Berita Harian: Hip |
Posted: 26 Jul 2013 05:25 PM PDT KD tidak abaikan komunikasi dengan dua anak walaupun tinggal berasingan Biarpun tidak tinggal sebumbung, penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti akan cuba mencuri masa untuk berbuka puasa dengan dua anak hasil perkahwinannya dengan Anang Hermansyah iaitu Aurel dan Azriel. Namun Ramadan ini, disebabkan terlalu sibuk dengan pelbagai urusan, wanita berusia 38 tahun itu mengakui, masih belum berkesempatan untuk berkumpul dengan dua anaknya yang sedang meningkat remaja itu.
Mesra disapa KD, adik kepada Yuni Shara itu mengakui, dia tidak pernah mengabaikan dua anak yang memilih untuk tinggal bersama bekas suaminya selepas rumah tangga yang dibina selama 13 tahun gagal dipertahankan. KD berkata, dia sering menitikberatkan komunikasi dengan Aurel dan Azriel, malah bersyukur kerana isteri Anang, Ashanty selalu menghubungi supaya hubungan mereka tidak renggang. "Tidak hanya Ashanty, Anang juga kerap memaksa saya supaya bertemu. Cuma sampai sekarang, kesempatan itu masih belum wujud. "Bukan saya menolak tetapi ada ketika, anak-anak sibuk dengan jadual masing-masing. Itu yang menyebabkan pertemuan antara kami sering tertunda," katanya.
"Alhamdulillah komunikasi antara kami bertambah erat. Sering saya akan berbual dengan Ashanty, malah dia kerap memaksa saya datang bertemu anak-anak kerana tidak mahu hubungan kami jauh," katanya. Menjadi kebiasaan penyanyi yang terkenal dengan lagu, Menghitung Hari ini, Ramadan akan dimanfaatkan dengan aktiviti amal seperti berbuka puasa bersama anak yatim. "Setiap tahun, saya cuba memperuntukkan masa untuk berbuka dengan anak yatim. Cuma tahun ini, acara itu terpaksa dilakukan di hotel kerana undangannya terlalu ramai dan memerlukan ruang lebih luas. "Untuk tahun ini, saya mengundang empat yayasan dan setiap satu mempunyai lebih 50 anak yatim. Alhamdulillah kerana selain mengeratkan silaturahim, acara ini juga membawa keberkatan dan keceriaan dalam hidup,'' katanya. Namun dalam keceriaan itu, KD memberitahu, hatinya berat apabila suaminya tidak dapat menyertai bersama kerana terikat dengan pekerjaan di Timor Leste. "Kebiasaannya Raul akan turut serta tetapi kali ini, dia terpaksa melepaskannya kerana terikat dengan kesibukan lain. Bagaimanapun, dia sentiasa memberi sokongan. "Sering dia mengingatkan saya, Ramadan ini harus dimanfaatkan untuk meningkatkan amal ibadah kerana terlalu banyak keberkatan yang menanti," katanya. Terharu memeluk anak yatim Berbicara panjang pada petang itu, KD tidak dapat melindungi perasaan terharu yang bersarang di sudut hatinya.
"Saya terharu melihat Amora memeluk seorang demi seorang anak yatim. Saya tidak pernah mengajarnya berbuat begitu. Alhamdulillah dia sudah menunjukkan sifat mulia dan saya berharap ia berkekalan dalam dirinya. "Amora seorang yang suka memperlihatkan perasaannya, malah memiliki jiwa pendidik yang kental. Saya sering membawa mereka bersama jika mengikuti kelas pengajian. "Saya mahu Amora dan adiknya membesar memiliki akhlak dan iman yang kuat. Disebabkan itu, sejak kecil saya sudah terapkan mereka dengan ilmu agama," katanya. Memilih untuk menetap di Dili sejak mendirikan rumah tangga dengan Raul, KD berkata, dia sudah dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di sana. "Anak-anak juga senang setiap kali berkesempatan pulang ke rumah. Setiap kali berada di Dili, menjadi kebiasaan untuk kami berkumpul bersama keluarga dan paling dinanti berlibur di Pantai Kristuray. "Dili memiliki keistimewaan yang tersendiri. Biarpun tidak membesar di sini, tetapi saya berbangga menjadi sebahagian daripadanya. "Alhamdulillah, anak-anak juga tidak banyak ragam menetap di sini. Dulu di Jakarta, setiap kali Maghrib anak kecil saya pasti menangis tetapi apabila kembali ke Dili, dia tidak lagi meragam," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |