
 
  BERKELULUSAN Sarjana Muda Sumber Manusia di National Conservatory of  Arts and Crafts (CNAM), Paris, jejaka tinggi lampai David Arbid tidak  pernah kesal dengan diri sendiri apabila mengambil keputusan  meninggalkan kerjaya yang stabil dalam dunia perbankan. 
 Jejaka berusia 32 tahun itu malah berbangga apabila dia kini  menikmati kepuasan hidup dengan mempertaruhkan bakat dan sentuhan seni  kreatif dalam dirinya.
 Kerjayanya bermula sebagai pegawai pembantu sumber manusia di salah  sebuah bank di Paris. Tidak membayangkan tugas itu bakal membentuk  profil kerjaya untuk selama-lamanya, David mengambil keputusan untuk  menyertai Akademi Make Up For Ever (MUFE) di tengah kota fesyen  tersebut.
 "Tanpa melepaskan jawatan di bank tersebut, saya membahagi waktu  untuk mengikuti kelas solekan di akademi tersebut selama setahun. 
 "Salah satu sebab yang membuatkan saya tergerak hati untuk fokus ke  arah dunia solekan adalah kerana mengikut gerak hati dan percaya pada  kurniaan bakat melukis saya sejak kecil.
 "Saya rasa skil menyolek wajah seseorang seolah-olah sedang melukis.  Ini kerana anda sentiasa bermain dengan berus dan warna," katanya yang  mencari kelainan dengan mengasah skil solekan menggunakan calitan jari.
 Menurut David, keluarganya merestui dirinya menceburi bidang solekan  berbanding lukisan secara sepenuh masa kerana prospek pendapatan yang  lebih lumayan.
 Tamat sahaja pengajian di akademi MUFE, David meletakkan jawatan  utamanya di bank demi memenuhi permintaan orang ramai yang mahukan  sentuhannya.
 Sewaktu itu, David lebih banyak bergerak sendirian tanpa terikat  dengan mana-mana syarikat kosmetik. Sungguh pun begitu, dia tidak pernah  kehilangan punca pendapatan.
 Bahkan, ada sahaja jemputan yang memerlukan perkhidmatan jurusolek seperti di Milan, London dan Seoul.
 "Setelah banyak masa diluangkan dengan bergerak sendirian, saya mula mendapat perhatian jenama kosmetik Make Up For Ever.
 "Bermula Jun 2007, secara rasmi saya bergelar sebagai jurusolek  antarabangsa untuk jenama itu," ujarnya bangga namun merendah diri.
 Tanpa berselindung, David turut mengakui bahawa dia sedikit pun tidak berasa gusar melepaskan jawatan di bank.
 
DAVID yakin dengan sentuhan jarinya untuk meratakan solekan. 
  Dia berpendapat, kehidupan sebagai jurusolek sungguh menghiburkan.  Kelebihan mengelilingi ke seluruh pelosok dunia menghadiahkan dirinya  dengan pengalaman yang mengujakan.
 Bertemu dengan ramai orang dan sering berkomunikasi membuatkan David  semakin yakin berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat.
 "Bukan itu sahaja, apabila saya mendapat pujian daripada pelanggan,  ia akan membuatkan diri semakin berkobar-kobar untuk menghasilkan  solekan yang lebih cantik dan artistik," ungkapnya sambil menunjukkan  beberapa produk MUFE yang tersusun di atas meja.
 Di sebalik kegembiraan itu, David tidak menafikan tentang hakikat dan  cabaran kerja yang perlu dihadapinya. Paling dirindui jejaka itu adalah  peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan sambil  menikmati hidangan istimewa di tanah airnya.
 Disebabkan terlalu kerap berkunjung ke negara asing, David menyatakan  perkara paling tidak disukainya adalah pertukaran waktu tidur.
 Masalah itu menyebabkan dia sukar untuk melelapkan mata sekali gus akan keletihan akibat tidak cukup tidur.
 Solekan berkualiti
 Rancak berkongsi pengalaman sambil menunggu persiapan modelnya  mendandan rambut dan menukar persalinan, David telah memperkenalkan  produk MUFE yang terbaru iaitu Aqua (produk kosmetik kalis air) dan HD  (berformatkan definisi tinggi).
 Katanya, kedua-dua produk tersebut mempunyai kepentingan berlainan.  Misalnya, bagi Aqua, penggunaannya cukup membanggakan apabila solekan  wajah tidak akan terjejas meskipun terkena air.
 "Kalau menyelam dengan menggunakan produk Aqua solekan mampu bertahan  minimum dua jam," ulasnya sambil melakukan demonstrasi mekap Aqua  menggunakan air.
 Sama juga situasi bagi kaum wanita yang ingin bersukan tetapi risau  jika mekap mereka akan rosak dan sebagainya. Aqua masih mampu bertahun  walaupun anda diliputi dengan titisan peluh.
 |  
 | 
| MASYARAKAT Asia Barat menggemari solekan pembayang mata, kata David.  
 | 
 Mungkin kedengarannya janggal, namun jenis solekan sebegitu banyak  gunanya untuk golongan atau acara tertentu seperti ahli pasukan renang  berirama mahupun ketika pertunjukan fesyen kreatif.
 Sementara itu, produk HD pula sering digunakan untuk menyolek  selebriti atau tetamu yang muncul di program televisyen. Solekan HD  menampakkan hasil yang lebih lembut dan semula jadi.
 Tambahnya, kunci ramuan HD adalah ia dilindungi mikro pigmen yang mampu mengelakkan sebarang komplikasi kulit.
 "HD mampu mengekalkan kelembapan kulit. Bukan hanya pada krim asas,  malah bedak yang digunakan juga mengandungi seratus peratus silika,"  terang David.
 Solekan dramatik
 Setelah menerangkan serba sedikit mengenai produk MUFE, David lebih  senang menunjukkan keberkesanan kosmetik tersebut ke atas wajah model.
 Dimulakan dengan campuran bacuhan krim asas, jurusolek profesional  itu mempunyai gaya tersendiri. Kelengkapan yang perlu ada bukanlah berus  solek tetapi bekas khas yang digunakan untuk meletakkan warna air.
 "Wanita sering tersalah pilih warna bedak asas. Mereka memilih warna yang tidak bersesuaian dengan ton kulit mereka.
 "Kesalahan berkenaan menyebabkan wanita kadangkala tampil dengan  solekan bedak asas yang terlalu putih, terlalu merah jambu dan ada  ketikanya terlalu gelap untuk wajah mereka," nasihat David.
 Sambil membuat sentuhan solekan, seperti biasa David yang  berperwatakan peramah memberikan beberapa tip supaya solekan tidak mudah  rosak.
 Krew Stailo yang melihat sendiri cara solekan jurusolek itu mengakui  sememangnya ia agak berlainan kerana dia mengutamakan bahagian mata  terlebih dahulu.
 Mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyiapkan solekan mata,  David menyatakan, tujuan utama dia tidak menyapukan krim asas terlebih  dahulu kerana kemungkinan pembayang mata yang digunakan akan terkena  pada wajah anda.
 
DAVID memiliki 58 jenis berus untuk kegunaan berbeza. 
  "Saya tidak mahu buat kerja dua kali, jadi saya utamakan bahagian  mata yang ingin kelihatan lebih glamor. Begitu juga dengan penggunaan  penyamar noda," ulasnya.
 Tekun melihat pergerakan tangannya yang ingin menghasilkan sentuhan  menakjubkan, penggunaan penyamar noda akan digunakan pada bahagian zon  T, bawah mata dan sekeliling bibir.
 "Walaupun anda tidak mempunyai masalah kulit muka, amalkan penggunaan penyamar noda untuk bahagian itu," ujarnya ringkas.
 Setelah selesai dan berpuas hati dengan sentuhannya itu, David  meletakkan berus yang dipegang sekali lagi menunjukkan gaya tersendiri  dengan meratakan solekan itu menggunakan jari tangan.
 David memberitahu, sentuhan terakhir mestilah disempurnakan dengan  tangan jurusolek dan bukannya dengan berus. Ia bagai satu signatur  profesional.