Berita Harian: Hip |
Posted: 09 Dec 2010 02:44 PM PST Hip Selepas empat tahun menunggu, akhirnya Sazzy terima 'hadiah' amat bermaknaSERI seorang bakal ibu jelas terpancar di wajah pelakon dan pengacara program TV ini. Sinar kegembiraan yang terpancar daripada bebola matanya menterjemahkan perasaan teruja seorang wanita yang begitu sabar menantikan kehadiran zuriat sulung. Selepas empat tahun, Sazlini Falak atau lebih mesra disapa Sazzy menanti kehadiran orang baru sebagai pengikat kasih sayang antara dia dan suami, baru empat bulan lalu khabar yang dinantikan itu singgah di telinganya. Hadir ketika umat Islam masih meraikan bulan Syawal, Sazzy ketika ditemui pada majlis pelancaran rantai tangan Pandora, di Bangsar Village 2, baru-baru ini menyifatkan berita yang mengesahkan kehamilannya ibarat hadiah Aidilfitri pada waktu itu."Sewaktu hari raya lalu, saya lebih banyak tidur kerana selalu sangat berasa kepenatan. Melihat keadaan saya sebegitu, ibu saya mengesyaki saya mengandung dan menyuruh saya membuat pemeriksaan doktor. "Selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan saya hamil. Bagaimanapun, berita itu diketahui suami saya terlebih dulu kerana doktor yang menelefonnya. Sebaik saja mendapat perkhabaran itu, dia terus memberitahu saya dengan perasaan yang cukup teruja," cerita Sazzy yang menyedari kehamilannya sewaktu kandungan memasuki usia lima minggu. Bukan saja gembira kerana disahkan hamil, tetapi Sazzy juga ingin berkongsi kegembiraan apabila kandungannya yang berusia empat bulan itu adalah kembar. Begitupun, dia merahsiakan khabar gembira itu dari pengetahuan media. Sazzy memberi alasan tersendiri berhubung perkara itu. "Saya mengikut nasihat dan petua orang tua supaya tidak menghebahkan berita kehamilan awal itu sehinggalah usianya melepasi tiga bulan. Bukannya apa, selepas tempoh itu, kandungan biasanya sudah kuat. Jadi tak adalah berlaku perkara buruk," kata pelakon yang mula dikenali menerusi filem Gol & Gincu ini. Seperti ibu hamil yang lain, Sazzy berkata dia begitu mengambil berat soal penjagaan kesihatan terutama bab makanan. Tanpa berselindung, dia berkata, selera makannya semakin bertambah sejak dirinya berbadan dua. "Kalau sebelum ini saya hanya memakan sayur dan ikan, kini saya sentuh juga hidangan ayam dan daging. Saya perlu mengambil sedikit hidangan sebegitu kerana memerlukan protein untuk kesihatan dan kandungan," kata Sazzy yang ditemani pengurus dan pembantu peribadinya sepanjang temu bual itu berlangsung. Apabila pelakon ini mengumumkan yang dirinya berbadan dua, ia sekali gus menepis dakwaan yang kononnya Sazzy enggan mengandung hanya kerana tidak mahu tubuhnya itu menjadi gemuk. Ketika diajukan pertanyaan ini kepada si empunya diri, berubah seketika wajah wanita berusia 29 tahun ini. "Siapa kata saya tak mahu mengandung? Seperti mana wanita yang sudah mendirikan rumah tangga, sudah saya pun ada keinginan untuk hamil dan mempunyai zuriat. Saya memang inginkan cahaya mata untuk menjadi penyeri rumah tangga kami. "Cuma disebabkan terlalu sibuk dengan kerjaya, saya dan suami memang merancang hanya untuk mendapatkan anak selepas empat tahun berkahwin. Dan alhamdulillah, permintaan kami dimakbulkan Tuhan. "Bagi saya adalah perkara biasa untuk wanita hamil kelihatan berisi dan saya sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi itu. Memang saya akui, saya seorang yang kuat makan," kata anak sulung dari tiga beradik ini sambil tertawa. Tumpu bidang pengacaraan BERALIH kepada soal kerjaya, Sazzy berkata dia kini lebih selesa menumpukan perhatian terhadap bidang pengacaraan. Bukan bermaksud untuk melupakan terus bidang lakonan yang selama ini menjadi kecintaannya, tetapi dalam situasi sekarang, Sazzy lebih rela berehat seketika. "Buat masa ini biarlah saya tumpukan perhatian pada kerjaya pengacaraan saja. Bagi saya tugas mengacara lebih mudah dan cepat dari berlakon. Dengan keadaan sekarang ini, saya tak rasa saya larat untuk aktif berlakon seperti zaman belum punya anak dulu," katanya. Ditanya sampai bilakah dia memberi tempoh sebelum bercuti untuk bersalin, Sazzy berkata dia akan terus aktif sehinggalah keadaan tidak mengizinkan. Dalam pada itu, Sazzy berkata syarikatnya, Sinclairfalak Sdn. Bhd. sedang dalam usaha untuk mencari bakat baru untuk bernaung di bawahnya. "Selain Ashraf Sinclair dan isteri, Bunga Citra Lestari, kami juga menguruskan kerjaya seni pelakon dan pengacara Farish Aziz.Selain melihat mempunyai potensi dan berwawasan, kebetulan pengurus saya Kajai memang sudah lama mengenalinya. Pada saya, untuk menguruskan seseorang artis itu, perlulah ada keserasian supaya hubungan akan berjalan dengan lancar. "Mungkin selepas ini, kami akan mengintai lebih banyak bakat baru untuk berada di bawah pengurusan Sinclairfalak Sdn. Bhd. Dan tidak mustahil juga, kami akan menerbitkan drama atau telefilem sendiri. Insya-Allah," tutur Sazzy sebelum mengundurkan diri untuk menghadiri satu lagi acara. |
Posted: 09 Dec 2010 02:35 PM PST Hip Bergandingan dalam Konsert Analoque untuk persembahan secara akustikANNA Raffali dan Loque yang semakin dikenali oleh penggemar muzik arus perdana, berpadu tenaga dan suara menerusi kemunculan bersama dalam Konsert Analoque: Anna Raffali & Monoloque di Panggung Laman Sari, Istana Budaya (IB) pada 19 Disember depan. Konsert anjuran Glam Rock Enterprise dan YB Pictures mendapat keizinan IB dengan membuka peluang generasi baru merasai pengalaman mengadakan persembahan di situ. Penganjurnya, Helmi Antong berkata, IB bukan saja medan untuk penggemar seni tegar berkarya, malah peluang turut diberikan kepada generasi muda menimba pengalaman."Apabila IB bersetuju memberikan laluan kepada generasi baru beraksi di sini, saya dapat rasakan inilah peluangnya untuk penyanyi tempatan tempatan menimba ilmu sekali gus memberi keyakinan kepada mereka berhadapan dengan khalayak. "Tahun lalu IB memberi laluan kepada kumpulan rock, Butterfingers mengadakan persembahan di Lambang Sari dan sambutannya cukup memberangsangkan terutama generasi baru. "Kini pemilihan dua artis ini bergabung dalam satu konsert dilakukan melalui kaji selidik yang dilakukan menerusi media internet, peratusnya meminta gandingan Ana Raffali dan Monoloque direalisasikan," katanya. "Inilah masanya kita memberi sokongan dan mengangkat standard artis tempatan setaraf antarabangsa. Kalau kita mampu membayar artis antarabangsa dengan harga yang mahal biarpun mereka hanya menyanyikan lagu orang lain, kenapa kita terlalu berkira-kira untuk membayar artis kita menerusi karya mereka sendiri. "Jika hendak ikutkan, Anna dan Loque bukan saja penyanyi yang berbakat di dalam bidang suara tetapi kebolehan mereka mencipta lagu sendiri dengan kreativiti mereka," kata Helmi mengulas mengenai harga tiket yang mungkin dianggap mahal. Sementara itu, Ana berkata, impiannya untuk membuat persembahan di IB akhirnya dimakbulkan dan menganggap Lambang Sari sebagai medan yang berprestij buat anak seni. "Walaupun persembahan ini di Lambang Sari, namun saya berbangga kerana terpilih untuk mengadakan persembahan di IB. Jika nak diikutkan dalam usia karier saya yang baru ini, terpilih mengadakan persembahan di IB sudah cukup membanggakan. "Saya yakin dengan gabungan ini, konsert ini akan mencetuskan fenomena baru bagi artis lain untuk bekerja dengan lebih keras demi memastikan industri seni kita di terus unggul," katanya. Panggung Lambang Sari diaktifkan PANGGUNG Sari iaitu panggung utama di Istana Budaya (IB) gah dengan persembahan berprestij, baik untuk produksi tempatan mahupun antarabangsa. Panggung berskala besar itu sentiasa padat dengan pelbagai program baik teater, muzik, tarian mahupun acara persembahan anjuran kerajaan dan agensinya. Suatu ketika, IB menjadi tempat yang digeruni oleh orang muda untuk didekati. Bagi mereka IB hanyalah tempat penggemar seni yang tegar. Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, IB mengalami banyak perubahan, terutama minat dan 'keberanian' khalayak muda untuk mengunjungi seterusnya menonton setiap persembahan di sini. Suasana itu dilihat selepas ada antara mereka yang hadir hanya memakai seluar pendek, baju T, seluar jeans lusuh atau koyak dan berselipar, menandakan ia adalah kali pertama dikunjungi mereka yang tidak mengetahui etika berpakaian apabila masuk ke Panggung Sari. Selepas memperkenalkan pelbagai bentuk program yang mensasar pelbagai peringkat usia, IB senantiasa dipenuhi generasi baru, biarpun program itu acara khas kementerian. Satu lagi lokasi yang akan menjadi sasaran untuk diperkenalkan kepada orang ramai ialah panggung Lambang Sari yang terletak pada sudut kiri IB. Mampu memuatkan 800 penonton dalam satu masa, Lambang Sari mengkhususkan persembahan berskala sederhana dan kecil. Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhairi Shaarani berkata, IB sentiasa memikirkan program yang bersesuaian untuk menarik lebih ramai khalayak baru mendekati kompleks seni persembahan utama di ibu negara itu. "Ia juga adalah idea dan pandangan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu melihat segala sudut di IB digunakan sebaik mungkin dengan pelbagai aktiviti seni seperti mana beliau mencadangkan Laman Sari sebagai tempat riadah keluarga pada setiap malam minggu sebulan sekali. "Jika dulu tidak banyak program besar di Panggung Sari, maka sebab itu Lambang Sari digunakan untuk program berskala kecil. Namun sejak beberapa tahun ini, jadual persembahan di Panggung Sari begitu padat sehingga terpaksa mengurangkan aktiviti di Lambang Sari. "Kita tidak boleh membuka serentak Panggung Sari dan Lambang Sari kerana ia akan mengganggu kedua-dua persembahan kerana ia sangat dekat," katanya. Info |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |