Berita Harian: Hip |
Posted: 21 Nov 2010 03:53 PM PST Hip Irma Hasmie anggap tidak berbaloi dan buang masa untuk 'frust' menonggengGUGUSAN awan mendung sudah lama dibiarkan berarak pergi, Hatinya kini kembali bersinar secerah matahari pagi. Tiada langsung riak duka di wajah mulusnya, mahupun butir-butir air mata yang terbentuk, sebaliknya si pemilik nama Irma Hasmie Ibrahim, 28, terlihat cukup kuat menepis gejolak emosi. "Tidak berbaloi untuk saya bersedih dengan melampau atau 'frust' menonggeng. Semua ini ditentukan oleh Tuhan yang sudah tentu ada hikmahnya," tutur wanita ini penuh yakin saat kami bersembang di kafe Balai Berita, Berita Harian baru-baru ini. Bagaimanapun ketika bersembang, pelakon ini meminta supaya dia tidak dikaitkan lagi dengan cerita yang satu itu. Baginya cerita itu sudah basi dan sudah dimainkan dengan terlalu meluas. Justeru tidak berbaloi untuk terus bercerita mengenainya.Namun sukar mencari garis kesedihan di wajah wanita ini. Mungkin perpisahan yang terjadi antaranya dengan jejaka bernama Ahmad Nabil Ahmad yang disulam lebih dua tahun juga satu rahmat besar buatnya supaya tidak terus hidup dalam dunia penuh teka teki. "Saya mahu beri tumpuan pada keluarga dan kerja buat masa ini. Soal jodoh masih terlalu awal untuk difikirkan dan semuanya sudah saya tolak ke tepi. Sebelum ini pun hampir tiga tahun selepas kegagalan percintaan yang pertama saya menemui pengganti. Mungkin kali ini pun serupa juga. "Dengan apa yang berlaku, selepas ini saya akan lebih berhati-hati. Mungkin juga saya akan menjadi seorang yang terlalu memilih. Masih belum tahu lagi teman bagaimana yang saya mahukan. Pada petang itu graduan Universiti Teknologi Malaysia ini hadir sendirian tanpa ditemani sesiapa. Dia kini sibuk dengan penggambaran Awan Dania musim ketiga. Selain drama bersiri berkenaan, dia juga sibuk mengacarakan program hiburan Galaksi untuk TV9 yang ke udara setiap Sabtu. Kesibukan itulah yang menjadi pengubat kepada kesedihannya. Kata wanita ini lagi, mungkin sudah tiba masa untuk dia memberikan fokus kepada kerjaya dan selepas ini lebih berhati-hati dalam soal mencanang kisah cintanya. "Saya lakukan semua itu sebelum ini bukan atas permintaan sendiri tetapi kami memahami tugas wartawan. Saya sendiri kurang selesa menipu atau bersikap hipokrit. Lagipun saya tahu, peminat lebih sukakan cerita yang berkisar peribadi daripada cerita mengenai kerja kami. Jika bercerita mengenai fakta biasanya orang kurang berminat. "Bagaimanapun selepas ini andai ditakdirkan saya menemui cinta baru, saya akan cuba seimbangkan antara kisah peribadi dengan kerjaya saya. Sebenarnya saya sendiri lebih suka bersederhana termasuklah ketika bercinta dulu. "Secara luaran mungkin orang nampak saya dan pasangan berlebih-lebih, bagi saya cakap-cakap orang adalah normal. Yang penting saya tahu siapa diri saya yang sebenarnya," tambah Irma. Saat berdepan perpisahan, keluarga adalah orang pertama yang dimaklumkan kemudian barulah teman-teman rapatnya. Wanita ini juga amat bersyukur ketika menyambut Aidiladha tempoh hari, keluarga serta sanak saudara langsung tidak cuba membuka kisahnya. Mereka bagaikan mengetahui isi hatinya, masing-masing berlagak seperti biasa seakan-akan tiada apa yang berlaku. Mungkin tidak mahu menambahkan lagi kesedihan di hatinya. Tidak menumpang populariti sesiapa Memulakan langkah dalam dunia lakonan dengan filem Cinta Fotokopi, pelakon dari Sungai Buloh, Selangor ini kurang bersetuju apabila ada dakwaan mengatakan suka menghimpit lelaki popular. Selama enam tahun berada dalam industri ini kata Irma, setahunya semua tawaran yang diterima langsung tiada sangkut paut dengan bekas teman lelakinya. "Orang yang melihat begitu tetapi apa saja kerja yang saya lakukan selama ini langsung tidak ada kena mengena dengan nama orang lain. Jika kerja saya ada kena mengena dengan individu itu bolehlah orang kata saya menumpang. "Alhamdulillah enam tahun berada dalam industri ini, saya cukup makan, cukup pakai dan mampu menanggung keluarga. Cuma satu saja kepuasan yang belum lagi tercapai adalah untuk bergelar pelakon terbaik. Saya menunggu gelaran itu satu hari nanti," katanya. Sepanjang tempoh itu, sudah tujuh filem dijayakan wanita ini termasuk puluhan drama seperti Aliff Firdaus dan Ibu Mee Segera. Sepanjang pembabitannya itu, dia tidak berasakan kerjayanya seninya sendu dan hanya disemarakkan dengan kisah cinta semata-mata. Ini kerana dia ada ramai pengikut di laman sosial Facebook dan Twitter yang sering memberikan kata-kata perangsang terhadap kerjaya seninya. Tempoh enam tahun itu juga boleh dianggap panjang, namun kala ditanya apakah dia puas dengan apa yang dilakukan. Tentu sekali wanita ini berkata, dia masih belum menemukan kepuasan. Bagaimanapun ditanya apakah watak yang ingin dibawakan, Irma berkata dia berpuas hati dengan kebanyakan watak yang diberikan sementelah dia lebih selesa dengan watak wanita yang lemah lembut. Malah dia akan menolak sekiranya ditawarkan watak wanita gedik kerana kata Irma, itu bukan dirinya. "Saya bukan memilih tetapi saya tahu di manakah kemampuan saya. Orang kata watak perempuan gedik yang jahat senang untuk dibawakan, tetapi saya kurang selesa untuk membawakan watak penggoda dan saya juga tidak boleh menjadi seperti itu. "Saya tidak akan sesekali memuaskan hati orang lain jika saya tahu di mana kemampuan diri saya. Sebagai pelakon, kita perlu tahu tahap kemampuan diri. Buat apa saya melakonkan watak yang akan menyebabkan saya nampak buruk," katanya menutup bicara petang itu. Solekan: Chomel |
Posted: 21 Nov 2010 03:49 PM PST Hip Khairul Anuar sudah sedia hadapi tempias glamor beristerikan penyanyiKALAU mengikut perjanjian pada majlis pertunangan mereka, pasangan ini sepatutnya sudah bergelar suami isteri pada 11 Julai lalu. Namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, akhirnya tarikh 19 November dipilih oleh penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana dan Khairul Anuar Hussin sebagai hari bersejarah buat mereka. Pada malam Jumaat itu, Elyana dan Khairul Anuar sah bergelar suami isteri selepas dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Emrizal Shamsuddin di hadapan Imam Masjid Al-Aqram, Kampung Datuk Keramat, Azizan Othman serta disaksikan oleh dua bapa saudara penyanyi itu sendiri. Ketika di majlis pernikahan itu, Elyana kelihatan cukup tenang bersimpuh di atas singgah sana. Saat Khairul melafazkan ijab dan kabul dengan hanya sekali ucap, dua tangan Elyana menadah ke langit tanda rasa syukur. Andai sewaktu menunggu ketibaan rombongan pengantin tadi Elyana kelihatan tenang, tapi sebaik saja akad nikah selesai dilakukan, tiba-tiba perasaan berdebar mencengkam di sudut hati."Selama ini saya tak rasa apa-apa, sambil lewa saja tapi apabila kami selamat dinikahkan, tiba-tiba saya rasa berdebar. Serta merta teringat tanggungjawab sebagai isteri. Bagaimanapun, apabila menyatakan yang saya gugup, bukanlah bermakna tak bersedia menjadi isteri. "Apabila mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, itu maknanya memang sudah bersedia dan sudah berfikir masak-masak mengenainya," luah Elyana ketika ditemui selepas majlis pernikahannya yang diadakan di Duchess Place, Jalan Ampang itu berakhir. Andai Elyana mengakui berdebar dan gugup saat bergelar isteri, perasaan yang sama turut dikongsi Khairul. Lelaki berusia 35 tahun ini mengakui terkejut melihat bakal bapa mentua sendiri yang menikahkan mereka. Datang dari dunia yang berbeza dari Elyana, apakah Khairul bersedia berdepan dengan percikan dunia glamor dan gosip yang sering melingkari kehidupan isterinya. Bukannya apa, beristerikan seorang penyanyi dan pelakon sangat besar cabarannya sehingga mampu mengundang perasaan cemburu. "Tak dinafikan, apabila beristerikan seorang artis, saya akui tempias itu akan terkena juga. Macam hari ini apabila berdepan dengan anda media) memang lain rasanya. Dari segi hubungan dengan Elyana, terus terang saya katakan, saya tak pernah meragui dia. Malah saya meletakkan sepenuh kepercayaan pada dia," katanya. Sebagai bukti, Khairul mengizinkan Elyana untuk aktif dalam bidang seni. Pada majlis itu, pengantin perempuan menerima mas kahwin RM80 dan wang hantaran RM22,000. "Jumlah wang hantaran itu adalah simbolik kepada usia saya sewaktu Khairul melamar menjadi isterinya," kata Elyana. Mengenai perancangan berbulan madu, Elyana berkata perkara itu hanya dapat dilakukan pada tahun depan. "Selepas ini kami ada majlis bertandang di rumah pengantin lelaki di Mentakab, Pahang. Mungkin saya hanya boleh berbuat demikian pada Januari tahun depan. Saya memang teringin sangat hendak pergi ke Mesir," katanya yang bakal muncul dengan single terbaru ciptaan Aidit Alfian dan Ad Samad berjudul Sewaktu Dulu-Dulu. Yakin jadi menantu bertanggungjawab WALAUPUN berat, namun apabila sudah tiba sampai masanya, mahu atau tidak, sebagai bapa, harus menerima hakikat bahawa suatu hari nanti anak gadisnya itu pasti akan menjadi 'milik' orang juga. Perasaan ini dirasai Emrizal apabila anak keduanya kini menjadi isteri kepada Khairul. Rasa sedih tetap ada. Bagaimanapun, apabila mengenangkan sifat menantu yang sudah dikenalinya selama lima tahun, dia reda dengan pilihan anaknya itu. "Sejak mengenalinya lima tahun lalu, dia adalah seorang yang bertanggungjawab dan menyayangi Elyana," katanya. Emrizal juga berasakan tidak ada sebarang masalah bagi Elyana untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri walaupun usianya dianggap masih muda. "Apa salahnya dia berkahwin ketika usia 23 tahun? Usia itu memang sesuai sangat untuk Elyana berkahwin. Kalau dia kahwin lambat, lagilah kita risau. Kami sekeluarga doakan moga rumah tangga mereka kekal ke akhir hayat," jelasnya lagi. Mengulas tindakannya menikahkan Khairul yang dianggap sebagai kejutan oleh menantunya itu, Emrizal berkata itu adalah nasihat dari Imam sendiri. "Dia (imam) kata lebih afdal jika saya sendiri yang menikahkan anak saya. Jadi saya buat apa yang terbaik untuk mereka," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |