Adsense

Sabtu, 18 Disember 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tiada masa di bilik mandi

Posted: 17 Dec 2010 07:57 AM PST

LEBIH lima tahun menjalin kasih, pasangan aktres jelita, Angelina Jolie dan aktor kacak Hollywood, Brat Pitt cukup bahagia di samping cahaya mata. Apatah lagi, tiga daripada enam anak kecil itu zuriat kandung mereka hasil hubungan intim dijalin.

Kini, selain karier lakonan tumpuan Angelina mahupun Pitt pastinya ke arah membesarkan Maddox, 9; Pax, 7; Zahara, 5;, Shiloh, 4, serta pasangan kembar
Knox dan Vivienne, 2. Bagi mereka, kegembiraan anak adalah perkara yang paling utama.


Malah, Angelina atau nama sebenarnya, Angelina Jolie Voight, 35, tanpa berselindung mengakui ada kalanya dia tiada masa untuk mandi kerana terlalu sibuk menguruskan anak. Begitu juga, Angelina terikat dengan jadual yang padat.

Dalam temu ramah bersamanya ketika hadir pada majlis tayangan perdana filem The Tourist di London, baru-baru ini. Angelina berkata, dia seorang ibu yang sangat sibuk. Bukan saja memberi fokus kepada keluarga, tetapi pada masa sama aktif berlakon filem.

"Setiap hari, saya tiada masa kosong dan semuanya terisi dengan pelbagai aktiviti seni. Jika berada di rumah pula, setiap saat itu lebih kepada perhatian untuk anak. Jadi, saya memang tidak berpeluang habiskan banyak masa di bilik mandi.

"Ada ketikanya, saya teringin mandi sambil berehat-rehat di dalam bilik mandi. Namun, apakan daya anak lebih memerlukan saya bersama mereka. Apapun, saya sendiri tidak pernah berasa penat melayan apa saja kerenah anak.

"Beginilah hidup jika memiliki ramai anak. Namun, saya tidak kesal dan jujurnya di hati ini masih ada keinginan untuk menambah bilangan anak. Realitinya, saya sentiasa gembira melalui banyak pengalaman hebat untuk menjadi ibu yang baik," katanya.

Angelina berkata, perjalanan kehidupannya kini lebih bermakna berbanding ketika bersendirian dulu. Bahkan, baginya kehadiran anak kecil dalam hidup seorang wanita dewasa adalah normal kerana ia melambangkan kematangan fikiran dalam mengurus keluarga.

Menurut bintang ternama kelahiran Amerika Syarikat ini, dia juga tak pernah bimbang jika dia perlu menghabiskan masanya dengan anak saja. Ujarnya, menjadi tanggungjawab dia dan Pitt, 46, mempertahankan kasih sayang dibina.

Rancang perkahwinan ikut adat India

SIBUK membuat perancangan perkahwinan mereka, pasangan sejoli Angelina dan Pitt dimaklumkan berkunjung di Mumbai, India baru-baru ini. Khabarnya, mereka berminat mengadakan majlis perkahwinan mengikut cara masyarakat India.

Apapun, perkahwinan mengikut adat masyarakat Hindu bukanlah asing dalam kalangan bintang terkenal Hollywood. Kisah terbaru dan masih hangat lagi, sudah tentu perkahwinan bintang sensasi, Katie Perry dan Russell Brand yang memilih adat Hindu.

Namun, Angelina dan Pitt dikatakan merancang mengadakan majlis perkahwinan mereka mengikut cara masyarakat Rajasthan pada tahun baru ini. Mengikut cerita yang disampaikan sumber, pasangan itu kini giat berlatih yoga untuk memantapkan stamina.

Bahkan, aktiviti yoga itu juga dikatakan membantu mengukuhkan kekuatan dalam perhubungan Angelina dan Pitt.

Adat perkahwinan masyarakat Rajasthan menjadi pilihan kebanyakan selebriti terkenal antarabangsa termasuk Elizabeth Hurley dan pasangannya, Arun Nayyar; Vikram Chatwal/ Priya Sachdev dan Raveena Tandon/ Anil Thadani.

The Tourist gandingan bersama Johnny Depp

LIGAT dengan aktiviti promosi filem baru lakonannya, The Tourist yang kini ditayangkan di seluruh dunia, Angelina memainkan watak Elise Ward, seorang wanita jelita dan misteri. Malah, Elise terjerat cinta dengan penjenayah dikehendaki, Alexander Pearce.

Kisah percintaan antara Elise dan Pearce terjalin ketika menaiki tren dalam perjalanan dari Paris ke Venice. Bahkan perjalanan kisah pengembaraan yang penuh aksi hebat dan mendebarkan itu dilengkapkan dengan kemunculan Frank Tupelo lakonan Johnny Depp.

Angelina berkata, The Tourist mengisahkan semangat waja seorang wanita. Katanya, karakter Elise dalam filem itu sangat berbeza berbanding yang pernah dilakonkannya sebelum ini. Maklum saja, Angelina sudah sinonim dengan watak Lara Croft.

"Saya berhadapan cabaran besar untuk menjayakan watak Elise dalam The Tourist ini dengan baik. Bagi saya, ia terlalu berat kerana pelbagai aspek lakonan perlu dititikberatkan. Saya perlu mengenal pasti setiap kehendak skrip terhadap watak itu.

"Bergandingan dengan Depp adalah pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana
kami boleh saling bekerjasama. Antara kami, masing-masing bersaing memastikan watak dilakonkan menjadi seperti dikehendaki pengarah," katanya.

Biarpun dalam rangka promosi hebat, persembahan plot cerita filem The Tourist dikatakan kurang mendapat sambutan penonton di pawagam. Bersandarkan bajet pembikinan sebanyak RM310 juta (AS$100 juta), sebahagian ulasan diberikan adalah negatif. Malah, mengikut carta 'pecah panggung AS' setakat ini, The Tourist hanya mencatat kutipan sebanyak RM52.7 juta (AS$17 juta).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

'Usah perkecil usaha kami'

Posted: 17 Dec 2010 07:55 AM PST

PANDANGAN setiap orang selalunya berbeza, namun ada baiknya menghormati pendirian orang lain daripada bercakap yang bukan-bukan. Jika seseorang penerbit tiada impian dan visi mahu meneroka pasaran luar, tidak perlulah mereka memandang lekeh usaha KRU Studios yang gigih berbuat demikian.

Itulah yang dijelaskan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kru Studios, Norman Abd Halim.

Ditemui pada Asia Television Forum (ATF) yang berlangsung di Suntex Convention Centre, Singapura, baru-baru ini, Norman berkata, ini kali kedua KRU Studios menyertai forum sedemikian dan peluang ini digunakan untuk membentuk rangkaian perniagaan dengan penerbit yang hadir dari negara luar.

"Diikutkan forum ini sangat kecil berbanding forum sama di Cannes, Perancis dan Hong Kong. Namun, kesempatan hadir ke sini digunakan untuk bertemu dengan pelanggan dari rangkaian stesen Singapura. Saya gunakan sebaik mungkin untuk berjumpa dengan mereka yang ada hubung kait dalam perniagaan.


"Dalam apa juga perkara yang diceburi, proses perkenalan bukan mudah kerana memakan masa. Apabila kerap hadir ke forum sebegini, lebih mudahlah, saya kenal dengan mereka yang berkaitan. Malah menerusi penyertaan dalam forum sebeginilah kami berjaya memasarkan filem Merong Mahawangsa ke 60 negara.


"Pada saya, penerbit tak boleh berharap untuk datang ke satu forum saja kerana ada pasaran yang susah untuk dimasuki. Kita perlu sesuaikan produk dengan cita rasa dan pasaran. Kalau Merong Mahawangsa sudah berjaya tembus ke luar, tak sukarlah untuk penerbit lain berbuat demikian nanti.

Norman tidak menafikan ada penerbit yang hanya memfokuskan pasaran tempatan kerana kandungan cerita yang dipaparkan bersifat setempat. Begitupun, dia melihat ada pengarah dan penerbit yang berkemampuan untuk ke luar.

"Saya menghormati pendirian mereka ini dan tetap anggap mereka penting dalam menggerakkan industri seni tempatan. Tapi janganlah perkecilkan matlamat Kru Studios yang nak ke pasaran global.

"Kami ada matlamat nak ke pasaran ini dan kenal sejauh mana kemampuan diri sendiri. Produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa ada beza dan ini bergantung kepada visi syarikat masing-masing," katanya.

Selain produk KRU Studios, Norman turut membawa produk edaran mereka iaitu filem Lagenda Budak Setan, Haq dan Puteri Gunung Ledang untuk dijual kepada pihak luar yang berminat.

Menurutnya, produk sebegini dipasarkan dalam bentuk DVD, digital dan siaran TV kerana sukar baginya menjual filem untuk tayangan di pawagam.

"Kalau nak filem masuk ke pasaran antarabangsa, kena ada pelakon bertaraf antarabangsa juga. Pasaran untuk jual filem di forum begini agak terhad kerana lebih bertumpu kepada filem box-office.

"Forum ini tapak untuk cari rangkaian bisnes dan selebihnya perlu ada tindakan susulan," jelasnya yang berpuas hati dengan kejayaan Cicak-Man menembusi pasaran luar seperti Filipina, Thailand dan Perancis.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.