Fizo bukan di alam fantasiFizo bukan di alam fantasi
Oleh SY MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto IZHAM JAAFAR
Lokasi ISTANA BUDAYA KUALA LUMPUR
SIAPA yang 'melacurkan' teater? Benarkah dakwaan yang mengatakan kebanyakan artis yang terlibat dalam pentas teater 'menyumbangkan' lagi pentas teater yang cukup menuntut pengorbanan yang tinggi?
Benarkah juga dakwaan yang mengatakan pelakon popular yang terlibat dalam pementasan teater berskala besar ini hanya menjual rupa? Benarkah mereka mementingkan wang sehingga menyebabkan ramai penggiat teater terpinggir?
Enggan terus terburu dalam perbalahan yang tak berkesudahan itu, pendokong watak utama Muzikal Siti Di Alam Fantasi ini tidak mahu menjeratkan diri dalam kontroversi tersebut.
Katanya, semua pelakon yang terlibat tahu apa yang mereka inginkan. Biarpun apa sahaja dakwaan yang dilemparkan, hanya mereka yang terpalit kontroversi sahaja tahu apa jawapannya.
Ada yang mahu menjual bakat, ada yang datang kerana wang ringgit dan tak kurang juga yang tak mampu menolak peluang untuk beraksi di pentas yang lebih besar atas dasar minat.
"Terpulang kepada pelakon itu sendiri. Ada yang berlakon teater kerana nak cari duit. Ada pula yang berlakon kerana mahu mengembangkan bakat selain mengasah mutu lakonan.
"Saya akui ada orang berlakon semata-mata kerana duit. Tak mustahil juga untuk mereka cari apa yang mereka idamkan. Saya tidak mengata sesiapa tetapi inilah realiti yang berlaku hari ini.
"Memang berlakon teater ini menuntut pengorbanan yang tinggi. Kena ketepikan perkara lain semata-mata nak tumpukan hal lakonan. Kalau difikirkan ini merupakan satu benda yang bagus.
"Saya dapat belajar untuk jadi lebih baik. Kalau nak masuk kelas lakonan kena bayar. Ini kita dapat bayaran di samping menambah baik mutu lakonan. Tak semua orang dapat peluang macam ni," katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Bercerita mengenai Muzikal Siti Di Alam Fantasi, pemilik nama Wan Hafizol Wan Omar cukup teruja bergandingan dengan pelakon lain termasuklah Liyana Jasmay, Johan Raja Lawak, Ebby Yus dan ramai lagi.
Muzikal yang akan dipentaskan mulai 22 Disember hingga 31 Disember ini bagaikan menjadi kayu ukur kepada anak muda yang berusia 25 tahun ini.
Dia yang akan membawakan watak Ketua Lipas dan Putera Raja itu cukup teruja apabila dapat bekerja di bawah arahan Aminah Rhapor yang cukup terkenal dengan teater kanak-kanak.
Pengalaman terpaksa menari dan menyanyi memang memberikan cabaran besar buat dirinya memandangkan sebelum ini dia belum pernah mencuba.
"Sebelum ini pun memang ada tawaran berlakon teater yang saya terima. Cuma masa tak mengizinkan. Kebetulan mereka menawarkan watak ini semasa saya sedang berehat.
"Bila wakil Istana Budaya menawarkan watak ini, memang saya tak boleh fikir panjang. Kena terima juga sebab ini memang kena dengan masanya.
"Tapi cabarannya cukup hebat sebab ia melibatkan teater kanak-kanak. Kita kena berkawan dengan mereka untuk memberikan lebih jiwa dalam lakonan. Nak buat mereka ketawa bukan perkara yang mudah.
"Kalau ikut perancangan asal memang saya mahu berehat panjang setiap hujung tahun. Kalau bekerja tanpa rehat pun tak seronok. Sebab dalam kepala saya ni ada banyak perkara yang nak kena buat," kata Fizo yang cukup 'gilakan' motosikal berkuasa tinggi.
Dengan motosikal berkuasa 750cc itu juga dia bergerak ke mana-mana sahaja. Semuanya gara-gara teruja dengan minat yang baru bercambah itu.
Tiga tahun menyelusuri perjalanan seni, Fizo masih baru sebenarnya. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh pemegang Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis untuk menempatkan diri dalam kelompok pelakon yang hebat.
Kalau ada yang masih ingat sebelum ini Fizo pernah dilabel sebagai pelakon 'kayu'. Lakonannya cukup kaku walaupun memegang watak utama dalam beberapa buah drama sebelum ini.
Sambil tertawa mengenangkan kisah tersebut, Fizo tahu banyak perkara yang telah dipelajarinya setelah puas menerima kritikan.
"Dulu bukan sahaja kayu tapi besi! Sebagai pelakon kita sentiasa mahu memperbaiki diri untuk jadi terbaik. Kalau nak kata puas berlakon, rasa tidak. Masih banyak benda yang saya mahu gapai dalam bidang ini. Cuma mungkin belum tiba masanya lagi," katanya.