Adsense

Isnin, 22 April 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


PRU-13: Golongan artis turut bantu kempen calon BN

Posted: 22 Apr 2013 01:04 AM PDT

PELAWAK, Rahim R2 (dua kiri) dan Mamat Sepah (tiga kiri) turut turun membantu kempen bagi calon Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (tengah) di Kota Tinggi semalam. - UTUSAN

KOTA TINGGI 22 April - Golongan artis tidak ketinggalan menghangatkan suasana kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini apabila turut membantu dalam kempen-kempen yang diadakan oleh calon-calon yang yang bertanding.

Antara artis yang berbuat demikian ialah pelakon dan pelawak Mamat Sepah dan Rahim R2 yang 'turun padang' membantu calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Datuk Baderi Dasuki di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti.

Mamat yang mula turun berkempen semalam berkata, dia berasa terpanggil untuk membantu calon BN kerana mahu pengundi membuat pilihan bijak pada hari mengundi pada 5 Mei ini.

"Ini juga tanggungjawab sosial yang perlu kami lakukan memandangkan ramai yang mengenali kami. Jadi, mudah bagi golongan artis untuk mendekati pengundi," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, selain berkempen mereka juga akan mengadakan persembahan bersama rakan-rakan artis lain iaitu Iffa Radziah dan Nash pada 27 April ini di Taman Anggerik Tenggara, Bandar Tenggara.

"Pada 3 Mei kami akan membuat persembahan bersama Mawi dan Rafidah Ibrahim di Kampung Lukut, Kota Tinggi. Saya percaya dan yakin BN akan berjaya mengekalkan kemenangan dengan majoriti besar di Tenggara kerana rekod baik parti itu dalam membawa kemajuan dan kemakmuran kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Rahim R2 atau nama sebenarnya Rahim Mat Ali berkata, bermula semalam mereka berdua mula bersama mengikuti rombongan jentera pilihan raya BN Tenggara bagi membantu calon-calon yang bertanding.

"Kehadiran kami sehingga hari mengundi di sini adalah secara sukarela dan secara tidak langsung sebagai sumbangan untuk pemimpin dan parti yang kami sayangi.

"Ayuh bersama sokong dan keluar mengundi. Pilihlah calon pilihan parti BN yang boleh membawa kemajuan serta keamanan kepada rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE

Reese Witherspoon ditahan polis kerana berlagak

Posted: 21 Apr 2013 10:10 PM PDT

ATLANTA 22 April - Aktres Hollywood, Reese Witherspoon ditahan polis Georgia atas kesalahan berkelakuan tidak sopan terhadap polis.

Menurut laporan penahanan, polis Georgia bertindak menahan kereta yang dipandu suami pelakon itu, James Toth, kerana tidak berada dalam laluan yang betul, pagi Jumaat lalu.

Witherspoon dengan lagak bersahaja menyoal, "Anda tahu siapa saya? Anda patut tahu siapa saya, anda akan jadi bahan berita."

Menurut laporan itu lagi, ketika di tahan, Toth berada dalam keadaan tidak terurus dengan mata berair dan kuyu serta dipercayai mabuk. - AGENSI

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Demam Star Trek bermula

Posted: 21 Apr 2013 09:54 PM PDT

ADVERTORIAL

Sekuel kepada filem 'Star Trek' (2009), 'Star Trek Into Darkness' bakal menemui pengunjung pawagam bermula 17 Mei depan setelah tarikh tayangan ditunda dari 29 Jun tahun lalu tanpa alasan yang dapat didedahkan.

Petanda awal menunjukkan peminat Trekkies sudah tidak sabar menonton 'Star Trek Into Darkness' apabila comicbookmovie.com melaporkan sistem tempahan atas talian BFI dan Odeon di United Kingdom mengalami masalah teknikal gara-gara permintaan yang memberangsangkan untuk tempahan awal tiket.

Selepas kejayaan 'Star Trek' memungut kutipan mencecah US$385 juta di box office serta kemenangan di beberapa majlis penganugerahan termasuk Academy Awards dan Screen Actors Guild Awards, pihak penerbit memutuskan untuk meneruskan kisah James T. Kirk bersama krew kapal USS Enterprise.

Malah semua pelakon utama dikatakan telah menandatangani kontrak untuk dua sekuel termasuk Chris Pine, Zachary Pinto, Karl Urban, Zoe Saldana, Simon Pegg, John Cho dan Anton Yelchin.

Filem kedua dalam siri reboot yang bermula pada tahun 1966 ini turut menampilkan pelakon Inggeris popular, Benedict Cumberbatch yang melakukan transisi dari watak Sherlock Holmes abad ke-21 ke karektor antagonis yang lebih futuristik.

Kepulangan J. J. Abrams kepada kerusi pengarah turut disambut baik peminat, lebih-lebih lagi bila dia disahkan bakal mengarah 'Star Wars Episode VII'. Abrams juga membawa bersama rakan-rakan koloborasinya iaitu Alex Kurtman dan Roberto Orci sebagai penulis skrip (dan kini, penerbit) serta Damon Lindelof yang masih berfungsi sebagai penerbit tetapi telah meluaskan lagi portfolionya sebagai penulis bersama.
Kisah 'Star Trek Into Darkness' bermula dengan kepulangan USS Enterprise ke Bumi. Semua krew terkejut dengan keadaan Bumi yang huru-hara. Lebih memeranjatkan bila Starfleet menjadi mangsa serangan. Kini, Kapten Kirk bersama krewnya ditugaskan untuk mencari individu yang bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

Jangan terlepas menonton 'Star Trek Into Darkness' yang menjanjikan babak-babak aksi yang mendebarkan di pawagam bermula 17 Mei depan.

Tunda kahwin: Bukan kerana masalah peribadi

Posted: 21 Apr 2013 05:30 AM PDT

Kerjaya seni kembali bersemarak paksa Misha tangguh nikah ke tahun depan

Ketika ini, soalan cepumas paling kerap diajukan kepada Misha Omar adalah mengenai tarikh dirinya akan menaiki pelamin.

Sepatutnya Misha menamatkan zaman solonya tahun ini, namun pengumumannya sebelum ini, iaitu terpaksa menangguhkan hari bersejarahnya membuatkan spekulasi nakal mula bertebaran.

Apatah lagi ketika teka-teki tarikh perkahwinannya itu timbul, di radio, single terbarunya berjudul Angin Syurga rancak diputarkan. Lirik lagu yang mengisahkan seorang wanita yang mengharapkan kepastian selepas sering disogokkan dengan kata-kata manis seolah-olah menterjemahkan perasaan sebenar penyanyi, pelakon dan pengacara berusia 31 tahun ini.

Lantas ada yang membuat andaian lagu itu ada kaitan dengan situasi dialaminya. Ketika diajukan pertanyaan itu, Misha tidak menolak andaian lagu terbabit kisah benar yang pernah terjadi dalam hidupnya.

"Saya pernah melalui saat seperti yang tertera dalam lirik lagu itu dan apabila ia sebuah kisah benar, lagu itu boleh dikaitkan dengan sesiapa saja.

Namun, itu kisah lalu dan bukanlah menggambarkan situasi saya hari ini.

"Kami terpaksa menangguhkan tarikh perkahwinan bukan kerana masalah peribadi, tetapi disebabkan masing-masing sibuk dengan kerja," jelas Misha ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Jelajah 3 Permata yang menampilkan dirinya, Adibah Noor dan Jaclyn Victor, di Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Hadir sama ialah wakil penganjur, iaitu Faizul Zakaria daripada Dangerous Events dan juga Pengarah Muzik, Aubrey Suwito.

Beri peluang tunang nikmati pemanduan Airbus

Penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini juga turut menafikan dirinya dan tunang, Firos Ezzwan Rossly, sengaja merancang kesibukan masing-masing supaya perkahwinan mereka diperlambatkan.

"Oh, dakwaan itu tidak benar sama sekali. Kebetulan tahun ini karier seni semakin rancak apabila lagu Angin Syurga kerap diputarkan di radio. Pada Mei, album baru saya akan dipasarkan, yang membuatkan saya kembali sibuk dengan aktiviti promosi. Kemudian, saya bakal berlakon dalam teater, Nyonya & The Gang, dan selepas Aidilfitri saya kena fokus dengan konsert ini pula. Jadi, nampak gayanya memang perkahwinan ini terpaksa ditangguhkan ke tahun depan," terangnya.

Bagi Misha, apabila bercerita bab perkahwinan, dia tidak mahu ia dilakukan dengan terburu-buru. Sebaliknya, wanita ini mahu menikmati majlis bersejarahnya itu dengan seindah-indahnya.

"Bagaimana mahu bercerita soal perkahwinan jika persiapannya hanyalah sekadar angan-angan. Buat masa ini saya sedang mencari-cari contoh pakaian pengantin yang bakal digayakan pada hari berkenaan.

"Lagi pun, tunang saya baru saja ditauliahkan untuk memandu Airbus, sesuatu yang diimpikannya sejak dulu. Saya mahu menjadi tunang yang baik dan memahami. Biarlah dia menikmati saat manis itu sebelum melangkah ke fasa baru dalam kehidupan," ujar Misha yang mengikat tali pertunangan dengan Firos, seorang juruterbang, Februari tahun lalu.

Dituduh tarik diri kerana takut kalah

Sangka Misha, tindakannya menarik balik penyertaan lagu Angin Syurga dalam pertandingan Muzik-Muzik adalah perkara biasa dan tidak perlu dijadikan isu.

Selepas 11 tahun berada dalam industri dan dewasa dengan program itu, kata Misha dia mahu memberi laluan kepada muka baru untuk menikmati apa yang pernah dirinya dan artis senior lain merasainya.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menyampaikan cerita kononnya Misha menarik diri kerana takut kalah.

"Perkara ini sepatutnya tidak dijadikan isu kerana saya menarik diri atas persetujuan bersama, semua termasuk komposer dan syarikat rakaman.

"Nak kata saya takut kalah, rasanya, jika disingkap sejarah pembabitan saya dalam Anugerah Juara Lagu, kekalahan adalah sesuatu yang sinonim dengan saya. Saya pernah melalui detik manis itu menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta dan Pulangkan, serta dua trofi untuk vokal terbaik. Saya sudah memilikinya," terang Misha mempertahankan pendiriannya.

Tiga vokal jadi taruhan

Mengenai konsert yang bakal dijayakannya, Misha berkata, besar kemungkinan peminat bakal diperdengarkan dengan lagu daripada album terbarunya.

"Selain itu, dalam tempoh setengah jam diberikan, saya juga akan menyampaikan lagu popular saya dan juga persembahan tribute hasil paduan suara bersama Adibah dan Jac," ujarnya.

Bercerita mengenai konsert yang diadakan rentetan kejayaan persembahan serupa di Singapura tahun lalu, Misha berkata, dia yakin konsert ini bakal mendapat sambutan walaupun pertunjukan percuma berleluasa.

"Saya percaya peminat saya, Adibah dan Jac akan memberikan sokongan padu kerana mereka semua tahu, kekuatan kami bertiga ialah vokal.

"Di Singapura misalnya, saya sendiri terkejut dan pada masa sama teruja melihat sambutan kerana ketika konsert percuma banyak dianjurkan, mereka sanggup mengeluarkan wang menonton persembahan kami," katanya.

Konsert Jelajah 3 Permata akan diadakan di enam lokasi terpilih iaitu Sarawak (21 September), Sabah (28 September), Johor (12 Oktober), Pahang (19 Oktober), Kedah (26 Oktober) dan Kuala Lumpur (2 November).

Tiket berharga RM40 hingga RM250 akan mula dijual pada 1 Mei ini dan boleh didapati di laman web www.3permata.com.my.