Adsense

Khamis, 25 April 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Dokumentari pencerobohan Lahad Datu 70 peratus siap

Posted: 25 Apr 2013 01:30 AM PDT

Oleh AZIZ ITTAR

KUALA LUMPUR 25 April - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kini dalam proses menyiapkan sebuah dokumentari tentang pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah awal bulan lalu.

Ketua Pengarah Finas, Datuk Md. Afendi Hamdan berkata, dokumentari yang belum mempunyai judul dengan kos kurang RM1 juta itu telah 70 peratus siap.

"Ia dijangka disiapkan dalam masa beberapa bulan ini dan ia adalah inisiatif Finas merakamkan tragedi tersebut untuk tatapan umum.

"Projek ini dibuat di bawah program filem kenegaraan yang Finas usahakan sejak dulu," katanya kepada Utusan Malaysia.

Md. Afendi menambah, Finas juga dalam proses menerbitkan sebuah filem cereka tentang perjuangan Kanang anak Langkau, perajurit keturunan Iban dari Sarawak menentang pengganas komunis.

"Proses pembikinan filem seperti ini agak rumit kerana banyak sensitiviti yang harus diambil kira dari segi agama dan juga membabitkan sanak saudara mendiang Kanang itu sendiri," katanya. - UTUSAN ONLINE

Zizie peruntuk 15 jam bantu kempen suami

Posted: 24 Apr 2013 11:42 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 April - Hampir 15 jam sehari, itu masa yang diperuntukkan oleh pelakon Zizie Ezette untuk membantu jentera kempen pilihan raya di kawasan suaminya, Datuk Bung Moktar Radin yang juga calon Barisan Nasional Parlimen Kinabatangan.

"Memang sibuk, semua kawasan dijelajahi, kami memang berkempen berhabis-habisan dan saya lebih fokus kepada merayu undi dari rumah ke rumah," kata Zizie kepada kepada Utusan Online.

Malah untuk menyampaikan kempen secara lebih berkesan, Zizie tidak akan sepanjang masa mengekori suaminya ke setiap lokasi.

"Kami berpecah kepada dua team (kumpulan). Datuk (Bung Moktar) dengan teamnya akan ke lokasi lain melalui ceramah, berjumpa kumpulan pengundi yang lebih besar.

"Sementara saya lebih kepada merayu undi dari rumah ke rumah. Saya banyak bertemu dengan kumpulan wanita dari rumah ke rumah," beritahu Zizie lagi.

Pelakon putih melepak ini bernikah dengan Bung Moktar pada penghujung 2009 dan ini merupakan kali pertama beliau membantu suaminya berkempen bagi mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Bung Mokhtar ditentang Abdullah Abdul Sani (PKR), Yambuya Perantis @ Cyril Pongod (Star) dan Ali Latip Taha (Bebas). - UTUSAN ONLINE