Utusan Online - Hiburan |
Posted: Kematangan hidup KaerOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL KAER mengakui hatinya sudah dimiliki namun tidak mempunyai sebarang agenda untuk menamatkan zaman bujangnya. EHILANGANNYA' dalam industri muzik sering kali menjadi tanda tanya sehingga ada segelintir pihak yang mengandaikan bahawa Kaer Azami sudah meninggalkan jauh bidang seni. Apa yang dibekalkan untuk peminat tegarnya mengubat rindu hanyalah bingkisan lagu-lagu dendangannya. Tetapi tuan punya badan jauh berkelana ke bumi Indonesia. Namun kini, Kaer kembali dan tekad tidak akan meninggalkan tanah air lagi kerana bekas finalis Akademi Fantasia musim kedua ini mempunyai misi yang perlu diselesaikannya. Membuka bicara pada pagi pertemuan kami di salah sebuah pusat membeli-belah di ibu kota baru-baru ini, banyak perkara yang dibualkan. Jika hendak dibandingkan dengan pertemuan pertama kami sekitar enam tahun lalu, ternyata bicara Kaer sudah menunjukkan kematangan yang sangat ketara. "Selama empat tahun di Jakarta sebenarnya banyak mengajar saya tentang erti hidup. Saya menjadi seorang yang lebih matang dan sedar bahawa kehidupan ini terlalu singkat untuk memikirkan perkara yang remeh-temeh. "Saya perlu bingkas bangkit untuk mengecapi kejayaan yang saya inginkan menerusi setiap satu perangan yang telah saya aturkan. "Jiwa saya masih lagi dalam bidang seni tetapi semakin saya dewasa, saya harus sedar bahawa untuk terus hidup hanya dengan menyanyi, ia tidak mencukupi. "Lantaran itu, saya kini sudah mengorak langkah untuk melebarkan lagi sayap perniagaan saya menerusi rangkaian label pakaian saya, Kazami Homme yang sudah hampir dua tahun beroperasi," kata pemilik nama penuh Wan Mohammad Khair Wan Azami ini penuh optimis. Menceritakan lebih lanjut tentang Kazami Homme, jelas Kaer, semuanya berlaku tanpa disangka apabila dia mula menggayakan pakaian daripada jenamanya itu sewaktu menghadiri majlis-majlis di Jakarta. Ketika itu jugalah, lensa kamera tertumpu kepadanya dan saat gambarnya terpampang di majalah, ramai yang mula bertanyakan tentang koleksi pakaian yang digayakan. "Saya sendiri terkejut dengan penerimaan masyarakat di sana terhadap jenama saya. Bukan hanya golongan biasa tetapi ia juga mendapat perhatian golongan atasan dan artis di sana. "Dari situ, saya mendapat idea untuk meluaskan lagi perniagaan saya dan ia telah memberi satu indikator bahawa saya mampu pergi jauh dengan Kazami Homme. "Untuk itu, saya kini sedang mencari peluang untuk bekerjasama dengan 20 orang pereka fesyen tempatan dalam menubuhkan butik Kazami Homme di Malaysia," jelas Kaer sambil memberitahu salah sebuah butik di Plaza Indonesia turut tertarik untuk mengedarkan jenamanya. Lebih menumpukan kepada pakaian untuk kaum Adam, kata Kaer, sebagai permulaan, Kazami Homme menawarkan koleksi gaya santai dan smart casual dengan harga yang berpatutan. Sementara sebahagian besar material untuk penghasilan jenamanya itu diimport dari Indonesia dan China. "Saya sentiasa mahu mencari peluang untuk perniagaan saya ini. Pantang ada yang mengajak untuk meninjau peluang dengan pelbagai pameran di luar negara, saya pasti tidak menolaknya," katanya yang merancang untuk ke Filipina dan Milan, Itali. Melihatkan kerancakannya berbicara tentang perniagaannya itu, sengaja Kaer diusik apakah dia dia sudah tidak berminat lagi dengan dunia seni. Di kala sebahagian besar teman alumni Akademi Fantasia yang lain semuanya hilang entah ke mana dan jauh meninggalkan bidang seni, Kaer boleh dianggap bertuah kerana masih lagi mempunyai kumpulan peminat yang berterusan menyokongnya. Mukjizat Sambil tersenyum, kata pemuda berusia 27 tahun ini, soal itu tidak pernah terfikir langsung buat masa ini kerana seni sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. "Saya mula berkecimpung dalam dunia seni sejak lapan tahun lagi dan seni saya tidak tertumpu kepada nyanyian semata-mata. Saya dididik dan didedahkan dengan pelbagai skop seni lantaran membuatkan saya mahu mencuba pelbagai cabang seni. "Dalam aspek nyanyian, saya masih lagi mendapat tawaran menyanyi dan ada kalanya tawaran yang saya terima itu mencabar kredibiliti saya sebagai seorang penyanyi. "Mereka mahukan saya menyanyi lagu-lagu jazz dan saya fikir ia adalah peluang terbaik buat saya meneroka bakat saya dengan lebih mendalam selain mengenali diri saya sendiri," kata penyanyi mula dikenali menerusi lagu Kembali Bersama itu lagi. Cukup masyhur dengan lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik nukilan Sulu Sarawak, Kaer menggambarkan dirinya kini cukup matang dalam penghasilan muzik. Mula muncul dengan album perdana, Menjelma pada tahun 2007 dan kemudian album susulan, A New Chapter, tahun lalu, Kaer benar-benar teruja dan gembira dengan sambutan yang diterima terhadap album-albumnya. Biarpun dia tidak berada di Malaysia setiap masa untuk mempromosikan album-albumnya secara menyeluruh tetapi dia bersyukur dengan penerimaan positif daripada peminatnya terutama dari Singapura dan Brunei. Kaer bagaimanapun mengakui bahawa ramai yang bagaikan tidak menyedari kemunculan album A New Chapter lantaran lagu-lagu di dalam album tersebut tidak mendapat perhatian stesen radio. "Sudah tentu saya berasa sedih apabila lagu-lagu saya tidak dimainkan di radio. Hanya Izinku Pergi sahaja yang kerap dimainkan dan saya berterima kasih kerana mereka terus memainkan lagu itu. "Bagi saya, dalam zaman ini, ia ibarat mukjizat seandainya lagu-lagu artis tempatan dimainkan di radio tempatan. Saya sendiri pun sudah beberapa kali menghantar lagu-lagu saya tetapi malangnya, tiada respons yang diterima. "Daripada saya duduk bersedih, lebih baik saya teruskan hidup. Saya pun kini dalam proses untuk menyiapkan album ketiga saya yang dijangka berada di pasaran sekitar bulan Mei ini," jelas Kaer yang cukup menggemari lagu Pokok dendangan Meet Uncle Hussain dan Hazama yang disifatkannya sebagai sebuah karya unik. Mencari protege Sebagai kelainan, untuk bingkisan terbarunya itu, Kaer menjelaskan kali ini dia menghasilkan lagu dan liriknya sendiri kerana mahu menonjolkan sisi lainnya sebagai seorang karyawan. Malah konsep muziknya juga berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkan menerusi Menjelma dan A New Chapter yang mana muziknya disuntik dengan elemen baru. Hanya memuatkan lima buah lagu sahaja, untuk mendapatkan hasil terbaik, Kaer telah menggunakan khidmat Audi Mok dan Omar K untuk penggubahan lagu serta aspek penerbitan album. Dalam masa yang sama, Kaer juga kini dalam misi mencari bakat-bakat baru untuk diserapkan dalam syarikatnya, Sphinx Flame. "Saya melihat banyak bakat baru dalam arena muzik hari ini dan saya mahu memberi peluang serta platform kepada mereka untuk mengembangkan bakat seni mereka. "Sudah pasti saya mencari mereka yang memiliki bakat tersendiri dan unik tanpa dibayangi mana-mana penyanyi popular. Lebih bagus jika mereka mampu menghasilkan muzik mereka sendiri. "Namun saya lebih bersikap terbuka kepada mana-mana yang berminat kerana saya mengutamakan bakat. Mereka yang mahu mencuba nasib, bolehlah menghantar demo kepada saya di wankaer2@yahoo.com," kata pemilik ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian perniagaan itu lagi. |
Posted: Kemenangan besar The ArtistOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL BIARPUN berdepan dengan saingan yang cukup sengit daripada pencabar lain, ternyata kualiti dan nilai estetika yang dimiliki oleh filem The Artist melangkaui segala-galanya. Dengan hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi sebelum Anugerah Academy Ke-84 berlangsung, The Artist terus menguasai musim anugerah ini apabila memenangi tujuh trofi dalam Anugerah Akademi Seni Filem dan Televisyen British Ke-65 (BAFTA) yang berlangsung di London, England, baru-baru ini. Filem bisu hitam putih itu dianugerahkan sebagai Filem Terbaik dengan menewaskan empat filem lain termasuk pencabar terdekatnya, The Descendants selain Drive, The Help dan Tinker Tailor Soldier Spy. Pengarahnya, Michel Hazanavicius pula menebus kekecewaannya apabila memenangi Pengarah Terbaik selepas gagal memiliki gelaran itu pada Anugerah Golden Globe Ke-69 apabila tewas kepada Martin Scorsese yang memenanginya menerusi filem Hugo. Bukan itu sahaja, Hazanavicius juga memenangi kategori Lakon Layar Asal Terbaik untuk filem tersebut yang telah mengundang sedikit kejutan pada majlis penganugerahan itu. "Saya benar-benar terkejut dengan kemenangan ini. Sejak The Artist muncul, saya telah menerima pelbagai komen sehingga ada yang mengatakan filem ini tidak mempunyai skrip hanya kerana para pelakonnya tidak melontarkan dialog. "Jadi, nampaknya orang Inggeris cukup bijak menilai. Untuk itu, saya ucapkan tahniah kepada anda semua," ucap Hazanavicius sambil merujuk kepada tetamu yang memenuhi segenap ruang Royal Opera House di London yang disambut dengan hilai tawa dan tepukan gemuruh. Selain Filem, Pengarah dan Lakon Layar Asal Terbaik, The Artist yang dicalonkan dalam 12 kategori dalam acara itu juga diiktiraf dalam kategori teknikal seperti Skor Muzik Asal, Sinematografi dan Rekaan Kostum Terbaik. Pelakon utama The Artist, Jean Dujardin pula mengulangi kejayaannya di Golden Globe dan Screen Actors Guild apabila menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik. Kemenangannya untuk kategori yang turut mencalonkan George Clooney, Michael Fassbender, Gary Oldman dan Brad Pitt itu ternyata mengejutkan Dujardin yang sebelum ini bukanlah nama besar di pentas perfileman antarabangsa. "Untuk berada di dalam kelompok mereka yang terbaik dan hebat seperti mereka ini adalah satu penghormatan buat saya. Apatah lagi untuk menerima pengiktirafan sebesar ini. "Sesungguhnya saya benar-benar terkejut dan terharu. Malah saya berbangga untuk berada bersama-sama dengan mereka yang cukup berbakat ini. "Bagi saya, ini juga adalah kemenangan untuk filem The Artist yang merupakan sebuah karya kecil tetapi jiwanya cukup besar. Cintanya bersifat universal," jelas Dujardin yang berusia 39 tahun itu dengan penuh makna sekali. Dengan kemenangan itu, Dujardin kini diletakkan sebagai calon utama untuk memenangi Oscar pada acara berprestij yang berlangsung pada 26 Februari ini. Sementara itu, seperti yang diramal, Meryl Streep menjulang gelaran Pelakon Wanita Terbaik untuk wataknya sebagai bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher menerusi filem The Iron Lady. Biarpun ditentang hebat oleh dua aktres yang dilihat sebagai pencabar terdekatnya iaitu Viola Davis yang dicalonkan untuk filem The Help dan Michelle Williams (My Week With Marilyn), ternyata aura Streep sukar digugat. Anggun menyarungkan busana serba hitam rekaan Vivienne Westwood, Streep memberitahu audiens dia sememangnya cukup berbangga dengan penghasilan filem tersebut. Apatah lagi, dia juga mengakui mempunyai keturunan British lantas filem The Iron Lady begitu dekat dengan dirinya. "Sebahagian daripada diri saya adalah Streep dan selebihnya adalah keturunan Wilkinson dari Linconlshire. Sememangnya saya seperti ditakdirkan untuk membawa watak figura hebat seperti Margaret. "Jujurnya juga, saya gemar melakonkan watak wanita seperti ini. Sekurang-kurangnya mereka yang begitu sukar untuk difahami karakternya ini memberi peluang untuk saya menterjemahkannya ke layar perak," katanya lagi. Sudah pasti, Streep ada sebab tersendiri untuk meraikan kemenangannya dalam anugerah itu kerana ia merupakan trofi keduanya untuk Pelakon Wanita Terbaik selepas kali terakhir memenanginya 31 tahun lalu. Pada tahun 1981, Streep memenangi trofi BAFTA pertamanya untuk filem The French Lieutenant's Woman dan dicalonkan sebanyak 14 kali sebelum ini. Malam gemilang itu juga menyaksikan kemenangan berulang buat Octavia Spencer dan Christopher Plummer yang masing-masing memenangi Pelakon Pembantu Wanita dan Lelaki Terbaik bagi filem The Help dan Beginners. Walaupun tewas kepada Hazanavicius untuk gelaran Pengarah Terbaik, Scorsese nampaknya tidak berasa ralat apabila menerima pengiktirafan tertinggi iaitu The 2012 BAFTA Film Awards Fellowship. Pengiktirafan tersebut diberikan kepada individu yang telah memberikan sumbangan terbesar dalam dunia perfileman. Antara nama hebat yang pernah diiktiraf dengan gelaran itu termasuklah Charlie Chaplin, Alfred Hitchcock, Steven Spielberg, Sean Connery dan Elizabeth Taylor. Penerima lain adalah Stanley Kubrick, Anthony Hopkins, Laurence Olivier, Judi Dench and Vanessa Redgrave dan Christopher Lee. "Ia merupakan satu penghormatan buat saya untuk diiktiraf oleh Akademi British dan bersama-sama dengan kelompok mereka yang telah memberikan sumbangan terbesar dalam dunia seni," ucap Scorsese sewaktu menerima trofinya. BAFTA juga tidak melupakan warga seni British apabila mengiktiraf filem Tinker Tailor Soldier Spy sebagai Filem British Terbaik menewaskan empat karya lain iaitu My Week With Marilyn, Senna, Shame dan We Need To Talk About Kevin. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |