Lucy Wilde yang juga teman sepasukan Gru di Anti-Villain League, pereka telah memperkenalkan beberapa gajet milik Lucy yang cukup menakjubkan dalam kesan khas 3D. Daripada sebuah dompet yang boleh ditukar menjadi 'hand glider', di samping menyimpan sebuah pelontar api mini dan taser gincu. Dia juga memiliki sebuah semburan yang mampu mengesan sebarang pencetus penggera laser. Untuk melihat sendiri kemantapan kesan khas 3D 'Despicable Me 2', jangan lupa menontonnya di pawagam bermula 4 Julai depan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |