Adsense

Isnin, 1 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Lisa Surihani bakal bintangi filem terbaharu arahan Yusry

Posted: 01 Jul 2013 09:15 AM PDT

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Julai - Aktres Lisa Surihani Mohamed, 27, bakal berlakon filem terbitan KRU Studios, arahan suaminya, Yusry Abdul Halim, 40, selepas Aidilfitri ini.

Lisa yang enggan mendedahkan genre filem tersebut berkata, dia tertarik untuk berlakon filem berkenaan kerana kagum dengan hasil kerja Yusry menerusi filem Vikingdom sebelum ini.

"Sudah lama saya berhasrat untuk berlakon di bawah arahan Yusry dan ternyata peluang itu ada. Walaupun saya ini isterinya, seperti pelakon lain saya juga menjalani uji bakat sebelum diterima.

"Saya tidak boleh bercerita lanjut tentangio genre filem itu kerana akan ada sidang akhbar nanti. Apa yang saya boleh beritahu, watak yang saya bawa itu berbeza dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini," katanya.

Pelakon yang merupakan duta jenama Garnier ketika ditemui pada majlis ramah mesra di Bangsar di sini hari ini, berkata, sebelum ini dia pernah bergandingan dengan Yusry dalam filem Ular, arahan Jason Chong.

Menurut Lisa, dia tidak akan menghadapi masalah apabila berlakon di bawah arahan Yusry kerana dalam karier mereka sering bersikap profesional.

"Watak itu berbeza dan sebab itu saya terima. Buat masa sekarang saya amat selektif tentang watak. Saya perlu berbuat demikian agar penampilan saya dalam bidang lakonan memberi impak kepada penonton, katanya. - UTUSAN ONLINE

Awi Rafael nafi pernah bercinta dengan Shila

Posted: 30 Jun 2013 11:13 PM PDT

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Julai - Penyanyi Awi Rafael, 27, nafi pernah menjalin hubungan cinta dengan Shila Amzah, 23, sebelum ini.

Sebaliknya penyanyi yang popular dengan lagu "Pulanglah" dan "Asalkan Aku Ok" itu berkata, hubungannya dengan Shila tidak melebihi batasan sebagai rakan artis seperti mana hubungannya dengan artis lain.

Gosip Awi pernah menjalin hubungan cinta dengan bekas kekasih Sharnaaz Ahmad itu timbul selepas dia putus cinta dengan pelakon Hanez Suraya, baru-baru ini.

Menurut Awi, hubungannya dengan Shila yang dikenali sewaktu sama-sama belum berada di tahap sekarang, adalah sama seperti mana dia berkawan dengan artis wanita lain.

"Saya ikhlas berkawan dengan Shila dan tidak pernah terfikir bercinta pun waktu itu. Hubungan kami seperti rakan-rakan artis lain. Sebagai rakan artis saya gembira dengan pencapaiannya dalam bidang seni.

"Buat masa sekarang fokus utama saya adalah karier, tentang masa depan itu biar Allah yang tentukan. Lagipun saya baru sahaja putus cinta, jadi mana mungkin saya mencari cinta baru buat masa ini," katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, yang juga komposer itu berkata, dia ingin memberi tumpuan kepada bidang nyanyian dan lakonan. - UTUSAN ONLINE