Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Anugerah berbilang rasaBERBUNGANYA rasa bangga apabila anugerah itu menjadi milik sang anak seni yang benar-benar layak. Sedangkan pencalonan sahaja sudah cukup untuk mengundang jenuh rasa, bayangkan pula bagaimanalah radarnya gelombang perasaan, jika anugerah 'yang terbaik' sudah teguh dalam genggaman. Itu emosi khalayak biasa yang membayangkan anugerah sebagai puncak kehebatan aksi atau naskhah yang menjadi bahan persembahan. Saat pesta orang filem, Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) menuju gala penganugerahan malam ini, tiga bintang yang terkait secara langsung, Zul Huzaimy, Bront Palarae dan Yana Samsudin diajak berkongsi prahara jiwa yang bercampur-baur. Bezanya, Yana atau Norliana Samsudin sudah melepasi saat gerah yang datang kepada lakonannya. Dramatis yang juga aktres filem itu sudah diberikan 'bonus' atas titik peluhnya. Dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM23 pada malam pembukaan pada Rabu lalu cukup untuk memberikan Wawa sudah dalam filem Adnan Sempit itu kejutan semangat. Tinggal lagi Zul dan Bront yang bertanding dalam perang lima penjuru. Tika pendakian ke puncak Aktor Terbaik FFM sudah selangkah di hadapan, dua aktor generasi baru itu diajak membuat introspeksi - tentang nilai dan dambaan anugerah dalam bergelar sang anak wayang. Debar Zul Huzaimy Pemilik pesona antagonis dalam banyak naskhah terdahulu itu terpilih ke satu tahap tertinggi dalam hierarki seorang aktor. Dia pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM21 hasil karakter pemuda buta yang punya misi bergelar tok dalang wayang kulit menerusi Wayang. ANUGERAH di FFM tidak bergerak atas dasar populariti tetapi ironinya, memenangi anugerah di FFM mampu melonjakkan populariti seseorang pelakon. Kali ini, dia tidak punya banyak prediksi. Meminta ulasan personal terhadap nilai sesebuah anugerah yang sering diistilahkan 'bonus' banyak penyandangnya, Zul Huzaimy Marzuki sependapat pandangan. "Memang anugerah itu bonus. Kalaulah semasa penggambaran filem itu dibuat untuk festival, lainlah. Tapi memandangkan setiap tahun ada festival, pengarah dan penerbit juga sudah ada sasaran, sesetengah pelakon juga begitu, siapa yang tidak mahu tercalon terutama untuk filem yang belum ditayangkan. Logo festival filem yang tercetak pada poster filem itu sahaja sudah cukup membakar perasaan khalayak untuk menonton," terluah satu erti daripada mulut pemeran hero filem Haq The Movie itu. Jujur akuinya, dambaan menakluk sebuah trofi Aktor Terbaik pernah meruap ke seluruh saraf. Ketika itu, kali pertama dia berpencak di pentas festival teater sekitar tahun 1993. "Tahun 1998 barulah saya memenangi anugerah aktor terbaik. Rasa bangga dan lega. Selepas memasuki Akademi Seni Kebangsaan, barulah saya faham, teater bukan untuk bertanding dan kemudian terjun ke dunia perfileman, saya langsung tidak fikir soal anugerah. Tetapi bila tercalon, debaran dan ingatan pertandingan itu kembali melintas. Harapan terhadap anugerah yang itu sudah jadi satu cabaran.
"Antara pembikin, pemerhati dan penganjur festival filem, masing-masing mempunyai sudut pandangan berbeza. Festival belum berakhir, tetapi yang pasti, kain yang carik sudah mula diperkatakan orang. "Soal ralat atau tidak, saya lebih percaya kepada rezeki. Pada saya, FFM adalah hari raya orang filem," beritahunya tanpa menemukan sebarang festival yang benar-benar terkesan di ingatan selain mengangguk dengan satu usikan oleh Bront. "Ya, mungkin itulah satu momen festival yang paling nostalgik," luahnya sambil meniru aksi Pyan Habib menolak penganugerahan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang pernah dimenangi beliau menerusi filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986. Ralat Bront Pentas FFM kali ini adalah langkah 'pecah teruna' penganugerahan Bront dalam karier seninya. Kali pertama dan perdana dinominasikan dalam dua kategori sekali gus di bawah payung kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Terbaik. Ramai yang sudah memilih namanya untuk memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik atas kredibiliti dan persembahan yang dibawanya dalam filem Belukar. Maka ramai jugalah yang membawa harapan agar apa yang mereka citakan itu dapat menjadi realiti pada malam ini.
Buat lelaki dengan nama berdaftar Nasrul Suhaimin ini, dia cuba mengawal resahnya. Bukan klise atau terikut-ikut tetapi hakikat dalam hatinya melihat sesebuah anugerah itu bersifat bonus. "Siapa yang tidak mahu tercalon?," jujur kata Bront tetapi melihat kekalahan atau kemenangan itu sudah jatuh perkara kedua. Secara harfiahnya, pencalonan di sebuah festival filem berkilas balik kepada tindakan membuat keputusan terdahulu. "Andainya menang, ia adalah bonus. Tetapi sebenarnya ia membuatkan seseorang pelakon itu merasakan bahawa pilihan yang dibuat dahulu untuk watak dan filem adalah tepat. Ia turut mengiyakan kerja yang dilaksanakan di set penggambaran. Saya melihat lebih ke sudut tersebut. "Kemenangan juga merupakan kemenangan peribadi. Sebuah faktor yang menambahkan ceria seseorang," petahnya berkata sambil menggambarkan bahawa membikin filem sama seperti membuat sebuah lukisan. Dia sebahagian daripada lukisan yang diwarnakan oleh Jason Chong dan bergandingan dengan bintang cantik, Daphne Iking dalam Belukar. Namun di hati yang terdalam, dia tidak dapat berbohong. Lalu dituturnya dalam rangka kata yang berantai kesopanan. Ada ralat yang tidak mampu disembunyikan sewaktu namanya dinominasi sedangkan ada juga calon yang layak sudah tercicir. Bront menyisir rambutnya dan menghela nafas di sebelah Zul, dia meneruskan kata.
"Jujurnya, saya ralat apabila filem Muallaf tidak dicalonkan. Produksi dan tenaga kerja filem itu merangkumi kehebatan. Begitu juga dengan Shaheizy Sam yang tidak tercalon untuk Adnan Sempit. Jelas di dalam filem itu, dia memikul tanggungjawab menghidupkan filem secara bersendirian. Bukan jalan cerita naik gear dan turun gear dalam filem komedi tetapi Sam berjaya. Apabila nama Sam tidak tersenarai, saya rasa pelik dan ralat. Itu yang saya rasa tapi kita bukan juri," telusnya sambil mengaku hadir ke pesta FFM kerana nominasi namanya dan parti bertemu rakan-rakan seangkatan. Jejaka 31 tahun ini menyambung bicara, menggambarkan sebuah ketulusan yang tepat menempa jiwa dan matanya. Satu situasi yang tidak mungkin pernah dilupakan. Sebuah kejujuran yang tepat pada masanya. "Penganugerahan yang terkesan pada mata saya apabila Ving Rhames memenangi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Golden Globe 1998 untuk filem Don King: Only in America. Rhames memberikan anugerah tersebut kepada Jack Lemmon dengan menyatakan 'menjadi artis adalah berkenaan dengan pemberian dan saya mahu memberikan anugerah ini untuk anda'. Dia mendapat tepukan gemuruh untuk kejujuran itu. Dan Lemmon menganggap itu adalah momen termanis dalam hidupnya. Itu lekat dalam minda saya," ujarnya berkias atau cuba berbicara di sebalik momen. | ||||||
Posted: Kesepaduan Red On BlackKOMBINASI vokal padu Awie, Ella dan Amy (kanan) membikin gemuruh peminat yang sekian lama menunggu ketibaan raksasa rock ini bertandang ke Pantai Timur. JUJURNYA seawal satu jam sebelum konsert Red On Black berlangsung, kehadiran penonton masih boleh dihitung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang. Keresahan mula bergelumang dalam hati yang memandang. Tidak mungkin hanya seramai ini yang mengagumi perjalanan seni tiga nama besar segah Ella, Wings dan Search. Namun tatkala deejay Isma Halil mula mengendalikan tugas sebagai tauke panggung, penonton mula merungkai panjang seperti perbarisan Hari Kebangsaan. Berbaris memasuki perut stadium. Nah inilah tabiat pengunjung konsert Malaysia, membeli tiket pada masa kecederaan. Tidak mengapa asalkan niat menyokong pemuzik dan anak seni tempatan itu tetap terpahat. Lalu bermula sudah acara konsert Red On Black yang ditunggu ramai dan dianggarkan hampir 10,000 penonton serta peminat setia tiga nama raksasa tersebut bersesak memenuhi stadium. Ella menjadi bunga pemanis membuka tirai dengan barisan lagu hits bersama grup Love Beggars. Jelas tenaga Ella masih bertahan seperti dahulu. Dialah ratu yang tetap berada di tempatnya. Lagu Permata Biru, Sembilu, Nuri, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta dan Kesal adalah kayu pengukur kepada ketahanan vokal Ella yang tidak pernah berubah kehebatannnya. Berkumandang seterusnya ialah muzik daripada tentera Wings dan Search dengan intro Gemuruh yang membikin gegar malam 15 Oktober lalu. Diteruskan dengan Lipas Kudung, Jerangkung Dalam Almari dan Sejati, Wings tetap padu di sebalik empat nama - Joe, Awie, Black dan Eddie. Isabella, Pawana dan Pelesit Kota adalah hadiah Amy, Nasir, Kid, Din dan Lola untuk para pecinta mereka. Din dan Kid, adik-beradik yang sentiasa malar segar dengan skil dan imej rock mereka. Cantuman Wings dan Search untuk barisan lagu medley - Rozana, Semalam Yang Hangat, Taman Rashidah Utama, Meniti Titian Usang dan Misteri Mimpi Syakila dengan ditemani Ella akhirnya menyusut rindu yang terkandung selama 19 tahun di tanah Kuantan dihamburkan dengan nyanyian bersama. Sukar mendapat momen bagus sebegini dan mata serta telinga yang menjadi saksi berisi dengan kepuasan padu yang diberikan oleh tentera rock ini. Persembahan hebat mereka ini bakal diingati sampai bila-bila. Apatah lagi mendapat momen di pentas yang sama gandingan Ella dan Awie untuk lagu Baldu Biru dan Ella bersama Amy untuk Dua Insan Bercinta, ia menambahkan lagi kehangatan malam tersebut. Rock n' Roll Lu Punya Suka dan Pasti merupakan dua buah lagu wajib untuk menutup tirai persembahan Wings dan Search. Cuma ekstra kali ini, Ella dengan ditemani Love Beggars menambah 'perencah' di atas pentas yang menjadi saksi bahawa mereka ini adalah buah hati peminat setia genre rock tempatan. Beradu dan berlawan suara serta pest 'ejek mengejek', acara penutup sebegitu menambah memori buat peminat yang sudah sedia terhibur dengan rentak dan melodi malam tersebut. Merekalah kejora rock tempatan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |