Walaupun finalis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 dijadualkan muncul pada jam 2 petang di ruang legar The Spring, Kuching, Sarawak, Ahad lalu, namun ramai pengunjung memenuhi pusat beli-belah itu sebaik saja ia dibuka dari 10 pagi.
Siapa yang mahu melepaskan peluang bertemu barisan artis yang berada disenarai teratas carta popular, apatah lagi buat julung kali jelajah ABPBH merentas lautan menakluk bumi kenyalang semata-mata mahu menghargai peminat?
Sebaik pengacara majlis, Didie Alias bersama Along Cham membuka salam, gemuruh sorakan pengunjung yang seakan tidak sabar melihat calon Top 5 anugerah berprestij ini muncul di depan mata sejak berita kunjungan mereka diuar-uarkan.
Sinonim dengan siri jelajah, duo berkenaan bijak mengemudi acara dengan jenaka bersahaja dan gelombang sorakan terus bergema sebaik calon Pengacara TV Wanita Popular, Adibah Noor, serta finalis Artis Komedi Wanita Popular, Jihan, muncul di pentas.
Adibah yang tiba di Kuching pada hari sama tidak tampak lelah sebaliknya teruja apabila sedari awal sudah menghebahkan kehadirannya di The Spring menerusi Twitter, begitu juga bintang Raja Lawak, Jihan.
Kehadiran penyanyi yang juga anak jati Sarawak, Melissa Francis, yang juga calon Artis Stailo bagi kategori online, tidak mengecewakan dengan vokal mantapnya.
Momentum persembahan semakin meningkat dengan persembahan Sleeq yang sejak awal ditunggu-tunggu lebih 5,000 peminat yang hadir. Lagu Untuk Dia nyata 'berhantu' apabila semua pengunjung tidak kira kecil atau berusia berdendang bersama.
Tampil dengan persalinan tradisional Sarawak, Nabila Huda yang dicalonkan ke peringkat akhir selepas 12 tahun berada dalam industri hiburan pula membuatkan semua mata tertumpu kepadanya. Akuinya, ia sebagai penghargaan kepada masyarakat tempatan.
Black yang ditemani rapper, RJ, turut mendapat impak tepukan maksimum daripada khalayak. Siapa tidak mengetahui lagu popularnya, Teman Pengganti, dan kali ini Black membuat kejutan apabila menghadiahkan jaketnya kepada peminat.
Selain Adibah yang membawakan lagu Terlalu Istimewa, Sleeq, Melissa dan Black serta RJ, kemeriahan diteruskan persembahan Hazama yang dari awal turut berkongsi keseronokan berpeluang mendekati peminat di Bumi Kenyalang.
Biarpun kelompok pelakon dan pengacara tidak menyanyi, mereka tampil di pentas dengan aksi tersendiri, termasuk Bintang Paling Popular ABPBH musim lalu, Aaron Aziz, yang sememangnya mengundang aura tersendiri.
Tidak hanya sorakan, jeritan turut kedengaran daripada aras atas dan bertepatan dengan sambutan hari lahirnya yang jatuh sehari sebelum acara jelajah di Kuching, dia menerima kejutan apabila seluruh isi pusat beli belah itu menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi.
Begitu juga Zizan Razak yang berterusan meraih pancaran lensa kamera. Sebelum naik ke pentas lagi orang ramai menjeritkan namanya hingga ada kelompok peminat yang menyediakan poster bagi menunjukkan sokongan.
Sorakan terus bergema apabila calon Penyampai Radio Popular, Fara Fauzana dan temannya, AG, mengambil alih ruang. Seperti di udara, mereka cepat mengenakan orang terutama peminat yang diajak naik ke pentas.
Terdahulu, peminat bertuah berpeluang menaiki kenderaan bersama selebriti kesayangan tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) selain mengunjungi premis Pandora, Avon dan Habib Jewels.
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini