Adsense

Sabtu, 30 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Teman kuliah

Posted: 29 Oct 2010 04:40 PM PDT

Hip

Gelagat 'Gucci' hiburkan hati Nurul Adira

TELATAH kucing kelabu ini tentu mengundang kagum sesiapa saja yang melihatnya. Bukan saja geram dengan bulu lebat seakan mahu diramas-ramas, karakter kucing campuran baka Parsi dan tempatan ini sendiri membuatkannya cukup unik berbanding spesies kucing lain.

Masakan tidak, kucing dikenali sebagai 'Gucci' oleh pemiliknya, Nurul Adira Anuar, 24, akan sentiasa dibawa hampir ke mana saja, tidak kiralah ketika bersiar-siar di hujung minggu, balik kampung atau pun sehingga ke bilik kuliah. Anehnya, Gucci tidak pula menimbulkan sebarang masalah sepanjang berada di dalam bilik kuliah walaupun sesi pembelajaran mengambil masa kira-kira lapan jam. Sebaliknya, si comel itu akan sentiasa setia menunggu di sisi pemiliknya tanpa sebarang kerenah seolah-olah mengerti tanggung jawab besar ditanggung pemiliknya.

Seperti dakwaan Nurul Adira, mulanya dia sendiri agak ragu-ragu untuk membawa Gucci ke bilik kuliah kerana bimbang kucing kesayangannya itu membuat bising dan mengganggu proses pembelajaran. Namun, selepas mencuba kali pertama ternyata keadaan sebaliknya dan kucing itu pantas menjadi haiwan kesayangan teman dan pensyarah.

"Memang risau juga ketika awal-awal membawa Gucci dulu. Manalah tahu kucing ini membuat bising dan mengganggu tumpuan pelajar lain.

"Tetapi anda sendiri lihat betapa baiknya Gucci dalam kelas ini. Selain senyap, dia juga seolah-olah duduk sama tekun belajar. Sejak itu, memang setiap minggu Gucci akan menemani saya sepanjang mengikuti kelas," kata pelajar Ijazah Sarjana Pengurusan Dan Teknologi Pejabat di sebuah universiti awam tempatan.
Melihat sendiri gelagat kucing Nurul Adira di dalam kelas menambah keistimewaan haiwan comel ini apatah lagi karakternya yang cukup manja dan tidak langsung 'bersuara'. Selain akan 'setia' duduk bersebelahan tuannya, sesekali kucing itu akan tidur dan kemudian memasuki beg tempatnya berehat.

Mengulas lanjut mengenai kucing yang berusia setahun itu, Nurul Adira berkata, Gucci dihadiahkan ibunya ketika kucing itu berusia tiga bulan sebagai tanda kejayaannya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.

Kata anak bongsu daripada tiga beradik itu, mulanya Gucci tidak berapa mesra dengannya walaupun cuba didekati. Pun begitu, lama kelamaan dia menyedari yang kucing itu memiliki daya tarikan tersendiri.

"Memang saya mula membiasakan Gucci dengan membawanya setiap kali keluar membeli-belah dan balik kampung. Jangan tak tahu yang Gucci juga mendapat perawatan di spa haiwan selang dua minggu sekali di mana kosnya sekitar RM180 setiap lawatan sedangkan, saya sendiri tidak lagi ke spa kerana peruntukan bulanan saya yang diberikan mummy sudah dihabiskan demi Gucci," kata Nurul Adira tergelak.

Ditanya apakah lagi bentuk kebendaan yang sudah dilaburkan demi Gucci, kata Nurul Adira, dalam sebulan dia memperuntukkan hampir RM1,000 bagi keperluan makanan, pakaian dan perawatan spa yang dikunjungi setiap dua minggu sekali.

Apabila melihat gelagat Gucci di depan mata, memang bukan mustahil mengenangkan kos penyelenggaraan kucing itu cukup tinggi memandangkan Gucci dipakaikan baju, kasut, memiliki beg berehat, memakan snek haiwan, botol minuman peribadi dan sangkar berak khas.

Malah, sebagaimana minat Nurul Adira terhadap warna merah jambu, begitu jugalah warna yang cukup sinonim digayakan Gucci sama ada beg, botol minuman, persalinan pakaian dan kasut.

Ketika ditanya mengenai persalinan dimiliki Gucci, Nurul Adira berkata, kucingnya itu memiliki hampir 100 pasang pakaian berupa gaun, kimono, baju sekolah, baju kain kapas dan banyak lagi termasuk beberapa pasang kasut untuk disesuaikan dengan pakaian.

"Sepatutnya ketika raya dulu saya bercadang untuk memakai sedondon baju kurung dengan Gucci tetapi sayang tidak sempat, membuatkan kami tidak dapat bergaya bersama.

"Memang saya umpama ibu tunggal kepada Gucci kerana segala hal memang dilebihkan kepadanya dulu berbanding diri saya sendiri," kata Nurul Adira yang melayan Gucci seolah-olah kucing itu umpama anak kecil yang selalu minta dimanjakan.

Bercerita lanjut mengenai gelagat unik Gucci, pemiliknya itu mengakui yang karakter pemalu kucingnya itu nyata berbeza sama sekali ketika berada di rumah. Baginya, Gucci cukup aktif berlari sehingga pernah memecahkan pasu kesayangan ibunya.

Umpama diva, Gucci juga bagi Nurul Adira begitu memilih dalam banyak hal termasuk tidak mahu bergaul dengan spesies kucing lain. Manjanya kucing itu bukan saja turut dibawa sehingga ke kamar tidur, Gucci juga mahu disuap setiap kali hendak makan membuatkan pemiliknya langsung tidak boleh berenggang.

"Setakat ini, saya memang tidak pernah berenggang langsung dengan Gucci. Kalau balik kampung sekali pun, memang saya akan bawa sekali sehinggakan sangkar dan tandasnya terdapat berasingan di kereta dan rumah di kampung.

"Tak tahulah saya macam mana rasanya kalau perlu berenggang dengan Gucci lama-lama kerana pengalaman bekerja sekejap dulu pun payah, inikan pula kalau ke luar negara," kata anak muda ini yang tidak tahu sampai bila sanggup berhabis demi si manjanya.

INFO: Kos yang sanggup dibelanjakan Nurul Adira demi kucingnya, Gucci

  • Membelanjakan RM90 sebulan untuk makanan daripada jenama bermutu tinggi. Kos itu tidak termasuk makanan ringan seperti biskut berharga RM15.90 sebagai makanan ringan yang menjadi kegemaran Gucci.
  • Kos minuman berupa susu sebanyak RM40 sebulan, termasuk membeli susu kotak sebagai minuman harian.
  • Memanjakan Gucci dengan perawatan spa haiwan di Hartamas Kuala Lumpur, setiap dua minggu sekali. Rawatan spa berupa mandian, grooming dan membersih itu dikenakan caj sebanyak RM180 sekali servis.
  • Akan membeli sekurang-kurangnya tiga pasang persalinan pakaian Gucci setiap bulan. Setakat ini, sudah memiliki hampir 100 pasang pakaian seperti baju sekolah, kimono, gaun, baju kain kapas dan banyak lagi di mana kebanyakannya berwarna
  • Memiliki sebanyak 10 pasang kasut pelbagai bentuk untuk disesuaikan dengan pakaian Gucci.
  • Setakat ini sudah ada enam beg rumah untuk membawa Gucci bersiar-siar di mana setiap satu berharga RM180. Sekali perasan, beg rumah Gucci umpama beg tangan berjenama mewah!
  • Gucci juga mempunyai botol minuman sendiri.
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    Gaya Levine

    Posted: 29 Oct 2010 04:20 PM PDT

    Hip

    AHLI kumpulan Maroon 5.

    AHLI kumpulan Maroon 5.

    Vokalis Maroon 5 bina reputasi sebagai pereka

    ANGKA 222 membawa makna tersendiri kepada vokalis Maroon 5, Adam Levine. Alamat studio kecil tempat mereka merakamkan demo pertama hingga menjulang trofi Anugerah Grammy itu kini diabadikan pada rangkaian helaian jenama rekaannya.

    Helaian jenama 222 yang diilhamkan Levine itu diperagakan buat kali pertama pada pertunjukan fesyen, Project Trade Show, di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), Ogos lalu. Biarpun tanpa kehadirannya kerana masih dalam rangka promosi album terbaru Maroon 5, Hands All Over di seluruh AS, jenama itu menerima sambutan di luar jangkaan.

    Menampilkan 150 rekaan chic dan funky, termasuk jeans dan jaket, helaian koleksi itu menterjemahkan gaya ringkas Levine, 31, pada keseluruhan rekaan.

    "Ia ringkas, tulen dan tersendiri. Padanan jeans, baju T dan jaket kulit melengkapkan gaya saya. Tidak perlu bergaya keterlaluan kerana saya selesa memilih penampilan sederhana.

    "Itu yang cuba saya terapkan dalam rekaan 222. Ringkas tanpa dibaluti perincian sarat," katanya menolak gaya keterlaluan yang sering menjadi pilihan pereka ketika ini.
    Jejaka kelahiran Los Angeles itu menyifatkan helaian 222 sebagai perniagaan keluarga kerana turut disertai bapanya yang juga pemilik rangkaian butik, M Fredric.

    Turut menyumbang idea, sepupunya Sami Cooper yang memiliki syarikat pengeluar pakaian serta penata gayanya, Aristotle Circa.

    "Saya meminati fesyen kerana ia menterjemahkan sesuatu mengenai diri anda, sama ada mengambil berat atau tidak dalam soal berpakaian.

    "Cara kita berpakaian ialah refleksi kepada gaya yang dipilih," katanya.

    Umum mengenali Levine sebagai seorang selebriti yang ringkas. Bagaimana tuntutan dunia seni membawa peralihan kepadanya dan perlahan-lahan Levine membina reputasi sebagai penyanyi yang bercita rasa tersendiri dalam berfesyen.

    Lantas, terjemahan transformasi gaya dan koleksi minimal yang diketengahkan dalam rekaannya mengejutkan banyak pihak.

    "Saya pernah melalui fasa di mana saya cuma menggayakan rekaan terbaik seperti mengenakan tali leher dan jaket berjenama hanya untuk makan malam.
    "Saya melihat peralihan gaya mempunyai seninya yang tersendiri, walaupun mungkin ia cuma menyerlahkan sifat kepura-puraan si pemakainya.

    "Realitinya ia membawa saya ke dunia yang sangat indah dan menarik. Malangnya, semua kecantikan itu bukan melambangkan diri saya yang sebenar," katanya.
    Sebelum terjerat dalam dilema itu, Levine berkata, dia cuma mengenakan baju T koyak dipadankan jaket kulit setiap kali berkelana memenuhi undangan persembahan.

    "Namun gaya itu membawa saya ke mana saya hari ini. Tidak dinafikan populariti yang dikecapi mendorong peminat untuk menyokong jenama 222.
    "Tetapi saya akan lebih berbangga jika mereka menggemarinya kerana senang dan selesa dengan rekaan yang diperkenalkan.

    "Saya mahu helaian itu berjaya kerana rekaan dan kualiti yang dimilikinya. Setiap apa juga rekaan, saya akan terlebih dulu memilih dan menelitinya.
    "Tiada istilah tangkap muat hanya kerana saya menjadi penyanyi kepada band terkenal. Saya mahu jenama ini berjaya tanpa pengaruh status saya sebagai seorang selebriti," katanya.

    Kembali dengan Hands All Over

    SELEPAS mencipta pengaruh besar menerusi dua album yang meraih jualan platinum, Songs About Jane ( 2002) dan It Won't Be Soon Before Long (2007), Maroon 5 kembali dengan produksi ketiga, Hands All Over.

    Kerja pembikinan album itu dimulakan selepas selesai siri promosi album kedua apabila menerima panggilan telefon daripada penerbit berpengalaman, Robert John 'Mutt' Lange.

    Lange yang pernah terbabit dalam produksi artis seperti AC/DC, Foreigner dan The Cars menyatakan minatnya untuk menyumbang idea selepas mendapat tahu Maroon 5 mahu kembali ke studio.

    "Kami tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara itu. Siapa yang tidak berbesar hati kerana Lange ialah antara penerbit paling berjaya pernah dilahirkan industri," katanya.

    Barangkali ramai yang tidak tahu, permulaan kerjaya seni Levine bertitik tolak daripada pengaruh yang dibawakan Lange.

    Ketika berusia 10 tahun, Levine buat pertama kali menyanyi pada majlis hari jadi temannya. Dia memilih untuk membawakan lagu popular Def Leppard, Pour Some Sugar On Me yang diterbitkan Lange.

    Usai menyanyikan lagu itu, Levine akur cintanya terhadap nyanyian mula berputik secara serius.

    Pembikinan album itu bermula pada Julai 2009 apabila dia bersama anggota Maroon 5 yang lain iaitu Jesse Carmichael (keyboard), Mickey Madden (bes), James Valentine (gitar) dan Matt Flynn (dram) berkumpul di studio milik Lange di Vevey, Switzerland.

    "Lange banyak membantu kami untuk memberikan yang terbaik mengikut kemampuan. Dorongannya membentuk Maroon 5 untuk menjadi lebih baik berbanding hari semalam.
    "Setiap produksi bagi kami umpama penerbitan album pertama, membuatkan kami tidak pernah meletakkan diri dalam kedudukan selesa.

    "Kami sentiasa mendorong diri untuk terus memberikan yang terbaik dan album ini merangkumkan segala yang terbaik daripada diri kami," katanya.


    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.