Adsense

Selasa, 2 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Tunggu masa sesuai

Posted: 01 Jul 2013 11:30 PM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar FARAH AIN BAHAMAN (Pelatih Unisel)

SEBAGAI lelaki dan suami, dia mahu mempersiapkan asas yang kukuh buat dirinya dan keluarga dalam pelbagai bidang.

SELEPAS memilih untuk mengurangkan aktiviti lakonan dan mendalami bidang perubatan Islam, nama Ashraf Muslim nampaknya menjadi semakin panas dan terus panas.

Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah ini dicari dan dikejar merata, semata-mata untuk mendapatkan berita, benarkah dia mahu mengamalkan poligami, hanya selepas dua tahun bernikah dengan Noor Dayana Lokman?

Banyak perubahan baik yang dilakukan jejaka berusia 32 tahun ini berjaya melonjakkan namanya (berbanding zaman berlakon), tetapi selagi seseorang itu bergelar selebriti, pastinya tidak mampu untuk lari daripada gosip-gosip liar atau tohmahan negatif.

Berkuat kuasa pada tarikh 2 Jun lalu, Ashraf dikhabarkan telah meletakkan jawatannya selaku COO di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah, tidak beberapa lama selepas dikaitkan dengan gosip berhubung isu poligami.

Setelah beberapa minggu mengelak daripada dihubungi pihak media, Ashraf tampil memberikan sedikit sebanyak kisah daripada pihaknya kepada media dalam sidang akhbar Seindah Ramadan TV3 2013 yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sedar akan cerita-cerita buruk yang berkisar tentang dirinya, Ashraf memilih untuk mendiamkan diri daripada memberikan sebarang kenyataan buat masa ini.

"Sebagai seorang lelaki dan suami, saya mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan sebarang masalah yang tiba, dan buat masa ini saya memilih untuk mendiamkan diri.

"Saya mengambil langkah ini kerana beberapa sebab, antaranya adalah untuk menjaga hati individu-individu yang terlibat selain tidak mahu menimbulkan sebarang salah faham.

"Insya-Allah apabila sudah tiba masa yang sesuai saya akan mengadakan satu sidang akhbar khusus untuk menerangkan perkara dan situasi yang sebenar," katanya.

Ashraf yang telah bergelar suami kepada Dayana pada 30 Ogos 2011 memberitahu tiada gunanya dia memberikan sebarang kenyataan balas berhubung gosip tersebut kerana itu adalah fitnah dibuat orang terhadap dirinya.

"Soal berhubung poligami ini adalah suatu perkara yang serius dan mungkin menimbulkan perselisihan. Ada yang berpendapat positif manakala selebihnya pula berpendapat negatif.

"Tetapi saya sedar bukan hak saya untuk menghalang sesiapa sahaja daripada membuat sebarang kenyataan, cuma saya ingin bertanya apakah salah saya sehingga diperlakukan sedemikian?," kata Ashraf.

Bertanya lanjut mengenai soal poligami, kata Ashraf, lebih elok jika dia tidak terlalu terbuka soal itu.

Tentang tindakan seorang wanita yang dikenali sebagai Sakinah memberi kenyataan kepada sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan bahawa isteri kepada Ashraf iaitu Dayana sudi untuk bermadu dengannya, Ashraf mengakui perkara tersebut juga merunsingkan dirinya.

"Tidak lama selepas berita itu tersebar, saya sendiri menghubungi wanita tersebut bertanyakan hal sebenar. Namun menurutnya dia tidak pernah berbuat demikian. Maknanya, itu bukan kenyataan daripada dia.

"Secara jujur saya juga kecewa dengan perkara yang berlaku. Mungkin pihak-pihak yang memulakan gosip ini mempunyai kepentingan tersendiri tetapi saya tidak mahu bercerita tentang perkara tersebut lagi," katanya lanjut.

Sayang isteri

Perkahwinan yang dibina Ashraf bersama isterinya, Dayana baru sahaja mahu menginjak ke usia dua tahun tetapi apabila timbulnya gosip sedemikian (poligami) pastinya ia akan menimbulkan suasana kurang manis di antara pasangan terbabit.

Antara sebab Ashraf membuat keputusan untuk berdiam diri juga adalah untuk menjaga hubungan di antara dirinya dan isteri dan juga seluruh ahli keluarga.

"Gosip-gosip seperti ini bukan perkara baru bagi saya, dan saya yakin mampu mengawalnya. Akan tetapi bagi isteri dan keluarganya, ini adalah suatu perkara yang baru buat mereka.

"Pastinya gosip sedemikian akan memberikan mereka juga tekanan, apatah lagi buat isteri saya. Tetapi mujurlah dia dan keluarganya mengetahui perkara sebenar berhubung diri saya.

"Apa yang mahu saya katakan, saya amat menyayangi isteri saya," katanya dengan jelas dan tenang sewaktu ditemubual.

Dalam setiap perkahwinan, pasti akan ada dugaan dan cabaran yang dihadapi, apatah lagi sekiranya perkahwinan yang dibina itu masih lagi berusia muda dan Ashraf sendiri menyedarinya.

"Saya menganggap kejadian ini merupakan suatu dugaan dan cabaran kecil dalam hidup saya dan Insya-Allah, semuanya akan selesai tidak lama lagi," jelasnya.

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Hiburan Buat Seisi Keluarga

Posted: 01 Jul 2013 08:16 PM PDT

Buat Steve Carrell, filem animasi 'Despicable Me 2 in 3D' menawarkan sesuatu baik untuk penonton kanak-kanak mahupun dewasa. Sebagai seorang ayah kepada dua orang anak kecil, dia dapat berhubung dengan ceritanya.

"Apa yang dipersembahkan itu amat jujur dan ikhlas. Bila anda mempunyai anak, ia akan mengubah setiap aspek hidup anda tetapi dalam cara yang baik. Kanak-kanak akan menyukai jenaka 'Despicable Me 2 in 3D' sementara ibu bapa akan mengenali melalui pengalaman sendiri apa maknanya bila mempunyai anak-anak."

Katanya lagi, dia memahami situasi Gru yang sukar untuk melepaskan anak sulungnya Margo yang semakin menginjak ke alam dewasa.

"Melihat Margo memasuki alam berpacaran, itu satu transisi yang amat besar bagi Gru, bagi kebanyakkan bapa. Bila melihat anak-anak perempuan mereka semakin matang dan menaruh minat terhadap lelaki, mereka bukannya cemburu tetapi tidak dinafikan wujudnya satu 'tension' di antara si ayah dan budak-budak lelaki yang meminati anak perempuan mereka."

Tambah Carell, apa yang membezakan 'Despicable Me 2 in 3D' berbanding filem animasi lain adalah jenaka serta jiwanya.

"Ia mungkin sebuah filem animasi tetapi ia juga menyelitkan elemen-elemen kemanusiaan. 'Despicable Me' dan 'Despicable Me 2' adalah filem yang bijak, lawak dan menyentuh perasaan. Para penulis telah berjaya mencipta sesuatu yang istimewa dan unik."

Jika anda sedang mencari aktiviti yang boleh dinikmati seisi keluarga, apakata anda menonton 'Despicable Me 2 in 3D' di pawagam bermula 4 Julai 2013.

Kontroversi Afiq, ibu: Masalah selesai

Posted: 01 Jul 2013 04:41 PM PDT

Pelakon kontroversi, Afiq Muiz mengakui serik dan enggan lagi berkongsi kisah peribadi bersama media.

Justeru, tatkala dihubungi, semalam, bagi mengetahui perkembangan terkini hubungan dengan ibu kandungnya, Hasliza Mohamad, jejaka ini memilih untuk berdiam diri.

Ditanya apakah dia akan mengambil langkah menjernihkan kembali hubungan dengan si ibu sempena Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, Afiq bungkam.

Hanya setelah dua kali soalan sama diajukan dan beberapa minit mengunci mulut, barangkali cuba mengumpul kekuatan, anak muda ini akhirnya bersuara dengan nada seolah-olah tidak bermaya.

Saya tidak mahu komen apa-apa. Hubungan kami sudah OK, jawab pelakon drama bersiri Bangkitnya Seorang Wanita ini ringkas.

Diminta penjelasan adakah dia bersemuka dengan Hasliza atau sekadar memohon maaf menerusi panggilan telefon, Afiq enggan mengulas panjang.

Saya rasa media tidak perlu tahu kerana ia membabitkan soal peribadi. Saya tidak mahu berkongsi apa-apa lagi dengan media. Cukuplah dengan apa yang sudah berlaku sebelum ini.
Tidak guna saya beriya-iya menegakkan kebenaran, kelak diri saya juga yang dipersalahkan. Lagi pun, kenyataan saya selama ini sering ditokok tambah dan seterusnya saya yang menjadi bahan fitnah. Jadi lebih baik saya tidak memberikan komen panjang lebar, kata Afiq.

Jangan tambah fitnah

Bukan saja enggan berbicara mengenai kekeruhan hubungan dengan si ibu, Afiq juga tidak mahu mengulas lanjut perihal dirinya dengan pelakon, Eina Azman.

Biarpun ibunya mendakwa Afiq dan pelakon berusia 18 tahun itu mempunyai hubungan istimewa, Afiq bermati-matian menafikannya. Sebaliknya dia berkata, Eina dan dirinya hanya bersahabat baik.

Sekalipun cuba menyorokkan perkara itu, baru-baru ini ada mata yang kononnya melihat pasangan ini berjalan berpimpin tangan dengan lagak penuh mesra di sebuah restoran di Bangsar.

Begitupun Afiq sekali lagi menyangkal tuduhan itu.

Bila masa pula kami berpegangan tangan? Saya rasa tidak perlulah saya komen hal ini, tolong jangan menambah fitnah ke atas diri saya, katanya.

Rezeki tak terjejas

Sementara itu, menyentuh soal kerjaya, kontroversi membabitkan dirinya langsung tidak menjejaskan periuk nasinya sebagai pelakon.

Alhamdulillah, rezeki masih ada walaupun dengan apa yang berlaku selama ini. Saya percaya rezeki di tangan Allah dan bersyukur dengan kurniaan-Nya. Saya kini sibuk menjalani penggambaran drama Ratu Syuhada untuk RTM, katanya.

Pelakon berusia 21 tahun ini mula menjadi buruan media dan perhatian masyarakat apabila Hasliza membuat pendedahan kepada sebuah portal mengenai sikap Afiq yang kononnya sudah melupakan keluarga setelah menjalin hubungan dengan pelakon wanita, Mei lalu.

Hasliza yang terlalu kecewa dengan sikap anaknya, yang disifatkan sudah lupa diri, turut menggelarkan Afiq sebagai anak derhaka. Malah dia mendedahkan Afiq berubah menjadi panas baran, bersikap kurang ajar serta hilang perasaan sayang kepada keluarga setelah mengecap populariti.

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Ezlynn masih belum ada rezeki menimang cahaya mata

Posted: 01 Jul 2013 07:30 AM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Ezlynn tidak tertekan apabila sering diasak dengan pertanyaan mengenai anak selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya, Adam Fahmi.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 31, sebaliknya berkata, mereka masih berusaha untuk mendapatkan cahaya mata namun rezeki masih belum menyebelahi mereka.

"Saya dan suami tidak pernah merancang tetapi masih belum rezeki kami untuk mendapatkan cahaya mata. Bagaimanapun kami tidak tertekan dengan situasi ini kerana yakin akan tiba masa untuk kami nanti," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.

Ezlynn dan Adam, 35, sah bergelar suami isteri pada 20 November 2011 dalam satu upacara yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre, di sini.

Dalam perkembangan sama, Ezlynn berkata, keluarga kedua-dua belah pihak juga tidak pernah membangkitkan soal berkenaan kepada mereka namun mengharap rumah tangga yang dibina itu akan diserikan dengan kehadiran cahaya mata.

Bagaimanapun kata Ezlynn, dia tahu keluarga sebelah suaminya mengharapkan kehadiran cucu kerana Adam adalah anak pertama dalam keluarganya.

"Sebelah keluarga suami masih belum ada yang berkahwin dan sudah tentu harapan itu agak tinggi diletakkan kepada kami namun keluarga mertua juga memahami dan tidak pernah membangkitkan soal tersebut," jelasnya.

Sementara itu, Ezlynn berkata, dia semakin memahami Adam yang juga pengurusnya dan semakin bijak membezakan soal kerjaya dan peribadi.

"Sebenarnya tidak banyak perbezaan tetapi kami semakin saling memahami di antara satu sama lain dan kami bahagia bersama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ezlynn berkata, dia bakal merakamkan sebuah lagu ciptaan penyanyi Dina Nazir bersempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri sebelum memasuki studio untuk album penuh terbaharunya.

Jelas Ezlynn, dia tidak mahu terburu-buru untuk menyiapkan album tersebut kerana ingin menkaji terlebih dahulu citarasa pendengar supaya ia dapat diterima dengan meluas.

"Saya mahu buat sesuatu yang boleh meninggalkan kesan kepada pendengar dan peminat sebab itu tidak mahu terburu-buru merakamkan album itu nanti," katanya.

Shahrizal Jazsle tertekan dengan isu tangkap khalwat

Posted: 01 Jul 2013 07:28 AM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Shahrizal Jaszle mengakui semakin tertekan dengan kontroversi yang melandanya ekoran ditangkap khalwat bersama seorang wanita selain diasak dengan pelbagai pertanyaan berhubung kejadian itu oleh pelbagai pihak.

Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle, 25, berkata, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan untuk bermuhasabah tentang kejadian khalwat itu.

"Terus terang saya tidak tahu lagi ingin cakap apa mengenai kes tersebut supaya masyarakat dapat memahami situasi saya.

"Saya berasa letih dengan kontroversi tersebut dan ingin berehat seketika supaya dapat menenangkan fikiran," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Shahrizal, dia juga mengambil keputusan itu selepas tidak pernah mengambil cuti daripada berlakon sejak beberapa tahun lalu.

Pada 16 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu kenyataan medianya mengesahkan telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartment Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi.

Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes tersebut akan disebut di Mahkamah Syariah pada 12 November depan.

Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia enggan lagi mengulas kes berkenaan mahupun hubungan dengan tunangnya dengan Redzwani Puteri kerana sedar jawapannya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak.

Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada terus bercakap tentang kes tersebut dan menunggu perbicaraan di mahkamah penghujung tahun ini.

"Macam-macam saya kena hentam dan pelbagai pertanyaan yang diajukan sehingga saya tidak tahu lagi hendak menggunakan ayat apa bagi mempertahankan diri.

"Jalan paling baik adalah berdiam diri selepas ini dan tunggu perbicaraan di mahkamah kelak," ujarnya.

Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.