Utusan Online - Hiburan |
Kejutan buat Elyana dan Khairul Posted: Kejutan buat Elyana dan KhairulOleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
BERTEMU kemudian disatukan sebagai pasangan suami isteri sememangnya sesuatu yang diimpikan oleh pasangan ini sejak mula menyatakan hasrat untuk ke jinjang pelamin. Pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal,23, yang cukup selesa dengan panggilan Elyana ini sememangnya menantikan saat bahagia bertukar status sebagai seorang isteri sejak dilamar oleh pasangannya, Khairul Anuar Hussin, 34, saat umurnya baru mencecah 22 tahun. Justeru, mengenang angka yang cukup simbolik dalam kehidupan pelantun lagu Kalis Rindu itu, Elyana mengabadikan angka 22 sebagai permulaan angka wang hantarannya. Lain orang lain cita rasa. Begitulah juga Elyana yang disatukan dengan Khairul pada Jumaat lalu di Duchess Place, Jalan Ampang kira-kira pukul 9.42 malam. Kejutan buat Elyana dan Khairul, apabila bapa Elyana, Emrizal Shamsuddin, 56, membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk menikahkan sendiri puterinya itu. Elyana dinikahkan oleh bapanya di hadapan Imam Masjid Al-Akram, Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur, Ustaz Azizan Othman dengan mas kahwin RM80. "Gementar yang teramat sangat. Jika sebelum ini saya tidak berasa apa-apa walaupun gemuruh tetapi bila sudah duduk dan menanti saat dinikahkan baru saya rasa macam nak gugur jantung. "Saya bangga ayah yang menikahkan saya sebab sebelum ini, masa kakak saya kahwin kadi yang nikahkan tetapi malam ini ayah sendiri yang nikahkan saya," jelas Elyana. Bagi Khairul pula, dinikahkan sendiri oleh bakal bapa mertua itulah kejutan yang tidak disangka olehnya kerana sebelum ini dia dimaklumkan bakal dinikahkan oleh kadi. "Terkejut. Sebelum ini yang saya tahu kami akan dinikahkan oleh kadi tetapi pada saat akhir dia (bapa mertua) beritahu yang dia bakal menikahkan kami, saya rasa teruja sangat. "Bagaimanapun saya tak nafikan rasa gemuruh dan takut sebab tengok orang ramai, kamera pula banyak memang saya berdebar. "Namun, alhamdulillah semuanya selesai dengan baik dan hanya sekali lafaz sahaja," kata Khairul yang mengambil masa seminggu berlatih. Pada majlis itu, pasangan tersebut sepakat bertukar-tukar sebanyak tujuh dulang hantaran iaitu setepak sirih, cincin berlian, seutas jam tangan, beg tangan dan dompet, set wangian dan penjagaan badan dan manisan daripada pihak Khairul. Elyana pula membalas hantaran berupa sirih junjung, cincin, jam tangan, sepasang kasut, dompet, set wangian dan buah-buahan. Menjelaskan pasangannya seorang yang cukup gemuruh, maka latihan selama seminggu untuk lafaz nikah yang diceritakan oleh Khairul bukan suatu perkara yang aneh buat Elyana. | ||
Posted: Debaran Ayu menjelang JanuariOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
HANYA tinggal dua bulan sahaja lagi, dramatis jelita, Ayu Raudhah, 26, akan bertukar statusnya menjadi seorang isteri. Dan, raja yang berjaya menakluk hatinya memang bukan calang-calang. Sungguh bertuah wanita yang gemar membahasakan dirinya Ayu ini memiliki pemain bola sepak kebangsan, Zaquan Adha Abdul Razak,23. sebagai suaminya. Sudahlah kacak, popular pula tu. Pastinya Ayu sendiri menjadi mangsa cemburu kaum sejenisnya apabila dapat bersuamikan seorang lelaki yang menjadi igauan wanit Saat diajukan tentang perasaannya kini, Ayu memang tidak dapat menyembunyikan debaran apabila memikirkan tentang persiapan menjelangnya hari bahagia itu. Bakal diijabkabulkan pada 21 Januari depan di Alor Setar, Kedah, Ayu memberitahu segala perancangan yang diaturkan semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun mempunyai ahli keluarga yang membantu bagi melancarkan lagi persiapan perkahwinannya, namun, Ayu sendiri tidak dapat mengelak daripada turut serta bagi memastikan segala-galanya adalah sempurna. "Saya juga bersyukur kerana nampaknya sudah menjadi rezeki saya apabila ada pihak yang mahu menaja perkahwinan saya dari segi pakaian dan juga katering. "Setakat ini, sudah empat pereka fesyen yang mengesahkan akan menaja busana saya sepanjang majlis perkahwinan saya nanti," katany dalam nada cukup ceria ketika ditemui pada majlis tayangan program baru Astro Warna di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Empat pereka yang akan terlibat dalam perkahwinan Ayu dan Zaquan Adha nanti ialah Qudin, Calvin Thoo, Rizman Ruzaimi dan Man Kajang. Cuma, katanya, dia masih belum menetapkan rekaan manakah yang akan dipakai mengikut turutan majlisnya. Tambahnya, pada asalnya dia dan Zaquan Adha memilih tarikh 1 Januari sebagai tarikh pernikahan tetapi kerana abang Ayu telah memilih tarikh itu, terpaksalah Ayu beralah lalu memilih 21 Januari. "Lagipun tarikh itu jatuh pada hari Jumaat. Jadi memang eloklah kami bernikah pada hari yang penuh keberkatan itu," jelas Ayu sambil memberitahu majlis menyambut menantu akan diadakan di Seremban, Negeri Sembilan seminggu selepas majlis di Alor Setar. Ayu atau nama sebenarnya, Ayu Raudhah Che Wan dan Zaquan Adha mengikat tali pertunangan dalam satu majlis yang cukup ringkas pada 17 Oktober lalu di Subang Jaya, Selangor selepas lebih setahun menyulam cinta. Kata Ayu, memang bukan niatnya mahu merahsiakan majlis pertunangannya itu tetapi atas permintaan kedua-dua pihak, semuanya dilangsungkan secara tertutup. Pada awalnya, memang tidak ada langsung perancangan untuk bertunang pada hari itu. Yang hanya dirancang cuma upacara merisik sahaja. "Namun, selepas perbincangan antara kedua-dua belah pihak, kami terus ditunangkan," katanya yang merahsiakan wang hantaran yang bakal diterimanya pada hari pernikahannya nanti. Apa yang boleh dikongsi Ayu hanyalah bilangan hantaran yang bakal diterimanya iaitu tujuh dulang dan dibalas pihak pengantin perempuan sebanyak sembilan dulang. Ditanya apakah dia benar-benar sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri, ini jawapan pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Nur Kasih dan Dari Mata Arisa ini. "Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik dan sekarang ini pun saya perlahan-lahan sedang mencuba untuk mempelajari serta mendalami tanggungjawab sebagai seorang isteri. "Saya juga sedang cuba belajar untuk masak dengan ibu saya kerana bakal suami saya memang suka makan di rumah. Asalkan ada juadah berlaukkan ayam, itu sudah memadai kerana itu memang kegemarannya," ujarnya disulami ketawa manja. Bakal bergelar adik ipar kepada Aidil Zafuan dan menjadi biras Rita Rudaini, apakah Ayu sudah bersedia untuk berhadapan dengan mereka selepas bergelar isteri nanti. Sementelah, nama Ayu juga pernah dikaitkan dengan kisah rumah tangga mereka yang semakin hari semakin panas itu. Dengan penuh diplomasi dan lembut, Ayu menolak untuk mengulas tentang cerita kontroversi itu. "Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku dan saya tidak mahu berkata apa-apa lagi tentang itu. Bimbang nanti kalau tersalah cakap akan memburukkan lagi keadaan. "Biarlah hanya saya sahaja yang menjadi subjek dalam temu ramah ini," pintanya penuh berhemah. Dalam pada itu peminat Ayu dapat menonton lakonannya sebagai Suzy dalam drama bersiri Anak Mami Mek Ani yang akan mula ditayangkan di saluran Astro Warna (saluran 132) bermula 30 November ini. "Inilah kali pertama saya membawakan watak antagonis yang memang seronok untuk saya lakonkan. "Maklumlah, sebelum ini, penonton dapat melihat saya membawakan watak yang baik-baik tetapi kali ini saya mencabar diri saya dengan watak seperti ini. "Suzy seorang perempuan yang mengada-ngada dan dia akan melakukan apa sahaja asalkan dia dapat apa yang dia inginkan," ceritanya tentang watak berkenaan. Selain Ayu, drama bersiri 13 episod itu turut dibintangi Azad Jasmin, Eira Syazira, Sheila Mambo, Wan Maimunah dan ramai lagi. Dalam perkembangan lain, Ayu juga baru sahaja berlepas ke Singapura bagi menjalani penggambaran drama untuk DVD berjudul Empire yang turut dilakonkan oleh Riezman Khuzaimi, Liza Abdullah dan beberapa pelakon Singapura. Ayu juga bakal membintangi filem terbaru Afdlin Shauki berjudul Untuk 3 Hari dan filem lakonannya, Nur Kasih The Movie pula akan ditayangkan sekitar bulan Mac depan. Kali terakhir wajah adik kepada aktres Rozita Che Wan ini menghiasi layar lebar adalah menerusi filem 4 Madu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |