Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Dulu mengenali, kini memahamiPASANGAN ini mula bertemu sekitar dua tahun lalu untuk satu sesi fotografi bersama sebuah majalah tempatan. Namun, tiada sebarang ikatan yang terjalin antara Shila mahupun Sharnaaz sebaliknya hanya perkenalan sesama artis dan ia berlalu begitu sahaja. Sehinggalah kedua-duanya bertemu sekali lagi ketika menjayakan klip video Patah Seribu nyanyian Shila. Berlakon sebagai pasangan kekasih dalam klip video itu, hubungan Sharnaaz dan Shila mula rapat selepas itu namun ia bukanlah cinta. Pencipta klip video Patah Seribu, Micheal Ang kemudiannya menyusulkan cadangan kepada Astro untuk menghasilkan sebuah telefilem yang menggunakan judul yang sama, Patah Seribu. Pihak Astro bersetuju malah mahukan Shila dan Sharnaaz membintangi telefilem tersebut. Kedua-duanya bersetuju dan akhirnya cinta mula berputik di lokasi penggambaran Patah Seribu. Jika dulu, pasangan ini mengakui sedang dalam proses mengenali, kini mereka mengakui pula sedang dalam proses memahami. Namun, sejauh mana hubungan cinta anak perempuan tunggal ND Lala itu mampu pergi kerana Sharnaaz sendiri mengakui seorang yang panas baran. Malah, khabarnya ke mana sahaja pasangan ini pergi mereka akan ditemani oleh ibu mahupun adik-beradik Shila. Kosmo! bersemuka pasangan ini seterusnya merungkai segala intipati hubungan mereka ketika ditemui pada sidang media telefilem Patah Seribu di Alexis, Garden, Kuala Lumpur. Sharnaaz tidak khianati Shila Mengakui sedang dalam proses memahami sang kekasih, pemilik sebenar nama Sharnaaz Basir Ahmad, 27, memberitahu, tidak terdetik langsung di hatinya untuk mengkhianati cinta Shila kerana baginya penyanyi lagu Patah Seribu itu telah melengkapkan dirinya. "Semua orang tahu keperibadian uncle ND Lala. Bagaimana dia menjaga anak perempuannya dengan baik. Tidak terlintas langsung di hati saya untuk mengkhianati cinta Shila. "Dalam keluarga saya pun tak pernah ada unsur khianat. Kehadiran dia dalam hidup saya memang banyak membantu dari segi kerjaya saya dan sahsiah diri saya. Saya mengaku seorang yang panas baran. Tetapi Shila membantu meredakan saya seterusnya mengubah sahsiah diri saya ini," ungkapnya jujur. Tutur Sharnaaz lagi, selama mereka bercinta sudah tentu berlakunya pergaduhan. Namun, tempoh pergaduhan itu tidak lama apabila selepas tiga jam mereka akan mula menghubungi antara satu sama lain dan berbincang. Ditanya mengenai respons kedua-dua belah keluarga, ujar Sharnaaz, penerimaan keluarga Shila adalah memadai setakat hubungan mereka sekarang. Dia juga mengakui selesa dan menerima layanan yang baik daripada keluarga Shila.
Bagaimanapun Sharnaaz masih belum berpeluang menemukan Shila dengan keluarganya, dek kerana sibuk dengan kerja dan kekangan masa. "Walaupun keluarganya menerima hubungan kami tetapi masih ada batas-batas dalam hubungan kami dan saya menghormatinya. Begitu pun saya menyedari dalam usia cinta yang masih muda ini, banyak perkara yang harus dijaga supaya tidak timbul pandangan negatif umum. "Kata orang, masa ini lah peringkat yang paling menguji tetapi kita harus kuat untuk mengatasi segala halangan dan rintangan yang hadir," jelasnya yang sering ditemani oleh ibu atau adik-beradik Shila tatkala keluar dengan kekasih hatinya. Melalui pengalaman keluar bersama kekasih sambil ditemani ahli keluarga tidak timbulkah rasa dikongkong? Saat diajukan soalan itu kepada Sharnaaz, ternyata pemegang Ijazah Logistik dari Kolej Olimpia, Kuala Lumpur itu tidak langsung merasai dikongkong malah menghormati perkara itu. "Kalau dulu sebelum bercinta bila dengar keluar dengan pasangan kekasih dating sambil ditemani ahli keluarga rasa kelakar tetapi kini tidak lagi. Bila kita dah sayang seseorang itu kita tidak kisah. Lagipun, sebelum kami bercinta memang Shila sentiasa 24 jam bersama ibunya. jadi tidak timbul rasa dikongkong atau tidak selesa apabila keluar dengan Shila ditemani ahli keluarganya. "Malah, saya akui lega dan boleh tidur lena bila berjauhan dengannya. Sebab, saya tahu dia tidak akan ke mana kerana sentiasa dijaga oleh keluarganya," tuturnya yang sudah berbincang mengenai masa depan bersama Shila tetapi belum ke tahap mahu berkahwin. "Kami ada juga bercakap tentang masa depan. Tapi buat masa ini belum sampai ke tahap untuk berkahwin lagi. Memang kalau difikirkan saya pun bukan muda lagi, dah 27 tahun. Tapi saya rasa biar kami betul-betul bersedia. Sebab bila berkahwin ini, tanggungjawabnya lebih besar. Banyak perkara yang perlu diambil kira. Lagipun keluarga tak mendesak saya akhiri zaman bujang dalam masa terdekat ini," kata Sharnaaz lagi. Sharnaaz cinta pertama Shila Mempunyai pendapat sama dengan kekasih hatinya itu, ungkap Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah, 22, pula, dia dan Sharnaaz tidak mahu tergesa-gesa untuk ke tahap itu. Lebih-lebih lagi dia masih muda, baru 22 tahun. Penyanyi yang popular dengan lagu Patah Seribu ini merasakan buat masa ini dia belum benar-benar sempurna dan masih banyak yang perlu dipelajari di samping berusaha memberikan yang terbaik dalam perhubungan mereka. Shila turut mengharapkan semua pihak mendoakan agar perhubungan mereka ini berkekalan dan menuju ke arah kebaikan. Dalam pada itu, ada suara nakal yang mendakwa Shila sendiri yang memilih Sharnaaz sebagai pelakon lelaki dalam klip videonya, Patah Seribu. Malah, menerima tawaran berlakon buat pertama kalinya dalam telefilem judul yang sama kerana ingin lebih mengenali hati budi dan mendampingi pelakon filem Seru itu. Ditebak dengan soalan tersebut, Shila mengakui meminati lakonan Sharnaaz dalam telefilem Ungunya Cinta tetapi dia tidaklah sehingga mengambil peluang untuk mengenali pelakon itu dengan lebih rapat. "Saya tidak meminta Sharnaaz untuk berlakon dalam klip video Patah Seribu sebaliknya Micheal Ang yang mencadangkannya kepada saya. Saya juga tak ambil peluang berlakon dalam telefilem Patah Seribu disebabkan ingin mendampingi atau mengenali hati budi Shahnaaz.
"Saya terima disebabkan telefilem ini mengangkat jalan cerita berdasarkan lagu Patah Seribu hasil ciptaan saya," itu lontaran kata-kata tersebut di bibir munggil Shila yang seterusnya mengakui tidak menyangka menceburi bidang lakonan dalam masa secepat ini. Shila juga mengakui selepas bercinta dengan Sharnaaz dirinya lebih berasa tanggungjawab dan matang. "Saya akui mengambil masa yang lama untuk menerima perasaan cinta yang lahir dalam diri saya. Namun, setelah mengenalinya saya boleh menerimanya dalam hidup saya dan tidak berselindung mengakui dialah cinta pertama yang hadir dalam hidup saya, "Sebelum bertemu dengan dia saya seorang yang lain. Bukan berubah kepada yang buruk tetapi berubah kepada yang lebih baik," ujarnya lagi. | ||||
Tiz nafi putus cinta dengan Remy Posted: Tiz nafi putus cinta dengan RemyOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
UMUM mengetahui hubungan cinta yang terjalin antara pelakon utama drama rantaian Nur Kasih, Tiz Zaqyah dan Remy Ishak makin mekar berkembang. Namun, sekitar dua minggu lalu timbul gosip mengatakan hubungan pasangan kekasih itu berantakan dan mereka kini sudah tidak lagi bersama. Malah, jika diperhatikan laman sosial Twitter dan Facebook kedua-dua selebriti itu ibarat masing-masing tengah memendam rasa dan seolah-olah sedang berperang. Menerusi laman sosial milik Tiz juga baru-baru ini ada mengeluarkan beberapa kenyataan yang barangkali mempunyai makna tersirat. Lebih memanaskan gosip tersebut, ada sumber yang memberitahu bahawa hubungan cinta mereka diputuskan oleh Remy sendiri kerana tidak tahan dengan sikap Tiz yang kuat cemburu serta beberapa faktor lain. Kesempatan bersua dengan pelakon Tiz Zaqyah atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 23, ketika malam gala filem Cinta Kura-Kura di Cathay e@Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini, hal putus cinta tersebut membuat dia diserbu wartawan hiburan yang hadir. Kosmo!: Sejak kebelakangan ini, laman sosial milik Tiz dan Remy seolah-olah memberi petunjuk bahawa anda berdua kini sedang berperang. Apa komen Tiz? Tiz: Saya sudah agak perkara ini pasti akan diajukan. Tapi sebenarnya ini semua mengarut! Semuanya adalah gosip semata-mata. Apa yang terpampang di laman sosial tiada kena mengena dalam hubungan kami. Jadi benarlah bahawa cerita itu sekadar khabar angin? Dakwaan itu tidak berasas. Inilah cabaran yang perlu kami lalui apabila sudah mendedahkan hubungan kami kepada khalayak. Orang sekeliling akan ternanti-nantikan perkembangan seterusnya. Jadi, bagaimana Tiz sifatkan hubungan antara anda dan Remy? Kami masih macam biasa, kalau masing-masing ada kelapangan waktu kami akan berjumpa. Bagaimana Tiz melihat spekulasi yang melanda hubungan kalian? Pernah dulu pun timbul juga gosip bahawa hubungan antara saya dan Remy putus. Ini bukan kali pertama. Saya pun sebenarnya sudah lali dengan cerita-cerita sebegini. Saya anggap gosip seperti ini tidak pernah wujud! Selain gosip keretakan hubungan cinta Tiz dan Remy, baru-baru ini juga Tiz ada mengeluarkan satu kenyataan di laman sosial Facebook bahawa anda sedang dating dengan lipas. Siapa 'lipas' yang Tiz maksudkan? Saya tak maksudkan sesiapa, rumah saya memang banyak lipas. Kalau tak percaya boleh tanya mak saya. Saya tak tujukan kepada sesiapa pun apatah lagi untuk menegur sesiapa. Masih mengenai kisah Tiz dan Facebook, sewaktu penyanyi diva pop, Whitney Houston dikhabarkan meninggal dunia, Tiz juga ada mengeluarkan satu kenyataan berkaitan artis di Malaysia dan Hollywood. Apa maksudnya? Mengenai kenyataan itu, saya juga tidak maksudkan sesiapa. Itu pendapat peribadi saya. Kalau artis di Hollywood pun tak boleh mengawal tekanan apatah lagi artis di Malaysia ini. Itu saja. Tiz lebih banyak tampil di layar kaca berbanding layar perak. Ada projek terbaharu Tiz yang mungkin boleh dikongsikan bersama? Untuk filem buat masa sekarang belum lagi. Insya-Allah, saya bakal tampil menerusi filem Cinta Kura-Kura pada awal bulan Mac dan sedang dalam proses perbincangan untuk drama terbaharu tidak lama lagi. Boleh Tiz ulas pengalaman berlakon dalam filem komedi romantik, Cinta Kura-Kura, bersama pelakon baharu, Aeril Zafril? Saya memegang watak Nani seorang gadis berusia 21 tahun yang mempunyai haiwan peliharaan seekor kura-kura bernama Nico. Dalam diam-diam saya jatuh cinta dengan jiran bernama Adam (lakonan Aeril Zafril). Ini pengalaman pertama saya membawakan watak yang perlu berimaginasi dalam filem. Bagi saya yang selalu diberikan tanggungjawab membawakan watak berat, filem ini tidaklah terlalu senang dan tidak juga terlalu susah. | ||||
Suzy Miss A paling banyak makan Posted: Suzy Miss A paling banyak makan
AKTRES yang juga seorang penyanyi daripada kumpulan wanita Miss A, Suzy telah berkongsi pengalamannya ketika penggambaran filem pertamanya yang berjudul Introduction to Architecture dalam satu sidang media baru-baru ini. Akuinya: "Saya makan enam kali sehari sepanjang penggambaran filem itu berlangsung." Sementara aktor Uhm Tae Woong berkata: "Saya tidak pernah lihat dia makan tetapi krew penggambaran memberitahu mereka tidak pernah melihat penyanyi yang makan banyak sepertinya. "Disebabkan berat badannya tidak naik, saya tidak tahu sama ada memang secara semula jadi badannya begitu atau dia bekerja keras di gim untuk mengekalkan berat badannya." Suzy dikenali sebagai penyanyi dan aktres yang mempunyai badan yang sihat di kalangan selebriti Korea Selatan kerana gadis muda sepertinya lebih cenderung untuk mendapatkan tubuh badan yang kurus. "Saya akan makan apa sahaja bila terasa lapar tetapi pengarah mempersoalkan rutin makan enam kali sehari kerana selalunya aktres atau penyanyi akan mengawal makan untuk menjaga bentuk badan tidak seperti saya yang makan tanpa kawalan," kata Suzy. Filem lakonan Suzy yang diarahkan oleh Lee Yong Ju itu merupakan sebuah filem melodrama cinta sepasang kekasih yang bertemu di kolej, terpisah dan bertemu semula selepas 15 tahun. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |