Adsense

Isnin, 1 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Segar, bergaya, seksi

Posted: 31 Oct 2010 04:30 PM PDT

Hip

Nadia menaruh harapan tinggi album pertama diterima dengan baik

ERTI kekecewaan dan kegagalan mungkin tidak pernah ada dalam hidup Nadia Aqilah.

Justeru, tidak pelik apabila Nadia yang pernah menganggotai kumpulan Luscious ketika menyertai program Gangstarz kira-kira tiga tahun lalu, terus tegar mahu membuktikan bakat seni yang dimilikinya sekali gus ingin meraih kembali perhatian khalayak. Bersama dua kawan baiknya ketika itu, Nur Shafinaz Mokhtar (Inaz) dan Ruzana Ibrahim, mereka menubuhkan Luscious serta memberanikan diri untuk menyertai pertandingan realiti, Gang Starz. Namun nasib tidak menyebelahi mereka untuk berada dalam kelompok sasaran.

Apa yang memedihkan ketika menyertai program itu, bukan bakat mereka yang diperkatakan. Sebaliknya perihal suka menyimpan angan-angan tinggi atau berlagak diva.

"Hakikatnya dakwaan itu memang tidak benar. Sedangkan saya, Inaz dan Ruzana hanya mahu berkongsi bakat, mencuba nasib dan ingin bertapak di dalam industri hiburan tempatan. Selepas menerangkan keadaan sebenar pun masih ada yang ragu-ragu terhadap kami.

"Memang benar, ada yang mengandaikan dunia seni ini tiada belas kasihan. Kami tak diberi ruang untuk membersihkan nama dengan sebetulnya. Akhirnya cerita ini berlalu sepi. Saya percaya ada kalanya berdiam diri itu satu penjelasan yang terbaik.
"Perlahan-lahan, saya percaya segala yang terjadi itu menjadi hikmah berguna.
Saya lebih suka memerhati. Pada masa sama, saya sendiri menunjukkan kesungguhan untuk berada dalam industri. Memang benar, saya perlu bergelut dan bersaing secara positif kerana pada akhirnya ia menjadi pengalaman berharga," kata Nadia saat bertemu dengannya di Balai Berita baru-baru ini.

Kedatangannya juga bukan dengan cerita kosong. Malah ingin memberitahu perkembangan terbaru mengenai kerjaya nyanyiannya yang agak tenggelam kebelakangan ini. Ketika ini gadis berusia 25 tahun mula cenderung bergelar pelakon.

Kata Nadia, sejak dua bulan lalu dia berhempas pulas menyiapkan album sulungnya memuatkan 10 lagu.

"Saya memang mahu memberi perhatian terhadap muzikdan persembahan seni terutaman berkaitan teater. Baru beberapa bulan saja mengikat kontrak dengan Lakefront Record, dan alhamdulillah rakaman album ini juga sudah siap dan menunggu masa untuk dipasarkan.

"Syukur kerana dapat bekerjasama bersama syarikat ini yang turut membuka peluang untuk saya mencadangkan koleksi lagu ciptaan dan nukilan sendiri. Konsep album ini bergenre R&B.

"Alhamdulillah 10 lagu yang terpilih liriknya semua ditulis saya sendiri. Tujuh daripadanya ialah Inggeris. Lagu seperti Gotta Go, Teman, Percaya dan D.I.V.A adalah ciptaan saya sepenuhnya," katanya yang ingin tampil dengan imej segar, bergaya dan seksi.

Muncul secara solo juga tidak bererti kumpulan Luscious yang pernah dianggotainya berkubur begitu saja.

"Kami sudah berkawan lama dan hubungan kami masih akrab. Saya kenal Inaz sejak sekolah lagi. Begitu juga Ruzana yang pernah berlakon teater Puteri Gunung Ledang bersama-sama pada 2005.

"Ruzana sekarang bekerja tetap, manakala Inaz membabitkan diri sebagai penulis skrip," katanya.

Masih bercerita mengenai albumnya, Nadia menegaskan, dia memang menaruh harapan yang tinggi untuk melihat kemunculan album sulungnya diterima dengan baik.

"Album dan konsep album yang saya pilih ini adalah biasan diri saya sebenarnya. Malah ia juga menjadi nadi keikhlasan saya dalam berkarya. Selepas ini saya mahu orang kenal saya sebagai penyanyi solo pula berbanding pelakon yang boleh menyanyi.

"Insya-Allah kalau dapat penghargaan daripada mana-mana anugerah muzik itu satu kredit. Menyanyi juga bukan alasan untuk saya terus meninggalkan dunia lakonan. Cuma saya harus selektif dalam aspek skrip ketika ini apatah lagi saya memang suka memilih karakter," katanya yang bergelar penuntut Eksekutif Diploma dalam bidang pengurusan di Universiti Malaya sejak Julai tahun lalu.

Nadia Aqilah Bajuri

  • Nama komersial: Nadia Aqilah
  • Tarikh lahir: 16 Ogos 1985 (25 tahun)
  • Tempat lahir: Subang Jaya
  • Drama lakonan: Emil Emelda, Sindarella, Merah Putih, Tari Tirana
  • Teater: Puteri Gunung Ledang The Musical (2005) dan P Ramlee The Musical (2008).
  • Pernah menyertai Gang Starz musim pertama pada 2006 menerusi kumpulan Luscious.

    Penghargaan

  • Solekan: Bosco Ryzarl (016-6091614)
  • Busana tajaan: WANPA (019-6690717 dan 012-2386148)
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

    TV Alhijrah dilancar hari ini

    Posted: 31 Oct 2010 04:22 PM PDT

    Hip

    Jamil (tengah) dan Bukhari (dua dari kanan) bersama-sama wakil syarikat penerbitan yang
membekalkan kandungan untuk saluran TV Alhijrah.

    Jamil (tengah) dan Bukhari (dua dari kanan) bersama-sama wakil syarikat penerbitan yang membekalkan kandungan untuk saluran TV Alhijrah.

    Saluran TV yang dikhususkan untuk program bercorak kerohanian

    SEBAGAI sesi pengenalan, stesen televisyen kerohanian, TV Alhijrah yang pernah diperkatakan sebelum ini akan mula beroperasi mulai jam 3 petang ini sehingga 12 tengah malam.

    Selepas hampir dua tahun diperkatakan mengenai kewujudan stesen ini, TV Alhijrah operasi siaran sepenuhnya pada Disember yang akan menyajikan pelbagai program berbeza dengan memberikan perspektif Islam. TV Alhijrah ditubuhkan sebagai syarikat yang dikenali sebagai Alhijrah Media Corporation dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan serta diletakkan di bawah penguasaan Jabatan Perdana Menteri (JPN).

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kewujudan stesen televisyen berlandaskan Islam itu sebagai memberi pilihan kepada penonton yang menekankan nilai Islam di dalamnya.

    "TV Alhijrah ini adalah untuk memberi pilihan kepada penonton tempatan dan mensasarkan kepada semua peringkat usia. Golongan muda, remaja dan kanak-kanak adalah golongan terbesar yang menonton iaitu sebanyak 63 peratus dan selebihnya adalah penonton biasa.

    "Saluran TV ini mengutamakan kandungan yang memberi manfaat kepada penonton dan pada masa yang sama menarik golongan sasar. Walaupun baru beroperasi, 60 peratus daripada kandungan adalah terbitan tempatan, 40 peratus adalah kandungan asing. TV Aalhijrah sendiri menerbitkan 30 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya pada majlis sidang media pertama TV Alhijrah untuk diperkenalkan kepada media baru-baru ini.
    Menurut Jamil Khir, kandungan yang terkandung di dalam TV Alhijrah tidak hanya menumpukan kepada rancangan berbentuk panduan dan bimbingan semata malah merangkumi pelbagai bentuk.

    "Bahan-bahan yang terkandung di dalam saluran TV ini juga turut meliputi drama, filem, ehwal semasa, dokumentari, berita, animasi dan hiburan yang menjanjikan kelainan.

    "Bagi golongan bukan Islam, TV Alhijrah akan memperincikan mengenai Islam sebagai agama yang menggalakkan melakukan kebaikan, keadilan dan perpaduan," katanya.

    TV Alhijrah yang juga stesen televisyen percuma (FTA) akan berpusat dan bersiaran penuh dari Pusat Islam Kuala Lumpur.

    Menyentuh soal dana penubuhan TV Alhijrah, beliau berkata, sebagai permulaan memang kerajaan menyalurkan sumber kewangannya. Disebabkan perancangan sudah dibuat dengan teliti dan mengambil kira pelbagai aspek, dana sebanyak RM60 juta dilaburkan untuk penubuhan TV Alhijrah.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alhijrah Media Corporation, Bukhari Che Muda, berkata lokasi yang strategik di ibu negara menjadikan ia stesen televisyen pertama dilahirkan dari inspirasi bercirikan Islam.

    "TV Alhijrah juga bakal ditonton melalui siaran Astro dan melalui medium baru seperti internet serta telefon bimbit. Lima transmisi bersedia memancarkan siaran di Lembah Klang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak. Ini mencakupi 55 peratus penonton di negara ini," katanya.

    Bukhari menambah, setakat ini persediaan rapi sudah dilakukan untuk menyertai stesen TV lain menyalurkan pelbagai maklumat serta program ilmiah kepada masyarakat.

    "Bersandarkan ruang dan peluang yang ada, saya akan memastikan penonton mendapat apa yang mereka mahu. Saluran TV ini juga akan berusaha gigih memberikan yang terbaik dan memenuhi kehendak penonton.

    "Terima kasih kepada karyawan dan penggiat seni tanah air yang sudi bekerjasama dengan TV Alhijrah bagi menyemarakkan industri penyiaran tanah air. TVAH sentiasa membuka peluang kepada karyawan tempatan menghasilkan produk mereka untuk disiarkan," katanya.

    Pada majlis itu juga, 11 syarikat penerbitan diberikan penghargaan untuk membekalkan kandungan untuk TV Alhjirah iaitu Nissay Ventures Sdn Bhd, Zeel Production Sdn Bhd, KL Motion Sdn Bhd, Miracle Media Sdn Bhd, Rumah Karya Citra, Karyawan Bestari Sdn Bhd, Wayang Studios Intl, Ezar Sdn Bhd Manjafilm Sdn Bhd, dan Les Copaque Production.


    Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.