Adsense

Khamis, 16 Februari 2012

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Hubungan Cinta Tiz Zaqyah & Remy Ishak Belum Berakhir

Posted: 15 Feb 2012 06:03 AM PST






PETALING JAYA: Pelakon jelita Tiz Zaqyah menjelaskan dakwaan kononnya hubungan cintanya dengan aktor Remy Ishak sudah berakhir hanyalah sekadar gosip semata-mata.

Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 23, berkata spekulasi berhubung keretakan hubungan mereka yang dikatakan berlaku sekitar dua minggu lalu itu mula tersebar di Twitter dan Internet ekoran salah faham pengikut laman sosial kedua-dua artis tersebut.

"Ia hanya khabar angin dan gosip. Hakikatnya, tiada apa yang berlaku antara kami.

"Spekulasi yang mendakwa hubungan kami berakhir baru-baru ini adalah salah faham daripada orang ramai sehingga menyebarkan perkara yang tidak berasas itu," katanya kepada mStar Online.

Tiz ditemui pada majlis pra tonton filem terbarunya Cinta Kura-Kura yang berlangsung di Cathay e@Curve, Mutiara Damansara, di sini, malam Selasa.

Pihak media sebelum ini gagal mendapatkan Tiz mahupun Remy bagi mengulas khabar angin tersebut kerana kedua-dua mereka dipercayai mengelak untuk memberi komen mengenai hal berkenaan.

Malah mereka juga tidak menjawab panggilan telefon dan kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diajukan berhubung desas desus itu.

Ketika diminta menjelaskan secara terperinci mengenai kesahihan dakwaan berkenaan, Tiz bagaimanapun enggan untuk mengulas mengenainya.

"Saya tidak mahu komen lebih lanjut kerana tuduhan itu tidak berlaku.

"Apa yang terpampang dalam kemas kini akaun Twitter milik saya sebelum ini tiada kaitan dengan hubungan kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang melonjak naik menerusi drama bersiri Nur Kasih ini, berkata pengalaman membintangi filem sulung arahan Nizam Zakaria itu mencabar dan menyeronokkan.

Tiz yang bergandingan dengan aktor Aeril Zafrel, Zizan Razak dan Fizz Fairuz dalam filem tersebut mengakui berhadapan kesukaran untuk berkomunikasi dengan kura-kura sepanjang penggambaran berlangsung.

"Ini adalah pengalaman pertama saya perlu berkomunikasi dengan haiwan iaitu kura-kura di dalam filem.

"Ia adalah proses yang rumit dan mencabar serta menuntut imaginasi yang tinggi bagi membayangkan watak-watak yang tidak wujud di depan mata," katanya

Aliff Aziz Mengaku Intim Dengan Anne Ngasri Sebulan Lalu

Posted: 15 Feb 2012 06:01 AM PST



KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Singapura, Aliff Aziz menjelaskan keintimannya dengan pelakon Anne Ngasri sejak sebulan lalu bertitik-tolak daripada sikap prihatin dan mengambil berat aktres itu terhadapnya yang kini menetap sendirian di negara ini.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 21, berkata sejak dia berhijrah ke Malaysia bagi mengembangkan kerjaya nyanyian, Anne banyak membantu selain menjadi teman bercerita ketika mengisi kesunyian.

"Saya akui rapat dengannya (Anne). Dia sangat baik dan mengambil berat terhadap saya. Sejak pindah ke Kuala Lumpur, saya tinggal bersendirian. Selain pekerja di Sony Music, Anne dan keluarganya yang mengisi kesunyian dan membantu saya menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di sini.

"Sikapnya yang banyak membantu dan memberi dorongan kepada saya untuk fokus dan bekerja keras menyebabkan saya selesa," katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai Anne yang berstatus ibu tunggal itu Aliff berkata, perkara tersebut bukan satu isu yang boleh menghalang mereka daripada berkawan.

"Sejak dulu saya mudah tertarik pada wanita yang lebih berusia dan matang. Saya masih muda dan memerlukan teman yang bukan sahaja mengambil berat malah turut membimbing saya menjadi lelaki yang lebih baik.

"Dia seorang wanita yang positif dan saya belajar banyak perkara daripadanya sejak kami rapat. Saya boleh merasai keserasian itu setiap kali kami bersama. Keluarga kami juga tiada sebarang halangan," katanya.

Diusik mengenai reaksinya berhubung dakwaan orang ramai yang kerap melihat mereka keluar berdua-duaan, Aliff berkata dia tidak kisah dilihat bersama kerana ia adalah lumrah kehidupan selebriti yang sering menjadi perhatian umum.

"Sebagai selebriti sudah tentu orang akan kenal pada kita, jadi tidak perlulah saya hendak menafikan atau menyorok kerana ia bukan perkara yang buruk.

"Ia bukan halangan untuk kami keluar makan atau menonton wayang bersama seperti yang didakwa. Saya tidak melihat persahabatan kami sebagai satu masalah atau isu pun," katanya.

Sempat diusik mengenai perkembangan kes kontroversi antara dia dan pelakon Zarina Anjoulie yang tercetus baru-baru ini, Aliff menegaskan dia tidak akan memberikan sebarang penjelasan berhubung isu tersebut buat masa ini dan hanya akan tampil menjawab kontroversi itu pada waktu paling sesuai kelak.

"Orang boleh cakap apa sahaja tentang kes itu tetapi saya tidak akan memberi penjelasan pada waktu ini. Syarikat rakaman Sony Music sedang meneliti kes ini dan apabila sampai waktu saya akan umumkan kepada semua.

"Namun, itu tidak bermakna saya seorang yang pengecut atau mahu lari daripada masalah. Saya lelaki yang tidak akan lari daripada masalah yang melibatkan saya. Cuma kena tunggu waktu yang sesuai," katanya.

Sharnaaz Selesa Ditemani Keluarga Shila Untuk Berdating

Posted: 15 Feb 2012 06:00 AM PST



KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui tidak pernah keluar secara berdua-duaan dengan kekasihnya, penyanyi Shila Amzah sejak menjalinkan hubungan cinta kira-kira dua bulan lalu.

Sharnaaz sebaliknya berkata, sejak awal perkenalan lagi mereka sering ditemani oleh ahli keluarga Shila jika hendak ke mana-mana.

"Sebelum mengenali Shila pun dia memang ditemani oleh ibunya ke mana sahaja dia pergi dan perkara itu tidak akan berubah hanya semata-mata dia bercinta dengan saya sekarang.

"Kalau kami nak berjumpa dia pasti akan ditemani oleh ibu atau adiknya dan saya tidak mempunyai masalah mengenai perkara itu," ujarnya.

Sharnaaz ditemui ketika majlis sidang media telefilem Patah Seribu arahan Michael Ang di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata, dia tidak pernah berasa terkongkong dengan situasi tersebut sebaliknya merasakan ia adalah peluang kepadanya untuk mengenali ahli keluarga Shila.

Sharnaaz memberitahu, dia senang dengan situasi berkenaan selain dapat merapatkan hubungan mereka.

"Setakat ini tidak pernah timbul isu kami rasa tidak selesa dengan kehadiran ahli keluarga jika kami hendak ke mana-mana malah saya berasa selesa keluar 'dating' bersama-sama ibu dan ahli keluarganya yang lain kerana ia dapat mendekatkan hubungan kami," ujarnya.

Malah katanya, ibu Shila yang mesra dikenali sebagai Kak Zie itu banyak menasihati mereka jika mempunyai sebarang masalah.

Ditanya penerimaan bapa Shila iaitu penyanyi, ND Lala mengenai hubungan cinta tersebut, Sharnaaz berkata, penyanyi itu menerimanya dengan baik namun meletakkan batas dalam pergaulan mereka.

"Alhamdulillahlah bapa Shila menerima saya dengan baik tetapi sebagai seorang ketua keluarga saya faham bahawa dia (ND Lala) perlu meletakkan sedikit jurang dan tegas dalam melindungi anak gadisnya.

"Saya hormati prinsipnya dan menyedari batas-batas pergaulan yang perlu dijaga supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari," ujarnya.

Panas baran

Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia senang dengan Shila kerana wanita berusia 22 tahun tersebut banyak mengajarnya mengenai erti bersabar ekoran sikapnya yang panas baran.

Katanya, belum pernah ada individu yang berjaya meredakan sikap buruknya itu melainkan Shila dan situasi itu menambahkan keyakinan bahawa wanita tersebut sesuai dengannya.

"Dia seorang yang sangat penyabar dalam semua perkara dan saya pula berbeza dengannya. Namun dia berjaya mengubah saya menjadi seorang yang lebih tenang dalam semua perkara," katanya.

Dalam perkembangan lain, pasangan bercinta itu bakal muncul dalam sebuah telefilem berjudul Patah Seribu pada 23 Februari ini. Ia akan disiarkan pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria.

Selain Sharnaaz dan Shila, drama tersebut turut dijayakan oleh Sharifah Shahora, Amar Baharin, Jihan dan Reza Mohd.

Rita Rudaini Tuntut Pemilik Twitter Mohon Maaf Kerana Menghina

Posted: 15 Feb 2012 05:59 AM PST




PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar menuntut seorang pemilik Twitter @bob_azuan segera membuat permohonan maaf kepadanya kerana menghina, memfitnah serta memalukannya melalui laman Twitter akaun tersebut.

Rita berkata, tindakan individu itu benar-benar menjatuhkan maruahnya kerana turut terlibat untuk campur tangan dalam krisis rumah tangga yang sedang dihadapinya ketika ini.

"Saya menuntut individu tersebut membuat permohonan maaf kepada saya dengan seberapa segera.

"Saya telah diaibkannya dengan kata-kata kesat berbau penghinaan menerusi komen-komennya dalam Twitter berkenaan," katanya kepada mStar Online menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) di sini, Selasa.

Rita diminta mengulas tindakan seorang individu yang menggunakan identiti @bob_azuan melemparkan kata-kata aib terhadapnya termasuklah menggelar Rita dengan perkataan "Ritaik".
Antara kata-kata individu yang dikenali sebagai bob_azuan terhadap Rita Rudaini. Bagaimanapun akaun tersebut telah dipadamkan pada pagi Selasa.

Pemilik Twitter tersebut turut memberi komen untuk mendedahkan kisah Rita bagi tujuan memalukannya selain menggunakan gambar adik ipar pelakon tersebut iaitu Zaquan Adha Abdul Radzak sebagai gambar profil Twitter berkenaan.

Rita berkata individu tersebut mendakwa bekerja sebagai jurugambar sebuah syarikat produksi yang turut merakamkan gambar Zaquan Adha dan isterinya pelakon Ayu Raudhah ketika menjalani penggambaran drama di Sabak Bernam awal bulan ini.

Rita yang mendakwa mengenali pemilik Twitter berkenaan memberitahu, individu itu telah memohon maaf kepadanya melalui seorang kawan dan telah menutup akaun Twitter tersebut selepas mendapat kritikan daripada peminat-peminat yang melahirkan perasaan marah dengan tindakan itu.

"Saya mahu dia memohon maaf secara terbuka. Saya kenal individu itu. Saya tahu dia kawan kepada pasangan Aidil Zaquan dan Ayu Raudhah tetapi dia tidak ada hak untuk masuk campur masalah rumah tangga saya," katanya.
Zaquan Adha (kanan) dan isterinya Ayu Raudhah (dua dari kanan) turut bergambar bersama dua pelakon ketika penggambaran sebuah drama di Sabak Bernam awal Februari ini. Gambar dipetik daripada akaun Twitter milik Zaquan Adha.

Sementara itu Zaquan Adha dalam Twitter miliknya tidak mengulas panjang mengenai perkara itu sebaliknya mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyangka kononnya dia telah menyamar menjadi @bob_azuan.

"Terima kasih di atas andaian anda. Hanya Tuhan yang lebih mengetahui kebenaran. Tak perlu nak meraih simpati orang," katanya menerusi entri pada pukul 12.36 tengah hari, Selasa.

Masalah rumah tangga Rita dengan Aidil Zafuan Abdul Radzak yang juga kembar kepada Zaquan Adha masih belum selesai apabila suaminya itu telah keluar rumah dan tidak pulang sejak awal Januari lalu.

Rita dan Aidil bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin,3, dan Airit Rafqa Arjuna yang kini berusia sepuluh bulan.

Shahrizal Jaszle Buat Hal Di Lokasi 'Atas Nama Cinta'

Posted: 15 Feb 2012 05:56 AM PST



PETALING JAYA: Penggambaran drama Atas Nama Cinta yang dijalankan di Perth, Australia pada awal Januari lalu berhadapan dengan cabaran apabila berlaku pelbagai masalah melibatkan pelakonnya, Shahrizal Jazle atau sebelum ini dikenali sebagai Shahz Jaszle.

Pengurus Produksi, Zeel Production, yang dikenali Fendi London berkata, antara masalah tersebut ialah kesukaran Shahrizal memenuhi jadual penggambaran dan juga pernah tertinggal kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Perth.

"Memang kami sering berhadapan masalah masa dengan Shahrizal lebih-lebih lagi dia sukar untuk bangun pagi kerana mempunyai masalah sukar tidur malam.

"Justeru itu, jika penggambaran bermula di waktu pagi, pihak produksi perlu mengingatkannya sebelum tidur.

"Ada kalanya dia tepati masa, ada kalanya dia 'terbabas' dua hingga tiga jam," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Tambah Fendi, Shahrizal juga perlu diawasi kerana sering menghilangkan diri apabila bertukar lokasi.

"Memang karakternya sedikit kebudak-budakan kerana kami perlu mengawasinya. Cuma apa yang bagus tentang Shahrizal, dia tidak akan bersuara jika dimarahi pengarah atas kelewatannya itu. Kami bangga lakonannya juga memuaskan hati semua pihak," ujarnya.
Shahrizal bersama dua pelakon utama 'Atas Nama Cinta', Shah Iskandar dan Fiza.

Bagaimanapun kata Fendi, masalah itu bukanlah perkara besar buat mereka kerana jadual penggambaran dapat berjalan pada waktu yang ditetapkan.

Malah apa yang penting katanya, Shahrizal berjaya menghasilkan mutu lakonan yang amat baik sekali dalam drama bersiri itu.

"Walaupun timbul masalah, ia dapat diatasi dengan baik," jelasnya.

Drama yang menjalani penggambaran selama dua minggu di Australia tersebut turut disertai pelakon utamanya, Shah Iskandar, Fiza (Elite), Tasha Shila dan Aida Aris.

Atas Nama Cinta mengisahkan tentang cinta tiga segi di antara Cinta (Fiza), Ghaz (Shah), Tengku Farezz (Shahrizal) dan Balkish (Tasha Shila).

Cinta dan Ghaz mula berkawan sejak kecil lagi dan sering melindungi Cinta jika diganggu oleh kanak-kanak nakal di kampung.

Kemudian, timbullah bibit-bibit cinta antara kedua-dua mereka. Bagaimanapun cinta mereka tergantung apabila Ghaz dibawa lari oleh keluarga angkatnya ke Perth. Cinta pula ditipu kononnya Ghaz telah meninggal dunia dalam kemalangan.

Selepas 15 tahun berlalu, Cinta berpeluang untuk menyertai sebuah kursus di Perth selama dua minggu lalu bertemu lelaki yang pernah menyelamatkannya dahulu, Tengku Farezz.

Farezz memperkenalkan Cinta kepada teman karibnya, Ghaz. Bermula di situlah, Cinta dan Ghaz merasai sesuatu bahawa mereka pernah mengenali antara satu sama lain.

Drama yang diarahkan oleh Shaffi Khan (episod 1 hingga 6) dan Raja Ahmad Alauddin (episod 7 hingga 24) itu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis bermula 13 Februari 2012.

Ia harus ditonton oleh seluruh peminat drama.

Ika Nabila Perjelas Dakwaan Minum Arak

Posted: 15 Feb 2012 05:55 AM PST




PETALING JAYA: Pelakon baru, Ika Nabila berkata dakwaan bahawa dia seorang peminum arak seperti dalam foto yang tersebar di internet merupakan satu fitnah semata-mata.

Ika menjelaskan air dalam gelas tersebut bukanlah minuman beralkohol sebaliknya ia adalah jus sparkling.

Ika yang merupakan bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-6 (AF6) berkata, dia tidak pernah minum arak apatah lagi berkeadaan mabuk di depan khalayak seperti yang digambarkan pada foto berkenaan.

"Sebenarnya air dalam gelas tersebut adalah jus sparkling. Saya tak tahu macam mana gambar itu boleh tersebar kerana ia hanya dipaparkan dalam gambar profil mesej Blackberry (BBM) saya.

"Dan air itu bukanlah air arak seperti yang disangkakan. Malah, saya bersama Mimi Haris (penyanyi) ketika itu di sebuah pusat karaoke.

"Saya percaya ini perbuatan khianat individu yang tidak berpuas hati dengan saya," jelasnya yang dihubungi mStar Online di sini, Ahad.
Gambar Ika Nabila yang tersebar di internet. Foto Rotikaya.com

Ika berkata demikian ketika mengulas foto yang disebarkan oleh sebuah blog hiburan.

Dalam foto tersebut, Ika bersama rakan-rakannya termasuk Mimi Haris menghadiri sebuah parti sambil memegang gelas yang didakwa alkohol.

Tambah Ika, dia tahu walaupun telah memberikan penjelasan, masih ada orang yang akan percaya perkara yang tidak dilakukannya itu.

"Terpulanglah apa orang nak kata, yang penting saya telah membuat penjelasan dan tahu batas-batas sebagai seorang artis yang perlu dijaga.

"Saya tak tahu kenapa orang sekarang suka mengaitkan perkara-perkara yang tidak elok tentang saya.

"Bagaimanapun saya harus akur bahawa menjadi seorang artis, orang ingin tahu segala kerja dan peribadi kita," tuturnya.

Pelakon yang sedang meningkat naik itu kini menjalani penggambaran drama 'Apa Celop' yang bakal disiarkan pada 20 Februari nanti di TV3.

Berlakon, Cara Johan As'ari Berdakwah

Posted: 15 Feb 2012 05:54 AM PST



PETALING JAYA: Pelakon Johan Arrif As'ari, 26, meminta umum tidak memandang skeptikal terhadap kerjayanya sebagai seorang anak seni walaupun berkelulusan tahfiz di negara seberang.

Johan berkata, berdakwah tidak semestinya memerlukan dia memakai jubah atau berkopiah sebaliknya dia menjadikan tanda status pelakon sebagai salah satu cara untuk menyampaikan mesej positif.

"Saya bukanlah hebat mana pun kerana hanya berjaya menghafal satu juzuk setengah kitab Al-Quran sahaja.

"Tetapi saya akan tetap berdakwah dengan cara yang tersendiri menerusi bidang lakonan yang saya ceburi. Itu niat yang dipegang, Harap-harap, orang luar tidak memandang skeptikal terhadap diri ini," tegasnya.

Johan yang juga merupakan finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) dalam kategori Artis Baru Terbaik merupakan pelajar Pondok Persantren As-Syuhada, Pasar Lubok Landai, Muara Bungo, Jambi, Indonesia pada tahun 2008 dan 2009.

Tambah Johan, sebagai seorang pelakon juga, dia tetap menjaga batasannya selain ingin berdakwah kepada golongan anak-anak muda yang leka dengan gejala-gejala sosial.

"Bayangkan, bagaimana kita mahu mendidik anak-anak remaja kita dalam kelab malam jika berpakaian jubah? Sudah pasti mereka tidak akan layan. Justeru itu saya mahu mendidik mereka menerusi cara saya yang tersendiri.

"Insya-Allah, jika kita jujur, maka kita akan peroleh hasil seperti yang diinginkan," katanya lagi.

Sementara itu, Johan yang baru sahaja selesai penggambaran filem Juvana membuat keputusan untuk berehat untuk beberapa minggu bagi merehatkan badan yang sentiasa memenuhi tawaran lakonan sejak menjadi perhatian menerusi watak Botak dalam drama Juvana yang dilakonkannya pada tahun lalu.

"Sudah tiba masanya untuk saya berehat. Insya-Allah pada bulan Mac nanti saya akan bercuti ke Tokyo, Jepun.

"Kenapa Tokyo? Saya ingin mengenali dunia luar selain ingin merehatkan minda saya buat seketika," tuturnya.

Farhan & Rashdan Kahwin Tahun Depan

Posted: 15 Feb 2012 05:53 AM PST



KUALA LUMPUR: Penyanyi Farhan Azizan, 28, dan Ahmad Rashdan Suhaimi, 28, akan melangsungkan pernikahan pada awal tahun depan selepas dipersetujui dalam majlis pertunangan yang diadakan di Cafe Flora, AmWalk, di sini, Ahad.

Farhan berkata perhubungan cinta yang agak lama iaitu selama enam tahun itu membuatkan dia dan Rashdan memutuskan untuk menjalinkan ikatan pertunangan sebelum meneruskan ke fasa perkahwinan.

"Buat masa ini, kedua-dua belah pihak keluarga telah bersetuju untuk melangsungkan pernikahan kami pada tahun hadapan, tetapi belum memilih tarikh yang sesuai.

"Majlis resepsi pula akan diadakan di dua tempat iaitu di rumah Rashdan di Kuantan dan Kuala Lumpur pula di pihak saya.

"Jangka masa setahun pertunangan ini dibuat kerana Rashdan baru sahaja memulakan kerjanya sebagai Pengurus Akauntan di syarikat Petronas dan dia ingin mengukuhkan kariernya dahulu sebelum bergelar suami," katanya.
Farhan bersama bakal ibu mertuanya, Faridah Hussin. Foto UTUSAN

Rashdan sebelum ini melanjutkan pengajiannya dan bekerja di United Kingdom (UK) selama tiga tahun.

Pada majlis tersebut, Farhan mengenakan busana rona kelabu dan ungu rekaan Syarakim.

Selain itu, bekas Akademi Fantasia musim ke-4 (AF4) itu turut menerima sebanyak lima dulang hantaran iaitu sirih junjung, kek cawan, potpurri, buah buahan dan wang hantaran permulaan (mengikut adat keluarga Farhan di Johor).

Manakala Farhan pula membalas tujuh dulang hantaran yang antaranya seperti sirih junjung, buah-buahan, kek, kek cawan, sejadah, coklat dan dua buah kitab Al-Quran.

Tambah Farhan, dia bersyukur apabila perhubungannya dengan Rashdan yang agak lama itu sudah hampir ke fasa perkahwinan walaupun melalui pelbagai dugaan cinta.

"Diakui, bukannya mudah apabila berjauhan, lebih-lebih lagi Rashdan berada di UK selama tiga tahun. Kami menggunakan pelbagai kemudahan untuk berhubung seperti menerusi SMS, Skype, BBM, Yahoo Messenger, Facebook dan sebagainya yang boleh membuatkan kami berkomunikasi.

"Malah kami pernah bergaduh sehinggakan tidak berhubung selama dua bulan, namun perhubungan kami kembali normal selepas Ras

Bekas Kekasih Tak Tahu Awi Rafael Buat Lagu Tentangnya

Posted: 15 Feb 2012 05:51 AM PST






PETALING JAYA: Penyanyi Awi Rafael memberitahu walaupun lagu Pulanglah dan Bila Aku Jatuh Cinta mengisahkan tentang bekas kekasihnya di Australia begitu popular, namun sehingga kini wanita yang pernah bertakhta di hatinya itu tidak tahu mengenai kewujudan lagu-lagu tersebut.

Awi yang tidak sangka lagu-lagunya kini menjadi pilihan penggemar-penggemar muzik tempatan berkata, dia berharap agar satu hari nanti bekas kekasihnya itu tahu tentang kewujudan lagu-lagunya itu.

"Ketika saya menetap di Australia dahulu, diakui, bekas kekasih saya itu adalah sebahagian daripada inspirasi buat saya mencipta lagu.

"Begitu juga dengan lagu Pulanglah, Bila Aku Jatuh Cinta dan yang terbaru, Bukankah Aku, ia sudah lama dihasilkan.

"Cuma yang peliknya, sehingga kini, bekas kekasih saya itu tidak tahu pun tentang kehadiran lagu-lagu ini, apatah lagi popular di industri muzik tempatan," katanya.

Bagaimanapun, tambah Awi, memandangkan dia kini kembali solo, ilham lagu-lagu yang dihasilkannya itu datang daripada teman-teman rapat yang sentiasa bersamanya ketika susah dan senang.

Ditanya pula adakah dia sudah pun menemui seorang wanita yang bertakhta di hati, kata Awi, dia enggan memikirkan tentang cinta buat masa terdekat ini.

"Setakat ini saya mempunyai ramai kawan, tetapi saya masih lagi solo, Saya ingin memberikan fokus sepenuhnya dalam kerjaya buat masa ini.

"Bagaimanapun, andaikata ada yang berkenan di hati, saya tidak menolak,"ujarnya.

Awal Ashaari Putus Asa Untuk Jadi Penyanyi

Posted: 15 Feb 2012 05:49 AM PST



SUBANG JAYA: Pengacara Awal Ashaari sudah berputus asa dalam usaha mengembangkan kerjaya nyanyiannya akibat kegagalan 'single' lagu pertamanya, Memori.

'Single' itu diterbitkan pada awal 2010.

Awal berkata, hal tersebut membuatkan dia sedar kerjaya nyanyian tidak sesuai dengannya melainkan berlakon dan mengacara.

"Sejujurnya, saya dah putus asa untuk meneruskan kerjaya di bidang nyanyian dan serik untuk muncul dengan lagu baru.

"Mungkin juga karier seni nyanyian tidak sesuai dengan jiwa saya. Jadi buat macam mana sekalipun, hasilnya tetap sama.

"Bagaimanapun, sekurang-kurangnya saya cuba melakukan sesuatu yang baru walaupun ia tidak berjaya," katanya.

Tambah Awal, antara sebab lain Memori kurang mendapat sambutan menggalakkan apabila ia kurang dipromosikan dengan meluas.

Walaupun gagal dalam nyanyian, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang sebagai seorang pengacara dan pelakon.

Kekasih pelakon Scha Al-Yahya ini berkata, pada tahun ini dia akan lebih memberi fokus dalam bidang lakonan memandangkan dia banyak memberikan komitmen sebagai pengacara pada tahun lalu.

"Ramai yang anggap saya dah tak berlakon sedangkan saya masih lagi menerima tawaran lakonan jika jadual kosong. Harap-harap, tahun ini murah rezeki saya, Insya-Allah," ujarnya.

Sementara itu, Awal dan Scha bakal melangsungkan pernikahan mereka pada pertengahan tahun ini dan masih lagi mencari tarikh yang sesuai untuk majlis berkenaan.

Ahmad Idham Ambil Mat Rempit Berlakon 'Apa Celop'

Posted: 15 Feb 2012 05:48 AM PST





PETALING JAYA: Pengarah popular Ahmad Idham Ahmad Nadzri memberitahu dia sering mengambil golongan remaja seperti mat rempit untuk berlakon dalam filem mahupun drama yang membabitkan genre aksi yang dihasilkannya.

Idham berkata, penglibatan golongan itu sekali gus dapat memberi peluang bekerja selain membersihkan mereka daripada gejala lumba haram yang pernah disertai dahulu.

"Sebenarnya saya telah mengambil golongan rempit ini berlakon bagi menunjukkan skil-skil hebat mereka sejak menghasilkan filem Remp-it lagi.

"Dan sehingga kini, khidmat mereka masih diperlukan dalam filem-filem saya termasuklah drama aksi komedi baru saya, Apa Celop.

"Selain itu, saya dapat mendalami jiwa 'geng rempit' ini dan mengupas kisah-kisah mereka dalam karya saya," katanya yang ditemui pada pelancaran drama Apa Celop di One Utama, di sini, Selasa.

Tambah Idham, sehingga ini, penglibatan golongan mat rempit dalam Apa Celop adalah kumpulan yang kelima.
Barisan para pelakon 'Apa Celop'

Apa Celop, drama berbentuk aksi komedi, bakal disiarkan setiap Isnin mulai 20 Februari, pukul 9 malam di TV3.

Di bawah terbitan Excellent Pictures, drama bersiri 13 episod tersebut merupakan cetusan idea Idham yang bertindak sebagai pengarahnya manakala skrip ditulis oleh Meor Shariman.

Ia memaparkan pelbagai dilema dan masalah pelumba-pelumba haram yang menjalani kehidupan mereka di kota Kuala Lumpur.

Padat dengan aksi yang memukau mata, Apa Celop turut menyelitkan elemen-elemen komedi dan kisah cinta yang romantis.

"Drama ini mengisahkan tentang Aman (Kamal Adli) dan Sawi (Taiyuddin Bakar) bercadang untuk berlumba kali terakhir supaya memenangi duit dengan harapan mengadakan sebuah majlis perkahwinan secara besar-besaran bersama kekasih mereka, Julia (Amanda Misbun) dan Munirah (Ika Nabella).

"Namun, niat baik mereka terhalang selepas Aman memenangi perlumbaan itu di mana dia terpaksa membawa pulang seorang gadis kampung, Marsha (Wan Sharmila) yang dijadikan habuan kepada pemenang.

"Saya percaya ramai yang menganggap Apa Celop merupakan drama yang diadaptasi daripada Hantu Bonceng tetapi sebenarnya tidak. Ia sebuah kupasan baru tentang mat-mat rempit ini yang belum lagi saya paparkan kepada umum," ujarnya.

Penonton yang terlepas menyaksikan drama ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.