Kosmo Online - Hiburan |
Bertunang lagi, Sarah pilih Shuib Posted: Bertunang lagi, Sarah pilih ShuibPENGUMUMAN Shuib, ahli kumpulan Sepah atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berhubung pertunangannya yang berlangsung pada 16 November lalu dengan penyanyi Siti Sarah Raisuddin baru-baru ini mengejut banyak pihak. Ramai tidak mengetahui kisah cinta mereka dan turut terkejut dengan pilihan Sarah yang jauh menyimpang daripada 'seleranya' sebelum ini, daripada mat saleh kepada lelaki Melayu. Sarah yang ditemui di majlis pelancaran produk Balung baru-baru ini, hanya tertawa ketika diajukan soalan berhubung pertunangannya itu. "Sebenarnya saya bukannya jenis memilih malah saya tidak kisah bakal suami saya bangsa apa, apa warna kulitnya, dari negara mana? Apa yang penting adalah dia menyayangi saya sepenuh hati dan kalau sudah jodoh, saya terima seadanya," ujar Sarah sedikit serius. Disoal lagi, jika dulu dia memilih lelaki mat saleh berasal dari New Zealand kenapa kini dia beralih arah kepada Shuib, seorang pelawak berusia 26 tahun yang berasal dari Johor?
Sarah dalam senyuman bahagia mengatakan: "Shuib seorang yang sangat ringkas. Saya juga sangat selesa berada di sampingnya kerana dia kenal siapa Sarah. Shuib yang dilihat di kaca televisyen seorang yang sangat berbeza dengan Shuib yang saya kenal kerana dia seorang yang serius. "Perkara yang membuatkan saya suka pada Shuib adalah kerana dia sangat menghormati keluarga saya dan dia mempunyai hubungan yang baik dengan bapa saya. Dia telefon bapa saya dan cakap dia benar-benar sayangkan saya." Sejak bercinta dengan Shuib selama setahun lebih, akui Sarah dirinya banyak berubah kerana lelaki tersebut banyak mengajarnya untuk menjadi manusia yang lebih baik. "Alhamdulillah, banyak perubahan diri yang saya alami sejak kenal Shuib. Dia seorang yang pandai menceriakan suasana dan merendah diri. Selain saya dan bapa, dia rapat dengan semua keluarga saya," kata Sarah. Tidak sorok majlis pertunangan Majlis pertunangannya yang berlangsung secara senyap-senyap di kediaman keluarga Sarah yang terletak di Kuala Selangor bukanlah satu rahsia. Tegas Sarah, majlis tersebut berlangsung dalam waktu yang singkat selepas Shuib meluahkan hasrat untuk menghantar rombongan menyebabkan dia dan ahli keluarganya melangsungkannya secara sederhana. Malah, ramai saudara-maranya tidak dapat hadir. "Saya bukan nak sorok, bukannya ada sebarang rahsia pun. Cuma semuanya berlaku dalam waktu yang singkat. Lagi pun ini hanya majlis pertunangan, yang penting adalah majlis pernikahan nanti," ujarnya. SHUIB (kiri), tunangan Siti Sarah merupakan ahli kumpulan Sepah yang diwujudkan bersama Mamat (kanan) dan Jepp (tengah). Ditebak soalan, mungkinkah majlis pertunangan yang dibuat secara sederhana tanpa liputan pihak media ada kaitan dengan kes putus tunangnya sebelum ini? Tanpa berselindung Sarah memberitahu, pengalaman putus tunang sebelum ini banyak mengajarnya, jelasnya dia tiada niat untuk menyorok perihal hari bahagianya tetapi baginya majlis pertunangan bukan petanda yang dia sah menjadi milik orang. "Walaupun bertunang, pelbagai kemungkinan boleh berlaku kerana tiada ikatan yang sah. Jadi, saya tidak mahu terlalu menghebohkannya. "Apa yang penting adalah akad nikah, nanti kalau sudah benar-benar sah saya mahu berkahwin, jangan risau saya akan jemput semua orang," tutur Sarah yang tidak mahu bertunang dalam tempoh yang lama. Sedia jadi isteri dan ibu Usianya menginjak angka 27 tahun pada tahun depan dan dia juga sudah melalui pelbagai pengalaman pahit sebagai anak seni dan juga seorang wanita. Justeru, akui Sarah, sudah pasti dia telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu apabila mereka disatukan tahun hadapan. "Saya sudah bersedia daripada aspek mental dan fizikal. Kalau tidak, buat apa saya bertunang? Saya sudah jumpa orang yang benar-benar sayangkan saya seadanya dan saya juga menyayanginya," katanya. Namun tarikh sebenar majlis perkahwinan mereka berdua belum dapat diputuskan lagi kerana masing-masing masih sibuk dengan aktiviti seni. "Buat masa sekarang kami dua-dua sibuk, Shuib pun ada penggambaran drama, jadi kami bagi tempoh dua bulan untuk dia habiskan semua kerjanya sebelum melangsungkan perkahwinan.
"Sebagai perempuan tidak manis untuk saya merancang tarikh perkahwinan sendiri kerana ia terpulang kepada keluarga kedua-dua belah pihak. Jika sudah ada satu tarikh yang ditetapkan saya akan umumkan," ucap Sarah. Mengimbas kembali bagaimana cinta mereka boleh berputik, cerita Sarah, semuanya bermula apabila mereka bertemu dalam set penggambaran program Gelak Khas yang ditayangkan di Astro Warna sekitar bulan Oktober tahun lalu. Bermula daripada seorang teman biasa, hubungan mereka secara perlahan-lahan berubah kepada teman istimewa. Kata Sarah, dia cukup tertarik dengan sikap Shuib yang bertanggungjawab dan merupakan seorang pendengar setianya. "Dia pendengar setia kepada semua cerita saya dan dia juga sentiasa adakan masa untuk saya walaupun dia sibuk dengan kerja," bicara Sarah tentang lelaki yang dicintainya itu. | ||||
Posted: Bicara Luna tentang Ariel
SUKAR benar mendapatkan butir bicara selebriti cantik bernama Luna Maya. Dia banyak berdiam dan berselindung di balik kaca mata hitam dan selendang nipis setiap kali kelibatnya kelihatan di luar mahkamah atau penjara yang merupakan 'mahligai' penginapan kekasihnya, Ariel. Dari titik mula Ariel diletakkan di rumah tahanan Bareskrim Mabes Polri, Jakarta hinggalah vokalis Peterpan itu dipindahkan ke Rumah Tahanan Kebonwaru, Bandung, Luna Maya tidak pernah gagal menemani kekasihnya. Terhambat dengan kes video porno bersama Ariel yang mula heboh sejak 3 Jun lalu, Luna khabarnya sering menghilangkan diri daripada pandangan umum. Dia lebih enak mendiamkan diri dan sekali sekala muncul memberi sokongan dan semangat buat Ariel di Bandung. Namun atas dasar kebenaran, pelakon dan pengacara cantik ini berusia 27 tahun ini membuka mulut dan pelbagai cerita perihal kes mahkamah dan Ariel. Dipetik daripada laman detikhot.com, Luna Maya sempat memberi 'curhat' (curahan hati) yang terpendam sekian lama. Apa harapan Luna terhadap sidang mahkamah ini? Saya mahu agar semua keputusan adalah adil. Saya sedih dan kecewa apabila pihak lawan cuba untuk memberikan keterangan secara sepihak hingga merugikan pihak saya dan Ariel. Walhal, sebelum perbicaraan di mahkamah, kita sangat senang bekerjasama. Saya dan Ariel juga patuh. Permasalahan sebenarnya bukanlah Ariel. Kenapa banyak pihak yang menghukum kami walau belum diputuskan bersalah? Saya harap pihak tersebut menyuarakan damai tanpa anarki. Saya percaya pihak tersebut beragama dan harapan saya agar mereka dapat memberikan contoh yang baik tentang apa yang mereka suarakan. Agama saya mengajar kebaikan dan sama-sama mencintai. Mudah-mudahan persidangan di masa hadapan akan baik dan adil. Bagaimana keadaan Ariel? Dia baik, kuat dan sangat sabar. Mungkin selama ini kami berdiam. Tapi kami menunggu tunggu momen untuk perbicaraan. Selama beberapa bulan kami berhadapan dengan ketidakadilan. Kami berdua sebenarnya berkorban malah semakin hadir di mahkamah semakin diprovokasi terutamanya Ariel. Kami meluruskan ketidakjelasan yang selama ini terjadi. Kami minta keadilan. Kalau kami dituduh membantu penyebaran video tersebut seharusnya siasat penyebar utama dulu, baru bahagian Ariel diproses. Ariel kelihatan produktif sepanjang di penjara? Sering menjenguknya, saya lihat dia cukup produktif. Dia membikin prosa dan karangan serta membaca buku. Saya lihat wawasannya semakin luas serta lebih kritis. Tetapi di dalam penjara, dia sebenarnya tidak terus menerus di situ, ada masanya dia boleh juga mengadakan latihan muzik bersama grup. Tetapi jika Ariel tidak bersalah, kenapa dia ditahan dengan lama di penjara? Saya juga menanyakan perkara yang sama sampai saat ini. Kenapa? Sepatutnya kalau atas tuduhan penyebaran, yang dicari haruslah penyebarnya. Saya di sini mewakili Ariel. LUNA menganggap Ariel kini lebih sabar dan kuat berhadapan dengan musibah yang menimpa dirinya. Malah, Ariel juga dikatakan lebih produktif dan sempat mengarang prosa dan karangan di penjara. Adakah Luna tidak mungkin turut menjadi suspek? Perkara yang dituduhkan semakin jauh dengan saya. Saya adalah mangsa jadi saya tidak terbeban dengan masalah ini. Saya ikuti proses yang sedang dilakukan. Mudah-mudahan tidak lama, tidak melekat lagi kepada saya. Saya berharap pihak yang lain-lain jangan membantu provokasi. Malah keadaan itu hanya membuah kecemasan dalam masyarakat. Kita jalani kehidupan dan saya mahukan penjelasan tentang siapa salah dan siapa benar. Bukan bermaksud kami tidak mahu melawan, cuma kami beradab dan beretika. Saya rasa walau pihak mana pun perlulah mengadili sesuai dengan hukum. Selama beberapa bulan kami selalu diserang. Kami buktikan di pengadilan. Kami terbuka dengan siapa saja malah Ariel terbuka dengan ormas (organisasi masyarakat), tetapi jangan anarki. Kes ini memberi impak kepada karier Luna? Tidak juga. Kalau dalam pekerjaan, tidak. Cuma kegiatan sedikit terhambat. Diwajibkan dua minggu sekali hadir untuk lapor diri di mahkamah. Berat atau tidak? Menurut orang lain berat. Tapi sudah saya melepasi dugaan yang paling berat. Saya menjalaninya daripada awal, menata pekerjaan daripada sifar lagi. Saya hidup daripada awal lagi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |