Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Fasha bahagia dibenci
- Nabil tak jadi kahwin?
- Doakan kami yang terbaik! - Saida
- Nadia buru impian
- Matang sebelum usia
- FFM23 jenaka 2010 paling hebat
- Crayon mirip karyaYasmin
- Lima syarat Aaron
- Yogyakarta dilanda hujan abu
- Universiti Oxford malu dek kes buli
- Buang toksin dalam tubuh
- Derma semua organ
- Cerita Sazzy hamil
- Ayu OIAM dan rakam lagu lama
Posted: 30 Oct 2010 06:05 PM PDT TANPA mahu agar penjuru-penjuru romantikanya bersama sang pengarang jantung, Rizal Ashram Ramli diperhalusi berulang-ulang kali, bait dan jeda dalam bicara bersama Fasha Sandha sebaliknya terisi oleh khabar kontemporari. Sengaja alur bicara diolah begitu, barangkali kami sepakat, enggan bingkisan terkini Fasha yang sudah bertahun terpisah daripada Sensasi Bintang ini cenderung klise sifat lahiriahnya. Saya tertarik tatkala rasa yang bertakung di hempedu hatinya melantun patah demi patah dari mongel bibirnya. Dia masih beraksi sebagai Fasha Sandha, yang berhemah menuturkan bahasa walaupun di tangannya, tergenggam erat gading bertuah idaman ramai. Mengalih perhatiannya menelaah topik kemahuan, wanita yang kelihatannya matang berbanding usia 26 tahun itu dipinta mengulas, cukup selesakah hidup buatnya hingga setiap kemahuan sudah mampu digentas tanpa terkekang banyak halangan. "Setakat ini, banyak kemahuan saya sudah tercapai memandangkan hidup saya juga sekadar sederhana. Tetapi untuk kemahuan akan datang, saya tidak tahu. Apa yang paling membahagiakan saya adalah, setiap kali membuka mata, saya sedar bahawa masih ada ramai peminat yang menyokong perjuangan saya. Ada yang bencikan saya tetapi mereka masih menonton kerja saya. Itulah momen paling bahagia buat saya," beritahunya menambah informasi, terdapat sekitar 31,870 peminat yang mengikuti perkembangannya di laman perkongsian sosial Twitter. Tidak pernah berkehendakkan sesuatu yang mustahil cuma katanya, kemahuan kewanitaan tidak akan tercapai tanpa ikatan perkahwinan atau menimang cahaya mata sendiri. "Seseorang wanita itu tidak sempurna selagi belum bergelar isteri dan ibu," ujarnya dipintas satu usikan, bagaimana jika bahagia dan impian untuk hidup bersama lelaki yang digelar 'sayang' ketika ini tidak berakhir di jinjang pelamin. Fasha menjawab spontan: "Saya tidak gentar, saya masih muda dan bukannya berusia 40 tahun, jadi saya tidak perlu pening kepala. Macam-macam perkara yang lebih teruk pernah berlaku dalam hidup saya. Rasanya tidak perlulah ia dihuraikan satu-persatu. Saya menjadi semakin matang, lebih dekat dengan keluarga dan paling penting, saya kenal siapa kawan dan siapa lawan.
Fasha masih berpegang dengan kata-katanya, dia bahagia dengan situasi ketika ini, bahagia kerana kemunculan sebagai pelakon semakin diterima dan bahagia diulik cinta Rizal Ashram yang lebih mesra dipanggil Jejai walaupun ditohmah bermacam nista. Ketika masyrakat asyik mempertikaikan sejauh mana dirinya mampu diterima keluarga Jejai, dalam masa yang sama pula, keluarga Fasha sendiri ditindih kesulitan mengenangkan Jejai sendiri ada sejarah kelam. Itu situasi 'vakum' yang peribadinya memberikan manis kepada Fasha, satu situasi yang memberikan lebih banyak tempoh terutama untuk diri sendiri membelah kesediaan. Pelacur kelas atasan Sedang terbakar rasa terujanya, Fasha dibidik persoalan lagi. Kali ini tentang gelombang apakah yang paling kencang berkocak kencang di jiwa. Dia tersenyum seraya membolak-balikkan gaun labuhnya. Duduknya dibetulkan sebelum menghela nafas panjang. "Fenomena Natasha kembali dalam karier lakonan saya. Lama benar rasanya khalayak tidak memanggil saya dengan nama watak, kecuali dulu ketika drama Natasha ditayangkan. Sekarang, sejak Chinta ditayangkan dan meraih rating antara yang tertinggi, rasanya fenomena itu kembali kepada saya," kata pembawa roh Chinta Chandurry yang mula berlegar di sekelilingnya. Menjiwai watak pelacur kelas atasan yang memilih Tuhan untuk dimusuhi, itu satu dendam yang maha berat. Enam tahun bergelar pelakon, menghayati karakter Chinta melebihi segala cabaran mental dan fizikal watak-watak terdahulu yang pernah dilakonkannya. "Watak Chinta datang pada ketika dan usia saya yang tepat, pengalaman terdahulu juga antara yang mematangkan lakonan saya dalam drama itu. Ia bukan kisah pelacur tetapi bagaimana seorang gadis baik bertukar menjadi pendendam kepada lelaki lebih besar lagi kepada Tuhan kerana kecewa dengan takdir. Chinta satu watak berat dan ramai menyatakan Chinta sebuah karya yang sukar dijangka," meladeni Chinta juga katanya, menjadi bekal untuk dijadikan sempadan dan teladan. Sepintas lalu, watak Chinta Chandurry pantas mengheret satu nama, Nidah Kirani menerusi judul sebuah novel dari seberang yang berjudul Tuhan, Izinkan Aku Menjadi Pelacur! Memoir Luka Seorang Muslimah. Novel karya Muhidin M. Dahlan itu banyak diperdebatkan atas dasar kemunafikan seorang muslim, iaitu Nidah yang memilih Allah sebagai subjek mahupun objek untuknya melampiaskan dendam. Nidah bulat hati menjadi penggoda dan menjadikan seks sebagai makanan percuma untuk merosakkan akidah ahli-ahli agama manakala Chinta pula menjadi pelacur bagi mengisi kekosongan hati. "Saya gelar Chinta sebagai pelacur kelas atasan dan dia melacur bukan kerana duit tetapi untuk keseronokan, mengisi sepi dan dendamnya kepada Tuhan. Terlalu besar dan banyak ilmu yang saya kutip daripada Chinta, apa yang patut dan apa yang terlarang, jika yang terlarang juga yang dipilih, ada pula akibatnya," walaupun sebuah cereka, Fasha menembus realiti hidup daripada naskhah arahan Feroz Khan itu. Menjadi pemandu jentera akal dan hati, aktres yang pernah membintangi puluhan judul filem termasuk Berlari Ke Langit, Evolusi KL Drift serta terbaru 4 Madu itu semakin mengenali erti optimistik. Semakin lama dalam industri, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu juga semakin berani menjadi selektif terhadap watak. Terbaru dari lokasi, Fasha kini sibuk berlatih tubi untuk beraksi bersama Awie menerusi filem Dari Kerana Mata arahan Melissa Saila. Sekitar Februari 2011 pula, satu projek besar yang ditunggu-tunggunya bakal menjadi nyata. Tunggu! itu kata Fasha kepada peminatnya. | ||||
Posted: 30 Oct 2010 06:03 PM PDT
SUDAH terang lagi bersuluh, anak seni yang bakatnya dicungkil melalui program Raja Lawak terbitan Astro ini semakin menempa nama dalam industri hiburan tanah air. Empunya diri Ahmad Nabil Ahmad atau mesra dengan panggilan Nabil mengakui hidupnya jauh lebih berbeza setelah bergelar anak seni. Walaupun sibuk dengan jadual yang sentiasa padat, itu bukanlah satu tiket baginya untuk tidak mengintai peluang dan mencuri masa bagi memanjakan diri seperti individu lain. Tatkala orang lain menjadikan memancing sebagai satu hobi, berbeza pula ceritanya dengan pelawak terkenal tanah air ini. Nabil boleh dikategorikan sebagai individu yang mempunyai hobi yang dilihat lain daripada yang lain. Pengalaman bekerja di bengkel motosikal selain bergelar 'mat despatch' sebelum namanya mula mekar dalam industri hiburan tanah air, Nabil sememangnya sudah sebati dengan kenderaan beroda dua tersebut. "Bila sudah terbiasa bekerja dengan motosikal, jadi bolehlah dikatakan menunggang motosikal sudah menjadi hobi saya. "Walaupun sudah memiliki kereta, tapi kadangkala saya memilih untuk tunggang motosikal sebab lebih mudah," kata anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan ini. | ||||
Doakan kami yang terbaik! - Saida Posted: 30 Oct 2010 06:03 PM PDT SEPATAH kata daripada pendeta lama, pertalian suami dan isteri tidak ubah seperti perjalanan sang semut hitam yang meniti batu hitam yang licin di tengah malam yang amat kelam. Ia seolah-olah memberi gambaran betapa mudahnya ikatan yang hanya berpaksikan akad itu tergelincir daripada laluan sepatutnya. Apa yang berlaku kepada rumah tangga Siti Norsaida Taruddin, kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza ketika ini boleh disamakan dengan analogi semut hitam tersebut. Tersasar seketika, hanya usaha dan doa mampu mengembalikan kebahagiaan. Jika Saida bukan bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim keenam, jika Saida bukan juga penyanyi yang sedang ingin menggilap nama, jika Saida bukan juga ibu kepada empat cahaya mata yang masih kecil, Siti Nurunnyssa (13), Anas (11), Khalid (7) dan Siti Nurul Marshitah (4) dan jika Saida juga bukan kakak kepada Siti Nurhaliza, gelora rumah tangganya pasti tidak mendapat liputan hangat. Biarpun agak kejam untuk diterima oleh anak-anak dan keluarga, gejolak keretakan dan sejauh mana kebenaran wujudnya orang ketiga dalam jodoh Saida, 34, dan Ghazali, 40, tidak sudah-sudah diperkatakan orang. Sejak dua minggu lalu, ketika timbulnya khabar angin tentang keberantakan hubungan mereka sehinggalah kes difailkan seterusnya menerima penangguhan daripada Mahkamah Syariah, Selasa lalu, Saida dan Ghazali masing-masing mengambil tindakan untuk mengunci mulut. Mereka tidak memberikan sebarang respons kepada media. Mujurlah ada kakak ipar Saida, Rozie Abdul Rashid yang menjadi orang perantaraan untuk bertanya khabar. Selepas dipujuk-pujuk dengan bantuan Rozie sekali lagi, Saida berlembut hati untuk bercerita biarpun tanpa bersuara. Tiga hari lepas, Saida melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) akhirnya buat pertama kali memberi kenyataan tentang kemelut rumahtangga yang sedang dihadapi. "Saya harap pihak wartawan tidak berkecil hati dengan tindakan saya sebelum ini. Saya bukan melarikan diri atau tidak mahu menjawab segala pertanyaan media. Ada sebab kenapa saya harus bertindak begitu, terlalu banyak hati yang harus dijaga walaupun memang saya agak kurang senang dengan cerita dan spekulasi yang cuba dilemparkan," luah Saida menerusi SMS. Tanpa menyatakan sebab musabab sehingga tuntutan penceraian nekad difailkan, Saida sekadar menjelaskan apa yang telah diketahui umum. "Kes fail tuntutan cerai buat masa ini diberikan penangguhan dan saya harap, jangan ada cerita-cerita yang tidak benar dikeluarkan kerana sedikit sebanyak ia akan mengganggu kehidupan kami. Hormatilah keluarga saya, keluarga suami saya dan juga anak-anak saya. Berikan kami masa dan ruang. Saya harap perkara ini tidak diperbesar-besarkan. Doakan yang terbaik buat saya dan suami," pohon Saida. Rabu lalu, Saida serta suami tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur ketika kes penceraian mereka disebut. Kes itu ditangguhkan sehingga 20 Disember nanti. Ditanya terpalitkah faktor populariti dan sejauh mana benarnya spekulasi kehadiran orang ketiga mendatangkan impak kepada kerukunan hubungannya dengan suami, Saida kembali berdiam. Hanya permintaan 'doakan yang terbaik buat Saida dan suami' yang dibalasnya kepada Sensasi Bintang. Selaku orang tengah dan sebahagian daripada anggota keluarga, Rozie pula menjelaskan: "Saida dan suami masih tinggal sebumbung dan tiada penceraian. Tindakan Saida berdiam itu ada moleknya, daripada banyak bercakap, lebih banyak buruk daripada baiknya. "Saya tidak boleh komen tentang populariti atau orang ketiga yang dikatakan sebagai punca keretakan, itu hal rumah tangga Saida dan setakat ini juga, karier Saida masih berjalan mengikut perancangan dan dia masih menjalankan kerja-kerja di Siti Nurhaliza Productions (SNP) seperti biasa," ulas Rozie tentang perkembangan terbaru Saida yang muncul dengan duet Apresiasi bersama Saerah. | ||||
Posted: 30 Oct 2010 06:02 PM PDT BAGAIKAN bulan jatuh ke riba. Demikianlah perumpamaan yang akrab buat gadis sunti 25 tahun ini, Nadia Aqilah Bajuri yang selesa dengan panggilan Nadia. Mula mencipta nama ketika menganggotai kumpulan Luscious dalam pertandingan mencungkil bakat Gangstarz TV3 sekitar tahun 2007. Ramai tidak mengetahui gadis ramah yang terkenal sebagai pelakon ini meletakkan nyanyian sebagai minat utamanya dalam cabang seni. Lumrah dunia, perkara yang sering kali kita hajati akhirnya tiba di kemudian hari. Bagi membolehkan terlaksananya impian itu, Nadia berpesan kepada dirinya untuk tidak berpatah harap dalam bidang nyanyian meskipun bakat lakonannya tampak lebih menonjol. Terkenal sebagai Chika dalam drama bersiri popular, Tari Tirana, Nadia kini nekad untuk merehatkan dirinya daripada sebarang aktiviti lakonan dan memberikan fokus sepenuhnya dalam lapangan seni suara. "Saya tidak berasa ralat atau rugi menolak tawaran berlakon sekarang sebab memang niat saya untuk kembali aktif menyanyi. "Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi lakonan dan tiba masanya saya berehat seketika bagi memenuhi impian merakamkan album solo," kata aktres yang sinonim dengan watak yang kerap membuatkan penonton meluat dengannya. Single pertamanya yang diberi judul D.I.V.A. baru sahaja diputarkan di corong radio tempatan dan penerimaan orang ramai ternyata memberangsangkan. "Orang ramai kenal saya sebagai pelakon, jadi bila mereka dengar lagu saya dimainkan, mereka jadi teruja kerana tidak menyangka yang saya mampu menyanyi," ujarnya gembira dengan reaksi positif peminatnya. Tidak berdepan dengan masalah bersama anggota Luscious, dia ini mengakui bahawa persahabatan mereka masih seperti dahulu. Album pertamanya yang mengandungi 10 buah lagu bakal menyenaraikan tujuh buah lagu Inggeris dan tiga buah lagu Melayu. Ia akan mula menjengah pasaran muzik tanah air pada hujung tahun ini. Sedar atau tidak, ramai pelakon kini menjadikan nyanyian sebagai kerjaya kedua dan sudah ibarat satu ikutan terutama di kalangan artis yang masih muda remaja. Nadia tidak dapat mengelak daripada terkena tempiasnya tetapi harus diingat bahawa gadis yang aktif dengan teater ini bukan berasal daripada dunia lakonan tetapi jelas dia lahir daripada cabang seni suara. Lincah di pentas tarian, Nadia tidak beranggapan hal ini sebagai trend dan merakamkan album hanya kerana mengikuti pelakon lain yang turut melakukan perkara yang sama. Kurang keyakinan diri sebelum ini menyebabkan hasratnya itu terbantut tetapi kini setelah bertemu kekuatan itu, pelakon drama bersiri Sindarela ini hanya memandang ke hadapan dan bersedia membuka lembaran baru dalam kerjaya seninya. | ||||
Posted: 30 Oct 2010 06:02 PM PDT TIGA gadis manis, bergaun labuh dan bersolek lebih daripada biasa. Tiga anak muda berjiwa besar berstatus aktres dan membawa emosi itu sepanjang diri mereka dilihat umum. Hakikatnya Diana Danielle, Liyana Jasmay dan Sharifah Amani masih berada dalam fasa mekar. Mereka masih membawa emosi dan pergerakan anak muda di awal usia ranum. Tuntutan kerjaya dan status meletakkan mereka tampak lebih matang berbanding usia. Bukan hanya fizikal yang dihiasi solekan dan busana, malah pengalaman serta emosi mereka sudah diajar dengan variasi rasa sekali gus menempatkan aktres-aktres ini di sebuah fasa yang lebih tinggi berbanding usia yang dikandung. Sensasi Bintang menanyakan aktres popular Malaysia ini akan kedewasaan mereka yang disambut awal berbanding perjalanan jasad. Mereka tampil jelita dibalut busana rekaan Rizman Ruzaini dan digemerlapkan dengan perhiasaan tajaan Rafflesia. Kalian dilihat matang sebelum usia kerana penglibatan dalam industri seni. Bergelumang dengan watak dan jadual penggambaran, apa yang paling kalian rindui atau ketinggalan sebagai remaja? SHARIFAH AMANI (SA): Saya rindukan perjalanan remaja saya yang ditinggalkan terlalu awal. Tapi pada masa yang sama saya merasakan apa yang saya lalui bagus untuk diri sendiri. Saya tidak terdedah untuk 'kantoi' dengan perkara-perkara yang tidak baik. Saya banyak menghabiskan masa dengan keluarga, tengok wayang dengan keluarga. DIANA DANIELLE (DD): Zaman persekolahan saya. Itu yang dirindui tetapi kini terubat pula dengan zaman universiti. Saya tidak mahu ketinggalan momen-momen ini dalam kehidupan saya. LIYANA JASMAY (LJ): Saya rindu untuk pakai apa sahaja seperti remaja di luar sana. Maksudnya tanpa diperkatakan khalayak. Rindu juga untuk berlagak seperti remaja biasa yang boleh berpegangan tangan jika berpacaran. Realitinya, saya tidak boleh buat perkara-perkara begitu. Jadi bagaimana kalian berseronok dalam usia begini? SA: Bersama keluarga. Saya juga banyak menghabiskan masa dengan menjelajah negara- negara luar. Antara kenangan jelajah saya ialah bersama arwah Yasmin Ahmad, kami ke Jepun melihat kembangnya bunga sakura. Sangat cantik apabila ia jatuh ke tanah, seperti salji bunga. DD: Saya boleh bertukar mengikut suasana. Saya juga sudah belajar untuk mengawal diri dan tatatertib. Saya berseronok mengikut suasana. LJ: Masih dengan keluarga. Saya banyak menghabiskan masa bersama anak saudara saya yang kembar. Kadangkala menonton konsert kegemaran bersama rakan-rakan. Sebenarnya selesa atau tidak bergaun labuh dan bersolek tebal? Kalau di luar tugas 'pelakon', kalian bagaimana? SA: Jujurnya bila berpakaian begini, saya tidak begitu selesa. Saya tidak pandai bergaya begitu dan kekok. Pakaian harian saya hanya berseluar denim dan berbaju-T. Tetapi bila lagi mahu rasa selain ada acara-acara sebegini. Saya selalu meletakkan satu-satu watak jika saya bergaun labuh dan bersolek. Hari ini saya meletakkan watak, Amani seorang gadis moden. DD: Bila bergaun begini, saya rasa sangat matang seperti usia 20-an. Di luar saya ialah seorang yang selekeh. Saya akan memakai seluar ¾ saya dan baju-T potongan besar. Saya memang tidak bersolek atau beraga. Cuma mengenakan balsam bibir, itu sahaja sampai orang tidak mengenali saya di luar kalau saya tidak bersolek. LJ: Saya bukanlah jenis orang yang memakai perhiasan atau aksesori yang berlebihan. Itu hanya untuk acara-acara tertentu. Saya lebih selesa berseluar jean atau legging. Memakai jaket. Itu saya. Kalau solekan, saya hanya mengenakan penggaris mata, maskara dan balsam bibir. Bagaimana orang sekeliling bergaul dengan kalian dan sebaliknya? SA: Ramai yang menganggap saya seorang yang sombong tetapi sebenarnya saya jenis yang susah bercampur. Saya tidak 'sekecoh' kakak saya, Sharifah Aleya yang pandai bercakap dan bergaul dengan ramai orang. Saya tidak pandai bab-bab itu. Tapi apabila saya sudah rapat dengan seseorang, saya akan jadi diri saya sendiri. Saya dibesarkan dengan kawan-kawan ayah dan ibu. Itu cara kami daripada kecil. Jadi kebanyakan pertanyaan atau isu akan kami tangani cara orang dewasa. Begitu juga cara mereka melayan kami adik-beradik, cara dewasa. DD: Saya boleh berbual apa sahaja topik dengan golongan berusia atau tua. Sejak memasuki industri seni, saya belajar bagaimana untuk bergaul dan belajar mengawal emosi kebudak-budakan. Orang nampak saya seperti orang berusia, jadi apabila saya melompat-lompat, khalayak akan cop saya gedik. Padahal saya masih remaja. Jadi segalanya terhad tetapi juga merupakan proses pembelajaran buat saya. LJ: Saya sekarang belajar untuk menjalani hidup sebagai gadis berusia 22 tahun. Tetapi daripada aspek pemikiran, saya sudah semakin ke hadapan. Saya sudah berfikiran matang dan sudah pandai membuat keputusan sendiri. Ada orang yang tidak menyangka usia saya sudah 22 tahun, dan ada yang melayan saya dengan cara keanak-anakan. Apa yang penting, keluarga melayan saya sebagai orang dewasa dan matang. Ayah selalu mengingatkan bagaimana kehidupan saya jika dia tiada satu hari nanti. Pada usia sekarang, berapa usia fizikal dan jiwa yang diletakkan kepada diri sendiri? SA: Secara fizikal saya rasakan diri saya baru berumur 17 tahun tetapi jiwa saya sudah berusia 36 tahun. DD: Masih lagi 19 tahun. Cuma daripada kecil lagi saya sudah dilihat matang. Itu apa yang orang cakap. Tetapi bila bersama kawan-kawan saya yang Pan Asia, saya rasa kami di umur yang sepatutnya, masih belasan tahun. LJ: Saya rasa matang tetapi tidak terlebih usia. Masih di usia 22 tahun. Tidak rasa muda atau tua. Apakah faktor yang paling mematangkan kehidupan kalian? SA: Pengalaman, bagaimana saya berdepan dengan banyak perkara dalam hidup. Saya pernah melalui zaman 'muda' di mana saya akan kuat melenting tetapi zaman itu sudah berlalu. Malah saya dapat rasakan melenting itu tidak membawa apa-apa faedah jika terus-terusan begitu. DD: Pengalaman banyak mengajar saya. Juga kerja sebagai pelakon dengan bergaul dengan pelbagai watak. Itu membuahkan kematangan dalam diri saya. Juga cara saya dibesarkan. LJ: Aspek membuat keputusan dalam hidup kini mematangkan saya. Saya sudah boleh tentukan apa yang saya mahu dan tidak. Saya juga sudah tahu bagaimana untuk mengendalikan kewangan dan buat keputusan dalam hal itu. Itu mematangkan saya. Jadi untuk Amani, berapa peratus perubahan sebenarnya? SA: Boleh saya katakan 78 peratus berubah. Saya berubah mengikut pengalaman hidup saya. | ||||
FFM23 jenaka 2010 paling hebat Posted: 30 Oct 2010 06:00 PM PDT POLITIK penjurian dan lobi-melobi dalam mencapai sebuah keputusan rasmi telah tertulis, itu antara igauan yang masih menjadi kekesalan penganalisis, karyawan serta peminat tegar filem tanah air tatkala mengenangkan percaturan Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) pada Ahad lalu. Festival yang dinanti-nantikan itu ibaratnya hilang sinar berganti sirna! Ada berdesis, ia barangkali juga antara jenaka terhebat sebelum 2010 menutup tirai. Festival tahun ini disifatkan festival paling janggal dalam sejarah FFM yang dimulakan sejak 1980. Ia tidak membuahkan banyak harapan dan lebih teruk lagi perca-perca idealistik sedang ingin bercantum membentuk rangkaian revolusi filem Malaysia yang berjiwa besar, ada yang terputus dan hancur berkecai. Tidak terlalu kejam apabila kedaifan yang diperkatakan ramai, luahan-luahan hati pencinta filem bahkan akbar harian terhadap kemarau FFM23 mungkin berpunca daripada politik dan terlepas pandangan di pihak juri. Ke mana perginya serangkap kata hikmat yang sering menjadi modal cendekiawan berbahas, 'lihatlah dari mata burung bukan lihat dari mata tempurung'. Hakikatnya, filem-filem terbaik yang ditayangkan khas untuk bahan penjurian baru-baru ini kelihatan tidak mampu diperhalusi sang cerdik pandai hakim mahkamah tahunan industri filem Malaysia.
Jika ada yang mempersoalkan ketelusan kehakiman, sepertinya juga sistem penjurian festival filem negara ini sedang dipulau oleh kebanyakan penganalisis, pembikin dan peminat filem itu sendiri. Jika tidak, masakan ramai lagi pembikin serta bintang besar tanah air tidak ingin menjenguk ke Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Alasan di lokasi penggambaran atau ke acara lain hanyalah sekadar ayat untuk berdalih. Kepada penerima trofi, pastinya FFM23 mencetuskan momen paling bahagia. Tahniah untuk trio adik-beradik kumpulan KRU, Edry, Norman dan Yusry Abd. Halim yang menang besar termasuk menggondol anugerah Filem Terbaik hasil 'magis' yang tercipta menerusi filem muzikal Magika. Seikhlas puji dan setinggi tahniah juga juga kepada penerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Bront Palarae hasil impak yang ditinggalkannya menerusi Belukar. Pelakon tinggi lampai yang dikira sempurna pakejnya itu berada di kedudukan yang tepat pada malam FFM23. Begitu juga dengan Lisa Surihani yang menang Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Lagenda Budak Setan. Secara pukul rata, Lisa boleh dikatakan cukup bertuah. Walaupun muncul hanya untuk sebahagian daripada keseluruhan cerita dan sebahagian lagi hanyalah lakonan suara, dia masih diberi penghargaan untuk aktres terbaik tahun ini. Kepada barisan pemenang, terasa beban, penat-lelah serta idea-idea yang dicanai selama pembikinan terubat dengan sebuah anugerah. Pemenang harus meraikan kemenangan kerana bukan mereka yang memutuskan hak itu. Namun, perlu dinyatakan di sini, tidak semua anugerah FFM23 jatuh ke tangan pemilik yang layak. Paling ketara, trofi Pengarah Terbaik yang memihak kepada Syamsul Yusof hasil sentuhanya menerusi Evolusi KL Drift 2. Filem sekuel daripada Evolusi KL Drift itu hanya memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi lakonan berkesan Shaheizy Sam manakala Penyunting Terbaik terpaksa dikongsi bersama Syamsul sendiri dan Hisyam Jupri. Itu sahaja markah yang mengangkat Syamsul untuk dijulang sebagai Pengarah Terbaik serta termuda sepanjang dua dekad penganjuran FFM di Malaysia. Syamsul menewaskan empat lagi calon kategori berkenaan, Ahmad Idham menerusi Adnan Sempit, Jason Chong (Belukar), Farid Kamil (V3: Samseng Jalanan) dan Mamat Khalid (Estet). Bukan tidak layak seratus-peratus tetapi melihatkan pencapaian Evolusi KL Drift 2 (bukan daripada aspek jualan tiket, aksi perlumbaan dan membakar kereta) dari segi naratif serta kekuatan jalan ceritanya, filem itu belum layak sepenuhnya untuk menonjolkan Syamsul sebagai pengarah terbaik. Mungkin jika itu filem pertamanya, dia terlebih layak menerima anugerah Pengarah Harapan, malangnya tidak. Itu semua berbalik kepada pencapaian filem berkenaan sendiri, dua anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Penyunting Terbaik bukan asas yang cukup teguh untuk jejaka yang baru setahun jagung dalam industri itu mencatat nama di barisan ulung pengarah terbaik sinema Malaysia. Tidak selesai dengan kategori pengarah terbaik, persoalan kegagalan Estet karya Mamat Khalid dan ketiadaan pencalonan Mualaf sebuah filem terakhir sentuhan sutradara hebat, Yasmin Ahmad yang telah meninggalkan urusan duniawi juga tidak selesai menjadi perbahasan. Memetik kata-kata Mamat Khalid dalam satu temu bual selepas FFM23 Ahad lalu, dia meluahkan kekesalan atas kegagalannya membuahkan kegembiraan khalayak yang menaruh harapan terhadap Estet.
"Selama ini kita sering dilaung-laungkan untuk menghasilkan filem berkonsepkan kemalaysiaan. Tapi apabila saya buat filem seperti Estet, ia seolah-olah tidak memberi sebarang impak. Terus terang, bukan mudah untuk menghasilkan filem yang menyatukan dua bahasa dalam sebuah filem. " Apa salah filem saya sehingga ia diketepikan begitu saja? Saya akui, memang saya berjauh hati apabila Estet hanya layak untuk Anugerah Khas Juri. Pada saya Anugerah Khas Juri itu hanyalah pemberian berikutan dasar kasihan semata-mata. Kalau betul filem saya tak layak, tak perlu nak beri anugerah atas dasar kasihan. Saya tak memerlukannya," kata Mamat. Luahan Mamat pasti dilihat cengeng oleh jawatankuasa anugerah serta barisan juri FFM tahun ini yang terdiri daripada Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin selaku Ketua Juri, seterusnya Panshah (bekas penerbit filem), Dr. Naim Ahmad (ahli akademik), Kamaruddin Abu (penyunting filem) dan Akmal Abdullah (wakil media). Melihat senarai juri sahaja, pasti ramai yang tidak terkata apa-apa. Ada persoalan atas persoalan yang tidak terungkai dan ada juga pelbagai andaian yang bermain di benak. Bukan juri sedia ada tidak layak tetapi mengapa tidak diambil kira buah fikiran orang-orang filem tulen seperti Adman Salleh, Othman Hafsham atau Hassan Abd. Mutalib. Tidak layakkah mereka di kerusi juri. Atau kebimbangan untuk cenderung kepada mana-mana kroni menyebabkan handalan-handalan filem seperti itu tidak diketengahkan ke medan penjurian?Itu semua antara yang menjadi perbualan yang terluah secara lantang hanya di kedai kopi, habis secangkir, bicara pun menerawang ke udara, tidak dipedulikan sesiapa. Bilakah agaknya urat tegang yang bersirat di pangkal FFM akan terurai. Pandangan sinis terhadap FFM tidak terbatas kepada percaturan penganugerahan sahaja. Pemilihan SACC bukan suatu masalah tetapi kecacatan susun-atur antara dewan anugerah dan ruang legar yang sempit menyukarkan urusan media bersama artis dan tetamu jemputan. Ibarat bazar Ramadan, segala-galanya disumbat dalam satu ruang yang sendat. Begitu juga dengan kehadiran Hezrie Hashim yang kelihatan seperti 'pak sanggup' apabila digandingkan bersama Sharifah Shahira dan Zizan sebagai pengacara. Sedikit pesanan kepada penganjur, tolonglah pelajari kesilapan itu. Seiring tema Filem Malaysia Ke Persada Dunia, seiringkan juga konsep dan persembahan majlisnya agar acara besar itu tak hilang prestij. | ||||
Posted: 30 Oct 2010 05:48 PM PDT SENTUHAN pengarah baru, Dean A. Burhanuddin ini mirip karya Allahyarham Yasmin Ahmad. Tidak keterlaluan dikatakan industri perfileman tanah air sedikit suram selepas pemergian Yasmin. Penghasilan Crayon ternyata mampu mengubat kerinduan penonton yang merindui stail filem-filem sentuhan beliau. Menggunakan bahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin, ia dirasakan tidak dibikin dengan tujuan meraih populariti atau mengaut keuntungan cara begitu. Jalan penceritaannya mudah, mesej ringkas tetapi berkesan serta mencuit emosi penonton sehinggakan ada babak yang mampu menakung air mata dan ada ketika yang lain, hilai tawa boleh pecah berderai. Barisan pelakon juga bukan wajah asing dalam filem terdahulu Yasmin. Dean menjinakkan Hon Kahoe dan Adibah Noor bagi mengepalai Crayon. Memusatkan hak anak yatim sebagai tema penceritaan, Crayon mengajak penonton mencermin tanggungjawab diri sebagai pembela nasib anak-anak malang itu. Tanggungjawab sosial yang kian luput dalam nilai masyarakat saat ini mampu digilap kembali menerusi penyampaian bersahaja Crayon. Kisah bermula apabila dua orang sahabat baik, Adam (Hon Kahoe) dan Rafaat lakonan Ariff Faisal Abdullah, pelajar di sebuah universiti di Singapura yang diarahkan menjalani tugas khidmat sosial sepanjang cuti semester. Rafaat, pelajar berketurunan Melayu Singapura dengan berat hati bersetuju berkerjasama dengan Adam yang merupakan warga Malaysia berketurunan Cina untuk menjadikan sebuah rumah anak yatim di Pantai Timur Malaysia sebagai destinasi tugasan mereka. Aksi lucu babak-babak awal ini menghidupkan cerita dan membuatkan penonton tidak henti-henti ketawa. Ketibaan mereka dipaparkan menerusi aksi berbalas tembakan menggunakan 'pistol angin' oleh dua anak muda ini bersama sekumpulan anak yatim yang diketuai oleh Afiq (Joshry Adamme).
Rumahku, tempat berteduh anak-anak yatim ini terletak di pedalaman kampung yang kaya dengan pemandangan indah pesisir pantai. Mak Engku (Adibah Noor) bertindak sebagai ibu kepada semua kanak-kanak ini. Kedatangan Adam dan Rafaat amat dihargai anak-anak yatim berkenaan terutama Afiq, kanak-kanak yang aktif, periang serta tinggi budi pekertinya. Keakraban terbit dengan sempurna umpama satu keluarga bahagia. Adam dan Rafaat jatuh cinta dengan gelagat anak-anak malang itu. Kemelut timbul ketika Mak Engku diugut oleh pihak pemaju yang menginginkan tanah miliknya untuk dijadikan pusat pelancongan. Hutang tidak terlangsai dengan pihak bank kerana Rumahku tiada dana bagi menampung perbelanjaan anak-anak yatim itu sekali gus menambahkan lagi kekusutan Mak Engku mencari jalan penyelesaian. Adam dan Rafaat menguatkan semangat anak-anak yatim tersebut untuk mempertahankan tempat mereka menumpang hidup. Dua anak muda ini berpakat dengan anak-anak yatim ini mengadakan konsert amal bertujuan mengumpul dana bagi melunaskan segala hutang dan menaik taraf infrastruktur rumah kebajikan yang uzur itu. Penganjuran konsert tersebut menarik minat masyarakat untuk sama-sama menghulurkan sumbangan melalui pembelian lukisan hasil usaha penghuni Rumahku sendiri. Air mata berjujuran tatkala anak-anak ini melantunkan melodi Ibu Kau Ratu Hatiku sebagai satu kejutan kepada Mak Engku yang langsung tidak mengetahui perancangan Adam dan Rafaat itu. Naratif menuju puncak apabila Rumahku dibakar oleh samseng yang diupah pihak pemaju sejurus konsert berlangsung. Kesudahannya bakal terjawab apabila penonton menyaksikannya sendiri filem yang diangkat berdasarkan kisah nyata ini pada 11 November nanti. Komen Alif: Tidak rugi menonton filem ini kerana mesejnya kuat walaupun dilabel tidak komersial. | ||||
Posted: 30 Oct 2010 05:45 PM PDT
BERTUBUH kekar dan memiliki aura tersendiri dalam lakonan, jejaka berusia 33 tahun ini tidak lagi menoleh ke belakang malah dia semakin ligat memahat namanya dalam industri perfileman tanah air. Aaron Aziz kekal utuh di persada seni sejak memulakan kerjaya seninya di Malaysia menerusi drama bersiri Summaiyah arahan Erma Fatima. Namanya kini melonjak naik menerusi filem-filem lakonannya yang acap kali mendapat sambutan luar biasa penggemar filem tempatan. Bakat besar aktor kacak kelahiran Singapura ini dibuktikan melalui filem Pisau Cukur, Evolusi KL Drift, dan Bohsia yang sering memaparkannya sebagai salah seorang tunggak cerita. Pucuk dicita ulam mendatang, pelakon drama Emil Emilda ini semakin 'laku' di pasaran perfileman kerana bakal muncul dengan filem terbaru berjudul KL Gangster dan Ombak Rindu tahun hadapan. Nama Aaron juga bakal menjadi 'panas' apabila filem 2 Alam lakonannya akan ditayangkan pertengahan November ini. Ayah kepada dua cahaya mata ini meletakkan lima syarat sebelum bersetuju melakonkan sesuatu watak. "Saya tidak cerewet tetapi jika watak yang ditawarkan itu memenuhi lima kriteria ini, saya tiada masalah untuk menerimanya," ujarnya yang pernah tersenarai dalam Cleo's 50 Eligible Bachelor oleh majalah Cleo Singapura. Penentu syaratnya mudah, jika watak tersebut menarik perhatiannya, dia akan meneliti jalan ceritanya dan kemudian melihat sendiri pengarahnya. Tidak kisah bekerjasama dengan pengarah baru, Aaron menegaskan baru atau lama bukan ukuran kejayaan, tetapi apa yang menjadi titik kepercayaannya ialah prestasi pengarah tersebut dalam menjalankan tugas dengan dedikasi dan bertanggungjawab terhadap keseluruhan produksi. Melengkapi lima syaratnya, jurucakap L'oreal Men Expert ini akan melihat senarai nama pelakon yang bakal bekerja bersamanya. "Bukan bermakna saya hanya memilih segelintir pelakon, tapi saya perlu meneliti keserasian watak yang saya bawa dan pelakon lain. "Keserasian penting untuk menghidupkan cerita," jelasnya. Terbaru, menerusi drama bersiri Habil Qabil, Aaron menjanjikan persembahan mantap yang berjaya menarik penonton untuk terus mengikuti kisah kehidupannya sebagai Habil Najmi. Dalam naskhah tesebut, keinginan untuk menjadi seorang usahawan terkemuka memaksa Habil berdepan pasang surut dunia perniagaan yang tiada belas kasihan hingga akhirnya dia berjaya mengecap impian yang dihajatinya. Jerit perihnya digugat dengan dugaan besar daripada teman lamanya, Qabil (lakonan Zed Zaidi) yang juga merupakan saingan syarikatnya. Persahabatan mereka turut teruji apabila masing-masing jatuh cinta pada wanita yang sama, Maria (lakonan Siti Saleha). Saksikan kehebatan lakonan Aaron menerusi slot Samarinda yang bersiaran setiap Selasa hingga Khamis pada pukul 10.30 malam di saluran TV3 bagi mengikuti kisah selanjutnya. | ||||
Posted: 30 Oct 2010 05:44 PM PDT HARGOBINANGUN, Yogyakarta - Orang ramai bertempiaran melarikan diri ke tempat lebih selamat apabila Gunung Merapi di Indonesia mengeluarkan letusan dahsyat awal semalam. Gunung setinggi 2,968 meter itu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Yogyakarta, Jawa Tengah, meletus selama 21 minit. Abu dari gunung berkenaan melitupi kawasan lebih 10 kilometer di sekitarnya. Anggota tentera dan polis yang berkawal di sekitar Merapi bergegas menyelamatkan diri bersama ratusan penduduk apabila mendengar bunyi gegak gempita sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) semalam. Tidak sampai beberapa minit, jalan-jalan di sekitar Merapi dipenuhi trak, kereta dan motosikal ketika orang ramai segera meninggalkan lokasi bencana. Jurucakap Hospital Sardjito di Yogyakarta, Arif Novianto berkata, setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada terdapat mangsa yang terbunuh dalam bencana semalam. Namun, dua orang maut semasa orang ramai berasak-asak melarikan diri. "Dua lagi, seorang wanita dewasa dan seorang budak lelaki dua tahun, maut dalam kemalangan semasa bencana semalam," katanya. Letusan semalam adalah yang kedua selepas Merapi meletus pada Isnin lalu yang meragut nyawa 36 orang. Sebelum meletus, Merapi mengeluarkan asap dan memuntahkan lahar sejauh 3.5 kilometer ke bawah cerun pada pagi semalam. Sementara itu, di zon tsunami di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, pasukan petugas bantuan swasta bergelut dengan ombak besar dan hujan lebat untuk menghantar makanan dan bekalan lain kepada mangsa-mangsa tsunami. Lokasi tersebut terjejas teruk akibat tsunami yang dicetuskan oleh satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 pada skala Richter pada Isnin lalu. Cuaca buruk di kepulauan Mentawai memaksa pihak tentera menggugurkan bekalan dari beberapa pesawat dan menghentikan penggunaan bot dan helikopter bagi penghantaran bantuan. Setakat ini, lebih 413 orang terkorban manakala lebih 23,000 lagi hilang tempat tinggal dalam bencana tersebut. Dalam perkembangan berkaitan, doktor-doktor di Hospital Sikakap, pulau Pagai Utara yang paling teruk terjejas akibat tsunami kecewa kerana tidak dapat membantu sekitar 150 mangsa yang cedera ekoran kekurangan bekalan ubat-ubatan. "Kami amat memerlukan morfin," kata seorang sukarelawan, Dr. Alyssa Scurrah, dari Sydney, Australia. Katanya, hospital berkenaan amat memerlukan sebuah generator dan ubat antibiotik dan lain-lain peralatan perubatan. Di sisinya, seorang budak perempuan berusia 12 tahun yang terbaring nazak akibat kecederaan di dada. Scurrah bimbang kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan kerana kekurangan peralatan perubatan manakala usaha memindahkannya ke hospital utama di Sumatera tergendala akibat ombak besar dan hujan lebat. | ||||
Universiti Oxford malu dek kes buli Posted: 30 Oct 2010 05:43 PM PDT OXFORD - Pihak pengurusan Universiti Oxford di Britain dimalukan insiden sekumpulan pelajar senior memaksa beberapa belas pelajar baru berpakaian seperti bayi pada majlis suai kenal pasukan bola lakros wanita universiti berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam. Mahasiswi tahun pertama yang diterima menyertai pasukan itu dipaksa memakai lampin bayi dan menghisap botol susu berisi arak pada majlis suai kenal yang ganjil tersebut di sini pada Rabu lepas. Sementara itu, pelajar-pelajar senior melakonkan watak ibu dengan memakai pakaian sukan dan menghisap rokok sambil menengking 'anak-anak' mereka. Gambar-gambar kes buli pada majlis itu yang menampilkan tema Bayi dan Ibu Remaja, disiarkan di laman jaringan sosial, Facebook. Ketika ditanya berhubung kejadian memalukan tersebut, seorang jurucakap universiti berkenaan enggan memberikan sebarang komen. | ||||
Posted: 30 Oct 2010 05:41 PM PDT SEMENJAK malapetaka ekologi membabitkan Chisso Corporation, sebuah kilang memproses baja di Minamata, Jepun pada tahun 1932, isu pencemaran bahan kimia di dalam makanan khususnya hidupan laut seperti ikan dan kerang terus diperkatakan hingga kini. Sehingga tahun 2001, seramai 2,265 mangsa dikesan menghidap penyakit Minamata yang menyebabkan kematian atau kecacatan kekal. Penyakit itu berpunca daripada pembuangan methylmercuri secara terus ke dalam laut oleh Chisso dari tahun 1932 hingga 1968. Dalam insiden tersebut, hidupan laut khususnya ikan dan kerang yang menjadi makanan ruji penduduk Teluk Minamata tercemar dengan bahan kimia bertoksik tinggi itu. Bagaimanapun, peristiwa tersebut menyebabkan para saintis lebih giat mengkaji kehadiran logam berat berbahaya di dalam hidupan laut yang menjadi makanan masyarakat dunia. Persatuan Kehamilan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah memberi amaran kepada ibu mengandung agar tidak mengambil ikan tuna, merlin serta mackerel kerana ia tercemar dengan merkuri. Tahap radiasi merkuri ikan tuna dikenal pasti berdasarkan jenis dan tempat ia ditangkap. Keracunan merkuri mampu merosakkan perkembangan otak serta fizikal janin. Pada umumnya, siapa pun tahu racun memang mudarat untuk tubuh. Racun yang terkumpul di dalam badan boleh datang daripada mana sahaja. Ia mungkin daripada air atau makanan yang ditelan, udara yang dihirup atau sesuatu yang disentuh oleh tangan. Antara logam berat yang sering ditemui di dalam tubuh ialah merkuri, aluminium kadmium, dan plumbum. Semula jadi
Menurut Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia, sebanyak 43 peratus daripada kes keracunan di negara ini yang dilaporkan pada tahun 2008 berpunca daripada kandungan isi rumah. Jelas Ahli Farmasi PRN, Sulastri Samsudin, penyebaran utama bahan toksik berlaku melalui saluran makanan iaitu mulut, saluran pernafasan (hidung), kulit dan mata. Menurut beliau, makanan sendiri terhasil melalui gabungan beberapa jenis bahan kimia dan menjadi sumber nutrisi seperti protein, karbohidrat, vitamin, serat dan antioksidan. Namun, terdapat bahan beracun seperti cyanogenic glycoside di dalam sesetengah ubi. Sesetengah teknik pemprosesan masakan juga menghasilkan bahan sampingan bertoksik seperti polycylic aromatic hydrocarbon atau acrylamide. Selain itu, bahan pencemar alam sekitar seperti plumbum dan bahan berklorin, kadmium daripada kerak bumi serta alga dan kulat seperti aflatoksin dan racun daripada kerang-kerangan boleh didapati dalam bekalan makanan pada tahap berbeza-beza. Dalam pada itu, daripada kesemua sampel produk kosmetik serta bahan makanan dan minuman yang diuji Pengguna Pulau Pinang (CAP) setakat ini, hampir 99 peratus daripadanya mengandungi bahan beracun di dalamnya. Ini termasuk bekas polisterina, asid borik, bedak talkum, botol susu Bisphenol A (BPA), bekas air polikarbonat, sotong kering serta perasa tambahan Rhodamine B. Kesannya, setiap pengguna akan berdepan dengan risiko penyakit berbahaya seperti kanser, perubahan genetik, diabetes, kerosakan buah pinggang dan koronari jantung. Risiko Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata, pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa bahan-bahan tersebut didapati bahaya untuk kesihatan badan dan seeloknya diharamkan penjualannya. Malangnya, kata beliau, sehingga kini asid borik masih digunakan dalam produk makanan walaupun pihaknya telah beberapa kali menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengambil tindakan terhadap isu tersebut. "Ujian yang dilakukan ke atas pelbagai makanan seperti mi kuning, bak chang (ladu Cina) dan kuih Nyonya yang dibeli di pasar basah di Pulau Pinang mendapati ia mengandungi asid borik dalam semua sampel. "Satu sampel bak chang didapati mengandungi 569 bps (bahagian per sejuta) asid borik, mi kuning (6.51 hingga 296 bps) manakala kuih Nyonya (0.78 hingga 13.5 bps) asid borik. "Asid borik amat toksin. Walaupun diambil dalam jumlah yang kecil, ia boleh membawa kepada keracunan, penyakit gastrousus, kerosakan buah pinggang dan hilang selera makan," katanya kepada Jurnal. Selain itu, kata Mohamed, bagi penggemar sotong kering, mereka dinasihati agar tidak memakannya berikutan ujian terbaru yang mendapati ia dicemari kadmium. Sebelum ini, kadmium digunakan dalam galvani dan elektropenyaduran, dalam bateri, konduktor elektrik dan dalam pembuatan aloi serta plastik. Selain itu, racun makhluk perosak endosulfan yang digunakan oleh para petani juga didapati berbahaya untuk kesihatan. Endosulfan ialah sejenis toksin yang sangat beracun dan disyaki boleh menjejaskan sistem endokrin. Walaupun telah diharamkan pengeluarannya pada tahun 2006 di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974, penjualannya masih berleluasa di sekitar negeri Kedah. Biasanya tubuh memproses racun-racun yang dikenali sebagai toksin itu menerusi hati dan buah pinggang sebelum mengeluarkannya melalui air kencing, peluh dan pembuangan air besar. Tetapi bagaimana jika sistem perkumuhan semula jadi itu gagal berfungsi? Nyahtoksin Disebabkan sumber racun yang memasuki tubuh terlalu banyak, sesetengah orang mencari penyelesaian alternatif bagi membuang kekotoran atau toksin yang terperangkap itu dengan pelbagai cara. Antaranya ialah mengambil pil, pelekat, minuman serta makanan yang dikatakan mampu membuang toksin daripada tubuh. Bagaimanapun, menurut pakar terapi nutrisi di My Life Center, Esther Peh, cara terbaik untuk menyahtoksik ialah melalui proses semula jadi oleh organ tubuh. "Organ penting seperti buah pinggang, hati, kulit dan kolon mempunyai sistem yang tersendiri untuk membuang kekotoran yang mendap di dalam tubuh," terang beliau. Namun, atas faktor usia, kecekapan organ tersebut kadangkala berkurangan. Justeru, penggunaan rawatan penyahtoksin seperti terapi chelation yang ditawarkan My Life Center dapat melancarkan proses tersebut, katanya. Jelas beliau, antara simptom utama tubuh manusia diserang oleh toksin ialah hilang selera makan, keletihan melampau atau sukar untuk tidur. Esther berpendapat seseorang individu perlu melakukan rejim nyahtoksin setiap tiga atau enam bulan sekali. "Dengan risiko terdedah pada pelbagai punca dan jenis toksin, amat perlu untuk memastikan toksik keluar daripada tubuh. "Ini penting bagi mengelakkan kerosakan organ seperti usus, buah pinggang atau hati di samping berlakunya dehidrasi," katanya. Sambung Esther, disebabkan toksin amat berkait rapat dengan lemak, individu perlu melakukan rutin senaman secara teratur. Selulit, jelasnya, merupakan ukuran mudah untuk mengetahui tahap toksin di dalam tubuh seseorang kerana toksin sentiasa 'melekat' pada lemak. Selain itu, tubuh turut memerlukan agen pemulihan. "Pengambilan antioksida seperti makanan tinggi serat atau lengai anggur boleh membantu memulihkan organ yang luka akibat proses nyahtoksin," kata Esther. | ||||
Posted: 30 Oct 2010 05:40 PM PDT
HAKIKATNYA, kesihatan Chew Hoong Ling, 30, tidak begitu memuaskan. Beliau mengalami masalah selesema berpanjangan, gastrik, pekak telinga kiri sejak lahir dan hanya mempunyai satu buah pinggang. Namun, kekurangan itu tidak menghalang wanita kecil molek kelahiran Ipoh, Perak ini mendermakan sebanyak 60 peratus hatinya kepada seorang pesakit hepatoblasma pada tahun 2009. Penerima hatinya itu ialah seorang remaja perempuan dari Kuala Lumpur, Lee An Qi, 14. An Qi menderita penyakit kanser hati sejak usia 13 tahun. "Tiada seorang pun ahli keluarganya memiliki kumpulan darah yang sama dengan An Qi kecuali neneknya yang tidak boleh menjadi penderma kerana faktor usia. "Jadi saya ambil keputusan untuk membantu," kata Hoong Ling yang pernah mengacarakan Selamat Pagi Malaysia di TV1 dan sekarang aktif memberi ceramah mengenai pendermaan organ. Menurut Hoong Ling, hatinya telah lama dijentik kesedaran menderma organ sewaktu berumur 13 tahun lagi iaitu selepas membaca buku kecil di sudut bacaan Persatuan Buddha Hilir Perak di Teluk Intan. Berita budak berusia 11 tahun, Ong Ai Ling yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 20 April 1986 turut dimuatkan dalam buku itu. Ai Ling, murid darjah enam Convent St. Anne di Kulim, Kedah berikrar untuk mendermakan kedua-dua matanya selepas kematiannya. Ai Ling ialah penderma mata paling muda di negara ini ketika itu. "Ia seperti ABC atau permulaan kesedaran pendermaan organ kepada saya. Artikel mengenai Joy of Giving (Kegembiraan Memberi) itu ternyata menjadi inspirasi kepada saya," kenang beliau. Semenjak itu, satu persatu organ yang melekap kejap di tubuhnya diikrar untuk didermakan. Semua organ yang boleh didermakan iaitu hati, mata, buah pinggang, paru-paru, jantung, kulit dan tisu, telah diikrarkan oleh Hoong Ling untuk diberikan kepada sesiapa yang memerlukan selepas kematiannya. E-mel Dalam bukunya yang baru diterbitkan, I don't Know You but Let Me Save You, Hoong Ling menceritakan pengalamannya mendermakan hati kepada An Qi, bermula daripada e-mel berantai yang diterimanya hinggalah kisah selepas beliau menjalani pembedahan pemindahan hati. "Saya menerima e-mel itu pada November 2008. Saya sangka pesakit itu (An Qi) memerlukan darah jenis O+. Tetapi apabila saya menghubungi keluarganya, dia sebenarnya memerlukan hati baru. "Saya tergamam sekejap. Yelah, saya ingatkan apa yang saya ikrarkan selama ini akan ditunai selepas saya mati. Tak sangka ia perlu dilakukan semasa saya masih hidup," katanya dalam ketawa halus. Cabaran pertama Hoong Ling untuk melaksanakan cita-cita murninya itu ialah mendapatkan keizinan ibu bapanya. "Anggap saja ia sebagai hadiah hari lahir dan memberi kehidupan baru pada seseorang," begitulah kata-kata pujukan wanita ini kepada bapanya, Chew Wah Chye. Mujurlah si bapa seorang yang sangat memahami. Sementelah bapanya, Wah Chye, lulusan Universiti Perubatan Tradisional Guangzhou di China, gemar menolong orang. "Bapa saya menjadi pemain keyboard dan saksafon pada malam hari dan doktor tradisional pada sebelah siang. Dia belajar perubatan tradisional Cina kerana satu sebab sahaja iaitu mahu membantu orang lain. "Dia mengenakan caj yang minimum untuk rawatan akupuntur khususnya bagi pesakit strok dan pesakit miskin," beritahu Hoong Ling. Perjalanan hidup penderma organ ini selepas itu diselang-seli dengan kejutan atau mungkin juga kebetulan. Bapa Apabila bertemu buat pertama kali dengan keluarga An Qi di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, Hoong Ling terkejut kerana bapanya dan bapa An Qi rupa-rupanya saling mengenali. Manakala semasa diperiksa di sebuah makmal perubatan di Subang Jaya, Selangor bagi memastikan beliau benar-benar layak mendermakan hati, Hoong Ling terkejut apabila doktor memberitahu beliau tidak mempunyai buah pinggang sebelah kiri. "Saya hampir terlompat daripada katil kerana kita sepatutnya memiliki sepasang buah pinggang. Dua orang doktor lain yang saya temui selepas itu turut mengesahkan saya hanya ada satu buah pinggang tetapi lebih besar sedikit berbanding saiz normal. "Saya menamakannya 'penapis turbo'," kata Hoong Ling. Menurut Hoong Ling, ramai yang bertanya kepadanya kenapa beliau sanggup mendermakan hati dan semua soalan itu dijawab dengan pertanyaan 'kenapa tidak?'. "Gembira yang sebenar adalah pada saat saya melihat An Qi tersenyum lebar kepada saya ketika jururawat membuka tirai penghadang selepas beberapa hari pembedahan," kata Hoong Ling yang agak fasih berbahasa Tamil kerana sering bergaul dengan rakan-rakan berketurunan India semasa di sekolah. Pembedahan pada Januari tahun lalu itu dilakukan di Pusat Transplan dan Penyakit Hati Asia (ACLDT) di Singapura, sebuah pusat perubatan yang diasaskan oleh Datuk Dr. K.C. Tan pakar perubatan yang berasal dari Kuala Kubu Baru, Selangor. Bagaimanapun, An Qi meninggal dunia sembilan bulan kemudian akibat jangkitan paru-paru. Parut Jika ada yang takut mengenai parut pembedahan, Hoong Ling menjelaskan bukan saiz atau keadaan parut yang patut dinilai tetapi apa yang menyebabkan parut itu. Setiap kali memandang parut itu, Hoong Ling yakin yang dia telah mengambil keputusan yang tepat dan bijak iaitu menyelamatkan satu lagi nyawa. "Ajaibnya, saya semakin sihat setelah mendermakan sebahagian hati saya. Saya tidak lagi mengalami demam atau selesema yang berpanjangan. Ia seperti ubat ajaib," katanya. Sejak menjadi ahli Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia Jun lalu, kehidupan Hoong Ling semakin aktif. Kata beliau, program-program kesedaran mengenai menderma organ itulah yang memacu kesihatannya pada tahap yang terbaik. Lebih menakjubkan, hanya selepas lima bulan pembedahan, Hoong Ling telah berlari sejauh lima kilometer dalam acara KL Marathon 2009 dan 10 bulan kemudian, dia berlari dalam Larian Jambatan Pulau Pinang. Kepada pembaca di luar sana hanya satu pesan Hoong Ling - dermalah organ dan anda akan hidup walaupun selepas mati. "Tubuh kita ibarat kereta. Alat ganti kereta mungkin digunakan semula untuk kereta yang lain, sama seperti tubuh kita. Bila kita mati, 'alat-alat ganti' itu iaitu organ-organ kita, akan terus tinggal di dunia untuk berkhidmat kepada orang lain," katanya. | ||||
Posted: 30 Oct 2010 05:40 PM PDT KETIKA kawan-kawannya, Ashraf Sinclair, Dynas Mokhtar serta Aisyah Sinclair masing-masing sudah menimang cahaya mata sendiri, ramai yang tertanya-tanya bilakah pengacara dan pelakon comel, Sazzy Falak akan bergelar ibu. Agak-agaknya, adakah 'sindrom' kehamilan sudah berjangkit atau belum ke perut Sazzy memandangkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, jarang benar Diva terserempak dengan Sazzy. Itu sangka Diva. Hendak dijadikan cerita, seorang kenalan Diva, yang suka melepak di kedai kopi sudah terdengar satu berita pasal isteri Nazril Idrus itu. "Va, aku dengar Sazzy sekarang sedang hamil. Pasti anaknya nanti comel macam maknya juga kan. Kalau setakat cerita dalam Internet aku tak hairan, ini cerita yang keluar daripada mulut Sazzy sendiri. Lagi satu, sejak mengandung, doktor dah nasihat Sazzy supaya jangan ambil tawaran kerja yang berat-berat. Manja-manja bolehlah," beria-ria beritahunya kepada Diva. Sudah berapa bulan usia kandungan Sazzy tidaklah Diva mahu menyibuk, tunggulah tuan punya perut yang buat pengumuman. Diva ucapkan tahniah dan doa yang baik-baik untuk Sazzy dan Nazril. | ||||
Posted: 30 Oct 2010 05:36 PM PDT INI kisah terbaru yang bergeser dan mencelah masuk ke gegendang telinga Diva tentang juara One In A Million, Ayu (OIAM) yang pernah 'kecoh sepetang' dengan kisah perkahwinan senyap-senyapnya sekitar tahun lepas. Fikir-fikir, Ayu seorang berbakat, suaranya bagus cuma..., bab cuma itu tak perlulah Diva panjang-panjang sebab semua milik insan adalah anugerah Yang Maha Kuasa. Tinggal lagi Ayu sendiri yang kena baiki skil komunikasi dan keakrabannya dengan semua pihak supaya perjalanan karier sentiasa membuahkan harapan. Dengar-dengarnya Ayu sekarang tengah bertungkus-lumus masuk dan keluar studio untuk album baru. Bukan calang-calang album baru, tapi ini album 'cover version' atau dalam bahasa Melayu, disebut rakaman semula. Setahu Diva, sudah ada beberapa lagu lama dirakamkan oleh Ayu, judul yang paling melekat di cuping telinga kanan Diva ialah lagu Flora Cinta nyanyian asal Min Malik. Sedap lagu itu! Diva yakin Ayu boleh mendendangkan lenggok lagu berkenaan mengikut cara tersendiri cuma, Diva tertanya kenapa rakaman semula, tiada lagu baru atau memang untuk tujuan penghargaan. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |