Adsense

Sabtu, 27 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Gotong-royong banyak faedah

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Gambar MOHD. NOOR MAT AMIN

EZANY membantu memasang langsir dan cadar baharu sambil dibantu rakan artis, Amran Ismail di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Taqwa, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Selain daripada ibadah puasa wajib, kita juga digalakkan menunaikan solat tarawih selain bertadarus. Dalam waktu yang sama, kita juga dituntut untuk melakukan pelbagai aktiviti mulia yang lain.

Antara aktiviti yang pastinya turut mendapat keberkatan adalah melibatkan diri dengan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran seperti perumahan, surau atau masjid, sekolah serta rumah-rumah kebajikan.

Itu juga antara aktiviti yang sering disertai oleh pelakon, Ezany Nizariff sekiranya mempunyai waktu terluang daripada urusan lakonan dan bidang perniagaan yang disertainya.

"Gotong-royong seperti ini banyak faedah buat diri kita. Ini kerana selain daripada ia merupakan kerja amal, kita juga dapat mengeluarkan peluh.

"Pada masa yang sama, dapat juga kita gunakan peluang tersebut untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kita, apatah lagi sekiranya ia melibatkan kawasan perumahan," katanya.

Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zaini Mohd Nizariff ditemui sewaktu menyertai Majlis Gotong-Royong dan Buka Puasa di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Taqwa, Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis tersebut merupakan anjuran Kelab Sukan Dan Rekreasi Utusan Karya yang melibatkan kira-kira 50 orang peserta termasuk ahli persatuan dan beberapa artis popular tempatan.

Tambah Ezany lagi, antara sebab utama yang menarik minatnya untuk sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti sedemikian adalah kerana ia memberinya peluang untuk berkenalan dengan banyak pihak.

"Tugas sebagai seorang pelakon memerlukan kita bekerja sehingga awal pagi dan apabila pulang ke rumah, banyak masa dihabiskan untuk berehat dan kurang pergaulan sesama jiran.

"Jadi melalui aktiviti seperti ini, sekurang-kurangnya kita dapat berkenalan dengan jiran tetangga dan perkara tersebut amat mustahak dalam kehidupan seharian kita," tambahnya.

Selain daripada Ezany, antara artis lain yang turut hadir memeriahkan majlis amal tersebut termasuklah Arash Mohd., Chomell Fana dan Amran Ismail.

Masih belum sampai kemuncak

Pelakon yang kini berusia 40 tahun ini bukanlah nama baharu dalam industri seni lakonan tanah air, malah jika diikutkan dia telah melibatkan diri dalam bidang tersebut kira-kira 12 tahun. Namun menurutnya, dia masih belum mencapai tahap kemuncak dalam karier lakonannya.

"Saya akui kedudukan saya sebagai seorang pelakon di Malaysia masih belum berada pada tahap kemuncak karier saya. Saya harap peluang untuk saya mencapai impian itu masih terbuka luas.

"Namun saya juga tidak mahu terlalu cepat mencapai tahap sedemikian kerana risau populariti yang diraih tidak dapat bertahan lama.

"Jadi saya lebih selesa bergerak dalam bidang ini dengan kaedah tersendiri. Biarlah populariti yang diraih tidak seberapa kerana saya tidak mahu terjebak dengan sebarang kontroversi liar," jelasnya.

Walaupun begitu, hidup sebagai seorang pelakon tidak lengkap sekiranya tidak terpalit dengan kontroversi. Baru-baru ini Ezany sendiri telah merasakan pengalaman sedemikian apabila bayaran gaji hasil lakonannya tidak dijelaskan pihak produksi.

"Walaupun saya cuba untuk mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi, sekali sekala terpalit juga, tetapi mujurlah segalanya telah selesai.

"Kini saya mahu terus fokus kepada perkara-perkara yang lebih memberikan kebahagiaan dalam hidup, khususnya dengan kehadiran cahaya mata baharu yang kini berusia tiga bulan," jelasnya.

Memey teruja sambut Syawal

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

KELAHIRAN Mohamed Darwisz bagaikan azimat yang menambahkan lagi kebahagiaan buat pasangan Norman dan Memey.

KEHADIRAN Ramadan pastinya memberi seribu kebaikan kepada setiap insan. Begitu juga bagi pelakon Suhaiza Suhaimi, 25, atau lebih dikenali dengan nama Memey.

Memey memberitahu .com, tahun ini merupakan tahun penuh bermakna buat dirinya. Selain dapat berkumpul dan menjalani ibadah bersama keluarga sepanjang Ramadan, dia juga bakal menyambut kedatangan Syawal dengan 'orang baharu'.

Kehadiran orang baharu itu membuatkan Ramadan kali ini begitu bermakna buat Memey dan suaminya, Norman Hakim.

Menurutnya, orang baharu yang dimaksudkan itu adalah anak sulungnya, Mohamed Darwisz yang dilahirkan pada Februari lalu.

Katanya, dia begitu teruja menjalani ibadah berpuasa dan menyambut Syawal pada tahun ini kerana ia merupakan puasa dan raya pertama Memey bergelar seorang ibu.

Ketika ditemui .com dalam majlis berbuka puasa anjuran The Royale Bintang Damansara, Memey memberitahu kehadiran Muhamed Darwisz telah melengkapkan kehidupannya sebagai seorang wanita.

"Memang teruja sangat, lebih-lebih lagi inilah kali pertama saya membeli-belah keperluan raya untuk anak," katanya yang mengakui gemar membeli-belah pada saat akhir.

"Selalunya saya akan keluar membeli-belah seminggu sebelum Syawal. Bukan sebab tak ada masa, tetapi sebab saya seronok merasai kemeriahan malam menjelang raya ketika membeli-belah," katanya.

Sementara itu, Norman berkata, kelahiran Mohamed Darwisz bagaikan azimat yang menambahkan lagi kebahagiaan hidup bersama isteri tercinta.

"Dengan kelahiran anak baru ini, saya kini mempunyai dua anak lelaki dan dua anak perempuan," ujarnya.

Tiga daripada anak Norman itu adalah daripada hasil perkahwinannya dengan pelakon Abby Abadi.

"Insya-Allah pada hari raya tahun ini, kami akan berkumpul bersama. Malah, bekas isteri saya, Abby pun akan menyertai sambutan Syawal bersama kami," katanya yang bersyukur kerana sejak setahun kebelakangan ini hubungannya dengan bekas isteri lebih rapat demi kebajikan anak-anak.

Dalam majlis itu, Memey dan Norman turut beramah mesra bersama anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Turut memeriahkan majlis tersebut ialah beberapa rakan artis yang lain. - SYAHRIL/AIZZUL A. MAJID