Adsense

Khamis, 4 April 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Teater ada unsur seks, Remy Ishak tarik diri

Posted: 04 Apr 2013 01:13 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM

MISLINA Mustaffa, pengarah teater M.Butterfly ketika ikut sama mengadakan perhimpunan membantah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dataran Merdeka, tahun lalu. - Gambar dari blog Minaq Jinggo

KUALA LUMPUR 4 April - Pelakon Remy Ishak mengambil keputusan untuk menarik diri daripada berlakon dalam produksi teater M. Butterfly arahan Mislina Mustaffa atas alasan teater itu mempunyai unsur seksual dan politik.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh produksi Rumah Anak Teater, Remy, 31, memaklumkan kepada pihak produksi bahawa pihak pengurusannya tidak bersetuju untuk terlibat dalam teater berkenaan.

Akibat penarikan diri oleh Remy, pihak produksi telah memutuskan pengganti bagi watak Remy akan dipikul oleh anak kepada dramatis Azean Irdawaty, Benjy.

Drama inspirasi daripada opera Madama Butterfly Giacomo Puccini mengisahkan watak utama, Rene Gallimard, yang merupakan seorang kakitangan awam dihantar untuk bekerja di kedutaan Perancis di China.

Gallimard jatuh cinta dengan diva opera China, Song Liling, yang sebenarnya seorang lelaki menyamar sebagai seorang wanita.

M. Butterfly juga pernah dipentaskan di Euqene ONeill Theatre, New York, Amerika Syarikat pada 20 Mac 1988 hingga 27 Januari 1990 selama 777 kali pementasan yang diarahkan oleh John Dexter dan pernah difilemkan selama tiga kali oleh pengarah berlainan iaitu David Cronenberg, Jeremy Irons dan John Lone.

Teater M. Butterfly karya asal David Henry Hwang ini dijadualkan dipentaskan bermula 11 hingga 14 April ini di Blackbox, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE

Bangga harumkan nama negara

Posted: 04 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar HAFIZ JOHARI

Kumpulan Mojo bangga dengan kemenangan yang diraih, (dari kiri) Johar, Denny, Aweera dan Edry.

Siapa kata bahasa membataskan seseorang untuk mendengar muzik? Hakikatnya, lagu yang disampaikan dalam bahasa Melayu juga boleh diminati oleh orang luar termasuk mereka yang tidak memahaminya.

Akhir-akhir ini pelbagai kejayaan telah dicipta oleh anak seni tempatan seperti Shila Amzah yang memenangi pertandingan nyanyian di Shanghai, China. Terbaru, Mojo pula meraih kemenangan juga di luar negara.

Menyampaikan dua buah lagu, Andai Ku Bercinta Lagi dan Dream On daripada Aerosmith, nyata Mojo telah mendapat penghargaan daripada juri dengan dua kemenangan iaitu tempat kedua keseluruhan dan Vokal Terbaik.

Bagi Mojo, kemenangan di Festival Musik Asiap-Pop Hong Kong (HKAMF) itu satu kebanggaan buat diri mereka apatah lagi perkara itu menjadi platform untuk menempatkan nama Mojo di peringkat Asia.

"Kami bangga dengan pencapaian ini apatah lagi kami merupakan wakil daripada Malaysia yang bersaing dengan enam buah negara yang turut serta dalam pertandingan ini.

"Pemilihan kami dilakukan berdasarkan kepada keupayaan dan syarat untuk pertandingan ini ialah sudah membuat rakaman lagu dalam tempoh tiga tahun yang lalu.

"Enam pesaing kami pada hari itu ialah dari China, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Singapura," jelas penyanyi kumpulan itu, Aweera.

Sementara itu, bagi seorang lagi anggota Mojo, Edry Abdul Halim yang juga anggota kumpulan KRU berkata, dia sebenarnya terkejut kerana tidak menyangka bahawa itu sebenarnya adalah satu pertandingan.

"Saya ingatkan kami ke sana kerana kerana membuat persembahan sahaja. Rupa-rupanya ada kategori yang dipertandingkan pada persembahan itu. Kami sahut cabaran dan akhirnya memperoleh kejayaan," katanya.

Tambah Edry, ketika membuat persembahan, dia terkejut kerana mereka penonton di sana dapat menghayati muzik yang dibawakan oleh Mojo walaupun tidak faham maksud seni kata lirik itu.

"Banyak perkara aneh yang saya sendiri terkejut ketika berada di sana kerana pertandingan itu 100 peratus diadakan dalam bahasa kantonis sedangkan kami pula menyampaikan lagu dengan bahasa Melayu.

"Tetapi penonton yang hadir dan melihat kami jelas teruja dan seronok dengan persembahan kami dan itu adalah suatu perkara yang sangat aneh.

"Pertandingan ini juga disiarkan secara langsung di stesen televisyen di sana. Ketika kami sampai di Hong Kong, tiada yang mengenali kami, namun ketika pulang dan melalui imegresen di sana, mereka sudah mengenali kami sebagai kumpulan Mojo," jelasnya.

Tambahnya, persediaan yang dilakukan untuk pertandingan itu selama dua minggu sahaja.

"Alhamdulillah, walaupun persediaan hanya dibuat dalam masa dua minggu sahaja, namun ketika membuat persembahan di pentas, semua memberikan yang terbaik terutamanya vokalis kumpulan kami, Aweera," ujarnya.

Jelas Edry, kumpulan ini sebenarnya dibentuk sebagai sebuah projek band tetapi dengan kemenangan ini, dia merasakan band ini perlu diketengahkan lagi.

"Walaupun band kami baru berusia setahun, namun masing-masing sudah ada pengalaman bermain muzik sebelum ini dan ia tidak menyukarkan kami sebenarnya.

"Walaupun Mojo sebenarnya adalah projek band, tetapi dengan kemenangan ini, adalah langkah baru untuk Mojo terus kekal menjadi sebuah band dan terus menghasilkan karya dengan cara kami sendiri," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terbaharu kumpulan itu, jelas Aweera, Mojo akan tampil dengan single terbaharu mereka, Romancinta yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

Di pentas Asia

Persembahan Mojo pada malam itu bukan sahaja mendapat perhatian daripada juri, produser dari Hong Kong juga berminat dengan lagu Andai Ku Bercinta Lagi.

Menurut Edry, selepas selesai membuat persembahan, mereka didatangi oleh seorang produser Hong Kong yang bertanyakan maksud lirik lagu yang mereka persembahkan.

"Terkejut juga sebenarnya. namun selepas memberitahu maksud lirik itu, produser berkenaan tertarik dan ingin mengalih suara bagi lagu berkenaan ke dalam bahasa Kantonis pula.

"Ini merupakan satu peluang buat kami untuk memperkembangkan lagi nama Mojo ke peringkat antarabangsa," ujarnya.

Jelasnya, mereka tidak akan menyanyikan lagu berkenaan tetapi akan dinyanyikan oleh penyanyi di sana.

"Kemenangan ini membuka jalan buat kami untuk terus mendaki tangga ke peringkat antarabangsa tetapi biarlah ia dirancang dengan teliti dan bukan dengan cara asal siap sahaja.

"Memang tidak terlintas difikiran bahawa muzik dan irama yang kami bawa ketika menyertai pertandingan ini mampu menarik perhatian pemain industri di sana," ujarnya.

Mengulas lanjut, jelas Edry, ada juga pihak daripada Korea Selatan yang berminat untuk menjemput mereka membuat persembahan pada festival muzik di sana.

"Perkara ini masih lagi dalam perancangan, tetapi ada pihak Korea Selatan menjemput kami untuk melakukan persembahan di Festival Rock Korea yang mungkin akan diadakan pada bulan Ogos," ujarnya.