Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Kejutan bapa ElyanaSENYUMAN tidak lekang pada bibir manis penyanyi yang popular dengan lagu Kalis Rindu, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 23, apabila sah menjadi isteri kepada Khairul Anuar Hussin, 35, pada malam Jumaat lalu. Namun dalam hati, perasaannya bercampur baur beberapa minit sebelum majlis pernikahan berlangsung. Akuinya, sebelum majlis pernikahan, dia langsung tidak merasai debaran tetapi tatkala duduk di hadapan ayah, ibu, jurunikah dan disaksikan puluhan sanak saudara dan jurufoto, hatinya tiba-tiba bergelora. "Sebelum majlis pernikahan walaupun saya sibuk dengan persiapan perkahwinan, saya tidak rasa sangat debaran. "Namun, apabila duduk pada majlis pernikahan sambil disaksikan keluarga dan puluhan kamera terus hati saya berdebar-debar dan fikir semasak-masaknya tentang tanggungjawab serta kehidupan selepas kahwin," ujar Elyana yang anggun dalam sepersalinan baju kurung moden berwarna biru firus pada majlis pernikahannya itu. Bagaimanapun, itu bukan bermaksud dia tidak bersedia menjadi isteri. Menurut Elyana, saat dia membuat keputusan untuk bertunang, dia telah bersedia untuk menjadi seorang isteri kerana hatinya telah berjumpa dengan pasangan yang tepat. Pasangan itu kemudian bersatu selepas setahun bertunang. "Saya memang telah bersedia kalau tidak, saya tidak akan berkahwin. Sebagai isteri saya sedar tanggungjawab yang akan dipikul itu amat besar dan saya bersedia memikul semua tanggungjawab itu. "Keputusan untuk berkahwin dengan Khairul adalah sesuatu yang tepat kerana saya rasa telah bertemu dengan orang yang tepat untuk saya hidup bersama. Dia orang yang paling faham akan diri saya dan sangat bertanggungjawab," kata Elyana.
Suaminya yang berada di sebelah turut berkata: "Siapa yang tidak kenal Elyana mungkin menganggap dia seorang yang senang diuruskan, tapi sebenarnya tidak. "Mula-mula risau juga kerana statusnya sebagai penyanyi tetapi itu satu cabaran untuk saya untuk mendekatinya. "Elyana juga seorang yang romantik sebenarnya, dia akan membuat laporan kepada saya ke mana sahaja dia pergi. "Kalau kami keluar berdua, setiap butir perkataan yang terluah daripada mulutnya pasti berbunga-bunga," tutur Khairul yang juga seorang pemilik restoran makanan Jepun di Bangsar itu. Darah gemuruh pengantin lelaki Pada majlis pernikahan berlangsung di Duchess Place, Ampang, Kuala Lumpur itu Elyana mahupun Khairul telah menerima kejutan daripada bapa Elyana, Emrizal Shamsuddin apabila dia mengambil keputusannya untuk menikahkan pasangan itu sendiri pada saat-saat akhir. Sedangkan sebelum itu, mengikut perbincangan Elyana akan dinikahkan oleh jurunikah yang merupakan Imam Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, Azizan Othman. Justeru, keputusan itu benar-benar satu kejutan yang tidak dijangka oleh Elyana dan terutamanya, Khairul. "Saya ingat jurunikah yang akan nikahkan kami, tetapi masa berjalan masuk ke tempat nikah saya lihat bapa Elyana pula yang duduk di tempat jurunikah. Pada masa itu, bertambah berdebarlah hati saya ditambah dengan orang dan kamera yang memenuhi ruang pernikahan itu. "Syukur setelah seminggu berlatih dengan sekali lafaz, Elyana sah menjadi isteri saya," kata Khairul sambil ketawa. Elyana yang juga tidak menyangka bapanya akan berubah fikiran pada saat akhir turut terkejut tetapi dalam masa yang sama hatinya bertambah berdebar-debar kerana mengenangkan suaminya yang mempunyai darah gemuruh. "Khairul memang ada darah gemuruh. Sebelum ini dia ingatkan jurunikah yang menikahkan kami dan dia memang berdebar tetapi apabila bapa saya pula yang ambil alih tugas itu saya lihat wajahnya, ketika itu saya tahu dalam hatinya debaran yang datang adalah dua kali ganda. "Sangkaan saya mungkin, Khairul melafazkan lafaz nikah dalam tiga kali baru sah, tetapi saya cukup bangga dengannya apabila dia berjaya hanya dengan sekali lafaz sahaja," luah Elyana yang menerima wang hantaran sebanyak RM22,000 dan mas kahwin RM80 itu.
Mahu terus menyanyi Bercakap tentang kerjayanya, Elyana dibenarkan oleh Khairul untuk meneruskan kerjayanya dalam bidang seni. Tiada langsung halangan daripada Khairul kerana sejak berkenalan dengan isterinya itu, dia sudah mengetahui Elyana seorang penyanyi. "Sejak kenal dengannya saya sudah tahu dia seorang penyanyi kenapa sekarang saya mahu menghalangnya melakukan pekerjaan yang disukainya. "Saya tidak kisah, asalkan kerjayanya itu tidak mengganggu perjalanan rumah tangga kami meskipun setelah kami mempunyai anak kelak," jelas Khairul. Kata Elyana pula, dia akan meneruskan kerjaya seperti biasa selagi tidak ada cahaya mata, bagaimanapun jika dikurniakan cahaya mata lebih awal dia akan berfikir semula sama ada berhenti atau teruskan kerjayanya. "Khairul tidak pernah halang untuk saya terus menyanyi, cuma saya sendiri yang terasa tanggungjawab untuk memberi fokus lebih pada rumah tangga apabila kami mempunyai anak nanti. "Terus menyanyi atau bersara, itu saya tidak boleh membuatkan keputusan sekarang, apa yang saya tahu setakat hari ini, saya masih ingin menyanyi," tutur Elyana yang kini turun berat badan sebanyak tujuh kilogram daripada berat badan asalnya. Bercerita soal anak pula, pasangan ini tidak pernah membuat perancangan keluarga, bagi mereka andai diberi rezeki awal mereka akan menerimanya dengan lapang hati. "Orang tua-tua cakap untuk anak yang pertama tidak elok merancang atau tangguhkan, nanti takut tidak dapat anak langsung. BAPA Elyana (kiri) tiba-tiba berubah fikiran untuk menikahkan sendiri anaknya itu. "Jadi, kami berdua tidak kisah nak ada anak bila atau berapa jumlahnya. Selagi ada rezeki kami terima," ucap Elyana yang akan berbulan madu pada bulan Januari tahun hadapan. Walaupun begitu, lokasi berbulan madu masih belum diputuskan oleh mereka, cuma Elyana teringin untuk menjejakkan kaki di bumi Mesir sambil menikmati keajaiban dunia di sana. | ||||
Posted: Roslan Shah ditaja RM80,000Oleh ADLAN JAAFAR
MABUK ESTROGEN, sebuah telefilem yang mengundang angin kontroversi dalam kehidupan seni Roslan Shah suatu ketika dulu. Babak Vee, lakonannya yang diberi bantuan kecemasan pernafasan mulut ke mulut (CPR) oleh Awang lakonan Fizz Fairuz di tepi kolam renang menjadi perbualan khalayak ketika itu. Kemudian, dia muncul pula dengan watak Mami menerusi filem pendek, Chukang arahan Suhaimi Lua Abdullah. Lakonan serta jalan cerita filem tersebut, turut mengundang kontroversi di dada akhbar. Mahu keluar dari kepompong watak stereotaip, Roslan Shah kali ini akan muncul dengan sesuatu yang berbeza. Menjalani penggambaran selama 40 hari, drama bersiri Sejambak Bukan Serumpun arahan Mat London memberi peluang Roslan Shah memainkan peranan maskulin. "Saya dikenali dengan watak-watak gay dan lembut dan kali ini, watak Rahim memberi cabaran kepada saya dalam bidang lakonan. "Kali ini saya membawa watak yang lebih serius tetapi masih lagi terdapat elemen komedi dalam drama ini. "Suhaimi Lua Abdullah, pengurus produksi drama ini menawarkan saya untuk melakonkan watak Rahim. "Selepas berbincang dan melihatkan komitmen saya dalam menghidupkan sesuatu watak melalui kajian, Mat London bersetuju mengambil saya," ujar Roslan yang hadir ke studio Utusan baru-baru ini lengkap berpakaian pengawal keselamatan. Bagi merealisasikan watak Rahim yang merupakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, Roslan meresap ke dalam perjalanan seorang lelaki yang mempunyai banyak sifat negatif. Malas bekerja, gemar curi tulang, suka mengendap dan tidur ketika bertugas merupakan karakter yang dibawanya serta sebuah cerminan sikap segelintir rakyat Malaysia. Demi menjayakan watak itu, Roslan mengambil alternatif dan membuat kajian mengenai kehidupan pengawal keselamatan selama dua minggu. "Selepas semua aktiviti harian saya selesai, kira-kira pukul 2 pagi, saya akan luangkan masa sekurang-kurang setengah jam untuk duduk dan berbual dengan pengawal keselamatan di kediaman saya. "Saya melihat bagaimana gaya percakapan, pergaulan, pemakaian dan cara mereka berkerja. Selain itu, saya juga melakukan pemerhatian dari jauh perihal gelagat pengawal keselamatan," tambah Roslan yang sudah berlakon lebih 10 buah drama. Dengan persediaan yang telah dibuat, Roslan yakin dia bersedia untuk membawakan sebuah karakter yang menuntut sebuah fokus yang mendalam. Drama yang akan ditayangkan di RTM1 tahun hadapan turut dibintangi Azam Pitt, Nazim Othman, Meor Hashim Manap, Maimon Talib, Fimie Don dan ramai lagi. Rita ganti Sosilawati Memasuki usia 40 pada 17 November lalu, Roslan akan menyambut hari jadinya secara besar-besaran di Restoran Cerana, Cheras, Kuala Lumpur pada malam esok. Bertema 'glamor bling bling', para tetamu yang tampil sesuai dengan tema majlis tersebut akan dipilih untuk memenangi empat bentuk cincin yang di taja oleh Ramli Lazim dari Reefa Gold (Di hatimu) yang baru sahaja membuka cawangan di Wangsa Walk Mall. "Selain tajaan cincin, Reefa Gold juga menaja baucar RM100 bagi kira-kira 300 tetamu yang dijangka pada majlis hari jadi saya nanti, jadi jumlah tajaan daripada Reefa Gold (dihatimu) sahaja sudah mencecah RM50,000," akui Roslan. "Selain itu, tetamu yang hadir nanti berpeluang memenangi hadiah tiket penerbangan pergi balik ke destinasi terpilih iaitu Hong Kong, Shanghai dan China tajaan Jaza Global Sarang Burung serta penginapan dan makan minum oleh Ripple Mate Tea turut disediakan. Maka, jumlah keseluruhan tajaan mencecah RM80,000," katanya tanpa berselindung. ROSLAN bersama pemilik Reefa Gold (Di hatimu), Ramli Lazim yang turut menaja majlis hari jadinya pada tahun ini. Ketika ditebak dengan isu penajaan artis yang kadangkala membawa masalah, Roslan menjawab dengan tenang dan menjelaskan bahawa dia tidak pernah berdepan dengan polemik melibatkan pihak penaja. Malah, kebanyakan pihak penaja yang mahu menaja Roslan adalah atas permintaan pihak penaja sendiri. "Cuma ada juga yang ingin potong jalan saya dengan menghubungi pihak yang pernah menaja saya dan minta mereka pula ditaja, tetapi saya tidak akan berbuat begitu kerana sifat cemburu dan dengki perlu disingkir," tambah anak kelahiran Jurong, Singapura itu. Walaupun majlis kali ini mendapat pelbagai tajaan, Roslan bagaimana masih berasa sedih dengan kehilangan Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya yang pernah menjadi penaja hari jadinya sebelum ini selama empat tahun berturut-turut dari tahun 2006 hingga 2009. "Saya berasa kekurangan dan sedikit kelainan kerana arwah seorang yang ceria dan dia seorang yang berfikiran terbuka. Dia merupakan salah seorang tetamu VVIP saya setiap tahun. "Pada tahun ini, saya akan menjemput anak sulung arwah Sosilawati, Rita (Erni Dekritawati Yuliana) dan tempat duduk dia pada majlis itu nanti khusus disediakan di tempat yang sama arwah pernah duduk dulu," katanya yang sudah 10 tahun terlibat dalam bidang seni di Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |