Adsense

Selasa, 2 Julai 2013

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Ezlynn masih belum ada rezeki menimang cahaya mata

Posted: 01 Jul 2013 07:30 AM PDT

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Ezlynn tidak tertekan apabila sering diasak dengan pertanyaan mengenai anak selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya, Adam Fahmi.

Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 31, sebaliknya berkata, mereka masih berusaha untuk mendapatkan cahaya mata namun rezeki masih belum menyebelahi mereka.

"Saya dan suami tidak pernah merancang tetapi masih belum rezeki kami untuk mendapatkan cahaya mata. Bagaimanapun kami tidak tertekan dengan situasi ini kerana yakin akan tiba masa untuk kami nanti," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.

Ezlynn dan Adam, 35, sah bergelar suami isteri pada 20 November 2011 dalam satu upacara yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre, di sini.

Dalam perkembangan sama, Ezlynn berkata, keluarga kedua-dua belah pihak juga tidak pernah membangkitkan soal berkenaan kepada mereka namun mengharap rumah tangga yang dibina itu akan diserikan dengan kehadiran cahaya mata.

Bagaimanapun kata Ezlynn, dia tahu keluarga sebelah suaminya mengharapkan kehadiran cucu kerana Adam adalah anak pertama dalam keluarganya.

"Sebelah keluarga suami masih belum ada yang berkahwin dan sudah tentu harapan itu agak tinggi diletakkan kepada kami namun keluarga mertua juga memahami dan tidak pernah membangkitkan soal tersebut," jelasnya.

Sementara itu, Ezlynn berkata, dia semakin memahami Adam yang juga pengurusnya dan semakin bijak membezakan soal kerjaya dan peribadi.

"Sebenarnya tidak banyak perbezaan tetapi kami semakin saling memahami di antara satu sama lain dan kami bahagia bersama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ezlynn berkata, dia bakal merakamkan sebuah lagu ciptaan penyanyi Dina Nazir bersempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri sebelum memasuki studio untuk album penuh terbaharunya.

Jelas Ezlynn, dia tidak mahu terburu-buru untuk menyiapkan album tersebut kerana ingin menkaji terlebih dahulu citarasa pendengar supaya ia dapat diterima dengan meluas.

"Saya mahu buat sesuatu yang boleh meninggalkan kesan kepada pendengar dan peminat sebab itu tidak mahu terburu-buru merakamkan album itu nanti," katanya.

Shahrizal Jazsle tertekan dengan isu tangkap khalwat

Posted: 01 Jul 2013 07:28 AM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Shahrizal Jaszle mengakui semakin tertekan dengan kontroversi yang melandanya ekoran ditangkap khalwat bersama seorang wanita selain diasak dengan pelbagai pertanyaan berhubung kejadian itu oleh pelbagai pihak.

Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle, 25, berkata, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan untuk bermuhasabah tentang kejadian khalwat itu.

"Terus terang saya tidak tahu lagi ingin cakap apa mengenai kes tersebut supaya masyarakat dapat memahami situasi saya.

"Saya berasa letih dengan kontroversi tersebut dan ingin berehat seketika supaya dapat menenangkan fikiran," jelasnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Shahrizal, dia juga mengambil keputusan itu selepas tidak pernah mengambil cuti daripada berlakon sejak beberapa tahun lalu.

Pada 16 Mei lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu kenyataan medianya mengesahkan telah menahan Shahrizal atas tuduhan khalwat di Apartment Taman Sri Subang, di sini, pada pukul 3.30 pagi.

Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes tersebut akan disebut di Mahkamah Syariah pada 12 November depan.

Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia enggan lagi mengulas kes berkenaan mahupun hubungan dengan tunangnya dengan Redzwani Puteri kerana sedar jawapannya tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak.

Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada terus bercakap tentang kes tersebut dan menunggu perbicaraan di mahkamah penghujung tahun ini.

"Macam-macam saya kena hentam dan pelbagai pertanyaan yang diajukan sehingga saya tidak tahu lagi hendak menggunakan ayat apa bagi mempertahankan diri.

"Jalan paling baik adalah berdiam diri selepas ini dan tunggu perbicaraan di mahkamah kelak," ujarnya.

Shahrizal dan Redzwani Puteri bertunang pada 8 Disember 2012 dan mereka dijadualkan berkahwin pada 2015 selepas wanita yang menuntut dalam jurusan perubatan itu tamat pengajian.