Harian Metro: Rap |
Posted: 14 Nov 2011 05:01 AM PST SELEPAS selamat diijabkabulkan pada tarikh istimewa, 11.11.11 lalu, pasangan pengantin Khaidhirah Abu Zahar atau mesra dengan sapaan Dira, 27, dan suaminya, Mohd Helmi Mohd Yusof, 33, diraikan pula dalam suasana meriah di Lanai @Matic, malam kelmarin. Majlis resepsi bertemakan 'rock chick' yang menggabungkan kombinasi warna hitam dan putih itu cukup menarik apabila pasangan pengantin muncul dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi masing-masing sebelum bersanding di pelamin. Kembara tujuh motosikal berkuasa tinggi untuk mengiringi pengantin, secara tidak langsung memaparkan kepada tetamu sisi lain Dira sebagai seorang wanita lasak walaupun di kaca televisyen dia sering dilihat dengan perwatakan lemah lembut dan feminin. Dira yang ditemui pada sidang media selepas majlis persandingannya, berkata idea muncul dengan motosikal sebelum naik ke pelamin adalah ilhamnya dan suami yang mengakui mereka mempunyai minat sama iaitu menunggang motosikal.
"Bagaimanapun, saya bersyukur, gembira dan puas hati kerana majlis resepsi persandingan kami ini berjalan lancar seperti yang dirancang. Maklum saja, kami hanya ambil masa enam bulan untuk berbincang menetapkan tempat dan tarikh persandingan ini," katanya. Menyentuh soal destinasi bulan madu, dia dan suami mempunyai dua pilihan iaitu percutian di Pulau Bali, Indonesia dalam jangka masa terdekat ini, manakala ke Eropah pada hujung Disember nanti. Menurut Dira, setakat ini hanya dua destinasi itu yang difikirkan. "Apapun, sebelum bercuti bulan madu, kami perlulah menyiapkan segala urusan kerja yang secepat mungkin. Malah, kami juga perlu berbincang dengan majikan supaya meluluskan cuti untuk kami berbulan madu," katanya. Ditanya pula mengenai ciri-ciri suaminya yang berjaya membuatkan dia terpaut hati, Dira berkenalan dengan Mohd Helmi yang juga Pengarah Fotografi ketika membintangi filem filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki berkata, mereka berdua mempunyai karakter berbeza. "Suami saya ini ada kalanya seorang yang romantik dan kadang-kadang dia macam tiada perasaan. Tetapi, yang pasti emosinya stabil, tenang dan penyabar. Malah, dia juga mengambil berat terhadap anak saya, Tengku Anggun Deandra, 4. "Bahkan, setiap kali kami keluar bersama, suami pasti bertanyakan Anggun. Saya lihat dia dapat menerima anak saya seadanya. Justeru, saya berasa sangat bertuah apabila Mohd Helmi mengatakan dia begitu menyayangi diri ini dan Anggun. "Saya tidak pernah meminta Mohd Helmi untuk buat semua itu. Tetapi, dia sendiri yang sedia melakukannya kerana ingin membina keserasian dengan Anggun. Apa yang dilakukan berjaya mengambil hati Anggun untuk berasa selesa dengannya," kata Dira. Hanya dalam tempoh singkat, tiga bulan sudah cukup untuk Mohd Helmi mengenali hati budi Dira dan terus melamar pelakon dan pengacara program Melodi di TV3 itu walaupun berstatus ibu tunggal kepada seorang anak. Bagi Mohd Helmi, isterinya penyayang. "Dira, pada saya seorang wanita yang lasak, ringkas, boleh bertolak ansur serta senang berkomunikasi. Dia juga mudah dibawa berbincang dan lemah-lembut. Sekalipun keperibadiannya nampak seperti kasar tetapi dalam hati Dira tetap ada taman. "Sikap Dira cukup disenangi walaupun dia ibarat api dan saya pula air. Namun, kami berdua serasi dan masih boleh bertolak ansur untuk menyelesaikan setiap masalah yang berlaku. Mengenai Anggun, saya seorang yang sangat suka kerenah kanak-kanak. "Oleh itu, saya tidak kekok untuk mengambil hati Anggun kerana sudah biasa memanjakan anak saudara sebelum ini. Saya menerima Dira dan Anggun sepenuh hati ini," kata Mohd Helmi yang mengakui tidak akan menghalang isterinya terus aktif dalam karier seni. Majlis persandingan yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu, turut dimeriahkan dengan letupan bunga api meraikan pasangan pengantin. Antara rakan artis yang hadir, Sharifah Shahira, Ijoy, Nabil (Raja Lawak), Bront Palarae, Sharifah Amani, Shera Aiyob, Zahiril Adzim dan Riz Ainuddin. Pasangan ini dinikahkan di rumah keluarga Dira di Merlimau, Melaka, Jumaat lalu. Dira menerima wang hantaran RM17,171,17 berserta mas kahwin RM7,777,77. Pasangan pengantin juga berbalas dulang hantaran sebanyak 11 dulang kepada pihak lelaki dan sembilan untuk perempuan. Dinikahkan jam 4.16 petang di Masjid Merlimau Pasir, majlis bersejarah Dira dan Mohd Helmi turut disaksikan ibu bapa Dira, Datuk Seri Abu Zahar Isnin yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dan isteri, Datin Seri Khalijah Mohd Jiddy. Mohd Helmi mengakui pada mulanya berdebar juga menjelang pernikahannya tetapi apabila semuanya berlangsung dengan lancar dan selamat, macam tak percaya pula dia sudah jadi suami orang. Bagi Dira pula, dia berdoa ke hadrat Ilahi supaya perkahwinan kedua yang dibinanya bersama Mohd Helmi akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Katanya, dia akan berusaha sedaya-upaya menjaga hubungan mereka sebagai suami isteri dengan baik Menyentuh soal cahaya mata, kedua-dua mereka tidak membuat sebarang perancangan. Menurut Dira, biarlah Tuhan yang menentukannya. Ujarnya, dia dan suami menerima dengan hati yang terbuka sekiranya dikurniakan cahaya mata segera. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: 14 Nov 2011 04:53 AM PST KATEGORI Kesan Khas Visual Terbaik yang pertama kali diperkenalkan di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24), bakal mencuri tumpuan apabila lima filem bertanding, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), Janin, Karak, Khurafat dan Libas. Pengiktirafan pada karya yang menggunakan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) ini mampu menjadi penanda aras pada pencapaian filem tempatan.
Begitu juga, penganugerahan Pelakon Harapan Lelaki dan Wanita serta Pengarah sebagai galakan pada penggiat seni agar terus memberikan hasil kerja cemerlang pada masa hadapan. Untuk kategori Pelakon Harapan Wanita, apakah Nadia Nisaa yang baru saja menang Pelakon Pembantu Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) pada 4 November lalu menerusi lakonannya dalam filem Cun, bakal menang di FFM24?
Pengarah Harapan pula menyaksikan saingan sengit antara Khir Rahman (... Dalam Botol), Jeffry Chiang (Dilarang Masuk), Jurey Latiff Rosli (Libas), Baldev Singh (Rasuk) dan M Suurya (Sumpahan Puaka). Keputusan empat kategori ini akan diumumkan pada acara Perasmian FFM24, 16 November ini (esok) sebelum Malam Kemuncak diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 20 November ini. Pada acara Perasmian FFM24 kali ini, ia mencipta sejarah tersendiri apabila memilih lokasi Panggung Anniversary, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Acara dijangka bermula jam 8 malam akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut diumumkan pada malam pembukaan ialah Pelakon Kanak-kanak Terbaik, Poster Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik dan Filem Cereka bukan bahasa Melayu Terbaik. Pengerusi Publisiti dan Tajaan FFM24, Wani Wendy Wong Abdullah berkata, FFM24 meneruskan kelaziman agenda Festival Filem Malaysia pada tahun sebelumnya apabila mengadakan acara perasmian lebih awal sebelum Malam Kemuncak. Ini bertujuan memberi sebahagian anugerah utama manakala selebihnya diberikan pada Malam Kemuncak. Pada acara perasmian ini, 10 anugerah daripada dua kategori, Anugerah Gemilang Perdana dan Anugerah Gemilang Cipta. Konsep pada malam itu nanti lebih pada kasual, tiada karpet merah disediakan pada artis. Katanya, acara ini menarik kerana dibuat dalam suasana terbuka dan dijangka 3,000 tetamu akan menghadiri acara ini termasuk 1,500 dari kalangan penggiat seni dan artis manakala selebihnya dibuka kepada orang ramai yang digalakkan hadir beramai-ramai. "Bersama acara penting iaitu penyampaian 10 anugerah FFM24, acara turut diserikan dengan persembahan muzik 40 pemain Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). "Mereka ini akan memeriahkan persembahan pentas selain memainkan lagu Negaraku secara langsung pada permulaan acara. Begitu juga, rekaan pentas menarik tertera 41 filem yang bertanding pada FFM24 juga akan dipaparkan pada kain latar belakang," katanya. Wendy mewakili penganjur Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), meletakkan harapan agar acara ini mendapat sokongan ramai penggiat seni termasuk orang ramai untuk turut serta. "Kesemua 1,500 kad jemputan sudah diedarkan dan jika ada artis yang tidak dapat kad, mereka masih boleh datang kerana kami mempunyai kaunter pendaftaran untuk menyusun tempat duduk mereka. "Insya-Allah, saya berharap acara ini mendapat sokongan ramai semua pihak agar FFM24 menjadi meriah dan terbaik. Untuk makluman mereka yang akan hadir nanti, masalah tempat letak kereta akan berlaku tetapi penganjur menyediakan bas untuk artis naik dari tempat letak kereta di Tangling dan Taman Tasik Perdana ke lokasi acara. "Peringatan penting juga buat artis agar makan terlebih dulu sebelum acara bermula kerana acara dijangka habis lewat dan penganjur berharap cuaca malam itu nanti tidak hujan," katanya. Mengikut perancangan penganjur FFM24, acara perasmian diadakan selepas sidang media Top 5 diumumkan pada 8 November lalu. Sehari selepas Perasmian FFM24, penganjur memfokuskan acara Malaysia Creative Pitch (MC Pitch) yang diadakan di Kompleks Studio Merdeka, Finas, Hulu Klang, Selangor pada 17 November ini dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Untuk acara MC Pitch yang julung kali diadakan ini, penganjur juga menggalakkan orang ramai tidak kira latar belakang tetapi mempunyai idea kreatif agar mengambil kesempatan hadir. Sejurus MC Pitch, acara tayangan filem percuma pula diadakan pada 18 hingga 19 November sebelum tumpuan diberikan pada Malam Kemuncak (20 November). FFM24 mendapat bajet sebanyak RM6.68 juta termasuk pelbagai tajaan dan Malam Kemuncak akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima (saluran 105) bermula 8.30 malam untuk karpet merah sebelum acara bermula jam 9 malam. Sudah tentu kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik paling dinanti-nantikan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |