Utusan Online - Hiburan |
Posted: Merekakah pilihan Rosyam?Oleh MOHD. IFQDAR
TIRAI program realiti Pilih Kasih (PK) ditutup dengan menobatkan Iqbal Mazlan selaku juara sulung rancangan yang bertujuan melahirkan bakat baru dalam bidang lakonan itu. Persoalannya, siapakah selepas Iqbal yang bakal merebut gelaran itu apabila misi pencarian pelakon berbakat yang memasuki musim kedua itu dimulakan malam ini? Semuanya bakal terjawab apabila Pentas Pilih Kasih (PPK) disiarkan secara langsung mulai hari ini, pada pukul 8.30 malam di TV2 dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Seremban. Secara keseluruhannya, PPK yang bakal bersiaran pada malam ini selama 10 minggu merupakan platform paling utama buat kesemua 16 peserta PK2 selain episod diarinya, Kisah Pilih Kasih (KPK). Lain daripada yang lain, PPK menguji kredibiliti peserta PK2 dalam menonjolkan bakat mereka menerusi tiga segmen iaitu drama, monolog dan teater muzikal. Ketika majlis memperkenalkan barisan peserta PK2 yang digelar artis oleh penerbitnya, Rosyam Nor, dia memberitahu, setiap intipati yang dipersembahkan dalam PPK adalah titik fokus yang perlu diutamakan. Jelasnya, episod mingguan itu adalah penentu segala-galanya. Maka, ketika itulah setiap peserta PK2 perlu bersiap sedia sama ada secara mental mahu pun fizikal. "Pada malam pementasan PPK, segala-galanya diuji. Ia seakan medan pertempuran. Setiap daripada mereka akan berperang menyerlahkan diri masing-masing. "Tidak kira sama ada drama, monolog mahu pun teater, setiap satunya ada objektifnya yang perlu dicapai. "Pada malam pementasan itu akan membuktikan kemampuan mereka selepas seminggu dilatih dan diajar oleh barisan tenaga pengajar yang telah dilantik," kata Rosyam. PPK akan menampilkan Reza Mohamed selaku pengacara manakala Iesya Toh akan memikul tanggungjawab mengendalikan episod KPK yang bersiaran pada setiap hari, pukul 4.30 petang di TV2. | ||
Galadriel tetap milik Blanchett Posted: Galadriel tetap milik BlanchettKETIKA ini, peminat setia filem trilogi The Lord of the Rings (LOTR) memang sudah tidak sabar lagi untuk menantikan perkembangan terbaru filem prekuelnya, The Hobbit. Sebaik sahaja Peter Jackson mengumumkan akan mengarahkan filem tersebut, ramai yang menyambutnya dengan gembira. Bagi peminat LOTR, mereka merasakan tiada pengarah lain yang lebih layak daripada Jackson untuk mengemudikan The Hobbit. Malah, mereka percaya Jackson akan memberikan sentuhan magis seperti mana dalam filem trilogi LOTR. Bakal menjalani penggambaran bermula Februari 2011 di New Zealand, Jackson sudah pun mengumumkan barisan pelakon yang akan membintangi The Hobbit. Selain Ian McKellen yang akan kembali membawakan watak sebagai Gandalf, aktres hebat, Cate Blanchett juga bakal membintangi filem tersebut. "Blanchett memang merupakan pelakon kegemaran saya dan tiada apa yang lebih menggembirakan saya apabila dia bersetuju untuk kembali sebagai Galadriel. "Memang tiada aktres yang lebih layak daripadanya untuk membawakan watak ini yang telah dizahirkan dengan cukup cantik oleh Blanchett dalam tiga filem terdahulu," ulas Jackson yang juga merupakan pemenang Oscar untuk Pengarah Terbaik bagi filem The Lord of the Rings: Return of the King. The Hobbit akan diterbitkan dalam dua siri di mana filem pertamanya bakal menemui penonton pada Disember 2012 manakala siri kedua pula setahun selepas itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |