Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
Posted: 24 Oct 2010 05:07 PM PDT BERKELULUSAN Sarjana Muda Sumber Manusia di National Conservatory of Arts and Crafts (CNAM), Paris, jejaka tinggi lampai David Arbid tidak pernah kesal dengan diri sendiri apabila mengambil keputusan meninggalkan kerjaya yang stabil dalam dunia perbankan. Jejaka berusia 32 tahun itu malah berbangga apabila dia kini menikmati kepuasan hidup dengan mempertaruhkan bakat dan sentuhan seni kreatif dalam dirinya. Kerjayanya bermula sebagai pegawai pembantu sumber manusia di salah sebuah bank di Paris. Tidak membayangkan tugas itu bakal membentuk profil kerjaya untuk selama-lamanya, David mengambil keputusan untuk menyertai Akademi Make Up For Ever (MUFE) di tengah kota fesyen tersebut. "Tanpa melepaskan jawatan di bank tersebut, saya membahagi waktu untuk mengikuti kelas solekan di akademi tersebut selama setahun. "Salah satu sebab yang membuatkan saya tergerak hati untuk fokus ke arah dunia solekan adalah kerana mengikut gerak hati dan percaya pada kurniaan bakat melukis saya sejak kecil. "Saya rasa skil menyolek wajah seseorang seolah-olah sedang melukis. Ini kerana anda sentiasa bermain dengan berus dan warna," katanya yang mencari kelainan dengan mengasah skil solekan menggunakan calitan jari. Menurut David, keluarganya merestui dirinya menceburi bidang solekan berbanding lukisan secara sepenuh masa kerana prospek pendapatan yang lebih lumayan. Tamat sahaja pengajian di akademi MUFE, David meletakkan jawatan utamanya di bank demi memenuhi permintaan orang ramai yang mahukan sentuhannya. Sewaktu itu, David lebih banyak bergerak sendirian tanpa terikat dengan mana-mana syarikat kosmetik. Sungguh pun begitu, dia tidak pernah kehilangan punca pendapatan. Bahkan, ada sahaja jemputan yang memerlukan perkhidmatan jurusolek seperti di Milan, London dan Seoul. "Setelah banyak masa diluangkan dengan bergerak sendirian, saya mula mendapat perhatian jenama kosmetik Make Up For Ever. "Bermula Jun 2007, secara rasmi saya bergelar sebagai jurusolek antarabangsa untuk jenama itu," ujarnya bangga namun merendah diri. Tanpa berselindung, David turut mengakui bahawa dia sedikit pun tidak berasa gusar melepaskan jawatan di bank. Dia berpendapat, kehidupan sebagai jurusolek sungguh menghiburkan. Kelebihan mengelilingi ke seluruh pelosok dunia menghadiahkan dirinya dengan pengalaman yang mengujakan. Bertemu dengan ramai orang dan sering berkomunikasi membuatkan David semakin yakin berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat. "Bukan itu sahaja, apabila saya mendapat pujian daripada pelanggan, ia akan membuatkan diri semakin berkobar-kobar untuk menghasilkan solekan yang lebih cantik dan artistik," ungkapnya sambil menunjukkan beberapa produk MUFE yang tersusun di atas meja. Di sebalik kegembiraan itu, David tidak menafikan tentang hakikat dan cabaran kerja yang perlu dihadapinya. Paling dirindui jejaka itu adalah peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati hidangan istimewa di tanah airnya. Disebabkan terlalu kerap berkunjung ke negara asing, David menyatakan perkara paling tidak disukainya adalah pertukaran waktu tidur. Masalah itu menyebabkan dia sukar untuk melelapkan mata sekali gus akan keletihan akibat tidak cukup tidur. Solekan berkualiti Rancak berkongsi pengalaman sambil menunggu persiapan modelnya mendandan rambut dan menukar persalinan, David telah memperkenalkan produk MUFE yang terbaru iaitu Aqua (produk kosmetik kalis air) dan HD (berformatkan definisi tinggi). Katanya, kedua-dua produk tersebut mempunyai kepentingan berlainan. Misalnya, bagi Aqua, penggunaannya cukup membanggakan apabila solekan wajah tidak akan terjejas meskipun terkena air. "Kalau menyelam dengan menggunakan produk Aqua solekan mampu bertahan minimum dua jam," ulasnya sambil melakukan demonstrasi mekap Aqua menggunakan air. Sama juga situasi bagi kaum wanita yang ingin bersukan tetapi risau jika mekap mereka akan rosak dan sebagainya. Aqua masih mampu bertahun walaupun anda diliputi dengan titisan peluh.
Mungkin kedengarannya janggal, namun jenis solekan sebegitu banyak gunanya untuk golongan atau acara tertentu seperti ahli pasukan renang berirama mahupun ketika pertunjukan fesyen kreatif. Sementara itu, produk HD pula sering digunakan untuk menyolek selebriti atau tetamu yang muncul di program televisyen. Solekan HD menampakkan hasil yang lebih lembut dan semula jadi. Tambahnya, kunci ramuan HD adalah ia dilindungi mikro pigmen yang mampu mengelakkan sebarang komplikasi kulit. "HD mampu mengekalkan kelembapan kulit. Bukan hanya pada krim asas, malah bedak yang digunakan juga mengandungi seratus peratus silika," terang David. Solekan dramatik Setelah menerangkan serba sedikit mengenai produk MUFE, David lebih senang menunjukkan keberkesanan kosmetik tersebut ke atas wajah model. Dimulakan dengan campuran bacuhan krim asas, jurusolek profesional itu mempunyai gaya tersendiri. Kelengkapan yang perlu ada bukanlah berus solek tetapi bekas khas yang digunakan untuk meletakkan warna air. "Wanita sering tersalah pilih warna bedak asas. Mereka memilih warna yang tidak bersesuaian dengan ton kulit mereka. "Kesalahan berkenaan menyebabkan wanita kadangkala tampil dengan solekan bedak asas yang terlalu putih, terlalu merah jambu dan ada ketikanya terlalu gelap untuk wajah mereka," nasihat David. Sambil membuat sentuhan solekan, seperti biasa David yang berperwatakan peramah memberikan beberapa tip supaya solekan tidak mudah rosak. Krew Stailo yang melihat sendiri cara solekan jurusolek itu mengakui sememangnya ia agak berlainan kerana dia mengutamakan bahagian mata terlebih dahulu. Mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyiapkan solekan mata, David menyatakan, tujuan utama dia tidak menyapukan krim asas terlebih dahulu kerana kemungkinan pembayang mata yang digunakan akan terkena pada wajah anda. "Saya tidak mahu buat kerja dua kali, jadi saya utamakan bahagian mata yang ingin kelihatan lebih glamor. Begitu juga dengan penggunaan penyamar noda," ulasnya. Tekun melihat pergerakan tangannya yang ingin menghasilkan sentuhan menakjubkan, penggunaan penyamar noda akan digunakan pada bahagian zon T, bawah mata dan sekeliling bibir. "Walaupun anda tidak mempunyai masalah kulit muka, amalkan penggunaan penyamar noda untuk bahagian itu," ujarnya ringkas. Setelah selesai dan berpuas hati dengan sentuhannya itu, David meletakkan berus yang dipegang sekali lagi menunjukkan gaya tersendiri dengan meratakan solekan itu menggunakan jari tangan. David memberitahu, sentuhan terakhir mestilah disempurnakan dengan tangan jurusolek dan bukannya dengan berus. Ia bagai satu signatur profesional. | ||||||
Posted: 24 Oct 2010 05:06 PM PDT
SEHELAI baju T, kemeja atau dres yang mempunyai potongan ringkas boleh diubah suai untuk menjadikan gaya pemakaian anda kelihatan lebih ranggi. Meskipun begitu, apabila kerap memakainya, mungkin anda mula bosan dengan penampilan yang sama. Semuanya gara-gara ilham berfesyen tidak 'kunjung tiba'. Pakaian itu akhirnya disimpan begitu sahaja memenuhi almari peribadi hanya kerana anda masih menyayanginya lantaran ia masih dalam keadaan baik. Stailo mengesyorkan, jangan meminggirkan terus pakaian tersebut kerana anda boleh mengubahnya menjadi sesuatu yang luar biasa. Kalau kena pada olahannya, mungkin juga rakan-rakan akan memberi pujian apabila melihat anda tampil berbeza.
Terbaru, pertunjukan jenama yang sering menjadi pilihan remaja masa kini iaitu Pull & Bear banyak menekankan aspek kebijaksanaan konsep suai padan. Misalnya, dres labuh flora tanpa lengan dipadankan dengan pemakaian jaket kulit sekali gus gaya pemakainya kelihatan lebih urban. Pull & Bear menampilkan lima kategori fesyen wanita iaitu Women My Beloved Watson yang menetapkan ciri jahitan dan fabrik klasik seperti Harris Tweed. Seterusnya Bonnie and Clyde pula mengambil inspirasi daripada filem gengster Bonnie and Clyde yang popular sekitar tahun 1967. Kesemua koleksinya bercirikan ringkas tetapi mempunyai elemen lasak. Pilihan warna yang digunakan adalah kelabu, merah dan biru. Meskipun terdapat unsur warna merah, ia sebenarnya tidak terlalu terang malah terjalin baik dengan rona lain. Bagi kategori Love Story, gaya yang diutamakan mengangkat tema romantis. Baju kot yang mempunyai bulu di bahagian leher meningkatkan lagi aura manis si pemakai. Pin-Up Granny pula menampilkan gaya hebat era 50-an yang tersohor dengan fesyen retro. Sentuhan potongan vintaj diutamakan dengan imej binatang, bunga-bunga kecil dan objek. Akhir sekali bagi fesyen wanita adalah Montgomery High School. Gambaran tepat yang anda boleh bayangkan adalah koleksi baju pinafor, penggunaan fabrik berasaskan bulu biri-biri, seluar paras pinggang dan sarung kaki. Dalam pada itu, gaya lelaki macho turut tidak ketinggalan untuk dipersembahkan di butik Pull & Bear, Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kehangatan koleksi kali ini dipecahkan kepada lapan kategori. Antaranya ialah Men's Mod yang berasaskan fesyen dan muzik.
Ia seolah-olah mengangkat gaya selebriti Small Faces, The Kinks, The Who dan The Action. Pilihan seterusnya adalah Soho mampu memberi kepuasan kepada jejaka yang gemar untuk tampil kasual. Selain itu, jejaka yang sudah lama mengimpikan memakai baju berleher tinggi lebih sesuai dengan kategori Sea Wolf yang mengekalkan ciri klasik melalui warna celoreng dan lambang lanun. | ||||||
Posted: 24 Oct 2010 05:04 PM PDT PERJUANGAN menentang wabak denggi tidak pernah dilupakan sama sekali. Lebih daripada itu, peringatan sering dilaungkan bagi menyedarkan orang ramai mengenai bahaya penyakit pandemik global itu. Namun, sejauh manakah keberkesanan kempen yang dianjurkan dalam pelbagai bentuk itu jika masyarakat masih mengamalkan sikap lepas tangan? Kalau di kawasan taman perumahan, masing-masing saling menuduh dengan mempertikaikan bahawa rumah jiran yang kotor hingga menyebabkan kawasan mereka menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes. Sepatutnya perkara tersebut tidak berlaku malah penerimaan teguran terbuka dan saling mengingati antara satu sama lain mampu menjamin kehidupan yang lebih sihat. Daripada satu sudut lain, timbul juga sikap sebilangan masyarakat yang tidak peka dalam mendapatkan rawatan segera apabila menghidapi demam ataupun tanda-tanda jangkitan wabak denggi. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Rosnah Hadis, sebanyak 20 peratus daripada jumlah kematian akibat demam denggi disumbangkan faktor tersebut. "Jumlah kes terkini wabak denggi berjumlah 39,932 kes dengan peningkatan sebanyak 17 peratus. Kes kematian kini meningkat kepada 114 kes iaitu peningkatan sebanyak 61 peratus berbanding 71 kes dicatatkan sepanjang tempoh sama tahun lepas. "Selangor masih kekal sebagai negeri tertinggi dengan mencatatkan statistik 13,837 kes denggi," kata Rosnah. Beliau berkata demikian dalam teks ucapan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican sempena majlis Program Membanteras Aedes bersama syarikat Sara Lee Malaysia dan Tesco Malaysia Sdn. Bhd.. Majlis tersebut memilih pangsapuri Seksyen 7, Kota Damansara sebagai lokasi kempen bergerak dari rumah ke rumah kerana ia merupakan kawasan 'panas' denggi. Antara intipati kempen yang diadakan sehingga bulan depan adalah setiap kakitangan syarikat itu akan mengunjungi penduduk setempat untuk memberi nasihat mengenai bahaya denggi selain mengedarkan produk racun serangga. "Penduduk harus tahu, sekiranya kawasan rumah mereka bersih, ia tidak bermakna tiada wabak denggi. Disebabkan persekitaran taman perumahan itu tidak dijaga maka ia akan menjejaskan keseluruhan tempat itu," jelas Naib Presiden Kanan Sara Lee Malaysia, Gary Brown. Usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes adalah dengan menggunakan racun serangga aerosol di dalam rumah sebagai amalan mingguan membunuh nyamuk dewasa. Jenama racun serangga itu sudah sekian lama terlibat secara aktif dalam kempen membantu masyarakat mengekang wabak denggi. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |